Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Rabu, 29 Ogos 2007

019 - SAMBUTAN NISFU SYA’BAN BUKAN DARI SUNNAH?

SAMBUTAN NISFU SYA’BAN BUKAN DARI SUNNAH?

Proper View:

Apabila memperkatakan tentang bulan Sya’ban, maka tentu sekali tarikh 15 Sya’ban atau juga lebih di kenali sebagai Nisfu Sya’ban akan bermain-main di fikiran masing-masing. Pada tarikh ini atau lebih spesifik pada waktu malamnya dianggap sebagai satu malam yang memiliki kemuliaan khusus sehinggakan rata-rata umat Islam di Malaysia mengadakan amalan-amalan tertentu seperti melakukan solat malam yang khusus, berpuasa pada siang hari, membaca surah Yassin sebanyak 3 kali dan diselang-selikan dengan doa-doa tertentu.

Ada juga yang beranggapan pada malam inilah diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara berhubung dengan kehidupan makhluk seperti hidup, mati, rezeki, untung rugi dan lain-lain atau dikenali sebagai al-Qadr. Melalui buku ini, penulis akan cuba mengutarakan beberapa perkara yang sering diperdebatkan tentang Nishfu Sya’ban seperti:

1. Status Hadis Tentang Nisfu Sya’ban

2. Amalan-amalan Khusus Sempena Nisfu Sya’ban

3. Benarkah al-Qadr Itu Jatuh Pada Malam Nisfu Sya’ban?

STATUS HADIS TENTANG NISFU SYA’BAN

Hadis-hadis yang membicarakan tentang Nishfu Sya’ban kesemuanya berstatus daif (lemah) dan maudu’ (palsu) kecuali terdapat sebuah hadis menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h adalah sahih daripada Nabi s.a.w, iaitu riwayat yang diterima daripada Mu’az bin Jabal r.a yang berbunyi:

"ALLAH memerhatikan kepada makhluk-NYA pada malam Nisfu Sya’ban lalu DIA memberi keampunan kepada semua makhluk-NYA kecuali orang musyrik dan orang yang suka bergaduh." – Hadis riwayat Ibn Abu ‘Ashim di dalam Kitab al-Sunnah, Ibn Hibban di dalam Sahihnya dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid.

Oleh itu, sekiranya kita ingin termasuk di kalangan orang diberi keampunan oleh ALLAH pada malam Nisfu Sya’ban, kita hendaklah termasuk di kalangan orang yang tidak melakukan perbuatan syirik serta menghindari sifat suka bergaduh.

Namun, seharusnya kita sedari bahawa ALLAH juga turun ke langit dunia setiap hari pada sepertiga akhir malam.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"TUHAN kita Tabaraka wa Taala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih tinggal sepertiga malam yang akhir. ALLAH berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-KU, pasti AKU akan memakbulkannya; sesiapa yang meminta kepada-KU, pasti AKU akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-KU, pasti AKU akan mengampunnya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1145.

Oleh itu, sewajarnya kita mempertingkatkan amal ibadah yang benar-benar sahih daripada Nabi s.a.w sepanjang masa. Sewajarnya kita tidak hanya menunggu hari-hari tertentu atau malam-malam tertentu seperti malam Israk dan Mikraj atau Nisfu Sya’ban melainkan terdapat dalil yang sahih menunjukkan pada malam tersebut sememangnya memiliki fadilat-fadilat tertentu seperti bulan Ramadan dan malam lailatulqadar.

Amalan-amalan Khusus Sempena Nisfu Sya’ban

Sekiranya kita perhatikan hadis sahih tentang Nisfu Sya’ban yang telah penulis ketengahkan di atas, kita dapati ia tidak menganjurkan upacara-upacara tertentu mahupun ibadah-ibadah khusus sempena Nisfu Sya’ban.

Oleh itu, amalan-amalan khusus pada hari Nisfu Sya’ban seperti berpuasa, solat pada malamnya, membaca surah yasin sebanyak 3 kali, doa-doa tertentu dan lain-lain bukanlah amalan yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w mahupun para sahabat.

Sekiranya amalan-amalan khusus pada malam tersebut memiliki keutamaan yang tinggi serta memberi manfaat yang besar kepada umat Islam pasti baginda serta para sahabat akan mendahului kita dalam mengamalnya.

Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:

"Solat enam rakaat pada malam Nisfu Sya’ban dengan niat menolak bala, panjang umur, untuk kekayaan dan juga membaca surah Yasin serta doanya merupakan hal yang baru dalam agama (bid'ah) dan bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w." – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, edisi terjemahan bertajuk Bid'ah -Bid'ah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta (2004), ms. 155.

Imam al-Nawawi r.h menyatakan di dalam Kitab Majmu’ Syarh Muhazzab:

"Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib, iaitu 12 rakaat yang dilakukan antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama dari bulan Rejab dan solat Nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat, kedua-dua solat tersebut adalah bid'ah yang mungkar. Oleh itu, janganlah terpedaya kerana kedua-duanya disebut di dalam Kitab
Qutub al-Qulub dan Ihya’ Ulum al-Din dan jangan terperdaya dengan hadis yang disebut di dalam kedua-dua kitab itu kerana semuanya adalah batil belaka." – Rujuk Amalan Bid'ah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya’ban & Ramadhan karya Dr. Abdul Ghani Azmi bin Hj. Idris, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur (1995), ms. 106.

Setelah menyebut sejumlah ayat dan hadis serta pendapat para ulama tentang malam Nishfu Sya’ban, Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz r.h berkata:

"Berdasarkan ayat-ayat, hadis-hadis dan pendapat para ahli ilmu di atas jelaslah bagi orang yang mencari kebenaran bahawa memperingati malam Nishfu Sya’ban dengan solat dan sebagainya serta mengkhususukan siangnya untuk berpuasa adalah bid'ah mungkar menurut kebanyakkan ahli ilmu dan tidak ada dasarnya dalam syari’at yang murni, tetapi peringatan malam Nishfu Sya’ban ini terjadi dalam Islam setelah masa sahabat. Cukuplah bagi para pencari kebenaran mengenai masalah ini dan masalah lain melihat firman ALLAH:

"Pada hari ini, AKU telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, AKU telah cukupkan nikmat-KU kepada kamu semua dan AKU telah redha Islam itu menjadi agama kamu semua." – Surah al-Maaidah: 3.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang melakukan satu amal (berkaitan agama) yang bukan dari suruhan kami, ia tertolak." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1718.

Dalam riwayat lain:

"Jangan kamu semua mengkhususkan malam Jumaat untuk solat malam (qiamullail) antara malam lain dan jangan mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa antara hari lain kecuali puasa wajib." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1144.

Seandainya mengkhususkan malam-malam tertentu dengan ibadah itu dibolehkan, tentu malam Jumaat lebih utama untuk dikhususkan berbanding malam-malam lain. Ini kerana, malam Jumaat adalah hari terbaik sebagaimana terdapat di dalam hadis sahih.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sebaik-baik hari yang mana matahari terbit pada hari itu ialah hari Jumaat." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al-Jama’ah, hadis no: 854.

Ketika Nabi s.a.w melarang untuk mengkhususkannya antara malam-malam lain, hal ini menunjukkan bahawa malam-malam lain walaupun dianggap mulia, juga tidak boleh dikhususkan untuk beribadah kecuali ada dalil sahih yang menunjukkan pengkhususannya. " – Rujuk Kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Syeikh Abdullah bin Abdul Azizi al-Tuwaijiry, edisi terjemahan bertajuk: Ritual Bid'ah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003) ms. 319-320.

Oleh itu, tidak ada amal ibadah yang perlu dikhususkan sempena Nisfu Sya’ban kerana tidak ada hadis sahih yang tsabit daripada Nabi s.a.w menganjurkannya. Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh golongan sebagai hujah terdapat amalan-amalan tertentu berkaitan Nisfu Sya’ban kesemuanya daif (lemah) dan maudu' (palsu) sehingga tidak boleh dijadikan hujah.

Tentang penggunaan hadis-hadis yang tidak tsabit daripada Rasulullah s.a.w, Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat telah menyatakan pendapat Imam Tohawi r.h di dalam kitabnya al-Masaa-il, jilid 1, muka surat 41:

"Sesiapa yang menceritakan (hadis) daripada Rasulullah s.a.w atas dasar zon (sangkaan) bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w tanpa kebenaran. Justeru, orang yang menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w tanpa kebenaran, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w secara batil. Manakala orang yang telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w secara batil, pasti dia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi s.a.w sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 107:

"Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku, dia hendaklah mengambil tempat tinggalnya di neraka."

Dakwaan Ibn Rajab Menyokong Amalan Nisfu Sya’ban

Terdapat sesetengah pihak yang mempergunakan nama al-Hafiz Ibn Rajab r.h untuk menyokong dakwaan bahawa harus menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan amalan ibadah di masjid-masjid. Mari kita lihat apa sebenarnya yang diperkatakan oleh al-Hafiz Ibn Rajab r.h di dalam al-Latoif al-Ma’aarif, cetakan Darul Ihya al-Kutub Arabiyah, Kaherah, 1342 H, muka surat 144:

Para tabi’in yangmenetap di Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir dan lain-lain lagi mengagungkan malam Nisfu Sya’ban dan mereka bersungguh-sungguh beribadah di dalamnya. Hasil usaha merekalah akhirnya orang ramai mengambil kemuliaan pengangungan malam Nisfu Sya'ban.

Ada yang mengatakan bahawa masalah ini telah sampai kepada mereka (iaitu pengagungan malam Nisfu Sya’ban) beberapa hadis-hadis israiliyat. Ketika hal ini terbongkar di negeri itu, orang ramai berselisih pendapat dalam hal ini. Antara mereka ada yang menerimanya dan sepakat untuk mengagungkannya. Mereka ini adalah beberapa orang dari negeri Basrah dan selainnya. Sedangkan, kebanyakan ulama Hijaz seperti Atha’ dan Ibn Abi Malikah menolak pengagungannya.

Dinukil daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam daripada ulama fikah penduduk Madinah, iaitu pendapat sahabat Imam Malik dan lain-lain bahawa semua itu adalah bid'ah.

Para ulama Syam berselisih pendapat tentang cara meramaikannya. Paling tidak ia terbahagi kepada dua pendapat, iaitu:

1. Disunnahkan meramaikannya dengan cara berjemaah di masjid. Khalid bin Ma’dan dan Luqman bin Amir dan selainnya memakai pakaian terbaik, berbangga dan bermegah-megah untuk tinggal di masjid pada malam itu. Cara semacam ini disepakati oleh Ishak bin Rahawaih dan dia memberi komentar mengenai perayaan itu di dalam masjid, ia bukan termasuk bid'ah sebagaimana dinukilkan oleh Harb al-Kirmani daripadanya di dalam Kitab Masail.

2. Berkumpul pada malam itu di dalam masjid untuk solat, membaca cerita dan doa hukumnya makruh. Tetapi, tidak makruh apabila seseorang mengerjakannya secara bersendirian. Inilah pendapat yang dipegang oleh al-Auza’i, imam penduduk Syam, orang yang fakih dan alim antara mereka. Malah, pendapat ini lebih menghampiri kebenaran. – Rujuk Kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, edisi terjemahan bertajuk: Ritual Bid'ah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003), ms. 314-315.

Inilah antara kata-kata yang telah dilontarkan oleh Ibn Rajab r.h. Beliau hanya menukilkan beberapa pendapat ulama dan mentarjihkannya. Apa yang dapat kita fahami daripada kata-katanya ialah:

1. Amalan pengangungan Nisfu Sya’ban ini hanyalah amalan para tabi’in di Syam. Ia bukan berasal daripada Rasulullah s.a.w mahupun para sahabat.

2. Menurut Ibn Rajab, ada yang berpendapat mereka berdalilkan hadis-hadis israiliyat. Bolehkan hadis israiliyat di jadikan hujah untuk mensunatkan sesuatu amalan? Itu pokok persoalannya.

Tambahan pula ulama-ulama hadis telah mengumpulkan hadis-hadis yang membicarakan tentang keutamaan malam Nisfu Sya’ban yang kemudiannya setelah ditahqiq atau dilakukan penilaian mengenai darjat hadis tersebut, mereka merumuskan bahawa tidak ada satupun riwayat sahih kecuali sebuah riwayat daripada daripada Mu’az bin Jabal r.a sebelum ini.

Hadis tersebut tidak menunjukkan amalan tertentu sempena Nisfu Sya’ban. Sekiranya ingin diampunkan oleh ALLAH pada malam tersebut, kita hendaklah menjauhi perbuatan syirik dan jangan suka berbalah.

3. Amalan tersebut tersebut ditolak oleh jumhur ulama hijaz seperti di Madinah. Sebagaimana yang telah kita sedia maklum, majoriti para sahabat r.a menetap di Hijaz. Namun, tidak terdapat satu riwayatpun yang menunjukkan para sahabat dan tabi’in di Hijaz mengamalkan amalan seperti penduduk di Syam.

4. Tidak ada di dalam kaedah mana-mana mazhab bahawa amalan penduduk Syam boleh dijadikan hujah. Apatah lagi amalan tersebut maqthu’ (terhenti) kepada segelintir kecil tabi’in di Syam. Tambahan pula menurut kaedah Mazhab Syafie, amalan yang mauquf kepada sahabat tidak boleh dijadikan hujah. Inikan pula amalan yang hanya maqthu’ pada tabi’in. Oleh itu, kaedah dari mazhab mana yang dipakai untuk mensunatkan amalan tertentu pada malam Nisfu Sy’aban?

5. Ibn Rajab sendiri telah menguatkan pendapat bahawa meramaikan masjid dengan upacara-upacara ibadah sempena malam Nisfu Sya’ban hukumnya makruh. Pendapat ini juga dipersetujui oleh imam paling masyhur di kalangan penduduk Syam, iaitu Imam al-Auza’i r.h.

6. Keharusan yang diberikan oleh Ibn Rajab dan al-Au’za’i untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan ibadah secara sendirian juga tidak boleh dijadikan hujah kecuali didatangkan dalil tentang keharusannya. Tetapi, sememangnya hadis yang mampu dijadikan dalil tidak wujud. Walau bagaimanapun, harus meneruskan amalan-amalan sunnah yang sememangnya biasa dilakukan pada malam-malam lain seperti tahajjud, baca al-Quran, berdoa dan berzikir sama ada pada bulan Sya'ban atau bulan-bulan lain.

7. Ibn Rajab tidak menceritakan tentang amalan mengkhususkan bacaan Yassin yang diselang-selikan dengan doa-doa khusus sebagaimana yang biasa diamalkan oleh umat Islam di Malaysia.

8. Ibn Rajab juga tidak menceritakan tentang puasa Nisfu Sya’ban sebagaimana yang biasa diamalkan di negara kita.

9. Di dalam kitab yang sama, Ibn Rajab juga menyatakan bahawa solat malam Nisfu Sya’ban tidak ada dalilnya baik daripada Nabi s.a.w mahupun para sahabat. Tetapi, ia hanya tradisi peninggalan sebahagian tabi’in dari ulama fikah yang menetap di Syam.

Benarkah al-Qadr Berlaku Pada Malam Nisfu Sya’ban?

Al-Qadr bermaksud penetapan. Oleh itu, mereka yang beranggapan al-Qadr itu berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sebenarnya mereka mengandaikan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya akan ditentukan pada malam tersebut. Mereka menduga pada malam inilah diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara berhubung dengan kehidupan makhluk. Mereka berhujah dengan Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba KAMI tidak ditimpa azab). (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan yang bakal berlaku." – Surah al-Dukhan: 3-4.

Menurut tafsiran 'Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Sya’ban. Namun, pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih telah menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan malam yang diberkati itu adalah malam lailatulqadar.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr. Dan melalui cara apa engkau mampu mengetahui kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr lebih baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya sambil berkata:) Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." – Surah al-Qadr: 1-5.

Al-Hafiz Ibn Kathir r.h ketika mentafsirkan surah al-Dukhan, ayat 3-4, katanya:

"ALLAH berfirman menjelaskan tentang al-Quran al-Adzim bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam al-Qadr sebagaimana firman ALLAH di dalam surah al-Qadr:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr." – Surah al-Qadr: 1.

Hal itu terjadi pada bulan Ramadan sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, menjadi keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah.

Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) , dia hendaklah berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, (dia bolehlah berbuka kemudian dia wajib berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.

(Dengan ketetapan itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan dan DIA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Malah supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-NYA dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah: 185.

Apa yang dapat diambil pengajaran di sini ialah sesiapa yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan (dalam surah al-Dukhaan itu) adalah malam Nisfu Sya’ban seperti yang diriwayatkan daripada 'Ikrimah, bererti dia telah menjauhkan diri dari pengertian asalnya. Ini kerana, nas al-Quran menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang penuh berkat itu (lailatulqadar) adalah pada bulan Ramadan." – Rujuk Kitab Tafsir al-Quran al-‘Adzim karya al-Hafiz Ibn Kathir, jil. 4, ms. 137.

Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:

"Keyakinan bahawa malam Nisfu Sya’ban adalah malam al-Qadr adalah keyakinan yang salah. Demikian kesepakatan para ulama hadis sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Ketika menjelaskan Sunan al-Tirmizi, Ibn al-'Arabi mengatakan bahawa firman ALLAH di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran bermaksud diturunkan pada malam Nisfu Sya’ban adalah tidak benar kerana ALLAH tidak pernah menurunkan al-Quran pada bulan Sya’ban.

Tetapi, ayat itu harus difahami secara lengkapnya sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr di mana lailatulqadar itu hanya wujud pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan oleh ALLAH di dalam surah al-Baqarah, ayat 185: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya. Keyakinan al-Qadr berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sangat bertentangan dengan Kitabullah dan sangat jauh terpesong dari isi kadungannya.

Perlu kami ingatkan bahawa ALLAH sendiri telah menegaskan tentang malam itu di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan bermaksud pada malam al-Qadr dijelaskan segala hal kepada malaikat bukannya pada malam Nisfu Sya’ban." – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, ms. 156.

KESIMPULAN

Dari sini dapat kita simpulkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah menetap amalan-amalan tertentu khusus pada bulan Nisfu Sya’ban dan penetapan segala urusan manusia (al-Qadr) juga tidak berlaku pada malam Nishfu Sya’ban. Pada malam Nishfu Sy’aban, ALLAH hanya akan mengampun dosa-dosa mereka yang benar-benar mentauhidkan- NYA dan tidak memiliki sifat tercela seperti bergaduh dan sebagainya.

Oleh itu, kita hendaklah menanamkan kedua-dua sifat tersebut demi mendapatkan fadilat malam Nisfu Sya’ban, iaitu diampunkan dosa-dosanya oleh ALLAH. Program-program sempena Nisfu Sya’ban juga seharusnya menekankan isu-isu berkaitan perkara yang boleh mencemari tauhid. Sedangkan, hal ini semakin berleluasa dan menular bagaikan wabak dalam kehidupan umat Islam seperti mempercayai bomoh, memakai tangkal, berdoa di kubur seseorang yang dianggap keramat, menganggap tokoh-tokoh agama seakan-akan maksum sehingga pendapatnya wajib diikuti walaupun bercanggah dengan nas, mempercayai ahli nujum, menyakini ramalan horoscope, Feng Shui dan banyak lagi.

Kita hendaklah memperbanyakkan ceramah-ceramah agama yang dapat membersihkan jiwa dari sifat-sifat keji seperti bergaduh, dengki, iri hati, khianat, busuk hati, sombong dan lain-lain agar kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni. Walaupun saban tahun kita menyambut kedatangan Nisfu Sya’ban, namun pencemaran tauhid masih berleluasa di kalangan masyarakat kita dan perasaan saling dengki, fitnah memfitnah dan bertelingkah pendapat tetap menjadi sifat yang sinonim dengan bangsa Melayu.

Rabu, 22 Ogos 2007

018 - Fatwa Para ‘Ulama Berkenaan Merayakan Sambutan Nisfu Syaaban – SUATU TUNTUTAN ATAU KEPALSUAN?

Fatwa Para ‘Ulama Berkenaan Merayakan Sambutan Nisfu Syaaban – SUATU TUNTUTAN ATAU KEPALSUAN?

Bacaan yasin

Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu Syaaban (15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.

Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masakini tentang sahih batilnya amalan ini.

Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan . Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-sunnah. Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.

Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!

'Solat Sunat' Nisfu Syaaban

Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?" [al-Syur.a 42:21] Dalam kitab al-Sahihain (Bukhari & Muslim) diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: "barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.” Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: "Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa' Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya... Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid'ah dan setiap perkara bid'ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur'an dan hadis yang seumpamanya. Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik. Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.

Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.

Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai. Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.

Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." [al-Nisa’ 4:59]

“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]

Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.

Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…

Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”

Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).

Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar menjauhinya.

Imam Abu Bakr al-Tartushi (R.A) menyebut dalam kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”

Al-Shaukani (R.A) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua perawinya adalah are majhul (tidak diketahui asal-usulnya).

Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).

Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.

Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”

Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah s.a.w.”

Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan sembahyang sunat Malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”

Sheikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar. Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda yang mencari kebenaran.

Daripada ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat ulama yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman Sahabat (radhiallahu `anhum).

Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya): “Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah (R.A) berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan berterusan.’” Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.

Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah s.a.w memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam al-Sahihain, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala, Allah ampunkan kesemua dosanya yang telah lalu.”

Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat Baginda (R.A) pasti akan memperturunkan amalan amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah, radhiallahu `anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat Rasulullah s.a.w.

Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah s.a.w mahupun Para Sahabat (R.A) berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadat tertentu adalah bid’ah yang tercela.

Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah tarikh sebanar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang diada-adakan.”

Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.

[Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz, 2/882]
Jumaat: 10/10/2003

Daripada web utama Darulkausar

017 - PENILAIAN SEMULA AMALAN-AMALAN DI BULAN REJAB – SAHIHKAH IA?

PENILAIAN SEMULA AMALAN-AMALAN DI BULAN REJAB – SAHIHKAH IA?

Proper format/view:
http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Download artikel yang berkaitan:

- Bid’ah-Bid’ah Di Bulan Rejab
- Penilaian Semula Amalan-amalan Di Bulan Rejab

Allah swt telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitabnya serta menyediakan batas-batas arahan dan larangan atau boleh juga disebut sebagai syariat kepada manusia. Ini semua bertujuan tidak lain dan tidak bukan supaya manusia itu mengabdikan diri serta mentauhidkan Allah swt di dalam semua keadaan dan tingkah lakunya. Malah, inilah tujuan utama penciptaan makhluk seperti mana yang ditegaskan oleh Allah swt di dalam firmannya yang bermaksud:

"Dan tidak Aku ciptakan jin dam manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku". (Surah al-Zaariyat: ayat 56).

Suatu perkara yang penting dan perlu untuk diberikan perhatian bahawa segala bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah swt serta menepati dengan cara yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw. Maka sebarang bentuk ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, ianya tidak akan diterima oleh Allah swt apatah lagi untuk diberikan ganjaran. Allah swt berfirman yang bermaksud:

"Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun di dalam ibadah kepada Tuhannya". (Surah al-Kahfi: ayat 110).

Al-Imam Ibn Kathir (w 774 H) di dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ((Barangsiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah ia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada Allah dan menepati dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)). (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Dimashq: Maktabah Dar al-Fiha’, cetakan ke-2, 1998), jilid 3, m/s 147).

Hal ini dikuatkan lagi dengan pendapat para ulamak, antaranya al-Fudhail bin ‘Iyadh r.h dalam kata-katanya: Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan tetapi tidak betul maka ianya tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan betul tetapi tidak ikhlas, ianya juga tidak diterima, sehinggalah ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan betul. Dan ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla, dan betul itu pula ialah apabila dilakukan menepati sunnah Rasulullah saw. (Ibn Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyah, cetakan ke-3, 2000), m/s 15).

Bulan Rejab dan amalan yang dilakukan di dalamnya

Bulan Rejab adalah antara salah satu bulan yang termasuk di dalam bulan-bulan yang suci. Dinamakan dengan Rejab bersempena dengan penghormatan terhadapnya di zaman jahiliyyah dengan tidak melakukan sebarang peperangan di dalam bulan ini. (Al-Razi, Mukhtar al-Sihah (Bierut: Muassah al-Risalah, 2001), m/s 215)

Telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan ini dengan pelbagai amalan. Persoalannya, adakah amalan-amalan tersebut dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima? Menyentuh tentang persoalan ikhlas, kemungkinan semua orang memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah Rasulullah saw. Justeru, menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk menyemak dan memastikan segala amalan yang dilakukannya itu bertepatan dengan syariat dan sama dengan cara yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

Antara amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam dalam bulan Rejab ini yang tidak menepati sunnah Rasulullah saw ialah:

1 - Menghidupkan malam ke-27, dan dinamakan dengan malam al-Isra’ wa al-Mi’raj.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj merupakan salah satu daripada peristiwa besar dan penting di dalam sejarah Islam. Ianya bukti kepada kebesaran Allah swt dan kebenaran Nabi Muhamad saw serta risalah yang dibawa oleh Baginda. Tersebar luas di kalangan umat Islam bahawa peristiwa agung ini berlaku di malam dua puluh tujuh di bulan Rejab. Maka sebahagian besar umat Islam menyambut dan menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus dengan mengharapkan fadhilat-fadhilat tertentu. Tetapi pendapat ini adalah tidak tepat sepertimana yang disebut oleh Syiekh Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz: Dan malam ini yang dikatakan berlaku padanya peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj, tidak ada satu hadith sahih pun yang menyebut tentang tarikh peristiwa ini secara khusus, dan semua pendapat yang menyebut tentang tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah tidak thabit daripada Rasulullah saw di sisi ulamak hadith, dan kepada Allah jualah diserahkan segala hikmah disebalik kerahsiaan ini kepada manusia, dan walau sekiranya terdapat hadith sahih yang menjelaskan tentang perkara ini, tetap juga tidak dibenarkan umat Islam untuk menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus, serta tidak harus untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan kerana Rasulullah saw dan para sahabat r.a tidak pernah merayakannya dan tidak melakukan sebarang amalan yang khusus. Sekiranya menghidupkan atau merayakan malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan, semestinya Nabi saw akan menunjukan panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya, dan sekiranya amalan ini pernah dilakukan oleh Baginda saw, semestinya akan diketahui dan masyhur serta akan disampaikan oleh para sahabat ra kepada kita. (Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni. Islam Madinah, m/s 7).

2 - Solat Raghaib

Solat ini dilakukan berdasarkan kepada satu hadith maudhu’ yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra, katanya: Telah bersabda Rasulullah saw: Rejab bulan Allah, Sya’ban bulan-ku, dan Ramadhan bulan umatku… dan tidak ada seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis yang pertama dalam bulan Rejab kemudian melakukan solat diantara waktu Maghrib dan ‘Atamah (waktu sepertiga awal malam), iaitu dilakukan pada malam Jumaat sebanyak dua belas rakaat, dibaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah sekali dan surah al-Qadr tiga kali, dan surah al-Ikhlas sebanyak dua belas kali, dan diselangi setiap dua rakaat dengan salam, dan apabila telah selesai, ia berselawat ke atasku sebanyak 70 kali, kemudian membaca: (Allahumma salli ‘ala Muhammadin Nabiy al-Ummiy wa ‘ala alihi), kemudian sujud dan membaca: (Subbhuhun Quddusun Rabbu al-Malaikatu wa al-Ruh) sebanyak 70 kali, kemudian ia angkat kepalanya dan kemudian membaca: (Rabbi ighfir warham watajawaj ‘amma ta’lamu innaka anta al-‘azizu al-a’dzam) sebanyak 70 kali, kemudian ia sujud kali kedua dan membaca seperti bacaan di sujud pertama, kemudian ia mohon kepada Allah segala hajatnya, nescaya akan ditunaikan. Bersabda Rasulullah saw lagi: Dan demi diriku yang di tangan-Nya, tidak ada seorang hamba pun, lelaki mahupun perempuan yang mengerjakan solat ini melainkan akan diampunkan Allah sekelian dosanya, walau pun seperti buih di lautan dan sebanyak dedaun di pohonan, dan ia akan dapat memberi syafaat pada hari Qiamat untuk 700 orang di kalangan kaum keluarganya…)) (Diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi, di dalam kitabnya al-Maudhu ‘at, jilid 2, m/s 124-125).

Seterusnya Ibn al-Jauzi menyebut: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan dusta ke atas Rasulullah saw, di dalam nya terdapat seorang rawi yang bernama Ibn Jahdham yang terkenal dengan dusta, dan aku mendengar guruku; Abd al-Wahab berkata: Para rawinya majhul (tidak dikenali) dan telah disemak tentang peribadi mereka ini di dalam semua kitab tetapi tidak ku temui tentang mereka).

Al-Imam al-Syaukaniy rh juga menyebut di dalam kitabnya: al-Fawaid al-Majmu ‘ah fi al-Ahadith al-Maudhu‘ah: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan perawinya adalah majhul (tidak dikenali), dan solat Raghaib yang masyhur ini telah sepakat para ulamak bahawa ia adalah maudhu’)).

Setelah kita mengetahui tentang kedudukan hadith yang menyebut tentang solat Raghaib ini, marilah kita melihat apakah pandangan para ulamak tentang hukum mengerjakan solat tersebut.

Imam al-Nawawi (w 676H) berkata: Sesungguhnya ia adalah bid ‘ah yang ditegah di antara bid ‘ah-bid ‘ah yang sesat, dan padanya terdapat pelbagai percanggahan yang jelas, Allah memerangi mereka yang mencipta dan mereka-reka solat ini, dan para imam telah menulis pelbagai penulisan yang bernilai dan bermutu yang menyebut tentang keburukannya, kesesatan orang yang mengerjakan sembahyang ini, dan yang melakukan bid ‘ah ini, serta dalil tentang kejelekan, kebatilan serta kesesatan orang yang mengamalkannya adalah terlalu banyak dan tidak terhitung. (Al-Nawawi, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, (Bierut: Dar al-Ma’rifah, cetakan ke-7, 2000), jilid 8, m/s 262.

Al-Imam Ibn Taimiyah (w 728 H) juga menyanggah pendapat tentang kewujudan solat ini dengan berkata: Solat ini (Raghaib) ini tidak dilakukan oleh Rasulullah saw dan tidak pula oleh seorang pun dikalangan para sahabat Baginda, tabi‘in dan para imam kaum Muslimin, dan Nabi saw tidak menggalakkannya serta tidak terdapat seorang pun dikalangan ulamak salaf dan imam-imam yang menggalakannya dan mereka tidak pernah menyebut akan adanya keutamaan-keutamaan yang khusus bagi malam ini. Hadith-hadith yang menyebut mengenainya adalah dusta dan maudhu’ dengan sepakat ahli ilmu, maka oleh kerana itu ahli-ahli tahqiq mengatakan bahawa solat tersebut adalah makruh, bukan sunat)). (Ibn Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 1/149)

Menurut al-Hafiz Ibn Rejab pula: Solat ini adalah bid‘ah di sisi jumhur (kebanyakan) ulamak, dan di antara mereka yang menyebut tentang perkara ini adalah di kalangan ulamak yang terkemudian seperti Abu Ismail al-Haruwi, Abu Bakar ibn al-Sam‘aniy, Abu al-Fadhl ibn Nasir, Abu al-Farj ibn al-Jawzi dan yang lain lagi, dan perkara ini tidak disebut oleh ulamak yang awal disebabkan ianya hanya muncul selepas daripada zaman mereka, dan yang terawal timbulnya perkara ini ialah selepas 400 tahun, maka sebab itulah golongan ulamak yang awal dan terdahulu tidak mengetahuinya dan tidak membincangkannya. (Ibn Rejab, Lataif al-Ma ‘arif, m/s 228)

Terdapat ramai lagi dikalangan ulamak yang membincangkan tentang hukum solat Raghaib ini. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada pendapat-pendapat mereka semuanya menafikan kewujudan solat ini dan menganggap ia sebagai salah satu bid ‘ah (ibadat yang direka-reka) yang amat ditegah dan tidak boleh mengamalkannya kerana ianya tidak thabit daripada Rasulullah saw mahupun para sahabat ra serta al-tabi’in..

3 - Berpuasa penuh di bulan Rejab atau sebahagiannya dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khas.

Sesetengah daripada umat Islam akan berpuasa di bulan ini sepenuhnya atau sebahagainya dan mereka menganggap puasa ini mempunyai kelebihan dan fadhilat yang khusus. Tetapi malangnya, ganjaran atau kelebihan yang khas bagi mereka yang melakukan amalan ini tidak bersumberkan daripada al-Quran atau hadith-hadith yang sahih. Bahkan ianya diambil daripada hadith-hadith yang maudhu’ (palsu) dan yang lebih malang lagi hadith-hadith ini disebarkan oleh golongan-golongan agama atau ustaz-ustaz kepada masyarakat Islam samada di dalam kuliah-kuliah mereka atau melalui penulisan. Antara hadith-hadith maudhu’ yang tersebar luas mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini ialah:

1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku, maka barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga al-Firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Barangsiapa yang berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan dari azab kubur…."

Ibnu al-Jawzi telah menghukum hadith ini dengan maudhu’.

2. Ibnu Shahin meriwayatkan dari Ali r.a dari Harun bin ‘Antarah bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Sesungguhya bulan Rejab adalah bulan yang agung, maka barangsiapa yang berpuasa sehari dari bulan Rejab nescaya Allah menuliskan baginya puasa seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka Allah menuliskan baginya puasa dua ribu tahun. Siapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menulis baginya puasa tiga ribu tahun…"

Menurut Ibnu ‘Iraq: Hadith ini adalah maudhu’ tanpa syak lagi. Harun bin ‘Antarah pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadith.

3. Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Aku dibangkitkan sebagai Nabi pada 27 Rejab, maka barangsiapa yang berpuasa pada hari itu dan ia berdoa sewaktu berbuka puasa, maka puasa itu menjadi kifarat baginya selama sepuluh tahun".

Hadith ini telah disebut oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dari kitab Fawaid susunan Abu al-Hassan bin Shakhr dengan sanad yang batil.

Demikianlah antara contoh sebahagian kecil daripada hadith-hadith palsu yang tersebar dikalangan masyarakat Islam mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini. Masih terdapat banyak lagi hadith-hadith palsu lain mengenai fadhilat puasa di bulan ini yang sesetengah daripada fadhilat tersebut tidak dapat diterima oleh akal yang sejahtera, apatah lagi ianya bercangggah dengan kaedah dan prinsip asas agama.

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam menyentuh perkara ini berkata: Tidak terdapat hadith-hadith yang boleh dijadikan hujah yang menyebut tentang fadhilat khusus bulan Rejab, atau fadhilat berpuasa (sepenuhnya) di bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus. (Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab, m/s 23).

Sayyidina Omar al-Khattab melarang orang berpuasa dibulan ini dan beliau pernah memukul tangan orang yang tidak mahu makan disebabkan berpuasa di bulan Rejab. (al-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-nahyu an al-Ibtida’, (Bierut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, cet.1, 1988), m/s 63).

Al-Imam Al-Syawkaniy pula menyebut di dalam kitabnya al-Fawaid: ((Dalam satu risalahnya Ali bin Ibrahim al-‘Athar berkata: Apa yang diriwayatkan mengenai keutamaan puasa Rejab semuanya maudhu’ dan dhaif tidak mempunyai sumber. Katanya lagi: Abdullah al-Anshari tidak berpuasa Rejab dan beliau melarangnya dan berkata: Tidak ada satu hadith pun yang sahih dari Nabi saw mengenainya)). (Al-Syawkaniy, al-Fawaid al-Majmu’ah, m/s 440).

Selain daripada amalan yang disebutkan ini, terdapat lagi amalan khusus lain yang disebarkan seperti amalan membaca apa yang disebut sebagai ‘Istighfar Rejab’. Disebutkan di antara fadhilatnya ialah sesiapa yang menulis atau menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab maka ia akan mendapat pahala sebanyak 80, 000 pahala para Nabi.

Terdapat juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khusus jika dilakukan pada bulan Rejab.

Demikianlah sebahagian amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di dalam bulan Rejab ini yang tidak bersumberkan dari Rasulullah saw. Persoalan yang mesti diulang fikirkan lagi adakah amalan-amalan tersebut akan diterima oleh Allah dan mendapat ganjarannya?. Atau ianya tidak mendapat apa-apa kecuali penat dan letih sahaja. Semoga Allah swt mengampunkan kesalahan yang dilakukan di atas kejahilan kita. Marilah kita bersama-sama untuk membenteraskan kegiatan penyebaran hadith-hadith palsu di kalangan umat Islam. Pastikan ibadah yang kita lakukan benar-benar menepati sunnah Rasulullah saw dan diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt.

Jumaat, 10 Ogos 2007

016 - Perihal Tatacara Sujud Sahwi Yang Benar

Perihal Tatacara Sujud Sahwi Yang Benar

Sujud syawi adalah nama bagi ‘dua sujud’ yang dilakukan oleh seseorang yang bersolat, untuk menutup kekurangan yang terjadi ketika solat disebabkan terlupa. (Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin, Risalah Sujud Syahwi, Majalah as-Sunnah, Edisi 12/VII/1424H/2004M, m.s. 41)

Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah:

Sujud sahwi dilakukan dengan dua kali sujud sebelum atau sesudah salam oleh seseorang yang sedang bersolat. Kedua-dua cara ini memang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah, jld. 2, m.s. 98)

------
Perlaksanaan sujud sahwi adalah atas beberapa sebab seperti berikut:
------

1 – Penambahan gerakan (al-Ziyadah). Misalnya seseorang menambah jumlah rukuk, sujud, berdiri atau duduknya.

2 – Pengurangan (Naqs). Misalnya seseorang kurang dalam melaksanakan rukun atau hal yang wajib dalam solat.

3 – Mengalami keraguan (syak). Misalnya dia ragu-ragu tentang jumlah rakaat solat samaada tiga atau empat. (Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin, Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah, m.s. 382)

Sujud sahwi hanya disyariatkan ke atas kekurangan atau penambahan yang berlaku di dalam solat secara tidak sengaja.

Jika solat seseorang terlebih atau terkurang, maka hendaklah dia sujud dua kali. (Sahih Muslim, Hadis no.: 572)

------
1 - Tatacara Sujud Sahwi Ketika Berlaku Penambahan Di Dalam Solat (al-Ziyadah)
------

Apabila kita tersedar bahawa dalam solat kita, samaada ketika bersolat (masih dalam solat) atau sesudah selesai mengerjakannya (selepas salam), ada tertambah sesuatu seperti jumlah rakaat, sujud, duduk antara dua sujud, dan lain-lain, maka hendaklah sujud syahwi dilakukan selepas salam.

Sebagai contoh, andainya sesorang yang sedang bersolat maghrib tersedar yang dia telah melakukan empat rakaat dalam solatnya itu (berlaku penambahan rakaat) dan masih di dalam solatnya, maka hendaklah dia sempurnakan solatnya seperti biasa sehingga salam. Dan setelah itu (sesudah salam) dia perlu lakukan sujud syahwi (dengan dua sujud) lalu memberi salam sekali lagi.

Sekiranya pada rakaat keempat tersebut baru dia tersedar bahawa solat maghrib sepatutnya hanya tiga rakaat, maka dia harus duduk ketika itu juga untuk menyelesaikan (mengerjakan) tasyahhud akhir dan kemudiannya memberi salam. Dan sesudah saja salam, terus lakukan sujud syahwinya.

Andainya dia hanya teringat setelah memberi salam, maka dia perlu melakukan sujud syahwi dengan serta merta (ketika menyedarinya) lalu memberi salam.

Diriwayatkan dari Abdullah Ibnu Mas’ud r.a.:

Pada suatu ketika Nabi s.a.w. bersolat Zuhur lima rakaat, lalu ditanya: Apakah rakaat solat ini memang telah ditambah? Baginda bertanya: Mengapa demikian? Para sahabat menjawab: Anda telah melakukan solat lima rakaat. Maka baginda pun sujud dua kali setelah memberi salam itu. (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 1226)

Daripada hadis ini, jelas menunjukkan jika kita tertambah sesuatu di dalam solat tidaklah perlu diulangi solat tersebut, tetapi cukup dengan melakukan sujud syahwi.

Termasuk dalam hal ini (al-Ziyadah) adalah memberi salam sebelum sempurna solatnya. Contohnya, ketika seseorang sedang bersolat Asar lalu pada rakaat yang kedua dia telah melakukan tasyahhud akhir dan memberi salam untuk mengakhiri solatnya. Dalam hal ini, penambahan (al-ziyadah) adalah pada perbuatan menambah salam sebelum masanya. Andainya, dia menyedari hal permasalahan tersebut setelah berada pada sela masa yang lama (setelah mengakhiri solatnya) maka dia harus mengulangi semula solatnya. Namun, jika hanya beberapa ketika setelah memberikan salam, maka dia hanya perlu menyempurnakan baki solatnya itu lalu memberi salam. Dan kemudiannya terus melakukan sujud syahwi dan salam sekali lagi.

Daripada Abu hurairah r.a.:

Rasulullah s.a.w. solat bersama kami pada salah satu waktu solat di siang hari (Asar atau Zuhur), ternyata baginda hanya solat dua rakaat sahaja dan terus memberi salam. Baginda lalu pergi ke sebuah kayu yang terbelintang di masjid lalu berteleku di atasnya seolah-olah sedang marah. Tangan kananya diletakkan di atas tangan kirinya sambil menggenggam jari-jarinya, sedang pipinya diletakkan di atas telapak kirinya bahagian luar. Kemudian ada yang segera keluar dari pintu-pintu masjid sambil mengatakan: “Solat telah diqasarkan (dipendekkan)”. Di antara orang ramai itu terdapat pula abu Bakar dan Umar. Keduanya malu untuk bertanyakan akan hal itu. Kebetulan di antara mereka terdapat pula seorang lelaki bernama Dzulyadain, yang bertanya:

“Ya Rasulullah, apakah anda lupa atau solat tadi memang diqasarkan?” Baginda bersabda: “Saya tidak lupa dan solat tadi tidak pula diqasarkan.” Maka Rasulullah bertanya kepada para sahabat: “Apakah benar yang dikatakan oleh Dzulyadain?” Para sahabat menjawab: “Benar.” Maka baginda pun menuju kembali ke tempatnya semula dan menyempurnakan baki rakaatnya, kemudian memberi salam. Sehabis salam itu baginda bertakbir, sujud sebagaimana sujud biasa atau agak panjang sedikit, lalu mengangkat kepala dan takbir. Seterusnya baginda takbir lagi lalu sujud biasa atau agak lebih lama, kemudian mengangkat kepalanya kembali. (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 482)

------
2 - Tatacara Sujud Sahwi Ketika Terdapat Pengurangan Dalam solat
------

Sekiranya di dalam solat kita terdapat kekurangan secara tidak sengaja di dalam perkara yang rukun ataupun fardhu maka sujud syahwinya dilakukan sebelum salam. Contohnya apabila seseorang itu tertinggal tasyahhud awal dan terus bangun untuk meneruskan rakaat yang ketiga, maka dia tidak perlu untuk duduk kembali untuk mengerjakan tasyahhud awal tersebut. Dia hanya perlu meneruskan solatnya dan kemudian selepas tasyahhud akhir dan sebelum salam, hendaklah dia melaksanakan sujud syahwi. Sekiranya dia teringat bahawa dia lupa membaca tasyahhud awal ketika dia belum bangkit untuk berdiri ke rakaat ketiga secara sempurna, maka bolehlah dia duduk semula untuk mengerjakan tasyahhud awal tersebut.

Daripada Abdullah bin Buhainah r.a.:

Bahawasanya Nabi s.a.w. solat zuhur bersama mereka. Baginda bangkit pada rakaat kedua dan tidak duduk (maksudnya, tidak melakukan tasyahhud awal), para makmum pun ikut berdiri bersama Baginda hingga ketika hendak selesai solat, sedang makmum menunggu salamnya, Baginda bertakbir dalam posisi duduk lalu sujud dua kali sebelum salam, kemudian baru salam. (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 829)

Mughirah bin Syu’ban r.a. pula berkata:

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila salah seorang di antaramu berdiri dari rakaat kedua dan belum sempurna berdirinya maka hendaklah dia duduk kembali, dan apabila telah sempurna berdirinya maka janganlah dia duduk dan hendaklah dia sujud dua kali. (Sahih Sunan Ibn Majah, Hadis no.: 1208, dinilai sahih oleh al-albani)

------
3 - Tatacara sujud Sahwi Ketika Berlaku Keraguan Dalam solat
------

Keraguan atau syak menurut Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin rahmahullah: “Syak (ragu-ragu) adalah kebimbangan di antara dua hal tentang yang mana sebenarnya telah dilakukan.” (Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin, Prostration For ForgetfullnessIn The Prayer, (edisi Bahasa Inggeris diterjemah oleh abu Talhah Dawood), m.s. 11)

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a.:

Dan apabila salah seorang dari kalian ragu dalam solatnya, maka hendaklah dia memilih yang benar (menurut keyakinannya), lalu hendaklah dia menyempurnakan solatnya lalu salam, kemudian sujud dua kali. (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 401)

Daripada Abdurrahman bin ‘Auf r.a., daripada Rasulullah s.a.w.:

Jika salah seorang di antara kalian ragu dalam solatnya, sehingga dia tidak tahu, apakah baru satu rakaat atau sudah dua rakaat, maka baiklah ditetapkannya sebagai satu rakaat sahaja. Jika dia tak tahu apakah dua atau sudah tiga rakaat, baiklah ditetapkannya dua rakaat. Dan jika tidak tahu apakah tiga ataukah sudah empat rakaat, baiklah ditetapkannya tiga rakaat, kemudian hendaklah dia sujud bila selesai solat di waktu masih duduk (selepas tasyahhud akhir) sebelum memberi salam, iaitu sujud syahwi sebanyak dua kali. (Musnad Ahmad, Hadis no.: 1656, & Sahih Ibn Hibban, Hadis no.: 2663, dihasankan (hasan lighairihi) oleh Syu’aib al-Arna’uth)

------
Bacaan Dalam Sujud Sahwi:
------

Jika diteliti hadis-hadis Rasulullah s.a.w. berkaitan sujud syahwi, ternyata Baginda s.a.w. tidak pernah menunjukkan (mengajarkan) bacaan khusus yang pelu dibaca ketika sujud (syahwi) ini. Maka, bacaan-nya adalah sama sepertimana bacaan di dalam sujud solat seperti biasa.

Namun, di dalam masyarakat kita mereka selalunya mengamalkan bacaan seperti ini:

“Subhaana man laayanaamu walaa yashuu” yang membawa maksud, “Maha suci Tuhan yang Tidak Tidur dan Tidak Lupa”.

Sebenarnya, bacaan ini bukanlah dari sunnah Nabi s.a.w. dan tidak pula pernah diamalkan oleh para sahabat dan seluruh ulama salaf al-Ummah termasuk imam-imam mazhab yang empat.

Malahan menurut Muhammad Abdussalam Khadr al-Syaqiry rahimahullah:

Tidak pernah diriwayatkan sesuatu doa yang khusus untuk sujud sahwi daripada Rasulullah s.a.w. Doa yang dibacanya adalah sama seperti doa yang dibaca ketika sujud biasa. Adapun pendapat yang mengatakan bahawa bacaan saat sujud syahwi adalah “Subhaana man laayanaamu walaa yashuu” adalah tidak benar kerana ianya tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w. mahupun para sahabatnya. Tiada dalil yang yang tsabit berasal dari sunnah yang menunjukkan bacaan ini. Doa itu sebenarnya adalah doa yang diperolehi dari mimpi sebahagian kaum sufi. Oleh kerana itulah, jangan mengerjakan doa tersebut. Ambillah urusan agamamu dari kitab-kitab hadis yang sahih. (Muhammad Abdussalam Khadr al-Syaqiry, Bid’ah-Bid’ah Yang dianggap Sunnah (edisi terjemahan oleh Ahmad Munir awood Badjeber & Sulaiman, Qisthi Press, Jakarta, 2004), m.s. 76-77)

Dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani pula berkata dalam Kitab al-Talkhis tentang doa tersebut katanya: “Aku tidak pernah menemui asal usul (sanad) bacaan ini.”

Imam Nawawi r.h. berkata:

Sujud sahwi dilakukan dua kali dan dipisahkan antara kedua-duanya dengan duduk istirasy (duduk antara dua sujud). Sebelum salam, dia hendaklah duduk tawarruk (duduk tahiyyah akhir). Cara sujud dan bacaannya adalah sama seperti sujud dalam solat fardhu. (Kitab al-Majmu’, jil. 4, m/s. 72)

Maka sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan (bid’ah) adalah sesat (tidak benat). (Sahih Muslim, Hadis no.: 867)

------
Bacaan Ketika Duduk Di Antara Dua Sujud
------

Bacaan yang dibaca di antara 2 sujud sahwi menurut Syeikh Ibn Utsaimin Rahimahullah adalah:-

رب اغفر لي

"Rabbhig firli" - Ya Allah ampunkan dosaku. [al-Sharh al-Mumthi', 1/646, Dar al-Ansar, 2003]

Selasa, 7 Ogos 2007

Hal 015 - MANDI HADAS (MANDI JUNUB)

MANDI HADAS (MANDI JUNUB)

Allah Azza wa-Jalla telah mewajibkan setiap mukmin mandi setelah ia berjunub (berhadas besar). Allah berfirman:

“Dan jika sekiranya kamu berjunub maka hendaklah kamu bersuci (mandi junub)”. (al-Maidah 5:6)

------
DEFINISI
------

Pengertian mandi atau al-ghuslu (الغسل) menurut pengertian Bahasa Arab ialah:

“Mangalirkan air ke seluruh anggota tubuh badan”. (Lihat: Fathul Bari, 1/359. Ibnu Hajar)

“Al-Guslu (mandi) ialah: Menyempurnakan membasuh (mencuci) seluruh jasad (tubuh badan)”. (Lihat: Lisanul Arab. 2/988)

Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah, dimaksudkan mandi junub (mandi hadas besar) ialah:

“Hakikat mandi junub ialah menjirus (mengalirkan) air ke seluruh anggota tubuh (Lihat: Fathul Bari. 1/359) (dari hujung rambut ke hujung kaki). Sebahagian ulama mewajibkan berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung (memasukkan air ke dalam hidung) semasa mandi junub”.

Adapun sebab-sebab wajibnya mandi junub (mandi hadas besar) ialah setelah terjadi perkara-perkara berikut:

------
PERTAMA:
------

Wajib Mandi Junub Kerana Keluar Air Mani

Para ulama telah sepakat bahawa apabila keluar air mani dengan bersyahwat, bersetubuh atau bermimpi maka wajib baginya mandi junub. Begitu juga bagi kaum perempuan (jika keluar air mani) maka wajib baginya mandi junub sebagaimana keterangannya dari hadis-hadis berikut:

“Dari Aisyah ia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah ditanya oleh seorang lelaki yang mendapati basah (kerana keluar mani) padahal tidak ingat bahawa ia bermimpi lalu baginda menjawab: Hendaklah ia mandi. Dan baginda pernah ditanya tentang lelaki yang bermimpi dirasakan seolah-olah keluar air mani tetapi tidak ada kesan basah. Baginda menjawab: Tidak wajib mandi. Kemudian Ummu Sulaim bertanya: Kalau perempuan bermimpi demikian wajibkah wanita itu mandi? Nabi menjawab: Ya, kerana sebenarnya kaum wanita itu adalah saudara-saudara kaum lelaki!”. (H/R Imam yang lima, kecuali Nasaii.)

“Dari Ummi Salamah bahawa Ummu Sulaim berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu kerana sesuatu yang haq! Apakah wanita wajib mandi junub kalau ia bermimpi? Baginda menjawab: Ya, apabila ia melihat air! Kemudian Ummu Salamah bertanya lagi: Apakah perempuan juga bermimpi? Celaka engkau, kalau tidak begitu dengan apa anaknya boleh serupa dengannya!”. (Muttafaq ‘alaihi)

“Dari Khaulah binti Hakim bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang perempuan yang bermimpi seperti mimpinya lelaki lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Ia tidak wajib mandi sehingga mengeluarkan air mani seperti halnya lelaki tidak wajib mandi sehingga ia mengeluarkan air mani”. (H/R Ahmad)

“Dan Nasaii meriwayatkan dengan ringkas yang lafaznya: Bahawasanya dia (Khaulah) bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang perempuan yang bermimpi mengeluarkan air mani dalam tidurnya lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjawab: Kalau ia melihat air mani maka hendaklah ia mandi”. (H/R Nasaii)

Dari hadis-hadis sahih di atas, menunjukkan bahawa wanita juga terkadang bermimpi kerana wanita adalah saudara kandung lelaki. Maka sebagaimana kaum lelaki juga bermimpi maka kaum wanita demikian pula. (Lihat: Fatwa-fatwa muslimah. Hlm. 141. Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Syeikh, Syeikh Abdurrahman bin Hashir as-Sa’diy, Syeikh Abdullah bin Abdullah bin Bazz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin dan Syeikh Soleh Fauzan bin Fauzan)

Dan jika ia (seseorang wanita) tidak menemui tanda/bekas/basah/sisa-sisa air setelah bangun tidur maka ia tidak diwajibkan untuk mandi junub. Adapun jika ia mendapati bekas/tanda air maka ia wajib mandi kerana Ummu Sulaim berkata: Wahai Rasulullah, apakah seorang wanita wajib mandi jika ia bermimpi (keluar air)? Rasulullah sallallahu ‘alaihi was-sallam menjawab: Ya, kalau ia melihat (mendapati basah) bekas air! Jika wanita mendapati ada bekas air maka ia diwajibkan mandi junub. (Lihat: Fatwa-fatwa muslimah. Hlm. 141. Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Syeikh, Syeikh Abdurrahman bin Hashir as-Sa’diy, Syeikh Abdullah bin Abdullah bin Bazz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin dan Syeikh Soleh Fauzan bin Fauzan)

Jika seseorang perempuan sering mengeluarkan cecair tanpa disebabkan oleh suatu rangsangan (nafsu syahwat/nikmat) maka sama sekali tidak diwajibkan mandi. Mandi hanya diwajibkan apabila melakukan persetubuhan, bermimpi, keluar air diiringi syahwat (seperti mimpi berjimak dengan seorang peria lalu ketika bangun terdapat bekas air maka diwajibkan baginya mandi junub). (Lihat: Fatwa-fatwa muslimah. Hlm. 141. Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Syeikh, Syeikh Abdurrahman bin Hashir as-Sa’diy, Syeikh Abdullah bin Abdullah bin Bazz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin dan Syeikh Soleh Fauzan bin Fauzan)

------
PENJELASAN TENTANG WADI DAN MAZI
------

Wadi: Wadi adalah cecair pekat yang biasanya keluar setelah seseorang selesai dari buang air kecil (kencing). Wadi ini dihukum najis dan harus disucikan seperti halnya kencing, akan tetapi tidak diwajibkan mandi. (Lihat: Fiqh Wanita. Hlm. 19. Syeikh Kamil Muhammad ‘Uwaidah)

Mazi: Mazi adalah cecair yang bening dan pekat yang keluar dari zakar atau faraj ketika bercumbu atau ketika nafsu syahwat. Hal ini sama-sama dialami oleh lelaki dan juga wanita, akan tetapi pada wanita jumlahnya lebih banyak. Menurut kesepakatan para ulama, mazi ini dihukum najis. Apabila mazi ini mengenai badan maka wajib dibersihkan dan apabila mengenai pakaian maka cukup sekadar menyiramkan air pada bahagian yang terkena mazi. Mengenai hal ini terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya. Aisyah radiallahu ‘anha mengatakan:

“Wadi itu keluar setelah proses kencing selesai. Untuk itu hendaklah seseorang muslim (dan muslimah)mencuci kemaluannya (setelah keluarnya wadi) dan berwuduk serta tidak diwajibkan mandi junub”. (H/R Ibnu al-Munzir)

“Tentang mani, wadi dan mazi. Adapun mengenai mani maka diwajibkan mandi kerananya. Sedangkan mengenai mazi dan wadi maka cukup dengan membersihkan secara sempurna”. (H/R Al-Baihaqi dan Al-Athram)

“Mengenai wadi dan mazi, Rasulullah bersabda: Basuhlah kemaluanmu atau tempat kemaluanmu dan berwuduklah seperti pada saat hendak melaksanakan solat”. (H/R Baihaqi)

Oleh yang demikian maka keluar wadi atau mazi dihukum najis dan membatalkan wuduk. Wajib dibasuh zakar atau faraj dan pakaian yang terkena wadi atau mazi tetapi tidak diwajibkan mandi junub (mandi hadas besar) jika terkeluar wadi dan mazi sebagaimana penjelasan dari hadis-hadis yang lalu dan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Dari Ali berkata: Aku adalah seorang lelaki yang sering keluar mazi lalu aku bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam kemudian ia bersabda: Dalam mazi itu berwuduk dan dalam mani itu wajib mandi. (H/R Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi dan disahihkan oleh Tirmizi)

“Dan dari Ahmad. Lalu baginda bersabda: Kalau engkau mengeluarkan mani maka mandilah kerana telah berjunub dan apabila engkau tidak mengeluarkan mani maka janganlah mandi”. (H/R Ahmad)

Ibnu Ruslan berkata: Kaum Muslimin telah ijmak atas wajibnya mandi junub (mandi hadas) bagi lelaki dan perempuan disebabkan keluar air mani atau mengeluarkan air mani. (Lihat: Nailul Autar.1/191. asy-Syaukani)

------
KEDUA:
------

Wajib Mandi Kerana Persetubuhan

Menurut Imam An-Nawawi bahawa: Telah disepakati atas wajibnya mandi junub (bagi suami dan isteri) apabila hasyafah (kepala zakar lelaki) telah masuk ke dalam faraj walaupun tidak mengeluarkan air mani. Inilah pendapat dari ijmak. Keterangan ini dapat difahami dari hadis-hadis sahih yang berikut:

“Dari Abu Hurairah, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam baginda bersabda: Apabila salah seorang antara kamu duduk antara empat anggota perempuan kemudian ia bersungguh-sungguh maka ia wajib mandi (junub)”. (H/R Bukhari, Muslim dan Ahmad)

“Apabila salah seorang kamu duduk antara empat anggota perempuan (bersetubuh) kemudian ia bersungguh-sungguh maka wajib baginya mandi (junub) meskipun tidak mengeluarkan air mani”. (H/R Muslim dan Ahmad)

Dari Abdullah bin Amr bin Ash:

“Apabila dua kemaluan (zakar dan faraj) itu telah masuk maka telah diwajibkan mandi (mandi junub)”. (H/R Ibnu Syaibah)

Para ulama telah sepakat sebagaimana yang telah disyariatkan bahawa seandainya seorang lelaki meletakkan kemaluannya di atas kemaluan perempuan, padahal ia tidak memasukkannya maka tidak seorang pun antara keduanya diwajibkan mandi. (Lihat: Nailul Autar. 1/190, Asy-Syaukani)

“Dari Aisyah ia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Apabila salah seorang antara kamu duduk di antara empat anggota perempuan kemudian benda yang dikhatan (kemaluan lelaki) bertemu benda yang dikhatan (kemaluan perempuan), maka telah diwajibkan mandi (junub)”. (H/R Ahmad dan Muslim)

“Apabila benda yang dikhatan (kemaluan lelaki) telah masuk ke dalam benda yang di khatan (kemaluan perempuan) maka telah diwajibkan mandi”. (H/R Tirmizi dan disahihkan olehnya)

“Dari Ubai bin Ka’ab ia berkata: Sesungguhnya anak-anak muda itu pernah berkata: Air (mandi junub) itu kerana air (kerana keluar air mani), adalah keringanan (tidak wajib mandi) dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam diberikan pada permulaan Islam, kemudian ia memerintahkan kami agar mandi (junub) sesudah itu”. (H/R Ahmad dan Abu Daud)

“Pada lafaz Tirmizi: Mandi hanya kerana keluar air mani, itu hanyalah suatu keringanan pada permulaan Islam kemudian dilarangnya (dilarang dari mengamalkan amalan yang lama dan diperintahkan agar mandi junub)”. (H/R Tirmizi dan disahihkannya)

“Dari Aisyah bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam tentang seseorang yang menyetubuhi isterinya kemudian ia malas (untuk meneruskannya sebelum keluar mani) sedangkan Aisyah duduk di situ. Lalu Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya aku pernah melakukan seperti demikian dengan (Aisyah) ini lalu kami mandi (walaupun tidak keluar air mani)”. (H/R Muslim)

“Dari Rafi’ bin Khadej ia berkata: Aku pernah dipanggil oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam padahal aku sedang di atas perut isteriku. Lalu aku bangun dan aku belum mengeluarkan air mani kemudian aku mandi lalu keluar kemudian aku mengkhabarkan kepada baginda. Lalu baginda bersabda: Kamu tidak wajib mandi kerana mandi itu lantaran keluarnya air mani. Rafi’ berkata: Kemudian Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sesudah itu memerintahkan agar kami mandi”. (H/R Ahmad)

Seorang suami yang menyetubuhi beberapa orang isterinya pada satu malam maka hanya diwajibkan sekali mandi sahaja. Sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Dari Anas radiallahu anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menggiliri (menyetubuhi) isteri-isterinya dengan sekali mandi”. (H/R al-Jamaah kecuali Bukhari)

“Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘aliaihi wa-sallam pernah mengelilingi isteri-isterinya pada satu malam dengan sekali mandi”. (H/R Ahmad dan Nasaii)

“Dari Abi Rafi’ maula Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menggiliri isteri-isterinya dalam satu malam lalu ia mandi untuk setiap seorang dari mereka lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kalau engkau mandi sekali sahaja? Lalu ia menjawab: Begini adalah lebih suci dan lebih bersih”. (H/R Ahmad dan Abu Daud)

Syariah berkata: Hadis ini menunjukkan, tidak wajib mandi bagi suami yang bermaksud mengulangi jimaknya (ingin mengulangi persetubuhannya). (Lihat: Nailul Autar. 1/199). Begitu juga isteri yang ingin diulangi (disetubuhi lagi) oleh suaminya maka isteri tidak diwajibkan mandi terlebih dahulu.

------
KETIGA:
------

Setelah Bersih Dari Haid Atau Nifas

Para wanita yang sudah bersih (kering) dari haid dan nifas maka diwajibkan mandi hadas (mandi junub) sebagaimana keterangan dari hadis-hadis sahih yang berikut:

Dari Aisyah bahawa Fatimah binit Abi Jahsy sedang istihadhah lalu aku bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Kemudian baginda menjawab: Itu hanya sebahagian dari peluh, bukan haid. Maka apabila engkau sedang haid, tinggalkanlah solat dan kalau telah selesai maka mandilah dan bersolatlah”. (H/R Bukhari)

------
CARA ATAU SIFAT MANDI JUNUB RASULULLAH
------

Adapun hadis-hadis tentang wajibnya mandi junub (mandi hadas) antaranya ialah:

“Dari Maimunah radiallahu ‘anha ia berkata: Aku pernah menuangkan air untuk Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam untk mandi junub. Maka baginda memulakan dengan mencuci kedua tangannya dua kali atau tiga kali, kemudian ia menuangkan air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya lalu ia mencuci farajnya (kemaluannya) dan bahagian yang kena kotoran, setelah itu ia mengusapkan tangannya yang kiri ke tanah dua kali atau tiga kali lalu ia mencucinya. Kemudian baginda berkumur-kumur sambil menghisap (menyedut) air ke hidung lalu menghembuskannya kemudian ia mencuci mukanya dan kedua tangannya lalu ia mencuci kepalanya tiga kali, setelah itu barulah baginda menuangkan air ke seluruhan tubuhnya. Setelah selesai baginda pindah dari tempatnya lalu baginda mencuci kedua kakinya”. (H/R Bukhari, Kitabul Ghusul. Muslim, 1/175. Abu Daud. No 245. Turmizi, Nasaii, Ibnu Majah dan Ahmad)

1 - Syariah berkata (ucapan): “Kemudian ia membasuh kedua kakinya”, ini menunjukkan bahawa wuduk yang dilakukan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam semasa memulakan mandi junub tanpa membasuh kedua kakinya.

2 - Jumhur ulama berpendapat: Sunnah mengakhirkan membasuh kedua kaki ketika berwuduk dalam mandi junub iaitu membasuh setelah selesai mandi junub.

3 - Imam Malik berpendapat: Apabila tempat mandi junub itu tidak bersih maka mengakhirkan membasuh kedua kaki itu adalah sunnah. Tetapi apabila tempat itu bersih maka mencuci dua kaki itu hendaklah didahulukan.

4 - Imam an-Nawawi berkata: Yang lebih benar dan lebih masyhur serta terpilih dari pendapat tersebut ialah menyempurnakan wuduknya.

“Dari Aisyah radiallahu ‘anha bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila mandi junub baginda memulakan mencuci kedua tangannya kemudian ia menuangkan air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya lalu ia mencuci kemaluannya. Kemudian baginda berwuduk sebagaimana waduknya untuk bersolat. Lalu baginda memasukkan jari-jari tangannya ke dalam air, lantas ia sela-sela pangkal-pangkal rambutnya dengan jari-jarinya itu, setelah ia merasakan telah basah rambutnya, ia tuangkan air ke atas kepalanya tiga kali cedukan dengan kedua tangannya kemudian ia alirkan air keseluruh tubuhnya”. (H/R Bukhari. 1/68. Muslim. 1/174. Abu Daud. 242. Ibn Majah 574)

“Dari Jabir radiallahu anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengambil air tiga kali cedukan dan baginda tuangkan ke atas kepalanya, kemudian baginda menuangkan air ke seluruh tubuhnya”. (H/R Bukhari, 1/69. Kitab al-Ghusul)

“Dari Aisyah radiallahu ‘anha ia berkata: Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila mandi junub, baginda meminta air dengan satu bejana besar lalu ia ambil air itu dengan tangannya, kemudian memulai pada bahagian kepala sebelah kanan, kemudian yang kiri, kemudian ia mengambil air dengan kedua telapak tangannya lalu ia tuangkan di atas kepalanya”. (H/R Bukhari dan Muslim)

“Diriwayat yang lain: Kemudian baginda menyela-nyela rambutnya dengan kedua tangannya sehingga apabila ia merasa telah basah seluruh kulit kepalanya, ia tuangkan air di atasnya tiga kali”. (H/R Bukhari dan Muslim)

“Dan dari Jubair bin Muth’am ia berkata: Kami pernah berbincang-bincang tentang mandi junub di hadapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam lalu baginda bersabda: Adapun aku, cukup mengambil air sepenuh dua tapak tanganku lalu aku tuangkan di atas kepalaku, kemudian aku menyiram bakinya atas seluruh tubuhku”. (H/R Ahmad)

“Dari Jubair radiallahu ‘anhu berkata: Adapun aku, menuangkan air ke atas kepalaku tiga kali (beliau memberi isyarat dengan kedua tangannya). (H/R Bukhari, 1/69). Kemudian aku menyiram ke atas seluruh tubuhku”. (H/R Ahmad.)

Dari semua hadis-hadis tentang mandi junub yang telah lalu, dapat difahami dan diringkaskan bahawa sifat mandi junub Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah:

- Didahulukan dengan mencuci kedua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Ia dilakukan tiga kali.

- Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.

- Setelah mencuci kemaluannya, Nabi sallallahu alaihi wa-sallam menggosok tangannya ke tanah beberapa kali iaitu dua atau tiga kali.

- Berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Ada kalanya mentakhirkan dari mencuci kakinya.

- Memasukkan jari-jemari ke dalam air kemudian menyela-nyela rambut dengan kedua-dua jari-jemari tangan sehingga rata.

- Menuangkan air ke atas kepala tiga kali, sama ada dengan menceduk dengan kedua tangan atau dengan gayung.

- Menjirus, meratakan dan membasuh ke seluruh tubuh badan

- Selepas mandi tidak diwajibkan berwuduk semula jika wuduk sebelum mandi tidak batal tetapi jika sekiranya batal maka wajib memperbaharui wuduknya semula.

“Dari Aisyah radiallahu anha: Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak berwuduk setelah selesai mandi junub”. (H/R Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud. 1/171. TIrmizi, 1/72)

Sabtu, 4 Ogos 2007

Hal 014 - ISBAL

ISBAL

Isbal (اَْلاِسْبَالُ) bermaksud: “Melabuhkan pakaian (seperti seluar, jubah, kain sarung dan semua jenis pakaian) sehingga menutup buku lali (mata kaki). Atau pakaian labuh yang menyentuh bumi (mencecah tanah) sehinggga diseret.

Berkata Imam as-San’ani rahimahullah:
المسبل ازاره : هو الذى يطول ثوبه ويرسله الى الارض اذا مشى.
“Mengisbal pakaiannya: Iaitu orang yang memanjangkan pakaiannya dan melabuhkannya sehingga (mencecah) ke bumi apabila berjalan”. (Rujuk: استيفاء الاقوال فى تحريم الاسبال على الرجال hlm. 32. Al-Imam Muhammad bin Ismail al-Amir as-San’ani:
عَنِ الْمُغِيْرَة رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : رَاَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آخِذًا بِرِدَاءِ سُفْيَانِ بْنِ سَهْلٍ وَهُوَ يَقُوْلُ :يَا سُفْيَانُ ! لاَ تُسْبِلْ اِنَّ اللهَ لاَيُحِبُّ الْمُسْبِلِيْنَ.
“Dari Mughirah radiallahu ‘anhu berkata: Aku melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam memegang pakaian Sufiyan bin Sahl dan baginda bersabda: Wahai Sufyian! Janganlah engkau berisbal, kerana Allah tidak menyukai orang-orang yang berisbal” (Dikeluarkan oleh (1) Ibn Majah 2/1183 No. 3575. (2) An-Nasaii dalam Al-Kubra dan Tuhfatul Asyraf. (3) Ibn Hibban dalam Sahihnya 7/397 No. 5418. (4) Ahmad dalam Musnadnya 4/246. 253. (5) Ibn Abi Syaibah 8/207)

Tidak Ber-Isbal Sebagai Salah Satu Sikap Taqwa:
قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِرَجُلٍ رَآهُ يَجُرُّ اِزَارَهُ : اِرْفَعْ اِزَارَكَ وَاتَّقِ اللهَ
“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menegur seorang lelaki yang berpakaian labuh (baginda bersabda): Angkatlah (tinggikanlah) kain kamu dan bertaqwalah kepada Allah”. (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad. 4/395)
عَنْ اَبِيْ ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثَلاَثٌ لاَ يُكَلِّمُهُمُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَيَنْظُرُ اِلَيْهِمْ وَلاَيُزَكِّيْهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ قَالَ : فَقَرَاَهَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلاَثَ مَرَّاةٍ . قَالَ اَبُوْ ذَرٍّ : خَابُوْا وَخَسِرُوْا ، مَنْ هُمْ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ : اَلْمُسْبِلُ ، وَالْمَنَّانُ الَّذِيْ لاَيُعْطِيْ اِلاَّ مَنَّهُ ، وَالْمُنْفِقُ سَلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْكَاذِبِ . وَفِى رِوَايَةِ مُسْلِمٍ : اَلْمُسْبِلُ اِزَارَهُ .
“Dari Abi Zarr radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Ada tiga golongan yang tidak ditegur oleh Allah di Hari Kiamat dan Allah tidak melihat kepada mereka, tidak mengampunkannya dan mereka mendapat azab yang pedih, Rasulullah mengulang-ulangi ucapannya ini tiga kali. Maka Abu Zarr berkata: Alangkah rugi dan menyesalnya mereka wahai Rasulullah! Siapakah mereka itu? Baginda menjhawab: Orang yang musbil (melabuhkan pakaiannya sehingga menutup buku lali), orang yang mengungkit (menyebut-nyebut) pemberiannya dan orang yang menjual barangannya dengan sumpah palsu. (Dalam riwayat Muslim: Orang yang melabuhkan pakaiannya.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/102. Kitabul Iman - No. 106, Hadis Riwayat Abu Daud, Dalam Sunannya, 4/347, No. 4087. Turmizi, Dalam Sunannya - 2/342. No. 1229)
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا مَرْفُوْعًا : ثَلاَثَةٌ لاَ يَنْظُرُ اللهُ اِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ : اَلْمَنَّانُ عَطَاهُ وَالْمُسْبِلُ اِزَارَهُ خُيَلاَءُ ، وُمُدْمِنُ الْخَمْرِ
“Dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhu secara marfu’: Tiga golongan Allah tidak melihat kepada mereka: Orang mengungkit pemberiannya, orang yang melabuhkan pakaiannya dan orang yang menagih arak.” (Dikeluarkan oleh at-Tabrani. Rujuk: “Majma’ud az-Zawaid)

Ber-Isbal Adalah Sebahagian Daripada Kesombongan

Berkata Ibn Hajar rahimahullah:
ان الاسبال يستلزم جر الثوب ، وجر الثوب يستلزم الخيلاء ولو لم يقصد الخيلاء
“Sesungguhnya isbal itu ialah melabuhkan pakaian, melabuhkan pakaian itu adalah suatu kesombongan walaupun tidak bermaksud (berniat) untuk sombong.” (Rujuk: Fathul Bari, 10/264)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
وَاِيَّاكَ وَاْلاِسْبَالُ فَاِنَّهُ مِنَ الْمَخِيْلَةِ
“Berjaga-jagalah kamu dari berisbal, sesungguhnya isbal itu perbuatan sombong.” (Dikeluarkan oleh Ahmad 5/63-64. Isnadnya sahih)

Hadis di atas ini mengkategorikan orang yang isbal (melabuhkan pakaiannya) sebagai orang yang sombong walaupun ia tidak bermaksud atau berniat demikian. Oleh itu isbal diharamkan kepada setiap lelaki beriman dan awaslah mereka yang mengisbalkan seluar, kain atau pakaiannya kerana telah diberi amaran oleh sekian banyak hadis-hadis yang sahih.

Had Isbal
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : مَرَرْتُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِى اِزَارِيْ اسْتِرْخَاءٌ . فَقَالَ : يَا عَبْدَ اللهِ ، اِرْفَعْ اِزَارَكَ . فَرَفَعْتُهُ . ثُمَّ قَالَ : زِدْ ! فَزِدْتُ ، فَمَازِلْتُ اَتَحَرَّاهَا بَعْدُ ، فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ اِلَى اَيْنَ ؟ فَقَالَ : نِصْفُ السَا قَيْنِ.
“Dari Abdullah bin Umar radiallahu ‘anhuma berkata: Aku pernah melintas (di hadapan) Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan dengan mengenakan pakaian labuh. Maka baginda bersabda: Wahai Abdullah! Naikkan/ tinggikan kainmu. Maka aku menaikkannya. Baginda bersabda lagi: Tambahkan (naikkan) lagi. Maka aku tambah lagi. Kemudian saya terus tidak meninggalkan cara berpakaian yang seperti selepas itu. Beberapa kaum yang bersama bertanya: Sampai ke paras mana? Baginda bersabda lagi: Pertengahan betis” (Hadis Riwayat Muslim dalam Sahihnya, 3/1650, No. 2086. Imam Baihaqi dalam Sunan al-Kubra. 2/43)
عَنِ الْعَلاَءِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ ، عَنْ اَبِيْهِ قَالَ : سَاَلْتُ اَبَا سَعِيْدٍ عَنِ اْلاِزَارِ فَقَالَ : أخْبِرُكَ بِعِلْمٍ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ :اِزَارَةُ الْمُؤْمِن اِلَى نِصْفِ السَّاقَيْنِ ، وَلاَ جُنَاحَ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْكَعْبَيْنِ . فَمَااَسْفَلَ مِنْ ذَلِكَ فَفِى النَّارِ ، لاَ يَنْظُرُ اللهُ اِلَى مَنْ جَرَّ اِزَارَهُ بَطرًا.
“Dari ‘Ala bin Abdulrahman dari bapanya berkata: Aku bertanya kepada Abu Saied tentang kain (pakaian). Maka beliau berkata: Aku khabarkan dengan ilmu, aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Pakaian seorang mukmin sehingga pertengahan dua betis. Tidak mengapa di antara betis dan maka kaki. Maka apa yang di bawah mata kaki maka dia di neraka, Allah tidak melihat orang yang melabuhkan pakaiannya dengan megah (sombong)” (Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya jld. 4/303. No. 4093. Ibn Majah 2/1183. No. 3573. Malik dalam Mu’ta hlm. 914-915. Ahmad dalam Musnad jld.2. No. 6, 31, 44, 52 dan 97. Ibn Abi Syaibah dalam Musanaf 8/244. Al-Humaidi dalam Musnadnya 2/323. No. 737. Al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra 2/244. Dan al-Bagawi dalam Syarah as-Sunnah 12/12)

Berkata Imam An-Nawawi rahimahullah:
بَطَرًا : أيْ عَجبًا وَخُيَلاَء
“Batran: iaitu megah dan sombong”.

Ber-Isbal Kerana Lupa, Tidak Sengaja Dan Kerana Terlalu Marah

Jika bersolat dalam keadaan isbal (berpakaian labuh) kerana lupa (tidak disedari), tidak disengajakan atau dalam keadaan marah, maka tidak ada hukum baginya (sah solatnya). Ini berdasarkan beberapa hadis Rasulullah terutamanya tentang cara pakaian baginda dalam solat semasa kesiangan:
اَنَّهَا لَمَّا كَسَفَتِ الشَّمْس خَرَجَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَزْعًا يَجُرُّ اِزَارهُ.
“Sesungguhnya setelah didapati matahari telah kelihatan, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam keluar (solat) tanpa disengajakan (tidak disedarinya) baginda berpakaian labuh”. (H/R Bukhari 2/526, 547 dan 10/355. An-Nasaii 3/127, 146 dan 152. No. 1464, 1491, 1492 dan 1502)
عَنْ عِمْرَانِ بْنِ حُصَيْنِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ فِى قِصَّةِ سُجَوْدِ السَّهْوِ ، وَاَنَّهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ غَضْبَانًا يَجُرُّ اِزَارَهُ
“Dari Imran bin Husin dalam kisah sujud sahwi bahawasanya baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam keluar (solat) dalam keadaan marah dan dalam keadaan labuh pakaiannya”. (Dikeluarkan oleh Muslim 1/99, 404. No. 101, 574. Abu Daud 1/618. No. 1018. An-Nasaii 3/26. No. 1237. Ibn Majah 1/384. No. 1215.)

Melalui hadis di atas, jelaslah bahawa hanya orang yang tidak perasan (tidak sedar), marah dan terlupa yang tidak berdosa jika berpakaian isbal, termasuklah semasa mengerjakan solat, kerana ia berlaku tanpa ada maksud atau dirancang.

HAD ISBAL TIDAK MELEBIHI MATA KAKI (BUKU LALI)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam penah menegur seorang lelaki yang berpakaian isbal dengan sabdanya:
وَارْفَعْ اِزَارَكَ اِلَى نِصْفِ السَّاقِ ، فَاِنْ اَبَيْتَ فَاِلَى الْكَعْبَيْنِ ، وَاِيَّاكَ وَاِسْبَالَ اْلاِزَارِ ، فَاِنَّهَا مِنَ الْمَخِيْلَةِ ، وَاِنَّ اللهَ لاَ يُحِبُّ الْمَخِيْلَةَ.
“Tinggikanlah kainmu sehingga pertengahan betis, jika tidak mahu berbuat seperti itu, maka (angkatlah) ke paras mata kaki, takutilah olehmu dari mengisbalkan kain, kerana yang demikian itu termasuk kesombongan dan sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong”. (Lihat: Riadhus Solihin. 2/869. Imam Nawawi. H/R Abu Daud dengan isnadnya yang sahih. Dan diriwayatkan juga oleh Imam Turmizi. Beliau mengatakan bahawa ini adalah hadis hasan sahih)

Hadis ini menunjukkan bahawa panjangnya pakaian yang diizinkan oleh Rasulullah untuk orang lelaki ialah tidak melebihi mata kaki, yang melebihinya dianggap isbal dan hukumnya haram. Dan hadis-hadis seterusnya yang mengharamkan isbal:
عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : بَيْنَمَا رَجُلٌ يُصَلِّى مُسْبِلاً اِزَارَهُ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِذْهَبْ فَتَوَضَّاْ ،فَذَهَبَ فَتَوَضَّاَ ثُمَّ جَاءَ ، فَقَالَ لَهُ : اِذْهَبْ فَتَوَضَّاْ . فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ : يَا رَسُوْلَ اللهِ مَالَكَ اَمَرْتَهُ اَنْ يَتَوَضَّاَ ثُمَّ سَكَتَّ عَنْهُ ، قَالَ : اِنَّهُ كَانَ يُصَلَّى وَهُوَ مُسْبِلٌ اِزَارَهُ ، وَاِنَّ اللهَ لاَيَقْبَلُ صَلاَةَ رَجُلٍ مُسْبِلٍ .
“Dari Abu Hurariah radiallahu ‘anhu berkata: Diketika seorang lelaki solat dalam keadaan labuh (mencecah bumi/isbal) kainnya, maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda kepadanya: Pergilah berwuduk, kemudian (setelah berwuduk) dia datang semula. Kemudian Rasulullah berkata kepadanya: Pergilah berwuduk. Maka berkata seorang lelaki lain kepada Rasulullah: Wahai Rasululla! Engkau menyuruhnya berwuduk kemudian engkau diam (tidak menerangkan sebabnya). Maka Baginda bersabda: Sesungguhnya dia bersolat dengan keadaan iabal (kainnya labuh menutupi mata kaki/mencecah tanah), sesungguhnya Allah tidak menerima solat lelaki yang isbal (melabuhkan) pakaiannya”. (Dikeluarkan oleh Abu Daud 1/419-420 No. 638. Baihaqi dalam Sunan al-Kubra 2/241. Berkata an-Nawawi: Sesungguhnya hadis ini menurut syarat Muslim, lihat: Riyadhus Solihin hlm. 278. Lihat: استيفاء الاقوال فى تحريم الاسبال على الرجل hlm. 27 oleh As-San’ani)

Orang-orang lelaki yang sengaja mengisbalkan (memanjangkan) seluar, kain atau pakaiannya terutama semasa mengerjakan solat, maka mereka hendaklah menghayati dan memikirkan isi hadis di atas ini, kerana Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam memerintahkan lelaki yang isbal agar berwuduk dan mengulangi solatnya sehingga dua kali. Malah diwaridkan dengan ancaman neraka bagi mereka yang berpakaian labuh mencecah bumi (isbal), sama ada semasa solat atau di luar solat. Baginda seterusnya mengancam dengan sabdanya sebagaimana hadis sahih riwayat Ibn Masoud:
عَنِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : مَنْ اَسْبَلَ اِزَرَهُ فِى صَلاَتِهِ خُيَلاَءَ ، فَلَيْسَ مِنَ اللهِ فِى حَلٍّ وَلاَ حَرَامٍ.
“Dari Ibn Masoud radiallahu ‘anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesiapa yang mengisbalkan kainnya dalam solatnya dengan megah, maka dari Allah tiada lagi yang halal dan haram”. (Dikeluarkan oleh Abu Daud 1/419. No. 637. At-Tabrani dalam Majma al-Kabir 9/315, 10/284. Abu Daud at-Tayalisi No. 351. Al-Baihaqi 2/242)

Berkata Imam an-Nawawi rahimahullahu tentang hadis di atas ini:
معناه : قد برئ من الله وفارق دينه
“Hadis ini memberi makna: (Orang yang isbal) telah berlepas dari Allah dan dia telah meninggalkan agamanya”. (Lihat: استيفاء الاقوال فى تحريم الاسبال على الرجال hlm. 28. As-San’ani)

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah:

“Isnadnya mauquf. Selanjutnya beliau berkata: Hadis seperti ini tidak dikatakan mengikut pendapat (ar-rakyu), maka pada hadis ini, tidak ada larangan untuk menerimanya secara zahirnya.” (Lihat: Fathul al-Bari 10/257)

Perhatian:

Sarung kaki atau jaurab (stoking) tidak dikatogerikan sebagai pakaian isbal. Ini bererti sesiapa yang memakai sarung kaki atau sepatu yang menutup mata kaki tidak dianggap berisbal. Persoalan ini telah dibincangkan oleh para ulama fiqh (fukaha).