http://an-nawawi.blogspot.com
FADHILAT
WUDHUK SEBAHAGIAN DARI IMAN
Diriwayatkan daripada abu Malik al-Ash’ari r.a., Nabi s.a.w. bersabda:
“Bersuci itu adalah sebahagian daripada iman...” (HR. Muslim, no. 223)
WUDUK YANG SEMPURNA MENGHAPUSKAN DOSA-DOSA
Pengambilan wuduk yang sempurna bukan sahaja menjamin diterimnya solat tetapi ianya juga dapat menghapuskan dosa-dosa selagi tidak melakukan kesyirikan. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
“Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwuduk ia bersih dari dosa-dosanya”. H/R Muslim 1/148
“Dari Umar radiallahu ‘anhu berkata: Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Barangsiapa berwuduk dengan sebaik-baik wuduk maka akan keluar dosa-dosanya dari tubuhnya sehingga ia keluar dari celah-celah kukunya”. H/R Muslim 3/133.
“Barangsiapa yang berduduk seperti ini (seperti wuduknya Rasulullah), diampunkan dosa-dosanya yang telah berlalu dan solat serta perjalanannya ke masjid adalah dipenuhi pahala”. H/R Msulim 3/113
“Dari Abu Malik al-Asy’ari radiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Bersuci itu sebahagian dari iman”. H/R Muslim. 1/140
“Dari Humran bin Aban, bahawasanya Uthman radiallahu ‘anhu meminta air untuk berwuduk, lalu dia menyebutkan sifat wuduk Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam kemudian beliau berkata di penghujung hadis: Barangsiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian ia mendirikan solat dua rakaat dengan tidak berkata-kata yang keji pada diriya maka (wuduk dan solatnya) maka diampunkan baginya segala dosa-dosa yang telah berlalu”. H/R Bukhari 11/213. Muslim 226. Dan An-Nasaii. 1/698
“Barangsiapa berwuduk lalu menyempurnakan wuduknya kemudian ia pergi ke masjid, lalu ia dapati orang-orang sudah selesai mengerjakan solat maka Allah memberikan pahala kepadanya sebagaimana pahala orang yang sudah solat, tidak dikurangi sedikitpun dari ganjaran yang mereka perolehi”. H/R Abu Daud No. 564. Nasaii. No. 865. Disahihkan oleh Al-Albani. Lihat: Sahih Jamiu as-Saghir. No. 6039
“Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Mahukah aku tunjukkan kepada kamu beberapa perkara yang dengannya Allah akan menghapuskan dosa-dosa dan mengangkat derajat kamu? Mereka menjawab: Mahu wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Iaitu menyempurnakan wuduk walau dalam keadaan susah (Kalimah مكاره yang jamaknya مكره ialah keadaan susah/sulit untuk mengerjakan wuduk, seperti dalam keadaan sakit atau terlalu sejuk), sering berjalan ke masjid (solat jamaah) dan menunggu solat setelah selesai menunaikan solat. Yang demikian itu adalah ribat (jihad/perjuangan), yang demikian itu ribat, yang demikian itu ribat”. H/r Muslim. 133
“Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ketika sampai ke perkuburan, baginda mengucapkan salam: (Kesejahteraan atas kamu wahai penghuni negeri kaum mukminin, insya-Allah tidak lami lagi kami akan menyusul kamu). Alangkah gembiranya hatiku ketika hendak melihat saudara-saudaraku! Para sahabat berkata: Bukankah kami saudara-saudara engkau wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Kamu ini adalah para sahabatku, adapun saudara-saudaraku ialah orang-orang yang belum muncul. Mereka bertanya: Bagaimana engkau dapat mengenali keadaan umat yang belum muncul itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagaimana pendapat kamu, dimisalkan ada seorang mempunyai seekor kuda berwarna putih yang berada di tengah-tengah kuda yang berwarna hitam pekat, tidakkah ia dapat mengenali kuda itu? Benar wahai Rasulullah, ujar mereka! Baginda bersabda: Demikianlah halnya mereka itu, mereka datang dalam keadaan putih cermerlang bertanda disebabkan dari wuduk, sedangkan aku menjadi perintis mereka menuju telaga. Ketahuilah, sesungguhnya ada beberapa orang yang didorong masuk telaga sebagaimana unta yang sesat yang diusir, aku menyeru mereka: Marilah ke sini, marilah ke sini, marilah ke sini!” (H/R Malik, Nasaii 1/93-94. Ibnu Majah No. 4306. Ibnu Khuzaimah No. 6. Ahmad 2/300, 408. Muslim. 1/150.Lihat Mukhtasar Sahih Muslim No. 129. Baihaqi 4/78. Dan Abu Daud. No. 3237.)
“Dari Abi Umamah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Apabila seseorang muslim berwuduk maka akan keluar dosa-dosanya dari pendengarannya (telinganya), matanya, tangannya dan dari kedua kakinya. Apabila ia duduk menanti solat, ia duduk dalam keampunan (diampunkan) dosa-dosanya”. H/R Ahmad. 5/252. Dihasankan oleh Nasruddin al-Albani rahimahullah dalam Jamiu as-Saghir. No. 461
WUDHUK MENGANGKAT DARJAT MANUSIA
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.:
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Sukakah kamu semua jira aku tunjukkan lepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Maka Baginda s.a.w. pun bersabda: “Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhuk walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya)…” (HR. Muslim, no: 253)
WUDHUK DAPAT MEMBUKA PINTU-PINTU KE SYURGA
Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tiada seorangpun dari kalian yang berwudhuk, lalu ia menyampaikan atau meratakan wudhuknya, kemudian dia mengucapkan: Asyhadu alla Ilaha illallah wa anna Muhammadan ‘Abduhu wa Rasuluhu, melainkan dibukalah untuknya pintu syurga yang lapan, dia boleh memasuki dari pintu manapun yang dia kehendaki.” (HR. Muslim, no: 234)
WUDHUK MEMBERI CAHAYA (AN-NUUR) KEPADA MANUSIA DI AKHIRAT
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Perhiasan-perhiasan di syurga itu sampai di tubuh seorang mukmin, sesuai dengan anggota yang dicapai oleh wudhuk”. (HR. Muslim, no: 250)
WUDHUK DAPAT MEMBUKA IKATAN SYAITAN
Dari Abu Hurairah r.a., beliau meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w., bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan. Kemudian Rasulullah s.a.w. memberitahu cara untuk merungkai ikatan tersebut, dalam sabda Baginda s.a.w.:
“…sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwudhuk pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wudhuk, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk jira dan pemalas”. (HR. Bukhari, no: 1091)
SUNNAH DALAM BERWUDHUK
MENGGOSOK-GOSOK ANGGOTA BASUHAN
Sebagaimana hadis Abdullah bin Zaid:
“Sesungguhnya telah dibawa kepada Nabi s.a.w. tiga mud (cupak) air, maka Nabi telah berwudhuk dan menggosok-gosok kedua tangannya.” (HR. Ibnu Hibban, no: 1083)
SUNNAH MELEBARKAN BASUHAN WUDHUK
Sabda Nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya, umatku akan dipanggil pada hari kiamat kelak dalam keadaan putih (pada dahi) dan bercahaya (pada anggota) kerana kesan-kesan wudhuk. Maka barangsiapa yang mampu melebarkan warna putihnya, maka lakukanlah.” (HR. Bukhari, no: 136)
TIDAK MEMBAZIR (BERLEBIHAN) MENGGUNAKAN AIR KETIKA BERWUDHUK
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan...” (al-Israa’ 17: 27)
“Beginilah wudhuk, barangsiapa yang menambah ke atasnya maka dia telah melakukan kesilapan, berlebih-lebihan dan zalim.” (HR. An-Nasai’e, no: 140, dinilai hasan sahih oleh al-Albani di dalam sahih Sunan an-Nasai’e, 1/33)
“Sesungguhnya akan ada di kalangan umat ini, satu kaum yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berdoa.” (HR. Abu Daud, no: 96, dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud, 1/21)
Imam al-Bukhari (w. 256H) telah berkata: “Nabi s.a.w. telah menerangkan bahawa wudhuk difardhukan (basuhannya) sekali, dua kali, dan tiga kali, dan tidak lebih dari tiga kali, dan Ahli Ilmu membenci berlebih-lebihan dalam berwudhuk dan melebihi (bilangan) yang dilakukan oleh Nabi s.a.w.”. (Rujuk Sahih Bukhari, 1/62)
MEMBASUH SATU KALI, DUA KALI DAN TIGA KALI
Dibolehkan membasuh anggota wuduk satu kali satu kali, dua kali dua kali dan tiga kali tiga kali, tetapi tidak dibolehkan membasuh sehingga empat kali. Sepakat ulama bahawa membasuh sekali hukumnya wajib. Sementara membasuh dua kali dan tiga kali adalah sunnah. (Lihat Majmu al-Fatawa. 1/229.) Kecuali kepala dan telinga hanya diusap sekali (dan hukumnya bid’ah jika diusap melebeih sekali) usapan. (Lihat: Bidayatul Mujtahid 1/13. Tarjih Ibnu Rusyd.) Yang paling sempurna ialah mencontohi Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dengan melakukan tiga kali (selain kepala dan telinga). Adapun hadis-hadis yang membolehkan satu kali, dua kali dan tiga kali cucian ialah:
“Dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu berkata: Telah berwuduk Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam (dengan membasuh) satu kali, satu kali”. H/R Bukhari 1/226.
Ada kalanya Rasulullah sallallahu ‘aliaihi wa-sallam membasuh anggota wuduknya dua kali, dua kali.
“Dari Abdullah bin Zaid radiallahu ‘anhu berkata: Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam berwuduk (membasuh anggota wuduk) dengan dua kali, dua kali”. H/R Bukhari 1/226.
Ada kalanya baginda membasuh anggota wuduk dengan tiga kali, tiga kali:
“Baginda membasuh anggota-anggota wuduknya tiga kali”. H/R Bukhari dan Muslim.
“Dari Uthman bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam berwuduk (membasuh anggota wuduk) tiga kali tiga kali”. H/R Ahmad dan Muslim.
“Dari Amr bin Syu’aib radiallahu ‘anhu dari ayahnya dari datuknya, ia berkata: Telah datang seorang Badwi kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menanyakan masalah wuduk lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam memperlihatkannya tiga kali tiga kali dan baginda bersabda: Itulah bilangan wuduk maka barangsiapa menambah dari itu maka ia telah berbuat keburukan, pelanggaran dan kezaliman”. H/R Ahmad, Nasaii dan Ibnu Majah.
BERDOA SELEPAS BERWUDUK
Berkata Ibnu Qaiyim rahimahullah:
“Setiap hadis mengenai zikir ketika sedang berwuduk yang dibaca oleh orang awam bagi setiap anggota wuduk adalah bid’ah, tiada asalnya dari syara. Hadis-hadis mengenainya bercanggah dan dusta semata-mata. Nabi tidak pernah mengucapkannya dan tidak pernah mengajarkannya kepada ummah. Yang benar diterima dari Nabi hanyalah tasmiyah (membaca bismillah) pada permulaan wuduk dan selepas (selesai) berwuduk, tidak pula diriwayatkan sesuatu pun dari Nabi, tidak juga dari para sahabat, tabi’in bahkan tidak terdapat dari imam yang empat”.
Tiada sembarang apapun bacaan, doa atau zikir semasa berwuduk, sama ada sebelum atau semasa membasuh tangan, berkumur-kumur, membasuh muka atau semasa membasuh setiap anggota-anggota wuduk lainnya. Menurut Imam an-Nawawi rahimahullah:
“Semua doa-doa ketika sedang berwuduk tidak ada asalnya (dari syara), tidak pernah disebut oleh para salaf”.
Namun terdapat doa sejurus atau selepas berwuduk sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُسْبِغُ الْوُضُوْءَ ، ثُمَّ يَقُوْلُ
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ ، وَاَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
Pasti (yang membaca doa di atas ini) akan dibukakan baginya kelapan-lapan pintu syurga, ia boleh masuk yang mana dia kehendaki”. H/R Muslim No. 234. Abu Daud no. 169. Tirmizi No. 55. Nasaii. 148. Dan Ibnu Majah. 470.
Pada hadis riwayat Imam at-Tirmizi terdapat penambahan di hujungnya, iaitu:
اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِيْ مِنَ التَّوَّابِيْنَ وَاجْعَلْنِيْ مِنَ الْمُتَطَهِّرِيْنَ
“Ya Allah, jadikanlah aku golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah aku golongan orang-orang yang membersihkan diri!” Hadis ini disahihkan oleh Al-Albani rahimahullah.
“Dari Abi Sa’ied al-Khudri radiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Barangsiapa berwuduk kemudian setelah selesai ia membaca:
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ اَللَّهُمَّ وَأَتُوْبُ اِلَيْكَ
Maka (dengan membaca doa ini) dituliskan di tempat tulisan, kemudian terpelihara dalam lambaran, maka tidak akan binasa sehingga ke hari kiamat”. Disahihkan oleh al-Albani. Lihat: Al-Jami’ 6046.
DIBOLEHKAN MENGERINGKAN ANGGOTA SELEPAS WUDHUK
Tiada sebarang larangan dari Nabi s.a.w. berkenaan hal mengelap basahnya anggota wudhuk. Namun ada sebahagian ulama berhujah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Maimunah r.anha selepas menerangkan tentang sifat mandi Rasulullah s.a.w., beliau (Maimunah) berkata:
“...kemudian aku membawa kepada Baginda s.a.w. selembar kain (untuk mengelap), Baginda s.a.w. tidak mengambilnya, sebaliknya berlalu dan mengibas-ngibas tangannya.” (HR. Bukhari, no: 272)
Syaikh Soleh al-Uthaimin memberi komentar terhadap kenyataan di atas dengan menyebut: “Sesungguhnya perbuatan ini terdapat beberapa kemungkinan, iaitu samaada sebabnya terdapat pada kain itu, seperti tidak bersih, ataupun Baginda s.a.w. tidak mahu membasahi kain tersebut dengan air..., dan kemungkinan sebab Maimunah r.’anha membawa kain kepada Baginda s.a.w., menunjukkan bahawa kebiasaan Baginda s.a.w. adalah mengelap anggota basuhan, sekiranya ianya (mengelap) bukan dari kebiasaan Baginda s.a.w., necaya Maimunah r.’anha tidak akan membawanya (kepada Rasulullah)...” (rujuk: as-Syarhu al-Mumti’ ‘ala Zaadi al-Mustaqni, oleh Ibnu Uthaimin, 1/53)
Pendapat al-Uthaimin diperkuatkan lagi dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Slaman al-Farisi r.a.:
“Sesungguhnya Rasulullah telah berwudhuk, maka Baginda membalikkan jubah shuf (dari bulu), dan menyapu dengannya wajah Baginda s.a.w.” (HR. Ibnu Majah, no: 468)
Kesimpulannya, wallahu ‘alam, dibolehkan bagi kita mengeringkan anggota basuhan dengan kain atau memadai dengan mengibas-ngibas tangan tanpa mengelap anggota.
MELAKSANAKAN DUA RAKAAT SOLAT SELEPAS WUDHUK
Diriwayatkan dari Uthman bin Affan r.a. tentang sifat wudhuk Nabi s.a.w.:
“Barangsiapa yang berwudhuk seperti wudhukku ini, kemudian dia bersolat dua rakaat, sementara dia tidak berkata sesuatu pun antara keduanya, di-ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR. Bukhari, no: 158, Muslim, no: 226)
1 ulasan:
Assalamualaikum...Apakah yg dimaksudkan dgn kemudian bersolat 2 rakaar..tidak berkata sesuatu antara keduanya...mohon pencerahan
Catat Ulasan