Khamis, 29 November 2007

059 - Bermurah-murahlah Dalam Meletakkan Mahar Pernikahan Wahai Wanita

Bermurah-murahlah Dalam Meletakkan Mahar Pernikahan Wahai Wanita

Mahar adalah apa yang diberikan kepada isteri berupa harta atau selainnya dengan sebab pernikahan.

Imam ahmad meriwayatkan:

“Di antara kebaikan wanita ialah memudahkan maharnya dan memudahkan rahimnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, di dalam Musnadnya, no. 23957. Dihasankan oleh sheikh al-Albani di dalam Sahihul Jami’, 2/251)

Di dalam riwayat lain memiliki tambahan yang menyatakan, “Iaitu, memudahkan rahimnya untuk melahirkan.”

Abu Daud meriwayatkan dari ‘Uqbah bin ‘Amir r.a., ia mengatakan: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sebaik-baik pernikahan ialah yang paling mudah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2117, kitab an-Nikah. Dinyatakan al-Albani sebagai diterima menurut syarat imam Muslim di dalam al-Irwaa’, 6/345)

Dalam riwayat Ahmad:

“Pernikahan yang paling besar keberkahannya ialah yang paling mudah maharnya.” (Hadis Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, no. 24595)

Dalam hal ini, Sheikh ash-Shabuni menyatakan bahawa:

“Rasulullah s.a.w. tidak menyatakan: ‘Jika datang kepada kalian orang yang memilkijutaan ringgit, orang yang memiliki gedung, dan kenderaan atau putera fulan dan fulan.’ Tetapi Baginda menyatakan: ‘Siapa yang engkau redhai agama dan akhlaknya adalah prinsip dan landasan dalam urusan pernikahan. Sedangkan harta adalah persoalan kedua yang agak bersifat relatif pengaruhnya, bergantung kepada pengurusannya.

Sebagaimana perkataan penyair:

‘Aku tidak melihat kebahagiaan atas dasar mengumpulkan harta tetapi ketaqwaan itulah kebahagiaan yang sebenar.’” (Kita az-zawaaj al-Islami al-Mubakkir, no. 109)

Malah, dalam banyak riwayat yang lain, ada dinyatakan bahawa mahar itu diberi dalam pelbagai bentuk dan tidak semestinya berdasarkan wang, emas, atau perak. Ada yang hanya dengan mengislamkan wanita yang hendak dinikahi, ada yang dengan hanya mengajarkan hafazan surah-surah tertentu, dan saidina Ali sendiri dengan memberikan baju besi kepada Fatimah.

Jumaat, 23 November 2007

058 - MERUNGKAI PERSOALAN ITTIBA' DAN TAQLID

MERUNGKAI PERSOALAN ITTIBA' DAN TAQLID

Pengertian Ittiba’

Ittiba’ secara bahasa bererti iqtifa’ (menelusuri jejak), qudwah (bersuri teladan) dan uswah (berpanutan). Ittiba’ terhadap Al-Qur’an bererti menjadikan Al-Qur’an sebagai imam dan mengamalkan isinya. Ittiba’ kepada Rasul bererti menjadikannya sebagai panutan yang patut diteladani dan ditelusuri langkahnya. (Mahabbatur Rasul, hal.101-102).

Adapun secara istilah ittiba’ bererti mengikuti seseorang atau suatu ucapan dengan hujjah dan dalil. Ibnu Khuwaizi Mandad mengatakan : "Setiap orang yang engkau ikuti dengan hujjah dan dalil padanya, maka engkau adalah muttabi’ (Ibnu Abdilbar dalam kitab Bayanul ‘Ilmi, 2/143)

Allah memerintahkan agar semua kaum muslimin ber-ittiba’ kepada Rasulullah saw, seperti Firman-Nya: "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah suri teladan yang baik., (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kesenangan) hari akhirat dan dia banyak menyebut Allah." (Al-Ahzab:21)

Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan ayat ini: "Ayat ini merupakan asas pokok lagi agung dalam bersuri teladan kepada Rasulullah saw dalam segala ucapan, perbuatan dan hal ehwalnya…"(Tafsir Ibnu Katsir, 3/475). Sedangkan Muhammad Nashiruddin Al-Albani dalam kitabnya Al-Hadis Al-Hujjatun bi Nafsihi pada hal.35 menyatakan: "Ayat ini memberi pengertian bahawa Rasulullah saw adalah panutan kita dan suri teladan bagi kita dalam segala urusan agama…"

Ber-uswah kepada Rasulullah saw ialah mengerjakan sesuai dengan apa yang dikerjakan oleh beliau, baik berupa amalan sunnah atau pun wajib dan meninggalkan semua yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw baik perkara itu makruh, apalagi yang haram. Jika beliau SAW mengucapkan suatu ucapan, kita juga berucap seperti ucapan beliau, jika beliau mengerjakan ibadah, maka kita mengikuti ibadah itu dengan tidak ditambah atau dikurangi. Jika beliau menganggungkan sesuatu, maka kita juga mengagungkannya.
Namun perlu diperhatikan bahawa mustahil seseorang itu ber-uswah atau ber-ittiba’ kepada Rasulullah saw jika dia jahil (bodoh) terhadap sunnah-sunnah dan petunjuk-petunjuk Rasulullah saw. Oleh sebab itu jalan satu-satunya untuk ber-uswah kepada Rasulullah adalah dengan mempelajari sunnah-sunnah beliau – ini menunjukkan bahawa atba’ (pengikut Rasul) adalah ahlul bashirah (orang yang berilmu)

Dan cukup banyak ayat-ayat Al-Qur’an agar kita senantiasa mengikuti sunnah seperti:

"Barangsiapa yang mentaati Rasul bererti dia mentaati Allah.. " (An-Nisa’:80)

"Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga…" (An-Nisa’:13) … dan ayat-ayat yang lainnya.

Dan perkataan Rasulullah merupakan perkataan yang harus dipercaya, sebab "Dan tidaklah ia berkata-kata dari hawa nafsunya melainkan wahyu yang disampaikan Allah kepadanya." (An-Najm:4)

Bahkan Rasulullah mengingkari orang-orang yang beramal tetapi mereka tidak mahu mencontoh seperti apa yang pernah dicontohkan oleh Rasulullah:

"Barangsiapa yang melakukan amalan yang tidak ada contohnya dari kami, maka amalan itu tertolak." (HR. Muslim, 1718)

Dalam hadis ini ada faedah penting, iaitu : Niat yang baik semata tidak dapat menjadikan suatu amalan menjadi lebih baik dan akan diterima di sisi Allah, akan tetapi harus sesuai dengan cara yang pernah diajarkan oleh Rasulullah saw. Oleh sebab itu Nabi menutup jalan bagi orang yang suka mengada-ngada dalam ibadah dengan ucapan : "Siapa yang benci (meninggalkan) sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku".(HR. Bukhari). Dan ini berlaku bagi seluruh sunnah yang telah ditetapkan beliau.

Maka dengan demikian kedudukan ittiba’ (mengikuti contoh kepada Ralullah saw) dalam Islam adalah wajib, setiap orang yang mengaku muslim mesti meninggikannya, bahkan ia merupakan pintu bagi seseorang setelah masuk Islam. Sehingga Ittiba’ kepada Rasulullah adalah salah satu syarat agar diterimanya amal seseorang. Sedangkan syarat diterimanya ibadah seseorang yang disepakati oleh para ulama, ada dua: Pertama, mengikhlaskan niat ibadah hanya kepada Allah. Kedua, harus mengikuti dan cocok dengan apa yang diajarkan Rasulullah SAW.

Pengertian Taqlid

Taqlid dari segi bahasa bererti membuat ikatan di leher. Diambil dari kata qaladah, iaitu sesuatu yang digunakan orang untuk mengikat yang lainnya. (Al-‘Aqa’id hal. 91). Adapun secara istilah, taqlid bermakna mengambil mazhab dari seseorang atau beramal dengan ucapan-ucapan orang itu tanpa dalil dan hujjah. Abu Abdillah bin Khuwaizi Mandad menyatakan : "Setiap orang yang engkau ikut tanpa dalil dan hujjah maka engkau adalah muqallidnya". (Al-‘Alamul Muwaqqi’in hal.137). Dengan demikian jika kita mengikuti pendapat seseorang, padahal pendapatnya itu tidak berdasarkan Al-Qur’an dan Sunnah sesuai dengan pemahaman gene-rasi shahabat, maka kita adalah muqallidnya.

Hukum bertaqlid

1 - Pendapat yang membolehkan taqlid kepada salah satu imam mazhab. Pendapat ini dipegang banyak oleh orang-orang yang fanatik terhadap mazhab.

2 - Pendapat yang secara mutlak melarang taqlid, seperti diantaranya pendapat Iman As-Syaukani dan Ibnu Khuwazi Mandad.

3 - Taqlid dengan syarat. Iaitu taqlid yang diperbolehkan, seperti taqlid orang bodoh kepada ‘alim yang terpercaya; serta taqlid yang dilarang, seperti taqlid seseorang kepada ‘alim tanpa hujjah (dalil). Pendapat ini adalah pendapat jumhur para ulama.

Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani berkomentar tentang kebolehan seorang awam bertaqlid kepada ‘alim yang terpercaya: "Yang benar adalah bahawa orang yang tidak mampu untuk mengetahui dalil, dia itulah yang diharuskan taqlid. Kerana Allah tidak membebani suatu jiwa pun kecuali sesuai dengan kemampuannya. Dan kadang-kadang seorang ‘alim pun terpaksa harus taqlid dalam beberapa permasalahan iaitu ketika dia tidak mendapatkan nash Al-Qur’an dan As-Sunnah dan dia mendapatkan ucapan orang yang lebih ‘alim dari dirinya. Maka keadaan itu dia pun terpaksa taqlid kepadanya. Hal ini pernah dilakukan oleh Imam Syafi’i dalam beberapa permasalahan."

Para muqallid mazhab berpendapat yang sebenarnya pendapat mereka itu bukan pada tempatnya. Di antara pendapat mereka adalah: "Tidak seorang pun yang dapat memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah serta mengamalkannya kecuali hanya para imam mazhab saja. Sedangkan mereka sudah memenuhi syarat begini dan begitu!! Bahawa merekalah yang lebih memenuhi syarat untuk pekerjaan itu, serta tidak ada satu manusia pun bisa melakukannya setelah mereka." Begitu perkataan mereka.

Bantahan ucapan mereka itu adalah firman Allah: "Dan sesungguhnya kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk pelajaran, maka adakah orang-orang yang mengambil pelajaran?" (Al-Qamar 17, 22, 32 dan 40)

"Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran." (Shaad: 29)

Kedua ayat ini membantah pemahaman bahawa Al-Qur’an itu dilarang dipelajari oleh sembarang orang. Bahkan kepada orang munafiq atau kafir pun Allah perintahkan untuk mempelajari Al-Qur’an itu, seperti Firman-Nya dalam surat Muhammad: 24

Para muqallid mazhab juga berpendapat bahawa : "Tidak boleh taqlid kepada selain empat mazhab, sekali pun tidak sesuai dengan ayat Al-Qur’an dan Sunnah, tidak pula kepada aqwal (pendapat) sahabat, kerana orang yang keluar dari mazhab yang empat adalah sesat dan menyesatkan. Juga kerana mengambil erti zhahir nash Al-Qur’an dan As-Sunnah termasuk pokok-pokok kekufuran."

Ucapan mereka ini bukan saja syubhat tetapi kebathilan bahkan kejahilan yang amat jahil. Al-‘Allamah Muhammad Amin Asy-Syinqithi dalam kitabnya Al-Aqalid hal.24-25 menyata-kan: "Lihatlah wahai saudara-saudaraku. Alangkah keji dan bathilnya perkataan mereka. Boleh meyelisihi Al-Qur’an dan As-Sunnah dan Ijma’ Shahabat asal jangan keluar dari empat mazhab. Ini adalah kedustaan besar!!" Ada pun ucapan mereka bahawa ‘Sesungguhnya mengambil zhahir Al-Qur’an termasuk pokok-pokok kekufuran.’ Juga merupakan kebathilan yang sangat keji dan besar."

Justru yang tidak mengikuti Al-Qur’an dan As-Sunnah bererti telah kufur. Seperti Firman Allah:

"Taatlah kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul-Nya (As-Sunnah), barangsiapa yang berpaling (dari keduanya) maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir." (Al-Imran: 32)

Padahal Allah telah membenarkan untuk mengikuti petunjuk (ijma’) shahabat seperti Firman-Nya:

"Generasi pertama (Islam) dari kaum Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik Allah RIDHO kepada mereka dan mereka ridho kepada Allah…" (At-Taubah: 100)

Atau perkataan mereka bahawa melarang mengambil erti Al-Quran dan Sunnah yang tersurat kerana termasuk-masuk pokok-pokok kekufuran. Lihatlah bagaimama Firman Allah membantah mereka:

"Dia (Allah) yang menurunkan Al-Kitab (Al-Qur’an) kepadamu di dalam terdapat ayat-ayat YANG JELAS, sebagian besar isi Al-Qur’an itu(demikian)…" (Al-Imran: 7)"

Perhatikan para muqallid, Allah menyatakan bahawa Al-Qur’an itu mudah dipelajari, dan mudah dimengerti. Lalu mereka melarang orang-orang mempelajari Al-Qur’an dengan pengerti-an tekstual bisa kufur. Masya Allah! Sama saja ertinya mereka menggiring orang untuk menjauhi Al-Qur’an. Maka jelaslah kedustaan mereka yang mereka ada-adakaan. Sementara Rasulullah pernah bersabda bahawa:

"Sesungguhnya agama ini mudah, tidaklah seseorang mempersulitnya kecuali akan dikalahkan" (HR. Bukhari)

Perhatikan, agama ini bukan teka-teki. Jika Al-Qur’an itu sulit bagi manusia maka tidak ada gunanya ia diturunkan. Dan tidak ada gunanya pula kita diperintahkan untuk mempelajarinya sebagai Hudal linnas (petunjuk bagi manusia)

Dan para muqallid itu berdalil dengan firman Allah :"…maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahuinya."(Al-Anbiya’: 7)

Mereka memakai istidlal (pengambilan dalil) bukan pada tempatnya. Kerana ayat itu tidak menunjukkan taqlid buta. Yang dimaksud ahlu dzikr pada ayat adalah orang yang mengerti tentang wahyu yang turun. Diperintahkan bertanya kepada mereka agar diberi fatwa dengan ketentuan wahyu. Kerana Al-Qur’an dan Sunnah pada hakekatnya adalah wahyu dari Allah, maka jika seseorang menjelaskan dengan kedua wahyu tersebut, sehingga bila kita mengikuti penjelasan seseorang dengan Al-Qur’an dan Sunnah bukan taqlid lagi namanya tetapi ittiba’.

Begitulah para muqallid membela-bela pendirian mereka. Bahkan banyak lagi ayat-ayat dan As-Sunnah yang mereka gunakan supaya terkesan "benar" di mata orang-orang yang sama jahilnya dengan mereka. Sampai-sampai seorang ulama besar seperti Ibnul Qayyim Al-Jaujiyyah rahimahullah membantah mereka dalam kitabnya Al-Muwaqqi’in, juz II hal.140-198 dengan hujjah kepada para muqallid mazhab sampai beliau menyebutnya lebih dari 80 segi.

Komentar para Imam Mazhab tentang Taqlid

1 - Imam Hanafi (Abu Hanifah An-Nu’man bin Tsabit)

"Apabila hadis itu sahih maka itu adalah mazhabku" (Perkatan beliau ini dapat dilihat pada kitab Al-Hasyiyah karya Ibnu Abidin Juz 1/63, juga dalam risalah Rasmul Mufti Juz 1/4.)

"Tidaklah dihalalkan bagi seseorang untuk berpegang kepada perkataanku, selagi ia tidak tahu dari mana aku mengambilnya." (Ibnu Abdilbar dalam kitab Al-intiqa’u fi Fadha-ilist Tsalatsatil ‘A-immatil Fuqaha’i p.145, dan Ibnul Qayyim dalam I’lamul Muwaqqi’in, 2/309 dan Ibnu Abidin dalam Al-Hasyiyah)

Dalam riwayat lain dikatakan: "Adalah haram bagi orang yang tidak megetahui alasanku untuk berfatwa dengan perkataanku.". Atau riwayat lain lagi : "Sesungguhnya kami adalah manusia yang mengatakan perkataan pada hari ini dan meralatnya di esok hari."

Beliau berkata kepada Abu Yusuf: "Kasihan engkau wahai Ya’qub (Abu Yusuf) jangan engkau tulis setiap apa yang dari padaku. Kerana kadangkala aku memang berpendapat dengan suatu pendapat pada hari ini, dan kadang kala aku berpendapat lain pada esok lusa, bahkan aku meninggalkannya pada esok lusa." (Al-Mizan 1/6. Abu Hanifah adalah seorang ulama yang sering menetapkan sesuatu hukum dengan qiyas kepada suatu ketentuan yang belum ditemukannya pada Kitabullah atau Sunnah Rasulullah saw. Para pengikut hanafi penghafal hadis yang sering melakukan perjalan jauh dari negeri-negeri dan pelabuhan-pelabuhan setelah berhasil mendapatkan hadis, niscaya Imam Hanafi mengambilnya dari mereka dan membuang qiyas yang pernah ia fatwakan)

"Jika aku mengatakan suatu perkataan yang bertentangan dengan Kitabullah atau khabar Rasulullah, maka tinggalkanlah perkataanku." (Al-Fulani dalam Al-Iqazh p.50 yang diasalkan oleh Imam Muhammad)

2 - Imam Malik bin Anas

Beliau berkata:

"Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang manusia yang salah dan benar. Maka perhatikanlah pendapatku. Setiap pendapatku yang sesuai dengan Al-Kitab dan Sunnah, ambillah dan setiap perkataanku yang menyimpang dengan Al-Kitab dan Sunnah, tinggalkanlah." (Ibnul Abdilbar dalam Al-Jami’, 2/32, dan Ibnu Hizam dalam Ushulul Ahkam, 6/149 dan demikian pula Al-Fulani, p.72)

"Tidak ada seorang pun setelah Nabi saw kecuali dari perkataannya itu ada yang diambil dan yang ditinggalkan, kecuali Nabi saw."( Ibnul Hadi dalam Irsyadus Salik, 227/1, Ibnu Abdilbar dalam Al-Jami’, 2/91, dan Ibnu Hazm dalam Ushulul Ahkam, 6/145 dan 179 dari perkataan Al-Hakam bin Uthaibah dan Mujahid. Taqiyuddin mengeluarkan dalam Al-Fatawa 1/48)

3 - Imam Syafi’i. (Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i)

Inilah nasihat beliau tentang taqlid:

Setiap pendapatku yang menyalahi hadis Nabi saw. maka hadis Nabi saw itulah yang wajib diikuti, dan janganlah kalian taqlid kepadaku." (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim, Abu Nu’aim dan Ibnu ‘Atsakir 15/10/1)

"Apabila kalian dapati di dalam kitabku, pendapat-pendapat menyalahi Sunnah Rasulullah saw., peganglah Sunnnah Rasulullah saw dan tinggalkan pendapatku." Dalam riwayat lain beliau berkata: "Ikutilah Sunnah Rasulullah saw. dan janganlah kalian menoleh kepada pendapat siapapun". (Riwayat al-Harawi, Abu Nu’aim fil Hilyah / lihat Shifat Shalat Nabi hal.28 Lil-Albani)

"Setiap masalah yang sudah sahih hadisnya dari Rasulullah menurut para ulama hadis, tetapi pendapatku menyalahi hadis yang sahih, maka aku ruju’ dari pendapatku dan aku ikut hadis Nabi saw yang sahih baik ketika aku masih hidup maupun sesudah wafatku." (Al-Harawi 47/1, Ibnul Qayyim dalam I’lamul Muwaqqi’in, 2/363)

"Kaum muslimin sudah sepakat bahawa barang siapa yang telah terang baginya Sunnah Rasulullah maka tidak halal meninggalkannya kerana taqlid kepada pendapat seseorang." (Ibnul Qayyim 2/361 dan Al-Fulani p.68)

"Apabila hadis itu sahih, maka dia adalah mazhabku." (An-Nawawi dalam Al-Majmu’, Asy-sya’rani, 10/57, Al-Fulani, p.100)

4 - Imam Ahmad bin Hambal

Adalah salah seorang dari Imam mazhab yang paling banyak jasanya dalam mengumpulkan Sunnah. Perhatikan pula apa perkataan beliau tentang taqlid:

"Janganlah kalian taqlid padaku dan jangan pula kalian taqlid kepada Imam Malik, Syafi’i, Auza’i dan Tsauri, tetapi ambillah dari mana mereka mengambil." (Ibnul Fulani, 113, dan Ibnul Qayyim dalam kitab Al-I’lam 2/302)

"Pendapat Auza’i, pendapat Imam Malik dan Abu Hanifah semuanya adalah pendapat, dan bagiku adalah sama, sedangkan alasan hanyalah terdapat di dalam atsar-atsar." (Ibnul Abdilbar dalam Al-Jami’, 2/149)

"Barangsiapa yang menolak hadis Rasulullah maka sungguh ia telah berada di tepi kehancuran." (Ibnul Jauzy p.182)

Amat jelas perkataan mereka, dan amat jelas kedustaan yang dibuat oleh para muqallid yang membolehkan taqlid buta kepada salah seorang dari mereka. Perhatikanlah, kesemua Imam-imam itu tidak ingin ditaqlidi.

Semua mereka menyarankan agar kembali kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah saw. Tidak dibenarkan orang-orang yang mengikuti mereka mengambil pendapat mereka tanpa dalil. Dikeranakan keempat imam mazhab itu, memiliki dalil-dalil, dan diantara dalil-dalil itu terdapat dalil yang sahih dan ada pula yang lemah, maka ambillah pendapat mereka yang lebih rajih dan sahih, dengan tidak membedakan satu imam dengan lainnya. Jika hujjah mereka berasal dari atsar yang sahih maka wajib kita membenarkan dan memegang pendapat tersebut.

Tidak dibenarkan seseorang mengambil fatwa-fatwa hanya dari salah seorang mereka kemudian membenci pendapat Imam yang lain. Atau seseorang mengambil fatwa dari ulama-ulama sementara dia tidak mengetahui hujjah atau dalil dari ulama tersebut. Yang benar adalah kita cocokkan setiap pendapat yang kita terima dari Imam-imam Ahlussunnah baik dari empat Imam Mazhab atau pun dari imam-imam yang lain dengan merujuk kepada Kitabullah, As-Sunnah serta atsar dari sahabat. Demikian.

Wallahu a’lamu bish-shawab...

Khamis, 22 November 2007

057 - MENYELUSURI SUNNAH DALAM IBADAH KORBAN

MENYELUSURI SUNNAH RASULULLAH DALAM IBADAH KORBAN

Audio Kuliah (mp3) - [Download], Video Kuliah (WMV) - [Download]

Ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadat kita diterima atau ditolak oleh Allah S.W.T... Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan adalah setiap amal ibadat yang tersebut (yang hendak dilaksanakan) hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w.

Sekiranya kedua-dua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, maka amal ibadat tersebut dianggap terbatal. Firman Allah S.W.T:

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." (Surah al-Mulk, 2)

Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h:

"Maksud 'amalan yang lebih baik' ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” (Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258)

Tambahan pula Rasulullah s.a.w. merupakan contoh teladan yang terbaik kepada seluruh umat Islam. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah S.W.T:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzaab, 21)

Begitu juga menurut suatu hadis riwayat Muslim, maksudnya:

“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan menurut cara kami (yang tsabit) maka ia adalah tertolak.” (Sahih Muslim, 1718)

Oleh itu sewajarnya dalam melaksanakan ibadat korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya untuk mencontohi sunnah-sunnah Nabi s.a.w.

Pertamanya, dalam persoalan hukum ibadah korban ini, para ulama telah berselisih pendapat dalam hal kewajiban penyembelihan binatang korban. Tetapi menurut pendapat yang lebih kuat (rajih) adalah hukumnya wajib bagi setiap orang Islam yang berdaya (mampu) untuk berkorban. (Lihat: احكام العيدين hlm. 26. Ali Hasan Ali Abdul hamid) Ini bermakna setiap muslim yang berkemampuan wajib menunaikan kewajipan korban di setiap kali menjelangnya Aidil Adha (Hari Raya Korban).

Berkorban hanya sah dilakukan setelah selesai solat Hari Raya ‘Idil Adha atau di hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Janganlah sekali-kali salah seorang antara kamu menyembelih korban, sehinggalah selepas selesai solat (Aidil Adha)”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Allah Azza wa-Jalla telah memerintahkan agar orang-orang beriman berkorban setelah menjelangnya ‘Idil Adha (Hari Raya Korban). Kewajipan berkorban telah disyariatkan sejak zaman Nabi Ibrahim ‘alaihis salam. Umat Islam diperintahkan agar mengikut millah (agama) Nabi Ibrahim sebagaimana seruan Allah Azza wa-Jalla di dalam firman-Nya:

“Kemudian Kami wahyukan kepadamu hendaklah mengikut millah (syariat) Ibrahim yang berdiri teguh atas jalan yang benar, dan bukanlah dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah”. (An-Nahl, 123)

Perintah Allah Tabaraka wa-Ta’ala menunjukkan tentang wajibnya berkorban, sehingga Nabi Ibrahim ‘alaihis salam sanggup menyembelih anak kesayangannya kerana mentaati dan menunaikan perintah Allah Azza wa-Jalla kepadanya. Allah berfirman:

“Maka tatkala anak itu (Ismail) sampai pada umur sanggup berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Ia menjawab: Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapati aku termasuk orang-orang yang benar!”. (As-Saffat, 37:102)

Jika Nabi Ibrahim ‘alaihis salam sanggup mengorbankan satu-satunya anak yang tersayang, Nabi Ismail pula sanggup mengorbankan nyawanya yang tak ternilai kerana taat menunaikan perintah Allah dan cintanya kepadaNya, maka dimana bukti cinta seseorang yang mengaku beriman terhadap Rabbnya, mengapa tidak mengorbankan sedikit dari hartanya, iaitu dengan menyembelih seekor binatang korban di ‘Idil Adha.

DALIL-DALIL MENUNJUKKAN TUNTUTAN BERKORBAN

Antara dalil-dalil syara’, fatwa dan pendapat para ulama Salaf as-Soleh (generasi awal) yang menyatakan bahawa berkorban hukumnya jatuh kepada wajib apabila ada kemampuan ialah:

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu”. (Al-Kausar, 2)

Menurut Rabi’ah, Al-Auza’i, Abu Hanifah, al-Laith dan sebahagian para pengikut Malikiyah bahawa berkorban hukumnya adalah wajib bagi setiap ahli keluarga yang mampu. (Lihat: (1). Bidayah al-Mujtahid. 1/314. Ibn Asyd. (2). Al-Fikhul Islami wa-Adillatuhu. Juz 3/595-597. Dr. Wahbad az-Zuhaili) Antara dalil-dalil mereka yang menunjukkan wajibnya berkorban kepada sesiapa yang berkemampuan ialah:

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah kamu”.

“Dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menetap (mukim) di Madinah selama sepuluh tahun, baginda tetap menunaikan korban”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

“Di masa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, setiap seseorang lelaki berkorban dengan seekor kambing untuknya dan untuk keluarganya”. (H/R Tirmizi, kitab al-Adhahi 2/1216 (hadis ini disahihkan oleh beliau). Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, 2/2546 (dengan sanad yang sahih). Hadis ini disahihkan juga oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)

“Diatas setiap ahli bait (ketua keluarga) hendaklah ada sembelihan (korban/udhiyah)”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah. Hakim (disahihkan oleh beliau))

“Barangsiapa yang mendapati dirinya mempunyai kelapangan/kemampuan (rezeki untuk berkorban), lalu dia tidak mahu berkorban, maka jangan sekali-kali dia mendekati tempat solat kami”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Darqutni, Hakim dan sanadnya hasan. Lihat: Fathul Bari, jld. 10/5. Hadis Mauquf lihat: Bulughul Maram, 1349 dan Ahkam al-I’dain, hlm. 26)

Telah dijelaskan dalam kitab Subulus Salam tentang maksud hadis di atas ini bahawa:

“Hadis ini menunjukkan bahawasanya seseorang dianggap telah meninggalkan suatu kewajipan (korban) yang seolah-olah (baginya) tidak ada manfaatnya, walaupun dia bertaqarrub kepada Allah (solat tetapi sayangnya) dia meninggalkan kewajipan itu (korban)”. (Lihat: Subulus Salam, 4/169)

“Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah berkorban untuk orang yang belum berkorban dari umatnya dengan seekor kambing kibasy”. (Hadis Riwayat al-Barra’ bin Azib)

“Dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu berkata: Kami bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di salah satu perjalanan (safar), kemudian tiba Hari Raya Korban, maka kami berkongsi tujuh orang pada seekor lembu dan sepuluh orang pada seekor unta”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi, 1213. Dan disahihkan oleh al-Albani)

“Dari Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Kami telah menyembelih korban bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di Hudaibiyah, iaitu unta untuk tujuh orang dan lembu untuk tujuh orang”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Imam Malik rahimahullah berkata:

“Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum berkorban adalah sunnah, bukan wajib. Inilah antara pendapat Imam Syafie rahimahullah. Namun setiap kata-kata dan pendapat boleh diterima dan ditolak, kecuali kata-kata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

WAKTU MULA MENYEMBELIH KORBAN

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilakukan setelah selesai solat Hari Raya. Tidak dihukum sebagai ibadah korban bagi sesiapa yang menyembelih sebelum selesainya solat Aidil Adha. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Baginda bertanya apakah (disembelih) sebelum solat? Ia menjawab: Ya! Baginda bersabda: Itu adalah daging kambing (sedekah) yang bukan kambing korban”.

“Sesungguhnya perkara yang pertama yang kita mulakan pada hari ini (Hari Raya Korban) ialah kita solat, kemudian menyembelih (binatang korban). Maka sesiapa yang melakukan serupa itu dia telah mendpatkan sunnah kami. Barangsiapa yang menyembelih sebelum solat, maka sesungguhnya sembelihan itu adalah daging yang diperuntukkan bagi keluarganya, bukan termasuk binatang korban sedikitpun”. (Hadis Riwayat Muslim, 1961)

“Barangsiapa yang menyembelih sebelum kami bersolat, maka hendaklah dia menyembelih sekali lagi sebagai gantinya”.

“Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (solat Hari Raya), maka hendaklah dia mengulanginya”. (Hadis Riwayat Bukhari, kitab Al-Adahi, 5561. Muslim, 1962)

“Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat, maka sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang menyembelih sesudah solat dan dua khutbah, maka sesungguhnya sempurnalah ibadahnya dan tepatlah menurut sunnah orang-orang Islam”. (Hadis Riwayat Bukhari)

HARI UNTUK MELAKSANAKAN BERKORBAN

Hari yang diizinkan menyembelih korban ialah hanya pada hari hari Tasyriq, iaitu sampai terbenamnya matahari diakhir hari Tasyriq. Demikianlah dari Ali bin Abi Talib, pendapat mazhab Hanafiah dan mazhab Syafi’eyah. (Lihat: Subulus Salam) Malah Imam Ahmad berpendapat seperti itu kerana beliau berkata:

“Ini adalah pendapat lebih dari satu sahabat Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Al-Atsram menyebutkan antara mereka ialah: Ibnu Umar dan Ibnu Abbas radiallahu anhuma”. (Lihat: Zaadul Ma’ad. 2/319)

Pendapat mereka ini ialah berpandukan kepada hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Pada semua hari-hari Tasyriq adalah hari sembelihan (korban)”. (Hadis Riwayat Ahmad 4/8. Ibnu Hibban dan al-Baihaqi. Disahihkan oleh Syu’aib al-Arnauth. Lihat: Zaadul Maadm, 11/318, Ibnul Qaiyim. Dan dihasankan oleh Sheikh Ali Hasan Abdul Hamid. Lihat: Ahkamul Iedain)

“Dari Ibnu Umar berkata: Berkorban dua hari setelah hari Adha Masuk Hari Raya)”. (Hadis Riwayat imam Malik)

Sesiapa yang menyembelih dengan niat untuk berkorban selepas hari-hari yang dinyatakan di atas, iaitu setelah berlalunya hari Tasyrik, maka tidak lagi terhitung sebagai ibadah korban, kerana hari Tasyriq telah luput, maka sembelihannya hanya dikira sebagai sedekah, tidak dihukum sebagai ibadah korban.

ADAKAH BATAS UMUR BAGI HAIWAN QORBAN?

Harus mencapai usia Musinnah dan Jadza’ah

“Janganlah kalian menyembelih kecuali setelah mencapai usia musinnah (usia yang cukup bagi unta, lembu, dan kambing). Namun apabila mengalami kesukaran, maka sembelihlah binatang yang telah mencapai usia jadza’ah (usia yang cukup) dari domba (kibas).” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh kerana tidak ada ketentuan syar’i berkenaan batasan usia, maka terjadilah perbezaan pendapat di kalangan ulama. Akan tetapi pendapat yang paling banyak dipilih dari kalangan mereka adalah sebagaimana berikut; Unta 5 tahun, lembu 2 tahun, kambing 1 tahun, dan kibas (domba) 6 bulan. Pendapat ini dipilih oleh Syaikh Ibnu Utsaimin rahimahullah di dalam asy-Syarhul Mumti’, 7/460.

HAIWAN YANG TIDAK CACAT

Haiwan yang ingin dijadikan korban tidak boleh cacat atau ada kekurangan, seperti kurus, pincang (tempang), berpenyakit, buta walau sebelah mata, hilang telinga, tanduk atau kakinya. Syarat-syarat ini berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Empat (jenis binatang) yang tidak dibolehkan dalam berkorban: Buta sebelah yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang (pincang) yang jelas bengkoknya, yang tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)”. (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Hibban dan Hakim)

HADIS-HADIS LEMAH DALAM HAL INI

Hadis-hadis di bawah ini adalah hadis-hadis lemah. Walaupun sebahagian besar masyarakat Islam masih mengamalkan dan menerimanya sebagai hujjah dalam menunaikan ibadah korban, namun yang sebenarnya ia sama sekali tidak boleh dijadikan dalil/hujjah dan tidak boleh diamalkan untuk beribadah korban. Antara hadis-hadis berikut ialah:

“Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang dari musfarah, al-musta’salah, al-bakhqaa’, al-musyaya’ah dan al-kasirah. Al-musfarah ialah yang dihilangkan telinganya dari pangkalnya. Al-musta’salah ialah yang hilang tanduknya dari pangkalnya, al-bukhqaa’ ialah yang hilang penglihatannya dan al-musyaya’ah ialah yang tidak dapat mengikuti kelompok kambing kerana kurus dan lemahnya, dan al-kasirah ialah yang tidak berlemak”. (Hadis ini dilemahkan oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani dalam Dhaif Abu Daud, no 599. Hlm 2/4)

“Saya membeli seekor kambing untuk berkorban, lalu serigala menerkamnya dan membaham punggungnya, kemudian aku tanyakan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, baginda bersabda: berkorbanlah dengannya”. (Hadis ini dilemahkan oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani. Lihat: Daif Ibnu Majah no. 679)

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menegah seseorang berkorban dengan binatang yang terpotong tanduk dan telinganya”. (Menurut Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, hadis in adalah mungkar. Lihat: Irwa’ul Galil 4/1149)

Oleh kerana hadis-hadis di atas adalah lemah, maka binatang yang sengaja dipotong tanduknya, ekornya atau diberitanda (ditindik) di telinganya kerana sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, maka ia dibolehkan untuk dijadikan binatang korban.

Adapun binatang yang cacat sejak dilahirkan, dicacatkan tanpa ada sebab atau dicacatkan oleh gigitan binatang buas, maka ia tidak boleh dijadikan ibadah korban.

PERKARA-PERKARA YANG SUNNAH

Ada beberapa perkara yang disunnahkan bagi mereka yang melakukan korban, antaranya:

1 - Semua yang terlibat dengan ibadah korban, disunnahkan agar tidak menggunting rambut dan memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah hingga ke hari dia berkorban. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu hendak berkorban, maka hendaklah dia menahan dirinya dari memotong rambut dan kukunya”. (Hadis Riwayat Muslim, 1977. Hadis dari Ummu Salamah)

“Barangsiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah sekali-kali memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban”. (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut Imam Nawawi rahimahullah:

“Maksudnya (dari larangan tersebut) ialah: Dilarang memotong kuku dengan gunting dan sebagainya. Dilarang menggunting (memotong) rambut sama ada membotakkan (mencukur), memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya. Termasuk dalam hal ini (dilarang) memotong bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan bulu yang ada di seluruh badan”. (Lihat: Syarah Muslim 13/138)

Berkata Ibnu Qudamah rahimahullah:

“Sesiapa yang melanggar larangan ini (mengunting rambut dan memotong kuku pent.), hendaklah memohon ampun kepada Allah dan tidak ada fidyah baginya, sama ada disengajakan atau terlupa”. (Lihat: Al-Mughni 11/96)

2 - Makan daging sembelihannya, bersedekah dan menyimpan dagingnya yang lebih:

“Makanlah sebahagian daripadanya, dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir”. (Al-Haj, 22:28)

“Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Makanlah (dagingnya), simpanlah (jika ada yang lebih) dan bersedekahlah”. Hadis Riwayat Bukhari 5569. Muslim 197)

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam memerintahkan aku untuk menyemblih binatang korbannya dan membahagi-bahagikan dagingnya, kulitnya dan alat-alat yang melindungi tubuhnya. Dan tidak memberi (sebagai upah) tukang sembelih sedikitpun dari korban tersebut”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut pendapat jumhur ulama, setiap yang bermanfaat yang datangnya dari tubuh binatang korban tidak boleh diperjualbelikan. Tukang sembelih yang diupah untuk menyembelih tidak mendapat daging korban dan tidak boleh diupah dengan daging korban, tetapi yang dia dapat hanyalah upah dari yang berkorban sebagaimana yang dijelaskan melalui hadis di atas.

3 - Disunnahkan bagi yang berkorban menyembelih sendiri binatang sembelihannya, atau mewakilkan kepada orang lain (Lihat: أحكام العيدين hlm. 77. Sheikh Ali Hasan al-Halaby) jika ada halangan atau tidak berdaya melakukannya sendiri.

Untuk memperlihatkan syi’ar Islam, maka disunnahkan agar menyembelih di musalla (di tanah lapang yang digunakan untuk solat). Ini berdalilkan hadis dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhu dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“bahawasanya baginda menyembelih dan berkorban di Musalla”. (Hadis Riwayat Bukhari)

MENYEMBELIH SECARA SUNNAH

Hendaklah menyembelih dengan pisau yang tajam, tidak boleh menggunakan pisau yang diperbuat daripada tulang. Ketika hendak menyembelih ucapkanlah: Bismillahi wallahu Akbar (بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَرُ). Baringkanlah binatang korban pada sebelah sisi kirinya agar mudah memEgang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri, sebagaimana hadis Rasulullah:

“Dari Anas radiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyembelih dua ekor kibasy yang bagus dan bertanduk. Baginda mengucapkan basmalah dan bertakbir serta meletakkan kakinya di samping lehernya”. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Selain menggunakan pisau yang tajam semasa menyembelih, maka disyariatkan agar mencontohi cara atau sifat penyembelihan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, iaitu membaca “Bismillahi Allahu Akbar”, kerana menurut riwayat yang sahih baginda membacanya ketika menyembelih binatang korban. Antara hadis-hadis yang menjelaskan demikian ialah:

“Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, maka hendaklah dia menyembelih sekali lagi sebagai gantinya. Dan barangsiapa yang belum memyembelih hingga kami selesai solat, maka hendaklah dia menyembelih dengan menyebut nama Allah (بسم الله)”. (Hadis Riwayat Bukhari no 5562. Muslim no 1960)

“Dari Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Aku bersolat ‘Idil Adha bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, setelah selesai solat, didatangkan kepadanya seekor kibas, maka baginda menyembelihnya dan membaca: Bismillahi Wallaahu Akbar”. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)

TIDAK MEMBERIKAN DAGING KURBAN SEBAGAI UPAH

Nabi s.a.w. pernah menyuruhku untuk menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya, dan aku tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih dari haiwan korban tersebut. Dan dia mengatakan: “Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” (Hadis Riwayat Muslim, 1317)

SATU SEMBELIHAN UNTUK SEMUA AHLI KELUARGA

Seekor binatang korban, sama ada kambing atau lembu, boleh dikongsi pahalanya untuk dirinya, untuk orang-orang yang dalam tanggungannya dan untuk kesemua ahli keluarganya walaupun hanya berkorban dengan seekor kambing. Kerana seorang ketua keluarga mewakili seluruh keluarganya apabila dia berkorban. Ini berdasarkan hadis:

“Berkata Ata bin Yasar: Aku bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansari bagaimana sifat sembelihan dimasa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam? Beliau menjawab: Jika seseorang berkorban seekor kambing, maka untuk dia dan semua keluarganya. Kemudian mereka makan dan memberi makan dari korban tersebut”. (Hadis Rriwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah, Malik dan al-Baihaqi. Dengan sanadnya yang hasan)

Namun, tidak ada larangan jika setiap individu dalam sebuah keluarga berkorban seekor kambing setiap seorang. Wallahu ‘alam, walhamdulillahi, was-shalatu was-salamu ‘ala Rasulullah.

Jumaat, 16 November 2007

056 - TAYAMMUM – KAEDAH BERSUCI PENGGANTI WUDHU’ DAN MANDI JUNUB

TAYAMMUM – KAEDAH BERSUCI PENGGANTI WUDHU’ DAN MANDI JUNUB

Tayammum adalah merupakan salah satu nikmat yang paling besar yang dianugerahkan hanya kepada umat Muhammad s.a.w.:

Aku diberi lima kelebihan yang tidak pernah diberikan kepada seorang pun sebelumku. Aku diberikan pertolongan di mana musuh berasa gentar (takut) sebulan sebelum peperangan, seluruh muka bumi dijadikan bagiku sebagai masjid dan alat untuk bersuci. Oleh itu, mana-mana umatku yang menepati waktu solat telah masuk, dia bolehlah terus solat di situ... (Hadis Riwayat Bukahri Dan Muslim)

Tayammamu adalah merupakan bentuk pengabdian diri kepada Allah dengan kaedah-kaedahnya yang tertentu berdasarkan dalil-dalilnya.

Imran bin Hushoin r.a. berkata:

“Kami telah musafir bersama Rasulullah s.a.w. Baginda telah mengimami solat. Setelah selesai solat, baginda melihat seorang lelaki tidak solat bersama. Lalu baginda bertanya: apakah yang menghalangmu daripada solat bersamaku? Jawabnya: Aku sedang berjunub dan tidak menemui air. Baginda bersabda: Gunalah debu tanah, iaitu bertayammum. Ia sudah memadai bagimu.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

‘Amr bin Syu’aib r.a. berkata, ayahnya pernah mendengar daripada datuknya bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Bumi ini dijadikan bagiku sebagai masjid (tempat solat) dan alat untuk bersuci jika tiada air. Oleh itu, di mana saja aku mendapati waktu solat telah masuk, aku akan menyapu (bertayammum) dan terus solat.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Huzaifah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Kita ada tiga kelebihan berbanding umat yang lain, iaitu saf-saf kita kelihatan seperti saf para malaikat, seluruh bumi boleh dijadikan masjid (tempat solat) dan tanahnya boleh dijadikan alat untuk bersuci apabila kita tidak menemui air.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ammar r.a. berkata:

“Suatu ketika, aku telah berjunub. Kemudian, aku tidak menemui air lalu aku berguling di atas tanah. Seterusnya, aku menunaikan solat. Setelah menemui Nabi s.a.w. aku ceritakan hal itu kepada baginda. Lalu baginda bersabda: Sebenarnya, memadai engkau hanya melakukan begini lalu baginda menepuk tanah dengan kedua-dua belah tapak tangannya serta meniup kedua-duanya. Kemudian, baginda menyapu muka dan tapak tangan hingga ke pergelangan tangannya dengan debu itu.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

HIKMAH DISYARI’ATKAN BERTAYAMMUM

1 – Menghilangkan Kepayahan Dan Kesulitan

Firman Allah s.w.t.:

“Allah sama sekali tidak ingin menjadikan sebarang kesulitan bagi kamu (dalam mengamalkan agama).” (al-Ma’idah 5: 6)

Ibn Jarir at-Thabari r.h. berkata:

“Maksud ayat di atas ialah Allah tidak ingin menyusahkan kamu terhadap kewajiban berwudhu’ setiap kali kamu ingin solat dan mandi junub setiap kali kamu berjunub. Tayammum menggunakan debu tanah yang suci ketika kamu tidak mendapati air supaya tidak menyusahkan kamu, sentiasa beristiqamah mengamalkan syari’at agama walaupun dalam kesempitan supaya kamu tidak sentiasa berada dalam kepayahan.” (Rujuk Jami’ al-Bayan, jil. 10, m/s. 84-85)

al-Syanqiti r.h. berkata:

“Kalimah (sesutau kepayahan) berbentuk nakirah (umum) pada lafaz pengecualian. Oleh kerana pengecualian berbentuk umum, maka ia merangkumi semua jenis kepayahan.” (Rujuk Adwa’ al-Bayan, jil. 2, m/s. 36)

2 – Menyucikan Jiwa Manusia

Firman Allah s.w.t.:

“Tetapi Allah ingin menyucikan diri kamu.” (Surah al-Ma’idah 5” 6)

Ibn Jarir at-Thabari r.h. berkata:

“Maksud ayat Allah ingin menyucikan diri kamu ialah dengan cara mewajibkan kamu berwudhu’ daripada hadas, mandi ketika berjunub dan bertayammum ketika ketiadaan air. Melalui cara itu, ia mampu membersih dan menyucikan diri kamu daripada segala dosa.” (Rujuk Jami’ al-Bayan, jil. 10, m/s. 85)

3 – Sempurnakan nikmat

Firman allah s.w.t.:

Untuk menyempurnakan nikmat-Nya ke atas kamu supaya kamu bersyukur.” (al-Ma’idah 5: 6)

Ibn Jarir at-Thabari r.h. berkata:

“Maksud ayat untuk menyempurnakan nikmat-Nya ke atas kamu ialah (nikmat) kebolehan bertayammum bagi kamu dan menjadikan debu tanah yang suci sebagai alat bersuci. Semua itu sebagai keringanan bagi kamu di samping nikmat-nikmat-Nya yang lain yang dianugerahkan kepada kamu wahai orang-orang yang beriman.” (Rujuk Jami’ al-Bayan, jil. 10, m/s. 9)

al-Qurtubi r.h. berkata:

“Keringanan yang diberikan kepada kamu untuk bertayammum ialah ketika sakit dan musafir.” (Rujuk al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an, jil. 6, m/s. 108)

al-Syaukani r.h. berkata:

“Keringanan yang diberikan kepada kamu untuk bertayammum ialah ketika ketiadaan air.” (Rujuk Fath al-Qadir, jil. 2, m/s. 28)

SEBAB-SEBAB YANG MEMBOLEHKAN BERTAYAMMUM

1 – Bimbang Dengan Air Boleh Memudharatkan Diri

Firman Allah s.w.t.:

... Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih... (al-Ma’idah 5: 6)

Ibn Jarir at-Thabari r.h. berkata:

“Jika anggota badan kamu sakit, cedera, patah atau mengalami sesuatu yang tidak mampu mandi sedangkan ketika itu berada dalam keadaan bermukim bukannya musafir, bertayammumlah menggunakan debu tanah yang suci.” (Rujuk Jami’ al-Bayan, jil. 8, m/s. 388)

‘Amru bin al-‘Ash r.a. berkata:

“Aku telah bermimpi (hingga keluar air mani) pada suatu malam yang sejuk ketika berada dalam peperangan Dzat al-Salasil. Aku tidak sanggup mandi kerana jika aku mandi, pasti aku jatuh sakit. Lalu aku bertayammum kemudian terus solat subuh bersama para sahabatku.

Lalu mereka mengadu kepada Nabi s.a.w. Jawab baginda: Wahai ‘Amru! Apakah kamu mengerjakan solat bersama sahabat-sahabatmu dalam keadaan berjunub? Lalu aku menceritakan keadaan yang menghalangku daripada mandi junub.

Kemudian aku berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman dalam surah al-Nisa’, ayat 29 berbunyi (Janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya allah amat Mengasihani kamu semua. Lalau Rasulullah s.a.w. ketawa tetapi baginda tidak berkata apa-apa (sama ada melarang atau menyuruh).” (Hadis Riwayat Bukhari, ahmad dan Ibn Mundzir, Daruquthni, at-Thabari, dan al-Hakim. Dipersetujui oleh az-zhahabi akan kesahihannya, Ibnu Hajar menyatakan bahawa sanadnya kuat, dan turut disahihkan oleh al-Albani di dalam al-Irwa’)

al-Nawawi r.h. berkata:

“Antara pengajaran yang dapat diambil daripada hadis ini ialah pertama, boleh bertayammum bagi sesiapa yang bimbang memudharatkan diri apabila menggunakan air walaupun dia memiliki air. Kedua, boleh orang yang berjunub bertayammum. Ketiga, tidak perlu mengulangi solat bagi musafir sesiapa yang bertayammum ketika musafir.” (Rujuk al-Majmu’)

Ibn Hajar r.h. berkata:

“Berdasarkan hadis ini, ia menunjukkan bahawa boleh bertayammum bagi sesiapa yang bimbang ditimpa kemudharatan jika menggunakan air sama ada kerana kesejukan dan sebagainya.” (Rujuk Fathul Bari, jil. 1, m/s. 454)

2 – Ketiadaan Air

Firman Allah s.w.t.:

“Jika kamu tidak menemui air, kamu hendaklah bertayammum menggunakan debu tanah yang baik (suci) lalu sapulah muka-muka kamu dengan tangan-tangan kamu menggunakannya.” (al-Ma’idah 5: 6)

al-Qurtubi r.h. berkata:

“Firman Allah (فلم تجدواماء), bermaksud sebab-sebab musafir yang memiliki air tetapi tidak menemui air selain itu antaranya: Jika memiliki air sekalipun, semua air itu atau sebahagiannya akan habis digunakan untuk berwudhu’. Juga bimbang hilang sumbernya, ada seseorang yang meemrlukannya, bimbang air yang ditemui sedikit tetapi menjadi minuman binatang ternakan atau binatang buas, waktu solat akan tamat jika berwudhu’, menyebabkan dirinya dahaga, dan seumpamanya. Begitu juga, dia tidak dapat memasak untuk memberi tenaga kepada badannya jika menggunakannya kerana air kehabisan (terhad). Atas sebab-sebab di atas, dia boleh bertayammum dan solat dalam keadaan itu.” (Rujuk al-Jami’ li ahkam al-Qur’an, jil. 3, m/s. 197-198)

Imran bin Hushoin r.a. berkata:

“Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki tidak solat bersama. Lalu baginda bertanya: apakah yang menghalangimu daripada solat bersamaku? Jawabnya: Aku sedang berjunub dan tidak menemui air. Baginda bersabda: Gunalah debu tanah, iaitu bertayammum. Ia sudah memadai bagimu.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Ibn Daqiq al-“Id r.h. berkata:

“Maksud (ولامء) ialah ada air, memiliki air, menemui air atau seumpamanya.” (Rujuk Ahkam al-Ahkam, jil. 1, m/s. 110)

RUKUN TAYAMMUM

1 - Niat

Firman Allah s.w.t.:

فتيمموا
al-Sa’di r.h. berkata:

“Wajib berniat tayammum berdasarkan firman Allah di atas. (فتيمموا) bermaksud berniatlah untuk bertayammum.” (Rujuk Taisir al-Karim ar-Rahman, m/s. 186)

Abu Bakar Ibn al-Mundzir r.h. berkata:

“Tidak memadai tayammum atau melakukan sesuatu ibadah yang termasuk dalam kategori fardhu tanpa niat.” (Rujuk al-Ausot, jil. 2, m/s. 36-37)

Umar bin al-Khattab r.a. pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya setiap apa yang dilakukan hendaklah dimulai dengan niat. Sesungguhnya setiap apa yang dilakukan oleh seseorang dinilai berdasarkan apa yang diniatkan.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

2 – Tasmiah (Membaca Basmalah)

“Hukum tasmiah (membaca basmalah) di sini sama hukumnya ketika berwudhu’... ini kerana, tayammum adalah pengganti kepada perbuatan wudhu’. Hukum perbuatan ganti sama hukumnya dengan perbuatan yang diganti.” (Rujuk al-Syarh al-Mumti’, jil. m/s. 347-348)

Menurut Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Tidak sah solat sesiapa yang tidak berwudhu’ dan tidak sempurna wudhu’ seseorang yang tidak menyebut nama Allah ketika itu.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibn Majah, dan Ahmad. Diklasifikasikan sebagai Hasan oleh al-Albani di dalam al-Irwa’)

Al-Son’ani r.h. berkata dalam Subul as-Salam, jil. 1, m/s. 111:

“Sesungguhnya hadis mengenai basmalah diriwayatkan daripada Aisyah, sahl bin Sa’d, Ibn sirah, Ummu sirah, Ali dan Anas. Semua jalan riwayat tidak terlepas daripada kritikan. Namun, semua riwayat itu menguatkan di antara satu sama lain menjadikan statusnya kuat. Oleh itu, Ibn Abi syaibah r.h. berkata: Memang tsabit Nabi s.a.w. berkata begitu.”

as-Syaukani r.h. berkata:

“Hadis ini jelas menunjukkan tidak sah wudhu’ seseorang yang tidak menyebut nama Allah.” (Rujuk ad-Daraari al-Mudhi ah, jil. 1, m/s. 45)

3 – Menepuk Debu Tanah Yang Suci

Firman Allah s.w.t:

فتيمموا صعيدا طيبا
Maksudnya:

“Oleh itu, berniatlah untuk bertayammum lalu menggunakan debu tanah yang suci.” (al-Ma’idah 5: 6)

Abu Bakar Ibn al-Mundzir r.h. berkata:

“Tidak boleh bertayammum kecuali menggunakan tanah suci berdasarkan firman Allah (فتيمموا صعيدا طيبا). Al-Qur’an dan Sunnah menunjukkan bahawa tidak boleh bertayammum kecuali menggunakan tanah dan tidak boleh menggunakan benda lain.” (al-Ausot, jil. 2, m/s. 41)

Al-Sa’di r.h. berkata:

“Memadai bertayammum dengan semua benda yang berdebu di atas muka bumi sama ada dari jenis tanah dan sebagainya. Jika mampu menggunakan tanah yang mengandungi debu, itu lebih afdhal. Tidak sah bertayammum dengan tanah yang bernajis. Ini kerana, ia tidak termasuk tanah yang baik, bahkan ia dipanggil tanah yang kotor.” (Rujuk Taisir al-Karim ar-Rahman, m/s. 223)

Ibn al-Mulqin r.h. berkata:

“Perkataan as-Sa’d yang diberi maksud tanah adalah mazhab kebanyakan ulama, Tetapi dikatakan juga soid bermaksud semua benda berdebu di atas muka bumi.” (rujuk I’lam Bi Fawaid ‘Umdah al-ahkam, jil. 2, m/s. 120)

4 – Menyapu Muka Kedua-dua Belah Tangan Hingga Ke Pergelangan

Firman Allah s.w.t.:

“Oleh itu, sapulah muka-muka kamu beserta tangan-tangan kamu menggunakan.” (al-Ma’idah 5: 6)

‘Ammar bin Yasir r.a. berkata:

“Aku telah bertanya Nabi s.a.w. tentang cara bertayammum lalu baginda memerintahkanku menepuk ke tanah sekali tepukan lalu menyapu muka dan tangan hingga ke pergelangan.” (Hadis Riwayat abu Daud, al-Tirmidzi, Ahmad, ad-Darimi, Ibn Khuzaimah, dan al-Baihaqi. Al-Albani r.h. mengklasifikasikan hadis ini sebagai sahih dalam Sahih Sunan Abu Daud.

As-Sa’d r.h. berkata:

“Cara menyapu ketika tayammum ialah menyapu muka dan kedua-dua belah tangan sahaja tanpa menyapu anggota-anggota lain.” (Rujuk Taisir al-Karim ar-Rahman, m/s. 223)

Tambahnya lagi:

“Kedua-dua belah tangan hanya disapu hingga ke kedua-dua pergelangan sahaja. Ini kerana, kedua-dua tangan secara mutlaknya bermaksud demikian. Sekiranya disyaratkan membuat sapuan sehingga ke siku, pasti Allah telah mengaitkannya dalam ayat sepertimana Dia mengaitkannya (hingga ke siku) bagi perbuatan berwudhu’.” (Rujuk Taisir al-Karim ar-Rahman, m/s. 223)

Al-Khatabi r.h. berkata:

“Sebahagian ahli al-‘Ilmi berpendapat bahawa tayammum hanya sekali tepukan lalu disapu ke muka dan tangan hingga ke pergelangannya. Inilah pendapat yang dipegang oleh ‘Atho bin Abi Rabah, Makhul, al-Azuza’i, Ahmad bin Hanbal, Ishak dan seluruh ulama hadis.” (Rujuk Ma’alim al-Sunan, jil. 1, m/s. 86)

Ibn al-Mundzir r.h. berkata:

“Tayammum hanya sekali tepukan lalu disapu ke muka dan tangan hingga ke pergelangannya.” (Rujuk al-Ausot, jil. 2, m/s. 50-53)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h. berkata:

“Sesungguhnya tayammum hanya memadai sekali tepukan berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh ‘ammar bin Yasir r.a.” (Rujuk al-Fatawa, jil. 21, m/s. 422)

Ibn al-Qayyim r.h. berkata:

“Nabi s.a.w. telah bertayammum hanya sekali tepukan lalu disapu ke muka dan tangan hingga ke pergelangan tangan. Tidak sahih pendapat mengatakan baginda bertayammum dengan dua kali tepukan dan disapu hingga kedua-dua belah sikunya.” (Rujuk Zad al-Ma’ad, jil. 1, m/s. 199-200, Subul as-Salam, jil. 195-196 dan as-Syarh al-Mumti’, jil. 1, m/s. 350)

PENDAPAT YANG MENGATAKAN DUA KALI TEPUK

Imam syafi’e r.h. berpendapat, apabila bertayammum, seseorang hendaklah menepuk dua kali serta menyapu muka dan kedua-dua belah tangannya hingga ke siku berdasarkan hadis di bawah.

Ibn Umar r.a. berkata:

“Tayammum itu hendaklah dilakukan dengan dua kali tepukan. Sekali tepukan untuk muka dan sekali tepukan untuk kedua-dua belah tangan hingga ke siku.” (Hadis Riwayat ad-Daruqutni, al-Hakim, dan al-Baihaqi. Hadis ini diklasifikasikan sebagai dhaif. Ini kerana, terdapat kritikan pada perawi jalur sanad hadis ini, iaitu Ali bin Zhibyan.

Ad-Daruqutni berkata:

“Yahya al-Qattan, Hasyim dan selainnya mensiqahkannya.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata:

“Dia adalah perawi dhaif. Al-Qattan, Ibn Mu’in dan ramai lagi yang mendhaifkannya.”

Begitu juga pada jalur sanad lain mengenai dua kali tepuk hingga ke siku, martabatnya dhaif serta tidak terlepas daripada kritikan.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN TAYAMMUM

1 – Semua perkara yang menyebabkan wudhu’ terbatal kerana tayammum ialah pengganti wudhu’.

Abu Bakar Ibn al-Mundzir r.h. berkata:

“Ahli al-‘Ilmi berijmak bahawa perkara berkaitan hadas yang membatalkan kesucian orang yang berwudhu’ menggunakan air juga membatalkan kesucian orang yang berwudhu’ menggunakan debu tanah.” (Rujuk al-Ausot, jil. 2, m/s. 59)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. berkata:

“Tayammum sama hukumnya dengan wudhu’. Tidak terbatal tayammum kecuali sesuatu yang membatalkan wudhu’ selagi dia tidak mampu menggunakan air.” (Rujuk al-Fatawa, jil. 21, m/s. 362 dan al-Syarh al-Mumti’, jil. 1, m/s. 341)

2 – Kewujudan air

Menurut Abu Dzar r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesungguhnya debu tanah yang baik menyucikan seorang muslim jika tidak menemui air walaupun selama sepuluh tahun. Apabila dia telah menemui air, dia hendaklah mengenakan air pada kulitnya, iaitu dengan berwudhu’ kerana perkara itu lebih baik baginya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad, Ibn Hibban, dan al-Baihaqi. Al-Haitami r.h. berkata: Perawi hadis ini semuanya rijal yang sahih. Al-Albani r.h. mengklasifikasikan hadis ini sebagai sahih dalam Sahih Sunan Abu Daud)

An-Nawawi r.h. berkata:

“Apabila orang yang berjunub, wanita yang telah habis haidnya, juga wanita yang telah habis darah nifasnya lalu bertayammum kemudian dia mampu menggunakan air, ketika itu dia hendaklah mandi (menggunakan air).” (Rujuk al-Majmu’, jil. 2. m/s. 208 dan as-Syarh al-Mumti’, jil. 1, m/s. 341-343)

Al-Tiibi r.h. berkata:

“Wajib berwudhu’ ketika air ada dan tidak boleh bertayammum.” (Rujuk Syarh al-Tiibi, jil. 2, m/s. 129)

Al-Son’ani r.h. berkata:

“Maksud ungkapan apabila menemui air menunjukkan bahawa jika telah mendapati air, wajib mengenakan air ke kulitnya.” (Rujuk subul as-Salam, jil. 1, m/s. 199)

TEMPOH TAYAMMUM

Menurut Abu Dzar r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesungguhnya debu tanah yang baik menyucikan seorang muslim jika tidak menemui air walaupun selama sepuluh tahun. Apabila dia telah menemui air, dia hendaklah mengenakan air pada kulitnya, iaitu dengan berwudhu’ kerana perkara itu lebih baik baginya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad, Ibn Hibban, dan al-Baihaqi. Al-Haitami r.h. berkata: Perawi hadis ini semuanya rijal yang sahih. Al-Albani r.h. mengklasifikasikan hadis ini sebagai sahih dalam Sahih Sunan Abu Daud)

Ibn Hazm r.h. berkata:

“Orang yang bertayammum boleh melakukan solat dengan tayammum itu mengikut kemahuannya pada semua solat samaada fardhu atau sunat selagi tidak berhadas atau menemui air.” (Rujuk al-Muhalla, jil. 2, m/s. 128 dan al-Qabas li Ibn al-‘Arabi, jil. 1, m/s. 177)

Syeikh Ibn ‘Uthaimin r.h. berkata:

“Tayammum adalah cara mengangkat hadas (berwudhu’). Ketika itu, seseorang boleh mengerjakan solat fardhu walaupun bertayammum untuk solat sunat. Begitu juga jika seseorang berwudhu’ untuk solat sunat, dia boleh mengerjakan solat fardhu dengannya. Dia tidak perlu mengulangi tayammum apabila waktu telah habis selagi tidak terbatal (berhadas).” (Rujuk Majmu’ah Fatawa Wa Rasa’il Ibn ‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 240 dan ad-Daraari al-Mudhi ah, jil. 1, m/s. 177)

CARA ORANG SAKIT BERSUCI

Syeikh Ibn Uthaimin r.h. berkata:

“Bagi orang sakit, terdapat hukum khusus membahaskan mengenai mereka kerana dalam keadaan itu syari’at Islam memberi keringanan kepada mereka. Ini kerana, Nabi s.a.w. diutuskan dengan agama yang ebrtolak ansur untuk memudahkan bukannya menyusahkan.

Firman Allah s.w.t.:

“Tidak dijadikan hukum-hakam yang menyusahkan kamu semua dalam mengamalkan agama.” (al-Hajj 22: 78)

Firman Allah s.w.t.:

“Senarnya Allah inginkan kemudahan dalam semua perkara kepada kamu dan sama sekali tidak ingin menyusahkan kamu.” (al-Baqarah 2: 185)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Agama ini mudah.” (Hadis Riwayat Bukhari dalam kitab al-Iman, bab ad-Din Yusrun (39).

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Apabila aku perintahkan sesuatu perkara kepada kamu semua, lakukanlah menurut kemampuan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berpandukan kaedah asas ini, allah memberi keringanan bagi sesiapa yang keuzuran dalam beribadah menurut keuzuran yang mereka alami agar lebih beristiqamah dalam melakukan ibadah tanpa sebarang kepayahan dan kesulitan.

Oleh itu, apabila seseorang ada keuzuran untuk bersuci, caranya ialah:

1 – Orang sakit wajib bersuci menggunakan air. Dia wajib berwudhu’ dan mandi junub menggunakan air.

2 – Jika tidak mampu bersuci menggunakan air sebab lemah, bimbang menambahkan sakit atau melambatkan peroses penyembuhan, dia bolehlah bertayammum.

3 – Cara bertayammum ialah menepuk tanah yang suci menggunakan kedua-dua belah tapak tangannya dengan sekali tepukan lalu meniup dan menyapu kedua-dua belah tapak tangan itu ke muka serta kedua-dua belah tangan hingga ke pergelangan.

4 – Jika tidak mampu menyucikan dirinya, orang lain boleh menyucikan atau bertayammum untuknya (membantu mentayammumkan).

5 – Jika sebahagian anggota wudhu’ termasuk anggota lain sakit, dia hendaklah berusaha membasuh dengan air. Jika tidak boleh membasuh dengan air, sapulah sekali menggunakan air sepintas lalu. Jika tidak mampu juga, bertayammumlah atas anggota yang cedera itu sahaja.

6 – Jika anggota wudhu’ patah teruk, terbakar dan sebagainya, dia boleh menyapu menggunakan air sebagai ganti kepada basuhan dan tidak perlu bertayammum kerana sapuan sudah menggantikan basuhan.

7 – Boleh bertayammum menggunakan debu dinding atau benda lain yang suci dengan syarat berdebu. Jika dinding yang digunakan untuk bertayammum bukan daripada jenis tanah seperti al-Buyah (lembab) tidak boleh bertayammum dengannya kecuali tedapat padanya debu.

8 – Jika tidak dapat bertayammum menggunakan tanah, dinding, atau sesuatu yang diperbuat daripada tanah, tidak mengapa meletakkan tanah dalam bekas atau kain lap kemudian bertayammum dengannya.

9 – Jika dia telah bertayammum untuk solat dan kekal dalam keadaan bersuci sehingga waktu solat berikutnya, dia boleh melakukan solat dengan tayammum yang pertama tanpa mengulanginya untuk solat kedua. Kerana dia masih kekal dalam keadaan suci serta tiada perkara yang membatalkan kesuciannya.

10 – Wajib orang yang sakit menyucikan badannya daripada najis. Jika tidak mampu, dia boleh solat dalam apa jua keadaan dan solatnya tetap sah dan tidak perlu mengulanginya.

11 – Wajib orang yang sakit mengerjakan solat menggunakan pakaian yang bersih. Jika pakaiannya terkena nahis, dia wajib membasuhnya atau menukarkannya dengan pakaian lain yang suci. Jika tidak mampu, dia boleh solat dalam apa jua keadaan. Solatnya tetap sah dan tidak perlu mengulanginya.

12 – Wajib orang yang sakit mengerjakan solat di atas tempat yang bersih. Jika tempat itu terkena najis, dia wajib membasuhnya atau mengalihkan kedudukannya ke tempat yang suci. Jika tidak mampu, dia boleh solat dalam apa jua keadaan. Solatnya tetap sah dan tidak perlu dia mengulanginya.

13 – Orang yang sakit tidak boleh melewatkan solat dari waktunya hanya disebabkan keuzuran tidak mampubersuci (berwudu’) atau bertayammum. Dia boleh bersuci menurut kemampuannya ketika itu. Kemudian, dia hendaklah melakukan solat tepat pad awaktunya walaupun badan, pakaian atau tempat terkena najis sedangkan dia tidak mampu mengelaknya. (Rujuk Majmu’ Fatawa wa Rasa’il, Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 154-156 dan Risalah Ahkam Solat al-Maridh wa Toharatuhu, syeikh abdul Aziz bin Baaz, m/s. 4-11)


Video Berkenaan Tatacara Wudhu' & Tayammum


055 - Bagaimanakah Berwudhu' Tanpa Membuka/Menanggalkan Kasut

Bolehkah Berwudhuk Tanpa Menanggalkan Khuf (kasut kulit), al-Jaurab (Stokin), Muq, Kasut, Dan Seumpamanya (Penutup Kaki)

Berkenaan Khuf (Kasut Yang Diperbuat Daripada Kulit)

1 – Memakai khuf dalam keadaan suci (berwudhuk)

“aku bermusafir bersama Nabi s.a.w. dalam satu perjalanan. Lalu aku ingin membuka menanggalkan khuf Baginda. Kemudian baginda bersabda: Biarkan kedua-duanya. Ini kerana, aku memakainya dalam keadaan kedua-duanya suci. Lalu baginda menyapu di atas kedua-dua khufnya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, an-Nasai, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad dan ad-Darimi)

Kata imam an-Nawwi rahimahullah:

“...bahawa tidak boleh menyapu khuf kecuali memakainya selepas menyempurnakan wudhuk.” (Rujuk syarh sahih Muslim, jil. 3. 170)

2 – Khuf mestilah dalam keadaan suci (dari najis)

Abu Said al-Khudri r.a. berkata: “Ketika Rasulullah s.a.w. mengimami solat para sahabatnya maka baginda telah menanggalkan kedua-dua belah seliparnya lalu meletakkan kedua-duanya di sebelah kirinya. Apabila para sahabat melihat perbuatan itu, mereka juga menanggalkan selipar mereka.

Setelah selesai solat, baginda bertanya: Mengapa kamu semua menanggalkan selipar kamu? Jawab mereka: Kami telah melihat engkau menanggalkannya lalu kami pun menanggalkan selipar kami.

Sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku memberitahu bahawa terdapat kotoran (najis). Oleh itu, apabila sesorang datang ke masjid, lihatlah selipar mereka. Jika dia melihat ada kotoran atau najis pada seliparnya, sapukanlah ke tanah dan solatlah menggunakan selipar itu.” (Hadis Riwayat Abu Daud, ahmad, ad-Darimi, Ibn Khuzaimah, dan al-Hakim. Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh az-Zhahabi dan al-Baohaqi. Juga al-Albani di dalam al-Irwa, m/s. 284)

3 – Sapuan hanya boleh dibuat jika berhadas kecil. Jika hadas besar, wajiblah menanggalkannya dan mandi wajib

Sofwan bin ‘Assal r.a. berkata: “Apabila kami bermusafir, Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami agar tidak menanggalkan khuf selama tiga hari tiga malam dan tidak menanggalkannya jika buang air besar, air kecil, dan tidur kecuali kerana junub.” (Riwayat Tirmidzi, Ahmad, an-Nasai’e, Ibn Khuzaimah, Abdul Razzaq, Ibn abi Syaibah, dan al-Baihaqi. Disahasankan oleh al-Albani di dalam al-Irwa, m.s. 104)

Kata al-Imam as-Syaukani r.h.: “Hadis ini merupakan dalil bahawa tidak perlu menanggalkan khuf dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan berhadas kecil selagi mana tidak berjunub.” (Nail al-Authar, jil. 1, m.s. 231)

4 – Waktu (sela masa) dibolehkan bagi menyapu khuf

Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. menetapkan (tempoh menyapu khuf) tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sheikh Ibn Uthaimin r.h. menjelaskan hal ini sebagai katanya: “Berdasarkan kaedah ini, ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa pendapat paling rajih (tepat) adalah permulaan tempoh (hari) sapuan dikira ketika mula menyapu khuf dan bukannya ketika (mula) berhadas.” (Rujuk Syarh al-Mumti’, jil. 1. m.s. 208)

Imam an-Nawawi juga menjelaskan sebagai katanya: “Hadis ini merupakan hujah yang terang dan dalil yang jelas bahawa syarat menyapu khuf telah ditetapkan waktunya, iaitu selama tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim. Inilah pendapat yang dipegang oleh Abu Hanifah, as-Syafie, Ahmad, dan jumhur ulama terdiri daripada para sahabat serta generasi selepas mereka.” (Rujuk Syarh Sahih Muslim, jil. 3, m.s. 176 dan al-Muhalla, jil. 2, m.s. 87-89)

5 – Kaedah sapuan ke atas khuf

Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Kalaulah hukum-hukum agama ini terbina atas dasar akal, tentulah menyapu di bahagian bawah khuf itu lebih afdhal berbanding atasnya. Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. menyapu di atas kedua-dua belah khufnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, ad-Darimi, Daruqutni, al-Baihaqi. Ibnu Hajar mengklasifikasikan sanadnya sebagai sahih. Dan al-Albani turut mensahihkannya di dalam al-Irwa, m/s. 103)

Al-Sha’nani r.h. menjelaskan: “Bahawa hadis ini menunjukkan sapuan hanya di atas khuf dan tidak ada cara selain itu. Jangan sesekali menyapu di bawah khuf.” (Rujuk Subul al-Salam, jil. 1, m/s. 22)

Ibn Qayyim juga menjelaskan: “Rasulullah s.a.w. menyapu di atas kedua-dua belah khufnya. Tidak sahih riwayat mengenai sapuan di bawah khuf kecuali terdapat hadis yang munqati’ (terputus sanadnya). Sedangkan, hadis yang sahih menyatakan sebaliknya.” (Rujuk Zaad al-Ma’ad, jil. 1, m/s. 199)

Al-Auza’i r.a. berkata: “Nabi s.a.w. menyapu dengan kedua-dua belah tapak tangannya di atas kedua-dua belah khufnya sekali sapuan menarik ke atas hingga ke betis.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, m/s. 454)

- Sapu dengan sekali sapuan sahaja:

Al-Fadhl bin Bisyrin berkata: “Aku telah melihat Jabir bin Abdullah berwudhuk lalu menyapu di atas kedua-dua belah khufnya sekali sapuan, iaitu daripada hujung khuf ke atas. Kemudian, dia telah menunaikan solat lima waktu. Katanya: Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. melakukan begitu. Oleh itu, aku pun turut melakukan seperti apa yang aku lihat Rasulullah s.a.w. lakukan.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, m/s. 453)

Nafi’ berkata: “Aku telah melihat Ibn Umar r.a. menyapu atas kedua-dua belah khufnya, iaitu sekali sapuan menggunakan kedua-dua belah tangannya. (Rujuk Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 220 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 445)

Berkenaan Selain Khuf (Kasut, stokin, dan seumpamanya...)

6 - Bolehkah Menyapu Kepada Sarung Kaki (al-Jaurab) Menggantikan Khuf?

Al-Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berwudhuk lalu menyapu bahagian atas kedua-dua belah khuf dan seliparnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi - sebagai hasan sahih. Juga disahihkan oleh al-Albani di dalam al-Irwa dan Tamam al-Minnah)

Al-Syaukani r.h. berkata: “Hadis telah menunjukkan bahawa boleh menyapu di bahagian atas al-Jaurab.” (Rujuk Nail al-Authar, jil. 1, m/s. 228)

Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berwudhuk lalu menyapu bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab dan seliparnya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah – Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sunan Ibn Majah)

‘Amru bin Huraith r.a. berkata: “aku telah melihat ali bin abu Talib kencing. Kemudian, beliau berwudhuk sambil menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis riwayat Ibn abi syaibah, jil. 1, m/s. 189 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462)

Hammam bin al-Harith r.a. berkata: “Abu Mas’ud telah menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis Riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn Abi syaibah, jil. 1, m/s. 188 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462)

Menurut Qatadah r.a., bahawa Anas bin Malik r.a. telah berkata: “Rasulullah s.a.w. telah menyapu di bahagian atas kedua-dua belah al-Jaurab.” (Hadis riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn Abi Syaibah, jil. 1, m/s. 190 dan Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 462-463)

Yahya al-Buka’ r.a. pernah mendengar Ibn Umar r.a. berkata: “Menyapu di bahagian atas al-Jaurab sama seperti menyapu di bahagian atas kedua-dua belah khuf.” (Hadis riwayat Abdul Razzaq, jil. 1, m/s. 200, Ibn abi Syaibah, jil. 1, m/s. 189, Ibn al-Mundzir dalam al-Ausot, jil. 1, m/s. 463 dan al-Baihaqi, jil. 1, m/s. 285)

Ibn Taimiyyah r.h. menjelaskan: “Boleh menyapu di bahagian atas al-Jaurab apabila ia digunakan semasa berjalan sama ada diperbuat daripada kulit atau tidak mengikut pendapat ulama adalah yang paling sahih (tepat).” (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, jil. 21, m/s. 214-215)

Ibn Qayyim r.h. berkata: “Mengenai keharusan menyapu di bahagian atas al-Jaurab adalah pendapat kebanyakan para ilmuan. Antara mereka yang kami maksudkan adalah terdiri daripada para sahabat, Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih, Abdullah bin al-Mubarak, Sufyan al-Tsauri, ‘Atho’ bin abi Rabah, al-Hasan al-Basri, Said bin al-Musayyab, dan Abu Yusuf. Kami tidak mengetahui bahawa terdapat sebahagian sahabat mengingkari perbuatan nama-nama yang kami sebutkan.” (Rujuk Tahzib al-Sunan, jil. 1, m/s. 188-189, dan al-syarh al-Mumti’, jil. 1. m/s. 193)

Sheikh ‘Uthaimin r.h. menjelaskan: “Apa sahaja yang dipakai pada kaki sama ada dinamakan khuf, jaurab (stokin), muq, dan seumpamanya, hukum menyapu di bahagian atasnya adalah boleh. Ini kerana, ‘illah (sebab dan tujuan) semua itu adalah sama.” (Rujuk al-Syarh al-Mumti’, jil. 1, m/s. 193)

7 – Bolehkah Menyapu Di Atas Khuf dan al-Jaurab Yang koyak?

Sufyan at-Tsauri r.a. berkata:

“Sapulah di bahagian atas apa sahaja yang dipakai di kaki. Bukankah engkau dapati khuf golongan muhajirin dan ansar berkenaan koyak, uzur, dan lusuh.” (Hadis riwayat abdul Razzaq dan al-Baihaqi)

Sheikh Ibn ‘Uthaimin r.h. berkata: “Pendapat paling rajih (tepat) ialah boleh menyapu bahagian atas al-Jaurab yang koyak atau nipis sehingga menampakkan kulitnya.” (Rujuk Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 167 dan Risalah al-Mashu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 84-86)

8 – Adakah Terbatal Wudhuk Sekiranya Berhadas, Dan Kemudiannya Berwudhuk Semula Berserta Khufnya (dengan memakai khuf) Lalu Membuka Khuf (Selepas Wudhuk)

Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa: “Tidak terbatal wudhuk orang yang menyapu khuf dan serban disebabkan dia menanggalkannya (membuka kasut setelah berwudhuk dengannya; juga bagi serban yang menggantikan sapuan ke atas kepada). Begitu juga tidak terbatal tempohnya disebabkan perbuatan itu. Dia juga tidak wajib menyapu kepala atau membasuh kedua-dua kakinya (selagi masih berada di dalam tempoh sapuan).” (Rujuk al-Ikhtiyarat, m/s. 15, Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 86-88 dan majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 179)

9 – Terbatalkah Wudhuk Serta-Merta Disebabkan Tempoh Sapuan Telah Tamat?

Sheikh Ibn ‘Uthaimin r.h. berkata: “Wudhuk tidak terbatal disebabkan tempoh sapuan telah tamat. Ini kerana, apa yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. hanyalah tempoh (yang membolehkan) sapuan yang berakhir bukannya tempoh wudhuk berakhir. Baginda langsung tidak menetapkan tempoh suci berakhir (terbatal wudhuk) sehingga kita sanggup mengatakan bahawa apabila tempoh sapuan telah tamat maka wudhuk pun terbatal. Bahkan, apa yang ditetapkan ialah mengenai sapuan. Sepatutnya kita katakan: Apabila tempoh telah tamat, tidak boleh menyapu khuf.

Tetapi, jika kamu menyapu khuf dalam tempoh belum berakhir, engkau berada dalam keadaan suci (berwudhuk). Kamu berada dalam keadaan wudhuk yang sempurna berdasarkan dalil syarak. Setiap perkara yang dilakukan dengan sempurna berdasarkan dalil syarak, sudah tentu tidak membatalkan wudhuk kecuali ada dalil syarak yang lain membuktikan ia terbatal. Sedangkan, tidak ada dalil mengenai perkara itu.” (juk Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin dan Rasa-il al-Sheikh al-‘Uthaimin, jil. 11, m/s. 179 dan Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 92-93)

Kesimpulan:

Sheikh al-Muhaddith Muhammad Nashiruddin Al-Albani berkata: “Setelah mengetahui perkara itu, seseorang tidak boleh lagi berbelah bahagi untuk menerima rukhsah (keringanan) ini selepas tsabit hadis mengenainya. Lebih-lebih lagi setelah para sahabat melakukannya.” (Rujuk Risalah al-Mas-hu ‘Ala al-Jaurabain, m/s. 54)

i - Apabila seseorang itu berwudhu' dengan sempurna lalu kemudian terus memakai kasut dalam keadaan wudhuk (memakai kasut dalam keadaan berwudhuk – suci dari hadas) maka apabila dia hendak mengulangi wudhuknya di kemudian masa dia tidak perlu membasuh kaki dengan air (tidak perlu buka penutup kakinya) tetapi mencukupi dengan menyapu di bahagian atas kasut tersebut.

ii - Syarat kasut yang dipakai adalah sesuatu yang menutupi dari jari-jari kaki sehingga ke buku lali (angkle). Jikalau kasut tersebut tidak mencapai hingga ke buku lali maka memadai dengan memakai sarung kaki yang menutupi buku lalinya itu.

iii - Kebolehan menyapu di atas kasut terhad kepada satu hari penuh bagi orang yang berada di kampung halaman atau tiga hari penuh bagi orang yang berada dalam perjalanan.

Antara Faedah Dan Hikmah Keringanan Daripada Hal Ini:

i – Merupakan contoh keringanan (rukhsah) yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w. yang wajar diikuti.

ii – Memberi keringanan dan kemudahan ketika dalam perjalanan di tempat-tempat yang menyukarkan kita untuk membuka kasut, seperti di dalam hutan, padang pasir yang panas, dan tempat bersalji yang sejuk.

Rabu, 14 November 2007

054 - Posisi Imam & Makmum Adalah Dalam Satu Saf Jika Solat Jema'ah Berdua

Posisi Imam & Makmum Adalah Dalam Satu Saf Jika Solat Jema'ah Berdua

Kedudukan/Posisi Makmun (Lelaki) Jika “Solat Berdua” iaitu seorang makmum, dan seorang imam:

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah al-Anshaari:

“… Rasulullah s.a.w. berdiri untuk menunaikan solat, lalu akupun datang dan berdiri di samping kiri beliau. Rasulullah meraih tanganku lalu memindahkanku ke sebelah kanan beliau. Kemudian datang pula Jabbar bin shakr r.a. ia berwudhu’ lalu mengikuti sholat kami, ia berdiri di samping/sebelah kiri Rasulullah. Beliaupun meraih tangan kami berdua lalu memindahkan kami ke belakang beliau...” (Shahih Muslim, Hadis No. 3010, Dinukil Daripada Kitab Sholatul Jama’ah Hukumuha wa Ahkaamuha wat Tanbih ‘alaa maa Yaqau’u fiiha min Bida’ wa Akhtaa’, Oleh Dr. Sheikh Shalih Ghanim as-Sadlan, Riyardh..)

Kesimpulan:

Posisi makmum = di sebelah kanan imam (Sebaris/Satu Saf Dengan Imam) ...


ini dari hadis yg lain...

"Artinya: Dari Ibnu Abbas, ia berkata; "Aku pernah shalat bersama Nabi shallallahu'alaihi wa sallam pada suatu malam. Lalu aku berdiri di sebelah kiri beliau, kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam memegang kepalaku dari belakangku, lalu ia tempatkan aku di sebelah kanannya... (Shahih Riwayat Bukhari I/177)."

-------------

ok, daripada hadis yg awal saya post tu... ia diulas oleh sheikh Ghanim as-Sadlan... dapatkan buku yg saya sebutkan itu...

then, ini sedikit ulasan...

"Dalam hadits Jabir bin Abdullah tu, sewaktu datang Jabbar bin Shakhr lalu Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam menempatkan keduanya dibelakangnya. Ini menunjukan kedua sahabat itu tadinya berada di samping Nabi sejajar dengan beliau. Kemudian Nabishallallahu 'alaihi wa sallam mendirikan mereka di belakangnya. Tidakakan dikatakan "Di belakang" kalau pada awalnya sahabat itu tidakberada sejajar dengan baginda shallallahu 'alaihi wa sallam? Apabila ma'mum dua orang atau lebih, maka barulah harus berdiri di belakang Imam”

- dapatkah anda buktikan bahawa nabi meletakkan Ibnu Abbas di sebelah kanan, di bahagian belakang sedikit? kalau ianya benar seperti itu, sudah tentu nabi/sahabat akan nyatakan.

lagi tambahan:

Dari Ibnu Abbas, ia berkata; "Aku pernah shalat di sisi/tepi Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam dan Aisyah shalat bersama kami dibelakang kami, sedang aku (berada) di sisi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, aku shalat bersamanya (berjama'ah) (Shahih Riwayat Ahmad dan Nasa'i)”

- kalimah yg digunakan adalah "Shallaitu ila janbin nabiyi shallallahu 'alaihi wa sallam" - bermaksud disisi/sebaris... atau sebelah menyebelah...

dalam kitab Subulus Salam, Diriwayatkan bahwa Ibnu Juraij pernah bertanya kepada Atha' (seorang tabi'in), "Seorang menjadi ma'mum bagi seorang, dimanakah ia (ma'mum) harus berdiri.?” Jawab Atha', "Di tepinya". Ibnu Juraij bertanya lagi,"Apakah si Ma'mum itu harus dekat dengan Imam sehingga ia satu shaf dengannya, yaitu tidak ada jarak antara keduanya (ma'mum dan imam)?" Jawab Atha'; "Ya!" Ibnu Juraij bertanya lagi, "Apakah si ma'mum tidak berdiri jauh sehingga tidak ada lowong antara mereka (ma'mum dan imam)?Jawab Atha': "Ya". (Subulus Salam jilid 2 hal.31)."

Selasa, 13 November 2007

052 - SEKITAR PERSOALAN AMALAN WANITA YANG DIDATANGI HAID

SEKITAR PERSOALAN AMALAN WANITA YANG DIDATANGI HAID


Kuliah Berkenaan Tajuk Di atas (mp3)

[Download]


SOALAN:


Apa hukumnya seorang wanita berhadas besar seperti dalam keadaan haid untuk duduk belajar, mendengar ceramah (kulliah) atau diam di dalam masjid? Apakah dibolehkan atau diharamkan? Tolong jelaskan dengan dalil-dalil dari al-Quran dan hadis sahih serta penjelasan dari syara.


JAWAPAN:


Tidak mengapa (dibolehkan) bagi wanita yang sedang kedatangan haid atau berhadas besar (berjunub) belajar, membaca al-Quran, mendengar kulliah (ceramah) dan diam di dalam masjid. Malah dibolehkan duduk atau tinggal lama di dalam masjid walaupun dalam keadaan berhadas besar seperti semasa kedatangan haid. Adapun dalil-dalil dari syara yang membolehkan ialah:


1 - Imam al-Bukhari telah memberi sebuah judul dalam kitab sahihnya dalam persoalan yang berkaitan dengan perkara ini (perempuan duduk atau tidur di masjid):


بَابُ نَوْمِ الْمَرْأَةِ فِى الْمَسْجِدِ


“Bab: Tidurnya Perempuan di Dalam Masjid”.


Dan berikut ini adalah hadis sahih berupa penjelasan dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha iaitu tentang seorang hamba perempuan berkulit hitam, ia menjadikan masjid sebagai tempat tinggalnya (duduk menetap) di masjid, ia bekerja sebagai pembersih masjid maka ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا ، أَنَّ وَلِيْدَةً كَانَتْ سَوْدَاءَ لِحَيِّ مِنَ الْعَرَبِ فَأَعْتَقُوْهَا فَكَانَتْ مَعَهُمْ ، قَالَتْ : فَجَاءَ تْ اِلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْلَمَتْ ، قَالَتْ عَائِشَةُ : فَكَانَتْ لَهَا خِبَاءٌ فِى الْمَسْجِدِ أَوْحِفْشٌ.


“Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha ia berkata: Sesungguhnya ada seorang hamba perempuan berkulit hitam milik salah seorang suku dari bangsa Arab, lalu dimerdekakannya, kemudian ia pun tinggal bersama mereka. Berkata ‘Aisyah: Kemudian perempuan itu datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan masuk Islam. Berkata ‘Aisyah: Dan perempuan itu mempunyai khemah (tempat tinggal) di dalam masjid (sebagai tempat penginapannya)”. (H/R Bukhari, 439)


Tentunya perempuan (hamba berkulit hitam) yang diceritakan oleh ‘Aisyah sama seperti perempuan-perempuan yang lain, setiap bulan pasti kedatangan haid, tetapi tidak pernah ada pengecualian dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam agar beliau keluar dari masjid semasa beliau kedatangan haid. Ini menunjukkan bahawa perempuan yang kedatangan haid (sedang berhaid) tidak dilarang (tidak haram) masuk dan duduk di dalam masjid. Sama ada untuk belajar atau mendengar ceramah atau kulliah.


Hadis ini dikuatkan lagi dengan hadis seterusnya:


عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلاً أَسْوَدَ (أَوْ اِمْرَأَةً سَوْدَاءَ) - كَانَ يَقُمُّ الْمَسْجِدَ ، فَمَاتَ ، فَسَأَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُ فَقَالُوْا :مَاتَ. قَالَ : أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُوْنِيْ بِهِ ، دُلُّوْنِيْ عَلَى قَبْرِهِ (أَوْ قَالَ : قَبْرِهَا). فَأَتَى قَبْرَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ.


“Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu beliau berkata: Bahawasanya ada seorang lelaki berkulit hitam (atau seorang perempuan berkulit hitam), yang bekerja membersihkan masjid telah meninggal, lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bertanya tentang perempuan tersebut, mereka berkata: Ia telah meninggal. Baginda bersabda: Mengapakah kamu tidak memberitahu kepadaku berkenaan kematiannya, tunjukkanlah kepadaku kuburnya. Lalu baginda pergi kekubur lelaki tersebut (atau perempuan tersebut) kemudian baginda bersolat untuknya”. (H/R Bukhari 458,460 dan 1337)


Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah, bahawa hamba yang meninggal yang bekerja sebagai pembersih masjid tinggal (menetap) di dalam masjid, dia adalah seorang hamba perempuan. Oleh kerana tidak ada larangan dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam untuk hamba ini tinggal (menetap lama) di dalam masjid, walhal sudah dimaklumi setiap perempuan pasti kedatangan haid disetiap bulan, namun tidak ada pengecualian dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam agar beliau keluar semasa kedatangan haid, malah tidak pernah ada perintah agar hamba ini keluar semasa kedatangan haid. (Lihat: Fathul Bari, syarah hadis 458. Ibn Hajar) Maka dengan kenyataan ini, amat jelas bahawa tidak ada larangan bagi perempuan yang berhadas besar dan kedatangan haid untuk duduk, belajar atau mendengar ceramah di dalam masjid.


2 - Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menyuruh ‘Aisyah radiallahu ‘anha masuk ke masjid yang mana beliau sedang dalam keadaan berhaid, sedangkan baginda tahu hal keadaan ‘Aisyah sebagaimana kenyataan dari hadis sahih di bawah ini:


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : قَالَ لِيْ رَسُوْلُ اللهِ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : نَاوِلِيْنِيْ الْخُمْرَةَ مِنَ الْمَسْجِدِ ، فَقُلْتُ : اِنِّيْ حَائِضٌ . فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِى يَدِكِ.


“Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda kepadaku: Ambilkanlah untukku sehelai sejadah (sejadah kecil untuk alas sujud). Aku berkata: Sesungguhnya aku sedang haid. Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya haidmu itu bukan di tanganmu”. (H/R Muslim, Abu Daud, Tirmizi, An-Nasaii, Ibn Majah, Ahmad dan selain mereka)


HADIS-HADIS LARANGAN PEREMPUAN DUDUK DI MASJID


Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah telah membuktikan bahawa semua hadis-haids yang melarang (mengharamkan) wanita haid duduk di dalam masjid adalah dhaif/lemah. (Lihat penjelasan beliau dalam kitab Irwaul Ghalil hadis 193) Antara hadis-hadis yang dimaksudkan:


حَدَّثَنَا أَبُوْ بَكْرِ بْنُ أَبِيْ شَيْبَةَ ، وَمُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَ قَالاَ : ثَنَا أَبُوْ نَعِيْمٍ ثَنَا ابْنُ أَبِيْ غَنِيَّةَ عَنْ أَبِيْ الْخَطَّابِ الْهَجَرِيِّ عَنْ مَحْدُوْجِ الذُهْلِيِّ عَنْ جَسْرَةَ قَالَتْ : أَخْبَرْتَنِيْ أُمُّ سَلَمَةَ قَالَتْ : دَخَلَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَرْحَةَ هَذَا الْمَسْجِدِ فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ : اِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنَبٍ وَلاَ لِحَائِطٍ.


“Berkata kepada kami Abu Bakr bin Abi Syaibah dan Muhammad bin Yahya. Mereka berkata: Mengkhabarkan kepada kami Abu Na’im, mengkhabarkan kepada kami Ibnu Abi Ghaniyah dari Abi al-Khattab al-Hajari dari Mahduj az-Zuhli dari Jasrah beliau berkata: Mengkhabarkan kepadaku Ummu Salamah beliau berkata: Rasulullah masuk ke dalam masjid. Kemudian menyeru dengan suara yang tinggi: Sesungguhnya masjid tidak dihalalkan bagi orang yang junub dan perempuan haid”. (H/R Ibnu Majah no. 645. Bab: فى ما جاء فى اجتناب الحائض المسجد)


Telah dijelaskan dalam Az-Zawaid bahawa sanad hadis ini lemah. Imam Ibnu Majah menjelaskan: Mahduj tidak boleh dipercayai dan Abul al-Khattab adalah majhul (tidak dikenali/tidak diketahui). (Lihat: Sunan Ibnu Majah. 1/212. No. 645) Oleh yang demikian, maka haids ini adalah hadis ضعيف “lemah” dan tidak boleh dijadikan hujjah untuk mengharamkan perempuan berhadas atau haid duduk di dalam masjid.


Adapun sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:


فَاِنِّيْ لاَ أُحِلُّ الْمَسْجِدِ لِحَائِضٍ وَلاَ جُنُبٍ.


“Maka sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid bagi perempuan berhaid dan orang yang berjunub”. (H/R Abu Dadu 232. Dan Baihaqi 2/442)


Menurut Imam al-Baihaqi: “ليس هو بقوى (Hadis ini tidak kuat)”.


Berkata Imam al-Bukhari: “عند جسرة عجائب (Pada Jasrah terdapat keganjilan/keanehan)”.


Berkata al-Khatabi: ضعف هذا الحديث (Hadis yang tidak kuat)”.


Berkata para ulama hadis:أفلت مجهول (Aflat seorang yang majhul/tidak dikenali”.


Berkata al-Hafiz Abdul Haq: هذا الحديث لا يثبت(hadis ini tidak tsabit/tidak kuat jalur sanadnya”. (Lihat: كتاب المجموع شرح المهذب jld. 2 hlm. 185. Imam An-Nawawi)


Berkata Al-Hafiz Abi Abdullah Muhammad bin Zaid al-Qazwini (Ibnu Majah):محدوج لم يوثق" (Mahduj tidak siqah)”. Dan beliau berkata lagi: ابو الخطاب مجهول" (Abul Al-Khattab majhul/tidak dikenali”. (Lihat: Sunan Ibnu Majah. 1/645)


Dengan keterangan ini, amat jelas bahawa hadis di atas ini adalah hadis lemah, tidak ada ulama hadis yang mensahihkannya, maka dengan demikian hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk melarang (mengharamkan) perempuan yang sedang berjunub (berhadas besar) duduk di masjid, sama untuk belajar, mendengar kulliah atau sebagainya.


UCAPAN IBNU ABBAS


Adapun penjelasan Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu berkenaan firman Allah Azza wa-Jalla:


وَلاَ جُنُبًا إلاَّ عَابِرِى سِبِيْلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوْا


“(Jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub terkecuali sekadar berlalu sahaja sehingga kamu mandi”. (An-Nisa 4:43)


Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu menjelaskan tentang ayat di atas ini bahawa:


“Tidak boleh kamu masuk masjid dalam keadaan berjunub, kecuali sekadar melintas dan jangan engkau duduk”. (Lihat: Baihaqi 2/443)


Hadis ini juga tidak boleh dijadikan hujjah, lantaran sanad hadis ini lemah (ضعيف), kerana terdapat para rawi yang bernama:


(1). Salm bin Qais al-Alawi. Beliau telah dilemahkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar. (Lihat: Taqrib 1/314. Ibnu Hajar)


(2). Hasan bin Ja’far al-Jufri Abu Sa’id al-Azdi. Beliau telah dilemahkan oleh sekalian Ahli Hadis (para ulama hadis). (Lihat: Tahbut Tahzib 2/260-261. Ibnu Hajar)


TAFSIRAN AYAT


Adapun tafsiran ayat di surah an-Nisa, ayat 43 ialah:


وَلاَ جُنُبًا اِلاَّ عَابِرِى سَبِيْلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوْا.


“(Jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub terkecuali sekadar berlalu sahaja hingga kamu mandi”.


Sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Ali bin Abi Talib, Ibnu Jarir, Ibnu Kathir, Imam as-Sayuti (Lihat: Kitab Tafsir Ibnu Kathir 1/501. Ad-Durul Mansur 2/165 oleh Imam Suyuti) dan selain mereka bahawa:


“Turunnya ayat ini berkaitan dengan orang musafir. Bukan berkaitan dengan orang junub (bukan diturunkan untuk memperkatakan tentang orang junub, pent.). Dan dari Mujahid pula beliau berkata:


عَنْ مُجَاهِدٍ قَالَ : مُسَافِرِيْنَ لاَ يَجِدُوْنَ مَاء فَيَتَيَمَّمُوْنَ صَعِيْدَا طَيِّبًا


“(Ayat ini turun kepada) musafir yang tidak kedapatan air, kemudian bertayammum dengan debu yang bersih, sehinggalah mendapat air barulah mereka mandi”. (Lihat: Kitab Tafsir At-Tabari. Jld 4)


Jika diteliti semua tafsir-tafsir tentang ayat عَابِرِى َبِيٍلٍ, maka yang lebih rajih ialah ia memberi makna (bermaksud): “Musafir (orang yang musafir)”. (Lihat: Tafsir at-Tabari 4/7563, 7565, 7566, 7567, 7569, 7570, 7571) Bukan bermaksud: “Melewati masjid atau sekadar berlalu sahaja”.


Dengan keterangan dan penjelasan ini, membuktikan bahawa orang yang berjunub termasuklah perempuan yang sedang haid boleh duduk, belajar dan diam di dalam masjid. Malah lebih jelas lagi dengan apa yang dikatakan oleh ‘Aisyah radiallahu ‘anhu kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila baginda memerintahkan ‘Aisyah agar masuk ke dalam masjid sedangkan beliau sedang haid. Sebagaimana dapat difahami dari hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:


إِنِّيْ حَائِضٌ ، فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَ فِى يَدِكِ.


“(‘Aisyah berkata): Sesungguhnya aku sedang haid. Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnyanya hadimu bukan berada di tanganmu”. (H/R Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasaii dan Ibnu Majah)


قَالَتْ عَائشَةُ : فَكَانَتْ لَهَا خِبَاءٌ فِى الْمَسْجِدِ أَوْحِفْشٌ


“Hamba perempuan itu mempunyai khemah kecil di dalam masjid iaitu sebagai tempat tinggalnya”. (H/R Bukhari No. 439)


Begitu juga jika seseorang yang berjunub tidak boleh (haram) masuk ke dalam masjid, ini amat bertentangan dengan hadis-hadis sahih yang lain. Pernah para sahabat membawa seorang tawanan yang belum masuk Islam ke dalam masjid untuk dihadapkan kepada Rasulullah, sedangkan Rasulullah tidak menghalang mereka walaupun baginda mengetahui bahawa orang kafir yang dibawa masuk ke dalam masjid tidak pernah mandi hadas. Malah baginda tidak melarang perbuatan para sahabat mengikat tawanan tersebut di salah satu tiang di dalam masjid. Sebagaimana hadis berikut:


عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْلاً قِبَلِ نَجْدٍ ، فَجَاءَ تْ بِرَجُلٍ مِنْ بَنِيْ حَنِيْفَةٍ يُقَالُ لَهُ ثُمَامَةُ بْنُ أُثَالٍ ، فَرَبَطُوْهُ بِسَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ ، فَخَرَجَ اِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : أَطْلِقُوْا ثُمَامَةَ. فَانْطَلَقَ اِلَى نَخْلٍ قَرِيْبٍ مِنَ الْمَسْجِدِ ، فَاغْتَسَلَ ثُمَّ دَخَلَ الْمَسْجِدِ فَقَالَ : أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ.


“Dari Abi Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah mengutus pasukan berkuda menuju Najd. Pasukan tersebut pulang dengan membawa seorang tawanan lelaki dari Bani Hanafiah bernama Sumamah bin Uthal. Mereka mengikatnya di salah satu tiang dari tiang-tiang masjid. Maka Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam keluar dan berkata kepada mereka: Lepaskanlah ikatan Sumamah! Kemudian dia (Sumamah) pergi ke pohon kurma yang berdekatan masjid lalu mandi, kemudian masuk ke dalam masjid dan mengucapkan: أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ. (H/R Bukhari. 462, 2422 dan 4372)


Perhatian! Berikut adalah jawapan dari Syeikh Nasruddin al-Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah berkisar persoalan perempuan haid duduk atau diam (tinggal) di dalam masjid:


MEMBACA QUR’AN DALAM KEADAAN BERHADAS BESAR


SOALAN:


Apa hukumnya bagi lelaki dan wanita yang dalam keadaan berhadas kecil (tanpa berwuduk), kemudian ia membaca al-Quran? Atau wanita yang dalam keadaan berhadas besar seperti haid atau nifas.? Atau juga bagi lelaki atau wanita yang berhadas besar, seperti keluar air mani atau lepas bersetubuh tanpa mandi junub terlebih dahulu kemudian mereka menyentuh (memegang) dan membaca al-Quran?


JAWAPAN:


SUNNAH MEMBACA AL-QURAN DALAM KEADAAN SUCI


Disunnahkan membaca al-Quran dalam keadaan berwuduk, iaitu tidak berhadas besar atau kecil. Namun tidak terdapat walau sebuah hadis sahih yang mengharamkan seseorang membaca al-Quran dalam keadaan berhadas besar atau kecil. Malah terdapat sebuah hadis yang boleh dijadikan dalil tentang bolehnya membaca al-Quran dalam apa pun keadaan. Antara hadis tersebut:


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَانَ النَّبِيُّ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ اللهَ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ


“Dari Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam sentiasa berzikir kepada Allah dalam segala keadaan”. (H/R Muslim 1/194)


Hadis di atas ini menunjukkan boleh berzikir termasuklah membaca al-Quran walaupun dalam keadaan berhadas, sama ada hadas kecil atau besar. Namun membaca al-Quran dalam keadaan demikian (berhadas sama ada hadas besar atau kecil) hukumnya makruh. Hal ini telah dijelaskan dalam sebuah hadis sahih:


عَنْ مُهَاجِرِ بْنِ قُنْفُذٍ أَنَّهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَبُوْلُ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدُّ عَلَيْهِ حَتَّى تَوّضَّأَ ، ثُمَّ اعْتَذَرَ اِلَيْهِ فَقَالَ : اِنِّيْ كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللهَ اِلاَّ عَلَى طُهْرٍ . أَوْ قَالَ : عَلَى طَهَارَةٍ.


“Dari Muhajir bin Qunfaz, sesungguhnya beliau pernah datang kepada Nabi Sallallahu ‘alahi wa-sallam dan baginda sedang kencing, lalu ia memberi salam kepada baginda, akan tetapi baginda tidak menjawabnya sehinggalah baginda berwuduk. Kemudian baginda meminta keuzuran (beralasan) dan kemudian bersabda: Sesungguhnya aku tidak suka (makruh) menyebut nama Allah kecuali dalam keadaan suci (tidak berhadas)”. (H/R Abu Daud. Sahih.)


HADIS-HADIS LEMAH DAN MUNGKAR DALAM HAL INI


Adapun antara hadis-hadis lemah, palsu, batil dan mungkar yang dijadikan hujjah oleh mereka yang mengharamkan membaca al-Quran dalam keadaan berhadas antaranya ialah:


1. مِنْ طَرِيْقِ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ مَسْلَمَةَ ، حَدَّثَنِيْ الْمُغِيْرَة بْن عَبْد الرَّحْمَن عَنْ مُوْسَى بْن عُقْبَةَ عَنْ نَافِعٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَ يَقْرَأُ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ.


1 - “Dari jalan Abdulmalik bin Maslamah, mengkhabarkan kepadaku Mugirah bin Abdulrahman, dari Musa bin Uqbah dari Nafi’ dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma ia berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Tidak boleh membaca sedikitpun dari al-Quran bagi orang yang berjunub”. (H/R Darqutni)


Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan di dalam “Talkhisul Habir” bahawa hadis ini adalah hadis lemah, kerana Abdul Malik bin Maslamah adalah seorang rawi yang lemah. (Lihat: Talkhisul Habir. 1/138) Sedangkan hadis ini dari jalan Abdul Malik bin Maslamah.


2. مِنْ طَرِيْقِ اِسْمَاعِيْل بْنِ عَيَّاش عَنْ مُوْسَى بْنِ عُقْبَةَ عِنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَ تَقْرَإِ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ.


2 - Dari jalan Ismail bin ‘Ayyasy dari Musa bin Uqbah dari Nafi’ dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Janganlah perempuan yang haid membaca sedikitpun dari al-Quran”. (Hadis dikeluarkan oleh Tirmizi 131. Ibnu Majah 595. Darqutni 1/117. Dan Baihaqi 1/89)


(1). Menurut Imam Bukhari واسماعيل منكر الحديث “Dan Ismail (bin ‘Ayyasy) ia adalah mungkarul hadis (Hadis mugkar/palsu)”. (Lihat: (1). As-Sunan al-Kubra. 1/89. H/R Al-Baihaqi. (2). Nasbur Rayah 1/195)


(2). Imam Ahmad, Imam Bukhari dan selain mereka telah melemahkan (mendhaifkan) hadis di atas. (Lihat: Nasbur Rayah. 1/195)


(3). Menurut Ibnu Abu Hatim dari ayahnya: Hadis Ismail bin Ayyasy ini adalah keliru, yang jelas ia hanyalah perkataan Ibnu Umar. (Lihat: Talkhisul Habir. 1/138)


(4). Menurut Abdullah bin Ahmad dari bapanya (Imam Ahmad): “Hadis ini adalah batil”. Malah beliau mengingkari hadis riwayat Ismail (Ismail bin Ayyasy). (Lihat: Talkhisul Habir. 1/138)


3. حَدَّثَنَا عَبْد الصَّمَد ثَنَا اِبْرَاهِيم بن أَحْمَدُ بنُ مَرْوَان ، ثَنَا سُفْيَان بنُ عُثْمَان بْنُ عَاصِم ، ثَنَا مُحَمَّد بْنِ الْفَضْل ، عَنْ أَبِيْهِ عَنْ طَاوُسٍ عَنْ جَابِرٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَ يَقْرَأُ الْحَائِضِ وَلاَ النُّفَسَاءُ مِنَ الْقُرْآنِ شَيْئًا. وَفِى رِوَايَةٍ : لاَ يَقْرَأُ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ مِنَ الْقُرْآنِ شَيْئًا.


3 - “Mengkhabarkan kepada kami (dari jalan) Abdussamad, mengkhabarkan kepada kami Ibrahim bin Ahmad bin Marwan, mengkhabarkan kepada kami Sufyan bin Uthman bin ‘Asim, dari Muhammad bin Fadl dari bapanya dari Tawus dari Jabir ia berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Tidak boleh membaca bagi perempuan yang haid dan nifas sedikit pun dari al-Quran. Pada riwayat yang lain: Tidak boleh membaca perempuan haid dan junub sedikitpun dari al-Quran”. (Lihat: Sunan ad-Durqatni Darqutni 2/87. Lihat: Al-Hilya 4/22. Abu Nua’im)


(1). Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar: Muhammad bin Fadl bin Athiyah bin Umar dianggap oleh para Imam ahli hadis sebagai pendusta. (Lihat: At-Taqrib. 2/200. Ibnu Hajar)


(2). Ibnu Hajar juga menjelaskan bahawa (Muhammad bin Fadl bin Atiyah bin Umar) adalah seorang yang matruk. (Lihat: Talkhisul Habir. 1/138) Dengan demikian maka kedudukan hadis ini adalah paslu (maudu’).



(3). Berkata Darqutni: (Ibrahim bin Ahmad bin Marwan) dia adalah perawi yang tidak kuat (ليس بقوي). (Lihat: Sunan ad-Durqatni. 2/87)

4. عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ سَلِمَةَ قَالَ : …… إِنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلِيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ مِنَ الْخَلاَءِ فَيُقْرِئُنَا الْقُرْآنَ وَيَأْكُلُ مَعَنَا اللَّحْمَ وَلَمْ يَكُنْ يَحْجُبُهُ أَوْقَالَ يَحْجِزُهُ عَنِ الْقُرْآنِ شَيْءٌ لَيْسَ الْجَنَابَةَ.


4 - Dari Abdullah bin Salimah berkata: ….. Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam keluar dari tandas, lalu baginda membacakan al-Quran kepada kami dan makan daging bersama kami, tidak ada yang menghalangi baginda sesuatupun juga dari membaca al-Quran selain junub”. (H/R Abu Daud 1/229 Bab Fil Junubi Yaqrau al-Quran. Tirmizi 146. Nasaii 1/144. Ibnu Majah 594. Ahmad 1/182 No 639)


(1). Berkata Imam Syafie tentang perawi hadis ini (Abdullah bin Salimah):لم يكن اهل الحديث يثبتونه “Tidak pernah Ahli Hadis mengithbatkan (ulama hadis tidak menguatkannya)”. (Lihat: Al-Jami as-Sahih Jld. 1. M/S 374. Sunan at-Tirmizi)


(2). Berkata Imam al-Baihaqi: Adapun Imam Syafie bertawaquf dan tidak menetapkan hadis ini ialah setelah Abdullah bin Salimah al-Kufi menjangkau umur tua. Setelah usianya lanjut, maka diingkari hadis yang datang darinya kerana berubah ingatannya (hafalannya). (Lihat: Al-Jami as-Sahih Jld. 1. M/S 374. Sunan at-Tirmizi)


(3). Berkata al-Khattabi: Bahawa Imam Ahmad bin Hambal radiallahu ‘anhu: يضعف أمر عبدالله بن سلمة “Beliau melemahkan hadis Abdullah bin Salimah”. (Lihat: Al-Jami as-Sahih Jld. 1. M/S 374. Sunan at-Tirmizi) Iaitu setelah beliau tua dan berubah hafalannya. (Lihat: Al-Jami as-Sahih Jld. 1. M/S 374. Sunan at-Tirmizi)


Walaupun hadis di atas ini telah disahihkan oleh Imam Tirmizi, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Hakim, Az-Zahabi, Ibnu Sakan, Abdul Haq, Al-Baghawi dan Ahmad Muhammad Syakir. Namun hadis ini telah dilemahkan oleh sekian ramai jamaah ahli hadis. Antara mereka yang melemahkan hadis ini ialah Imam Bukhari, Syafie, Ahmad, Baihaqi, Al-Munziri, An-Nawawi, Al-Khatabi, Al-Albani dan ramai lagi selain mereka.


5. وَعَنْهُ قَالَ : رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ ، ثُمَّ قَرَأَ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ ، ثُمَّ قَالَ : هَكَذَا لِمَنْ لَيْسَ بِجُنُبٍ ، فَأَّمَا الْجُنُبُ فَلاَ ، وَلاَ آيَة.


5 - Dan darinya ia berkata: Aku melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berwuduk, kemudian baginda membaca surah al-Quran, kemudian baginda bersabda: Demikianlah bagi orang yang tidak junub, sedangkan orang yang junub, maka tidak demikan, walaupun hanya sepotong ayat”. (H/R Ahmad dan Abu Ya’ala)


(1). Berkata Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani:


فإن لهذه الطريق علتين ، الضعف والوقف


“Sesungguhnya jalan ini mempunyai dua Illah, iaitu kelemahan الضعف dan kemauqufan الوقف”. (Lihat: تمام المنة فى التعليق فقه السنة hlm. 177. Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)


a. Kelemahan (الضعف): Adapun sebab kelemahan hadis ini kerana di dalam sanadnya terdapat Amir bin As-Samth Aba al-Garif (عامر بن السمط أبا الغريف). Ia tidak dinyatakan tsiqah (dipercayai/ثقة) kecuali oleh Ibnu Hibban, padahal Ibnu Hibban seorang yang dikenal bermudah-mudah dalam mentautsiq (فىالتوثيق). Ia telah dipertikaikan oleh ulama yang lebih tahu tentang masalah keadaan rawi-rawi iaitu Abu Hatim ar-Razi. Beliau telah berkata tentang Abul Gharif: Ia bukan seorang yang masyhur. Mereka juga telah membincangkan tentang Asbugh bin Nabatah (أصبغ بن نباتة). Dan Asbugh dia seorang yang lemah hadisnya menurut Ibnu Abi Hatim, malah menurut yang lainnya dia seorang yang matruk (ditinggalkan). Antara mereka yang menetapkan kelemahannya ialah Ibn Hajar. (Lihat: تمام المنة فى التعليق فقه السنة hlm. 177. Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)


Adapun sebab kemauqufannya ialah kerana Ad-Darqutni dan yang lainnya telah meriwayatkan dari Abul Gharif dari Ali secara mauquf darinya. (Lihat: (1). ضعيف سنن أبي داود No. 31. (2). تمام المنة فى التعليق فقه السنة hlm. 117. Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)


Ibnu Hazam pula berhujjah dengan athar yang berikut tentang bolehnya membaca al-Quran dalam keadaan junub, iaitu dari Ibnu Abbas, Sa’id bin Musyyib dan Sa’id bin Jubair dan sanadnya dari yang terakhir ini adalah baik, telah meriwayatkan darinya Hammad bin Abi Sulaiman ia berkata:


سَأَلْتُ سَعِيْدَ بْنِ جَبِيْر عَنِ الْجُنُبِ يَقْرَأ ؟ فَلَمْ يَرَ بِهِ بَأْسًا . وَقَالَ : اَلَيْسَ فِى جَوْفِهِ الْقُرْآن ؟


“Aku bertanya kepada Sa’id bin Jubair tentang orang yang junub, bolehkan dia membaca al-Quran? Ia memandang tidak mengapa, dan dia berkata: Bukankah di dalam dirinya terdapat al-Quran”. (Lihat: (1). شرح السنة. 2/43. (2).تمام المنة فى التعليق فقه السنة hlm. 118.)


(2). Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani: Di samping hadis ini mauquf, maka sanadnya juga lemah sehingga tidak layak menjadi syahid (penguat) bagi hadis marfu’. (Lihat: تمام المنة فى التعليق فقه السنة hlm. 117) Dengan demikian, maka berdalilkan dengan hadis di atas terhadap permasalahan ini menjadi gugur, malah wajib balik kepada hukum asal, iaitu boleh bagi orang junub membaca al-Quran.


(3). Melalui penjelasan ini, maka dibolehkan menyentuh, memegang dan membaca al-Quran walaupun dalam keadaan berhadas kecil atau hadas besar (berjunub). Namun tidak tersembunyi bahawa hal tersebut (membaca al-Quran dalam berhadas) tidak terlepas dari hukum makruh berdasarkan hadis sahih (Lihat: تمام المنة فى التعليق فقه السنة hlm. 117):


إِنِّيْ كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللهَ إِلاَّ عَلَى طُهْرٍ.


“Sesungguhnya aku tidak suka berzikir kepada Allah kecuali dalam keadaan suci”. (Lihat: As-Sahihah 834)


DIBOLEHKAN MENYENTUH & MEMBACA AL-QURAN


Dibolehkan membaca, membawa dan memegang (menyentuh) al-Quran sama ada dalam keadaan berhadas kecil (tidak berwuduk), atau berhadas besar seperti haid, nifas bagi wanita dan disebabkan keluar air mani atau juga selepas bersetubuh bagi lelaki dan wanita. Tidak ada perbezaan dalam perkara ini antara lelaki dan wanita.


Selain hujjah dan penjelasan yang lalu, maka antara hadis yang menjadi dalil (hujjah) membolehkan menyentuh, memegang, membawa atau membaca al-Quran dalam keadaan junub ialah:


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ نَذْكُرُ اِلاَّ الْحَجَّ ، فَلَمَّا جِئْنَا سَرِفَ طَمِثْتُ ، فَدَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِيْ ، فَقَالَ : مَا يُبْكِيْكِ ؟ قُلْتُ : لَوَدِدْتُ وَاللهِ أَنِّيْ لَمْ أَحُجَّ الْعَامَ . قَالَ : لَعَلَّكِ نُفِسْتِ ؟ قُلْتُ : نَعَمْ . فَقَالَ : فَإِنَّ ذَلِكَ شَيْئٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ ، فَافْعَلِيْ مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوْفِيْ بِالبَيْتِ حَتَّى تَطْهَرِيْ.


“Dari ‘Aisyah ia berkata; Kami keluar (mengerjakan fardu haji) bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Tidaklah ada yang kami fikirkan kecuali haji. Ketika kami tiba di Sarif aku kedatangan haid. Lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam masuk menemuiku dan aku sedang menangis. Maka baginda bertanya: Apakah yang menyebabkan engkau menangis? Aku menjawab: Aku inginkan demi Allah sekiranya aku tidak haji pada tahun ini. Baginda bertanya: Apakah engkau sedang bernifas (berhaid)? Aku menjawab: Ya!. Baginda bersabda: Sesungguhnya ia adalah sesuatu yang telah Allah tentukan untuk anak-anak perempuan Adam, oleh itu kerjakanlah setiap yang dikerjakan oleh orang yang sedang menunaikan haji selain tawaf di Bait (Ka’abah) sehinggalah engkau dalam keadaan suci”. (H/R Muslim 4/30)


Dalam hadis ini, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak melarang ‘Aisyah memasuki masjid atau membaca al-Quran, kecuali solat dan tawaf.


FATWA SYEIKH MUHAMMAD NASHIRUDDIN AL-ALBANI


Berikut ini adalah jawapan (fatwa) Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah apabila ditanya tentang bolehnya lelaki atau perempuan yang berhadas kecil atau besar menyentuh, membawa, memegang dan membaca al-Quran. Soalan dan jawapan ini dinukil dari kitab:


( مجموعة فتاوى المدينة المنورة Oleh: Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)


SOALAN:


Bolehkah bagi seseorang lelaki atau wanita membaca al-Quran atau menyentuh mushaf tanpa berwuduk?.


JAWAPAN:


Suatu perkara yang dibolehkan (dalam syara. Pent) ialah membaca al-Quran tanpa berwuduk, kerana tidak ada suatupun nas dalam al-Kitab ataupun as-Sunnah yang melarang seseorang membaca al-Quran tanpa bersuci (berwuduk).


Begitu juga tidak ada perbezaan dalam perkara ini antara lelaki dan wanita. Malah tidak ada perbezaan dalam hal ini antara lelaki yang bersuci atau tidak dengan wanita yang berhaid (berhadas besar. Pent) atau tidak.


Antara dalilnya ialah hadis Aisyah dalam sahih Muslim, bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam berzikir kepada Allah dalam segala hal (dalam semua keadaan).


Apa yang dilarang dalam syariat bagi wanita haid adalah solat. Membaca al-Quran dalam keadaan tidak bersuci mengandungi hikmah yang sangat mendalam, iaitu agar ia beribadah kepada Allah dalam keadaan suci sebagaimana keadaan sebelum berhaid. Kita tidak boleh mempersempit ruang ibadah yang mulanya (semasa suci/belum haid) disyariatkan bersama dengan solat. Jika kemudian ia ditegah solat, ini bukan bermakna ia ditegah dari beribadah yang lain. Kita harus melapangkan apa yang telah Allah lapangkan kepada kita.


Dalam masalah haid, sering saya bawakan hadith Sayidah ‘Aisyah semasa beliau mengerjakan haji bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, mereka singgah di suatu tempat yang dinamakan Sarif, berdekatan Mekkah, baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam mendapati ‘Aisyah sedang menangis kerana kedatangan haid, lalu baginda bersabda:


اِصْنَعِيْ مَا يَصْنَعُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوْفِيْ وَلاَ تُصَلِّيْ.


“Buatlah (lakukanlah) sebagaimana apa yang dikerjakan oleh orang yang mengerjakan haji, kecuali tawaf dan solat”.


Baginda tidak melarang Aisyah (yang dalam keadaan berhaid) untuk membaca al-Quran dan memasuki Masjid al-Haram. Inilah penjelasan Syeikh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani tentang persoalan lelaki atau wanita yang menyentuh, memegang atau membaca al-Quran dalam keadaan belum bersuci.


والله اعلم


Boleh juga muat turun tulisan Sheikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin – [Download]