Sabtu, 24 Mei 2008

101 - Takbir “Allahu Akbar!!” Dengan Suara Yang Kuat Adalah Menyalahi Sunnah

Takbir “Allahu Akbar!!” Dengan Suara Yang Kuat Adalah Menyalahi Sunnah

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Tiba-tiba terlintas di fikiran saya untuk membawa sedikit pencerahan dalam persoalan ini. Di mana ketika ini berlaku terlalu banyak dan bukan sedikit. Malah berlaku di kalangan mereka yang mengaku ustaz dan ulama. Di mana di sana, terdapat sebahagian kelompok atau pihak-pihak tertentu yang gemar dan sering melaung-laungkan takbir “Allahu Akbar” atas pelbagai alasan yang tidak bersandarkan kepada sunnah tetapi seakan-akan mendahulukan akal dan logik. Perkara ini seolah-olah sudah menjadi syi’ar dan simbol agama. Padahal ianya menyalahi dalil dan nash-nash yang sahih lagi terpercaya.

Mari kita lihat secara ringkas dan mudah persoalan ini dari sudut dalil dan pandangan ulama.

“Dari Abi Musa radhiallahu ‘anhu ia berkata: Kami pernah bersama Rasulullah dalam suatu perjalanan, kemudian orang-orang mengeraskan suara takbir mereka, maka Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Wahai para manusia, kasihanilah dirimu dan rendahkanlah suaramu! sesungguhnya kamu tidak sedang menyeru Zat yang tuli (pekak) dan tidak juga yang jauh. Sesungguhnya kamu sedang menyeru Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat.” (Riwayat al-Bukhori, 3/1091, hadis no: 2830. Dan Muslim, 4/2076, hadis no: 2704)

Imam an-Nawawi menjelaskan maksud hadis ini dengan berkata:

“Kasihanilah dirimu, dan rendahkanlah suaramu, kerana mengeraskan suara, biasanya dilakukan seseorang, kerana orang yang ia ajak berbicara berada di tempat yang jauh, agar ia mendengar ucapannya. Sedangkan kamu sedang menyeru Allah Ta’ala, dan Dia tidaklah tuli (tidak pekak) dan tidak juga jauh, akan tetapi Dia Maha Mendengar dan Maha Dekat… Sehingga dalam hadis ini ada anjuran untuk merendahkan suara zikir, selama tidak ada keperluan untuk mengeraskannya, kerana dengan merendahkan suara itu lebih menunjukkan akan penghormatan dan pengagungan. Dan bila ada kepentingan untuk mengeraskan suara, maka boleh untuk dikeraskan, sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis.” (Syarah Shahih Muslim, oleh Imam an-Nawawi 17/26)

“Diriwayatkan dari Qais bin ‘Abbad ia berkata: Dahulu para sahabat Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam tidak menyukai untuk mengeraskan suara pada tiga keadaan, iaitu: di saat berperang, menghadiri janazah, dan pada saat berzikir.“ (Riwayat Ibnu Abi Syaibah, 6/143, no: 30174, Al Baihaqi 4/74, dan Al Khathib Al Baghdadi dalam kitabnya Tarikh baghdad 8/91)

Kesimpulan:

Berdasarkan hadis-hadis dan kenyataan imam an-Nawawi tersebut, jelaslah bahawa perbuatan melaung-laungkan takbir bukan pada tempatnya malah dengan kaedah yang jauh menyimpang dari suruhan sunnah adalah sesuatu yang bercanggah dengan sunnah.

Maka, cara yang benar adalah dengan bertakbir atau berzikir itu secara perlahan-lahan bukan diperkuatkan suaranya sehingga diperdengarkan kepada orang lain. Sesungguhnya zikir adalah ibadah dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar dan Maha Dekat. Bukan untuk diperlagukan dan diperlaungkan untuk pendengaran manusia lainnya.

Untuk memahami dengan lebih lanjut berkenaan perbahasan zikir ini, bolehlah merujuk artikel saya yang terdahulu di pautan berikut:

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2008/05/096-sunnahkah-berdoa-berzikir-dengan.html

4 ulasan:

  1. Salaam alaikum w.b.t... Apa kabar saudara Nawawi? Dalam soal ini, saya juga berpendapat yang lebih kurang sama kerana ada dalil2nya, dan ini pula dalil dari Quran

    "Dan berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rasa rendah diri dan takut dan tidak pula dengan ucapan yang keras-keras, yaitu pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang lalai." (al-A'raf: 205)


    Dari segi hati dan perasaan pun rasa tidak selesa apabila dilaungkan kuat2 begitu. Betul bersemangat, tetapi semangat nak berperang ke? Hehe , sedangkan dalil2 Quran dan hadith menyuruh agar berzikir dengan tidak keterlaluan. Saya harap ulamak PAS dapat cuba membetulkan keadaan ini semula. wallahu a'lam :)

    BalasPadam
  2. Biasanya hadis ni digunakan utk menyatakan perlunya berzikir lps solat dgn suara perlahan

    BalasPadam
  3. hadis tersebut bersifat masih umum, tidak terhad pada persoalan hukum zikir lepas solat.

    BalasPadam
  4. saudara nawawi... tulisan saudara ini -pada pada fahaman saya- cuba untuk mengatakan apa yang dilakukan oleh saudara2 kita yg bertakbir sengan suara kuat semasa mendengar ceramah, bertemu dengan sesutu menyeronokkan atau menakutkan adalah bidah dan tidak mengikut sunnah berdsarkan hadis bukhari & muslim itu, kemudian membawa padangan imam nawawi di dalan syarahnya ...cuba diperhatikan teks kedua2nya di dalm bahasa arab maka lebih jelas maksud larangan menguatkan suara takbir itu pada keadaan berzikir kepada Allah sahaja dan bersifat umum, dikuatkan lagi dengan kenyataan yang imam nawawi yang saudara nukilkan iaitu adalah dibenarkan meninggikan suara takbir pada keadaan tetentu .... rujuk balik dan takutlah Allah dalam membuan kenyataan sehingga difahami hadis nabi secara salah ... seperti ulasa seorang yg buat ulasan agar ulam pas perlu betulkan pengikut... sedang hadis ini tidak umum jika ada hadis lain yang mengkhususkannya .. moga Allah memelihara kita agar sentiasa nberada di atas landasan sunnah bukan atas dasar puak tetentu walau pun nama puak itu sunnah

    BalasPadam

Sebarang pertanyaan/kemusykilan/komen/kritikan/cadangan boleh-lah ditulis terus ke ruangan komen ini, atau dihantar secara personal ke alamat e-mail ini, dimensi83@hotmail.com. Terima kasih kerana membaca.