Jumaat, 10 Oktober 2008

130 - Petunjuk Sunnah Ketika Menguap & Bersin

Petunjuk Sunnah Ketika Menguap & Bersin

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Sedarkah kita selama ini di dalam kita menguap dan bersin, sebenarnya di sana Islam telah ada suatu garis petunjuk yang perlu kita ambil tahu mengenainya?

Berkenaan dengan menguap, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memberitahukan kepada kita bahawa ia adalah dari Syaitan. Maka, apabila kita menguap atau terasa hendak menguap, maka hendaklah kita menahannya atau jika tidak mampu menahannya, hendaklah kita menutupnya (menutup mulut ketika menguap). Bukan sahaja sekadar menutup dan menahan diri dari menguap (dengan sedaya upaya), tetapi hendaklah juga kita mengelak dari mengeluarkan bunyi ketika menguap. Kerana apabila seseorang itu menguap sambil mengeluarkan bunyi, maka Syaitan akan ketawa.

Daripada Abu Sa'id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya),

إِذَا تَثَاوَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيُمْسِكْ بِيَدِهِ عَلَى فِيهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدْخُلُ

“Apabila seseorang daripada kamu menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab az-Zuhud, 14/269, no. 5311)

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya),

الْعُطَاسُ مِنْ اللَّهِ وَالتَّثَاؤُبُ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَضَعْ يَدَهُ عَلَى فِيهِ وَإِذَا قَالَ آهْ آهْ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَضْحَكُ مِنْ جَوْفِهِ وَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ فَإِذَا قَالَ الرَّجُلُ آهْ آهْ إِذَا تَثَاءَبَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَضْحَكُ فِي جَوْفِهِ

“Bersin itu daripada Allah, manakala menguap itu dari Syaitan. Sekiranya salah seorang daripada kamu menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya dan jika ia mengeluarkan bunyi "aahh... aahhh..." maka syaitan ketawa di dalam perutnya. Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Kitab al-Adab, 9/402, no. 2670. Beliau berkata: Hadis ini Hasan sahih)

Manakala berkenaan dengan bersin pula, ia adalah suatu yang disukai oleh Allah, yang mana berbeza dengan perbuatan menguap tadi yang ianya adalah dibenci oleh Allah. Apabila seseorang itu bersin, maka dengan itu hendaklah dia memanjatkan pujian kepada Allah, dan kepada saudaranya yang mendengar saudaranya yang bersin itu, maka hendaklah dia mendoakannya.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ فَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَحَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أَنْ يُشَمِّتَهُ وَأَمَّا التَّثَاؤُبُ فَإِنَّمَا هُوَ مِنْ الشَّيْطَانِ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ فَإِذَا قَالَ هَا ضَحِكَ مِنْهُ الشَّيْطَانُ

“Sesungguhnya Allah menyukai bersin, dan membenci menguap. Maka apabila seseorang itu bersin, maka pujilah Allah (dengan mengucapkan “الْحَمْدُ لِلَّهِ”). Manakala bagi setiap Muslim yang mendengar saudaranya bersin adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendoakannya (mendoakan saudaranya yang bersin) iaitu dengan menyebut “يَرْحَمُكَ اللهُ” (semoga Allah memberi rahmat kepadanya). Manakala menguap, ia adalah dari Syaitan. Maka apabila seseorang daripada kamu menguap, tahanlah ia dengan sedaya upaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang itu menguap sambil berbunyi “Haaa” maka Syaitan akan mentertawakannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Adab, 19/223, no. 5755)

Dalam riwayat yang lain, juga daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya),

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ فَإِذَا قَالَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ فَلْيَقُلْ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

“Apabila seseorang itu bersin, maka hendaklah ia memanjatkan pujian kepada Allah (dengan mengucapkan “الْحَمْدُ لِلَّهِ”). Manakala bagi setiap Muslim yang mendengar saudaranya bersin adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendoakannya (mendoakan saudaranya yang bersin) iaitu dengan menyebut “يَرْحَمُكَ اللهُ” (semoga Allah memberi rahmat kepadanya). Dan jika orang yang bersin mendengar saudaranya menyebutkan “يَرْحَمُكَ اللهُ”, maka hendaklah dia mengucapkan “يَهْدِيْكُمُ اللهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ” (Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no. 243)

Dalam hadis yang lain, dinyatakan bahawa orang yang bersin yang mendengar saudaranya mendoakannya, maka dia boleh juga mengucapkan (selain di atas),

يَغْفِرُاللهُ لَنَا وَلَكُمْ

“Semoga Allah mengampuni diri kami dan kamu.” (Hadis Riwayat at-Thabrani. Lihat di dalam Shahih al-Jami’ oleh Syaikh al-Albani)

Atau, di dalam sebuah atsar dijelaskan, dari Nafi radhiyallahu ‘anhu,

“Apabila Ibnu Umar (radhiyallahu ‘anhu) bersin dan seseorang mengucapkan:

يَرْحَمُكَ اللهُ” (semoga Allah memberi rahmat kepadanya), maka dia (Ibnu Umar) mengucapkan:

يَرْحَمُنَ اللهُ وَ يَغْفِرْ لَنَا وَلَكُمْ” (Semoga Allah memberi rahmat ke atas diri kami dan kamu)”.
(Hadis Riwayat Imam Malik di dalam Muwaththa’, 54/5)

Juga adalah suatu sunnah, apabila seseorang itu bersin, hendaklah dia menutup atau meletakkan tangannya atau bajunya (atau kain yang seumpamanya) kepada mukanya sambil merendahkan mukanya dan memperlahankan suaranya.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu (maksudnya),

“Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersin, beliau meletakkan tangannya atau kain bajunya ke mulutnya (untuk menutupnya) sambil memperlahankan suaranya (bunyi bersin).” (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab al-Adab, hadis no. 5011. Lihat juga di dalam Shahih Sunan Abi Daud oleh Syaikh al-Albani)

Artikel PDF, [Download]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang pertanyaan/kemusykilan/komen/kritikan/cadangan boleh-lah ditulis terus ke ruangan komen ini, atau dihantar secara personal ke alamat e-mail ini, dimensi83@hotmail.com. Terima kasih kerana membaca.