Khamis, 13 September 2007

037 - BERGEMBIRALAH DI HARI RAYA

Bergembira Di Hari Raya `Ied Al-Fithri

Islam adalah agama yang praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah 'Azza wa Jalla, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan tersebut dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada Hari Raya `Ied al-Fithri adalah sebahagian daripada syi'ar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat.

Bagi kita di Malaysia kegembiraan sambutan Hari Raya `Ied al-Fithri dapat dilihat dengan berkumpul seluruh ahli keluarga dan ziarah-menziarah sesama umat Islam. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum Hari Raya `Ied al-Fithri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut `Ied al-Fithri selagi mana ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Menurut Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah:

Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, begitupun pelbagai macam nyanyian yang baik, semua itu menjadi syi'ar agama yang disyari'atkan Allah pada Hari Raya, untuk melatih tubuh jasmani dan untuk kepuasan serta kesenangan hati. (Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 2, ms. 290)

Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan suasana kegirangan di Hari Raya pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di mana baginda membenarkan acara-acara permainan untuk tontonan umum dan nyanyian yang tidak bercanggah dengan syarak. Di antara hadis-hadis tersebut adalah:

Hari itu adalah Hari Raya, di mana orang-orang Sudan bermain pedang dan perisai. Aku (`Aishah radhiallahu 'anha) tidak ingat apakah aku yang meminta untuk melihatnya ataukah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang berkata: "Apakah kamu ingin melihatnya." Aku pun menjawab: "Ya." Aku disuruhnya berdiri di belakangnya, di mana pipiku dekat dengan pipi baginda. Baginda berkata: "Biar yang lain, wahai Bani Arfidah!" Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: "Sudah cukup?" Aku menjawab: "Ya." Bagindapun bersabda: "Pergilah." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 950)

Dari `Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam masuk ke rumahku (pada Hari Raya), dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu'ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya. Ketika Abu Bakar (radhiallahu 'anh) masuk ke rumahku, dia memarahiku dan berkata: "Pada pandangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, (nyanyian) itu adalah seruling setan." Mendengar itu maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menemui Abu Bakar dan berkata kepadanya: "Biarkanlah mereka." Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lengah, aku memberikan isyarat dengan mata kepada kedua budak perempuan itu hingga mereka keluar. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 949)

Dari kedua-dua hadis ini al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah berkata: Pada Hari Raya dibolehkan mengadakan kegiatan yang dapat menghiburkan keluarga untuk melepas kelelahan setelah melakukan ibadah. Menampakkan kegembiraan pada Hari Raya merupakan sebahagian dari syi'ar Islam. (Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms 262)

Oleh itu kebiasaan masyarakat kita dalam berhari Raya seperti bersalaman dengan orang tua sambil meminta maaf, saling mengucapkan "Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin", menjamu rendang, lemang, ketupat dan kuih-muih serta melanjutkan sambutan Hari Raya sehingga genap sebulan adalah sesuatu yang dibolehkan. Ia tidak menyalahi syari'at mahu pun sunnah selagi mana dalam kebiasaan tersebut tidak dilakukan sesuatu yang mungkar atau ibadah yang bid'ah.

Adapun bersedih di Hari Raya sehingga menangis semasa saling bermaafan, perbuatan menziarahi kubur dan menangis dikuburan adalah amalan bid’ah yang tidak pernah dicontohkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, para sahabat radiallahu ‘anhum dan para Salaf al-Ummah (golongan awal) dikurun mufadalah. Maka, wajiblah ia ditinggalkan agar memperolehi keberkatan, kerana mencontohi sunnah itu adalah lebih utama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang pertanyaan/kemusykilan/komen/kritikan/cadangan boleh-lah ditulis terus ke ruangan komen ini, atau dihantar secara personal ke alamat e-mail ini, dimensi83@hotmail.com. Terima kasih kerana membaca.