Jumaat, 21 November 2008

136 - Pertikaian di Dalam Persoalan Mengerjakan Solat Berjama’ah Bersama Jama'ah Kedua Dalam Satu Masjid

Pertikaian di Dalam Persoalan Mengerjakan Solat Berjama’ah Bersama Jama'ah Kedua Dalam Satu Masjid

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Terdapat beberapa pendapat dalam hal ini sehingga terdapat dari mereka yang berkeras melarang melakukan solat berjama’ah di masjid bersama jama’ah yang kedua setelah mana jama’ah yang pertama selesai. Sehingga sebahagian mereka menghukumkan perbuatan melakukan solat dengan membuat jama’ah yang kedua di dalam satu masjid itu adalah perbuatan bid’ah. Namun, hakikat yang sebenarnya perkara ini adalah suatu yang termasuk di dalam soal khilaf atau perbezaan pendapat. Dalam persoalan ini, terdapat beberapa pandangan dan pendapat dari kalangan para ulama sebagaimana yang cuba dibawakan di bawah ini.

Permasalahan pertama:

Mengerjakan (membuat) jama’ah kedua di dalam sebuah masjid yang tidak memiliki imam ratib (imam tetap yang dilantik), hukumnya adalah dibolehkan. Begitu jugalah dengan mengerjakan solat di mushalla-mushalla (tempat-tempat solat) di pasar-pasar, supermarket, di poerhentian sesebuah lebuhraya, atau yang seumpamanya, maka ianya dibolehkan untuk membuat jama’ah kedua, ketiga, dan seterusnya untuk satu solat yang sama. Dalam keadaan seperti ini, adalah suatu yang sukar untuk mengatur dan mengawal selia kedatangan jama’ah yang solat kerana ianya saling silih berganti. (Rujuk: Iqamatul Hujjah ‘alal Mushalli Jama’ah Qablal Imam ar-Ratib, Jamaluddin al-Qasimi, m/s. 33. Hasyiyah Ibnu Abidin, 1/533, dan al-Inshaf, 2/219)

Permasalahan kedua:

Mengerjakan (membuat) jama’ah kedua dalam sebuah masjid yang terdapat imam ratib (imam tetap yang dilantik), tetapi disebabkan oleh kapasiti jama’ah yang besar (ramai) dan tidak mampu menampung jama’ah dalam satu masa sekaligus, maka hukumnya dibolehkan. (Rujuk: Sholat al-Jama’ah Hukmuha wa Ahkamuha wat Tanbih ‘ala maa Yaqa’u, Dr. Soleh Ghanim as-Sadlan, m/s. 109)

Permasalahan ketiga:

Mengerjakan solat dengan jama’ah kedua setelah selesai jama’ah yang pertama yang diimami oleh imam ratib, maka di sini terdapat tiga pendapat ulama yang masyhur:

Pendapat 1 – Dilarang secara mutlak. Tidak boleh mengerjakan jama’ah kedua dalam masjid yang di dalamnya memiliki imam ratib. Hikmahnya adalah supaya masyarakat tidak bersikap acuh tidak acuh atau melalaikan untuk menghadiri solat bersama imam ratib. Ini merupakan pendapat sebahagian ulama yang di antaranya adalah Sufyan ats-Tsauri, Ibnul Mubarak, Imam asy-Syafi’i (di dalam al-Umm), ulama-ulama Hanafiyah, imam Malik, Imam Ahmad, dan juga terdapat dari beberapa ulama salaf dan imam-imam lainnya. (Rujuk: al-Mabsuth, as-Sarakhi, m/s. 135. al-Mudawwanah al-Kubra, 1/89-90. dan al-Furu’, Ibnu Muflih, 1/583)

Maka, sesiapa yang terlepas untuk berjama’ah solat dengan jama’ah yang pertama, maka dia perlu solat sendirian. Tidak dibenarkan melakukan solat dengan membuat jama’ah yang baru atau jama’ah kedua di dalam masjid tersebut.

Pendapat 2 – Dibolehkan jika jama’ah kedua tersebut terpisah dari jama’ah pertama. Di mana dibolehkan membuat jama’ah kedua setelah mana jama’ah pertama selesai dan masih terdapat sebilangan orang yang belum menunaikan solat atau baru datang ke masjid atas alasan atau uzur tertentu yang menyebabkan kelewatannya. Berdasarkan riwayat Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu:

“Seseorang lelaki memasuki masjid, manakala Rasulullah telah selesai mengerjakan solat bersama para sahabat. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam berkata kepadanya: “Siapakah yang mahu bersedekah kepadanya dengan menyertainya solat berjama’ah?” Maka bangkitlah salah seorang yang hadir lalu bersolat bersamanya.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, al-Musnad, 3/5, 3/45 & 3/64. at-Tirmidzi mengatakan hadis ini hasan. Al-Hakiam menyatakan hadis ini sahih dan disepakati oleh imam adz-Dzahabi, 1/209. Juga dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Irwa’ul Ghalil, 2/316, no. 535)

Imam at-Tirmidzi rahimahullah menjelaskan, “Yang demikian itu adalah pendapat lebih dari seorang ulama, dari para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan selainnya dari kalangan Tabi’in. Mereka menjelaskan bahawa tiada masalah bagi suatu kaum untuk mengerjakan solat jama’ah di masjid yang di dalamnya sudah dilaksanakan solat jama’ah. Pendapat yang sama juga turut dikemukan oleh Ahmad dan Ishaq.

Ada juga beberapa ulama lainnya yang menyatakan bahawa hendaklah mereka mengerjakan solat sendiri-sendiri. Pendapat ini dikemukakan oleh Sufyan, Ibnu Mubarak, Malik, dan asy-Syafi’i. Mereka semua memilih pendapat yang menyebutkan agara mereka mengerjakan solat sendiri-sendiri. (Rujuk: Sunan at-Tirmidzi, pada perbahasan hadis no. 220)

Ibnu Taimiyyah rahimahullah turut menjelaskan, “Ini adalah merupakan pendapat sebilangan ulama dari kalangan sahabat dan tabi’in, mereka berkata: “Tidak mengapa mengerjakan solat dengan membuat jama’ah kedua di dalam satu masjid yang sama, ini merupakan pendapat imam Ahmad dan Ishaq”.” (Rujuk: al-Muntaqa min Akhbaril Mushthofa, Ibnu Taimiyyah, 1/614)

Ia juga merupakan pendapat sebilangan ulama Syafi’iyah (ulama bermazhab Syafi’i) dan pendapat adz-Dzahiriyah.

Pendapat 3 – Tidak mengapa melakukan solat bersama jama’ah kedua di dalam satu masjid, kecuali pada tiga masjid berikut:

- Masjidil Haram, Masjid Nabawi, dan Masjidil Aqsha.

Dilarang mengulangi jama’ah dengan membuat jama’ah kedua setelah selesainya jama’ah solat yang pertama di dalam masjid tersebut. Tujuan larangan adalah supaya masyarakat di ketiga masjid tersebut semakin banyak dan bersatu, bukan berpecah-pecah.

Pendapat yang terpilih:

Pendapat yang terpilih dan lebih tepat adalah pendapat yang kedua, iaitu dibolehkan secara mutlak tanpa membezakan di antara ketiga-tiga masjid tersebut dengan masjid-masjid yang lainnya berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana yang dibawakan di atas tadi.

Juga berdasarkan keumuman hadis berikut. Dari hadis Ubay bin Ka’ab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda,

“Sesungguhnya solat seseorang dengan yang selainnya itu lebih baik daripada solatnya sendirian. Solatnya dengan dua orang lebih baik daripada solatnya dengan hanya seorang yang lain. Semakin banyak orang yang solat bersama (berjama’ah) maka akan lebih disukai oleh Allah yang Maha Tinggi.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab Solat, no. 554. Menurut penilaian al-Albani, hadis ini Sahih, lihat di dalam Sahih Sunan Abi Daud, 1/110)

Menurut imam Ibnu Abdil Barr, dia menjelaskan bahawa:

“Di antara mereka yang membolehkan hal tersebut (melakukan solat dengan jama’ah kedua setelah tidak dapat solat bersama jama’ah yang pertama di masjid) adalah Ibnu Mas’oud, Anas, Alqamah, Masruq, al-Asud, al-Hasan, Qotadah, dan ‘Ataha’.” (Rujuk: Istidzkar, Ibnu Abdil Barr, 4/68)

Menurut imam Ibnu Qudamah:

“Tidak dimakruhkan mengulangi solat berjama’ah di masjid. Di sini bermaksud, jika seseorang imam telah menunaikan solat lalu ada jama’ah yang lain datang, disunnahkan bagi mereka untuk mengerjakan solat berjama’ah.” (Rujuk: al-Mughni, Ibnu Qudamah, 3/10)

Malah, Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu sendiri pernah melakukannya bersama sekumpulan hadirin yang lain.

Daripada Abu ‘Utsman, dia berkata, “Anas bin Malik datang menemui kami di masjid Bani Tsa’labah lalu bertanya, “Adakah kamu semua telah solat?” Perkara tersebut berlaku di waktu subuh. Kami menjawab, “Sudah”. Lalu berliau berkata kepada seseorang, “Azanlah!” Maka seorang pun mengumandangkan azan dan iqamah, lalun kemudian menunaikan solat bersama (berjama’ah).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, lihat di dalam Fathul Bari, 2/131. al-Mushannaf, Ibnu Abi Syaibah, 1/321. Juga oleh Ibnul Mundzir dan Abdurrazzaq)

Juga diriwayatkan dari Salamah bin Kuhail bahawa Ibnu Mas’oud masuk ke dalam Masjid, sedangkan jama’ah sudah selesai menunaikan solat. Kemudiannya beliau pun menunaikan solat berjama’ah bersama Alqamah, al-Aswad, dan Masruq. (Atsar Riwayat Ibnu Abi Syaibah, 1/323, Ibnul Mundzir, 4/216. Juga dikuatkan dari riwayat yang dikemukakan oleh Abdurrazzaq)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang pertanyaan/kemusykilan/komen/kritikan/cadangan boleh-lah ditulis terus ke ruangan komen ini, atau dihantar secara personal ke alamat e-mail ini, dimensi83@hotmail.com. Terima kasih kerana membaca.