Ahad, 23 September 2012

194 - Hukum Solat Di Dalam Gereja


Hukum Solat Di Dalam Gereja



Imam al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyebutkan dalam Kitab Shahihnya:

‘Umar radhiyallahu ‘anhu berkata:

إِنَّا لاَ نَدْخُلُ كَنَائِسَكُمْ مِنْ أَجْلِ التَّمَاثِيلِ الَّتِي فِيهَا الصُّوَرُ

“Sesungguhnya kami tidak akan masuk ke dalam rumah-rumah ibadah kamu disebabkan ada patung-patung serta gambar-gambar di dalamnya.”

Kemudian beliau mengatakan:

وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ: «يُصَلِّي فِي البِيعَةِ إِلَّا بِيعَةً فِيهَا تَمَاثِيلُ

“Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma pernah solat di dalam rumah ibadah orang kafir (gereja) kecuali rumah ibadah yang ada patung di dalamnya.” (Shahih al-Bukhari, 1/94)

Imam al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata:

“Tidak mengapa solat di dalam rumah ibadah orang kafir (gereja). Bahawasanya Ibnu ‘Abbas pernah solat di dalam rumah ibadah orang kafir (gereja) kecuali gereja yang ada patung di dalamnya. Apabila di dalamnya terdapat patung, maka ia pun keluar dan solat dalam keadaan hujan.” (Al-Baghawi, Syarhus Sunnah, 2/413. Fathul Bari, 1/532)

Imam ‘Abdurrazzaq ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 211H) meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas:

أنه كان يكره أن يصلى في الكنيسة إذا كان فيها تماثيل

“Sesungguhnya beliau membenci solat di gereja apabila di dalamnya terdapat patung-patung.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 1608)

‘Abdurrazzaq juga turut meriwayat perkataan ‘Umar al-Khaththab di mana beliau mengatakan:

لاتعلموا رطانة الأعاجم ولا تدخلوا عليهم في كنائسهم يوم عيدهم فإن السخطة تنزل عليهم

“Janganlah kamu pelajari bahasa kaum ‘Ajam (selain bangsa ‘Arab) dan janganlah kamu masuk ke dalam gereja-gereja mereka pada hari kebesaran (perayaan) mereka kerana kemurkaan Allah turun ke atas mereka (pada ketika itu).” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 1609)

Yang dimaksudkan dengan bahasa kaum ‘Ajam dalam atsar ini adalah nyanyian-nyanyian keagamaan mereka di rumah-rumah ibadah mereka.

Selain itu, faktor gambar sebagai sebab tidak boleh dimasuki sesebuah rumah ini juga turut diriwayatkan sahih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Di sini menunjukkan tidak dibolehkan memasuki rumah-rumah ibadah orang kafir tanpa sebarang sebab terutamanya yang di dalamnya ada patung-patung atau gambar-gambar. Juga ketika berlangsungnya hari-hari kebesaran atau perayaan mereka.

Demikian juga tidak dibolehkan solat di dalamnya yang mana terdapat patung-patung atau gambar-gambar. Melainkan jika di dalamnya tidak terdapat patung-patung atau gambar-gambar maka dibolehkan solat, itupun jika memang telah dipastikan memang tiada tempat yang lain untuk digunakan bersolat.

Patung-patung atau gambar-gambar yang dimaksudkan adalah yang berupa atau menyerupai makhluk bernyawa seperti haiwan, manusia dan berhala-berhala mereka.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mencela perbuatan kaum Nashara ini. Ini sebagaimana hadis daripada ‘Aisyah radhiyallhu ‘anha di mana Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata - Ummu Habibah dan Ummu Salamah pernah menceritakan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa mereka melihat gereja di Habasyah yang di dalamnya terdapat gambar-gambar. Maka beliau pun bersabda:

إِنَّ أُولَئِكَ إِذَا كَانَ فِيهِمْ الرَّجُلُ الصَّالِحُ فَمَاتَ بَنَوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلكَ الصُّوَرَ فَأُولَئِكَ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Mereka (ahli kitab), jika ada seorang yang soleh dari kalangan mereka meninggal, mereka membina masjid (tempat ibadah) di atas kuburnya dan mereka membuat (meletakkan) gambarnya pada kubur tersebut. Merekalah makhluk yang paling buruk di sisi Allah pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 427, 434)

Selain itu apabila di tempat tersebut terdapat kubur, maka ia turut diharamkan untuk bersolat di dalamnya atau di kawasan tersebut. Sebagaimana disebutkan dalam hadis, orang-orang kafir dari kalangan ahli kitab sering mengambil kuburan orang-orang soleh dari kalangan mereka sebagai tempat membina rumah-rumah ibadah mereka.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلَّا الْمَقْبَرَةَ وَالْحَمَّامَ

“Muka bumi ini seluruhnya adalah masjid (tempat beribadah) kecuali perkuburan dan tempat mandi (tandas).” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 11788. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

Wallahu a’lam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang pertanyaan/kemusykilan/komen/kritikan/cadangan boleh-lah ditulis terus ke ruangan komen ini, atau dihantar secara personal ke alamat e-mail ini, dimensi83@hotmail.com. Terima kasih kerana membaca.