Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, 9 Jun 2009

155 - Membaca Basmalah Ketika Hendak Berwudhu’

Membaca Basmalah Ketika Hendak Berwudhu’

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/


لاَوُضُوْءَ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ

“Tidak ada wudhu’ bagi orang yang tidak menyebut Nama Allah.”

Takhrij Hadis:

1 - Dari Riwayat Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu. Diriwayatkan oleh Ahmad, 2/418, Abu Daud, no. 101, al-Baihaqi, 1/43, Ibnu Majah, no. 399, al-Baghawi, no. 209, ad-Daruquthni, 1/79, al-Hakim, 1/146, dan selainnya, dari jalan Muhammad bin Musa al-Makhzumi, dari Ya’qub bin Salamah, dari bapanya, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dengan hadis tersebut.

Hadis ini di dalam sanadnya terdapat dua orang yang majhul (tidak dikenali). Tetapi hadis ini memiliki banyak syahid (penguat) di antaranya berdasarkan hadis dari Sahabat - Sa’id bin Za’id, ‘Aisyah, dan Sahl bin Sa’ad radhiyallahu ‘anhum.

Al-Hakim berkata: Sahih. Tetapi Imam adz-Dzahabi dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani tidak menyetujuinya. Keduanya mendhaifkannya disebabkan Ya’qub dan bapanya adalah rawi yang majhul. Begitu juga dengan al-Bukhari, beliau berkata di dalam at-Tarikh, 4/76, “Salamah tidak diketahui mendengar dari Abu Hurairah, dan Ya’qub tidak diketahui mendengar dari bapanya.”

Syaikh al-Albani menyatakan hadis ini (dari jalan Abu Hurairah) sebagai hasan. (Rujuk: Irwa’ul Ghalil, 1/160, no. 51)

2 - Hadis ini juga diriwayatkan oleh ad-Daruquthni, 1/71 dan al-Baihaqi, 1/44 dari jalan Mahmud bin Muhammad azh-Zhafari, Ayyub bin Najjar menyampaikan kepada kami, dari Yahya bin abu Katsir, dari Abu Salamah, dri Abu Hurairah dengan hadis tersebut. Sanad ini juga dhaif dengan dua ‘illat, iaitu Mahmud tidak kuat, Ayyub tidak mendengar hadis ini dari Yahya sebagaimana perkara itu banyak dinyatakan oleh ulama hadis.

3 – Dari riwayat Sa’id bin Zaid radhiyallahu ‘anhu. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, no. 15, Ahmad, 3/70, Ibnu Majah, 398, at-Tirmidzi, 1/37, no. 25 & 26, ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 373-377, ad-Daruquthni, 1/72, al-Hakim, 4/60, al-Baihaqi, 1/43: Dari jalan Abu Tsifat al-Murri, dari Rabah bin Abdurrahman dari neneknya dari bapak neneknya dengan hadis tersebut.

Imam al-Bukhari berkata: “Ini adalah hadis terbaik dalam persoalan ini.”

At-Tirmidzi berkata: “Hadis Sa’id bin Zaid merupakan hadis yang paling baik.” (Rujuk: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/184)

Hadis ini adalah dhaif dan hanya layak sebagai syahid (penguat) kerana Abu Tsifal dan Rabah adalah rawi yang diterima dengan mutaba’ah.

4 – Dari riwayat Abu Sa’id al-Khudri. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, no. 14, Ahmad, 3/41, Abd bin Humaid, no. 910, ad-Darimi, 1/116, Ibnu Majah, 397, ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 380, Ibnu Sunni, no. 26, Ibnu Adi, 3/1034, al-Hakim, 1/147, al-Baihaqi, 1/43 dengan beberapa jalan. Dari Katsir bin Zaid, dari Rubaih bin Abdurrahman bin Abu Sa’id, dari datuknya dengan hadis tersebut.

Ahmad berkata: “Ini adalah yang terbaik dalam masalah ini.”

Ishaq berkata: “Ini adalah yang tersahih dalam masalah ini.”

Dinyatakan di dalam az-Zawaid, “Hasan.” Namun, ia sebenarnya hasan dengan syahid-syahidnya kerana pada Katsir dan Rubaih terdapat kelemahan.

5 – Dari riwayat ‘Aisyah. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, no. 16, al-Bazzar, no. 159, Mukhtashar az-Zawaid (Abu Ya’la), no. 4687, ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 383-384, ad-Daruquthni, 1/72, dari jalan Haritsah bin Abur Rijal, dari Amrah, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, dari perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Haritsah adalah perawi yang sangat lemah. Disebabkannya, Ahmad pun menyatakan: Ini adalah hadis yang paling dhaif dalam masalah ini.”

6 – Dari riwayat Sahl bin Sa’ad. Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, no. 400, ath-Thabrani (al-Mu’jam al-Kabir), 6/121, no. 5699 dan ad-du’a, no. 382, al-Hakim, 1/269, al-Baihaqi, 2/379, dari jalan Ubay dan Abdul Muhaimin dua anak Abbas bin Sahl bin Sa’ad, dari bapa keduanya, dari datuk keduanya dengan hadis tersebut secara marfu’.

Ubay dan Abdul Muhaimin adalah dua rawi yang dhaif, dan hadis ini didhaifkan oleh adz-Dzahabi dan al-Bushiri.

Syaikh Salim ‘Ied al-Hilali berkata:

“Abdul Muhaimin bin ‘Abbas lemah, tetapi dia tidak sendirian dalam meriwayatkan hadis tersebut, ia didukung oleh saudaranya, Ubay bin ‘Abbas. Ubay bin ‘Abbas juga memiliki kelemahan, tetapi hadisnya mu’tabar (dapat digunakan) untuk penelitian dan sebagai syahid (penguat).” (Salim al-Hilali, Sahih dan Dhaif Kitab al-Adzkar, m/s. 113)

Kesimpulan:

Syaikh Amir bin Ali Yasin berkata:

“Tidak satu pun hadis dari jalan-jalan yang dijelaskan di atas selamat dari kelemahan. Hanya saja padanya tidak terdapat rawi yang tertuduh berdusta dan matruk, maka hadis seperti ini boleh menjadi kuat dengan mutaba’ah dan syawahidnya, jadi hadis di atas adalah sahih tanpa kebimbangan padanya. Para imam berikut cenderung menguatkannya, mereka adalah: Ibnu Abi Syaibah, al-Mundziri, Ibnu Sholah, Ibnul Qayyim, Ibnu Jama’ah, Ibnu Katsir, al-Bushiri, al-Haitsami, al-Iraqi, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Syaikh Ahmad Syakir, dan Syaikh al-Albani.” (Amir Ali Yasin, Tahiq ke atas al-Adzkar an-Nawawiyah, m/s. 114, Pustaka Sahifa)

Dan beliau berkata lagi:

“Ia memiliki dasar sunnah, hanya saja ia sangat lemah, tidak dianggap dan tidak disyari’atkan.”

Imam Ahmad bin Hanbal berkata:

“Aku tidak mengetahui satu hadis pun yang sahih dalam persoalan basmalah ketika berwudhu’.” (Abu Daud, Masa’ilul Imam Ahmad, m/s. 6)

Namun, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata sebagaimana yang dinukil oleh Ibnu Allan darinya di dalam al-Futuhat, 2/6:

“Tidak mengetahui tidak bererti sesuatu itu tidak ada. Kalau pun demikian maka penafian ketidak adaan yang sahih, jadi masih ada yang hasan, kalau pun demikian maka penafian ketiadaan dari setiap peribadi tidak mengharuskan penafian dari keseluruhan.”

Syaikh Salim ‘Ied al-Hilali berkata:

Berkenaan hadis-hadis tentang tasmiyah dalam wudhu’. Maknanya tidak terlepas dari perbincangan, pada semua hadis itu terdapat perkara yang menjadikannya kuat yang menunjukkan bahawa hadis-hadis itu memiliki dasar. Pendapat ini dipegang oleh para ulama pilihan dalam bidang ini sama ada para salaf mahu pun ulama-ulama sekarang. Al-Hafiz al-Mundziri rahimahullah menyatakan di dalam at-Targhib wat Tarhib, 1/164. Dalam masalah ini terdapat banyak hadis yang tidak terlepas dari perbincangan menurut al-Hasan, Ishaq Ibnu Rahawaih, azh-Zhahiriyah dan salah satu riwayat (pendapat) dari imam Ahmad, bahawa Tasmiyah (membaca basmalah) ketika berwudhu’ itu adalah wajib, sehingga jika sengaja ditinggalkan, maka harus mengulangi wudhu’mya. Tidak diragukan lagi, bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai tasmiyah ketika berwudhu’ walau pun semuanya tidak terlepas dari perbincangan, tetapi ia menjadi kuat dengan banyaknya jalan. Wallahu a’lam.

Al-Hafiz rahimahullah berkata di dalam Talkhishul Habir, 1/75: “Nampaknya semua hadis itu masing-masing saling mendukung satu dengan yang lainnya yang menunjukkan bahawa ia memiliki dasar.”

Al-‘Allamah Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata dalam al-Manaarul Muniif, no. 122: “Akan tetapi, hadis-hadis tersebut hasan.”

Di antara yang berpendapat akan kuatnya hadis tersebut adalah Ibnu Sayyid an-Nass, al-Hafiz al-‘Iraqi, asy-Syaukani, ash-Shan’ani, serta Syaikh kami ahli Hadis zaman ini, iaitu Syaikh al-Albani rahimahullah.” (Salim al-Hilali, Sahih dan Dhaif Kitab al-Adzkar, m/s. 113)

Fiqh Hadis:

Syaikh al-Albani berkata:

Jika mengakui hadis ini kuat, maka harus mengatakan dengan makna zahirnya, iaitu wajibnya membaca basmalah. Kerana tidak ada dalil yang membolehkan keluar dari makna zahir ini kepada pernyataan bahawa perintah ini hanyalah suatu anjuran (sunnah). Hukum wajib ini adalah pendapat mazhab Zhahiriyah, Ishaq, salah satu dari dua riwayat Ahmad, Siddiq Khan, dan asy-Syaukani. Itulah yang benar, insyaAllah. (al-Albani, Tamamul Minnah, m/s. 93, Pustaka Sumayyah)

Imam an-Nawawi menganggap ia sebagai suatu sunnah dan perlu dilakukan di awal wudhu’. Jika terlupa di awal wudhu’ hendaklah membacanya di pertengahan atau di akhir wudhu’.(Rujuk Radhatuth Thalibin dan al-Adzkar an-Nawawiyah)

Diriwayatkan dari Ahmad bahawa hukum membaca basmalah adalah wajib dalam setiap thaharah, sama ada wudhu’, mandi, mahu pun tayammum. Ini merupakan pendapat yang dipilih Abu Bakar serta merupakan mazhab Hasan dan Ishaq. (Rujuk: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/184)

At-Tirmidzi berkata:

“Hadis Sa’id bin Za’id merupakan hadis terbaik. Penyebutan kata benda nakirah (indefinite) dalam kalimat negatif pada hadis tersebut menunjukkan bahawa wudhu’ seseorang tidak akan sah tanpa membaca basmalah terlebih dahulu.” (Rujuk: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/184)

Ibnu Qudamah berkata:

Dalam persoalan ini, meninggalkannya secara sengaja, bererti thaharah (wudhu’) yang dilakukan seseorang tidak akan sah. Kerana ia telah meninggalkan sesuatu yang wajib dilakukan ketika bersuci. Ini sama seperti ketika seseorang meninggalkan niat. Tetapi jika seseorang meninggalkannya secara tidak sengaja atau kerana lupa, maka thaharah yang dilakukannya tetap sah.

Bagaimana melafazkan basmalah?

Ibnu Qudamah berkata:

“Membaca basmalah adalah dengan mengucapkan lafaz “Bismillah” (dengan menyebut nama Allah). Ia tidak dapat digantikan dengan lafaz lain, seperti halnya bacaan basmalah yang disyari’atkan sebelum melakukan penyembelihan, dan ketika hendak makan atau minum. Ia dilakukan setelah berniat, iaitu sebaik sahaja ingin bersuci.” (Rujuk: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/186-187)

Rujukan:

1 – Ibnu Qudamah, al-Mughni.

2 – an-Nawawi, Raudhatuth Thalibin.

3 – ash-Shan’ani, Subulus Salam.

4 – al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud

5 – al-Albani, Tamamul Minnah.

6 – al-Albani, Irwa’ul Ghalil.

7 – Amir bin Ali Yasin, Tahqiq al-Adzkar an-Nawawiyah.

8 – Salim ‘Ied al-Hilali, Shahih dan Dhaif Kitab al-Adzkar.