Rabu, 2 Januari 2008

071 - Mari Solat Rawatib Subuh (Solat Fajar)

Mari Solat Rawatib Subuh (Solat Fajar)

Pertama: Hukum Solat Sunnah Rawatib Subuh

Solat sunnah rawatib Subuh adalah solat yang tergolong di dalam solat sunnah rawatib yang sangat ditekankan/dituntut. Nabi s.a.w. membiasakannya serta tidak pernah meninggalkannya, sama ada ketika beliau di rumah mahupun ketika dalam perjalanan (musafir).

Meskipun demikian, tidak ada riwayat yang sahih dari Nabi yang menunjukkan bahawa hukumnya adalah wajib.[1]

Dalil yang menunjukkan solat dua rakaat yang dikerjakan Rasulullah dalam perjalanan adalah apa yang ditegaskan dari Abu Maryam, dia menyatakan: “Kami pernah bersama Rasululah s.a.w. dalam sebuah perjalanan. Lalu kami melakukan perjalanan pada malam hari. Ketika di ambang waktu Subuh, Rasulullah s.a.w. singgah, kemudian tidur dan orang-orang pun ikut tidur. Dan kami tidak bangun kecuali ketika matahari telah terbit menyinari kami. Kemudian Rasulullah menyuruh mu’adzdzin mengumandangkan azan, maka dia pun mengumandangkannya. Selanjutnya, beliau mengerjakan solat dua rakaat sebelum solat Subuh. Setelah itu, beliau menyuruh muadzdzin untuk mengumandangkan iqamah, maka dia pun melakukan iqamah. Baru kemudian beliau mengerjakan solat bersama orang-orang. Kemudian beliau memberitahu kami mengenai apa yang akan terjadi sampai hari Kiamat kelak.”[2]

Dari hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi biasa mengerjakan solat sunnah rawatib Subuh bersamaan dengan solat Subuh dalam perjalanan.

Selain itu, hadis tersebut juga menunjukkan bahawa disyari’atkan solat sunnah rawatib Subuh walaupun ketika Solat Subuh telah berlalu dari waktunya (kesiangan). Di mana disyari’atkan mengerjakan solat sunnah rawatib Subuh dulu baru kemudian solat Subuh, sebagaimana yang dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w..

Menurut Imam Ibnul Qayyim:

Kesinambungan dan penjagaan Nabi s.a.w. terhadap sunnah Rawatib Subuh melebihi seluruh solat sunnah yang lainnya. Beliau s.a.w. tidak pernah meninggalkan sunnah Rawatib Subuh dan solat witr sama ada dalam keadaan safarnya (musafir) mahupun muqim. Dalam keadaan safar, beliau s.a.w. sentiasa melakukannya dengan disiplin akan solat sunnah Rawatib Subuh dan Witr melebihi seluruh solat-solat sunnah dan Rawatib yang lainnya. Tidak ada dinukilkan dari beliau dalam safarnya melakukan solat Rawatib selain Rawatib Subuh. Oleh kerana itu, dahulu Ibnu ‘Umar tidak menambah dari dua rakaat, dan ia berkata, “aku telah berpergian bersama Rasulullah s.a.w., Abu Bakar dan ‘Umar. Mereka semua dalam safarnya tidak melebihi dua rakaat. (Za’adul Ma’ad, 1/305)

Dengan demikian, ini menunjukkan bahawa hukum solat Sunnah Rawatib Subuh adalah sunnah muakkadah, dan termasuk Rawatib yang dianjurkan.

Kedua: Sifat dan keutamaannya

Solat sunnah rawatib Subuh itu dua rakaat, yang dikerjakan sebelum solat Subuh. Mengenai keutamaannya, terdapat banyak hadis yang menjelaskannya, di antaranya adalah seperti berikut:

a. Dari ‘Aisyah r.ha., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda:

“Dua rakaat sebelum Subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya. (Keduanya lebih aku sukai daripada dunia secara keseluruhan).” Diriwayatkan oleh Muslim.[3]

Hadis di atas menunjukkan disunnahkannya dua rakaat sebelum Subuh dan anjuran untuk mengerjakan keduanya.

b. Dari ‘Aisyah r.ha., dia menyatakan, Nabi s.a.w. tidak pernah (berusaha) sekeras ini untuk mengerjakan solat dua rakaat sebelum Subuh. (Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim)[4]

Hadis di atas menunjukkan penekanan untuk sentiasa memelihara solat dua rakaat sebelum Subuh.

Di dalam hadis tersebut telah tergabung ucapan Rasulullah yang menganjurkan untuk melaksanakannya, sekaligus juga tindakan beliau dalam memeliharanya.

c. Masih dari ‘Aisyah r.ha., dia menyatakan:

“Sesungguhnya Nabi tidak pernah meninggalkan empat rakaat sebelum solat Zhuhur dan dua rakaat sebelum solat Subuh.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan an-Nasa’i)[5]

Hadis-hadis di atas menunjukkan keutamaan solat dua rakaat sebelum Subuh, yang ia merupakan solat sunnah rawatib yang paling ditekankan.

Ketiga: Meringankan pelaksanaannya

Salah satu petunjuk Rasulullah adalah meringankan pelaksanaan solat dua rakaat sebelum Subuh, yaitu tidak panjang bacaannya. Di antara hadis-hadis yang menunjukkan hal tersebut adalah:

a. Dari Ummul Mukminin Hafshah r.ha, dia menyatakan, bahawasanya jika mua’zdzin telah berhenti dari azan untuk solat Subuh dan fajar telah tampak, Rasulullah terus/segera mengerjakan dua rakaat (solat) yang ringan sebelum mendirikan solat Subuh.” Diriwayatkan asy-Syaikhani.[6]

b. Dari ‘Aisyah dia menyatakan:

“Nabi meringankan dua rakaat sebelum solat Subuh sampai-sampai aku menanyakan: ‘Apakah beliau membaca Ummul Kitab?” Diriwayatkan oleh asy-Syaikhani.’[7]

Dua hadis di atas menunjukkan disyari’atkannya pelaksanaan solat dua rakaat sebelum Subuh secara ringan.

Sebagian ulama menjadikan hadis ‘Aisyah ini sebagai dalil yang menunjukkan disyari’atkannya pelaksanaan solat sunnah Sebelum Subuh dengan membaca al-Fatihah saja, padahal tidak ada dalil di dalam hadis itu yang mengisyaratkan ke arah seperti yang tersebut. Tujuan utamanya adalah mengkhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w. biasa meringankan bacaan di dalam kedua rakaat tersebut. Hal itu diperkuat juga oleh beberapa perbahasan berikut.

Kesimpulannya, solat Sunnah Rawatib Subuh dilakukan selepas azan (masuknya waktu subuh) dengan dua rakaat dan satu salam serta sebelum solat fardhu subuh dilaksanakan. Ia dilaksanakan dengan ringan/ringkas sahaja.

Keempat: Yang dibaca di dalam solat rawatib Subuh

a. Dari Abu Hurairah r.a.:

“Bahawasanya Rasulullah biasa membaca di dalam dua rakaat sebelum Subuh: “Qul yaa ayyuhal kaafiruun” dan “Qul Huwallaahu Ahad”).”[8]

b. Dari Ibnu ‘Abbas r.a.:

“Bahawasanya Rasullullah biasa membaca di dalam solat dua rakaat sebelum Subuh, (yakni) rakaat pertama membaca: “Quuluu Aaamannaa billaahi wamaa unzila ilaina ....,” kemudian ayat yang terdapat di dalam surat al-Baqarah (ayat 136), dan pada rakaat kedua membaca: “Aamannaa billaahi wasyhad bi annaa Musliniuun.” (Ali-‘Imran: 52)

Dalam riwayat yang lain disebutkan: “Rasulullah biasa membaca di dalam solat dua rakaat sebelum Subuh: “Quuluu Aaamannaa billaahi wamaa unzila ilaina...” (QS. Al-Baqarah: 136) dan yang terdapat di dalam surat Ali-’Imran: “Ta’aalau ilaa kalimatin sawaa’ bainanaa wa bainakum.” (Ali-‘Imran: 64)[9]

Kedua hadis di atas menunjukkan disunnahkannya bacaan surat “Qul yaa ayyuhal kaafiruun” pada rakaat pertama dan surat al-Ikhlas pada rakaat kedua di dalam solat rawatib sebelum Subuh. Sebagaimana hadis tersebut juga menunjukkan disunnahkan bacaan satu ayat dari surah al-Baqarah dan surah Ali-‘Imran. Oleh sebab itu, seorang Muslim boleh membaca ayat ini dan boleh juga yang lain, sebagai inisiatif menjalankan/mempraktikkan sunnah).[10]

Kelima: Berbaring setelah mengerjakan solat sunnah rawatib Subuh

Disunnahkan bagi orang Muslim jika mengerjakan solat rawatib Subuh di rumah untuk berbaring di atas lambung kanannya (mengiring ke kanan). Yang demikian itu adalah berdasarkan kepada hadis-hadis berikut ini:

a. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Jika salah seorang di antara kalian telah mengerjakan solat dua rakaat sebelum Subuh, hendaklah dia berbaring di atas lambung kanannya.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi.)[11]

Hadis di atas menunjukkan disyari’atkannya berbaring setelah mengerjakan solat dua rakaat sebelum Subuh. Di dalamnya terkandung dalil yang mewajibkan kerana itulah kandungan perintah[12], tetapi kemudian dialihkan dari wajib menjadi sunnah oleh hadis berikut ini:

b. Dari ‘Aisyah r.ha: “Bahawasanya jika Nabi sudah mengerjakan solat sunnah Subuh, sedang aku dalam keadaan jaga, beliau akan berbincang (berbicara) denganku. Jika tidak demikian, beliau akan berbaring hingga dikumandangkan iqamat untuk mendirikan solat.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)[13]

Di dalam hadis ini mengandungi pengertian bahawa adakalanya Rasulullah s.a.w. tidak berbaring di atas lambung kanannya setelah solat rawatib Subuh. Seandainya berbaring itu wajib, pasti beliau tidak akan meninggalkannya.

Kemudian, muncul pertanyaannya, adakah hal tersebut (sunnah berbaring) dilakukan di rumah atau di masjid?

Hadis Abu Hurairah r.a. tersebut bersifat mutlak. Jika mengerjakan solat rawatib Subuh di masjid, beliau berbaring di masjid. Begitu pula jika mengerjakannya di rumah, beliau akan berbaring di rumah.[14]

Keenam: Orang yang tidak sempat mengerjakan solat rawatib Subuh

Disyari’atkan bagi orang yang tidak sempat mengerjakan solat rawatib dua rakaat sebelum Subuh, untuk mengerjakannya setelah solat Subuh langsung atau setelah matahari terbit. Tetapi, yang afdhal adalah mengerjakannya setelah matahari terbit.

Dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barang siapa tidak sempat mengerjakan solat rawatib dua rakaat sebelum Subuh, maka hendaklah dia mengerjakannya setelah matahari terbit.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi)[15]

Berdasarkan, zahir hadis ini adalah kewajiban mengerjakan solat rawatib Subuh setelah matahari terbit, jika tidak sempat mengerjakannya sebelum solat Subuh. Hanya saja, perintah ini dialihkan menjadi sunnah dengan dalil hadis berikut ini:

Dari Qais bin Qahd[16] r.a., bahawasanya dia pernah mengerjakan solat Subuh bersama Rasulullah s.a.w., sedangkan dia belum mengerjakan solat rawatib dua rakaat sebelumnya. Setelah beliau mengucapkan salam, dia pun mengucapkan salam bersama beliau s.a.w.. Selanjutnya, dia mengerjakan solat rawatib Subuh dua rakaat, sedang Rasulullah s.a.w. melihatnya, tetapi beliau s.a.w. tidak melarang-nya dari melakukan hal tersebut.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)[17]

Hadis di atas menunjukkan bahawa dibolehkan qadha solat sunnah rawatib sebelum subuh setelah menunaikan solat fardhu subuh bagi mereka yang tidak sempat mengerjakannya sebelum solat subuh.

Rujukan/Footnote:

[1] Terdapat beberapa hadis antaranya, hadis Abu Hurairah dengan status marfu’: “Janganlah kalian meninggalkannya meskipun kalian ditinggalkan kuda.” (Yakni, solat sunnah sebelum Subuh) adalah hadis dha’if. Diriwayatkan oleh Abu Dawud (1/487- ‘Aun), ath-Thahawi di dalam kitab Syarhu Ma‘aani al-Aatsaar (1/299). Di dalam sanadnya yang ada pada keduanya terdapat ‘Abdurrahman bin Ishaq al-Madini, seorang yang dha’if dan Ibnu Sailan, yang keadaannya tidak diketahui. Wabillaahit taufiiq.

[2] Hadis ini sahih lighairihi. Diriwayatkan di dalam Sahih Sunan an-Nasa’i dengan sanad ringkas, Kitab “al-Mawaaqiit”, Bab “Kaifa Yuqdhal Faa-it minash Shalaah.” (no. 605, 1/133). Hadis dengan makna yang sama juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam kitab Sahihnya (no. 680) dari Abu Hurairah r.a.. Hadis ini mempunyai penguat yang cukup banyak yang ada pada Abu Dawud di dalam Kitab “ash-Shalaah”, Bab “Fiiman Naama ‘anish Shalaah au Nasiyahaa. Lihat Kitab Sahih Sunan Abi Dawud dengan sanad yang ringkas (1/88-90).

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Di antara petunjuk Nabi s.a.w. dalam perjalanannya adalah mengqashar solat fardhu, namun tidak diperoleh riwayat dari beliau yang menceritakan bahawa beliau mengerjakan solat sunnah sebelum dan sesudah solat fardhu, kecuali solat Witir dan solat sunnah fajar. Sungguh beliau s.a.w. tidak pernah meninggalkannya, sama ada ketika sedang di rumah mahupun dalam perjalanan.” (Zaadul Ma ‘aad (1/473))

[3] Hadis ini sahih. Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitab “Shalaatul Musaafiriin wa Qashruhaa”, Bab “Istihbaabi Rak’atai Sunnahil Fajr wal Hatstsu ‘Alaihima wa Takhfiiflhimaa Wal Muhaafazhati ‘Alaihimaa wa Bayaani maa Yus-tahabbu an Yaqra’a Fiihimaa”, (no. 725). Tambahan di atas adalah miliknya. Diriwayatkan juga oleh at-Tirmidzi di dalam Kitab “ash-Shalaah”, Bab “Maa Jaa’a fii Rak’atail Fair minal Fadhi”, (no. 416, 1/320 - Tuhfatul Ahwadzz), an-Nasa’i di dalam Kitab “Qiyaamul Lail wa Tathawwu’un Nahaar” (111/252), dan al-Hakim (1/307).

[4] Hadis ini sahih. Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Kitab “at-Tahajjud”, Bab “Ta’aahud Rak’atail Fajr Waman Sammaahaa Tathawwu’an” (no. 1169). Muslim di dalam Kitab “Shalaatul Musaafiriin wa Qashruha”, Bab “Istihbaab Rak’-atai Sunnahil Fajr wal Hatstsu ‘Alaihimaa wa Takhfiifihima Wal Muhaafazhati ‘Alaihima wa Bayaani maa Yustahabbu an Yuqra-a Fiihimaa” (no. 724).

[5] Hadis ini sahih. Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Kitab “at-Tahajjud”, Bab “ar-Rak’atain Qablazh Zhuhr” (no. 1182). Lafaz di atas adalah miliknya, an-Nasa’i di dalam Kitab “Qiyaamul Lail wa Tathawwu’un Nahaar, Bab al-Muhaafazhatu ‘Alar Rak’ataini Qablal Fajr” (111/252), dan tambahan di atas adalah miliknya. Diriwayatkan juga oleh Abu Dawud di dalam Kitab “ash-Shalaah”, Bab “Taqrii’ Abwaabit Tathawwu’ wa Raka’aatis Sunnah” (no. 1253), serta ad-Darimi (1/335).

[6] Hadis sahih. Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Kitab “al-Azaan”, Bab “al-Azaan Ba’dal Fajr”, (no. 618). Muslim di dalam Kitab “Shalaatul Musaafiriin wa Qashruha”, Bab “Istihbaabu Rak’atai Sunnahil Fajr Wal Hatstsu ‘Alaihimaa wa Takhfiifihima wal Muhaafazhati ‘Alaihima wa Bayaani maa Yustahabbu an Yuqra-a Fiihima”, (no. 723), lafaz di atas adalah miliknya.

[7] Hadis sahih. Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Kitab “at-Tahajjud”, Bab “Maa Yuqra-u flu Rak’atail Fajr” (no. 1171). Diriwayatkan juga oleh Muslim di dalam Kitab “Shalaatul Musaafiriin wa Qashruhaa”, Bab “Istihbaabu Rak’atai Sunnahil Fajr wal Hatstsu ‘Alaihima wa Takhfiifihimaa wal Muhaafazhati ‘Alaihimaa wa Bayaani maa Yustahabbu an Yaqra-a Fiihima” (no. 724). Adapun lafaz hadis di atas adalah milik al-Bukhari.

[8] Hadis sahih. Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitab “Shalaatul Musaafiriin wa Qashruhaa”, Bab “Istihbaabu Rak’atai Sunnahil Fajr wal Hatstsu ‘Alaihima wa Takhfliflhimaa wal Muhaafazhati ‘Alaihimaa wa Bayaani maa Yus-tahabbu an Yaqra-a Fiihima” (no. 726).

[9] Hadis sahih. Diriwayatkan oleh Muslim di dalam kitab yang sama dengan sebelumnya (no. 727). Kesimpulan: Di dalam hadis Ibnu ‘Abbas terdapat dalil yang menunjukkan diperbolehkan bacaan satu ayat saja di dalam satu rakaat, diperbolehkan membaca dari pertengahan surah, dan diperbolehkan menyebut surah al-Qur’an terus dengan namanya saja tanpa menyebut surah. Misalnya dengan menyebut ayat yang terdapat di dalam al-Baqarah atau yang terdapat di dalam an-Nisaa’ ... dan seterusnya.

[10] Ibnul Qayyim di dalam kitab Zaadul Ma’aad (1/316-318).

[11] Hadis bertaraf hasan. Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi di dalam Kitab “ash-Shalaah”, Bab “Maa Jaa-a fil Idhthijaa’ Ba’da Rak’atail Fajr” (no. 420). Dia mengatakan: “Hadis hasan sahih gharib dari sisi ini.” Diriwayatkan juga oleh Abu Dawud di dalam Kitab “ash-Shalaah”, Bab “al-Idhthijaa’ Ba’dahaa” (no. 1261). Dinilai sahih oleh Ibnu Khuzaimah (1120), Ibnu Hibban (612 - Mawaarid, 6/220, no. 2468 - al-Ihsaan), an-Nawawi di dalam kitab Syarh Muslim (6/19) dan Riyaadhush Shaalihiin, al-Albani di dalam kitab Shahiihul Jaami’, serta al-Arna’uth di dalam tahqiq-nya terhadap kitab al-Ihsaan.

[12] Demikian itu yang dikatakan Ibnu Hazm di dalam kitab, al-Muhalla (111/196) dan asy-Syaukani di dalam kitab Nailul Authaar (111/29).

[13] Hadis sahih. Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Kitab “at-Tahajjud”, Bab “Man Tahaddatsa Ba’dar Rak’atain Walam Yadhthaji” (no. 1161).

[14] Al-’Allamah Sheikh al-Albani rahimahullah berkata: “Kami tidak mengetahui bahawa ada salah seorang Sahabat yang melakukan hal tersebut - yakni berbaring setelah mengerjakan solat rawatib Subuh di masjid. Bahkan, sebahagian mereka menolak hal tersebut, yakni mereka mengkhususkan tindakan Rasulullah hanya di rumah saja, sebagaimana yang menjadi sunnah beliau. (Shalaatut Taraawiih, hlm. 90) Menurut Sheikh Muhammad Bin ‘Umar Bin Salim Bazmul: “dapat saya katakan bahawa masalahnya memang seperti yang dikemukakan oleh Sheikh al-Albani. Demikian juga jika dia tertinggal, tidak mengerjakan solat rawatib Subuh, sehingga mengerjakannya setelah solat Subuh. Maka tidak disyari’atkan baginya berbaring di atas lambung sebelah kanan kerana tidak ada nukilan dari beliau mengenai hal tersebut. Yang difahami dari hadis Abu Hurairah adalah disyari’atkannya berbaring di atas lambung sebelah kanan setelah solat rawatib sebelum solat Subuh, bukan dalam pengertian yang tidak terbatas. Wallaahu a’lam.

[15] Hadis sahih. Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi di dalam Kitab “ash-Shalaah”, Bab “Maa Jaa-a fil I’aadatihima Ba’da Thuluu’i asy-Syams”, (no. 424). Dinilai sahih oleh al-Hakim (1/274), Ibnu Khuzaimah (1117), dan Ibnu Hibban (4/224, no. 2472 - al-Ihsaan). Juga dinilai sahih oleh al-Albani di dalam kitab Shahiih Sunan Tirmidzi (1/133).

[16] Lihat kitab al-Mughni Dhabthi Asmaa-ir Rijaal (hlm. 206).

[17] Hadis hasan lighairihi. Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi di dalam Kitab “ash-Shalaah”, Bab “Maa Jaa-a Fiiman Tafuutuhur Rak’ataani Qablal Fajr Yushalliihima Ba’da Shalaatish Shubhi” (no. 422,1/324 - Tuhfatul Ahwadzzi, Abu Dawud di dalam kitab “ash-Shalaah”, Bab “Man Faatatuhu Hattaa Yaqdhiihaa”, no. 1267. Dinilai sahih oleh al-Hakim (1/274), Ibnu Khuzaimah (1116), Ibnu Hibban (624 - Mawaarid, 4/222, no. 2471 - al-Ihsaan). Hadis ini juga dinilai sahih oleh al-’Allamah Ahmad Syakir di dalam tahqiq-nya pada kitab Sunan at-Tirmidzi (11/286) dan al-Albani di dalam kitab Shahiih Sunan at-Tirmidzi (1/133). Kesimpulan: Di dalam hadis tersebut terkandung dalil yang menunjukkan dibolehkannya qadha solat pada waktu larangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang pertanyaan/kemusykilan/komen/kritikan/cadangan boleh-lah ditulis terus ke ruangan komen ini, atau dihantar secara personal ke alamat e-mail ini, dimensi83@hotmail.com. Terima kasih kerana membaca.