Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, 23 Jun 2008

106 - Tsabitkan Penisbahan Kalimah “Sayyidina” Kepada Nabi Di Dalam Selawat?

Tsabitkan Penisbahan Kalimah “Sayyidina” Kepada Nabi Di Dalam Selawat?

Dalam hal ini, Sheikh al-Muhaddis Muhammad Nashiruddin al-Albani menyatakan:

Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah pernah ditanya berkenaan kalimat selawat untuk Nabi yang dibaca dalam solat dan di luar solat, sama ada yang wajib atau pun yang sunnah/sunat:

“Apakah dalam ucapan selawat itu disyari’atkan menggunakan kata-kata Sayyid, seperti orang mengatakan “Allahumma shalli ‘ala sayyidina Muhammad” atau “’ala sayyidina khalqi” atau “’ala sayyid waladi” atau hanya menggunakan kata-kata “Allahumma shalli ‘ala Muhammad”. Manakah yang lebih baik daripada ucapan-ucapan itu? Apakah digunakan kata-kata sayyid atau tidak menggunakannya kerana tidak tersebut dalam hadis-hadis.”

Jawab al-Hafiz Ibnu Hajar: “Benar, mengucapkan lafaz-lafaz selawat sebagaimana tersebut dalam riwayat hadis adalah yang benar. Janganlah sehingga ada orang yang mengatakan Nabi tidak menggunakan kata-kata sayyid dalam bacaan selawat hanya disebabkan sikap rendah diri (tawadhu’) sahaja sebagaimana juga tidak layak ketika orang mendengar disebut nama Nabi tidak menyahut dengan ucapan shalallahu ‘alaihi wasallam. Semua orang Islam dianjurkan untuk mengucapkan kata tersebut setiap kali mendengar sebutan nama Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam. Saya (Ibnu Hajar) menyatakan bahawa sekiranya benar bahawa ucapan sayyid itu ada, niscaya disebutkan dalam riwayat dari sahabat dan tabi’in. Akan tetapi, saya (Ibnu Hajar) tidak menemukan adanya riwayat seperti itu dari seorang sahabat atau tabi’in pun, padahal begitu banyak cara bacaan selawat yang diterima dari mereka. Al-Syafi’i rahimahullah sebagai seorang yang sangat memuliakan Nabi shalallhu ‘alaihi wasallam juga tidak menyebutkan kata sayyidina dalam awal pembukaan (muqaddimah) kitabnya. Padahal al-Syafi’i adalah contoh ikutan para pengikut mazhabnya. Beliau (al-Syafi’i) hanya menyebutkan “Allahumma shalli ‘ala Muhammad.” (Dinukil dari Kitab Sifat Sholat Nabi, Oleh Sheikh Muhammad Nashidruddin al-Albani, Terbitan Media Hidayah, m/s. 215-216)

Tsabit pula melalui beberapa hadis bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi was Sallam sendiri melarang para sahabatnya yang menisbahkan kalimah “Sayyidina” atas nama dan diri beliau.

Ia adalah sebagaimana hadis berikut,

“Muharrif bin Abdullah radhiyallahu ‘anhu berkata bahawa ayahnya pernah bersama satu rombongan dari Banu Amir pergi berjumpa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi was Sallam. Apabila mereka tiba, mereka berkata kepada Rasulullah: “Anta Sayyidina!” Mereka (Banu Amir) berkata lagi: “Engkau adalah yang paling mulia kemuliaannya, dan yang paling besar keutamaannya.” Rasulullah menjawab: “Berkatalah kamu dengan perkataan kamu itu, akan tetapi janganlah sampai syaitan menjadikan kamu sebagai wakilnya”.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, dinilai sahih oleh Sheikh al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud, hadis no. 4806. Berkata Ibn Muflih dalam al-Adab al-Syar’iyyah wa al-Minah al-Mar’iyyah, jil. 3, m/s. 455, “Sanadnya baik (jayyid))

Dalam riwayat yang lain, Anas bin Malik r.a. berkata,

“Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi was Sallam seraya berkata: “Ya Muhammad! Ya Sayyidina Ibni Sayyidina! Wahai yang terbaik di kalangan kami dan anak kepada yang terbaik di kalangan kami!” Rasulullah menjawab: “Wahai manusia, hendaklah kalian bertaqwa dan jangan membiarkan syaitan mempermainkan engkau. Sesungguhnya aku adalah Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya; dan aku bersumpah kepada Allah bahawasanya aku tidak suka sesiapa mengangkat kedudukan aku melebihi apa yang telah Allah ‘Azza wa Jalla tentukan bagiku”.” (Diriwayatkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, hadis no. 12551, jil. 3, m/s. 153. Sanadnya dinilai sahih oleh Sheikh Syu’aib al-Arnauth dan rakan-rakan. Juga dikeluarkan oleh al-Nasa’i dalam ‘Amal al-Lail wa al-Yaum dengan sanad yang baik (jayyid) sebagaimana nilai Ibn Muflih dalam al-Furu’, jil. 3, m/s. 568)

Daripada apa yang dipaparkan, ia menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri menegah dari menggunakan lafaz Sayyidina ke atas dirinya.

Diringkaskan:

1 - Semua lafaz selawat yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. tidak ada satu pun tambahan kalimat sayyidina. (Lihat Fadha’il ash-Sholat wa as-Salam ‘ala Muhammad Khoiril Anam oleh Sheikh Muhammad bin Jamil Zainu rahimahullah hal. 10-11, dan perkataan semisal oleh Ibnu Utsaimin rahimahullah dalam Syarh Bulughul Maram dalam penjelasan hadis Ibnu Mas’ud, 249)

2 – Dalam riwayat-riwayat yang sahih, para Sahabat sendiri yang begitu mencintai Rasullah s.a.w., tidak menggunakan lafaz Sayyidina dalam berselawat.

3 – Para imam mazhab sendiri juga tidak menggunakan lafaz Sayyidina dalam berselawat. Malah, dalam mukaddimah kitab al-Umm oleh Imam asy-Syafi’i, beliau sendiri tidak meletakkan kalimat Sayyidina dalam selawatnya.

Maka, perkataan siapakah yang lebih baik?

Contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi was Sallam atau rekaan-rekaan baru dalam agama yang dibuat oleh tangan-tangan manusia?

Seandainya benar kalimah Sayyidina itu bagus, kenapa tidak ditambahkan ke dalam lafaz kalimah Syahadah atau seterusnya ke dalam lafaz azan dan iqamah? Wajarlah kita semua menilaikannya semula. Perlu difahami bahawa lafaz-lafaz zikir dan selawat yang diajarkan nabi berserta dengan fadhilat-fadhilatnya yang tersebut adalah suatu bentuk ibadah yang tauqifiyah (bersifat tetap/baku). Tidak boleh kita menokok tambah dan mereka cipta dengan lafaz-lafaz yang baru selainnya.

Penutup:

Sebagai mengakhiri artikel ini, berikut dibawakan dua contoh selawat yang tsabit dan sahih yang mana jelas tiada tambahan dengan lafaz kalimat “Sayyidina”,


اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ إِنَّكَ حَمِيْدُ مَجِيْدٌ، اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ إِنَّكَ حَمِيْدُ مَجِيْدٌ

“Ya Allah, berilah rahmat kepada Muhammad dan keluarganya, sebagaimana Engkau telah memberikan rahmat kepada Ibrahim dan keluarganya. Se-sungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung. Berilah berkah kepada Muhammad dan keluarganya (termasuk anak dan isteri atau umatnya), sebagai-mana Engkau telah memberi berkah kepada Ibrahim dan keluarganya. Se-sungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Fathul Bari, 6/408)


اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ

“Ya Allah, berilah rahmat kepada Muhammad, istri-istri dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberikan rahmat kepada keluarga Ibrahim. Beri-lah berkah kepada Muhammad, istri-istri dan keturunannya, sebagaimana Eng-kau telah memberkahi kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Fathul Bari, 6/407 dan Imam Muslim meriwayatkannya dalam kitabnya, 1/306. Lafazh hadis tersebut menurut riwayat Muslim)

Wallahu a’lam...

105 - TIADA KAITAN ANTARA HADIS PELEPAH TAMAR DAN KONSEP MENGHADIAHKAN PAHALA KEPADA SI MATI

TIADA KAITAN ANTARA HADIS PELEPAH TAMAR DAN KONSEP MENGHADIAHKAN PAHALA KEPADA SI MATI

Oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

Sesetengah ulama berhujah bahawa bacaan al-Qur`an dan pahalanya sampai kepada si mati berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, iaitu hadis baginda memacakkan pelepah tamar di atas dua buah kubur.


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَائِطٍ مِنْ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ أَوْ مَكَّةَ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ ثُمَّ قَالَ بَلَى كَانَ أَحَدُهُمَا لَا يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ وَكَانَ الْآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ دَعَا بِجَرِيدَةٍ فَكَسَرَهَا كِسْرَتَيْنِ فَوَضَعَ عَلَى كُلِّ قَبْرٍ مِنْهُمَا كِسْرَةً فَقِيلَ لَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ فَعَلْتَ هَذَا قَالَ لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ تَيْبَسَا أَوْ إِلَى أَنْ يَيْبَسَا

“Daripada Ibn Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. melalui dekat salah sebuah kebun di Madinah atau Mekah lalu baginda terdengar suara dua orang yang diseksa di dalam kubur mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda: “mereka berdua itu diseksa. Tidaklah mereka berdua itu diseksa kerana perkara yang besar. Kemudian baginda bersabda: “benar sekali, salah seorang daripada mereka tidak menjaga kebersihan daripada air kencingnya dan seorang lagi sering mengacum.” Kemudian Rasulullah s.a.w. meminta supaya dibawakan pelepah tamar kemudian baginda membelahnya kepada dua lalu meletakkannya pada setiap kubur itu. Baginda ditanya; Wahai Rasulullah! Mengapa tuan berbuat demikian? Baginda menjawab: “Semoga itu akan meringankan daripada mereka berdua selagi ia tidak kering atau sehinggalah ia kering.” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wudhu` Bab Min al-Kabair An La Yastatir Min Baulih, Muslim, Kitab al-Taharah, Bab al-Dalil ‘Ala Najasah al-Baul, Abu Daud, Kitab al-Taharah, Bab al-Istibra` Min al-Baul.)

Hadis ini menerangkan Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat melalui dekat dua kuburan lalu Allah s.w.t. mewahyukan kepada baginda tentang keadaan kedua-duanya yang sedang diazab. Satunya, kerana tidak menjaga kebersihan semasa buang air dan satu lagi kerana mengadu domba dan mencetuskan permusuhan. Baginda memberitahu kepada umatnya sebagai membari amaran dan peringatan tentang kedua-dua bentuk kesalahan ini. Dengan rasa belas kasihan, baginda menyuruh sahabat mengambil pelepah tamar kemudian dipacakkan di atas dua kuburan itu sebagai syafaat baginda untuk umatnya.

Di dalam satu hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Jabir, Imam Muslim meriwayatkan:


قَالَ إِنِّي مَرَرْتُ بِقَبْرَيْنِ يُعَذَّبَانِ فَأَحْبَبْتُ بِشَفَاعَتِي أَنْ يُرَفَّهَ عَنْهُمَا مَا دَامَ الْغُصْنَانِ رَطْبَيْنِ

Rasulullah s.a.w. bersabda” “Sesungguhnya aku lalu dekat dua buah kubur yang diseksa maka aku mahu ia diberikankan syafaatku agar dihindarkan daripada kedua-duanya selagi dua ranting itu tidak kering.” (Muslim, Kitab al-Zuhd Wa al-Riqaq, Bab Hadith Jabir al-Tawil Wa Qissah Abi al-Yasar. ) (Muslim, no: 3013)

Hadis ini jelas menunjukkan sebab Rasulullah s.a.w. meletakkan ranting di atas kubur iaitu sebagai syafaat dan doanya (Al-Qurtubi, al-Mufhim Li Asykala Min Talkhis Sahih Muslim, jil. 1 hal. 553) bukan menghadiahkan pahala kepada mayat di dalamnya. Apa yang jelas ialah baginda memohon ampun bagi pihak penghuninya. (Sila rujuk al-Kasymiri, Faidh al-Bari ‘Ala Sahih al-Bukhari, jil. 1, hal. 311, Taqi Uthmani, Takmilah Fath al-Mulhim Bi Syarh Muslim, jil. 6, hal. 525.) Sama ada peristiwa ini adalah sama dengan peristiwa hadis Ibn Abbas atau tidak, kedua-duanya mempunyai ‘illah hukum atau sebab hukum yang sama.

Peristiwa ini adalah peristiwa khusus yang tidak boleh hendak diqiyaskan kerana hikmatnya dan sebabnya tidak dapat difikirkan kerana berkait dengan doa Rasulullah s.a.w. dan tambahan pula ia adalah perkara ghaib, yakni kedua-duanya itu sedang diazab dalam kubur. (Syabbir Ahmad ‘Uthmani, Fath al-Mulhim Bi Syarh Muslim, jil. 3, hal. 93.) Oleh kerana itu, baginda tidak melakukannya kecuali untuk dua kubur ini sahaja. Perbuatan sahabat bertanya menunjukkan bahawa ini tidak pernah dilakukan sebelum ini dan tidak pula diperintahkan supaya diikuti oleh para sahabat. Ini menunjukkan bahawa perbuatan ini khusus kepada baginda sebagai doa dan syafaat nabi untuk umatnya. (Muhammad bin ‘Ali, Zakhirah al-‘Uqba Fi Syarh al-Mujtaba, jil. 1, hal. 515)

Al-Khattabi, seorang ulama hadis yang terkenal ketika menghuraikan hadis ini di dalam kitabnya Ma’alim al-Sunan Syarh Sunan Abi Daud menyebutkan: “Kata-kata Rasulullah s.a.w. “semoga ia meringankan untuk mereka berdua” itu adalah dari sudut memperolehi keberkatan daripada kesan Rasulullah s.a.w. dan doa baginda supaya diringankan azab daripada mereka berdua. Seolah-olah baginda menjadikan tempoh lembabnya pelepah itu sebagai had kepada doa keringanan azab itu daripada mereka berdua bukan kerana pelepah yang basah itu mempunyai makna yang tidak terdapat pada pelepah yang kering. Orang ramai di kebanyakan negeri menghamparkan daun tamar di atas kubur-kubur dan saya berpendapat bahawa perbuatan mereka itu tidak mempunyai satu dalilpun. Wa Allah A’lam.” (Ma’alim al-Sunan, jil. 1, hal. 18)

Nukilan daripada al-Khattabi menegaskan bahawa dalam masalah ini tidak boleh dilakukan sebarang qiyas. Untuk mengatakan kelembapan atau segarnya dahan atau pelepah tamar itu sebagai sebab ringan azab, adalah sesuatu yang tidak jelas dan tidak konsisten. Dengan itu, ia tidak memenuhi syarat ‘illah hukum. Sekiranya perkara ini dapat dijadikan ‘illah pasti semua mayat yang dikebumikan di bawan rimbunan pokok atau dipenuhi dengan batu-batu akan memperolehi faedah yang besar kerana semua itu tetap terus berzikir untuknya walaupun dia tidak beriman dan tidak pernah beramal soleh. Tentu sekali tidak ada yang berpendapat demikian.

Oleh kerana itu, menjadikan pelepah tamar basah yang bertasbih sebagai asas qiyas untuk memacak ranting pokok, menabur bunga dan meletakkan batu-batu di atas kubur adalah kesimpulan hukum yang tidak menepati prinsipnya kerana tidak memenuhi syarat ‘illah dan berlaku qiyas ma’a al-Fariq (qiyas dua perkara yang tidak serupa). Mereka yang mengqiyaskan bacaan al-Qur`an dapat memberikan pahala kepada si mati menggunakan qiyas ini dengan alasan bacaan al-Qur`an itu lebih mulia dari tasbih daripada pelepah tamar itu. Sedangkan pelepah tamar yang diletakkan oleh Rasulullah s.a.w. merupakan doa dan syafa’at baginda bukan kerana sifat lembab dan basah yang ada padanya. Jauh sekali untuk dikatakan sebagai menyampaikan pahala kepada si mati.

Menyalahgunakan kaedah qiyas dan meluaskan pemakaiannya dalam masalah ini tidak akan memberikan apa-apa manfaat melainkan hanya menimbulkan pelbagai jenis bid’ah dan khurafat dalam masyarakat. Atas alasan qiyas, orang ramai meletakkan bunga-bunga di atas kubur serta menyirami dengan air mawar. Apabila mereka merasakan kesegaran pelepah tamar dan bunga itu tidak berpanjangan lalu mereka menanam pokok bunga di atas kubur serta menghias pula dengan anak-anak batu. Tujuannya tidak lain kerana menyangka semuanya itu akan memberi manfaat kepada si mati. Padahal hanya iman dan amal sahaja yang berguna. Disedari ataupun tidak, mereka telah menyerupai amalan Kristian dalam upacara kematian mereka!

Selain itu, mengkhususkan benda hidup sahaja bertasbih adalah tidak tepat kerana segala yang ada di langit dan di bumi, semuanya bertasbih dan menyebut-nyebut nama Allah sama ada ianya lembab atau kering.


تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih Dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (al-Isra`: 44)

Ayat ini menunjukkan bahawa segala sesuatu itu bertasbih, dan semuanya itu bertasbih bagi Allah dan memuji-muji kebesaran-Nya bukannya mengucapkan tasbih untuk orang yang meninggal dunia. Ini bermakna, segala makhluk yang bertasbih tidak ada kaitan dengan manusia yang telah meninggal dunia.

Mengapa Rasulullah s.a.w. memacak pelepah tamar di dua buah kubur itu sedangkan batu-batu, tanah dan pasir yang ada di situ juga bertasbih kepada Allah. Jawabnya ini adalah syafa’at dan doa baginda. Inilah sebabnya mengapa baginda tidak memacakkan kepada kubur-kubur yang lain.

Justeru, kita mengatakan, sebagai umat Rasulullah s.a.w., kita hanya perlu meminta ampun dan berdoa untuk mayat sebagaimana yang diajarkan oleh baginda dalam hadis-hadis yang lain tanpa perlu melampaui petunjuk baginda. Bahaya paling besar apabila meninggalkan sunnah ialah terjerumusnya kita dalam bid’ah. Ini kerana tidak ada satupun riwayat yang sahih menyuruh kita menghadiahkan pahala kepada orang yang meninggal dunia dan ia tidak pernah dilakukan oleh generasi sahabat dan tabi’in.

Kesimpulannya, hukum ini tidak umum dan tidak boleh diqiyaskan kepada kes orang lain. (Taqi Uthmani, Takmilah Fath al-Mulhim Bi Syarh Muslim, jil. 6, hal. 525., Abdullah Al Bassam, Taysir al-‘Allam Syarh ‘Umdah al-Ahkam, jil. 1, hal. 60) Begitu juga tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa sahabat-sahabat lain ada melakukannya kecuali yang apa diriwayatkan daripada Buraidah bin al-Husaib bahawa beliau mewasiatkan supaya meletakkan dua pelepah tamar di atas kuburnya.

Perbuatan Buraidah ini tidak boleh dijadikan hujah kerana alasan-alasan berikut: Pertama, ini adalah pendapat peribadi beliau dalam keadaan sahabat-sahabat yang utama tidak melakukannya dan hanya beliau seorang sahaja.

Kedua, beliau melakukan ini hanya semata-mata untuk mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. yang pernah melakukan begitu. Ikutan ini dinamakan sebagai ittiba’ suri iaitu mengikuti sunnah secara zahir bukan sunnah yang disyariatkan.

Sheikh Muhammad Tahir berkata: “Adapun perkara yang berlaku berhubung seorang sahabat secara jarang-jarang atau tidak biasa dan tidak diketahui oleh kebanyakan mereka, maka perbuatan itu sama ada berdasarkan kepada ijtihad peribadi atau hadis yang didengarinya (dan diketahuinya) itu kemudian telah mansukh dalam keadaan dia tidak mengetahuinya. Sesungguhnya ittiba’ atau ikutan yang diperintahkan ialah sahabat dengan lafaz jamak iaitu ashab yang disandarkan kepada kata nama khas yang menunjukkan keumuman yang sebenar, yakni semua sekali atau keumuman menurut adat iaitu kebanyakan sahabat mana kala yang lain berdiam diri. Begitu juga lafaz qarni (kurunku) bermaksud perkara yang tersebar di kurun tersebut.” (Usul al-Sunnah Li Radd al-Bid`ah, hal.64)

Ketiga, Buraidah tidak pernah berniat berbuat demikian untuk melepaskan diri dari azab kubur, kerana sebagai sahabat yang pernah menyertai Bai’ah Ridwan, beliau meyakini hanya iman dan amalan soleh sahaja yang dapat menolong seseorang menyelamatkan diri dari azab Allah.

Keempat, Imam al-Bukhari yang menukilkan athar Buraidah menyebutkannya di dalam tajuk hadis kemudian mengemukakan athar daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau melihat sebuah khemah di atas kubur ‘Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Siddiq lalu memerintahkan supaya ianya dicabut dan berkata: “Sebenarnya yang melindunginya adalah amalannya.” (Al-Bukhari, Kitab al-Jana`iz, Bab al-Jarid ‘Ala al-Qabr.) Dengan ini difahami bahawa al-Bukhari berpendapat tindakan Buraidah itu tidak boleh dijadikan hujah kerana Ibn ‘Umar tidak sependapat dengannya dan beliau seorang sahabat yang cukup mendalam ilmunya tentang sunnah Rasulullah s.a.w.. Oleh itu, pendapat sahabat yang lebih berilmu dan paling beriltizam dengan sunnah harus diutamakan daripada yang lain. (Lihat Ibn Hajar, Fath al-Bari Bi Syarh Sahih al-Bukhari, jil. 3, hal. 588) Al-‘Aini menyatakan bahawa tujuan Imam al-Bukhari mengemukakan athar daripada Ibn ‘Umar untuk menyatakan perbuatan Rasulullah s.a.w. memacakkan pelapah tamar adalah khusus dengan kedua-dua kubur itu tidak yang lain. (Al-‘Aini, ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, juz. 8, 264)

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kepada dua kubur merupakan isyarat dan alamat kepada doa dan syafa’at baginda sebagaimana berlaku doa baginda kepada Abu Hurairah supaya mempunyai ingatan yang kuat dengan selendang yang dilipat kemudian diletakkan di dadanya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أَسْمَعُ مِنْكَ حَدِيثًا كَثِيرًا أَنْسَاهُ قَالَ ابْسُطْ رِدَاءَكَ فَبَسَطْتُهُ قَالَ فَغَرَفَ بِيَدَيْهِ ثُمَّ قَالَ ضُمَّهُ فَضَمَمْتُهُ فَمَا نَسِيتُ شَيْئًا بَعْدَهُ

Daripada Abu Hurairah katanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya banyak mendengar hadis daripada tuan tetapi saya terlupa. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bentangkanlah selendangmu. Lalu saya membentangkannya kemudian baginda mencebok dengan tangannya pada selendang itu kemudian bersabda: “Dakapkanlah. Lalu saya mendakapkannya dan selepas itu saya tidak melupakan satu hadis pun.” (Al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, Bab Hifz al-‘Ilm.)

Begitu juga baginda berdoa untuk Mahmud bin al-Rubayyi’ dengan cara berkumur kemudian menghembuskan kumuran itu sebagai keberkatan daripada baginda.


عَنْ مَحْمُودِ بْنِ الرَّبِيعِ قَالَ عَقَلْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَجَّةً مَجَّهَا فِي وَجْهِي وَأَنَا ابْنُ خَمْسِ سِنِينَ مِنْ دَلْوٍ

Daripada Mahmud bin al-Rubayyi` katanya: “Saya masih lagi ingat semburan Rasulullah s.a.w. ke muka saya dari bekas air ketika saya berumur lima tahun.” (Al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, Bab Mata Yasihhu Sama’ al-Shaghir)

Doa yang disertakan ‘sentuhan’ tangan Rasulullah s.a.w. mempunyai kesan yang sangat mendalam kepada para sahabat dan ini tidak lain menunjukkan perkara ini khusus dengan baginda. Jika diteliti dalam kitab-kitab hadis tentu banyak lagi peristiwa yang sama ditemui.

Rabu, 11 Jun 2008

104 - Najiskah Darah Manusia?

Najiskah Darah Manusia?

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Darah itu ada beberapa jenis:

1 - Darah Haid

Darah ini najis, menurut kesepakatan ulama. Telah disebutkan dalil yang menunjukkan kenajisannya.

2. Darah manusia

Terdapat perselisihan pendapat mengenainya. Pendapat yang masyhur dari kalangan para ulama mazhab fiqh bahwasanya darah adalah najis. Namun, mereka tidak memiliki hujjah yang kuat. Kebanyakan mereka menganggap bahawa darah itu diharamkan berdasarkan dalil al-Quran sebagaimana dalam firman-Nya:

“Katakanlah, ‘Tiadalah aku perolehi dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi; kerana sesungguhnya semua itu kotor’.” (al-An’am, 6: 145)

Menurut mereka, pengharaman itu sekaligus menunjukkan kenajisan, sebagaimana yang mereka lakukan (nyatakan) berkenaan dengan khamar. Dan ini sudah jelas. Tetapi telah dinukil dari segolongan besar ahli ilmu berkenaan ijma’ kenajisannya. Perbahasannya akan dibawakan satu persatu.

Di sebelah pihak yang lain, sebilangan ulama muta’akhirin, di antaranya asy-Syaukani, Shiddiq Khan, al-Albani, dan lbnu Utsaimin berpendapat mengenai kesuciannya. Kerana, menurut mereka, tidak ada ketetapan ijma’. Mereka berhujjah dengan dalil-dalil sebagaimana berikut:

A - Hukum asal segala sesuatu itu suci, hingga ada dalil yang menunjukkan kenajisannya. Kami tidak pernah mengetahui bahawasanya Rasulullah memenintahkan untuk menyucikan darah selain darah haid. Padahal banyak orang sering mengalami luka atau sejenisnya. Seandainya darab itu najis, nescaya Rasulullah akan menjelaskannya kerana masalah ini sangat penting.

B - Kaum Muslimin, dari dahulu hingga sekarang, tetap diperintahkan mengerjakan solat dengan luka-luka yang ada pada tubuh mereka. Bahkan ada yang mengalirkan darah yang sangat banyak yang tidak tidak boleh ditahan pengalirannya. Namun, tidak pernah diriwayatkan dari Nabi bahawa beliau memerintahkan untuk mencucinya. Tidak pemah pula diriwayatkan bahawasanya mereka mempersoalkan tentang darah-darah yang keluar tersebut.

Al-Hasan berkata, “Dari dahulu sehinggalah sekarang kaum Muslimin tetap mengerjakan solat dengan luka-luka pada tubuh mereka.” (Sanadnya sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari secara mu’allaq (1/336), dan asalnya dari lbnu Abu Syaibah dengan sanad yang sahih, seperti mana disebutkan dalam Fathul Bari (1/337))

Dalam hadis sahabat Anshar “Bahawasanya ketika ia solat pada malam hari, ia dipanah oleh seorang musyrik. Lalu ia mencabut panahnya dan meletakkannya. Hingga ia dipanah sehingga tiga kali. Kemudian ia ruku’, sujud, dan terus melanjutkan solatnya, sementara darah terus menaIir.” (Hadis sahih, diriwayatkan secara mu’allaq oleh aI-Bukhari (1/336), dan asalnya dari Ahmad dan selainnya dengan sanad yang sahih)

Al-Albani di dalam kitabnya, Tamamul Minnah (hal. 51-52), mengatakan, “Hadis ini mempunyai hukum marfu’, kerana mustahil Nabi tidak mengetahuinya. Kalaulah darah yang banyak keluar itu membatalkan wudhu’nya, tentulah Rasulullah akan menjelaskannya. Kerana menunda penjelasan pada waktu yang diperlukan adalah tidak boleh, seperti yang difahami dalam kaidah ilmu ushul. Jika kita beranggapan Rasulullah tidak mengetahuinya, namun hal ini tidak tersembunyi bagi Allah yang tidak ada perkara yang tersembunyi bagi-Nya di langit ataupun di bumi. Kalaulah ia membatalkan wudhu, atau najis, tentulah Allah telah mewahyukan tentang hal itu kepada Nabi-Nya, sebagaimana kenyataannya yang sudah jelas bagi sesiapa pun.”

Dalam hadis tentang di mana terbunuhnya Umar bin al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu disebutkan, “Umar terus mengerjakan solat, sementara darahnya membasahi sekujur tubuhnya.” (Hadis sahih, diriwayatkan oleh Malik (82); al-Baihaqi (1/357) dan selainnya, dengan sanad shahih) Yakni darahnya terus mengalir.

C - Hadis Aisyah berkenaan kisah kematian Sa’ad bin Muadz, ia berkata, “Sa’ad bin Muadz terluka pada peperangan Khandak kerana dipanah oleh seorang laki-laki pada pelipisnya. Lalu Rasulullah membuatkan khemah di masjid agar mudah untuk menjenguknya. Ketika malam tiba, melebarlah lukanya, lalu mengalirlah darah dan lukanya hingga membasahi khemah yang ada di sampingnya. Mereka berkata, “Hai penghuni khemah, apa yang kalian kirim kepada kami?” Ketika mereka melihatnya, ternyata luka Sa’ad telah pecah dan darahnya memancar/mengalir dengan deras. Kemudian beliau pun meninggal.” (Hadis sahih, diriwayatkan oleh Abu Dawud (3100) secara ringkas; dan ath-Thabrani dalam al-Kabir (VI/7))

Penulis berkata: Tidak diriwayatkan bahawasanya Nabi memerintahkan untuk menyiramkan air padanya. Apalagi hal ini terjadi di masjid, sebagaimana beliau memerintahkan untuk menjiruskan air pada air kencing orang Arab badui, sebagaimana dalam suatu hadis yang mana nabi memerintahkan agar bekas kencing orang badui yang kencing di masjid tersebut dibasuh/disucikan dengan air. (Rujuk; Hadis Riwayat al-Bukhari, 6025. Muslim, 284)

D - Ketika lbnu Rusyd menyebutkan perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang darah ikan. Beliau menyebutkan sebab perselisihan mereka, iaitu tentang masalah status bangkainya. Pihak yang berpendapat bangkainya itu masuk dalam keumuman pengharaman, maka mereka menghukumi darahnya juga demikian. Sementara pihak yang mengeluarkan bangkai ikan dan keumuman dalil, maka mereka mengeluarkan hukum darahnya dari hukum tersebut, kerana diqiyaskan pada bangkai.

Saya katakan, mereka juga berpendapat sucinya mayat manusia. Demikian juga darahnya, menurut kaedah yang mereka lakukan. Oleh kerana itu, Ibnu Rusyd mengulas setelahnya, “Nash hanya menunjukkan najisnya darah haid. Adapun selain itu maka hukumnya tetap pada hukum asal yang telah disepakati di antara kedua pihak yang berselisih, iaitu suci. Dan, tidak boleh dikeluarkan dari hukum asal, kecuali dengan nash yang dengannya hujjah dapat ditegakkan.”

Jika ditanyakan: Mengapa tidak diqiyaskan saja dengan darah haid? Bukankah darah haid adalah najis?

Maka kita jawab: ini adalah qiyas yang tidak tepat.

Kerana darah haid adalah darah kebiasaan kaum wanita. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang telah Allah tetapkan bagi kaum wanita keturunan Adam.” (Hadis sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari (294) dan Muslim (1211))

Rasulullah bersabda tentang darah istihadhah, “Itu adalah darah yang berasal dari urat.” (Hadits sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari (327) dan Muslim (333))

Kemudian darah haid adalah darah yang sangat kental dan berbau tidak sedap. Ia menyerupai tinja dan air kencing, bukan yang keluar dari selain dua jalur tersebut.

3 - Darah haiwan yang boleh dimakan dagingnya

Pendapat mengenainya seperti pendapat mengenai darah manusia, dalam hal yang tidak adanya dalilnya yang menunjukkan kenajisannya. Jadi, hukumnya dibawa kepada hukum asalnya (iaitu suci).

Pendapat yang menyatakan kesuciannya ini juga dikuatkan oleh:

Hadis dari Ibnu Mas’ud, Ia berkata, “Rasulullah pernah solat di Ka’bah, sementara Abu Jahal dan kawan-kawannya sedang duduk-duduk. Lalu sebahagian mereka saling berkata pada sebahagian yang lain, “Siapakah di antara kalian yang mahu mengambil kotoran unta milik keluarga si fulan, kemudian mengambil kotoran, darah dan tahinya, lalu membawanya ke mari. Kemudian membiarkannya hingga ketika Muhammad sujud, maka ia meletakkan kotoran tersebut di atas belakangnya?” Bangkitlah orang yang paling celaka di antara mereka. Ketika Rasulullah sujud, ia meletakkannya di antara kedua pundak beliau, dan Nabi tetap sujud. Mereka pun tertawa-tawa.” (Hadis sahih, diriwayatkan oleh aI-Bukhari (240) dan Muslim (1794))

Maka, seandainya darah unta itu adalah najis, tentulah Nabi akan melepas pakaiannya atau keluar dari solatnya.

Diriwayatkan dengan sahih “bahawasanya Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu pernah mengerjakan solat, sementara pada perutnya terdapat kotoran dari darah unta yang baru disembelihnya, tapi dia tidak berwudhu.” (Sanadnya sahih, dikeluarkan dalam Mushannaf ‘Abdurrazzaq (1/25) dan lbnu Abi Syaibah
(1/392))

Wallahu a’lam, walaupun demikian, ijma’ ulama menyatakan bahawa darah itu haram dan najis hukumnya. Antara yang berpendapat sedemikian adalah Ibnul Qayyim, Ibnu Hazm, Ibnu Hajar al-Asqalani, Ibnu ‘Abdil Barr, Ibnul Arabi, dan Imam al-Nawawi.

Maka, ianya termasuk di dalam persoalan perbezaan pendapat dan khilaf di kalangan ulama yang seharusnya kita berlapang dada.

Disunting dari; Kitab Shahih Sunnah, Terbitan Pustaka at-Tazkia, Jilid 1, oleh Abu Malik Kamal bin as-Sayyid Salim.

103 - Adakah Khamar (Arak) Itu Najis?

Adakah Khamar (Arak) Itu Najis?

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Para ulama berbeza pendapat berkaitan hukum sama ada najis atau tidaknya khamar (arak),

Pendapat yang pertama menyatakan bahawa khamar itu adalah najis. Ini adalah merupakan pendapat jumhur ulama, di antaranya adalah imam mazhab yang empat, dan pendapat ini dipilih oleh sheikhul Islam Ibnu Taimiyah. Hujah mereka adalah firman Allah s.w.t.:

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” (al-Ma’idah, 5: 90)

Menurut mereka, maksud kalimah rijs di situ adalah membawa najis. Maka, dengan itu mereka menyatakan bahawa kenajisan arak itu adalah termasuk kategori najis hissiyah (najis dari sudut ain yang boleh dikesan dengan pancaindera).

Pendapat kedua, khamar itu suci (tidak najis). Ini adalah pendapat Rabi’ah, al-laits, al-Muzani, dan selainnya dari kalangan salaf. Dan ini adalah pendapat yang dipilih oleh asy-Syawkani, ash-Shan’ani, Ahmad Syakir, dan al-Albani rahimahullah. Inilah pendapat yang rajih berdasarkan alasan-alasan sebagaimana yang akan dijelaskan.

Pendapat yang menyatakannya sebagai suci dan tidak najis adalah berdasarkan beberapa alasan-alasan berikut,

1 – Tidak ada keterangan dalam ayat tersebut yang menunjukkan najisnya khamar. Hal itu dapat dilihat dari beberapa sudut,

- kata rijs adalah musytarak. Kalimat/perkataan ini memiliki pengertian yang sangat banyak. Di antaranya adalah kotoran, suatu yang diharamkan, keburukan, siksa/azab, laknat, kufur, kejahatan, dosa, majis, dan lain-lain. (Rujuk: an-Nihayah, Ibnul Atsir, Lisanul ‘Arab dan Mukhtarus Shihah, juga kitab-kitab tafsir)

- Menurut Ibnu Abbas, makna rijs adalah sukhth (dibenci). Manakala Ibnu Zaid menyatakan, rijs adalah syarr (keburukan).

- Kata rijs disebutkan di dalam al-Qur’an pada beberapa tempat. Namun, tidak ada satu pun dari ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawa rijs membawa maksud najis.

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, perjudian, berhala dan menilik nasib itu adalah perbuatan rijs (keji) termasuk amalan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan tersebut agar kamu mendapat keberuntungan!”. (al-Maidah, 5: 90)

“Begitulah Allah menimpakan rijs (siksa) kepada orang-orang yang tidak beriman”. (al-An’am, 6: 125)

“Kerana sesungguhnya mereka itu adalah rijs (najis) dan tempat mereka adalah Jahanam”. (at-Taubah, 9: 95)

“Maka jauhilah olehmu berhala-berhala yang rijs (najis) itu dan jauhilah perkataan-perkataan dusta”. (al-Haj, 22: 30)

- Ketika khamar dalam ayat itu disebutkan bersama dengan berjudi dan mengundi nasib, maka ini merupakan indikasi (petunjuk) yang kuat yang memalingkan makna rijs kepada selain makna najis. Demikian juga dalam firman-Nya:

“Maka berpalinglah dari mereka (orang-orang yang kafir/ingkar); Kerana sesungguhnya mereka itu adalah rijs (najis) dan tempat mereka adalah Jahanam”. (at-Taubah, 9: 95)

Kerana ada dalil-dalil shahih yang menunjukkan bahwa tubuh orang musyrik itu tidak najis.

- Ayat-ayat (dalil-dalil) yang menunjukkan pengharaman khamar tidak pun menunjukkan kenajisannya, tetapi benda yang najis sudah pasti adalah benda yang haram, dan benda yang haram belum tentu ia membawa maksud kepada najis fizikalnya. Sebagai contohnya, diharamkan memakai sutera dan emas bagi lelaki, padahal kedua-duanya benda yang suci menurut syar’i dan ijma’.

- Kata rijs pada ayat tersebut diikat dengan perkataan “termasuk amalan syaitan”. Maka, ia adalah rijs amali (perbuatan yang najis), yang bererti sangat buruk, diharamkan atau dosa. Bukanlah bererti najis ‘aini, sehingga meletakkan keududukan (hukum) benda-benda yang disebutkan dalam ayat tersebut sebagai najis.

2 - Dalam hadis tersebut disebutkan, daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, “Rasulullah memerintahkan seseorang untuk mengumumkan: “Ketahuilah sesungguhnya khamar telah diharamkan.” “Aku pun keluar rumah dan menumpahkannya sehingga mengalir di jalan-jalan kota Madinah.” (Hadis Riwayat Bukhari, 2332. Muslim, 1980)

Dalam hadis yang lain, yang mengisahkan tentang seorang laki-laki yang membawa dua buah kantung air terbuat dan kulit yang di dalamnya terisi khamar. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Sesungguhnya Allah mengharamkan meminumnya dan mengharamkan menjualnya.” Maka laki-laki itu membuka penutup dua kantung itu lalu menumpahkannya hingga habis isinya.” (Hadis Riwayat Muslim, 1206)

Seandainya khamar itu najis, pastilah Rasulullah memerintahkan untuk menyiramkan air pada tanah yang terkena khamar tersebut untuk mensucikannya. Sebagaimana Rasulullah memerintahkan untuk menuangkan air pada air kencing seorang Arab badui sebagaimana dalam suatu hadis. Dan tentunya, Rasulullah akan memerintahkan mereka untuk menjauhinya.

Dan kalaulah khamar itu najis, tentulah Rasulullah memerintahkan pemilik dua kantung air itu untuk mencucinya.

3 - Perlulah difahami bahawa hukum asal setiap sesuatu itu adalah suci. Tidak dapat dipindahkan hukumnya kecuali dengan dalil yang sahih, dan dalam hal ini tidak ada dalil yang menunjukkan kenajisannya. Maka tetaplah ia pada hukum asalnya.

Wallahu a’lam.

Rujukan: Disunting semula dari Kitab Shahih Fiqh Sunnah, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Pustaka at-Tazkia, Jilid. 1.

Selasa, 10 Jun 2008

102 - Salah Faham Terhadap Kalimah Rijs/Rijsun (Najis) Untuk Babi

Salah Faham Terhadap Kalimah Rijs/Rijsun (Najis) Untuk Babi

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Artikel ini adalah sebagai sedikit tambahan kepada artikel sebelumnya yang bertajuk: “Meninjau Semula Hukum Kenajisan Khinzir

Khinzir atau babi adalah jelas haram hukumnya untuk dijadikan sebagai bahan makanan (haram untuk dimakan) tanpa khilaf di kalangan ulama. Namun penggunaan campuran unsur atau elemen yang berasal dari babi (seperti gelatin babi) telah berleluasa digunakan sebagai bahan campuran terhadap pelbagai barangan termasuk pada pakaian, sabun cuci iaitu termasuklah sabun pencuci pakaian dan sabun mandi, ubat-ubatan, kegunaan alat-alat pejabat dan sekolah (alat tulis), berus gigi, ubat gigi, lembaran-lembaran kertas, berus cat dan sehinggalah di dalam proses penghasilan makanan serta pelbagai lagi peralatan dan keperluan lainnya. Persoalannya, apakah peralatan itu boleh digunakan kerana sebahagian masyarakat Islam menganggap (menghukum) babi sebagai najis berat (mughaladzah) sehingga ada mazhab yang mengharamkan bagi kaum muslimin menyentuhnya. Dan langsung tidak boleh disucikan.

Jika diperhatikan, orang-orang Islam adalah antara pengguna yang teramai yang tidak dapat mengelak daripada menggunakan alat-alat atau benda-benda yang melibatkan unsur babi atau khinzir, sehingga terpaksa digunakan di dalam masjid-masjid dan di rumah-rumah. Alangkah susah dan sulitnya bagi orang-orang yang mengharamkan penggunaan semua benda-benda tersebut, sedangkan mereka terpaksa dan sangat-sangat memerlukannya kerana termasuk sebagai keperluan asas dan utama. Maka bagaimana orang-orang Islam yang terpegang benda-benda atau barangan yang dibuat atau dicampur dengan unsur-unsur babi seperti ubat gigi dan berus gigi, pakaian dan beg yang dibuat dari kulit babi, makanan dan ubata-ubatan, apakah perlu disertu iaitu dicuci tujuh kali satu darinya dengan tanah? Kalau cucian seperti itu wajib, pasti ia amat menyulitkan sedangkan Islam adalah agama yang paling mudah sebagaimana firman Allah ‘Azza wa-Jalla dan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

لاَ يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. (al-Baqarah, 2: 286)


يَسِّرُوْا ولاَ تُعَسِّرُوْا

“Permudahkanlah dan janganlah kamu persulitkan”.

اَلدِّيْنُ يُسْرٌ

“Agama (Islam) itu mudah.

Adapun ayat-ayat al-Quran yang memperkatakan tentang babi ialah:

حُرِّمِتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيْرِ

“Diharamkan bagi kamu (memakan) bangkai, darah dan daging babi”. (al-Maidah, 5: 3)

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِبْرِ

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atas kamu (memakan) bangkai, darah dan daging babi”. (an-Nahl, 16: 115)


قُلْ لاَّ أَجِدُ فِي مَآ أُحِيَ إِلَيَّ مُحُرَّمًا عَلى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إلاَّ أَنْ يَكُوْنَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوْحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيْرٍ فِإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ

“Katakanlah!: Tidaklah aku perolehi dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu adalah kotor, atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah”. (al-An’am, 6: 145)

Semua dalil-dalil al-Quran di atas menunjukkan haramnya bangkai, darah yang mengalir dan daging babi, semuanya itu tidak pernah dihalalkan untuk dimakan. Dan juga amat jelas menunjukkan bahawa bangkai, darah dan daging babi atau apa sahaja dari unsur babi adalah hukumnya haram dimakan kerana semua benda-benda tersebut rijs (keji, najis atau kotor).

Persoalannya, apakah makna dan maksud rijs (رِجْسٌ) pada ayat-ayat di atas ini dan di ayat-ayat yang lain yang diulang-ulang sehingga sepuluh kali? Ada yang memberikan makna atau memaksudkannya sebagai najis berat yang wajib disertu iaitu dicuci tujuh kali dan satu daripadanya dengan tanah dan ada pula yang hanya bermakna kotor dan keji yang haram dimakan?

Jika sekiranya rijs (رِجْسٌ) itu dimaksudkan najis berat, mengapa hanya dikhususkan kepada babi sedangkan ayat-ayat di atas memperkatakan bangkai dan darah seiring (sebaris) dengan persoalan babi dan mengapa bangkai dan darah tidak seberat babi sedangkan ayat-ayat tersebut tidak membeza-bezakannya? Secara logiknya, jika tempat yang terkena/tersentuh babi itu wajib disertu (dibasuh 7 kali) bagi membersihkan najisnya, maka bangkai, darah dan nanah yang mengenai tempat-tempat tertentu juga wajarlah disertu sebagaimana babi tadi.

Begitu juga jika kita melihat kepada ayat-ayat yang lain, kalimah rijs turut dikaitkan dengan benda-benda dan perkara-perkara yang lain sebegaimana berikut:

Dikaitkan dengan perjudian, arak, perdukunan dan berhala sebagaimana firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَاْلأَنْصَابُ وَاْلأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَيْطَانِ فَاجْتَنِبُوْهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, perjudian, berhala dan menilik nasib itu adalah perbuatan rijs (keji) termasuk amalan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan tersebut agar kamu mendapat keberuntungan!”. (al-Maidah, 5: 90)

Dikaitkan dengan orang yang tidak beriman sebagaimana firman Allah:

كَذَلِكَ يَجْعَلُ اللهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِيْنَ لاَيُؤْمِنُوْنَ

“Begitulah Allah menimpakan rijs (siksa) kepada orang-orang yang tidak beriman”. (al-An’am, 6: 125)

Yang berkaitan dengan bangkai dan darah sebagaimana firman Allah:

إِلاَّ أَنْ يَكُوْنَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوْحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيْرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

“Kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi sesungguhnya semuanya itu rijs (kotor)”. (al-An’am, 6: 145)

Yang berkaitan dengan azab dan kemurkaan Allah Azza wa-Jalla sebagaimana firman-Nya:

قَالَ قَدْ وَقَعَ عَلَيْكُمْ مِّنْ رَبِّكُمْ رِجْسٌ وَعَضَبٌ

“Ia berkata: Sesungguhnya sudah pasti kamu akan ditimpa rijs (azab) dan kemarahan dari Tuhanmu”. (al-A’raf, 7:71)


ويَجْعَلُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذَيْنَ لاَ يَعْقِلُوْنَ

“Dan Allah menimpakan rijs (kemurkaan) kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya”. (Yunus, 10: 100)

Yang berkaitan dengan orang-orang fasik atau munafik sebagaimana firman Allah:

إِنَّهُمْ رِجْسٌ وَمَأْوَهُمْ جَهَنَّم

“Kerana sesungguhnya mereka itu adalah rijs (najis) dan tempat mereka adalah Jahanam”. (at-Taubah, 9: 95)

Yang berkaitan dengan berhala dan dusta sebagaimana firman Allah:

فَاجْتَنِبُوْا الرِّجْسَ مِنَ اْلأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوْا قَوْلَ الزُوْرِ

“Maka jauhilah olehmu berhala-berhala yang rijs (najis) itu dan jauhilah perkataan-perkataan dusta”. (al-Haj, 22: 30)

Yang berkaitan dengan dosa sebagaimana firman Allah:

إِنَّمَا يُرِيْدُ اللهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ

“Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan rijs (dosa) dari kamu hai ahli bait!”. (al-Ahzab, 33: 33)

Yang berkaitan dengan kekafiran, kemunafikan dan tidak beriman sebagaimana firman Allah:

وَأَمَّا فِى قُلُوْبِهِمْ مَّرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَى رِجْسِهِمْ وَمَاتُوْا وَهُمْ كَافِرُوْنَ

“Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambahlah rijs (kekafiran) mereka dan di samping rijs (kekafirannya) yang telah ada dan mereka mati dalam keadaan kafir”. (at-Taubah, 9: 125)

Kesemua kalimah rijs pada ayat-ayat al-Quran di atas tidak terdapat walaupun satu ayat yang memakna atau bererti rijs (najis) yang bermaksud najis berat sehingga dicuci tujuh kali apabila menyentuhnya. Malah tidak terdapat keterangan atau suruhan dari al-Quran atau hadis yang sahih yang memerintahkan agar dicuci tujuh kali satu daripadanya dengan tanah apabila tersentuh salah satu dari benda-benda rijs yang tersebut di dalam al-Quran atau hadis. Adapun hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim iaitu:

مَنْ لَعِبَ بِالنَّرْدِ شِبْرًا فَكَأَنَّمَا غَمَسَ يَدَهُ فِي لَحْمِ الْحِنْزِيْرِ

“Barangsiapa bermain nard (dadu) walau hanya sejengkal, seolah-olah dia memasukkan tangannya pada daging babi”. (H/R Muslim)

Adapun maksud hadis di atas ini berupa larangan bermain dadu kerana ia membawa kepada perbuatan judi yang diharamkan sebagaimana rijs (diharamkan) memakan daging babi. Pengertian najis mengikut bahasa ialah setiap benda yang kotor, tetapi di dalam syara’ najis mempunyai dua jenis:

Pertama: Najis hissi iaitu najis yang boleh disentuh (tampak/fizikal), dilihat warna serta dihidu baunya seperti rijs (najis) babi, bangkai, darah, nanah, tahi dan sebagainya. Tetapi babi yang seiring dengan darah dan bangkai di dalam ayat di atas, tidak pernah ada hadis yang memerintahkan agar dicuci tujuh kali satu darinya dengan tanah.

Oleh kerana tidak pernah diperolehi atau ditemui walaupun sebuah hadis sahih yang mewajibkan mencuci atau membasuh sesiapa sahaja yang menyentuh atau tersentuh babi sebanyak tujuh kali cucian, sama ada babi atau unsur babi tersebut kering atau basah. Termasuklah peralatan dapur seperti periuk, belanga, sudu, garpu, pinggan, mangkuk atau apa sahaja yang berupa peralatan untuk memasak, makan atau minuman yang digunakan atau tersentuh babi atau juga unsur-unsur babi ia tidak wajib disertu atau dicuci tujuh kali satu darinya dengan tanah. Maka sesiapa yang mewajibkan melakukan seperti itu perlulah mendatangkan hujah dari syara’ kerana agama ini datangnya bukan dari pendapat atau qaul seseorang tetapi dari firman Allah dan sabda Rasul-Nya. Berkaitan bekas makanan seperti periuk, belanga, atau pinggan yang terkena babi yang mana mungkin jika bekas-bekas tersebut pernah digunakan oleh orang-orang kafir, maka cara membersihkannya hanya cukup dengan air atau sabun tanpa perlu disertu.

Kedua: Najis maknawi iaitu jenis najis yang tidak boleh dicapai oleh panca-indera seperti najis yang dimaksudkan (ditujukan) kepada nifaq, dosa, syirik dan kekafiran sebagaimana firman Allah pada ayat-ayat yang lalu dan ayat yang berikut ini:

يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا إِنَّمَا الْمُشْرِكُوْنَ نَجَسٌ

“Wahai orang-orang beriman bahawasanya orang-orang musyrik itu najis!”. (at-Taubah, 9: 28)

Kesimpulannya, perkataan/kalimah rijsun yang dimaksudkan tersebut adalah sebagai najis/kotor untuk dimakan dan bukanlah najis untuk disentuh dan dipegang.

Tidak dinafikan di sana terdapat sebahagian ulama mengharamkannya untuk sebagai perhiasan, beg, kasut, pakaian (iaitu yang walaupun bukan untuk bahan makanan) namun sebahagian yang lain seperti ulama Malikiyyah, Abu Daud al-Zahiri dan juga al-Syawkani, mereka melihat tidak ada kesalahannya untuk menggunakannya jika ianya telah melalui proses dibagh/pengawetan/kimia. (rujuk; al-Nawawi, al-Majmu', Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabi, jil. 4, m.s. 604)

“'kulit apapun yang telah disamak, maka ia telah menjadi suci.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Nasai’e, Ibn Majah, dari Ibn ‘Abbas. Disahihkan oleh Sheikh al-Albani di dalam kitab Ghayatul Maaram, 27, dan Sahih al-Jami' al-Soghir, 2711.

Manakala di dalam riwayat Muslim dan Abu Daud, berbunyi “jika kulit telah disamak, maka ia telah menjadi suci”. Hadis ini juga dinilai sahih oleh Imam at-Tirmizi, 1728.