Ada juga yang beranggapan pada malam inilah diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara berhubung dengan kehidupan makhluk seperti hidup, mati, rezeki, untung rugi dan lain-lain atau dikenali sebagai al-Qadr. Melalui buku ini, penulis akan cuba mengutarakan beberapa perkara yang sering diperdebatkan tentang Nishfu Sya’ban seperti:
1. Status Hadis Tentang Nisfu Sya’ban
2. Amalan-amalan Khusus Sempena Nisfu Sya’ban
3. Benarkah al-Qadr Itu Jatuh Pada Malam Nisfu Sya’ban?
STATUS HADIS TENTANG NISFU SYA’BAN
Hadis-hadis yang membicarakan tentang Nishfu Sya’ban kesemuanya berstatus daif (lemah) dan maudu’ (palsu) kecuali terdapat sebuah hadis menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h adalah sahih daripada Nabi s.a.w, iaitu riwayat yang diterima daripada Mu’az bin Jabal r.a yang berbunyi:
"ALLAH memerhatikan kepada makhluk-NYA pada malam Nisfu Sya’ban lalu DIA memberi keampunan kepada semua makhluk-NYA kecuali orang musyrik dan orang yang suka bergaduh." – Hadis riwayat Ibn Abu ‘Ashim di dalam Kitab al-Sunnah, Ibn Hibban di dalam Sahihnya dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid.
Oleh itu, sekiranya kita ingin termasuk di kalangan orang diberi keampunan oleh ALLAH pada malam Nisfu Sya’ban, kita hendaklah termasuk di kalangan orang yang tidak melakukan perbuatan syirik serta menghindari sifat suka bergaduh.
Namun, seharusnya kita sedari bahawa ALLAH juga turun ke langit dunia setiap hari pada sepertiga akhir malam.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"TUHAN kita Tabaraka wa Taala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih tinggal sepertiga malam yang akhir. ALLAH berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-KU, pasti AKU akan memakbulkannya; sesiapa yang meminta kepada-KU, pasti AKU akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-KU, pasti AKU akan mengampunnya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1145.
Oleh itu, sewajarnya kita mempertingkatkan amal ibadah yang benar-benar sahih daripada Nabi s.a.w sepanjang masa. Sewajarnya kita tidak hanya menunggu hari-hari tertentu atau malam-malam tertentu seperti malam Israk dan Mikraj atau Nisfu Sya’ban melainkan terdapat dalil yang sahih menunjukkan pada malam tersebut sememangnya memiliki fadilat-fadilat tertentu seperti bulan Ramadan dan malam lailatulqadar.
Amalan-amalan Khusus Sempena Nisfu Sya’ban
Sekiranya kita perhatikan hadis sahih tentang Nisfu Sya’ban yang telah penulis ketengahkan di atas, kita dapati ia tidak menganjurkan upacara-upacara tertentu mahupun ibadah-ibadah khusus sempena Nisfu Sya’ban.
Oleh itu, amalan-amalan khusus pada hari Nisfu Sya’ban seperti berpuasa, solat pada malamnya, membaca surah yasin sebanyak 3 kali, doa-doa tertentu dan lain-lain bukanlah amalan yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w mahupun para sahabat.
Sekiranya amalan-amalan khusus pada malam tersebut memiliki keutamaan yang tinggi serta memberi manfaat yang besar kepada umat Islam pasti baginda serta para sahabat akan mendahului kita dalam mengamalnya.
Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:
"Solat enam rakaat pada malam Nisfu Sya’ban dengan niat menolak bala, panjang umur, untuk kekayaan dan juga membaca surah Yasin serta doanya merupakan hal yang baru dalam agama (bid'ah) dan bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w." – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, edisi terjemahan bertajuk Bid'ah -Bid'ah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta (2004), ms. 155.
Imam al-Nawawi r.h menyatakan di dalam Kitab Majmu’ Syarh Muhazzab:
"Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib, iaitu 12 rakaat yang dilakukan antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama dari bulan Rejab dan solat Nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat, kedua-dua solat tersebut adalah bid'ah yang mungkar. Oleh itu, janganlah terpedaya kerana kedua-duanya disebut di dalam Kitab
Qutub al-Qulub dan Ihya’ Ulum al-Din dan jangan terperdaya dengan hadis yang disebut di dalam kedua-dua kitab itu kerana semuanya adalah batil belaka." – Rujuk Amalan Bid'ah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya’ban & Ramadhan karya Dr. Abdul Ghani Azmi bin Hj. Idris, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur (1995), ms. 106.
Setelah menyebut sejumlah ayat dan hadis serta pendapat para ulama tentang malam Nishfu Sya’ban, Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz r.h berkata:
"Berdasarkan ayat-ayat, hadis-hadis dan pendapat para ahli ilmu di atas jelaslah bagi orang yang mencari kebenaran bahawa memperingati malam Nishfu Sya’ban dengan solat dan sebagainya serta mengkhususukan siangnya untuk berpuasa adalah bid'ah mungkar menurut kebanyakkan ahli ilmu dan tidak ada dasarnya dalam syari’at yang murni, tetapi peringatan malam Nishfu Sya’ban ini terjadi dalam Islam setelah masa sahabat. Cukuplah bagi para pencari kebenaran mengenai masalah ini dan masalah lain melihat firman ALLAH:
"Pada hari ini, AKU telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, AKU telah cukupkan nikmat-KU kepada kamu semua dan AKU telah redha Islam itu menjadi agama kamu semua." – Surah al-Maaidah: 3.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang melakukan satu amal (berkaitan agama) yang bukan dari suruhan kami, ia tertolak." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1718.
Dalam riwayat lain:
"Jangan kamu semua mengkhususkan malam Jumaat untuk solat malam (qiamullail) antara malam lain dan jangan mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa antara hari lain kecuali puasa wajib." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1144.
Seandainya mengkhususkan malam-malam tertentu dengan ibadah itu dibolehkan, tentu malam Jumaat lebih utama untuk dikhususkan berbanding malam-malam lain. Ini kerana, malam Jumaat adalah hari terbaik sebagaimana terdapat di dalam hadis sahih.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sebaik-baik hari yang mana matahari terbit pada hari itu ialah hari Jumaat." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al-Jama’ah, hadis no: 854.
Ketika Nabi s.a.w melarang untuk mengkhususkannya antara malam-malam lain, hal ini menunjukkan bahawa malam-malam lain walaupun dianggap mulia, juga tidak boleh dikhususkan untuk beribadah kecuali ada dalil sahih yang menunjukkan pengkhususannya. " – Rujuk Kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Syeikh Abdullah bin Abdul Azizi al-Tuwaijiry, edisi terjemahan bertajuk: Ritual Bid'ah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003) ms. 319-320.
Oleh itu, tidak ada amal ibadah yang perlu dikhususkan sempena Nisfu Sya’ban kerana tidak ada hadis sahih yang tsabit daripada Nabi s.a.w menganjurkannya. Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh golongan sebagai hujah terdapat amalan-amalan tertentu berkaitan Nisfu Sya’ban kesemuanya daif (lemah) dan maudu' (palsu) sehingga tidak boleh dijadikan hujah.
Tentang penggunaan hadis-hadis yang tidak tsabit daripada Rasulullah s.a.w, Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat telah menyatakan pendapat Imam Tohawi r.h di dalam kitabnya al-Masaa-il, jilid 1, muka surat 41:
"Sesiapa yang menceritakan (hadis) daripada Rasulullah s.a.w atas dasar zon (sangkaan) bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w tanpa kebenaran. Justeru, orang yang menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w tanpa kebenaran, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w secara batil. Manakala orang yang telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w secara batil, pasti dia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi s.a.w sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 107:
"Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku, dia hendaklah mengambil tempat tinggalnya di neraka."
Dakwaan Ibn Rajab Menyokong Amalan Nisfu Sya’ban
Terdapat sesetengah pihak yang mempergunakan nama al-Hafiz Ibn Rajab r.h untuk menyokong dakwaan bahawa harus menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan amalan ibadah di masjid-masjid. Mari kita lihat apa sebenarnya yang diperkatakan oleh al-Hafiz Ibn Rajab r.h di dalam al-Latoif al-Ma’aarif, cetakan Darul Ihya al-Kutub Arabiyah, Kaherah, 1342 H, muka surat 144:
Para tabi’in yangmenetap di Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir dan lain-lain lagi mengagungkan malam Nisfu Sya’ban dan mereka bersungguh-sungguh beribadah di dalamnya. Hasil usaha merekalah akhirnya orang ramai mengambil kemuliaan pengangungan malam Nisfu Sya'ban.
Ada yang mengatakan bahawa masalah ini telah sampai kepada mereka (iaitu pengagungan malam Nisfu Sya’ban) beberapa hadis-hadis israiliyat. Ketika hal ini terbongkar di negeri itu, orang ramai berselisih pendapat dalam hal ini. Antara mereka ada yang menerimanya dan sepakat untuk mengagungkannya. Mereka ini adalah beberapa orang dari negeri Basrah dan selainnya. Sedangkan, kebanyakan ulama Hijaz seperti Atha’ dan Ibn Abi Malikah menolak pengagungannya.
Dinukil daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam daripada ulama fikah penduduk Madinah, iaitu pendapat sahabat Imam Malik dan lain-lain bahawa semua itu adalah bid'ah.
Para ulama Syam berselisih pendapat tentang cara meramaikannya. Paling tidak ia terbahagi kepada dua pendapat, iaitu:
1. Disunnahkan meramaikannya dengan cara berjemaah di masjid. Khalid bin Ma’dan dan Luqman bin Amir dan selainnya memakai pakaian terbaik, berbangga dan bermegah-megah untuk tinggal di masjid pada malam itu. Cara semacam ini disepakati oleh Ishak bin Rahawaih dan dia memberi komentar mengenai perayaan itu di dalam masjid, ia bukan termasuk bid'ah sebagaimana dinukilkan oleh Harb al-Kirmani daripadanya di dalam Kitab Masail.
2. Berkumpul pada malam itu di dalam masjid untuk solat, membaca cerita dan doa hukumnya makruh. Tetapi, tidak makruh apabila seseorang mengerjakannya secara bersendirian. Inilah pendapat yang dipegang oleh al-Auza’i, imam penduduk Syam, orang yang fakih dan alim antara mereka. Malah, pendapat ini lebih menghampiri kebenaran. – Rujuk Kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, edisi terjemahan bertajuk: Ritual Bid'ah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003), ms. 314-315.
Inilah antara kata-kata yang telah dilontarkan oleh Ibn Rajab r.h. Beliau hanya menukilkan beberapa pendapat ulama dan mentarjihkannya. Apa yang dapat kita fahami daripada kata-katanya ialah:
1. Amalan pengangungan Nisfu Sya’ban ini hanyalah amalan para tabi’in di Syam. Ia bukan berasal daripada Rasulullah s.a.w mahupun para sahabat.
2. Menurut Ibn Rajab, ada yang berpendapat mereka berdalilkan hadis-hadis israiliyat. Bolehkan hadis israiliyat di jadikan hujah untuk mensunatkan sesuatu amalan? Itu pokok persoalannya.
Tambahan pula ulama-ulama hadis telah mengumpulkan hadis-hadis yang membicarakan tentang keutamaan malam Nisfu Sya’ban yang kemudiannya setelah ditahqiq atau dilakukan penilaian mengenai darjat hadis tersebut, mereka merumuskan bahawa tidak ada satupun riwayat sahih kecuali sebuah riwayat daripada daripada Mu’az bin Jabal r.a sebelum ini.
Hadis tersebut tidak menunjukkan amalan tertentu sempena Nisfu Sya’ban. Sekiranya ingin diampunkan oleh ALLAH pada malam tersebut, kita hendaklah menjauhi perbuatan syirik dan jangan suka berbalah.
3. Amalan tersebut tersebut ditolak oleh jumhur ulama hijaz seperti di Madinah. Sebagaimana yang telah kita sedia maklum, majoriti para sahabat r.a menetap di Hijaz. Namun, tidak terdapat satu riwayatpun yang menunjukkan para sahabat dan tabi’in di Hijaz mengamalkan amalan seperti penduduk di Syam.
4. Tidak ada di dalam kaedah mana-mana mazhab bahawa amalan penduduk Syam boleh dijadikan hujah. Apatah lagi amalan tersebut maqthu’ (terhenti) kepada segelintir kecil tabi’in di Syam. Tambahan pula menurut kaedah Mazhab Syafie, amalan yang mauquf kepada sahabat tidak boleh dijadikan hujah. Inikan pula amalan yang hanya maqthu’ pada tabi’in. Oleh itu, kaedah dari mazhab mana yang dipakai untuk mensunatkan amalan tertentu pada malam Nisfu Sy’aban?
5. Ibn Rajab sendiri telah menguatkan pendapat bahawa meramaikan masjid dengan upacara-upacara ibadah sempena malam Nisfu Sya’ban hukumnya makruh. Pendapat ini juga dipersetujui oleh imam paling masyhur di kalangan penduduk Syam, iaitu Imam al-Auza’i r.h.
6. Keharusan yang diberikan oleh Ibn Rajab dan al-Au’za’i untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan ibadah secara sendirian juga tidak boleh dijadikan hujah kecuali didatangkan dalil tentang keharusannya. Tetapi, sememangnya hadis yang mampu dijadikan dalil tidak wujud. Walau bagaimanapun, harus meneruskan amalan-amalan sunnah yang sememangnya biasa dilakukan pada malam-malam lain seperti tahajjud, baca al-Quran, berdoa dan berzikir sama ada pada bulan Sya'ban atau bulan-bulan lain.
7. Ibn Rajab tidak menceritakan tentang amalan mengkhususkan bacaan Yassin yang diselang-selikan dengan doa-doa khusus sebagaimana yang biasa diamalkan oleh umat Islam di Malaysia.
8. Ibn Rajab juga tidak menceritakan tentang puasa Nisfu Sya’ban sebagaimana yang biasa diamalkan di negara kita.
9. Di dalam kitab yang sama, Ibn Rajab juga menyatakan bahawa solat malam Nisfu Sya’ban tidak ada dalilnya baik daripada Nabi s.a.w mahupun para sahabat. Tetapi, ia hanya tradisi peninggalan sebahagian tabi’in dari ulama fikah yang menetap di Syam.
Benarkah al-Qadr Berlaku Pada Malam Nisfu Sya’ban?
Al-Qadr bermaksud penetapan. Oleh itu, mereka yang beranggapan al-Qadr itu berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sebenarnya mereka mengandaikan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya akan ditentukan pada malam tersebut. Mereka menduga pada malam inilah diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara berhubung dengan kehidupan makhluk. Mereka berhujah dengan Firman ALLAH S.W.T:
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba KAMI tidak ditimpa azab). (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan yang bakal berlaku." – Surah al-Dukhan: 3-4.
Menurut tafsiran 'Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Sya’ban. Namun, pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih telah menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan malam yang diberkati itu adalah malam lailatulqadar.
Firman ALLAH S.W.T:
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr. Dan melalui cara apa engkau mampu mengetahui kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr lebih baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya sambil berkata:) Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." – Surah al-Qadr: 1-5.
Al-Hafiz Ibn Kathir r.h ketika mentafsirkan surah al-Dukhan, ayat 3-4, katanya:
"ALLAH berfirman menjelaskan tentang al-Quran al-Adzim bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam al-Qadr sebagaimana firman ALLAH di dalam surah al-Qadr:
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr." – Surah al-Qadr: 1.
Hal itu terjadi pada bulan Ramadan sebagaimana firman ALLAH S.W.T:
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, menjadi keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah.
Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) , dia hendaklah berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, (dia bolehlah berbuka kemudian dia wajib berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.
(Dengan ketetapan itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan dan DIA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Malah supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-NYA dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah: 185.
Apa yang dapat diambil pengajaran di sini ialah sesiapa yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan (dalam surah al-Dukhaan itu) adalah malam Nisfu Sya’ban seperti yang diriwayatkan daripada 'Ikrimah, bererti dia telah menjauhkan diri dari pengertian asalnya. Ini kerana, nas al-Quran menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang penuh berkat itu (lailatulqadar) adalah pada bulan Ramadan." – Rujuk Kitab Tafsir al-Quran al-‘Adzim karya al-Hafiz Ibn Kathir, jil. 4, ms. 137.
Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:
"Keyakinan bahawa malam Nisfu Sya’ban adalah malam al-Qadr adalah keyakinan yang salah. Demikian kesepakatan para ulama hadis sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Ketika menjelaskan Sunan al-Tirmizi, Ibn al-'Arabi mengatakan bahawa firman ALLAH di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran bermaksud diturunkan pada malam Nisfu Sya’ban adalah tidak benar kerana ALLAH tidak pernah menurunkan al-Quran pada bulan Sya’ban.
Tetapi, ayat itu harus difahami secara lengkapnya sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr di mana lailatulqadar itu hanya wujud pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan oleh ALLAH di dalam surah al-Baqarah, ayat 185: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya. Keyakinan al-Qadr berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sangat bertentangan dengan Kitabullah dan sangat jauh terpesong dari isi kadungannya.
Perlu kami ingatkan bahawa ALLAH sendiri telah menegaskan tentang malam itu di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan bermaksud pada malam al-Qadr dijelaskan segala hal kepada malaikat bukannya pada malam Nisfu Sya’ban." – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, ms. 156.
KESIMPULAN
Dari sini dapat kita simpulkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah menetap amalan-amalan tertentu khusus pada bulan Nisfu Sya’ban dan penetapan segala urusan manusia (al-Qadr) juga tidak berlaku pada malam Nishfu Sya’ban. Pada malam Nishfu Sy’aban, ALLAH hanya akan mengampun dosa-dosa mereka yang benar-benar mentauhidkan- NYA dan tidak memiliki sifat tercela seperti bergaduh dan sebagainya.
Oleh itu, kita hendaklah menanamkan kedua-dua sifat tersebut demi mendapatkan fadilat malam Nisfu Sya’ban, iaitu diampunkan dosa-dosanya oleh ALLAH. Program-program sempena Nisfu Sya’ban juga seharusnya menekankan isu-isu berkaitan perkara yang boleh mencemari tauhid. Sedangkan, hal ini semakin berleluasa dan menular bagaikan wabak dalam kehidupan umat Islam seperti mempercayai bomoh, memakai tangkal, berdoa di kubur seseorang yang dianggap keramat, menganggap tokoh-tokoh agama seakan-akan maksum sehingga pendapatnya wajib diikuti walaupun bercanggah dengan nas, mempercayai ahli nujum, menyakini ramalan horoscope, Feng Shui dan banyak lagi.
Kita hendaklah memperbanyakkan ceramah-ceramah agama yang dapat membersihkan jiwa dari sifat-sifat keji seperti bergaduh, dengki, iri hati, khianat, busuk hati, sombong dan lain-lain agar kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni. Walaupun saban tahun kita menyambut kedatangan Nisfu Sya’ban, namun pencemaran tauhid masih berleluasa di kalangan masyarakat kita dan perasaan saling dengki, fitnah memfitnah dan bertelingkah pendapat tetap menjadi sifat yang sinonim dengan bangsa Melayu.
1 ulasan:
Alhamdulillah.. Ilmu yg sangat berguna.. Terima kasih atas penjelasannya, saudara seislamku..
Catat Ulasan