KEUTAMAAN IBADAH PUASA
http://fiqh-sunnah.blogspot.com
http://fiqh-sunnah.blogspot.com
Banyak sekali ayat yang tegas dan muhkam (Qath'i) dalam kitabullah yang mulia, memberikan anjuran untuk berpuasa sebagai sarana untuk berlaku Taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Azza wa Jalla dan menjelaskan keutamaan-keutamaannya, antaranya adalah sebagaimana firman Allah Ta'ala berikut (yang ertinya):
“Sesungguhnya kaum muslimin dan muslimat, kaum mukminin dan mukminat, kaum lelaki yang patuh dan kaum wanita yang patuh, dan kaum lelaki serta wanita yang benar (imannya) dan kaum lelaki serta wanita yang sabar (ketaatannya), dan kaum lelaki serta wanita yang khusyu', dan kaum lelaki serta wanita yang bersedekah, dan kaum lelaki serta wanita yang berpuasa, dan kaum lelaki dan wanita yang menjaga kehormatannya (syahwat berahinya), dan kaum lelaki serta kaum wanita yang banyak mengingat Allah. Allah menyediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab, 33: 35)
Dan firman Allah yang ertinya:
“Dan berpuasa itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”. (Surah al-Baqarah, 2: 184)
Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam telah menjelaskan dalam hadis yang sahih bahawa puasa adalah benteng dari syahwat, perisai dari neraka, Allah Tabaraka wa Ta'ala telah mengkhususkan satu pintu syurga untuk orang yang berpuasa, puasa berupaya memutuskan jiwa dari syahwatnya, menahannya dari kebiasaan-kebiasaan yang buruk, hingga menjadilah jiwa yang tenang. Inilah pahala yang besar, keutamaan yang agung, dijelaskan secara terperinci melalui hadis-hadis sahih berikut ini, dijelaskan dengan penjelasan yang sempurna.
1. Puasa adalah perisai (pelindung)
Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam memerintahkan orang yang kuat syahwatnya dan belum mampu untuk menikah agar berpuasa, menjadikannya sebagai pemutus kepada syahwat yang menguasai diri. Ini adalah kerana antaranya puasa mampu menahan kuatnya anggota badan, menenangkan atau merehatkan seluruh anggota badan, serta seluruh kekuatan (yang buruk) ditahan sehingga ia menjadi lebih taat dan dikawal dengan belenggu puasa. Melalui kesan-kesan tersebut kita dapat memahami bahawa puasa memiliki pengaruh yang menakjubkan di dalam menjaga anggota badan yang dzahir dan kekuatan yang batin.
Oleh kerana itu Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya):
“Wahai sekalian para pemuda, barang siapa di antara kalian telah mampu menikah, hendaklah dia menikah, kerana menikah lebih menundukkan pandangan, dan lebih menjaga kehormatan. Barang siapa yang belum mampu menikah, hendaklah berpuasa kerana berpuasa merupakan pemutus syahwat baginya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/106) dan Muslim (no. 1400) dari Ibnu Mas'ud)
Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam telah memperjelaskan kepada kita bahawa syurga diliputi dengan perkara-perkara yang tidak disenangi, dan neraka diliputi dengan syahwat.
Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya):
“Tidaklah ada seorang hamba yang puasa di jalan Allah kecuali akan Allah jauhkan dia (kerana puasanya) dari neraka sejauh tujuh puluh musim.” (Hadis Riwayat al-Bukhori (6/35), Muslim (1153) dari Abu Sa'id al-Khudri, ini adalah lafadh Muslim. Sabda Rasulullah Sholallahu 'alaihi wasalam, “70 musim” adalah “perjalanan 70 tahun”, demikian yang disebutkan di dalam “Fathul Bari” (6/48))
“Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka”. (Hadis Riwayat Ahmad (3/241), (3/296) dari Jabir, Ahmad (4/22) dari Utsman bin Abil 'Ash. Ini adalah hadis yang sahih)
“Barang siapa yang berpuasa sehari di jalan Allah maka di antara dia dan neraka ada parit yang luasnya seperti antara langit dengan bumi”. (Dikeluarkan oleh at-Tirmidzi (no. 1624) dari hadis Abi Umamah)
Sebahagian para ulama telah memahami bahawa hadis-hadis tersebut merupakan penjelasan berkenaan keutamaan puasa ketika jihad dan berperang di jalan Allah, namun dzahir hadis-hadis tersebut mencakupi semua jenis puasa yang jika dilakukan dengan ikhlas kerana mengharapkan wajah Allah Ta'ala, bertepatan dengan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam.
2. Puasa mampu memasukkan seorang hamba ke dalam syurga
Kita telah mengetahui dan memahami bahawa dengan berpuasa ia mampu menjauhkan kita dari neraka. Maka, apabila ia menjauhkan kita dari neraka, ini sekaligus membawa kita mendekatkan diri kepada syurga.
Dari Abi Umamah radhiallahu 'anhu:
“Aku berkata: “Ya Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam, tunjukkan padaku amalan yang boleh memasukkanku ke syurga; beliau menjawab: “Atasmu puasa, tidak ada (amalan) yang semisal dengan itu.” (Hadis Riwayat Nasa'I (4/165), Ibnu Hibban (hal. 232 Mawarid), al-Hakim (1/421) sanadnya sahih)
3. Orang yang berpuasa diberi pahala yang tidak terhitung
4. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan
5. Bau mulutnya orang yang puasa lebih wangi dari bau misk (kasturi)
Dari Abi Hurairah radhiallahu 'anhu: Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Semua amalan bani Adam untuknya kecuali puasa (pahalanya tidak terbatas), kerana puasa itu untuk Aku dan Aku akan membalasnya, puasa adalah perisai, jika salah seorang kalian sedang berpuasa janganlah memperkatakan perkataan-perkataan yang keji dan berteriak-teriak, jika ada orang yang mencercanya atau memeranginya, ucapkankanlah: “Aku orang yang sedang berpuasa (ucapan dengan lisan), demi Dzat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada bau minyak misk (kasturi), orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan, (iaitu) jika berbuka dia gembira, jika bertemu dengan Rabbnya dia gembira kerana puasa yang dia lakukan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/88), Muslim (no. 1151) ini lafadz al-Bukhari)
Dalam riwayat al-Bukhari:
“Meninggalkan makan, minum, dan syahwatnya kerana Aku, puasa itu untuk-Ku, dan Aku yang akan membalasnya. kebaikan dibalas dengan sepuluh kali lipat.”
Dalam riwayat Muslim:
“Semua amalan Ibnu Adam (anak Adam) dilipat-gandakan, kebaikan dibalas dengan sepuluh kali, sehingga tujuh ratus kali lipat, Allah Ta'ala berfirman:
“...Kecuali puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya, dan meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku, bagi orang yang puasa ada dua kegembiraan: (iaitu) gembira ketika berbuka, dan gembira bertemu dengan Rabbnya, dan bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi dari bau misk (kasturi).”
6. Puasa dan Al-Qur'an akan memberikan syafaat kepada ahlinya
Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya):
“Puasa dan al-Qur’an akan memberikan syafaat kepada hamba di hari kiamat, puasa akan berkata: “Wahai Rabbku, aku menghalanginya dari makan dan syahwat, berilah dia syafaat keranaku, al-Qur'an pun berkata: “Aku telah menghalanginya dari tidur di malam hari, berilah dia syafaat. Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Maka keduanya memberi syafaat.” (Diriwayatkan oleh Ahmad (no.6626), Hakim (1/554), Abu Nu'aim (8/161) dari jalan Huyyay bin Abdullah, dari Abdurrahman al-Hubuli, dari Abdullah bin Amr. Dan sanadnya Hasan)
7. Puasa sebagai kafarat
Di antara keistimewaan puasa, yang tidak ada dalam amalan lain adalah; Allah menjadikannya sebagai kafarat bagi orang yang memotong rambut kepalanya (ketika Haji) kerana ada udzur sakit atau penyakit di kepalanya, dan kafarat bagi yg tidak mampu untuk membeli korban, kafarat bagi pembunuh orang kafir yang memiliki perjanjian kerana tidak sengaja, juga sebagai kafarat bagi yang membatalkan sumpah, atau yang membunuh binatang buruan di tanah haram, dan sebagai kafarat dzihar. Ianya dijelaskan melalui dalil-dalil yang berikut:
Allah Ta'ala berfirman (yang ertinya):
“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan ‘umrah kerana Allah. Jika kamu terkepung (terhalang oleh musuh atau kerana sakit), maka (sembelihlah) korban yang mudah diperolehi, dan jangan kamu mencukur kepalamu, sebelum korban sampai di tempat penyembelihannya. Jika ada di antaramu yang sakit atau ada gangguan di kepalanya (lalu ia bercukur), maka wajiblah atasnya berfidyah, iaitu: berpuasa atau bersedekah atau berkorban. Apabila kamu telah (merasa) aman, maka bagi siapa yang ingin mengerjakan 'umrah sebelum haji (di dalam bulan haji), (wajiblah ia menyembelih) korban yang mudah diperolehi. Tetapi jika ia tidak menemukan (binatang korban atau tidak mampu), maka wajib berpuasa tiga hari di dalam masa haji dan tujuh hari (lagi) apabila kamu telah pulang kembali. Itulah sepuluh (hari) yang sempurna. Demikian itu (kewajiban membayar fidyah) bagi orang-orang yang keluarganya tidak berada (di sekitar) Masjidil Haram (orang-orang yang bukan penduduk kota Mekah). Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah sangat keras siksaan-Nya.” (Surah al-Baqarah, 2: 196)
Allah Ta'ala juga berfirman yang ertinya:
“Jika ia (si terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka dengan kamu, maka (hendaklah si pembunuh) membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang beriman. Barangsiapa yang tidak memperolehinya, maka hendaklah ia (si pembunuh) berpuasa dua bulan berturut-turut untuk penerimaan taubat dari pada Allah. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (Surah an-Nisaa', 4: 92)
Allah Ta'ala berfirman yang ertinya:
“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya)” (Surah al-Maidah, 5: 89)
Allah Ta'ala berfirman yang ertinya:
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu membunuh binatang buruan ketika kamu sedang ihram. Barang siapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka wajiblah atasnya denda, iaitu mengganti dengan binatang ternak yang seperti binatang yang dibunuhnya yang ditetapkan oleh dua orang yang adil (penduduk Makkah) atau kafaratnya memberi makanan kepada orang-orang miskin, atau berpuasa seimbang dengan makanan yang dikeluarkan itu supaya merasakan akibat perbuatannya barang siapa yang mengulangi lagi mengerjakannya, maka Allah akan menyiksanya, Allah Maha Perkasa lagi mempunyai hak siksa.” (Surah al-Maidah, 5: 95)
Allah Ta'ala berfirman yang ertinya:
“Orang-orang yang mendzihar isterinya, kemudian ingin kembali kepada apa yang mereka katakan, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum keduanya bercampur (bersetubuh). Demikian itu dijadikan nasihat kepadamu untuk mengerjakannya, dan Allah sentiasa mengetahui rahsia apa yang kamu kerjakan maka barang siapa yang tidak memperolehi budak (kerana tidak kuat mengadakannya, atau memang tidak ada), maka ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bersentuhan maka barang siapa yang tiada berkuasa untuk puasa, hendaklah memberi makan enam puluh orang miskin (keringanan) yang demikian itu agar kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan itulah hukum-hukum Allah, dan bagi orang-orang yang mengingkari (hukum-hukum Allah itu) azab yang pedih.” (Surah al-Mujadalah, 58: 3-4)
Demikianlah pula, puasa dan sedekah mampu menghapuskan fitnah seorang pemuda dari harta, keluarganya dan anaknya. Dari Hudzaifah Ibnul Yaman radhiallahu 'anhu, berkata Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam (yang ertinya):
“Fitnah lelaki dari keluarga (isteri), harta, dan tetangganya, boleh dihapuskan oleh solat, puasa dan sedekah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (2/7) Muslim (144))
8. Rayyan bagi orang yang puasa
Dari Sahl bin Sa'ad radhiallihu 'anhu, dari Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya): “Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan rayyan, orang-orang yang berpuasa akan memasukinya di hari kiamat nanti dari pintu tersebut, tidak ada orang selain mereka yang memasukinya. Jika telah masuk orang terakhir yang berpuasa, ditutuplah pintu tersebut. Barangsiapa yang masuk akan minum, dan barang siapa yang minum tidak akan merasa haus untuk selamanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/95). Muslim (1152). Tambahan akhir terdapat di dalam riwayat Ibnu Khuzhaimah dalam kitab Sahihnya (1903))
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang pertanyaan/kemusykilan/komen/kritikan/cadangan boleh-lah ditulis terus ke ruangan komen ini, atau dihantar secara personal ke alamat e-mail ini, dimensi83@hotmail.com. Terima kasih kerana membaca.