Ahad, 18 Mac 2012

189 - Sunnah Meletakkan Sutrah dan Larangan Melintas di Hadapan Orang Solat

Sunnah Meletakkan Sutrah dan Larangan Melintas di Hadapan Orang Solat

Abu Numair Nawawi B. Subandi


Apa Itu Sutrah?

Sutrah adalah suatu objek setinggi kira-kira 1 pelana haiwan tunggangan yang diletakkan di hadapan orang yang solat sebagai penghadang atau pembatas. Jarak meletakkannya adalah kira-kira 3 hasta (3 kaki) di hadapan dari tempat berdiri (bagi yang bersolat tersebut). Atau 1 hasta (1 kaki) di hadapan dari tempat bersujud. (Aashlu Shifati Sholatin Nabi, 1/114 – al-Maktbah al-Ma’arif)

Selain merupakan suatu sunnah, ini turut bertujuan sebagai pembatas atau penghadang agar kesempurnaan solat tidak terjejas apabila ada orang atau seumpamanya yang melalu-lintas di hadapan ketika sedang bersolat.

Sunnah ini berdalilkan dengan hadis yang banyak antaranya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِذَا وَضَعَ أَحَدُكُمْ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلَ مُؤْخِرَةِ الرَّحْلِ فَلْيُصَلِّ وَلَا يُبَالِ مَنْ مَرَّ وَرَاءَ ذَلِكَ

“Apabila salah seorang di antara kamu telah meletakkan sesuatu objek yang setinggi seperti pelana haiwan tunggangan di hadapannya (sebagai sutrah atau penghadang), maka solatlah dan jangan pedulikan siapa pun yang melintas di sebalik objek tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat, no. 241)

Tinggi pelana haiwan tunggangan dimaksudkan adalah sekira-kira 1 kaki lebih atau 40cm hingga 60cm.

Ini sebagaimana ditanya kepada ‘Atha’. Ibnu Juraij bertanya:

كم مؤخرة الرحل الذي سعل إنه يستر المصلي؟ قال: قدر ذراع

“Berapa tinggi pelana haiwan tunggangan yang dijadikan sutrah untuk solat?” ‘Atha’ jawab, “Sekira-kira satu hasta.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah, no. 807)

Hukum Meletakkan Sutrah Untuk Solat

Ulama berbeza pendapat tentang hukum mengenakan sutrah (penghadang) ketika solat Sama ada wajib atau pun sunnah. Di antara yang berpendapat wajib, dalil-dalil mereka banyak sekali, tampak lebih kuat, dan jelas.

Di antara para ulama yang menegaskan kewajibannya adalah seperti Imam Ahmad dalam salah satu pendapat beliau, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hazm, Ibnu Hajar al-Haitami, asy-Syaukani, al-Albani, dan selainnya.

Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) berkata, “Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لا تصلوا إلا إلى سترة وقد زجر صلى الله عليه وسلم أن يصلي المصلي إلا إلى سترة فكيف يفعل ما يزجر عنه صلى الله عليه وسلم

“Janganlah kamu solat melainkan dengan menghadap sutrah.”

Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang seseorang yang hendak melaksanakan solat melainkan dengan menghadap sutrah. Oleh itu, mana mungkin beliau melakukan sesuatu yang beliau sendiri larang?” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/27 -Al-Maktab al-Islami)

Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah (Wafat: 974H) berkata:

السترة واجبة عند جماعة من العلماء

“Sutrah adalah wajib di sisi sebahagian besar ulama.” (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/141 - Daar ul-Fikr)

Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata:

قوله فليُصلِ إلى سترة فيه أن اتخاذ السترة واجب

“Perkataan beliau (Rasulullah), “Maka solatlah menghadap sutrah” padanya terdapat petunjuk bahawa mengenakan sutrah (ketika solat) adalah wajib.” (Nail ul-Authar, 3/2 - Daar ul-Hadits)

Syaikh Muqbil B. Hadi al-Wadi’i rahimahullah berkata:

أما اتخاذ السترة فالصحيح الوجوب لقوله صلى الله عليه وسلم إذا صلى أحدكم فليصل إلى سترة وليدنُ منها

“Adapun persoalan meletakkan sutrah (ketika solat), maka hukumnya yang tepat adalah wajib berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Apabila salah seorang di antara kamu solat, maka solatlah menghadap sutrah dan mendekatlah kepadanya.” (Dalam muhadharah beliau, As-ilah al-Ikhwati min Amrika)

Syaikh al-Albani berpendapat di dalam Kitabnya:

والسترة لا بد منها للإمام والمنفرد؛ ولو في المسجد الكبير. قال ابن هانئ في مسائله عن الإمام أحمد: رآني أبو عبد الله (يعني: الإمام أحمد) يوماً وأنا أصلي، وليس بين يدي سترة - وكنت معه في المسجد الجامع - ؛ فقال لي: استتر بشيء. فاستترت برجل

ففيه إشارة من الإمام إلى أنه لا فرق في اتخاذ السترة بين المسجد الصغير والكبير، وهو الحق. وهذا مما أخل به جماهير المصلين من أئمة المساجد وغيرهم في كل البلاد التي طفتها؛ ومنها السعودية التي أتيحت لي فرصة التطواف فيها لأول مرة في رجب هذه السنة 1410 هـ

فعلى العلماء أن ينبهوا الناس إليها، ويحثُّوهم عليها، ويبيِّنوا لهم أحكامها، وأنها تشمل الحرمين الشريفين أيضاً

(Aku katakan), “Sutrah dalam solat menjadi kewajiban bagi imam dan orang-orang yang solat sendirian, sekalipun di dalam masjid besar. Demikianlah pendapat Ibnu Hani’ dalam Kitab Masa’il dari imam Ahmad. Kata Ibnu Hani’, “Pada suatu hari aku solat tanpa sutrah di hadapanku yang mana ketika itu aku melaksanakan solat di dalam masjid Jami’. Imam Ahmad melihat hal tersebut, lalu beliau pun berkata kepadaku, “Pasanglah (letaklah) sesuatu sebagai sutrahmu!” Aku pun menjadikan seseorang sebagai sutrah solatku.”

Peristiwa ini adalah isyarat dari imam Ahmad bahawa orang yang solat di masjid besar atau masjid kecil tetap berkewajiban mengenakan sutrah di hadapannya. Pendapat inilah yang benar, tetapi kebanyakan orang-orang yang solat telah mengabaikan sunnah ini termasuk para imam-imam masjid dan selainnya di setiap tempat yang aku kunjungi termasuk ‘Arab Saudi ketika mana aku diberi kesempatan thawaf buat pertama kalinya pada bulan Rejab tahun 1410.

Sepatutnya para ulama mengingatkan masyarakat tentang perkara ini, menganjurkan supaya mengamalkannya, dan menjelaskan hukum berkaitan dengannya. Kewajiban sutrah ini juga turut berlaku di dua tanah Haram (Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi).” (Ashlu Shifati Sholatin Nabi, 1/116-117 – al-Maktabah al-Ma’arif)

Manakala sebahagian ulama yang lain menyatakan bahawa hukum meletakkan sutrah adalah sunnah, bukan wajib. Di antara yang berpegang dengan pendapat ini adalah Imam Abu Hanifah, asy-Syafi’i, Ahmad, Ibnu Qudamah, an-Nawawi, dan beberapa yang lainnya. Manakala dari kalangan ulama kontemporari seperti Syaikh ‘Abdul ‘Aziz B. Baz dan Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahumallah.

Kata Imam Abu Hanifah rahimahullah (Wafat: 150H):

ولا بأس أن يترك السترة إذا أمن المرور ولم يواجه الطريق

“Tidak mengapa jika tidak meletakkan sutrah (ketika solat) apabila bebas dari orang yang lalu-lalang di hadapan dan jika tidak menghadap ke arah tempat yang menjadi laluan orang.” (Al-Fatawa al-Hindiyyah, 3/344 – Daar ul-Fikr)

Ibnu Rusyd rahimahullah (Wafat: 595H) mengatakan:

واتفق العلماء بأجمعهم على استحباب السترة بين المصلي والقبلة إذا صلى، مفرداً كان أو إماماً

“Para ulama telah berittifaq (sepakat) dengan ijma’ bahawa meletakkan sutrah di antara orang yang bersolat dengan kiblat adalah suatu yang disukai (mustahab) sama ada ketika solat sendirian atau sebagai imam.” (Ibn Rusyd, Bidayat ul-Mujtahid, 1/113)

Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

يُستحبُ للمُصلي أن يكون بين يديه سترة من جداراً أو سارية أو غيرها ويدنو منها بحيث لا يزيدُ بينهما على ثلاثة أذرع

“Disunnahkan bagi orang yang solat supaya meletakkan sutrah di hadapannya, sama ada daripada tembok, tiang, atau yang selainnya dan mendekat kepadanya dengan jarak (antara dirinya dengan sutrah tersebut) tidak lebih dari tiga hasta.” (Raudhat uth-Thalibin, 1/294 - al-Maktabah al-Islami, Cet. 3)

Juga sebagaimana kata Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah:

السترة في الصلاة سنة مؤكدة إلا للمأموم فإن المأموم لا يُسن له اتخاذ سترة اكتفاءً بسترة الإمام

“Sutrah ketika solat adalah sunnah muakkadah, melainkan bagi makmum. Kerana makmum tidak disunnahkan meletakkan sutrah, di mana para makmun cukup bagi mereka dengan sutrah yang dipakai oleh imam.” (Fatawa Arkan il-Islam, m/s. 343, no. 267)

Di antara dalil yang mereka pegang adalah:

كَثِيرُ بْنُ كَثِيرِ بْنِ الْمُطَّلِبِ بْنِ أَبِي وِدَاعَةَ عَنْ بَعْضِ أَهْلِهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِمَّا يَلِي بَابَ بَنِي سَهْمٍ وَالنَّاسُ يَمُرُّونَ بَيْنَ يَدَيْهِ وَلَيْسَ بَيْنَهُمَا سُتْرَةٌ

Katsir B. Katsir B. al-Muthallib B. Abi Wida’ah daripada sebahagian keluarganya, daripada datuknya - Bahawasannya beliau pernah melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat di tempat setelah pintu Bani Sahm. Orang ramai lalu-lalang di hadapan beliau sedangkan tidak ada sutrah antara keduanya (Nabi dan Ka’bah). (Hadis Riwayat Ahmad, 6/399. Abu Daud, no. 2016. Tetapi hadis ini dha’if, dinilai dha’if oleh al-Albani, Syu’aib al-Arnauth, dan Syaikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbad kerana ketidak pastian perawi antara Katsir dengan datuknya)

al-Fadhl B. ‘Abbas berkata:

أتانا رسول الله صلى الله عليه وسلم ونحن في بادية لنا ومعه عباس فصلى في صحراء ليس بين يديه سترة

“Kami datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan kami berada di gurun. Bersama-sama dengan beliau adalah ‘Abbas, maka beliau solat di gurun sahara tanpa sutrah di hadapan beliau.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 718. Hadis ini juga dha’if. Dinilai dha’if oleh al-Albani, Syu’aib al-Arnauth, dan Syaikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbad)

‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

أقبلت راكبا على حمار أتان، وأنا يؤمئذ قد ناهزت الاحتلام، ورسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي بمنى إلى غير جدار، فمررت بين يدي بعض الصف، وأرسلت الأتان ترتع، فدخلت في الصف، فلم ينكر ذلك علي

“Aku datang dengan menunggang keldai betina, yang pada ketika itu aku hampir baligh, dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang solat di Mina tanpa menghadap dinding. Maka aku melintas di hadapan sebahagian saf kemudian aku melepaskan keldai betina tersebut supaya bebas mencari makan. Aku pun masuk ke tengah-tengah saf dan tidak ada orang yang menyalahkan aku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 76, 493, 861, 1857, dan 4412)

Sebahagian ulama mengatakan tentang maksud “tanpa menghadap dinding” dalam hadis tersebut adalah tanpa menghadap sutrah. Ini antaranya dikemukakan oleh al-hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) dalam Fathul Bari, 1/171.

Tetapi ini dapat dijawab bahawa sutrah tidak semestinya dinding. Oleh itu apabila dikatakan tidak menghadap dinding, tidak semestinya membawa maksud tidak menghadap sutrah! Boleh jadi yang dijadikan sebagai sutrah adalah objek yang selain dinding.

Ini sebagaimana dalam hadis yang lain di mana ‘Abdullah B. ‘Abbas mengatakan:

رُكِزَتِ الْعَنَزَةُ بَيْنَ يَدَيِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، بِعَرَفَاتٍ، فَصَلَّى إِلَيْهَا وَالْحِمَارُ يَمُرُّ مِنْ وَرَاءِ الْعَنَزَةِ

“Tombak (atau lembing) ditancapkan di depan Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam di ‘Arafah. Beliau solat dengan menghadap ke arahnya manakala keldai lalu-lalang di belakang tombak tersebut.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 2175)

Kesempurnaan Solat Terjejas Tanpa Sutrah

Musa B. Thalhah daripada bapanya, beliau berkata:

كُنَّا نُصَلِّي وَالدَّوَابُّ تَمُرُّ بَيْنَ أَيْدِينَا فَذَكَرْنَا ذَلِكَ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مِثْلُ مُؤْخِرَةِ الرَّحْلِ تَكُونُ بَيْنَ يَدَيْ أَحَدِكُمْ، ثُمَّ لاَ يَضُرُّهُ مَا مَرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ

“Kami pernah solat sedangkan haiwan tunggangan lalu-lalang di hadapan kami, lalu kami menceritakan situasi tersebut kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka beliau bersabda, “Sekiranya telah ada objek seperti pelana haiwan tunggangan dan diletakkan di hadapan salah seorang dari kamu (sebagai sutrah), maka sesuatu yang melintas di hadapan mereka (di balik sutrah) tidak akan mengancam (menjejaskan) solatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 499)

Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّي، فَإِنَّهُ يَسْتُرُهُ إِذَا كَانَ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلُ آخِرَةِ الرَّحْلِ، فَإِذَا لَمْ يَكُنْ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلُ آخِرَةِ الرَّحْلِ، فَإِنَّهُ يَقْطَعُ صَلَاتَهُ الْحِمَارُ، وَالْمَرْأَةُ، وَالْكَلْبُ الْأَسْوَدُ قُلْتُ: يَا أَبَا ذَرٍّ، مَا بَالُ الْكَلْبِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْكَلْبِ الْأَحْمَرِ مِنَ الْكَلْبِ الْأَصْفَرِ؟ قَالَ: يَا ابْنَ أَخِي، سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا سَأَلْتَنِي فَقَالَ: الْكَلْبُ الْأَسْوَدُ شَيْطَانٌ

“Apabila salah seorang di antara kamu melaksanakan solat, sesungguhnya dia telah memiliki sutrah bila di hadapannya terdapat suatu penghadang seperti pelana haiwan tunggangan. Jika di hadapannya tidak terdapat sesuatu seperti itu, solatnya akan terputus jika dilintasi oleh keldai, wanita, dan anjing hitam.”

Aku (‘Abdullah B. ash-Shamit) bertanya, “Wahai Abu Dzar, apa perbezaan antara anjing hitam dengan anjing merah atau kuning?”

Abu Dzar menjawab, “Wahai anak saudaraku, apa yang engkau tanyakan ini juga pernah aku tanyakan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau menjawab, “Anjing hitam itu adalah syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat, no. 510)

Hadis ini menjelaskan kriteria sutrah dan kesan solat tanpa sutrah yang mana solat boleh terjejas kesempurnaannya akibat tidak ada sutrah di hadapannya. Apatah lagi apabila ada sesuatu yang melintas berupa keldai, wanita, atau anjing hitam yang melintas, maka solat boleh terputus (terbatal) berdasarkan zahir hadis.

Kata Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah:

“... melintasnya anjing, wanita, atau keldai membatalkan solat, bukan anjing yang sedang diam itu membatalkan solat, bukan keldai yang menderum, dan bukan juga wanita yang sedang baring di hadapan yang membatalkan solat. Sebagaimana hadis yang menjelaskan bahawa ‘Aisyah baring di hadapan Nabi Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam yang sedang solat selagi mana bukan melintas di hadapannya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/21)

Kata beliau lagi, “Anjing yang membatalkan solat (apabila ia melintas) adalah anjing hitam, bukan yang selainnya. Demikian juga dengan hadis Ibnu ‘Abbas yang menjelaskan bahawa wanita yang membatalkan solat adalah wanita yang telah datang haid (baligh), bukan yang selainnya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/22)

Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

يقطع الصلاة الكلب والمرأة الحائض

“Anjing dan wanita yang telah berhaid membatalkan solat.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah, no. 832. Dinilai sahih oleh al-A’zhami)

Jadi, hadis-hadis yang ada ini saling menjelas dan mengkhususkan antara satu sama lain.

Berdasarkan penjelasan hadis-hadis ini, bagi yang sengaja melaksanakan solat tanpa sutrah dan tanpa ada uzur syar’i maka solatnya tetap sah, cuma dibimbangi kesempurnaannya terjejas. Lebih-lebih lagi jika seorang wanita berhaid (yang telah baligh), atau keldai, atau anjing hitam melintas di hadapannya sebagaimana yang disebutkan oleh hadis tersebut, maka solatnya terbatal. Jika yang selain 3 ini, maka solatnya tidak terbatal tetapi kesempurnaan solat akan terjejas.

Perintah Menghalang Orang Melintas

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّي فَلَا يَدَعْ أَحَدًا يَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّ مَعَهُ الْقَرِينَ

“Janganlah kamu solat melainkan dengan menghadap sutrah dan jangan biarkan seorangpun melintas di hadapanmu (di antara dirinya dengan sutrah). Apabila orang tersebut tetap berkeras untuk melintas, maka halanglah dia kerana dia ditemani syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 506. Ibnu Khuzaimah, no. 800)

Ibnu Khuzaimah meletakkan hadis ini dalam bab: “Larangan Solat Tanpa Menghadap Sutrah.”

Hadis ini selain menjelaskan larangan solat tanpa sutrah, ia turut menjelaskan boleh dan perlunya menghalang orang yang cuba melintasi hadapan kita ketika sedang solat.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إذا مر بين يدي أحدكم شيء وهو يصلي فليمنعه مرتين فإن أبى فليقاتله فإنما هو شيطان

“Apabila ada sesuatu melintas di hadapan salah seorang di antara kamu yang sedang solat, maka hendaklah ia menghalangnya dari melintas sebanyak dua kali. Apabila ia tetap juga mahu melintas, maka lawanlah ia kerana ia adalah syaitan.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah, no. 818. Dinilai sahih oleh al-A’dzami)

Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنْ النَّاسِ فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

“Jika salah seorang dari kamu solat menghadap sesuatu sebagai sutrah yang membatasi dari orang ramai, kemudian ada seseorang yang hendak melintas di hadapannya, maka halanglah ia. Jika ia enggan maka lawanlah ia, kerana ia adalah syaitan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 509)

Kata Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H):

فإنما هو شيطان أي فإنما هو شيطان مع الذي يريد المرور بين يديه لا أن المار من بني آدم شيطان وإن كان اسم الشيطان قد يقع على عصاة بني آدم

“Sabda Nabi, “... kerana ia adalah syaitan”, maksudnya adalah syaitan yang berada bersama-sama orang yang melintas di hadapannya tersebut dan bukanlah bermakna orang itu sendiri yang dinamakan syaitan dan penamaan syaitan memang biasa turut ditujukan kepada orang-orang yang menentang dari kalangan bani Adam. (Sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah al-An’am, 6: 112).” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/17)

Dalam Sunan Abu Daud, hadis daripada Hisyam B. al-Ghaz daripada ‘Amru B. Syu’aib daripada ayahnya daripada datuknya beliau berkata:

هَبَطْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ ثَنِيَّةِ أَذَاخِرَ فَحَضَرَتِ الصَّلَاةُ - يَعْنِي فَصَلَّى إِلَى جِدَارٍ - فَاتَّخَذَهُ قِبْلَةً وَنَحْنُ خَلْفَهُ، فَجَاءَتْ بَهْمَةٌ تَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ فَمَا زَالَ يُدَارِئُهَا حَتَّى لَصَقَ بَطْنَهُ بِالْجِدَارِ، وَمَرَّتْ مِنْ وَرَائِهِ

“Kami bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menuruni bukit Adzakhir, lalu tibalah waktu solat. Beliaupun melaksanakan solat dengan menjadikan dinding sebagai arah kiblat, manakala kami berada di belakang beliau (sebagai makmum).

Tiba-tiba ada seekor anak kambing hendak melintas di hadapan beliau, maka beliau pun segera menghalangnya sehingga perut beliau hampir merapat (menyentuh) dinding. Akhirnya anak kambing tersebut melintas melalui belakang beliau.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 708. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Hadis ini menunjukkan bolehnya bergerak dengan gerakkan yang banyak semata-mata untuk menghalang sesuatu yang melintas di hadapan kita ketika sedang solat walaupun dengan berjalan untuk merapatkan diri dengan sutrah.

Larangan Melintas Di Hadapan Orang Solat

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ المَارُّ بَيْنَ يَدَيِ المُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ، لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ» قَالَ أَبُو النَّضْرِ: لاَ أَدْرِي، أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، أَوْ شَهْرًا، أَوْ سَنَةً

“Sekiranya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat mengetahui apa akibat yang akan ia tanggung, nescaya ia berdiri selama empat puluh lebih baik baginya daripada dia melintas di hadapan orang yang sedang solat.”

Abu an-Nadhr (salah seorang perawi hadis ini) berkata, “Aku tidak tahu yang dimaksudkan dengan jumlah “empat puluh” tersebut, adakah empat puluh hari, atau bulan, atau tahun.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 510. Muslim, no. 507)

Ibnu Khuzaimah turut meriwayatkan hadis ini dan meletakkannya dalam bab:

التغليظ في المرور بين المصلي والدليل على أن الوقوف مدة طويلة انتظار سلام المصلي خير من المرور بين يدي المصلي

“Ancaman keras melintas di hadapan orang yang sedang solat, dan merupakan dalil berdiri lama menunggu ucapan salam seseorang yang sedang solat itu lebih baik daripada melintas di hadapannya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/14)

Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

معناه لو يعلم ما عليه من الإثم لاختار الوقوف أربعين على ارتكاب ذلك الإثم ومعنى الحديث النهي الأكيد والوعيد الشديد في ذلك

“Makna hadis ini, sekiranya ia mengetahui betapa besarnya dosa dari perbuatan tersebut, pasti dia akan memilih untuk berhenti selama empat puluh dari perlu menanggung dosa akibat perbuatan tersebut. Jadi, hadis ini adalah larangan yang cukup keras dan ancaman yang berat sebagai akibat perbuatan melintas di hadapan orang solat.” (Syarah Shahih Muslim, 4/225)

Larangan ini merujuk kepada perbuatan melintasi kawasan depan orang yang sedang solat. Sekiranya dia mengenakan sutrah, maka dibolehkan melintas di sebalik sutrah yang dikenakan. Dan tidak boleh melintas di dalam lingkungan kawasan antara sutrah dengan orang solat yang mengenakannya.

Sutrah Makmum Cukup Dengan Mengikuti Imam

Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ العِيدِ أَمَرَ بِالحَرْبَةِ، فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّي إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي السَّفَرِ

“Dahulu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar pada hari raya, beliau memerintahkan (pembantunya) membawa tombak. Ia untuk diletakkan di hadapan beliau lalu beliau solat menghadap ke arahnya, manakala orang-orang solat (sebagai makmum) di belakangnya. Beliau melakukan perkara tersebut dalam perjalanan (safar) beliau.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 494. Muslim, no. 501)

Dalil ini menunjukkan bahawa apabila imam telah mengenakan sutrah, maka ia telah mencukupi bagi para makmum lainnya.

Contoh Objek Sebagai Sutrah

Dalam hadis-hadis Nabi banyak disebutkan contoh-contoh objek yang sesuai dijadikan sebagai sutrah. Di antaranya adalah seperti:

1 – Manusia yang sedang duduk diam, berdiri, atau sedang berbaring. (Lihat hadis dalam Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 285 dan 286)

2 – Haiwan tunggangan seperti unta dan keldai yang berdiri atau duduk diam.

3 – Tombak yang ditancapkan.

4 – Pelana haiwan tunggangan.

5 – Dinding atau tiang.

6 – Pokok.

7 – Anak panah yang ditancapkan.

8 – Tongkat.

Wallahu a’lam.