Ahad, 7 Oktober 2007

049 - PERSOALAN ZAKAT FITRAH

PERSOALAN ZAKAT FITRAH

Maksud Zakat Fitrah

Zakat dari sudut bahasa ialah tumbuh dan bertambah. Harta yang dibayar sebagai zakat, ia sebenarnya menumbuh dan menambahkan lagi harta yang dimiliki oleh pembayar tersebut. Fitrah dari sudut bahasa ialah terbelah. Ada pun dari sudut syari‘at, maka Zakat Fitrah ialah harta yang wajib dibayar pada penghujung bulan Ramadhan. Demikian penerangan ringkas dari kamus-kamus bahasa Arab dan kitab-kitab fiqh.

Menarik untuk diperhatikan bahawa istilah Zakat Fitrah hanya dikenal dengan kedatangan Islam. Istilah tersebut tidak dikenal di kalangan bangsa Arab sebelum kedatangan Islam. Justeru ia adalah istilah yang khusus untuk Islam, tidak untuk bangsa mahu pun agama yang lain. [al-‘Aini – ‘Umdat al-Qari Syarh Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut, 1998), jld. 6, ms. 573]

Zakat fitrah juga dikenali dengan nama-nama lain, iaitu sedekah fitrah, zakat Ramadhan, zakat puasa, sedekah puasa dan sedekah Ramadhan.

Dalil Zakat Fitrah

‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:


فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum ke atas hamba dan orang yang merdeka sama ada lelaki mahu pun wanita, anak kecil mahu pun dewasa dari kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat (Aidil Fitri). [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1503 (Kitab al-Zakat, Bab kewajipan sedekah fitrah)]

Hukum Zakat Fitrah

Berdasarkan hadis di atas, jumhur ilmuan berpendapat bahawa hukum zakat fitrah ialah wajib. Ada segelintir yang berpendapat kewajipannya telah dibatalkan berdasarkan sebuah riwayat lain:


أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَدَقَةِ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ تَنْزِلَ الزَّكَاةُ فَلَمَّا نَزَلَتْ الزَّكَاةُ لَمْ يَأْمُرْنَا وَلَمْ يَنْهَنَا وَنَحْنُ نَفْعَلُهُ

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan kami untuk membayar zakat fitrah sebelum turunnya (kewajipan membayar) zakat (tahunan). Maka tatkala disyari‘atkan (kewajipan membayar) zakat (tahunan), baginda tidak lagi memerintahkan kami (untuk membayar zakat fitrah) mahu pun melarang kami (dari membayar zakat fitrah). Namun kita tetap melakukannya (membayar zakat fitrah). [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai, hadis no: 2505 (Kitab al-Zakat, Bab kewajipan sedekah fitrah sebelum disyari‘atkan zakat tahunan)]

Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) telah menolak pendapat segelintir ini dengan hujah bahawa hadis di atas tidak menunjukkan adanya pembatalan. Sebaliknya sikap diam Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah kerana perintah baginda yang awal sudah mencukupi tanpa perlu untuk baginda mengulanginya. Lebih dari itu, pensyari‘atan sesuatu yang baru tidak semestinya bererti pembatalan ke atas sesuatu yang lama. [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 4, ms. 139]

Selain itu ada juga yang berpendapat hukum zakat fitrah ialah sunat muakkadah kerana mereka memahami istilah “faradha” dalam hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar di atas sebagai “kadar ukuran”. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani sekali lagi menolak pendapat ini dengan menukil hujah Ibn Daqiq al-‘Id rahimahullah (702H), bahawa istilah “faradha” dari sudut bahasa memang bermaksud “kadar ukuran”. Akan tetapi yang diambil kira ialah maksud dari sudut syari‘at dan dari sudut ini, “faradha” ialah “kewajipan”. Maka memahami hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar dengan maksud kewajipan adalah lebih tepat. [Fath al-Bari, jld. 4, ms. 139]

Hikmah Zakat Fitrah

‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan hikmah zakat fitrah sebagai:


فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa dari perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin. Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat (Aidil Fitri) maka ia adalah zakat yang diterima (oleh Allah) baginya. Sesiapa yang membayarnya selepas solat (Aidil Fitri) maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa. [Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 1609 (Kitab al-Zakat, Bab zakat fitrah)]

Berdasarkan penjelasan ‘Abd Allah ibn ‘Abbas, dapat ditangkap bahawa hikmah zakat kembali kepada dua pihak:

Pihak yang berpuasa. Zakat fitrah membersihkan, yakni menampal kekurangan-kekurangan puasanya sepanjang Ramadhan, yang disebabkan oleh perbuatannya yang mungkin sia-sia atau perkataannya yang mungkin kotor. Dengan membayar zakat fitrah, amalan seseorang di sepanjang bulan Ramadhan kembali bersih seperti salji putih.

Pihak yang memerlukan. Zakat fitrah memastikan orang-orang yang miskin mendapat makanan yang secukupnya agar dengan itu mereka dapat meraikan Aidil Fitri dalam suasana kecukupan bersama keseluruhan umat Islam. Islam tidak ingin melihat di hari 1 Syawal ada orang yang meminta-minta padahal di kalangan umat Islam ada yang meraikannya dalam suasana kecukupan.

Golongan Yang Wajib Membayar Zakat Fitrah

Golongan yang wajib membayar zakat fitrah adalah seperti berikut:

Pertama:

Kewajipan zakat fitrah hanya ke atas orang Islam sebagaimana hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar yang telah dikemukakan sebelum ini: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah … dari kalangan umat Islam.”

Kedua:

Zakat fitrah diwajibkan ke atas orang yang mampu, iaitu memiliki kecukupan yang melebihi keperluannya untuk sehari semalam. Batas ini ditetapkan oleh para ahli fiqh mengingatkan tujuan zakat fitrah adalah untuk memenuhi keperluan orang miskin selama satu hari, iaitu pada 1 Syawal sempena Aidil Fitri.

Kecukupan yang melebihi keperluannya adalah sesuatu yang sedia ada di sisinya. Oleh itu tidak perlu menjual harta, barang kemas dan sebagainya untuk mencapai taraf kecukupan.

Ketiga:

Orang-orang yang nafkah hidupnya berada di bawah tanggungan orang lain, maka dia tidak wajib membayar zakat fitrah. Zakat fitrahnya dibayar oleh orang yang menanggung nafkah hidupnya, berdalilkan hadis berikut:


أَنَّ النَبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ عَلَى الصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى مِمَّنْ تَمُونُونَ

Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah ke atas anak kecil dan orang dewasa, lelaki dan wanita, dari orang-orang yang kalian tanggung nafkah hidupnya. [Hasan: Dikeluarkan oleh al-Daraquthni dalam Sunannya, hadis no: 2052 (Kitab Zakat al-Fitri) dan dengan sanad yang memiliki perbincangan. al-Albani menilainya hasan berdasarkan jalan periwayatan lain yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi. Rujuk Irwa’ al-Ghalil fi Takhrij Ahadits Manar al-Sabil (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), hadis no: 835]

Siapa dan bagaimanakah kedudukan orang yang di bawah tanggungan tersebut? Syaikh ‘Abd al-Karim Zaidan hafizhahullah telah menghimpun perbincangan para ilmuan dalam persoalan ini dalam karyanya al-Mufashshal fi Ahkam al-Mar’ah wa Bait al-Muslim fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah (Muassasah al-Risalah, Beirut, 2000), jld. 1, ms. 455 dan seterusnya. Ia dapat saya ringkaskan seperti berikut:

1 - Suami tidak mampu, isteri tidak mampu. Suami isteri tidak wajib bayar zakat fitrah.

2 - Suami mampu, isteri tidak mampu. Suami membayar zakat fitrah untuk diri dan isterinya.

3 - Suami mampu, isteri mampu (memiliki harta atau bekerjaya). Suami membayar zakat fitrah untuk diri dan isterinya. Akan tetapi zakat tahunan isteri dibayar oleh isteri itu sendiri.

4 - Suami telah menceraikan isteri tetapi masih menanggung nafkahnya. Suami membayar zakat fitrah untuk dirinya dan untuk isteri yang telah diceraikan itu.

5 - Suami tidak mampu (miskin, muflis, kena buang kerja), isteri mampu. Isteri membayar zakat fitrah hanya untuk dirinya sendiri.

6 - Ibubapa dan anak tidak mampu. Kesemuanya tidak wajib bayar zakat fitrah.

7 - Ayah mampu, anak tidak mampu. Ayah membayar zakat fitrah untuk anak-anaknya.

8 - Ayah mampu, anak mampu (biasiswa pendidikan, sudah bekerjaya). Masing-masing membayar zakat fitrah untuk dirinya sendiri.

9 - Ayah tidak mampu, ibu mampu, anak tidak mampu. Ibu membayar zakat fitrah hanya untuk dirinya.

10 - Ibubapa tidak mampu (tua, telah bersara), anak mampu. Anak membayar zakat fitrah untuk diri dan ibubapanya.

11 - Ibu sedang hamil. Tidak wajib membayar zakat fitrah untuk anak yang dikandung. Akan tetapi kebanyakan ilmuan menganjurkannya berdasarkan tindakan para sahabat. [‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam – Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 3, ms. 375]

12 - Penjaga dan anak yatim piatu tidak mampu. Kesemuanya tidak wajib membayar zakat fitrah.

13 - Penjaga mampu, anak yatim tidak mampu. Penjaga membayar zakat fitrah untuk dirinya dan anak yatim piatu jagaannya itu.

14 - Penjaga mampu, anak yatim piatu mampu (memiliki harta warisan). Penjaga membayar zakat fitrah untuk dirinya dengan hartanya sendiri. Kemudian membayar zakat fitrah untuk anak yatim piatu jagaannya dengan harta anak yatim itu sendiri.

15 - Penjaga tidak mampu, anak yatim piatu mampu. Penjaga tidak wajib membayar zakat fitrah tetapi membayar zakat fitrah untuk anak yatim piatu jagaannya dengan harta anak yatim itu sendiri.

Kadar Bayaran Zakat Fitrah

Kadar bayaran zakat fitrah ialah satu sha’ sebagaimana yang disebut dalam hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar di atas: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ kurma…”. Ukuran satu sha’ bersamaan dengan 2.157 kilogram. [Kamal bin al-Sayyid Salim – Shahih Fiqh al-Sunnah (edisi terjemahan oleh Besus Hidayat Amin dengan judul yang sama; Pustaka Azzam, Jakarta, 2006), jld. 2, ms. 134]

Bentuk Bayaran Zakat Fitrah

Terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan Islam berkenaan bentuk bayaran zakat fitrah dan waktu membayar zakat fitrah. Perbincangan ini membahagikan para ilmuan kepada dua kumpulan:

Kumpulan Pertama memandang zakat sebagai ibadah yang melibatkan hak Allah Subhanahu wa Ta'ala. Maka ayat-ayat dan hadis-hadis berkenaan zakat hendaklah diambil hukumnya secara zahir.

Kumpulan Kedua memandang zakat sebagai ibadah yang melibatkan hak manusia. Maka ayat-ayat dan hadis-hadis berkenaan zakat hendaklah diambil hukumnya berdasarkan tujuan yang ingin dicapai oleh syari‘at.

Berdasarkan dua kumpulan ini, mereka memiliki dua pandangan tentang bentuk bayaran zakat fitrah:

Kumpulan Pertama berpendapat zakat fitrah hendaklah dibayar dalam bentuk makanan yang disebut oleh hadis-hadis yang sahih sahaja, iaitu kurma, gandum, keju dan anggur kering. Makanan-makanan ini disebut oleh Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu 'anh yang berkata:


كُنَّا نُخْرِجُ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ أَقِطٍ أَوْ صَاعًا مِنْ زَبِيبٍ

Kami (para sahabat) membayar zakat fitrah dengan satu sha’ makanan atau satu sha’ gandum atau satu sha’ kurma atau satu sha’ keju atau satu sha’ anggur kering. [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1506 (Kitab al-Zakat, Bab sedekah fitrah dengan satu sha’ makanan)]

Kumpulan Kedua berpendapat zakat fitrah hendaklah dibayar dalam bentuk makanan asasi sesebuah masyarakat. Mereka tidak merujuk kepada zahir hadis, sebaliknya merujuk kepada tujuan hadis, iaitu memberi makanan kepada orang miskin sempena Aidil Fitri. Sudah tentu masyarakat yang hidup di tempat lain memiliki makanan asasi yang berlainan. Mewajibkan zakat fitrah dengan makanan yang bukan asasi bagi sesebuah masyarakat hanya akan menyusahkan mereka dan ini menyelisihi tujuan Islam mensyari‘atkan zakat fitrah.

al-Syafi’e rahimahullah (204H) menjelaskan:

Jika makanan asasi seseorang ialah jagung, padi atau biji-bijian yang lain, maka dia wajib membayar zakat fitrah sesuai dengan makanan asasinya. Ini kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah dari jenis makanan dan baginda menyebut gandum dan kurma. Kami menggunakan akal dalam memahami (sabda Rasulullah tersebut), bahawa yang baginda ingin sebutkan ialah makanan asasi. Maka apa jua yang menjadi makanan asasi kita, maka itulah yang kita gunakan untuk membayar zakat fitrah, insya-Allahu Ta‘ala. [Mausu‘ah al-Imam al-Syafi’e: al-Kitab al-Umm (tahqiq: Ahmad Badr al-Din; Dar Qutaibah, 1996), jld. 4, ms. 254]

Pendapat yang dipilih ialah apa yang dikemukakan oleh Kumpulan Kedua, iaitu hendaklah zakat fitrah dibayar menggunakan makanan asasi sesebuah masyarakat.

Seterusnya timbul perbincangan di kalangan para ilmuan, bolehkan makanan asasi tersebut dibayar dengan nilainya? Kedua-dua kumpulan di atas memiliki pandangan yang tersendiri:

Kumpulan Pertama berpendapat zakat fitrah hendaklah dibayar dengan bahan makanan. Ia tidak boleh diganti dengan nilai makanan kerana zahir hadis menyebut makanan.

Kumpulan Kedua berpendapat zakat fitrah boleh dibayar dengan nilai bahan makanan. Ini kerana tujuan yang ingin dicapai oleh hadis adalah supaya orang miskin mendapat makanan sempena Aidil Fitri dan tujuan ini dapat dicapai dengan memberi nilai bahan makanan kepadanya.

Pendapat yang dipilih ialah di pertengahan antara kedua-dua pendapat di atas. Orang yang hendak membayar zakat fitrah hendaklah memerhatikan terlebih dahulu keadaan orang miskin. Jika memberi makanan adalah lebih bermanfaat, seperti kepada orang-orang miskin yang hidup di pendalaman, maka hendaklah dia membayar zakat fitrah dengan makanan. Jika memberi nilai makanan adalah lebih bermanfaat, seperti kepada orang-orang miskin yang hidup di kota, hendaklah dia membayar zakat fitrah dengan nilai makanan. Demikian merupakan pendapat Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah, 2001), jld. 25, ms. 82-83]

Waktu Membayar Zakat Fitrah

Waktu membayar zakat fitrah ialah sebelum keluar menunaikan solat Aidil Fitri. Ini sebagaimana hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar yang dikemukakan sebelum ini: “Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat (Aidil Fitri).” Walaubagaimana pun dalam sebuah riwayat diterangkan bahawa:


وَكَانُوا يُعْطُونَ قَبْلَ الْفِطْرِ بِيَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ.

(Para sahabat) biasa membayar zakat fitrah sehari atau dua hari sebelum Aidil Fitri. [Sahih: Dikeluar oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1511 (Kitab al-Zakat, Bab sedekah fitrah diwajibkan atas orang merdeka dan hamba)]

Berdasarkan tindakan para sahabat di atas, radhiallahu 'anhum, kedua-dua kumpulan mengemukakan pendapat yang tersendiri:

Kumpulan Pertama berpendapat pembayaran zakat fitrah tidak boleh diawalkan melebihi dua hari daripada tarikh 1 Syawal. Ini kerana zahir dari tindakan para sahabat menunjukkan mereka tidak mengawalkannya melebihi dua hari.

Kumpulan Kedua berpendapat zakat pembayaran zakat fitrah boleh diawalkan melebihi dua hari daripada tarikh 1 Syawal. Ini kerana pengawalan dua hari yang dilakukan oleh para sahabat bukanlah satu ketetapan, tetapi satu pilihan berdasarkan kemasalahatan pada zaman mereka.

Pendapat yang dipilih sekali lagi adalah yang dipertengahan antara kedua-dua pendapat di atas. Boleh membayar zakat fitrah lebih awal dari tarikh 1 Syawal, akan tetapi tidak terlalu awal sehingga menghilangkan tujuan zakat fitrah itu sendiri. Ini kerana tujuan zakat fitrah adalah untuk membantu orang miskin meraikan Aidil Fitri. Jika dibayar terlalu awal, mereka (orang miskin) mungkin akan menggunakan zakat fitrah tersebut sebelum tiba Aidil Fitri.

Merujuk kepada suasana di Malaysia, jika seseorang itu ingin membayar zakat fitrah kepada orang miskin dengan sendiri, adalah lebih afdhal dia membayar pada ketika yang menghampiri Aidil Fitri, asalkan sebelum solat Aidil Fitri. Sebaliknya jika seseorang itu membayar zakat fitrah kepada Pusat Pungutan Zakat, maka dia boleh membayarnya pada ketika mereka mula bersedia menerimanya.

Golongan Yang Berhak Menerima Zakat Fitrah

Terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan tentang golongan yang berhak menerima zakat fitrah. Perbincangan mereka membuahkan dua pendapat:

Pendapat Pertama menyatakan golongan yang berhak menerima zakat fitrah ialah golongan yang juga berhak menerima zakat tahunan. Ini kerana zakat fitrah adalah salah satu kategori zakat yang termasuk dalam firman Allah:


إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنْ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. [al-Taubah 9:60]

Pendapat Kedua menyatakan golongan yang berhak menerima zakat fitrah hanyalah orang miskin berdasarkan hadis yang menerangkan hikmah zakat fitrah: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah … sebagai makanan untuk orang miskin.”

Pendapat yang dipilih adalah dipertengahan antara dua pendapat di atas. Prioriti utama zakat fitrah adalah untuk orang miskin. Jika kesemua orang miskin sudah dicukupi, maka baki zakat fitrah yang terkumpul boleh diberikan kepada golongan-golongan lain yang disenaraikan dalam ayat 60 surah al-Taubah di atas.

Demikian hasil telaah beberapa hukum dan syarat berkenaan zakat fitrah. Semoga ia bermanfaat kepada para pembaca sekalian. Lebih penting, semoga zakat fitrah yang kita bayar diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, dapat menampal apa-apa kekurangan kita sepanjang bulan Ramadhan dan agar orang-orang miskin sama-sama dapat meraikan Aidil Fitri dengan bahagia.

19 ulasan:

  1. soalan: bolehkah zakat fitrah diberi terus kepada fakir miskin tanpa melalui amil yang telah dilantik?

    contohnya jiran saya diketahui umum adalah seorang yang miskin, lantas dibulan ramadhan saya memberikan sedakah kepadanya dengan niat menunaikan zakat.

    adakah sah zakat fitrah saya itu?

    BalasPadam
  2. Boleh. Bagi dalam bentuk makanan asasi. Itulah yg sunnah.

    BalasPadam
  3. soalan: Di zaman serba moden ini, bagaimana kita hendak mengukur tahap kemiskinan seseorang itu? berdasarkan apa?

    soalan 2: Dimana kita boleh mencari fakir miskin untuk disedekahkan zakat fitrah ataupun fidyah?

    soalan 3: Selain fakir miskin, pada siapa lagi kita boleh membayar fidyah? Siapakah golongan asnaf itu?

    sekian. terima kasih.

    assalamualaikum..

    BalasPadam
  4. Dimana paling afdal kita membayar zakat fitrah?
    1. di tempat mencari rezeki
    2.di tempat kita meraikan aidilfitri

    BalasPadam
  5. boleh ka kita membayar zakat tetapi belum mandi wajib

    BalasPadam
  6. bolehkah zakat suami saya dizakatkan oleh kakak ipar?sedangkan suami saya masih mampu??apa hukum untuk kakak ipar saya??

    BalasPadam
  7. Sah atau tidak bayar zakat di mane2 negeri dalam Malaysia...tidal kira dimana kita tinggal Dan bekerja.

    BalasPadam
  8. Saya bekerja di kedah isteri dan anak di selangor..di mana yg afdhal sy byr zakat fitrah? Di kedah atau selangor?

    BalasPadam
  9. Saya bekerja di kedah isteri dan anak di selangor..di mana yg afdhal sy byr zakat fitrah? Di kedah atau selangor?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dimana paling afdal kita membayar zakat fitrah?
      1. di tempat mencari rezeki
      2.di tempat kita meraikan aidilfitri
      (Dari kiriman org lain)

      Padam
    2. Dimana paling afdal kita membayar zakat fitrah?
      1. di tempat mencari rezeki
      2.di tempat kita meraikan aidilfitri
      (Dari kiriman org lain)

      Padam
    3. Dimana paling afdal kita membayar zakat fitrah?
      1. di tempat mencari rezeki
      2.di tempat kita meraikan aidilfitri
      (Dari kiriman org lain)

      Padam
  10. Saya bekerja di kedah isteri dan anak di selangor..di mana yg afdhal sy byr zakat fitrah? Di kedah atau selangor?

    BalasPadam
  11. Zakat fitrah boleh dibayar untuk orang lain tak...maksud saya bayar untuk org yang bukan ada talian darah atau masih bukan sebagai isteri yg sah..(tunang)

    BalasPadam
  12. Zakat fitrah boleh dibayar untuk orang lain tak...maksud saya bayar untuk org yang bukan ada talian darah atau masih bukan sebagai isteri yg sah..(tunang)

    BalasPadam
  13. Zakat fitrah boleh dibayar untuk orang lain tak...maksud saya bayar untuk org yang bukan ada talian darah atau masih bukan sebagai isteri yg sah..(tunang)

    BalasPadam
  14. Assalammualaikum ustaz..saya x paham tentang hukum bayar zakat fitrah utk ibubapa..ibubapa saya sudah pencen dan ada terima duit pencen setiap bulan(kakitangan kerajaan),saya selalu bayar zakat fitrah utk mereka setelah mereka pencen(hanya memaklumkan kepada mereka setelah saya bayar zakat fitrah)..adakah zakat fitrah yg saya bayar utk mereka selama ini x sah..(saya baru d maklumkan yg mana mesti mintak persetujuan ibubapa dahulu sebelum buat bayaran zakat fitrah utk mereka)..sekian terima kasih

    BalasPadam
  15. Assalamualaikum zakat fitrah boleh dibayar oleh tunang saya?

    BalasPadam

Sebarang pertanyaan/kemusykilan/komen/kritikan/cadangan boleh-lah ditulis terus ke ruangan komen ini, atau dihantar secara personal ke alamat e-mail ini, dimensi83@hotmail.com. Terima kasih kerana membaca.