Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Rabu, 23 April 2008

91 - Solat Tahiyatul Masjid

Solat Tahiyatul Masjid

Hukum Solat Tahiyatul Masjid

“Jika salah seorang dari kamu memasuki masjid, maka janganlah duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Solat, no. 444. Muslim, Kitab Musafir & Qasarnya, no. 714)

Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a., dia menyatakan: “Sulaik al-Ghifani pernah datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w. sedang menyampaikan khutbah lalu dia terus duduk. Beliau s.a.w. pun berkata kepadanya:

“Wahai Sulaik, berdiri dan ruku’lah dua rakaat serta pendekkanlah dalam melaksanakannya.” Kemudian beliau bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dengan seringkasnya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Jumu’ah, no. 930)

Dalam sebuah riwayat yang lain disebutkan, “Jika salah seorang di antara kamu memasuki masjid, hendaklah dia tidak duduk hingga mengerjakan solat dua rakaat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, no. 1163)

Bentuk perintah dalam hadis-hadis tersebut secara zahirnya menunjukkan wajib, dan larangan meninggalkannya apabila memasuki masjid. Jumhur ulama, termasuk Ibnu Hazm, berpendapat bahawa perintah dalam hadis tersebut dipalingkan kepada hukum anjuran, berdasarkan sejumlah dalil.

Menurut Dr. Sa’id Wahf al-Qahthani, “Yang paling tepat adalah sunnah mu’akkad, demikian itu pendapat jumhur.” (Ensiklopedi Solat, jil. 1, 513)

Imam Nawawi rahimahullah menyatakan: “Di dalamnya terkandung pengertian disunnahkan melaksanakannya, yang ia bersifat sunnah menurut kesepakatan kaum muslimin. Di dalamnya juga terkandung pengertian disunnahkan memberi penghormatan (Tahiyat) kepada masjid setiap kali memasukinya.” (Syarhun Nawawi ‘alaa Shahih Muslim, 5/233)

Masuk Masjid Ketika Iqamah Solat Sudah/Sedang Dikumandangkan

Jika seseorang memasuki masjid ketika iqamah solat sedang atau sudah dikumandangkan, hendaklah dia masuk menyertai solat yang sedang didirikan itu kerana telah gugur baginya solat Tahiyatul Masjid dua rakaat.

Hal ini adalah berdasarkan hadis berikut:

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: “Jika iqamah solat sudah dikumandangkan, tidak ada solat lagi, kecuali solat wajib.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat Musafir & Qasarnya, no. 710)

Memasuki Masjid Ketika Imam/Khatib Berkhutbah

Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a., dia menyatakan: “Sulaik al-Ghifani pernah datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w. sedang menyampaikan khutbah lalu dia terus duduk. Beliau s.a.w. pun berkata kepadanya:

“Wahai Sulaik, berdiri dan ruku’lah dua rakaat serta pendekkanlah dalam melaksanakannya.” Kemudian beliau bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dengan seringkasnya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Jumu’ah, no. 930)

Berdasarkan hadis ini, jika seorang muslim memasuki masjid ketika imam sedang menyampaikan khutbah Jumaat, hendaklah dia tidak duduk sebelum mengerjakan solat Tahiyatul Masjid dua rakaat dengan meringankannya.

90 - Solat Sunnah Taubat

Solat Sunnah Taubat

Kita sebagai manusia biasa tidak terlepas daripada melakukan pelbagai kesilapan. Dan adakalanya mungkin terjerumus ke dalam persoalan yang dilarang, yang mengakibatkan dosa, atau perkara yang dibenci oleh Allah s.w.t. Oleh itu Allah s.w.t. dengan sikapnya yang Maha Pengasih, dan Maha Pengampun sentiasa memberikan ruang kepada hambanya untuk kembali kepada fitrah dan membersihkan diri dari pelbagai kesilapan, ketergelinciran dan kesalahan.

“Dan peliharalah dirimu dari api neraka, yang disediakan untuk orang-orang yang kafir.” (Surah Ali Imran, 3: 131)

Antara cara dan kaedah memelihara diri daripada ancaman api neraka Allah, menurut Sheikh Abdur Rahman as-Sa’di di dalam tafsirnya terhadap ayat tersebut adalah:

“Dengan cara meninggalkan hal-hal yang menjerumuskan ke dalamnya, berupa kekufuran dan kemaksiatan khususnya kemaksiatan yang besar, yang akan mengheret kepada kekufuran, bahkan ia merupakan sifat dari kekufuran yang telah Allah siapkan neraka bagi pelaku-pelakunya.

Maka meninggalkan kemaksiatan akan menyelamatkan dari api neraka dan menjaga diri dari kemurkaan Yang Mahakuasa. Sedang perbuatan-perbuatan yang baik dan berbentuk ketaatan membuahkan redha Allah, ganjaran Syurga, dan memperolehi rahmat.” (Tafsir as-Sa’di, jil. 1, m/s. 545)

Di dalam ayat yang lain, Allah s.w.t. berfirman:

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran, 3: 135)

Dalam menafsirkan surah Ali Imran ayat 135, Sheikh Abdur Rahman as-Sa’di menyatakan, “Telah terjadi perbuatan-perbuatan buruk yang besar atau yang kecil yang dilakukan oleh mereka, lalu mereka segera bertaubat dan meminta ampunan, mereka mengingat Rabb mereka dan ancaman-Nya bagi orang-orang yang berbuat maksiat dan apa yang dijanjikan bagi orang-orang yang berbuat maksiat dan apa yang dijanjikan bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka mereka memohon ampunan pada-Nya atas dosa-dosa mereka itu, menutup aib-aib mereka, di samping mereka meninggalkan hingga akar-akarnya dan menyesal atasnya. Kerana itulah Allah berfirman, Maksudnya: “dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui”.” (Tafsir as-Sa’di, jil. 1, m/s. 547-548)

Oleh itu, antara cara untuk memulakan taubat adalah pertamanya dengan segera meninggalkan perbuatan keji/maksiat yang tersebut dan berusaha untuk tidak mengulanginya. Dianjurkan juga untuk melaksanakan solat sunnah taubah/taubat. Sebagaimana menurut ke-empat-empat mazhab, solat sunnah atas sebab bertaubat dari dosa adalah dianjurkan. (Rujuk Ibnu ‘Abidin, 1/462, ad-Dasuqi, 1/314, Asna al-Muthakib, dan Kasyaf al-Qanna’, 1/443. Dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, jil. 2, m/s. 95)

Hal ini, adalah sebagaimana berdasarkan hadis berikut:

Dari Asma’ bin al-Hakam al-Fazari, dia menjelaskan: Aku pernah mendengar ‘Ali r.a. berkata: “sesungguhnya aku adalah seorang yang jika mendengar sebuah hadis dari Rasulullah, Allah akan memberiku manfaat dari hadis tersebut bersesuaian dengan kehendak-Nya. Jika ada seseorang dari sahabatnya menyampaikan hadis, aku akan memintanya bersumpah. Jika dia mahu bersumpah kepadaku, aku akan membenarkannya. Sesungguhnya Abu Bakar telah memberitahuku, dia menyatakan dia pernah mendengar Rasulullah bersabda, (Maksudnya): “Tidaklah seseorang melakukan sesuatu perbuatan dosa lalu dia bangun (bangkit) dan bersuci kemudian mengerjakan solat dan memohon ampunan kepada Allah, melainkan Allah akan memberikan ampunan kepadanya. Kemudian beliau membaca ayat (Maksudnya), “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran, 3: 135)”.” (Diriwayatkan oleh at-Timidzi dalam Kitab Solat, no. 406. Abu Daud, Kitab al-Witr, no. 1521. Juga diriwayatkan oleh Ibnu Hibban di dalam Kitab Shahihnya, 2/389-390. Dinilai Sahih oleh Sheikh al-Albani di dalam Kitab Shahih Sunan Abi Daud, 1/283)

Menurut Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah, “Solat taubat ini boleh dilakukan/dilaksanakan bila-bila masa sahaja, walaupun di dalam waktu-waktu yang dilarang mengerjakan solat, kerana taubat ini adalah wajib dilakukan dengan segera, dan pelakunya disunnahkan (dituntut) untuk mengerjakan (solat) dua rakaat.” (Fatawa Sheikhul Islam, 23/215)

Kesimpulan:

Maka, bagi mereka yang bertaubat atau ingin bertaubat, dianjurkan (disunnahkan) untuk melaksanakan sebagaimana yang ditunjukkan melalui hadis tersebut, iaitu dengan melakukan solat sunnah sebanyak dua rakaat dan kemudiannya memohon keampunan kepada Allah.

Wallahu a’lam...

Rujukan:

1 – Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an & Sunnah (Judul Asli: Sholaatul Mu’min Mafhuum wa Fadhaa’il wa Adab wa Anwaa’ wa Ahkam wa Kaifiyyah fii Dhau’il Kitab was Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qahthani), Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i.

2 – Shahih Fiqih Sunnah (Judul Asli: Shahih fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib al-A’immah, oleh Abu Malik Kamal bin as-Sayyid Salim), Terbitan Pustaka at-Tazkia.

3 – Meneladani Shalat-Shalat Sunnah Rasulullah s.a.w. (Judul Asli: Bughyatul Mutathawwi’ fii Shalaatit Tathawwu’, oleh Sheikh Muhammad bin ‘Umar bin Salim Bazmul), Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i.

4 – Tafsir as-Sa’di (Judul Asli: Taisir al-Karim ar-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, oleh Sheikh Abdur Rahman bin Nashir as-Sa’di), Terbitan Pustaka Sahifa.

89 - Solat Sunnah Tasbih

Solat Sunnah Tasbih

Solat Tasbih adalah salah satu jenis solat yang dilakukan dalam bentuk yang khusus. Dinamakan sebagai solat Tasbih adalah kerana di dalamnya banyak terdapat ucapan tasbih. Pada setiap rakaatnya terdapat tujuh puluh lima (75) tasbih. (Nihayah al-Muhtaj, 2/119)

Di antara solat sunnah yang disyari’atkan adalah solat sunnah Tasbih, iaitu seperti yang disebutkan di dalam hadis Ibnu ‘Abbas r.a. berikut:

Dari Ibnu abbas r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada ‘Abbas bin Abdil Muthalib: “Wahai ‘Abbas, wahai pakcik-ku, mahukah engkau jika aku memberimu? Mahukah engkau jika aku memberi kemuliaan bagimu? Mahukah engkau jika aku menghadiahkan kepadamu? Mahukah engkau jika aku berbuat sesuatu terhadapmu? Ada sepuluh perkara yang jika engkau melakukan hal tersebut, maka Allah akan memberikan keampunan bagimu atas dosa-dosamu. Iaitu yang pertama dan yang akhir, yang sudah berlalu atau yang akan datang (baru), tidak sengaja atau yang disengajakan, kecil atau besar, tersembunyi atau yang terang-terangan. Sepuluh perkara itu ialah: Hendaklag engkau mengerjakan solat empat (4) rakaat. Pada setiap rakaat engkau membaca surah al-Fatihah dan surah lainnya. Setelah engkau selesai membaca di rakaat pertama sedangkan engkau masih dalam keadaan berdiri, hendaklah engkau mengucapkan:

سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
(Subahanallah, wal hamdulillah, wa lailaa ha illallah, wallahu akhbar: “Maha Suci allah, Segala Puji Bagi Allah, Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar”)

Dibaca sebanyak lima belas (15) kali. Kemudian engkau rukuk, lalu engkau membacanya sepuluh kali (10) sedang engkau dalam keadaan ruku’. Kemudian mengangkat kepalamu dari rukuk lantas mengucapkannya sepuluh kali (10). Selanjutnya turun untuk sujud lalu membacanya sepuluh kali (10) ketika dalam keadaan sujud. Setelah itu mengangkat kepalamu dari sujud seraya mengucapkan sepuluh kali (10). Kemudian sujud lagi dan mengucapkannya sepuluh kali (10). Selanjutnya mengangkat kepalamu seraya mengucapkannya sepuluh kali (10). Demikianlah iaitu tujuh puluh lima (75) kali setiap rakaat. Hendaklah engkau melakukan perkara tersebut pada empat rakaat, jika engkau mampu mengerjakannya setiap hari satu kali maka kerjakanlah. Jika engkau tidak mampu mengerjakannya pada setiap hari maka kerjakanlah setiap satu Jumaat satu kali, Jika engkau tidak mampu, maka kerjakanlah setiap sebulan sekali. Jika tidak mampu maka kerjakanlah setahun sekali. Dan jika engkau tidak mampu juga maka kerjakanlah satu kali selama hidupmu.”

(Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Kitab ash-Solah, Bab Solat Tasbih, no. 1297. Ibnu Majah di dalam Kitab Iqamatus Solah was Sunnah Fiihaa, Bab Maa Jaa’a fii Solatit Tasbih, no. 1386. al-Hakim, 1/318-319. al-Baihaqi, 3/51. ath-Thabari, 10/161. Abu Nu’aim dalam al-Hilyah, 1/25-26 dan selain mereka. Hadis ini dinilai kuat oleh sekelompok ulama, di antaranya Abu Bakar al-Ajuri, Abul Hasan al-Maqdisi, al-Baihaqi, dan yang sebelum mereka adalah Ibnul Mubarak. Demikian juga dengan Ibnu Sakan, at-Taaj as-Subki, al-Balqini, Ibnu Nashiruddin ad-Dimasqi, as-Suyuthi, al-Laknawi, as-Sindi, az-Zubaidi, al-Mubarakfuri (penulis kitab at-Tuhfah, al-Mubarakfuri penulis kitab al-Mir’aat, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, tidak ada lagi hadis sahih berkenaan solat sunnah Tasbih melainkan hadis ini. Menurut pendapat Ibnul Mubarak, sejumlah ahli ilmu, dan sebahagian ulama Syafi’iyah ianya mustahab (dianjurkan), al-Majmu’, 3/647 dan Nihayah al-Muhtaj, 2/119. Menurut Muslim bin Hajjaj rahimahullah pula menyatakan bahawa, tidak ada sanad paling baik berkaitan hadis solat sunnah Tasbih kecuali hadis ini, iaitu sanadnya melalui ‘Ikrimah yang diambil daripada ‘Ibnu Abbas. Yang terakhir pula antaranya disahihkan oleh Sheikh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud (No. 303), al-Miyskah (no. 1328), at-Ta’liq ar-Raghib (1/237), at-Ta’liq ‘ala Ibn Khuzaimah (1216), dan di dalam Kitab Sahih at-Targrib wa Tarhib)

Sebagai perhatian, persoalan hadis solat sunnah Tasbih ini melibatkan pelbagai perselisihan ulama dalam mensahihkannya, menghasankannya, dan juga mendhaifkannya dengan pelbagai alasan. Di antara mereka ada yang meletakkan alasan bahawa tatacara solat Tasbih ini ganjil, bertentangan, dan berbeza dengan tatacara solat yang lainnya yang sedia dimaklumi. Ada juga yang menyatakan bahawa kesemua jalan periwayatannya dhaif. Akan tetapi bagi yang berpendapat dengan ilmunya bahawa hadis ini sahih, maka disunnahkan untuk melakukan solat tersebut sebagaimana yang dijelaskan melalui hadis tersebut. Ini kerana, persoalan ibadah adalah termasuk dalam hal tauqifiyah (berdasarkan contoh dan saranan) dan tidak perlu wujud persoalan ianya aneh, ganjil dan sebagainya asalkan hadisnya sahih. Wallahu a’lam...

Kesimpulan/Kaifiyat:

1 – Khithab di dalam hadis ini ditujukan kepada ‘Abbas, tetapi hukumnya berlaku umum bagi setiap Muslim. Sebab, landasan dasar dalam khithab Rasulullah s.a.w. adalah umum dan tidak khusus.

2 – Sabda beliau di dalam hadis di atas: “Niscaya Allah akan memberikan keampunan kepadamu di atas dosa-dosamu, yang pertama dan terakhir, lama dan baru, sengaja dan tidak disengaja, kecil mahupun besar, yang tersembunyi mahupun yang terang,” adalah sepuluh kriteria.

Jika ada yang menyatakan/beralasan: “Sabda beliau: “sengaja mahupun tidak disengaja”, kalimah al-Khatha’ di sini membawa erti yang tidak berdosa.

Allah s.w.t. berfirman:

رَبَّنَا لا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ...
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau kami tersalah.” (Surah al-Baqarah 2: 286)

Bagaimana Allah menjadikannya termasuk ke dalam perbuatan dosa?

Jawabnya: Di dalam kata al-Khatha’ itu mengandungi kekurangan atau ketidaksempurnaan, sekalipun tidak mengandungi dosa. Dan solat ini memiliki kesan tersebut.

3 – Di dalam kitab at-Tanqiih Limaa Jaa’a fii sholatit Tasbih, dia menyatakan: “Ketahuilah, mudah-mudahan Allah merahmatimu, bahawa hadis-hadis yang menyuruh mengerjakan amal-amal yang mencakupi pengampunan dosa seperti ini tidak semestinya bagi seorang hamba untuk bersandar kepadanya, lalu membebaskan dirinya untuk mendekati perbuatan-perbuatan dosa. Kemudian, dia beranggapan jika dia melakukan sesuatu perbuatan, niscaya semua dosanya akan diampuni. Ini merupakan puncak dari kebodohan dan kejahilan. Apa yang menjadikan anda yakin, wahai orang-orang yang tertipu, bahawa Allah akan menerima amalmu itu dan selanjutnya akan mengampuni dosa-dosamu?

Allah s.w.t. berfirman:

“Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang-orang yang bertaqwa...” (Surah al-Ma’idah 5: 27)

Perhatikan dan campakkanlah hal tersebut, serta ketahuilah bahawa pintu masuk syaitan ke dalam diri manusia itu cukup banyak. Berhati-hatilah, jangan sehingga syaitan memasuki diri kita melalui pintu tersebut.

Allah s.w.t. telah menyifatkan hamba-hambanya yang beriman sebagai orang-orang yang mengerjakan amal soleh serta sentiasan berusaha melaksanakan ketaatan kepadanya. Walaupun demikian, hati mereka masih mungkin juga gementar/takut/risau, dan khuwatir jika amal mereka itu tidak diterima sehingga ditimpakan siksaan ke wajah mereka. Allah s.w.t. berfirman:

“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.” (Surah al-Mukminuun 23: 60-61)

Apa yang kami kisahkan di dalam menafsirkan ayat ini merupakan pendapat majoriti ahli Tafsir. Di dalam kitab al-Jami’ (11/132), al-Qurtubi menyebutkan dari al-Hasan, bahawasanya dia berkata: “Kami pernah mengetahui beberapa orang yang takut kebaikan mereka akan ditolak, (merasa) lebih prihatin daripada kalian yang tidak takut di-azab atas perbuatan dosa kalian.”

Ketahuilah bahawa dosa-dosa yang berkaitan dengan hak-hak manusia tidak terangkum ke dalam hadis di atas. Walaupun demikian, suatu keharusan untuk mengembalikan hak kepada pemilik-nya, serta bertaubat dari hal tersebut dengan taubat nasuha.” (at-Tanqiih Limaa Jaa’a fii Sholatit Tasbiih, m/s. 101-102)

4 – Tidak disebutkan penetapan bacaan surah/ lainnya dalam rakaat-rakaat tersebut dan tidak juga penetapan waktu perlaksanaannya.

5 – Lahiriyah hadis menyebutkan bahawa solat Tasbih itu dikerjakan dengan satu salam, sama ada malam atau siang hari, sebagaimana yang dikemukakan oleh al-qari di dalam kitab al-Mirqaat dan al-Mubarakfuri di dalam kitab at-Tuhfah, 1/349.

6 – Yang jelas bahawa, bacaan dzikir yang diucapkan sepuluh kali sepuluh kali itu diucapkan setelah dzikir yang ditetapkan di tempatnya masing-masing. Ertinya, di dalam ruku’, dzikir-dzikir itu dibaca setelah dzikir ruku’ yang diucapkan sebanyak sepuluh kali. Adapun setelah ucapan: Sami ‘allaahu liman hamidah, Rabbana lakal hamdu, juga berdiri dari ruku’ bacaan itu dibaca sebanyak sepuluh kali. Demikianlah, hal itu dilakukan setiap tempat masing-masing.

7 – Jika melakukan kelupaan dalam solat, lalu mengerjakan dua sujud shahwi, maka dia tidak perlu lagi mengucapkan Tasbih sepuluh kali seperti sujud-sujud solat lainnya.

Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, 2/250 dari ‘Abdul ‘Aziz bin Abi Razmah, dia menyatakan, “Kukatakan kepada ‘Abdullah Ibnul Mubarak: “Jika melakukan kelupaan dalam solat itu, apakah dia perlu bertasbih sepuluh kali, sepuluh kali di dalam sujud Shahwi?” Dia menjawab: “Tidak, kerana ia berjumlah tiga ratus kali Tasbih”.”

88 - Tidak Ada Solat Sunnah Qabliyah Jumaat Sebaik Azan Dikumandangkan

Tidak Ada Solat Sunnah Qabliyah Juma’at Sebaik Azan Dikumandangkan

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Artikel ini menjelaskan bahawa tidak ada lagi solat sunnah sebaik azan pada hari Juma’at dikumandangkan (yakni pada masuknya waktu Zuhur), kecuali solat sunnah tahiyyatul masjid bagi yang belum sempat melaksanakannya.

Diriwayatkan daripada As-Saa’ib bin Yazid, beliau berkata:

وَكَانَ التَّأْذِينُ يَوْمَ الجُمُعَةِ حِينَ يَجْلِسُ الإِمَامُ يَعْنِي عَلَى المِنْبَرِ

“Bahawa azan pada hari Juma’at itu dilaungkan sebaik imam duduk, yakni di atas mimbar.” (Shahih Al-bukhari, no. 913)

Baca selengkap di website kami » http://bit.ly/1yiTZfZ