Isnin, 18 Januari 2010

168 - Solat Sunnah Gerhana (Kusuuf/Khusuuf)

Solat Sunnah Gerhana (Kusuuf/Khusuuf)


Hadis-hadis berkaitan tuntutan melaksanakan solat sunnah di ketika berlakunya fenomena Gerhana:


عَنْ عَائِشَةَ: أَنَّ الشَّمْسَ خَسَفَتْ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَعَثَ مُنَادِيًا الصَّلَاةُ جَامِعَةٌ فَاجْتَمَعُوا وَتَقَدَّمَ فَكَبَّرَ وَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ


Terjemahan: Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, bahawasanya matahari mengalami gerhana pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka beliau meminta seseorang berseru (memanggil) dengan “ash-Shalatu Jami’ah” (ayuh solat berjama’ah). Beliau pun lantas tampil ke hadapan, bertakbir, dan melaksanakan solat dengan dua raka’at yang di dalamnya dilaksanakan empat kali ruku’. (Hadis Riwayat Muslim, Bab Solat Kusuuf, 4/444, no. 1501)


عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ يُخَوِّفُ اللَّهُ بِهِمَا عِبَادَهُ وَإِنَّهُمَا لَا يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ


Terjemahan: Dari Abu Mas’oud (Uqbah B. ‘Amir) al-Anshary radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda kekuasaan dari tanda-tanda kekuasaan Allah, yang dengan keduanya Allah hendak menjadikan hamba-hamba-Nya berperasaan takut. Keduanya (matahari dan bulan) tidak mengalami gerhana dengan sebab matinya seseorang manusia dan tidak pula kerana hidupnya seseorang manusia. Sekiranya kamu melihat salah satu dari dua gerhana tersebut, maka solatlah dan berdoalah selagi mana ia dapat kamu lihat. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Kusuuf, 4/463, no. 1516)


عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا قَالَتْ: خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الْأُولَى ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا ثُمَّ قَالَ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا


Terjemahan: Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

Matahari mengalami gerhana pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau berdiri dan bersolat bersama-sama yang lain, dengan memanjangkan (melamakan tempoh) berdiri, kemudian ruku’ lalu memanjangkan (melamakan tempoh) ruku’, kemudian berdiri dan memanjangkan tempoh berdiri namun lebih pendek dari tempoh berdiri yang pertama (sebelumnya). Kemudian ruku’ lalu memanjangkan ruku’, namun lebih pendek tempohnya berbanding ruku’ yang pertama, kemudian sujud dan memanjangkan tempoh sujud. Kemudian mengerjakannya di dalam rakaat yang lain sebagaimana beliau melaksanakannya di dalam raka’at yang pertama. Kemudian beliau beranjak sementara matahari sudah kelihatan, lalu menyampaikan khutbah kepada mereka yang hadir sambil memuji Allah dan menyanjung-Nya. Kemudian beliau bersabda:

Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda kekuasaan dari tanda-tanda kekuasaan Allah, yang gerhana ini berlaku tidaklah berlaku dengan sebab kematian seseorang atau kehidupan seseorang. Sekiranya kamu melihat gerhana maka berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, solatlah, dan bersedekahlah.

Kemudian beliau bersabda:

Wahai umat Muhammad, demi Allah, tiada seseorang pun yang lebih cemburu daripada Allah sekiranya hambanya yang lelaki berzina atau hambanya yang wanita berzina. Wahai umat Muhammad, demi Allah, sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, tentu kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Bab Sedekah Di Waktu Gerhana, 4/159, no. 986)


عَنْ أَبِي مُوسَى الأشعري قَالَ: خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلَاةٍ قَطُّ ثُمَّ قَالَ إِنَّ هَذِهِ الْآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لَا تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ


Terjemahan: Dari Abi Musa al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

Matahari mengalami gerhana pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu (beliau) berdiri dalam keadaan takut, kerana khuwatir (bimbang) hari kiamat telah tiba, sehingga beliau tiba di masjid, beliau berdiri lalu solat, ruku’, dan sujud dengan sangat lama. Aku sama sekali tidak pernah melihat beliau melakukan seperti itu di dalam mana-mana solat pun. Kemudian beliau bersabda:

Sesungguhnya ini merupakan tanda-tanda kekuasaan yang dikirimkan Allah Ta’ala, yang tidak terjadi disebabkan kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupan seseorang, tetapi Allah mengirimkannya untuk menjadikan hamba-hamba-Nya takut. Sekiranya kamu melihat sebahagian gerhana tersebut, maka mohonlah pertolongan dengan berzikir (mengingati Allah), berdoa, dan memohon keampunan kepada-Nya. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Kusuuf, 4/465, no. 1518)

Perkara-perkara Sunnah (Yang Dianjurkan) Ketika Berlaku Gerhana:

1 – Melihat gerhana dengan perasaan takut kerana Allah.

2 – Melaksanakan Solat jika berjaya melihatnya di tempat di mana berada.

3 – Berdoa dan berzikir.

4 – Mengeluarkan sedekah.

5 – Terdapat hadis yang menunjukkan bahawa Nabi memerintahkan memerdekakan hamba di waktu terjadinya gerhana.

6 – Melakukan amalan-amalan yang membawa keredhaan dan dapat mendekatkan diri kepada Allah.

Definisi:

Imam Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani rahimahullah berkata:


يقال: كسفت الشمس: بفتح الكاف وتضم نادراً وانكسفت وخسفت بفتح الخاء وتضم نادراً وانخسفت. واختلف العلماء في اللفظين هلا يستعملان في الشمس والقمر، أو يختص كل لفظ بواحد منهما؟ وقد ثبت في القرآن نسبة الخسوف إلى القمر، وورد في الحديث خسفت الشمس كما ثبت في نسبة الكسوف إليهما وثبت استعمالهما منسوبين إليهما فيقال فيهما: الشمس والقمر ينخسفان، وينكسفان إنما الذي لم يرد في الأحاديث نسبة الكسوف إلى القمر على جهة الانفراد، وعلى هذا يدل استعمال الفقهاء فإنهم يخصون الكسوف بالشمس والخسوف بالقمر: واختاره ثعلب، وقال الجوهري: إنه أفصح، وقيل يقال بهما في كل منهما.


Terjemahan: Disebutkan (dengan lafaz) “Kasafat asy-Syam”, Inkasafat dan Khasafat, begitu juga khasafat. Para ulama berbeza pendapat di dalam penggunaan dua lafaz tersebut (al-Kusuuf dan al-Khusuuf) sama ada keduanya digunakan untuk matahari dan bulan, atau masing-masing lafaz tersebut memiliki pasangannya sendiri dari keduanya.

Di dalam al-Qur’an, penisbahan kata al-Khusuuf kepada bulan, namun di dalam hadis terdapat penyandaran al-Khusuuf kepada matahari sebagaimana tsabit juga penyandaran kata al-Kusuuf kepada matahari. Terdapat penggunaan kedua-dua bentuk lafaz tersebut kepada matahari dan bulan, sebagaimana disebutkan “asy-Syamsu wal Qomari yankhasifani wa yankasifani”, tetapi tidak ditemui lafaz al-Kusuuf dinisbahkan kepada bulan dengan cara menyendiri, dengan alasan ini para ulama mengkhususkan lafaz kusuuf untuk matahari dan lafaz khusuuf untuk bulan, dan inilah yang dipilih oleh Tsa’lab, dan al-Jauhari berkata: “Ini lebih fasih (mendekati kebenaran), dan juga dinyatakan, kedua istilah tersebut (al-Kusuuf dan al-Khusuuf) digunakan untuk keduanya (matahari dan bulan)”. (Rujuk: Imam ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/73)

Bgitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani:


والمشهور في استعمال الفقهاء أن الكسوف للشمس والخسوف للقمر واختاره ثعلب وذكر الجوهري أنه أفصح وقيل يتعين ذلك


Terjemahan: Telah masyhur penggunaan lafaz tersebut di kalangan ulama bahawasanya al-Kusuuf untuk matahari dan al-Khusuuf untuk bulan sebagaimana yang dipilih oleh Tsa’lab dan disebutkan oleh al-Jauhari bahawasanya ia lebih fasih (mendekati kebenaran) disebutkan demikian. (Ahmad B. ‘Ali B. Hajar, Fathul Bari, 2/535)

Syaikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim hafizahullah berkata:


الكسوف: هو ذهاب ضوء أحد النيري (الشمس والقمر) أو بعضه، وتغيره إلى سواد، والخسف مرادف له، وقيل: الكسوف للشمس، والخسوف للقمر، وهو الشهر فى اللغة. والصلاة الكسوف: صلاة تؤدى بكيفية مخصوصة، عند ظلمه أحد النيرين أو بعضهما


Al-Kusuf: Ia adalah menghilangnya (perginya) seluruh cahaya salah satu dari dua benda langit yang bercahaya (iaitu matahari dan bulan) atau sebahagian darinya dan berubah menjadi gelap (hitam). Sementara al-Khusuf adalah yang bersamaan dengannya. Dikatakan al-Kusuuf merujuk untuk matahari, manakala al-Khusuuf pula merujuk kepada bulan, dan inilah yang dikenali di dalam bahasa ‘Arab.

Dan solat al-Kusuuf (gerhana): Adalah solat yang dilaksanakan dengan tatacara yang khusus di ketika terjadinya gerhana matahari atau bulan sama ada gerhana secara penuh atau sebahagian darinya. (Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shohih Fiqhus Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib al-A’immah, 1/432)

Hukum Melaksanakan Solat Sunnah Gerhana (Solat Kusuuf/Khusuuf)

Di dalam Fathul Bari, al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan:


أي مشروعيتها وهو أمر متفق عليه لكن اختلف في الحكم وفي الصفة فالجمهور على أنها سنة مؤكدة وصرح أبو عوانة في صحيحه بوجوبها ولم أره لغيره إلا ما حكى عن مالك أنه أجراها مجرى الجمعة ونقل الزين بن المنير عن أبي حنيفة أنه أوجبها وكذا نقل بعض مصنفي الحنفية أنها واجبة


Terjemahan: (Bahawa Solat gerhana ini) pensyari’atannya telah disepakati (diperakui), hanya cuma terdapat perbezaan pada penentuan hukum dan tatacara perlaksanaannya. Jumhur (majoriti) ulama menyatakan hukumnya (solat gerhana) adalah sunnah mu’akkad. Abu ‘Awanah menegaskan hukumnya wajib di dalam Shohihnya. Aku tidak melihat mereka yang meletakkan hukum wajib ini selain dari beliau (Abu ‘Awanah) kecuali apa yang diriwayatkan dari Malik bahawasanya beliau meletakkan kedudukan solat gerhana sama seperti solat Juma’at. Dan dinukilkan dari az-Zain B. Al-Munayir dari Abi Hanifah bahawa beliau mewajibkannya sebagaimana yang dinukil oleh para pencatat dari kalangan mazhab Hanafi. (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 2/527)

Ibnu Qudamah di dalam al-Mughni berkata:


وَصَلَاةُ الْكُسُوفِ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ ؛ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَلَهَا ، وَأَمَرَ بِهَا ، وَوَقْتُهَا مِنْ حِينِ الْكُسُوفِ إلَى حِينِ التَّجَلِّي ، فَإِنْ فَاتَتْ لَمْ تُقْضَ ؛ لِأَنَّهُ رُوِيَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { أَنَّهُ قَالَ : إذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَافْزَعُوا إلَى الصَّلَاةِ حَتَّى تَنْجَلِيَ } . فَجَعَلَ الِانْجِلَاءَ غَايَةً لِلصَّلَاةِ


Terjemahan: Solat gerhana hukumnya sunnah mu’akkadah, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaksanakan dan memerintahkannya. Waktunya adalah ketika berlakunya gerhana sehingga terang kembali (selesai gerhana). Apabila telah berlalu maka tidak diqadha, kerana beliau bersabda: “Apabila kamu melihatnya (gerhana) maka lakukanlah solat sehingga gerhana selesai.” Beliau menetapkan “Sehingga gerhana selesai (kembali terang)” sebagai batas waktu berakhirnya perlaksanaan solat. (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 4/318)

Ibnu Rusyd di dalam Bidayatul Mujtahid:


اتفقوا على أن صلاة كسوف الشمس سنة وأنها في جماعة


Terjemahan: Telah dipersejui (diperakui oleh para ulama) bahawa solat kusuuf (gerhana) matahari adalah sunnah dan ia dilaksanakan secara berjama’ah. (Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1/210)

Imam Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani berkata:


والأمر دليل الوجوب إلا أنه حمله الجمهور على أنه سنة مؤكدة لانحصار الواجبات في الخمس الصلوات


Terjemahan: Perintah solat gerhana melalui hadis ini menunjukkan perintah wajib, walaubagaimana pun majoriti ulama (jumhur) menyatakannya sebagai sunnah mu’akkadah kerana solat yang wajib hanyalah solat fardhu yang lima. (Rujuk: ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/73)

Syaikh Muhammad B. ‘Umar Salim Bazmul berkata:


صلاة الكسوف والخسوف سنة مؤكدة ، يستحب للمسلم فعلها استحباباً مؤكداً


Terjemahan: Solat Kusuuf (gerhana matahari) dan Khusuuf (gerhana bulan) adalah sunnah mu’akkadah (sunnah yang sangat dianjurkan). Disunnahkan bagi umat Islam melaksanakannya.

Beliau menjelaskan lagi:


قلت : ووجه دلالة الحديث أن الأمر بالصلاة جاء مقروناً بالأمر بالتكبير والدعاء والصدقة ، ولا قائل بوجوب الصدقة والتكبير والدعاء عند الكسوف ؛ فالأمر فيها للاستحباب إجماعاً ، فكذا الأمر بالصلاة المقترن بها. والله الموفق


Terjemahan: Aku katakan: Melalui dalil ini, ia adalah perintah mengerjakan solat bersamaan dengannya perintah untuk bertakbir, berdoa, dan bersedekah. Dan tidak ada seorang pun yang mewajibkan bersedekah, bertakbir, dan berdoa di ketika terjadinya gerhana. Dengan itu, menurut kesepakatan ijma’ bahawa perintah tersebut bersifat sunnah. Begitu juga dengan perintah untuk mengerjakan solat yang bersamaan dengannya. Wallahul Muwaffiq. (Rujuk: Muhammad B. ‘Umar, Bughayatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’, m/s. 75, saaid.net)

Kesimpulan: Hukumnya adalah sunnah mu’akkad bagi mereka yang melihatnya. Dan dilaksanakan secara berjama’ah.

Masa Perlaksanaan Solat Gerhana:

Di dalam al-Mughni, Ibnu Qudamah menjelaskan:


فَقَالَ الْقَاضِي : يُصَلِّي ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَذْهَبْ وَقْتُ الِانْتِفَاعِ بِنُورِهِ وَضَوْئِهِ . وَيَحْتَمِلُ أَنْ لَا يُصَلِّيَ ؛ لِأَنَّ مَا يُصَلِّي لَهُ قَدْ غَابَ ، أَشْبَهَ مَا لَوْ غَابَتْ الشَّمْسُ . وَإِنْ فَرَغَ مِنْ الصَّلَاةِ وَالْكُسُوفُ قَائِمٌ لَمْ يَزِدْ ، وَاشْتَغَلَ بِالذِّكْرِ وَالدُّعَاءِ ؛ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَزِدْ عَلَى رَكْعَتَيْنِ .


Terjemahan: al-Qadhi berkata: “Dilaksanakan solat gerhana disebabkan waktu untuk memanfaatkan cahaya dan sinarnya.” Kemungkinan juga tidak dilaksanakan solat gerhana disebabkan penyebabnya yang telah tiada sebagaimana apabila matahari tidak kelihatan. Apabila solat gerhana telah selesai dilakukan sedangkan gerhana masih berlangsung, maka tidak ditambah solatnya, namun sibukkanlah diri dengan zikir dan doa, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melakukannya tidak lebih dari dua raka’at. (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 4/318)

Syaikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim:


وقت صلاة الكسوف ظهر الكسوف إلى حسين زوله، لقول النبى صلى الله عليه وسلم (المتقدم): إذا رأيتموهما فادعوا الله وصلوا حتى ينجلى. فجعل الانجلاء غاية للصلاة، لأنها شرعت رغبة إلى لله فى رد نعمة الضوء، فإذا حصل ذلك حصل المقصود من الصلاة


Terjemahan: Waktu solat gerhana bermula pada ketika gerhana mula terjadi sehingga gerhana selesai. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

Apabila kamu melihat keduanya (fenomena gerhana), maka berdoalah kepada Allah dan solatlah sehingga gerhana tersebut selesai.”

Beliau menetapkan berakhirnya gerhana sebagai tanda berakhirnya solat. Kerana solat gerhana ini disyari’atkan sebagai harapan kepada Allah supaya mengembalikan nikmat cahaya. Sekiranya perkara tersebut telah tercapai, maka tercapailah maksud dari solat tersebut. (Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shohih Fiqhus Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib al-A’immah, 1/433)

Imam Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani berkata:


وجعل صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم غاية وقت الدعاء والصلاة انكشاف الكسوف، فدل على أنها تفوت الصلاة بالانجلاء، فإذا انجلت وهو في الصلاة فلا يتمها، بل يقتصر على ما فعل إلا أن في رواية لمسلم: "فسلم وقد انجلت"، فدل أنه يتم الصلاة وإن كان قد حصل الانجلاء، ويؤيده القياس على سائر الصلوات فإنها تقيد بركعة كما سلف، فإذا أتى بركعة أتمها. وفيه دليل على أن فعلها يتقيد بحصول السبب في أي وقت كان من الأوقات، وإليه ذهب الجمهور


Terjemahan: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa dan solat sehingga hujung (akhir) waktu tersingkapnya gerhana menunjukkan habis waktu untuk bersolat adalah dengan tersingkapnya matahari. Dan sekiranya matahari sudah jelas terang (kelihatan/tamat gerhana) tetapi beliau masih di dalam keadaan solat, maka beliau pun menyempurnakan solatnya, akan tetapi cukup dengan apa yang telah dilakukan. Tetapi, di dalam riwayat Muslim, “Rasulullah memberi salam sedangkan matahari telah jelas tersingkap (tamat gerhana)”. Hadis ini menunjukkan bahawa beliau menyempurnakan solat walau pun matahari telah tersingkap. Perkara ini diperkuatkan dengan qiyas terhadap seluruh solat, iaitu setiap solat dibatasi oleh raka’at sebagaimana penjelasan yang lalu, iaitu sekiranya ia telah mendapatkan satu raka’at maka ia (hanya perlu) menyelesaikannya. Dan di dalam hadis ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa melaksanakan solat gerhana adalah dengan sebab terjadinya sebuah sebab di dalam waktu-waktu tertentu bila-bila sahaja (ia berlaku). Dan ini merupakan pendapat majoriti (jumhur ulama). (Rujuk: ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/73)

Perlaksanaan Solat Gerhana:

1 – Melaksanakannya di masjid secara berjama’ah. Wanita juga boleh turut keluar mengikuti solat gerhana berjama’ah di masjid sekiranya terhindar (bebas) dari fitnah.

Selain dalil-dalil sebagaimana di atas, berikut dalil yang menunjukkan wanita juga boleh turut serta melaksanakannya secara berjama’ah:


عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ أَنَّهَا قَالَتْ: أَتَيْتُ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ خَسَفَتْ الشَّمْسُ فَإِذَا النَّاسُ قِيَامٌ يُصَلُّونَ وَإِذَا هِيَ قَائِمَةٌ تُصَلِّي


Terjemahan: Dari Asma’ Binti Abi Bakr bahawasanya beliau berkata:

Aku datang kepada ‘Aisyah, isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika sedang berlakunya gerhana matahari. Maka aku pun melihat sekumpulan manusia berdiri melaksanakan solat dan beliau (‘Aisyah) pun turut melaksanakan solat juga. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/313, no. 178)

2 – Menyerukan untuk bersolat dengan lafaz:


الصَّلَاةُ جَامِعَةٌ


Ash-Shalaatu Jami’ah (ayuh solat berjama’ah). Dengan tanpa azan dan iqamah.

Imam Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani berkata:


وهو دليل على مشروعية الإعلام بهذا اللفظ للاجتماع لها ولم يرد الأمر بهذا اللفظ عنه صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم إلا في هذه الصلاة


Terjemahan: Hadis ini (berkenaan lafaz seruan ash-Shalatu Jami’ah) menunjukkan disyari’atkan untuk mengumumkan solat kusuuf dengan lafaz ini bagi tujuan mengumpulkan orang melaksanakannya. Tidak terdapat satu riwayat pun yang datang dari Rasulullah (berkenaan seruan solat dengan lafaz tersebut) melainkan bagi solat ini (solat gerhana). (ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/74)

Syaikh Muhammad B. ‘Umar Salim Bazmul menjelaskan:


اتفق العلماء على أنه لا يؤذن لصلاة الكسوف ولا يقام، والمستحب أن ينادى لها بـ (الصلاة جامعة )


Terjemahan: Para ulama telah bersepakat untuk tidak mengumandangkan azan dan iqamah bagi solat kusuuf (gerhana). Dan yang disunnahkan (mustahab) adalah menyerukan dengan lafaz: “ash-Sholatu Jami’ah”. (Rujuk: Muhammad B. ‘Umar, Bughayatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’, m/s. 75, saaid.net)

3 – Dilaksanakan dengan dua raka’at. Di dalamnya dilaksanakan sama ada dengan dua (2) kali ruku’, tiga (3) kali ruku’ atau empat (4) kali ruku bagi setiap raka’at.

Disebutkan oleh Ibnu Rusyd di dalam Bidayatul Mujtahid:


وكان إسحاق بن راهويه يقول: لا يتعدى بذلك أربع ركعات في كل ركعة لأنه لم يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم أكثر من ذلك. وقال أبو بكر بن المنذر وكان بعض أصحابنا يقول: الاختيار في صلاة الكسوف عين وإن شاء ثلاثة وإن شاء أربعة


Terjemahan: Ishak B. Rahawaih berkata: Tidak boleh melebihi empat kali ruku’ dalam satu raka’at. Kerana tiada riwayat yang menunjukkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ruku’ lebih dari empat kali.

Abu Bakar B. Al-Mundzir berkata: Ada beberapa sahabat kami menyatakan bahawa memilih tatacara solat kusuuf memiliki landasan hukum. Mereka yang mahu solat kusuuf dibolehkan memilih mana-mana tatacara yang dikehendakinya, sama ada dua kali ruku’ dalam setiap raka’at, tiga kali ruku’ dalam setiap raka’at, atau empat kali ruku’ dalam setiap raka’at. (Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1/121)

Dalil-dalilnya:


عَنْ جَابِرٍ قَالَ: انْكَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ مَاتَ إِبْرَاهِيمُ ابْنُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّاسُ إِنَّمَا انْكَسَفَتْ لِمَوْتِ إِبْرَاهِيمَ فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ سِتَّ رَكَعَاتٍ بِأَرْبَعِ سَجَدَاتٍ


Terjemahan: Dari Jabir, beliau berkata: Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di ketika hari kematian Ibrahim putra Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka orang ramai pun mengatakan yang kejadian tersebut disebabkan oleh kematian Ibrahim, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdiri menunaikan solat bersama-sama orang ramai dengan enam kali ruku’ dan empat kali sujud... (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Kusuuf, 4/453, no. 1508)


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ كَسَفَتْ الشَّمْسُ ثَمَانَ رَكَعَاتٍ فِي أَرْبَعِ سَجَدَاتٍ


Terjemahan: Dari Ibnu ‘Abbas, beliau berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersolat di ketika terjadi gerhana matahari lapan kali ruku’ dengan empat kali sujud. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Kusuuf, 4/459, no. 1513. Walaubagaimana pun hadis ini didhoifkan oleh Ibnu Hibban di dalam Shohih-nya, 7/98 – Perawi bernama Habib tidak mendengar dari Thowus)

4 – Merupakan solat yang panjang (lama), berbanding solat-solat yang lain.


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: انْخَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا نَحْوًا مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلًا ثُمَّ رَفَعَ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ


Terjemahan: Dari ‘Abdullah B. ‘Abbas, beliau berkata: Telah terjadi gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau solat dengan berdiri lama sekira-kira membaca surah al-Baqarah, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang lama, kemudian bangun berdiri (qiyam) dengan berdiri yang lama, namun lebih pendek dari berdiri yang pertama... (sehingga seterusnya). (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Jama’ah, 4/173, no. 993. Rujuk juga hadis-hadis di atas)


عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَوْمٍ شَدِيدِ الْحَرِّ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأَصْحَابِهِ فَأَطَالَ الْقِيَامَ حَتَّى جَعَلُوا يَخِرُّونَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ رَفَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ رَفَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ ثُمَّ قَامَ فَصَنَعَ نَحْوًا مِنْ ذَاكَ فَكَانَتْ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ


Terjemahan: Dari Jabir B. ‘Abdillah, beliau berkata: Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada hari yang sangat panas. Kemudian beliau solat bersama para sahabatnya, dengan memanjangkan (melamakan tempoh) berdiri sehingga menjadikan mereka jatuh tersungkur. Kemudian beliau ruku’ dengan panjang, kemudian mengangkat kepalanya dan berdiri dengan masa yang panjang (lama). Kemudian ruku’ kembali dengan waktu yang panjang (lama), kemudian beliau sujud dua kali, lalu berdiri kembali. Beliau mengulanginya sebagaimana raka’at yang pertama. Maka, solat tersebut adalah dengan empat kali ruku’ dan empat kali sujud. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Kusuuf, 4/452, no. 1507)

5 – Bacaan al-Fatihah dan surah pada setiap raka’at hendaklah dijaharkan/dikeraskan (bagi imam). Berlaku untuk solat gerhana bulan dan matahari.

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam perkara ini. Beberapa perbezaan tersebut adalah sebagaimana berikut:

1 – Dikeraskan/dikuatkan (jahr) bacaan sama ada pada solat gerhana bulan (malam) atau pun matahari (siang). Pendapat ini dikemukakan (dipegang) oleh Ahmad, Ishaq, Abu hanifah, Ibnu Khuzaimah, Ibnul Mundzir, dan selainnya.

2 – Diperlahankan (sirr) bacaan sama ada untuk solat gerhana matahari atau pun bulan. Pendapat ini dipegang oleh asy-Syafi’e.

3 – Dibolehkan memilih sama ada mahu mengeraskan bacaan atau memperlahankannya.

4 – Diperlahankan pada solat gerhana matahari (siang), dan dikeraskan pada solat gerhana bulan (malam). Pendapat ini adalah berdasarkan qiyas kepada solat fardhu. (Diringkaskan dari: ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/74)

Ada pun yang mendekati kebenaran (wallahu a’lam) adalah pendapat yang pertama. Dalilnya adalah hadis berikut:


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: جَهَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلَاةِ الْخُسُوفِ بِقِرَاءَتِهِ فَإِذَا فَرَغَ مِنْ قِرَاءَتِهِ كَبَّرَ فَرَكَعَ وَإِذَا رَفَعَ مِنْ الرَّكْعَةِ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ثُمَّ يُعَاوِدُ الْقِرَاءَةَ فِي صَلَاةِ الْكُسُوفِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ


Terjemahan: Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha: Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjaharkan (mengeraskan) bacaan di dalam solat gerhana. Apabila selesai bacaannya, beliau pun bertakbir dan ruku’. Setelah bangun dari ruku’, beliau mengucapkan “Sami’Allahuliman hamidah, Rabbana wa lakalhamd”. Kemudian beliau kembali mengulangi bacaan di dalam solat gerhana. Empat kali ruku’ di dalam dua raka’at dan dengan empat kali sujud. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Jama’ah, 4/194, no. 1004)

Al-Bukhari meletakkan hadis ini di dalam bab:


بَاب الْجَهْرِ بِالْقِرَاءَةِ فِي الْكُسُوفِ


Terjemahan: Bab dikeraskan bacaan di dalam solat gerhana.

Juga hadis yang menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan perkara yang sama apabila berlaku gerhana (merujuk kedua-dua gerhana): “Oleh itu, sekiranya kamu melihat gerhana tersebut, hendaklah kamu berdoa kepada Allah, bertakbir, solat, dan bersedekah.” Jadi, solat untuk gerhana matahari dan bulan adalah sama, dan bacaan surah dikeraskan (jahr) bagi kedua-dua solat sama ada siang atau malam. (Rujuk penjelasan no. 6)

Solat gerhana juga dilakukan secara berjama’ah di masjid sebagaimana solat Istisqa’, solat Juma’at, dan solat ‘Ied. Maka, bacaannya hendaklah dikeraskan sebagaimana solat-solat tersebut.

Imam at-Tirmidzi berkata:


وَلِأَنَّهَا نَافِلَةٌ شُرِعَتْ لَهَا الْجَمَاعَةُ ، فَكَانَ مِنْ سُنَنِهَا الْجَهْرُ كَصَلَاةِ الِاسْتِسْقَاءِ وَالْعِيدِ وَالتَّرَاوِيحِ


Terjemahan: Dan solat ini adalah merupakan solat nafilah yang disyari’atkan dilaksanakan dengan berjama’ah, maka di antara Sunnahnya adalah mengeraskan bacaan sebagaimana solat istisqa’, solat ‘Ied, dan solat tarawikh. (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 4/312)

Ulama yang menyatakan bacaan di dalam solat gerhana adalah perlahan (sirr) antaranya berdalilkan dengan riwayat berikut:

Pertama:


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا نَحْوًا مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ


Terjemahan: Dari ‘Abdullah B. ‘Abbas, beliau berkata: ... kemudian beliau solat dengan berdiri lama sekira-kira membaca surah al-Baqarah... (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Jama’ah, 4/173, no. 993. Rujuk juga hadis-hadis di atas)

Mereka menjelaskan: Sekiranya bacaan dikeraskan/dikuatkan (jahr), maka beliau (Ibnu ‘Abbas) tidak perlu mengukurnya (mengira-ngira/mengagak-agak) dengan apa yang disebutkan.

Bantahan: Ini tidak bererti bahawa bacaan tidak dikeraskan. Ada kemungkinan bahawa Ibnu ‘Abbas mendengar dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam surah yang lain, yang panjang bacaannya sekira-kira surah al-Baqarah. Atau boleh jadi, Ibnu ‘Abbas mendengarnya dari jarak (tempat berdiri) yang agak jauh sehingga menjadikannya tidak mendengar apa yang dibaca oleh Nabi dengan jelas, lalu beliau pun mengagak-agak.

Kedua:


عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدَبٍ قَالَ: صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْكُسُوفِ فَلَا نَسْمَعُ لَهُ صَوْتًا


Terjemahan: Dari Samurah B. Jundab, beliau berkata: Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat di ketika terjadinya gerhana matahari, namun aku tidak mendengar suara beliau. (Hadis Riwayat Ibnu Majah, 4/138, no. 1254)


عن ابن عباس: أنه قام بجنب النبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم في الكسوف فلم يسمع منه حرفاً


Terjemahan: Dari Ibnu ‘Abbas: Bahawasanya beliau berdiri di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika melaksanakan solat gerhana, beliau (Ibnu ‘Abbas) tidak mendengar walau satu huruf pun (dari Nabi). (Rujuk: ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/74)

Bantahan: Hadis dari Samurah B. Jundab tersebut dhoif. Didhoifkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Dhoif Sunan Ibnu Majah, Dhoif Sunan Abi Daud, al-Miyskah, dan Tamamul Minnah.

Hadis dari Ibnu ‘Abbas tersebut juga dhoif. Imam ash-Shan’ani menyatakan bahawa hadis ini dimaushulkan (disambungkan) oleh al-Baihaqi dari tiga jalan yang pada semua sanadnya terdapat wahiyah (kelemahan). Ini menjadikan hadis ini dhoif. Dianggap mauquf oleh imam adz-Dzahabi. Dan turut dilemahkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Dhoif Sunan Abi Daud.

Ketiga:

Mereka berhujjah bahawa sekiranya Nabi mengeraskan (jahr) bacaannya, sudah tentu ‘Aisyah tidak perlu meneka-neka apa yang beliau baca.


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كُسِفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ فَقَامَ فَحَزَرْتُ قِرَاءَتَهُ فَرَأَيْتُ أَنَّهُ قَرَأَ بِسُورَةِ الْبَقَرَةِ


Terjemahan: Dari ‘Aisyah beliau berkata: Telah terjadi gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun keluar dan berdiri menunaikan solat bersama-sama dengan orang ramai. Kemudian aku meneka-neka apa yang dibaca oleh beliau (Rasulullah), bahawasanya beliau membaca surah al-Baqarah... (Hadis Riwayat Abi Daud, 3/415, no. 1002. Hadis ini hasan, dihasankan oleh al-Albani di dalam Shohih Sunan Abi Daud, 3/187, no. 1187))

Bantahan: Pertamanya, hadis ini menyelisihi hadis yang lebih sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah juga bahawa Nabi mengeraskan bacaan ketika solat gerhana.

Boleh jadi juga, ‘Aisyah berada di tempat yang agak jauh dan tidak begitu jelas mendengar apa yang dibaca oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika itu, lalu beliau pun meneka-neka apa yang dibaca oleh Nabi ketika itu.

6 – Diadakan khutbah setelah solat. Khutbah dimulakan dengan pujian kepada Allah.

Ibnu Rusyd berkata:


واختلفوا أيضا هل من شروطها الخطبة بعد الصلاة؟ فذهب الشافعي إلى أن ذلك من شرطها. وذهب مالك وأبو حنيفة إلى أنه لا خطبة في صلاة الكسوف

والسبب في اختلافهم اختلاف العلة التي من أجلها خطب رسول الله صلى الله عليه وسلم الناس لما انصرف من صلاة الكسوف على ما في حديث عائشة وذلك أنها روت أنه لما انصرف من الصلاة وقد تجلت الشمس حمد الله وأثنى عليه ثم قال: "إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله لا يخسفان لموت أحد ولا لحياته" الحديث فزعم الشافعي أنه إنما خطب لأن من سنة هذه الصلاة الخطبة كالحال في صلاة العيدين والاستسقاء. وزعم بعض من قال بقول أولئك أن خطبة النبي عليه الصلاة والسلام إنما كانت يومئذ لأن الناس زعموا أن الشمس إنما كسفت لموت إبراهيم ابنه عليه السلام


Terjemahan: Para ulama juga berbeza pendapat sama ada khutbah termasuk syarat solat gerhana atau tidak. Pendapat asy-Syafi’e, ia termasuk sebahagian dari syaratnya. Malik dan Abu Hanifah berpendapat, tidak ada khutbah di dalam solat gerhana (khutbah bukanlah syarat).

Sebab terjadinya perbezaan pendapat adalah dari tujuan khutbah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di ketika selesainya solat gerhana sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidak akan menjadi gerhana disebabkan oleh kematian atau kehidupan seseorang.”

Asy-Syafi’e menjelaskan dari hadis ini bahawa khutbah termasuk di dalam syarat solat gerhana sebagaimana solat ‘Ied dan Istisqa’. Beberapa ulama yang lain menyatakan bahawa Nabi berkhutbah hanya disebabkan kerana pada masa tersebut orang ramai menganggap gerhana berlaku disebabkan oleh kematian Ibrahim anak lelaki beliau. (Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1/213)

Ibnu Qudamah pula menjelaskan:


وَلَنَا ، هَذَا الْخَبَرُ ، فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُمْ بِالصَّلَاةِ وَالدُّعَاءِ وَالتَّكْبِيرِ وَالصَّدَقَةِ ، وَلَمْ يَأْمُرْهُمْ بِخُطْبَةٍ ، وَلَوْ كَانَتْ سُنَّةً لَأَمَرَهُمْ بِهَا ، وَلِأَنَّهَا صَلَاةٌ يَفْعَلُهَا الْمُنْفَرِدُ فِي بَيْتِهِ ، فَلَمْ يُشْرَعْ لَهَا خُطْبَةٌ ، وَإِنَّمَا خَطَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ الصَّلَاةِ لِيُعَلِّمَهُمْ حُكْمَهَا ، وَهَذَا مُخْتَصٌّ بِهِ ، وَلَيْسَ فِي الْخَبَرِ مَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ خَطَبَ كَخُطْبَتَيْ الْجُمُعَةِ


Terjemahan: Menurut kami, pada khabar tersebut, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan mereka supaya solat, berdoa, bertakbir, dan bersedekah. Beliau tidak memerintahkan supaya berkhutbah. Sekiranya khutbah itu disyari’atkan, sudah tentu beliau akan memerintahkannya. Solat ini juga boleh dilaksanakan secara bersendirian di rumah (tanpa khutbah). Maka tidak disyari’atkan untuk berkhutbah. Ada pun khutbah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam setelah solat tersebut, bertujuan memberitahu mereka tentang hukumnya, dan khutbah tersebut dikhususkan bagi beliau. Pada khabar ini juga tidak menunjukkan bahawa beliau berkhutbah sebagaimana dua khutbah solat Juma’at. (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 4/315)

Pendapat yang menyatakan khutbah tidak disyari’atkan (sebagaimana pendapat Abu Hanifah, Malik, Ahmad, dan Ibnu Qudamah) dibantah pula oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqolani rahimahullah:


وتعقب بما في الأحاديث الصحيحة من التصريح بالخطبة وحكاية شرائطها من الحمد والثناء والموعظة وغير ذلك مما تضمنته الأحاديث فلم يقتصر على الإعلام بسبب الكسوف والأصل مشروعية الاتباع والخصائص لا تثبت إلا بدليل


Terjemahan: Ia dibantah dengan apa yang disebutkan di dalam hadis-hadis sahih, iaitu penegasan adanya khutbah dan penjelasan tentang syarat-syarat khutbah berupa pujian dan sanjungan (kepada Allah), nasihat, dan selainnya yang terkandung di dalam hadis-hadis tersebut. Beliau tidak hanya setakat memberitahu berkenaan sebab terjadinya gerhana. Oleh itu, hukum asalnya adalah disyari’atkan untuk ittiba’ (mengikuti Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) dan kekhususan tidak ditetapkan melainkan dengan dalil. (Rujuk: Ibnu Hajar, Fathul Bari, 2/534)

7 – Solat Gerhana Matahari sama dengan solat gerhana bulan.

Syaikh Muhammad B. Umar Salim Bazmul menjelaskan:


يصلى لكسوف القمر كما يصلى لخسوف الشمس ، والدليل قوله صلى الله عليه وسلم : " إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله ، لا ينخسفان لموت أحد ولا لحياته ، فإذا رأيتم ذلك ؛ فادعوا الله وكبروا وصلوا وتصدقوا". أخرجه الشيخان. قلت : فالرسول صلى الله عليه وسلم صلى لخسوف الشمس ، وأمرنا أن نصنع مثل ذلك في كسوف القمر ، وهذا ظاهر بين ، و الله أعلم.
قال ابن المنذر : "ويصلى لكسوف القمر كما يصلى لخسوف الشمس"


Terjemahan: (Dari sudut tatacara) Solat gerhana bulan dilaksanakan sama sebagaimana solat gerhana matahari dilaksanakan. Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana disebabkan kematian seseorang atau kehidupan seseorang. Oleh itu, sekiranya kamu melihat gerhana tersebut, hendaklah kamu berdoa kepada Allah, bertakbir, solat, dan bersedekah.” (Hadis Riwayat dua Syaikh (al-Bukhari & Muslim))

Saya katakan: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melaksanakan solat gerhana matahari dan beliau memerintahkan kita supaya melakukan perkara yang sama di ketika gerhana bulan. Perkara ini sangat jelas dan terang. Wallahu a’lam.

Ibnul Mundzir berkata: “Solat gerhana bulan dilaksanakan sama sebagaimana gerhana matahari.” (Rujuk: Muhammad B. ‘Umar, Bughayatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’, m/s. 79, saaid.net)

Ringkasan tatacara solat gerhana:

1 – Dilaksanakan di masjid. Mengumpulkan orang ramai untuk solat berjama’ah. Seorang mu’adzin menyerukan “ash-Sholatu Jami’ah” bagi tujuan mengumpulkan orang dan melaksanakan solat berjama’ah.

2 – Bertakbir, membaca doa istiftah, al-fatihah, membaca surah (disunnahkan membaca surah yang panjang baacaannya).

3 – Ruku’ dengan ruku’ yang panjang (lama).

4 – Bangun dari ruku’ dan mengucapkan sami’allahuliman hamidah rabbana wa lakalhamd. Kemudian kembali membaca al-Fatihah dan surah yang panjang (namun lebih pendek dari surah yang pertama).

5 – Ruku’ yang panjang, namun lebih pendek dari ruku’ yang pertama.

6 – Bangun dari ruku’ dan mengucapkan sami’allahuliman hamidah rabbana wa lakalhamd.

7 – Sujud dan duduk di antara dua sujud, lalu sujud semula.

8 – Kemudian bangun (qiyam) semula untuk raka’at yang kedua. Ia dilaksanakan sama sebagaimana raka’at yang pertama, namun lebih pendek dari yang pertama. Sehinggalah kepada tahiyat dan memberi salam.

Wallahu a’lam...