Rabu, 23 April 2008

89 - Solat Sunnah Tasbih

Solat Sunnah Tasbih

Solat Tasbih adalah salah satu jenis solat yang dilakukan dalam bentuk yang khusus. Dinamakan sebagai solat Tasbih adalah kerana di dalamnya banyak terdapat ucapan tasbih. Pada setiap rakaatnya terdapat tujuh puluh lima (75) tasbih. (Nihayah al-Muhtaj, 2/119)

Di antara solat sunnah yang disyari’atkan adalah solat sunnah Tasbih, iaitu seperti yang disebutkan di dalam hadis Ibnu ‘Abbas r.a. berikut:

Dari Ibnu abbas r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada ‘Abbas bin Abdil Muthalib: “Wahai ‘Abbas, wahai pakcik-ku, mahukah engkau jika aku memberimu? Mahukah engkau jika aku memberi kemuliaan bagimu? Mahukah engkau jika aku menghadiahkan kepadamu? Mahukah engkau jika aku berbuat sesuatu terhadapmu? Ada sepuluh perkara yang jika engkau melakukan hal tersebut, maka Allah akan memberikan keampunan bagimu atas dosa-dosamu. Iaitu yang pertama dan yang akhir, yang sudah berlalu atau yang akan datang (baru), tidak sengaja atau yang disengajakan, kecil atau besar, tersembunyi atau yang terang-terangan. Sepuluh perkara itu ialah: Hendaklag engkau mengerjakan solat empat (4) rakaat. Pada setiap rakaat engkau membaca surah al-Fatihah dan surah lainnya. Setelah engkau selesai membaca di rakaat pertama sedangkan engkau masih dalam keadaan berdiri, hendaklah engkau mengucapkan:

سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
(Subahanallah, wal hamdulillah, wa lailaa ha illallah, wallahu akhbar: “Maha Suci allah, Segala Puji Bagi Allah, Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar”)

Dibaca sebanyak lima belas (15) kali. Kemudian engkau rukuk, lalu engkau membacanya sepuluh kali (10) sedang engkau dalam keadaan ruku’. Kemudian mengangkat kepalamu dari rukuk lantas mengucapkannya sepuluh kali (10). Selanjutnya turun untuk sujud lalu membacanya sepuluh kali (10) ketika dalam keadaan sujud. Setelah itu mengangkat kepalamu dari sujud seraya mengucapkan sepuluh kali (10). Kemudian sujud lagi dan mengucapkannya sepuluh kali (10). Selanjutnya mengangkat kepalamu seraya mengucapkannya sepuluh kali (10). Demikianlah iaitu tujuh puluh lima (75) kali setiap rakaat. Hendaklah engkau melakukan perkara tersebut pada empat rakaat, jika engkau mampu mengerjakannya setiap hari satu kali maka kerjakanlah. Jika engkau tidak mampu mengerjakannya pada setiap hari maka kerjakanlah setiap satu Jumaat satu kali, Jika engkau tidak mampu, maka kerjakanlah setiap sebulan sekali. Jika tidak mampu maka kerjakanlah setahun sekali. Dan jika engkau tidak mampu juga maka kerjakanlah satu kali selama hidupmu.”

(Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Kitab ash-Solah, Bab Solat Tasbih, no. 1297. Ibnu Majah di dalam Kitab Iqamatus Solah was Sunnah Fiihaa, Bab Maa Jaa’a fii Solatit Tasbih, no. 1386. al-Hakim, 1/318-319. al-Baihaqi, 3/51. ath-Thabari, 10/161. Abu Nu’aim dalam al-Hilyah, 1/25-26 dan selain mereka. Hadis ini dinilai kuat oleh sekelompok ulama, di antaranya Abu Bakar al-Ajuri, Abul Hasan al-Maqdisi, al-Baihaqi, dan yang sebelum mereka adalah Ibnul Mubarak. Demikian juga dengan Ibnu Sakan, at-Taaj as-Subki, al-Balqini, Ibnu Nashiruddin ad-Dimasqi, as-Suyuthi, al-Laknawi, as-Sindi, az-Zubaidi, al-Mubarakfuri (penulis kitab at-Tuhfah, al-Mubarakfuri penulis kitab al-Mir’aat, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, tidak ada lagi hadis sahih berkenaan solat sunnah Tasbih melainkan hadis ini. Menurut pendapat Ibnul Mubarak, sejumlah ahli ilmu, dan sebahagian ulama Syafi’iyah ianya mustahab (dianjurkan), al-Majmu’, 3/647 dan Nihayah al-Muhtaj, 2/119. Menurut Muslim bin Hajjaj rahimahullah pula menyatakan bahawa, tidak ada sanad paling baik berkaitan hadis solat sunnah Tasbih kecuali hadis ini, iaitu sanadnya melalui ‘Ikrimah yang diambil daripada ‘Ibnu Abbas. Yang terakhir pula antaranya disahihkan oleh Sheikh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud (No. 303), al-Miyskah (no. 1328), at-Ta’liq ar-Raghib (1/237), at-Ta’liq ‘ala Ibn Khuzaimah (1216), dan di dalam Kitab Sahih at-Targrib wa Tarhib)

Sebagai perhatian, persoalan hadis solat sunnah Tasbih ini melibatkan pelbagai perselisihan ulama dalam mensahihkannya, menghasankannya, dan juga mendhaifkannya dengan pelbagai alasan. Di antara mereka ada yang meletakkan alasan bahawa tatacara solat Tasbih ini ganjil, bertentangan, dan berbeza dengan tatacara solat yang lainnya yang sedia dimaklumi. Ada juga yang menyatakan bahawa kesemua jalan periwayatannya dhaif. Akan tetapi bagi yang berpendapat dengan ilmunya bahawa hadis ini sahih, maka disunnahkan untuk melakukan solat tersebut sebagaimana yang dijelaskan melalui hadis tersebut. Ini kerana, persoalan ibadah adalah termasuk dalam hal tauqifiyah (berdasarkan contoh dan saranan) dan tidak perlu wujud persoalan ianya aneh, ganjil dan sebagainya asalkan hadisnya sahih. Wallahu a’lam...

Kesimpulan/Kaifiyat:

1 – Khithab di dalam hadis ini ditujukan kepada ‘Abbas, tetapi hukumnya berlaku umum bagi setiap Muslim. Sebab, landasan dasar dalam khithab Rasulullah s.a.w. adalah umum dan tidak khusus.

2 – Sabda beliau di dalam hadis di atas: “Niscaya Allah akan memberikan keampunan kepadamu di atas dosa-dosamu, yang pertama dan terakhir, lama dan baru, sengaja dan tidak disengaja, kecil mahupun besar, yang tersembunyi mahupun yang terang,” adalah sepuluh kriteria.

Jika ada yang menyatakan/beralasan: “Sabda beliau: “sengaja mahupun tidak disengaja”, kalimah al-Khatha’ di sini membawa erti yang tidak berdosa.

Allah s.w.t. berfirman:

رَبَّنَا لا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ...
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau kami tersalah.” (Surah al-Baqarah 2: 286)

Bagaimana Allah menjadikannya termasuk ke dalam perbuatan dosa?

Jawabnya: Di dalam kata al-Khatha’ itu mengandungi kekurangan atau ketidaksempurnaan, sekalipun tidak mengandungi dosa. Dan solat ini memiliki kesan tersebut.

3 – Di dalam kitab at-Tanqiih Limaa Jaa’a fii sholatit Tasbih, dia menyatakan: “Ketahuilah, mudah-mudahan Allah merahmatimu, bahawa hadis-hadis yang menyuruh mengerjakan amal-amal yang mencakupi pengampunan dosa seperti ini tidak semestinya bagi seorang hamba untuk bersandar kepadanya, lalu membebaskan dirinya untuk mendekati perbuatan-perbuatan dosa. Kemudian, dia beranggapan jika dia melakukan sesuatu perbuatan, niscaya semua dosanya akan diampuni. Ini merupakan puncak dari kebodohan dan kejahilan. Apa yang menjadikan anda yakin, wahai orang-orang yang tertipu, bahawa Allah akan menerima amalmu itu dan selanjutnya akan mengampuni dosa-dosamu?

Allah s.w.t. berfirman:

“Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang-orang yang bertaqwa...” (Surah al-Ma’idah 5: 27)

Perhatikan dan campakkanlah hal tersebut, serta ketahuilah bahawa pintu masuk syaitan ke dalam diri manusia itu cukup banyak. Berhati-hatilah, jangan sehingga syaitan memasuki diri kita melalui pintu tersebut.

Allah s.w.t. telah menyifatkan hamba-hambanya yang beriman sebagai orang-orang yang mengerjakan amal soleh serta sentiasan berusaha melaksanakan ketaatan kepadanya. Walaupun demikian, hati mereka masih mungkin juga gementar/takut/risau, dan khuwatir jika amal mereka itu tidak diterima sehingga ditimpakan siksaan ke wajah mereka. Allah s.w.t. berfirman:

“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.” (Surah al-Mukminuun 23: 60-61)

Apa yang kami kisahkan di dalam menafsirkan ayat ini merupakan pendapat majoriti ahli Tafsir. Di dalam kitab al-Jami’ (11/132), al-Qurtubi menyebutkan dari al-Hasan, bahawasanya dia berkata: “Kami pernah mengetahui beberapa orang yang takut kebaikan mereka akan ditolak, (merasa) lebih prihatin daripada kalian yang tidak takut di-azab atas perbuatan dosa kalian.”

Ketahuilah bahawa dosa-dosa yang berkaitan dengan hak-hak manusia tidak terangkum ke dalam hadis di atas. Walaupun demikian, suatu keharusan untuk mengembalikan hak kepada pemilik-nya, serta bertaubat dari hal tersebut dengan taubat nasuha.” (at-Tanqiih Limaa Jaa’a fii Sholatit Tasbiih, m/s. 101-102)

4 – Tidak disebutkan penetapan bacaan surah/ lainnya dalam rakaat-rakaat tersebut dan tidak juga penetapan waktu perlaksanaannya.

5 – Lahiriyah hadis menyebutkan bahawa solat Tasbih itu dikerjakan dengan satu salam, sama ada malam atau siang hari, sebagaimana yang dikemukakan oleh al-qari di dalam kitab al-Mirqaat dan al-Mubarakfuri di dalam kitab at-Tuhfah, 1/349.

6 – Yang jelas bahawa, bacaan dzikir yang diucapkan sepuluh kali sepuluh kali itu diucapkan setelah dzikir yang ditetapkan di tempatnya masing-masing. Ertinya, di dalam ruku’, dzikir-dzikir itu dibaca setelah dzikir ruku’ yang diucapkan sebanyak sepuluh kali. Adapun setelah ucapan: Sami ‘allaahu liman hamidah, Rabbana lakal hamdu, juga berdiri dari ruku’ bacaan itu dibaca sebanyak sepuluh kali. Demikianlah, hal itu dilakukan setiap tempat masing-masing.

7 – Jika melakukan kelupaan dalam solat, lalu mengerjakan dua sujud shahwi, maka dia tidak perlu lagi mengucapkan Tasbih sepuluh kali seperti sujud-sujud solat lainnya.

Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, 2/250 dari ‘Abdul ‘Aziz bin Abi Razmah, dia menyatakan, “Kukatakan kepada ‘Abdullah Ibnul Mubarak: “Jika melakukan kelupaan dalam solat itu, apakah dia perlu bertasbih sepuluh kali, sepuluh kali di dalam sujud Shahwi?” Dia menjawab: “Tidak, kerana ia berjumlah tiga ratus kali Tasbih”.”

3 ulasan:

  1. As-salaamu 'alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh

    saya ingt bertanya mengenai cara2 solat sunnah tasbih..

    "Kemudian sujud lagi dan mengucapkannya sepuluh kali (10). Selanjutnya mengangkat kepalamu seraya mengucapkannya sepuluh kali (10). Demikianlah iaitu tujuh puluh lima (75) kali setiap rakaat."

    ayat di atas di ambil dr artikal akhy..persoalannye, sekiranya pada rakaat yg pertama, selepas sujud yg kedua, adakah perlu untuk duduk antara dua sujud dahulu, bertasbih sebanyak 10kali baru bangun untuk rakaat yg ke dua?

    BalasPadam
  2. Wa 'alaikumussalam...

    Ya, sebaik selepas sujud kedua, sebelum naik utk rakaat seterusnya, duduk sebentar...

    BalasPadam
  3. assalamualaikum, saya nak tnya..apabila kita selesai buat 2 rakaat dengan satu salam..selepas tu kita bangun semula dan buat 2 rakaat lagi dengan niat yg kedua pula ke..

    BalasPadam

Sebarang pertanyaan/kemusykilan/komen/kritikan/cadangan boleh-lah ditulis terus ke ruangan komen ini, atau dihantar secara personal ke alamat e-mail ini, dimensi83@hotmail.com. Terima kasih kerana membaca.