Selasa, 10 Jun 2008

102 - Salah Faham Terhadap Kalimah Rijs/Rijsun (Najis) Untuk Babi

Salah Faham Terhadap Kalimah Rijs/Rijsun (Najis) Untuk Babi

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Artikel ini adalah sebagai sedikit tambahan kepada artikel sebelumnya yang bertajuk: “Meninjau Semula Hukum Kenajisan Khinzir

Khinzir atau babi adalah jelas haram hukumnya untuk dijadikan sebagai bahan makanan (haram untuk dimakan) tanpa khilaf di kalangan ulama. Namun penggunaan campuran unsur atau elemen yang berasal dari babi (seperti gelatin babi) telah berleluasa digunakan sebagai bahan campuran terhadap pelbagai barangan termasuk pada pakaian, sabun cuci iaitu termasuklah sabun pencuci pakaian dan sabun mandi, ubat-ubatan, kegunaan alat-alat pejabat dan sekolah (alat tulis), berus gigi, ubat gigi, lembaran-lembaran kertas, berus cat dan sehinggalah di dalam proses penghasilan makanan serta pelbagai lagi peralatan dan keperluan lainnya. Persoalannya, apakah peralatan itu boleh digunakan kerana sebahagian masyarakat Islam menganggap (menghukum) babi sebagai najis berat (mughaladzah) sehingga ada mazhab yang mengharamkan bagi kaum muslimin menyentuhnya. Dan langsung tidak boleh disucikan.

Jika diperhatikan, orang-orang Islam adalah antara pengguna yang teramai yang tidak dapat mengelak daripada menggunakan alat-alat atau benda-benda yang melibatkan unsur babi atau khinzir, sehingga terpaksa digunakan di dalam masjid-masjid dan di rumah-rumah. Alangkah susah dan sulitnya bagi orang-orang yang mengharamkan penggunaan semua benda-benda tersebut, sedangkan mereka terpaksa dan sangat-sangat memerlukannya kerana termasuk sebagai keperluan asas dan utama. Maka bagaimana orang-orang Islam yang terpegang benda-benda atau barangan yang dibuat atau dicampur dengan unsur-unsur babi seperti ubat gigi dan berus gigi, pakaian dan beg yang dibuat dari kulit babi, makanan dan ubata-ubatan, apakah perlu disertu iaitu dicuci tujuh kali satu darinya dengan tanah? Kalau cucian seperti itu wajib, pasti ia amat menyulitkan sedangkan Islam adalah agama yang paling mudah sebagaimana firman Allah ‘Azza wa-Jalla dan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

لاَ يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. (al-Baqarah, 2: 286)


يَسِّرُوْا ولاَ تُعَسِّرُوْا

“Permudahkanlah dan janganlah kamu persulitkan”.

اَلدِّيْنُ يُسْرٌ

“Agama (Islam) itu mudah.

Adapun ayat-ayat al-Quran yang memperkatakan tentang babi ialah:

حُرِّمِتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيْرِ

“Diharamkan bagi kamu (memakan) bangkai, darah dan daging babi”. (al-Maidah, 5: 3)

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِبْرِ

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atas kamu (memakan) bangkai, darah dan daging babi”. (an-Nahl, 16: 115)


قُلْ لاَّ أَجِدُ فِي مَآ أُحِيَ إِلَيَّ مُحُرَّمًا عَلى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إلاَّ أَنْ يَكُوْنَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوْحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيْرٍ فِإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ

“Katakanlah!: Tidaklah aku perolehi dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu adalah kotor, atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah”. (al-An’am, 6: 145)

Semua dalil-dalil al-Quran di atas menunjukkan haramnya bangkai, darah yang mengalir dan daging babi, semuanya itu tidak pernah dihalalkan untuk dimakan. Dan juga amat jelas menunjukkan bahawa bangkai, darah dan daging babi atau apa sahaja dari unsur babi adalah hukumnya haram dimakan kerana semua benda-benda tersebut rijs (keji, najis atau kotor).

Persoalannya, apakah makna dan maksud rijs (رِجْسٌ) pada ayat-ayat di atas ini dan di ayat-ayat yang lain yang diulang-ulang sehingga sepuluh kali? Ada yang memberikan makna atau memaksudkannya sebagai najis berat yang wajib disertu iaitu dicuci tujuh kali dan satu daripadanya dengan tanah dan ada pula yang hanya bermakna kotor dan keji yang haram dimakan?

Jika sekiranya rijs (رِجْسٌ) itu dimaksudkan najis berat, mengapa hanya dikhususkan kepada babi sedangkan ayat-ayat di atas memperkatakan bangkai dan darah seiring (sebaris) dengan persoalan babi dan mengapa bangkai dan darah tidak seberat babi sedangkan ayat-ayat tersebut tidak membeza-bezakannya? Secara logiknya, jika tempat yang terkena/tersentuh babi itu wajib disertu (dibasuh 7 kali) bagi membersihkan najisnya, maka bangkai, darah dan nanah yang mengenai tempat-tempat tertentu juga wajarlah disertu sebagaimana babi tadi.

Begitu juga jika kita melihat kepada ayat-ayat yang lain, kalimah rijs turut dikaitkan dengan benda-benda dan perkara-perkara yang lain sebegaimana berikut:

Dikaitkan dengan perjudian, arak, perdukunan dan berhala sebagaimana firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَاْلأَنْصَابُ وَاْلأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَيْطَانِ فَاجْتَنِبُوْهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, perjudian, berhala dan menilik nasib itu adalah perbuatan rijs (keji) termasuk amalan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan tersebut agar kamu mendapat keberuntungan!”. (al-Maidah, 5: 90)

Dikaitkan dengan orang yang tidak beriman sebagaimana firman Allah:

كَذَلِكَ يَجْعَلُ اللهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِيْنَ لاَيُؤْمِنُوْنَ

“Begitulah Allah menimpakan rijs (siksa) kepada orang-orang yang tidak beriman”. (al-An’am, 6: 125)

Yang berkaitan dengan bangkai dan darah sebagaimana firman Allah:

إِلاَّ أَنْ يَكُوْنَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوْحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيْرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

“Kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi sesungguhnya semuanya itu rijs (kotor)”. (al-An’am, 6: 145)

Yang berkaitan dengan azab dan kemurkaan Allah Azza wa-Jalla sebagaimana firman-Nya:

قَالَ قَدْ وَقَعَ عَلَيْكُمْ مِّنْ رَبِّكُمْ رِجْسٌ وَعَضَبٌ

“Ia berkata: Sesungguhnya sudah pasti kamu akan ditimpa rijs (azab) dan kemarahan dari Tuhanmu”. (al-A’raf, 7:71)


ويَجْعَلُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذَيْنَ لاَ يَعْقِلُوْنَ

“Dan Allah menimpakan rijs (kemurkaan) kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya”. (Yunus, 10: 100)

Yang berkaitan dengan orang-orang fasik atau munafik sebagaimana firman Allah:

إِنَّهُمْ رِجْسٌ وَمَأْوَهُمْ جَهَنَّم

“Kerana sesungguhnya mereka itu adalah rijs (najis) dan tempat mereka adalah Jahanam”. (at-Taubah, 9: 95)

Yang berkaitan dengan berhala dan dusta sebagaimana firman Allah:

فَاجْتَنِبُوْا الرِّجْسَ مِنَ اْلأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوْا قَوْلَ الزُوْرِ

“Maka jauhilah olehmu berhala-berhala yang rijs (najis) itu dan jauhilah perkataan-perkataan dusta”. (al-Haj, 22: 30)

Yang berkaitan dengan dosa sebagaimana firman Allah:

إِنَّمَا يُرِيْدُ اللهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ

“Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan rijs (dosa) dari kamu hai ahli bait!”. (al-Ahzab, 33: 33)

Yang berkaitan dengan kekafiran, kemunafikan dan tidak beriman sebagaimana firman Allah:

وَأَمَّا فِى قُلُوْبِهِمْ مَّرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَى رِجْسِهِمْ وَمَاتُوْا وَهُمْ كَافِرُوْنَ

“Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambahlah rijs (kekafiran) mereka dan di samping rijs (kekafirannya) yang telah ada dan mereka mati dalam keadaan kafir”. (at-Taubah, 9: 125)

Kesemua kalimah rijs pada ayat-ayat al-Quran di atas tidak terdapat walaupun satu ayat yang memakna atau bererti rijs (najis) yang bermaksud najis berat sehingga dicuci tujuh kali apabila menyentuhnya. Malah tidak terdapat keterangan atau suruhan dari al-Quran atau hadis yang sahih yang memerintahkan agar dicuci tujuh kali satu daripadanya dengan tanah apabila tersentuh salah satu dari benda-benda rijs yang tersebut di dalam al-Quran atau hadis. Adapun hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim iaitu:

مَنْ لَعِبَ بِالنَّرْدِ شِبْرًا فَكَأَنَّمَا غَمَسَ يَدَهُ فِي لَحْمِ الْحِنْزِيْرِ

“Barangsiapa bermain nard (dadu) walau hanya sejengkal, seolah-olah dia memasukkan tangannya pada daging babi”. (H/R Muslim)

Adapun maksud hadis di atas ini berupa larangan bermain dadu kerana ia membawa kepada perbuatan judi yang diharamkan sebagaimana rijs (diharamkan) memakan daging babi. Pengertian najis mengikut bahasa ialah setiap benda yang kotor, tetapi di dalam syara’ najis mempunyai dua jenis:

Pertama: Najis hissi iaitu najis yang boleh disentuh (tampak/fizikal), dilihat warna serta dihidu baunya seperti rijs (najis) babi, bangkai, darah, nanah, tahi dan sebagainya. Tetapi babi yang seiring dengan darah dan bangkai di dalam ayat di atas, tidak pernah ada hadis yang memerintahkan agar dicuci tujuh kali satu darinya dengan tanah.

Oleh kerana tidak pernah diperolehi atau ditemui walaupun sebuah hadis sahih yang mewajibkan mencuci atau membasuh sesiapa sahaja yang menyentuh atau tersentuh babi sebanyak tujuh kali cucian, sama ada babi atau unsur babi tersebut kering atau basah. Termasuklah peralatan dapur seperti periuk, belanga, sudu, garpu, pinggan, mangkuk atau apa sahaja yang berupa peralatan untuk memasak, makan atau minuman yang digunakan atau tersentuh babi atau juga unsur-unsur babi ia tidak wajib disertu atau dicuci tujuh kali satu darinya dengan tanah. Maka sesiapa yang mewajibkan melakukan seperti itu perlulah mendatangkan hujah dari syara’ kerana agama ini datangnya bukan dari pendapat atau qaul seseorang tetapi dari firman Allah dan sabda Rasul-Nya. Berkaitan bekas makanan seperti periuk, belanga, atau pinggan yang terkena babi yang mana mungkin jika bekas-bekas tersebut pernah digunakan oleh orang-orang kafir, maka cara membersihkannya hanya cukup dengan air atau sabun tanpa perlu disertu.

Kedua: Najis maknawi iaitu jenis najis yang tidak boleh dicapai oleh panca-indera seperti najis yang dimaksudkan (ditujukan) kepada nifaq, dosa, syirik dan kekafiran sebagaimana firman Allah pada ayat-ayat yang lalu dan ayat yang berikut ini:

يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا إِنَّمَا الْمُشْرِكُوْنَ نَجَسٌ

“Wahai orang-orang beriman bahawasanya orang-orang musyrik itu najis!”. (at-Taubah, 9: 28)

Kesimpulannya, perkataan/kalimah rijsun yang dimaksudkan tersebut adalah sebagai najis/kotor untuk dimakan dan bukanlah najis untuk disentuh dan dipegang.

Tidak dinafikan di sana terdapat sebahagian ulama mengharamkannya untuk sebagai perhiasan, beg, kasut, pakaian (iaitu yang walaupun bukan untuk bahan makanan) namun sebahagian yang lain seperti ulama Malikiyyah, Abu Daud al-Zahiri dan juga al-Syawkani, mereka melihat tidak ada kesalahannya untuk menggunakannya jika ianya telah melalui proses dibagh/pengawetan/kimia. (rujuk; al-Nawawi, al-Majmu', Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabi, jil. 4, m.s. 604)

“'kulit apapun yang telah disamak, maka ia telah menjadi suci.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Nasai’e, Ibn Majah, dari Ibn ‘Abbas. Disahihkan oleh Sheikh al-Albani di dalam kitab Ghayatul Maaram, 27, dan Sahih al-Jami' al-Soghir, 2711.

Manakala di dalam riwayat Muslim dan Abu Daud, berbunyi “jika kulit telah disamak, maka ia telah menjadi suci”. Hadis ini juga dinilai sahih oleh Imam at-Tirmizi, 1728.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang pertanyaan/kemusykilan/komen/kritikan/cadangan boleh-lah ditulis terus ke ruangan komen ini, atau dihantar secara personal ke alamat e-mail ini, dimensi83@hotmail.com. Terima kasih kerana membaca.