Melafazkan Niat Untuk Beribadah – Wajib, Sunnah, atau Bid’ah?
http://fiqh-sunnah.blogspot.com
Setiap amal wajib disertakan niat berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
http://fiqh-sunnah.blogspot.com
Setiap amal wajib disertakan niat berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
اِنَّمَا اْلاَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَاِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى
“Bahawasanya segala amal itu disertakan dan setiap orang akan mendapat balasan sesuai dengan niatnya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Niat menurut pengertian Bahasa dimaksudkan:
(اَلْقَـصْـدُ وَالْعَـزْمُ وَاْلاِرَادَةُ)
Niat ialah: Qasad (maksud), azam ('azamul qalb/cita-cita) dan iradah (al-iradatul jazimah, iaitu kehendak/keinginan hati dalam keadaan yang sedar).
Adapun menurut syara’, niat ialah:
اَلْعَزَمُ عَلَى فِعْلِ الْعِبَادَةِ تَقَرُّبًا اِلَى اللهِ تَعَالَى
“Berazam (bertekad) untuk melaksanakan ibadah semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala”.
Qasad, 'azam dan iradah tempatnya di hati, kerana ia adalah kerja hati (عَمَلُ الْقَلْب) bukan kerja lidah. Oleh itu, niat tidak perlu dilafaz atau diucapkan, inilah yang disepakati oleh jumhur ulama dan etimologis. Niat juga diertikan sebagai: “Kehendak, maksud (tujuan) dan keazaman” bukan paksaan. (Lihat: الشرح الممتع على زاد المستقنع , Hlm. 283. Jld. 2. Muhammad bin Soleh al-Uthaimin)
Syarat niat ialah: “Diketahui atau disedari oleh hati” kerana niat hanya bertempat di hati bukan lidah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
اَلنِّيَّةُ هَاهُنَا ثُمَّ اَشَارَ اِلَى صَدْرِهِ
“Niat itu tempatnya ialah di sini, kemudian baginda menunjukkan ke arah dadanya”.
Sebelum memulakan apapun jenis ibadah, tidak perlu menyusun atau mereka-reka ayat (jumlah) niat untuk dibacakan pada setiap amal, sama ada dengan suara jahrah (kuat) atau perlahan. Penyusunan niat sehingga menjadi sebuah ayat tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah atau zamah Salaf as-Soleh (generasi awal umat Islam).
Pendapat yang mewajibkan melafaz niat sebelum memulakan amal ibadah seperti solat dan lain-lainnya, adalah berpunca dari pandangan Abu Abdullah az-Zubairi dari kalangan ulama Syafi’e. Beliau menyangka Imam Syafi’e mewajibkan untuk melafazkan niat di dalam setiap ibadah yang akan dikerjakan. Beliau terkeliru terhadap qaul Imam asy-Syafie iaitu:
قَالَ الشَّافِعِيُّ : اِذَا نَوَى حَجًّا وَعُمْرَةً اَجْزَاَ وَاِنْ يَتَلَفَّظَ وَلَيْسَ كَالصَّلاَةِ لاَتَصِحُّ اِلاَّ بِالنّطْقِ
“Jika berniat untuk haji dan umrah diharuskan sekalipun dilafazkan. Dan tidak seperti solat ia tidak sah kecuali dengan dilafazkan (lafaz takbir).”
Menurut Imam an-Nawawi rahimahullah tentang ibarah (perkataan asy-Syafi’e) di atas:
قَالَ اَصْحَابُنَا: غَلَطَ هَذَاالْقَائِلُ وَلَيْسَ مُرَادُ الشَّافِعِيُّ بِالنَّطْقِ فِىالصَّلاَةِ هَذَا بَلْ مُرَادُهُ التَّكْبِيْر
“Berkata para sahabat kami: Telah berlaku kesilapan oleh orang yang mengatakannya, kerana bukan itu yang dimaksudkan oleh asy-Syafi’e tentang apa yang diucapkan pada solat, tetapi yang dimaksudkan ialah supaya diucapkan takbir (bukan mengucapkan niat)”. (Lihat: المجموعة. (2/234))
Berkata pula Ibn Abi al-‘Izzi al-Hanafi rahimahullah:
لَمْ يَقُلْ اَحَدٌ مِنَ الاَئِمَّةِ الاَرْبَعَةِ ، لاَ الشَّافِعِى وَلاَ غَيْرِهِ بِاِشْرَاطِ التَلَّفُظِّ بَالنِّيَّةِ وَاِنَّمَا النِّيَّةُ مَحَلُّهَا الْقَلْبِ بِاتِّفَاقِهِمْ
“Tidak seorang pun dari para imam yang empat walaupun asy-Syafi’e dan selainnya mengisyaratkan agar melafazkan. Adapun niat itu tempatnya di hati sebagaimana dipersetujui oleh semua ulama.” (Lihat: الامر بالاتباع والنهي عن الابتداع. Hlm. 62)
Berkata Ibn al-Qaiyim rahimahullah:
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِذَا قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ قَالَ : (اَللهُ اَكْبَرُ) وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا قَبْلَهَا وَلاَتَلَفُّظُ بِالنِّيَّةِ . وَلاَ قَالَ : اُصَلِّيْ ِللهِ صَلاَةً كَذَا مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ اِمَامًا اَوْ مَاْمُوْمًا . وَلاَ قَالَ : اَدَاءً وَلاَ قَضَاءً وَلاَ فَرْضَ الْوَقْتِ . وَهَذَا عَشْرُ بِدْعٌ لَمْ يَنْقُلْ عَنْهُ اَحَدٌ قَطْ بِاِسْنَادٍ صَحِيْحٍ وَلاَضَعِيْفٍ وَلاَمُرْسَلٍ لَفْظَةً وَاحِدَةً مِنْهَا البَتَّة . بَلْ وَلاَ عَنْ اَحَدٍ مِنَ الصَّحَابَةِ وَلاَ اِسْتَحْسَنَهُ اَحَدٌ مِنَ التَّابِعِيْنَ وَلاَ اْلاَئِمَّةِ الاَرْبِعَةِ وَاِنَّمَا غَرَّ بَعْضَ الْمُتَاَخِّرِيْنَ مِنْ قَوْلِ الشَّافِعِي
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila berdiri untuk solat mengucapkan (Allahu Akbar). Tidak pernah baginda berkata sesuatu sebelumnya dan sama sekali tidak pernah melafazkan niat. Baginda tidak pernah melafazkan: Sengaja aku sembahyang menghadap kiblat empat rakaat imaman atau makmuman kerana Allah. Tidak pernah melafazkan tunai atau qadza atau difardukan kerana masuk waktu yang mana ini semua adalah bid'ah. Tidak pernah disalin (melafazkan niat) sama ada melalui (hadis) sahih, hadis lemah, dari musnad atau berupa hadis mursal walaupun satu lafaz darinya. Sebaliknya tidak pernah juga disalin walaupun dari seorang sahabat, dari sangkaan baik oleh tabiin dan tidak juga dari para imam yang empat. Namun terdapat sebilangan dari orang-orang terkemudian tergesa-gesa (kurang memahami) tentang qaul asy-Syafi’e”. (Lihat: زاد المعاد. (1/201). Ibn al-Qaiyim)
Nash-nash yang dikemukakan oleh para ulama di setiap masa menunjukkan bahawa melafazkan niat adalah bid'ah (rekaan dalam beragama/beribadah). (Lihat:مجموع الفتاوى. (22/223). Ibn Taimiyah. Lihat juga: فتح القدير. (1/186). Asy-Syaukani)
Sesiapa yang menyangka melafazkan niat itu sunnah dan mendakwa melafazkan niat adalah dari asy-Syafi’e, maka itu adalah suatu kesilapan. (Lihat:القول المبين فى اخطاء المصلين. Hlm. 95. Abu 'Ubaid Masyhur bin Hasan bin Mahmud bin Salman)
Setiap perbuatan yang dilakukan dengan qasad, azam, iradah dan dalam keadaan sedar, tahu apa yang dikerjakan, bukan mimpi, bukan khayal, bukan dipaksa dan bukan terpaksa, maka amalan tersebut menurut syara dihukum telah berniat walaupun tidak dilafazkan dengan lidah atau diperdengarkan dengan suara. Atau dengan kata lain: “Setiap amal seseorang mukmin yang terbit dari kehendak, azam, cita-cita dan gerak hatinya yang disedari dan tidak dipaksa, maka itulah yang dinamakan niat”.
Setiap gerak laku mukmin adalah ibadah jika dilakukan dengan kerana Allah, mencari keredhaan Allah, dan bersesuaian dengan kehendak Allah. Apakah wajib semua gerak laku (pekerjaan) tersebut dimulakan dengan melafazkan niat agar dinilai sah sebagai ibadah yang diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala? Maka, pihak yang menganggap sedemikian perlulah mengemukakan dalil.
Sebagaimana yang telah disepakati oleh jumhur ulama bahawa tempat berniat di setiap kali memulakan ibadah ialah di hati “kerja hati” عَمَلُ الْقَلْبِ. Oleh itu melafazkan atau membaca niat adalah perbuatan bid'ah yang tidak ada contohnya dari Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam atau para Salaf as-Soleh. Allah Subhanahu wa Ta’ala Maha Mengetahui dan Melihat apa yang tergerak di hati seseorang, apabila ia melafazkan sesuatu perkataan jika bertentangan dengan apa yang diniatkan di hatinya, maka yang dikira dan diterima hanyalah yang terlintas atau yang tergerak di hatinya. Kenyataan ini dapat difahami melalui hadis yang bermaksud:
“Seseorang yang telah berniat untuk mengerjakan sesuatu kebaikan tetapi tidak dapat dilaksanakannya, maka niatnya itu telah diberi sepuluh ganjaran”.
Sesuatu amal dianggap ibadah apabila dilakukan dengan kesedaran yang bermula dari kehendak hati yang ikhlas.Di dalam Bahasa Arab perbuatan seumpama itu diistilahkan “niat”. Apabila niat dikotakan dengan perbuatan atau amalan maka ia menjadi ibadah yang sempurna. Sebagaimana hadis Nabi:
اِنَّـمَا اْلأعـْمَالُ بِالنِّـيَّةِ ، وَاِنَّـمَا لِكُلِ امْرِءٍ مَا نَوَى
“Bahawasanya setiap amal itu bermula dengan berniat, dan sesungguhnya bagi setiap seseorang mengikut apa yang telah diniatkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Apabila seseorang telah berniat dengan ikhlas di hatinya tanpa dilafazkan maka sahlah niatnya (dia telah berniat). Inilah pendapat yang paling sahih dari keempat-empat ulama muktabar (ays-Syafi’e, Maliki, Hanbali dan Hanafi). Begitu juga tidak seorang pun dari mereka yang pernah mewajibkan (atau menseunnahkan) melafazkan niat (menjahrahkan niat) ketika untuk mengerjakan amal ibadah kecuali ibadah haji dan umrah.
Amal ibadah merupakan bentuk tindakan dan perlakuan yang dilaksanakan dalam keadaan sedar. Niat pula ialah urusan hati yang berkait dengan keikhlasan di samping berniat dalam keadaan sedar sebelum mengerjakan sesuatu amalan perbuatan. Tidak ada orang yang berniat, kecuali dia telah sedar apa yang akan dikerjakan yang terbit dari apa yang diniatkan. Oleh itu apabila berniat hendaklah benar-benar ikhlas, kerana antara syarat sahnya niat ialah ikhlas. Ikhlas pula bertentangan dengan riyak (اَلرِّيَاءُ) “Menunjuk-nunjuk”, 'ujub (اَلْعُـجـُبُ) “bangga diri”, kibriyak (اَلْكِبرِيَاءُ) “membesarkan diri” dan tidak angkuh/ego (اَلأنَانِيَةُ) “sombong diri/keakuan”. Oleh yang demikian, apabila berniat tidak boleh diiringi dengan riyak, ‘ujub, kibriyak dan ananiyah kerana semuanya itu membatalkan niat ibadah kerana Allah Azza wa Jalla.
Seseorang yang melafazkan niat dengan tujuan untuk diperdengarkan atau untuk memberitahu Allah bahawa ia mahu melakukan ibadah, maka perbuatan tersebut adalah kejahilan dan sia-sia, kerana Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui segala apa yang terpendam di hati manusia walaupun ia tidak melafazkannya kepada Allah. Keikhlasan dan niat adalah asas ibadah. Oleh sebab itu Allah tidak menyuruh kita beribadah kecuali dengan ikhlas:
وَمَا اُمِرُوا اِلاَّ لِيَعْبُدُوْ اللهَ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْن
“Dan mereka tidak disuruh, kecuali menyembah Allah dengan penuh keikhlasan untuk (menjalankan) agama”. (Surah al-Baiyinah, 5: 98)
Setiap amal ibadah mestilah dikerjakan dengan mengikut syarat, setelah ketakwaan maka wajib berniat iaitu ikhlas agar tidak menghilangkan pahala atau membatalkan ibadah tersebut kemudian wajiblah juga ittiba’ (mengikuti sunnah). Diterimanya sesuatu ibadah hanya setelah dilakukan dengan takwa, ikhlas dan mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Amal tanpa keikhlasan boleh membawa kepada kesyirikan dan jika tidak mencontohi Rasulullah pula menyebabkan berlaku bid'ah (tokok tambah) atau tertolak.
Persoalan Berkenaan Perbuatan Melafazkan Niat Sebelum Takbir Solat
Soalan: Wajibkah melafazkan niat setiap kali sebelum takbiratul ihram? Bagaimana jika tidak melafazkan niat?
Jawapan: Berniat adalah wajib tetapi melafazkan (mengucapkan atau menjahrahkan) niat tidak pernah diwajibkan atau disunnahkan oleh syara’. Malah melafazkan niat adalah bid'ah yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sesiapa yang melakukannya adalah orang jahil yang boleh dihukum ta'zir.
Qadi Abu ar-Rabi’i Sulaiman bin ‘Umar asy-Syafie berkata:
“Mengeluarkan suara semasa berniat dan membaca di belakang imam bukanlah dari sunnah, sebaliknya makruh. Jika menjadikan keraguan (was-was) kepada orang lain ia menjadi haram. Sesiapa yang mengatakan bahawa melafazkan niat itu sunnah adalah salah. Tidak dihalalkan kepada sesiapa pun untuk mengatakan sesuatu dalam agama Allah tanpa ilmu.”
Berkata Abu Abdullah Muhammad bin al-Qasim at-Tunisi al-Maliki rahimahullah:
“Niat adalah pekerjaan hati, melafazkannya adalah bid'ah apatah lagi jika mendatangkan was-was kepada orang lain.” (Lihat: القول المبين فى اخطاء المصلين . Hlm. 91. Abu 'Ubaidah Masyhur bin Hasan bin Mahmud binSalman. Dar Ibn al-Qaiyim)
Berkata Syeikh ‘Alauddin bin al-‘Attar:
“Mengangkat suara semasa berniat sehingga mengganggu orang lain yang bersolat adalah haram secara ijmak dan melakukannnya adalah bid'ah yang tercela. (Lihat: مجموعة الرسائل الكبرى. (1/204). Ibn Taimiyah)
Berkata Imam as-Suyuti rahimahullah:
“Berniat sehingga menimbulkan was-was semasa mendirikan sembahyang tidak pernah dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan tidak pula berlaku pada para sahabat baginda. Mereka semua tidak pernah melafazkan sesuatu (lafaz niat) semasa mendirikan sembahyang selain takbir.” (Lihat: القول المبين فى اخطاء المصلين. Hlm. 92. Abu 'Ubaidah Masyhur bin Hasan bin Mahmud binSalman. Dar Ibn al-Qaiyim)
Melafazkan niat walaupun dengan perlahan tidak pernah diwajibkan oleh imam yang empat (asy-Syafi’e, Maliki, Hanafi dan Hambali) dan para ulama muslimin.Tidak seorang pun dari mereka pernah mewajibkan perkara tersebut, sama ada semasa bersuci, solat atau puasa. (Lihat: القول المبين فى اخطاء المصلين. Hlm. 92. Abu 'Ubaidah Masyhur bin Hasan bin Mahmud binSalman. Dar Ibn al-Qaiyim)
Abu Daud rahimahullah pernah bertanya kepada Imam Ahamd rahimahullah:
“Adakah orang yang mendirikan sembahyang wajib melafzkan sesuatu sebelum takbir? Beliau berkata: Tidak.” (Lihat: مجموعة الفتاوى. (22/28). Lihat:مسائل الامام احمد. Hlm. 31)
Imam asy-Syafi’e rahimahullahu berkata:
اَلْوَسْوَسَةُ فِى النِّيَّةِ الصَّلاَةِ وَالطَّهَارَةِ مَنْ جَهْلِ بِالشَّرْعِ اَوْ خَبْلٍ بِالعَقْلِ
“Was-was dalam berniat semasa solat atau bersuci berpunca dari kejahilan atau kerosakan akal.” (Lihat: الامر بالاتباع والنهي عن الابتداع (لوحة/28ب))
Tidak terdapat walaupun satu ayat dari al-Quran, hadis-hadis sahih atau qaul ulama muktabar mewajibkan membaca, menjahrah atau melafazkan niat semasa mahu memulakan sembahyang, samada sembahyang fardhu atau sunnah. Malah mereka telah menghukumkan perbuatan demikian sebagai bid'ah. Mereka berdalilkan hujjah-hujjah syari’i, iaitu Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مِفْتَاحُ الصَّلاَةِ الطُّهُوْر ، وَتَحْرِيْمُهَا التَّكْبِيْرُ ، وَتَحْلِيْلُهَا التَّسْلِيْمُ
“Kunci (pembuka) sembahyang itu adalah kebersihan (wuduk), pengharamannya (dari melakukan kerja yang lain dari sembahyang) ialah takbir dan penghalalannya ialah salam”. (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 60. at-Tirmizi, no. 3. Ibnu Majah, no. 275. Dan al-Hakim. Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh adz-Dzahabi. Syeikh al-Albani turut mensahihkannya. Lihat: Sahih al-Jami’, no. 5761 dan al-Irwa’ no. 301)
Hadis ini menjelaskan bahawa pembukaan solat itu ialah dengan berwuduk dan pengharamannya pula ialah takbir bukan melafazkan niat. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang menjadi contoh dan ikutan yang wajib dipatuhi. Baginda tidak pernah menguatkan suaranya semasa berniat. Baginda tidak pernah menghalalkan umatnya berbuat sesuatu dalam urusan solat yang tidak pernah diperintahkan oleh syara’, kerana syarat sahnya solat ialah hanya setelah mencontohi solat baginda sebagaimana sabdanya:
صَلُّوا كَمَا رَأيْتُمُوْنِيْ اُصَلِّى
“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Untuk mengetahui cara-cara bagaimana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersolat tentulah melalui hadis-hadisnya yang sahih, antaranya ialah:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا ، كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وًسَـلَّمَ يُفْتَتحُ الصَّلاَةَ بِالتَّكْبِيرِ وَالقِرَاءَ ةِ بِالْحَمْدِ للهِ رَبِّ العَالَمِينَ
“Dari Aisyah radhiallahu 'anha: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memulakan sembahyang dengan takbir dan bacaan al-Hamdulillahi Rabbil Alamin”. (Hadis Riwayat Muslim)
اَنَّ النَّبِيَ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالصَّحَابَة كَانُوا يُفْتَتحُونَ الصَّلاَةَ بِالتَّكْبِيرِ
“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan juga para sahabat memulakan sembahyang mereka dengan takbir”. (Mutawatir)
قَالَ الشَافِعِيُّ : وَالنِّيَّةُ لاَ تَقُوْمُ مَقَامَ التَّكْبِيْرِ ، وَلاَ تجْزِيه النِّيَّة اِلاَّ اَنْ تَكُوْنَ مَعَ التَّكْبِيْرِ لاَ تَتَقَدَّم التَّكْبِيْر وَلاَ تَكُوْنُ بَعْدَهُ
“Berkata asy-Syafi’e: Niat tidak boleh mengambil alih tampat takbir, tidak diterima niat kecuali setelah mahu bertakbir, tidak boleh diseiringkan dengan niat dan tidak boleh niat selepas takbir”. (Lihat: al-Umm, hlm. 99-100. Bab النية فى الصلاة jld. 1)
Di dalam kitab-kitab ulama fiqh (اَلْفُقَهَاءُ) seperti Imam asy-Syafi’e, Hanbali, Maliki dan Hanafi yang sentiasa berpegang kepada sunnah, maka tidak seorang pun dari mereka membolehkan berniat dengan kuat (جَهْرًا).
Perkara ini telah diperjelaskan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah:
“Melafazkan niat secara jahrah tidak pernah disyariatkan walaupun oleh salah seorang ulama Muslimin, tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tidak pernah dilakukan oleh salah seorang dari para Khulafa baginda, tidak pernah dilakukan oleh para sahabat baginda dan juga tidak pernah dilakukan oleh para Salaf al-ummah dan para ulamanya”. (Lihat: al-Fatawa al-Kubra, Jld. 1. Hlm. 1. Ibn Taimiyah. Terbitan. Darul al-Ma’arif. Beirut. Lubnan)
Di antara tujuan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diutus ialah untuk menerangkan dan mengajar cara-cara menunaikan solat. Oleh itu cara yang diajar, ditunjuk dan diperintahkan oleh Nabi wajib diikuti dan dipatuhi kerana itulah yang diperintahkan juga oleh Allah Azza wa Jalla di dalam al-Quran:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُوْلِ اللهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
“Maka telah ditetapkan untuk kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik”. (Surah al-Ahzaab, 33: 21)
Meninggalkan contoh atau sifat solat yang diajarkan oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan menggantikan dengan meniru orang awam solat dan bertaklid dengan apa yang diajarkan oleh guru-guru bid’ah kemudian mematuhinya, maka semua itu adalah kemungkaran yang besar, perbuatan ini samalah seperti menganggap ada guru lain yang lebih pandai, berhak dan lebih baik dari Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam mengajarkan cara-cara solat. Sebenarnya inilah bid’ah yang paling mungkar.
Segala apa yang telah Nabi contohkan bertujuan supaya manusia mudah beribadah dan mendekatkan dirinya kepada Allah. Malangnya terdapat manusia yang berani menolaknya dengan mencipta sesuatu yang tidak ada dalilnya lalu diajarkan kepada orang lain. Antaranya adalah perbuatan mengajar membaca (melafazkan dengan jahrah) niat yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah. Apakah orang seperti ini mahu mengajar Allah tentang agama-Nya? Allah telah memberi peringatan kepada orang-orang yang memandai-mandai seperti ini:
قُلْ اَتُعَلِّمُوْنَ اللهَ بِدِيْنِكُمْ وَاللهُ يَعْلَمُ مَا فِىْ السَّمَاوَاتِ وَمَا فِىْ اْلاَرْضِ وَاللهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيْمٌ
“Katakanlah! Apakah kamu mahu mengajar Allah tentang agama kamu sedangkan Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi? Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. (al-Hujuraat, 49: 16)
Menurut Ibn al-Qayyim rahimahullah agama ialah:
“Segala yang datang dari Allah dan Rasul-Nya atau apa yang dikatakan oleh Allah dan apa yang dikatakan oleh Rasul-Nya, selain dari itu semua adalah hawa nafsu”.
Allah Azza wa-Jalla telah menegaskan bahawa kebanyakan manusia sesat adalah kerana mengikuti hawa nafsunya:
وَمَنْ اَضَلَّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِهُدًى مِنَ اللهِ اِنَّ اللهَ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الظَّالِمِيْنَ
“Dan siapakah yang paling besar sesatnya daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”. (al-Qashash, 28: 50)
Oleh kerana niat itu tempatnya di hati tanpa disebut dan dilafazkan, maka jumhur ulama Salaf (generasi awal) telah sepakat bahawa melafazkan niat dengan terang atau perlahan (جَهْرًا اَوْ سِرًّا) adalah bid'ah, kerana tidak ada contohnya dari Nabi dan para sahabat radiallahu ‘anhum. Tidak akan sempurna (sah) sesuatu ibadah kecuali setelah mencontohi ibadah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sedangkan manusia dicipta untuk tujuan beribadah kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Sebagaimana firman-Nya:
وَمَا خَلَقْتُ الْجَنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ
“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali semata-mata untuk beribadah (menghambakan diri) kepada-Ku.” (adz-Dzariyat, 51: 56)
Pengertian ibadah bukan setakat solat, puasa, zakat, atau menunaikan haji, tetapi semua tindakan dan perlakuan atau perlaksanaan cara hidup yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta'ala seperti mandi, berpakaian, tidur, membaca al-Quran, belajar agama, makan, minum, mencari nafkah dan sebagainya juga adalah merupakan ibadah jika dilakukan dengan keikhlasan kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jika semua yang dinamakan ibadah wajib dibacakan niat, maka berapa jilidkah buku tentang lafaz niat yang wajib ditulis oleh para ulama? Dan antara sekian banyaknya niat yang mana satukah terlebih dahulu wajib dihafal oleh setiap muslimin serta keluarga mereka supaya dibacakan pada setiap ibadah sama ada yang wajib atau sunnah?
Apakah hanya pekerjaan yang dimulakan dengan melafazkan niat sahaja dianggap ibadah? Sedangkan anggapan seperti ini memberatkan ummah, ia samalah seperti menafikan firman Allah yang menjelaskan bahawa setiap amalan dan perbuatan seorang muslim yang diikhlaskan kerana menghambakan diri kepada-Nya adalah ibadah, kerana manusia dan jin dicipta semata-mata untuk menghambakan diri kepada-Nya. Maka bagaimanakah pula dengan pekerjaan seseorang yang tidak dibacakan niat? Apakah tidak dianggap sebagai ibadah walaupun ia sudah memeterai niat di hatinya? Penafian seperti ini merupakan suatu kejahilan dan perbuatan bid’ah kerana membatalkan sesuatu yang telah ditentukan oleh syara’, iaitu berniat di hati bukan membaca atau melafazkan niat dengan lisan.