Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Khamis, 28 Ogos 2008

122 - Mengqadha’kan Puasa


1. Qadha Tidak Wajib Dilakukan Dengan Tergesa-gesa

“Aku punya hutang puasa Ramadhan dan tidak bisa meng-qadhanya kecuali di bulan Sya'ban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/166), Muslim (1146))

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari (4/191): “Dalam hadis ini menunjukkan bahawa bolehnya mengakhirkan (melewatkan) qadha’ Ramadhan secara mutlak, sama ada kerana uzur atau pun tidak.”

Sudah dikatahui dengan jelas bahawa bersegera dalam meng-qadha’ adalah lebih baik daripada mengakhirkannya (melewatkannya), kerana ia termasuk dalam keumuman dalil yang menunjukkan untuk bersegera dalam berbuat baik dan tidak mendunda-nunda, hal ini adalah berdasarkan ayat dalam al-Qur-an (maksudnya):

“Bersegeralah kalian utuk mendapatkan ampunan dari Rabb kalian.” (Ali Imran, 3: 133)

“Mereka itu bersegera untuk mendapatkan kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehinya.” (al-Mu'minun, 23: 61)

2. Tidak Wajib Berturut-Turut Dalam Mengqadha’

Berdasarkan firman Allah Subhanahu wa ta’ala:

“Maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain.” (al-Baqarah, 2: 185)

Dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Tidak mengapa untuk mengqadha’ puasa secara terpisah-pisah (tidak berturutan).” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari secara mu'allaq (4/189), dimaushulkan (disebutkan sanadnya) oleh Abdur Razak, ad-Daruquthni, Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih. Lihat juga kitab Taghliqut Ta'liq (3/186))

Abu Hurairah berkata, “Jika dia mahu dia boleh mengqadha’nya secara berseling-seling.” (Lihat: Irwa’ul Ghalil oleh al-Albani (4/95))

Adapun yang diriwayatkan al-Baihaqi (4/259) dan ad-Daruquthni (2/191-192) dari jalan Abdurrahman bin Ibrahim dari al-‘Ala bin Abdurrahman dari bapanya dari Abu Hurairah secara marfu’:

“Barangsiapa yang mempunyai hutang puasa Ramadhan, hendaklah di mengqadha’nya secara berturut-turut tidak boleh memisahnya.”

Ini adalah riwayat yang dhaif. Ad-Daruquthni berkata: Abdurrahman bin Ibrahin dhaif.

Al-Baihaqi berkata, “Dia (Abdurrahman bin Ibrahim) didhaifkan oleh Ibnu Ma'in, an-Nasa’i dan ad-Daruquthni.”

Ibnu Hajar menukilkan dalam Talkhisul Habir (2/206) dari Ibnu Abi Hatim bahawa beliau mengingkari hadis ini kerana Abdurrahman.

Syaikh al-Albani rahimahullah telah membuat penjelasan berkenaan dhaifnya hadis ini di dalam Irwa’ul Ghalil (943).

Adapun yang terdapat di dalam Silsilah hadis dhaif (2/137) yang mana beliau menghasankannya, dia telah memperbetulkan pendapat yangt tersebut.

Maka, secara kesimpulannya, tidak ada satu pun hadis yang marfu’ dan sahih yang menjelaskan keharusan memisahkan atau secara berturut-turut dalam mengqadha’, namun yang lebih mendekati kebenaran dan mudah (dan tidak memberatkan kaum muslimin) adalah dibolehkan kedua-duanya. Demikian pendapatnya Imam Ahlus Sunnah Ahmad bin Hanbal rahimahullah. Abu Dawud berkata dalam kitab Masail-nya (95), “Aku mendengar Imam Ahmad ditanya tentang qadha’ Ramadhan, beliau menjawab kalau mahu boleh dipisah, kalau mahu boleh juga berturut-turut.” Wallahu'alam.

Oleh kerana itu adalah dibolehkan memisahkan puasa dan dibolehkan juga secara berturut-turut tanpa menafikan bolehnya yang salah satunya.

3. Ulama Telah Sepakat Bahawa Barangsiapa yang Wafat dan mempunyai Hutang Solat, Maka walaupun Walinya (atau selainnya) tidak boleh mengqadha'kannya

Para ulama telah sepakat bahawa orang yang meninggal dunia sedangkan dia mempunyai tanggungan (hutang) beberapa solat wajib yang ditinggalkannya, maka walinya atau yang selainnya tidak dibebankan dengan kewajiban untuk mengqadha’nya. Demikianlah juga bagi orang yang tidak mampu berpuasa atau memiliki hutang puasa, maka dia tidak boleh sesiapa pun untuk mengqadha’kan puasanya. Namun, bagi mereka yang tidak mampu berpuasa kerana sakit atau uzur atau yang seumpamanya dia harus mengeluarkan makanan setiap harinya untuk seorang miskin, sebagaimana yang dilakukan Anas radhiyallahu ‘anhu berdasarkan satu atsar yang telah disebutkan sebagaimana sebelumnya.

Akan tetapi, sesiapa yang wafat dalam keadaan mempunyai hutang nazar puasa,maka walinya harus berpuasa untuknya. Ini adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,

“Barangsiapa yang wafat dan mempunyai hutang puasa nazar hendaklah walinya yang menggantikannya (membayarnya).” (al-Bukhari (4/168), Muslim (1147))

Dan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata, “Ada seseorang datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kemudian berkata, “Ya Rasulullah, sesungguhnya ibuku wafat dan dia mempunyai hutang puasa setahun, apakah aku harus membayarnya?” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam menjawab, “Ya, hutang kepada Allah lebih berhak untuk dibayar.” (Bukhari (4/169), Muslim (1148))

Hadis-hadis ini bersifat umum yang mana menegaskan bahawa disyariatkan seseorang wali untuk membayar puasa mayit (si mati) dengan segala jinis puasa (yang ditinggalkannya), demikian pendapat dalam sebahagian mazhab Syafi'i dan mazhabnya Ibnu Hazm (7/2 dan 8)

Tetapi hadis-hadis umum ini dikhususkan, seseorang wali tidak puasa untuk mayit (si mati) kecuali bagi puasa nazar, demikian pendapat Imam Ahmad sebagaimana yang terdapat di dalam Masail Imam Ahmad riwayat Abu Dawud (96) dia berkata, “Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata bahawa tidak boleh dibayarkan hutang puasa mayit (si mati) kecuali bagi puasa nazar.” Abu Dawud berkata, “Bagaimana dengan puasa Ramadhan?” Beliau (Imam Ahmad) menjawab, “Dibayar dengan memberi maka orang miskin.”

Inilah [endapat yang lebih tepat, melapangkan jiwa dan mendinginkan hati, dikuatkan pula oleh petunjuk dalil kerana berdasarkan keseluruhan hadis yang ada tanpa menolak satu hadis pun dengan pemahaman yang selamat khususnya hadis yg pertama. Di samping itu, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha tidak memahami hadis-hadis tersebut secara mutlak yang mencakup puasa Ramadhan dan selainnya, tetapi dia berpendapat untuk memberi makan (fidyah) sebagai pengganti bagi orang yang tidak mampu berpuasa Ramadhan, padahal beliau adalah perawi hadis tersebut, dengan dalil riwayat ‘Amarah bahawasanya ibunya wafat dan mempunyai hutang puasa Ramadhan kemudian dia berkata kepada ‘Aisyah, “Apakah aku harus mengqadha’ puasanya?” 'Aisyah menjawab, “Tidak, tetapi bersedekahlah untuknya, setiap harinya setengah gantang untuk setiap muslim.” (Diriwayatkan oleh ath-Thahawi di dalam Musykilal Atsar (3/142), Ibnu Hazm di dalam al-Muhalla (7/4). Dan ini adalah lafaz di dalam al-Muhalla dengan sanad yang sahih)

Sudah menjadi kesepakatan bahawa perawi hadis lebih tahu makna riwayat hadis yang ia riwayatkan. Yang berpendapat seperti ini pula adalah Hibrul Ummah (ulama dari umat ini) Ibnu Abbas radhiyallahu'anhum di mana beliau berkata, “Jika salah seorang dari kalian sakit di bulan Ramadhan kemudian wafat sebelum sempat puasa, dibayarkan fidyah dan tidak perlu qadha, sekiranya dia mempunyai hutang nazar hendaklah diqadha’ oleh walinya.” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan sanad yang sahih dan Ibnu Hazm di dalam al-Muhalla (7/7) serta beliau mensahihkan sanadnya)

Sebagaimana diketahui bahawa Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu adalah periwayat hadis kedua, lebih khusus lagi beliau adalah perawi hadis yang menegaskan bahawa wali berpuasa untuk mayit (si mati) bagi puasa nazar. Sa’ad bin Ubadah meminta fatwa kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Ibuku wafat dan beliau mempunyai hutang puasa nazar.” Baliau bersabda, “Qadha’lah untuknya.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim serta selain keduanya)

Penjelasan seperti ini adalah bersesuaian dengan kaedah ushul syari'at sebagaimana dijelaskan oleh Ibndul Qayyim di dalam I’lam al-Muwaqi’in dan dia menaambahkan lagi penjelasannya di dalam Tahdzibus Sunan Abi Dawud (3/279-282). Dipersilakan untuk membaca buku tersebut kerana perbahasannya sangat penting.

Barangsiapa meninggal dunia dengan meninggalkan hutang puasa nazar lalu hutang itu dibayarkan oleh beberapa orang dalam jumlah yang sesuai dengan hari yang ditinggalkan, maka perkara tersebut dibolehkan.

Al-Hasan berkata, “Sekiranya yang membayarkan (puasa tersebut) tiga puluh orang dengan setiap orang mewakili satu hari yang ditinggalkan, maka keadaan tersebut dibolehkan.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari (4/112) secara mu’allaq, dimaushulkan (disebutkan para perawinya) oleh ad-Daruquthni di dalam Kitabul Mudabbij. Syaikh al-Albani turut mensahihkan sanadnya di dalam Mukhtashar Shahih Bukhari (1/58))

Adalah juga diperbolehkan untuk memberi makan jika walinya mengumpulkan orang miskin bersesuaian dengan hutangnya, kemudian mengenyangkan mereka, demikian perbuatan Anas bin Malik radhiyallahu 'anhu.

121 - Sunnah-Sunnah Di Dalam Berbuka Puasa

Kandungan artikel ini telah dikemaskini dan dipindahkan ke website baru kami di link berikut, http://www.ilmusunnah.com/amalan-amalan-sunnah-di-saat-berbuka-puasa/

Maaf atas segala kesulitan.

Rabu, 27 Ogos 2008

120 - Perkara-Perkara yang membatalkan Puasa

Perkara-Perkara yang membatalkan Puasa

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Terdapat beberapa perbuatan yang wajib dijauhi oleh orang yang puasa, kerana sekiranya perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan pada siang hari di bulan Ramadhan, ianya akan membatalkan puasa dan mungkin akan menjadikan ia berdosa. Perkara-perkara tersebut adalah sebagaimana berikut:

1. Makan dan Minum Dengan Sengaja

Allah Subhabahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan makan serta minumlah sehingga terang bagimu benang putih dan benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga (datangnya) malam.” (al-Baqarah, 2: 187)

Dengan demikian, dapat difahami bahawa puasa itu adalah menahan diri dari makan dan minum. Ini kerana sekiranya orang berpuasa sengaja makan dan minum bererti ia telah berbuka (tidak berpuasa). Jika orang yang sedang berpuasa melakukannya atas sebab lupa, salah atau dipaksa, maka ianya tidak membatalkan puasanya. Perkara ini adalah berdasarkan dalil-dalil sebagaimana berikut:

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika seseorang itu terlupa sehingga dia makan dan minum, hendaklah dia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/135) dan Muslim (1155))

“Sesungguhnya Allah memberi maaf kepada umatku kerana salah atau lupa dan kerana dipaksa.” (Hadis Riwayat at-Thahawi di dalam Syarhu Ma’anil Atsar (2/56), al-Hakim (2/198) Ibnu Hazm di dalam al-Ihkam (5/149) ad-Daruquthni (4/171) melalui dua jalan dari al-Auza’i, dari ‘Atha’ bin Abi Rabah, dari Ubaid bin ‘Umair, dari Ibnu ‘Abbas)

2. Muntah Dengan Sengaja

Barangsiapa yang muntah kerana terpaksa atau tidak sengaja, maka tidak membatalkan puasanya. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa yang terpaksa muntah, maka tidak wajib baginya untuk meng-qadha puasanya, dan barangsiapa muntah dengan sengaja, maka wajib baginya mengqadhakan puasanya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud (3/310), at-Tirmidzi (3/79), Ibnu Majah (1/536) Ahmad (2/498) melalui jalan Hisyam bin Hassan, dari Muhammad bin Siren, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu. Sanadnya sahih, sebagaimana yang disampaikan oleh Syaikhul Islam di dalam kitab Haqiiqatush Shiyaam, m/s. 14))

3. Haidh dan Nifas

Jika seseorang wanita haidh atau nifas, pada suatu bahagian siang tertentu (di bulan Ramadhan), sama ada di awal atau pun di akhir waktu, maka mereka harus berbuka dan mengqadhakannya. Jika mereka tetap berpuasa, maka puasa tidaklah sah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Bukankah jika haid dia tidak solat dan puasa?” Kami katakan, “Ya.” Beliau berkata, “Demikianlah kekurangan agamanya.”

Dalam riwayat lain disebutkan:

“Beberapa malam dia diam tidak mengerjakan solat dan tidak juga berpuasa pada bulan Ramadhan. Jadi, inilah kekurangan agamanya.” (Hadis Riwayat Muslim (79) dan (80) dari Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)

Perintah mengqadhakan puasa juga terdapat di dalam riwayat Mu’adzah, dia berkata:

“Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah, “Mengapa orang haid mengqadha puasa tetapi tidak meng-qadha solat?” 'Aisyah berkata, “Apakah engkau wanita Haruri” (Haruri dinisbahkan kepada Harura’ (iaitu) negeri yang jaraknya 2 batu dari Kufah. Mereka yang memiliki sikap membantah dinisbahkan kepada kelompok tersebut (kelompok khawarij)) Aku menjawab, “Aku bukan Haruri, tetapi hanya (sekadar) bertanya.” ‘Aisyah berkata, “Kami pun haid ketika puasa, tetapi kami hanya diperintahkan untuk mengqadha puasa, tidak diperintahkan untuk mengqadha solat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/429) dan Muslim (335))

4. Suntikan Yang Mengandung Makanan

Iaitu menyalurkan zat makanan ke perut dengan maksud memberi makanan bagi orang yang sakit. Suntikan seperti ini membatalkan puasa, kerana memasukkan makanan kepada orang yang sedang berpuasa. Adapun jika suntikan tersebut tidak sampai kepada perut tetapi hanya ke darah, maka inipun juga membatalkan puasa, kerana kandungan cecair tersebut kedudukannya menggantikan kedudukan makanan dan minuman. Kebanyakan orang yang pengsan dalam jangka waktu yang lama diberikan makanan dengan cara seperti ini, seperti jauluz (glukosa) dan salayin (garam/Sodium), demikian pula zat-zat yang diberikan kepada sebahagian orang-orang yang sakit asma, maka inipun membatalkan puasa.

5. Jima’ (Bersetubuh)

Imam asy-Syaukani berkata (Dararil Mudhiyyah (2/22)): “Jima’ dengan sengaja, tidak ada ikhtilaf (perbezaan pendapat) padanya bahawa perkara tersebut membatalkan puasa, adapun jika jima’ tersebut terjadi kerana lupa, maka sebagian ulama menganggapnya sama dengan orang yang makan dan minum dengan tidak sengaja.”

Ibnul Qayyim berkata (Zaadul Ma'ad (2/66)), “al-Qur-an menunjukkan bahawa jima’ membatalkan puasa sebagaimana halnya makan dan minum, tidak ada perbezaan pendapat dalam perkara ini.”

Dalilnya adalah firman Allah:

“Sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untuk kalian.” (al-Baqarah, 2: 187)

Diizinkan bergaul (dengan isterinya) di malam hari, maka dapat kita fahami bahawa puasa itu dari makan, minum dan jima'. Barangsiapa yang membatalkan puasanya dengan jima’, maka dia harus mengqadhanya dan membayar kafarat. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, (dia berkata):

“Pernah datang seseorang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kemudian berkata, “Ya Rasulullah, binasalah aku!” Rasulullah bertanya, “Apakah yang membuatmu binasa?” Orang itu menjawab, “Aku menjima’i isteriku di bulan Ramadhan.” Rasulullah bersabda, “Apakah kamu mampu memerdekakan seorang budak?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Apakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Duduklah.” Dia pun duduk. Kemudian ada yang mengirimkan (membawakan) satu wadah kurma kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Rasulullah bersabda, “Bersedekahlah dengan kurma ini.” Orang itu berkata “Tidak ada di antara dua kampung ini keluarga yang lebih miskin dari kami.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam pun tertawa hingga terlihat gigi serinya, lalu beliau bersabda, “Ambillah, berilah makan kepada keluargamu.” (Hadis sahih dengan berbagai lafadz yang berbeza dari al-Bukhari (11/516), Muslim (1111), at-Tirmidzi (724), al-Baghawi (6/288), Abu Dawud (2390) ad-Darimi (2/11), Ibnu majah (1671) Ibnu Abi Syaibah (2/183-184) Ibnu Khuzaimah (3/216) Ibnul Jarud (139) asy-Syafi’i (299) Malik (1/297) dan Abdur Razzaq (4/196). Sebahagian mereka memursalkannya dan sebahagian yang lainnya menyambungkannya. Lihat juga di dalam Fathul Bari oleh al-Hafiz Ibnu Hajar (11/516))

Selasa, 26 Ogos 2008

119 - Tidak Mengapa Dilakukan Oleh Mereka Yang berpuasa

Tidak Mengapa Dilakukan Oleh Mereka Yang berpuasa

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Seseorang hamba yang taat dan memahami al-Qur'an dan as-Sunnah tidak akan ragu bahawa Allah mengkehendaki kemudahan bagi hambanya dan tidak menginginkan kesulitan. Allah dan Rasul-Nya telah membolehkan beberapa hal bagi orang yang berpuasa, dan tidak menganggapnya sebagai suatu kesalahan jika beberapa perkara tersebut dilakukan. Berikut adalah beberapa contoh perbuatan tersebut beserta dalil-dalilnya:

1. Seorang yang berpuasa dibolehkan memasuki waktu subuh dalam keadaan masih berjunub

Di antara perbuatan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam ketika telah masuk fajar (waktu subuh) adalah masih berada dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudiannya beliau mandi di dalam waktu subuh dan melaksanakan solat.

Dari Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu 'anhuma (yang ertinya): “Nabi Shalallahu 'alaihi wa Sallam memasuki waktu subuh dalam keadaan junub kerana jima' dengan isterinya, kemudian ia mandi dan berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/123), Muslim (1109))

2. Seorang yang berpuasa boleh bersiwak (memberus gigi)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Kalaulah tidak memberatkan umatku niscaya aku suruh mereka untuk bersiwak setiap kali wudhu”. (Hadis Riwayat Bukhori (2/311), Muslim (252))

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam tidak mengkhususkan orang yang berpuasa ataupun yang lainnya, ini sebagai dalil bahawa siwak bagi orang yang berpuasa dan selainnya ketika setiap kali berwudhu’ dan solat. (Inilah pendapat al-Bukhari rahimahullah, demikian pula Ibnu Khuzaimah dan selain keduanya. Lihat Fathul Bari (4/158), Shahih Ibnu khuzaimah (3/247), Syarhus Sunnah (6/298))

Begitulah juga berkenaan siwak ini, ianya bersifat umum untuk dilaksanakan seluruh waktu sama ada sebelum zawal (tergelincir matahari) atau setelahnya. Wallahu a'lam.

3. Berkumur-kumur dan memasukan air ke hidung

Perkara ini adalah berdasarkan perbuatan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam berkumur-kumur dan beristinsyaq di ketika dalam keadaan berpuasa, tetapi melarang orang yang berpuasa berlebih-lebihan ketika istinsyaq (memasukan air ke hidung) Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “…..bersungguh-sungguhlah dalam beristinsyaq kecuali dalam keadaan puasa.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3/146), Abu Daud (2/308), Ahmad (4/32), Ibnu Abi Syaibah (3/101), Ibnu majah (407), an-Nasa’i (no. 87) dari Laqith bin Shabrah radhiyallahu ‘anhu. Sanadnya sahih)

4. Bercumbu dan mencium isteri dalam keadaan berpuasa

Aisyah radhiallahu ‘anha pernah berkata: “Rasulullah pernah mencium dan bercumbuber dalam keadaan berpuasa, akan tetapi beliau adalah orang yang paling kuat menahan diri (nafsu).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/131), Muslim (1106))

Dalam soal ini, golongan muda dimakruhkan berbuat demikian berbanding yang telah tua.

Abdullah bin Amr bin ‘Ash berkata: “Kami pernah berada di sisi Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam, datanglah seorang pemuda lalu berkata: “Ya Rasulallah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa? Beliau menjawab: “Tidak”, datang pula seorang yang sudah tua lalu dia berkata: “Ya Rasulullah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa?” Beliau menjawab: “Ya”. Sebahagian dari kami pun saling memandang di antara satu dengan yang lain. Maka Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Sesungguhnya orang tua boleh menahan dirinya”.” (Hadis Riwayat Ahmad (2/185, 221))

5. Mengeluarkan darah dan melakukan suntikan yang tidak mengandungi makanan

Semua ini bukanlah termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan puasa.

6. Berbekam

Pada awalnya, berbekam adalah merupakan salah satu pembatal puasa, namun kemudiannya ia dimansuhkan. Terdapat hadis sahih yang jelas dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bahawa beliau berbekam ketika berpuasa. Ini adalah berdasarkan satu riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma: “Bahawasanya Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam pernah berbekam dalam keadaan sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/155 – Fathul Bari), lihat “Nasikhul hadis wa Mansukhuhu” (334-338) karya Ibnu Syahin)

7. Merasai makanan

Merasai makan adalah dibolehkan dengan syarat selagi mana tidak sampai memasuki tenggorokan (tekak dan salur makanan). Ini adalah berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma: “Tidak mengapa merasai cuka atau sesuatu yang lainnya dalam keadaaan sedang berpuasa selagi mana tidak sampai ke tenggorokan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari secara muallaq (4/154 – Fathul Bari), dimaushulkan (disambungkan/disebutkan sanadnya) oleh Ibnu Abi Syaibah (3/47), al-Baihaqi (4/261) melalui dua jalan. Hadis ini hasan, lihat “Taqliqut Taqliq” (3/151-152))

8. Bercelak dan menitiskan ubat mata dan lainnya yang masuk seumpama

Semua perkara tersebut tidaklah termasuk ke dalam perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, sama ada rasanya dapat dirasai sehingga ke tenggorokan atau tidak, inilah yang dikuatkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah di dalam risalahnya yang bermanfaat “Haqiqatus Shiyam” serta muridnya Ibnul Qoyyim di dalam kitabnya “Zaadul Ma’ad”. Imam al-Bukhari berkata di dalam kitab “Shahihnya”, Anas bin Malik, Hasan al-Bashri dan Ibrahim an-Nakhai memandang tidak mengapa bagi yang berpuasa.”

9. Menyiramkan air dingin ke atas kepalanya dan mandi

Imam al-Bukhari menyatakan di dalam kitab Shahihnya “Bab Mandinya Orang Yang Berpuasa” bahawa, “Ibnu Umar pernah membasahi (membasahi dengan air, untuk mendinginkan badannya kerana haus ketika puasa) bajunya kemudian dia memakainya ketika dalam keadaan berpuasa.” Asy-Sya’bi juga pernah memasuki ke bilik mandi dalam keadaan sedang berpuasa. Al-Hasan berkata: “Tidak mengapa berkumur-kumur dan mendinginkan badan dalam keadaan sedang berpuasa.”

Dalam suatu riwayat disebutkan,

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam pernah menyiramkan air ke kepalanya dalam keadaan sedang berpuasa kerana dahaga atau kepanasan yang mengeringkan.” (Hadis Riwayat Abu Dawud (2365), Ahmad (5/376, 380, 408, 430). Sanadnya sahih)

118 - Kemudahan Dan Keringanan Ketika Berpuasa

Kemudahan Dan Keringanan Ketika Berpuasa

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

1. Bagi Mereka Yang Bermusafir

Terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan bahawa dibolehkan bagi para musafir untuk memilih tidak berpuasa. Malah perlu kita ketahui bahawa rahmat Allah dan keringan ini turut disebutkan di dalam kitab yang mulia. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: (yang ertinya): “Barangsiapa yang sakit atau dalam keadaan bermusafir maka gantilah (puasanya) pada hari yang lain sebanyak jumlah yang ditinggalkannya itu. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu sekalian dan tidak menginginkan kesulitan.” (al-Baqarah, 2: 185)

Hamzah bin Amr al-Aslami pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam: “Adakah boleh aku berpuasa ketika dalam safar?” (dia adalah termasuk dalam kalangan yang banyak mengerjakan ibadah puasa) Maka Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Puasalah jika kamu mahu dan berbukalah jika mahu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/156), Muslim (1121))

Dari Anas bin Malik radhiallahu 'Anhu berkata: “Aku pernah melakukan safar bersama Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam di bulan Ramaadhan, orang yang berpuasa tidak mencela yang berbuka dan yang berbuka tidak mencela yang puasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/163), Muslim (1118))

Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa bolehnya memilih, tidak menentukan mana yang afdhal, namun mungkin kita akan menyatakan juga bahawa yang afdhal adalah berbuka dengan berdaarkan hadis-hadis yang umum. Ini adalah seperti sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam (yang ertinya): “Sesungguhnya Allah senang jika rukhsah yang Ia berikan diambil sebagaimana Dia membenci kemaksiatan yang dilakukan kepada-Nya.” (Hadis Riwayat Ahmad (2/108), Ibnu Hibban (2742) dari Ibnu Umar dengan sanad yang sahih)

Dalam satu riwayat yang lain: “Sebagaimana Dia senang ketentuan hukum-Nya dilaksanakan.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban (354), al-Bazzar (990), ath-Thabrani di dalam al-Kabir (11881) dari Ibnu Abbas dengan sanad yang sahih)

Tetapi mungkin hal ini dibatasi bagi orang yang tidak merasa berat dalam mengqadha dan menunaikannya, agar rukhshah tersebut tidak bertentangan dari maksudnya. Perkara ini telah dijelaskan sejelasnya tanpa keraguan. Dalam satu riwayat dari Abu Said al-Khudri Radhiallahu ‘anhu: “Para sahabat berpendapat bahawa barangsiapa yang merasa kuat (untuk berpuasa) maka lebih baik baginya untuk berpuasa, manakala bagi yang merasa lemah, berbuka adalah lebih baik.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (713), al-Baghawi (1763) dari Abu Said. Sanadnya sahih)

Mudah-mudahan Allah membimbing kita semua ke jalan petunjuk dan ketaqwaan serta memberikan rezeki berupa pemahaman dalam agama. Sesungguhnya puasa dalam safar jika memberatkan hamba bukanlah suatu kebajikan sedikitpun, tetapi berbuka lebih utama dan lebih disenangi Allah. Dalil yang menjelaskan persoalan ini adalah riwayat dari beberapa orang sahabat, bahawa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam pernah bersabda (yang ertinya): “Bukanlah suatu kebajikan melakukan puasa dalam safar.” (Haids Riwayat al-Bukhari (4/161), Muslim (1110) dari Jabir radhiyallahu ‘anhu)

Peringatan

Terdapat sebahagian orang yang menyangka dan menganggap bahawa pada zaman kita sekarang tidak diperbolehkan berbuka ketika di dalam musafir, hingga mencela orang yang mengambil rukhsah tersebut, atau berpendapat puasa itu lebih baik kerana mudah dan banyaknya sarana pengangkutan pada ketika (zaman) ini. Sebenarnya orang-orang seperti ini perlu kita “usik” ingatan mereka kepada firman Allah Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata (yang ertinya): “Rabmu tidak pernah lupa.” (Maryam, 19: 64)

Dan firman-Nya (yang ertinya): “Allah telah mengetahui sedangkan kalian tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah, 2: 232)

Dan perkataan-Nya di tengah ayat tentang rukhshah berbuka dalam safar (yang ertinya): “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menginginkan kesulitan.” (al-Baqarah, 2: 185)

Di sini menjelaskan bahawa kemudahan (keringanan) bagi orang yang safar adalah sememangnya perkara yang dikehendaki oleh Allah. Dan ini juga sebenarnya termasuk salah satu tujuan syariat, cukup bagimu bahawa Dzat yang mensyariatkan agama ini adalah pencipta zaman, tempat dan manusia. Dia lebih mengetahui keperluan manusia dan segala yang menjadi maslahah bagi mereka. Allah berfirman (yang ertinya): “Apakah Allah Yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu zahirkan atau rahsiakan); dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui?” (al-Mulk, 67: 14)

Di sini diperjelaskan supaya agar seseorang muslim tahu jika Allah dan Rasul-Nya sudah menetapkan suatu perkara, tidak ada pilihan lain bagi manusia bahkan Allah memuji hamba-hamba-Nya yang mu’min yang tidak mendahulukan perkataaan manusia di atas perkataan Allah dan Rasul-Nya:

“Wahai Rabb! Kami mendengar dan taat, ampunilah kami, wahai Rabb kepada-Mu-lah kami kembali.” (al-Baqarah, 2: 285)

2. Orang yang Sakit

Allah membolehkan orang yang sakit untuk berbuka sebagai suatu rahmat dari-Nya sekligus merupakan kemudahan (rukhsah) bagi orang yang sakit. Sakit yang membolehkan seseorang individu itu untuk berbuka adalah sakit yang bila dibawa berpuasa akan menyebabkan satu mudharat atau semakin parah penyakitnya atau dikhuwatirkan memperlambat kesembuhan.

“Barangsiapa yang sakit atau dalam keadaan bermusafir maka gantilah (puasanya) pada hari yang lain sebanyak jumlah yang ditinggalkannya itu. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu sekalian dan tidak menginginkan kesulitan.” (al-Baqarah, 2: 185)

Wallahu A'lam.

3. Haid dan Nifas

Para ulama telah sepakat bahawa orang yang haid dan nifas tidak dihalalkan berpuasa, keduanya harus berbuka dan mengqadha-nya di lain hari. Malah sekiranya keduanya berpuasa ia tidaklah sah.

“Apabila yang demikian itu (haid) menimpa kami, maka kami disuruh (oleh Rasulullah) mengqadha puasa namun tidak disuruh untuk mengqadha solat.” (Hadis Muslim, 335 (Kitab al-Haid))

4. Orang yang sudah tua (uzur/lemah)

Ibnu Abbas Radhiallahu 'Anhuma berkata: “Orang yang telah tua sama ada lelaki mahupun perempuan yang tidak mampu untuk berpuasa haruslah dia memberi makan setiap hari (mengikut jumlah puasa yang ditinggalkannya) seorang miskin.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4505). Lihat Syarhus Sunnah (6/316), Fathul Bari (8/180), Nail al-Authar (4/315))

Diriwayatkan dari ad-Daruquthni (2/207) dan disahihkannya, melalui jalan Manshur, dari Mujahid, dari Ibnu Abbas, dia membaca: (yang ertinya): “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) supaya membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin.” (al-Baqarah, 2:184)

Kemudian beliau berkata: “Iaitu lelaki tua yang tidak mampu berpuasa dan kemudian berbuka, dia harus memberi makan seorang miskin setiap harinya ½ sha’ gandum.

Dari Abu Hurairah Radhiallahu 'Anhu: “Barangsiapa yang mencapai usia lanjut dan tidak mampu melaksanakan puasa di bulan Ramadhan, dia harus mengeluarkan setiap harinya (mengikut jumlah hari puasa yang ditinggalkannya) 1 mud gandum.” (Hadis Riwayat ad-Daruquthni (2/208) dalam sanadnya ada Abdullah bin Shalih, dia dhaif, tapi hadis ini mempunyai syahid (penguat))

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu: “Bahawasanya dia pernah tidak mampu untuk berpuasa selama satu tahun, kemudian beliau membuat satu wadah Tsarid, dan mengundang 30 orang miskin sehingga menjadikan mereka kenyang.” (Hadis Riwayat ad-Daruquthni (2/207), sanadnya sahih)

5. Wanita yang hamil dan menyusukan anak

Di antara rahmat Allah yang agung kepada hamba-hamba-Nya yang lemah, Allah memberi rukhshah kepada mereka untuk berbuka, dan di antara mereka adalah wanita yang hamil dan menyusukan anak.

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu (iaitu al-Ka’bi, bukan Anas bin Malik al-Anshari, pembantu Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam, tapi ini adalah seorang pemuda dari Bani Abdillah bin Ka'ab, dan dia pernah tinggal di Bashrah, beliau hanya meriwayatkan hadis ini sahaja dari Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam): “Kuda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam mendatangi kami, aku pun mendatangi Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam, dan aku temui dia sedang makan. Beliau bersabda: “Mendekatlah ke sini dan makanlah”, Aku berkata, “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”, Maka beliau bersabda, “Mendekatlah ke sini, aku akan membeitahumu berkenaan dengan puasa. Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta'ala menggugurkan (meringankan) setengah hari beban solat ke atas orang yang bermusafir, menggugurkan (memberi rukhsah) ke atas wanita yang hamil dan menyusukan anak akan kewajiban berpuasa. Demi Allah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam telah mengucapkan keduanya atau salah satu dari keduanya. Aku pun benar-benar menyesal kerana tidak memakan makanan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (715), an-Nasa’i (4/180), Abu Dawud (3408), Ibnu Majah (16687). Sanadnya hasan sebagimana pernyataan at-Tirmidzi)

Isnin, 25 Ogos 2008

117 - PERKARA-PERAKA YANG WAJIB DIJAUHI OLEH ORANG YANG BERPUASA

PERKARA-PERAKA YANG WAJIB DIJAUHI OLEH ORANG YANG BERPUASA

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Sama-samalah kita untuk mentaati Rabb Jalla Sya'nuhu dengan sedaya upaya. Maka, dengan itu perlulah kita memahami bahawa yang dinamakan orang yang berpuasa adalah mereka yang berusaha bersungguh-sunguh dalam menjaga seluruh anggota badannya dari dosa, dan menjaga lisannya dari perkataan dusta, kotor, dan keji, menahan perutnya dari makan dan minum, dan memelihara kemaluannya dari perbuatan yang keji. Jika berbicara dia berbicara dengan perkataan yang tidak merosakan puasanya, hingga menjadilah perkataannya dan perbuatannya itu hanya yang baik-baik dan amalannya adlaah amalan-amalan yang soleh.

Inilah ciri-ciri puasa yang disyari'atkan oleh Allah dan bukanlah hanya sekadar tidak makan dan minum serta tidak menunaikan syahwat. Puasa adalah dengan berpuasanya anggota badan dari dosa, puasanya perut dari makan dan minum, sebagaimana halnya makan dan minum merosak puasa, demikian pula perbuatan dosa berupaya merosakkan pahalanya, merosak buah puasa sehingga menjadikan dia seperti orang yang tidak berpuasa.

Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam telah menganjurkan seorang muslim yang puasa untuk behias dengan akhlak yang mulia dan soleh, menjauhi perbuatan keji, hina dan kasar. Perkara-perkara yang buruk ini walaupun seorang muslim diperintahkan untuk menjauhinya setiap hari, namun larangannya lebih ditekankan lagi ketika sedang menunaikan puasa yang wajib.

Seseorang muslim yang berpuasa, dia wajib menjauhi amalan yang boleh merosakkan puasanya tersebut, sehingga bermanfaatlah puasanya dan tercapailah ketaqwaan yang Allah sebutkan (yang ertinya): “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian.” (Surah al-Baqarah, 2: 183). Kerana puasa adalah pengantar kepada ketaqwaan, puasa menahan jiwa dari banyak perbuatan maksiat, berdasarkan sabda Rasulullah Shalallahu 'Alaihi wasallam (yang ertinya): “Puasa adalah perisai”, dan perkara ini telah pun dijelaskan dalam bab keutamaan berpuasa.

Beginilah adanya di mana amalan-amalan buruk yang harus kita sama-sama ketahui agar mampu kita menjauhinya dan tidak terjatuh ke dalamnya. Bagi Allah lah untaian syair:

“Aku mengenal kejahatan bukan untuk berbuat jahat,
Tapi untuk menjauhinya...

Dan barangsiapa yang tidak tahu membezakan kebaikan dari keburukkan,
Maka akan terjatuhlah ke dalamnya...”

1. Perkataan palsu (Qauluz Zuur)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Barangsiapa yang tidak meninggalkan qauluz zuur (perkataan dusta) dan pengamalkannya, Allah tidak memerlukan orang tersebut untuk meninggalkan makanan dan minumannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/99))

2. Berkata/berbuat sia-sia dan kotor

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Puasa bukanlah dari makan dan minum (semata), tetapi puasa itu menahan diri dari perkataan-perkataan yang tidak bermanfaat dan perkataan-perkataan yang kotor. Oleh kerana itu, jika ada orang yang mencelamu, katakanlah: “Aku sedang berpuasa, sesungguhnya aku sedang berpuasa”.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah (1996), al-Hakim (1/430-431). Sanadnya sahih)

Oleh kerana itu, Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam mengancam dengan ancaman yang keras kepada orang-orang yang melakukan sifat-sifat tercela ini.

Beliau pernah bersabda (yang ertinya): “Ramai orang yang berpuasa, namun hanya mendapatkan lapar dan dahaga (dari puasanya).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah (1/539), ad-Darimi (2/221), ). Ahmad (2/441, 373), al-Baihaqi (4/270) dari jalan Said al-Maqbari dari Abu Hurairah. Sanadnya sahih)

Dan antara punca terjadinya perkara sedemikian adalah kerana ramai di antara mereka yang berpuasa gagal memahami hakikat berpuasa yang sebenar, sehingga Allah memberikan keputusan atas perbuatan tersebut dengan tidak memberikan pahala kepadanya. (Lihat: Kitab Riyadhush Shalihin (1215)).

Oleh sebab itulah Ahlul Ilmi dari generasi salafus soleh membezakan di antara larangan untuk makna yang dikhususkan pada ibadah sehingga membatalkannya dengan larangan yang tidak dikhususkan pada ibadah sehingga tidak membatalkannya. (Rujuk: Jami' al-‘Ulum wa al-Hikam (hal. 58) oleh Ibnu Rajab al-Hanbali)

116 - DIWAJIBKAN BERNIAT PUASA RAMADHAN SEBELUM TERBIT FAJAR

DIWAJIBKAN BERNIAT PUASA RAMADHAN SEBELUM TERBIT FAJAR

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Jika telah jelas masuknya bulan Ramadhan dengan penglihatan mata atau persaksian atau dengan menyempurnakan bulan Sya'ban menjadi tiga puluh hari, maka wajib ke atas setiap muslim yang mukallaf untuk berniat puasa di malam harinya, berdasarkan sabda Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam (yang ertinya): “Barangsiapa yang tidak berniat sebelum fajar untuk berpuasa, maka tidak ada puasa baginya”. (Hadis Riwayat Abu Daud (2454), Ibnu Majah (1933), al-Baihaqi (4/202))

Dan Sabdanya (yang ertinya): “Barangsiapa yang tidak berniat puasa pada malam harinya maka tidak ada puasa baginya”. (Hadis Riwayat an-Nasa'i (4/196), al-Baihqi (4/202), Ibnu Hazm (6/162), dari jalan Abdur Razaq dari Ibnu Juraij dari Ibnu Syihab. Sanadnya sahih sekiranya tiada 'an 'Anah Ibnu Juraij, akan tetapi sahih dengan riwayat sebelumnya)

Niat itu tempatnya di hati, melafazkannya dan ditambah dengan susunkata atau barisan perkataan yang tertentu adalah bid'ah yang sesat walaupun ada sebahagian manusia yang menganggapnya sebagai baik. Kewajiban untuk berniat bermula di waktu malam adalah merupakan suatu yang khusus bagi puasa wajib (Ramadhan), kerana Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam pernah datang kepada ‘Aisyah di dalam selain bulan Ramadhan dan beliau berkata: “Apakah engkau punyai santapan siang? Kalau tidak ada, maka aku berpuasa”. (Hadis Riwayat Muslim (1154))

Perkara yang sama juga dilakukan oleh para sahabat: Abu Darda', Abu Thalhah, Abu Hurairah, Ibnu Abbas, Hudzaifah bin al-Yaman radhiallahu ‘anhum.

Ini berlaku di dalam ketika puasa sunnah. Manakala hadis menunjukan wajibnya niat di malam hari sebelum terbit fajar bagi tujuan puasa wajib.

Namun, apabila dia terlupa untuk berniat. Dia tetap perlu meneruskan puasanya dan berhenti dari segala perkara yang boleh membatalkan puasanya. Ini adalah berdasarkan beberapa hadis yang tsabit.

Wallahu Ta'ala A'lam.

Ahad, 24 Ogos 2008

115 - ANCAMAN BAGI ORANG YANG MEMBATALKAN PUASA RAMADHAN DENGAN SENGAJA

ANCAMAN BAGI ORANG YANG MEMBATALKAN PUASA RAMADHAN DENGAN SENGAJA

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Dari Abi Umamah al-Bahili Radhiallahu 'anhu Aku pernah mendengar Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Ketika aku tidur, datanglah dua orang lelaki kemudian memegang dua lenganku, membawaku kesatu gunung yang kasar (tidak rata), keduanya berkata: “Naik”. Aku katakan: “Aku tidak mampu, keduanya berkata: “Kami akan memudahkanmu,” Akupun naik sehingga ketika aku sampai ke puncak gunung. Ketika itulah aku mendengar suara yang keras. Akupun bertanya: “Suara apakah ini? Mereka berkata: “Ini adalah teriakan penghuni neraka”. Kemudian keduanya membawaku, ketika aku melihat orang-orang yang digantung dengan kaki di atas, mulut mereka rosak/robek, darah mengalir dari mulut mereka. Aku bertanya: “Siapakah mereka?” Keduanya menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang berbuka sebelum halal puasa mereka.” (Hadis Riwayat an-Nasa'i di dalam “Al-Kubra” sebagaimana dalam “tuhfatul Asyraf” (4/166) dan Ibnu Hibban (no. 1800 di dalam zawahidnya) dan al-Hakim (1/430) dari jalan Abdur Rahman bin Yazid bin Jabir, dari Salim bin Amir, dari Abu Umamah. Sanadnya sahih)

114 - SAHUR UNTUK BERPUASA

Kandungan artikel ini telah dikemaskini dan dipindahkan ke website baru kami di link berikut, http://www.ilmusunnah.com/126-sahur-itu-penuh-barakah/

Maaf atas segala kesulitan.

113 - WAKTU UNTUK BERPUASA


Pada awalnya para sahabat Nabiyul ummi Muhammad Shalallahu 'alaihi wasallam jika berpuasa dan hadir di dalam waktu berbuka, mereka akan makan dan minum serta menjima’i isterinya selama belum tidur. Namun jika seseorang di antara mereka tidur sebelum menyantap makan malamnya (berbuka) dia tidak boleh melakukan sedikitpun perkara-perkara di atas, kemudian Allah dengan keluasan rahmat-Nya, memberikan rukhshah sehingga orang yang tertidur disamakan hukumnya dengan orang yang tidak tidur, hal ini diterangkan dengan jelas melalui hadis berikut:

Dari al-Barraa' bin Ajib radhiallahu 'anhu berkata: “Dahulu sahabat Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam jika salah seorang di antara mereka berpuasa dan tiba waktu berbuka, tetapi tertidur sebelum berbuka, tidak diperbolehkan makan malam dan siangnya hingga malam lagi. Sungguh Qais bin Shirmah al-Anshary pernah berpuasa, ketika tiba waktu berbuka beliau mendatangi isterinya kemudian berkata: “Apakah engkau memiliki makanan?” Istrinya menjawab: “Tidak”. Namun aku akan pergi mencarinya untukmu, dia bekerja pada hari itu hingga mengantuk dan tertidur. Ketika isterinya kembali dan melihatnya, isterinya pun berkata: “Khaibah (diharamkan) untukmu ketika pertengahan hari”. Dia pun terbangun, kemudian menceritakan perkara tersebut kepada Nabi hingga turunlah ayat ini yang ertinya:

“Dihalalkan bagimu pada malam hari bulan Ramadhan bercampur (berjima’) dengan isteri-isterimu.” (Surah al-Baqarah, 2: 187)

Mereka sangat gembira dan turun pula: (yang ertinya) “Dan makan dan minumlah sehingga terang kepadamu benang putih dari benang hitam dari fajar.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/911))

Inilah rahmat rabbani yang dicurahkan oleh Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya yang berkata: “Kami mendengar dan taat wahai Rabb kami, ampunilah dosa kami, kepada-Mu lah kami kembali” yakni dengan memberikan batasan waktu puasa: batasan yang dimulai dari terbitnya fajar sehingga hilangnya siang dengan datangnya malam, dengan kata lain hilangnya bundaran matahari di ufuk.

1. Benang Putih dan benang Hitam

Ketika turun ayat tersebut sebahagian sahabat Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam sengaja mengambil Iqol hitam dan putih (tali yang digunakan untuk mengikat Unta “Mashabih”) kemudian mereka letakkannya di bawah bantal-bantal mereka, atau mereka ikatkan di kaki mereka. Dan mereka terus makan dan minum hingga jelas dalam melihat keduanya iqol/bebenang tersebut (membezakan di antara yang putih dari yang hitam)

Dari Adi bin Hatim radhiallahu 'anhu berkata: “Ketika turun ayat: “Jelas bagi kalian benang putih dari benang hitam”.”

Aku mengambil iqol hitam digabungkan dengan iqol putih, aku letakkan di bawah bantalku, kalau malam aku terus melihatnya hingga jelas bagiku, pagi harinya aku pergi menemui Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam dan kuceritakan padanya perbuatanku tersebut. Beliaupun berkata: “Maksud ayat tersebut adalah hitamnya malam dan putihnya siang”. (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/133), Muslim (1090))

Dari Sahl bin Sa'ad radhiallahu 'anhu berkata, ketika turun ayat: “Makan dan minumlah hingga jelas bagi kalian benag putih dari benang hitam.”

Ada seorang lelaki jika ingin puasa, mengikatkan benang hitam dan putih di kakinya, dia terus makan dan minum hingga jelas melihat kedua benang tersebut. Kemudian Allah turunkan ayat: “Kerana terbitnya fajar”, mereka akhirnya tahu yang dimaksudkan adalah hitam (gelapnya) malam dan terang (putihnya) siang”. (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/114) dan Muslim (1091))

Setelah melalui penjelasan tersebut, sungguh telah dijelaskan oleh Rasul Shalallahu 'alaihi wasallam kepada sahabatnya batasan untuk membezakan serta sifat-sifat tertentu, hingga tidak ada lagi ruang untuk ragu atau tidak mengetahuinya.

Bagi Allah-lah mutiara penyair: Tidak benar sedikitpun dalam akal jikalau siang memerlukan bukti.

2. Ada Dua Fajar

Di antara hukum yang dijelaskan oleh Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam dengan penjelasan yang jelas, bahawasanya fajar itu ada dua:

1. Fajar Yang Kadzib, iaitu tidak dibolehkan ketika itu solat subuh, dan belum diharamkan bagi yang berpuasa untuk makan dan minum.

2. Fajar Shadiq, iaitu yang mengharamkan makan bagi yang berpuasa, dan sudah dibolehkan untuk melaksanakan solat subuh.

Dari Ibnu Abbas radhallahu 'anhuma: Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya): “Fajar itu ada dua: Yang pertama tidak mengharamkan makan (bagi yang puasa), tidak halal solat (subuh) ketika itu, yang kedua: mengharamkan makan dan telah dibolehkan solat ketika terbit fajar tersebut.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah (3/210), al-Hakim (1/191 dan 495), al-Daruquthni (2/165), al-Baihaqi (4/261) dari jalan Sufyan dari Ibnu Juraij dari Atha' dari Ibnu Abbas. Sanadnya sahih)

Perlu untuk difahami di sini bahawa:

1. Fajar kadzib adalah warna putih yang memancar panjang yang menjulang seperti ekor binatang gembalaan.

2. Fajar shadiq adalah warna yang memerah yg bersinar dan tampak di atas puncak di bukit dan gunung-gunung, dan tersebar di jalanan dan di jalan raya serta di atap-atap rumah, fajar inilah yang berkaitan dengan hukum-hukum puasa dan solat.

Dari Samurah radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya): “Janganlah kalian tertipu oleh azannya Bilal dan jangan pula tertipu oleh warna putih yang memancar ke atas melintang.” (Hadis Riwayat Muslim (1094))

Dari Thalq bin Ali: Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya): “Makan dan minumlah, jangan kalian tertipu oleh fajar yang memancar ke atas, makan dan minumlah sehingga warna merah membentang.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3/76), Abu Daud (2/304), Ahmad (4/66), Ibnu Khuzaimah (3/211) dari jalan Abdullah bin Nu'man dari Qais bin Thalaq dari bapaknya, Sanadnya sahih)

Bahawasanya sifat-sifat fajar shadiq adalah yang bertepatan dengan ayat yang mulia: “Hingga jelas bagi kalian benang putih dari benang hitam kerana fajar.”

Kerana cahaya fajar jika membentang di ufuk di atas lembah dan gunung-gunung akan tampak seperti benang putih, dan akan tampak di atasnya benang hitam yakni sisa-sisa kegelapan malam yang pergi menghilang.

Jika telah jelas situasi tersebut kepada kita, maka berhentilah dari makan, minum dan berjima', sekiranya di tangan kita masih ada gelas berisi air atau minuman, minumlah dengan tenang. Kerana itu merupakan rukhshah (keringanan) yang besar dari Dzat Yang Paling Pengasih kepada hamba-hamba-Nya yang berpuasa, minumlah walaupun engkau telah mendengar azan:

Raslullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya): “Jika salah seorang kalian mendengar azan padahal gelas ada di tangannya, janganlah ia segera meletakkannya hingga memenuhi hajatnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud (235), Ibnu Jarir (3115), al-Hakim (1/426), al-Baihaqi (2/218), Ahmad (3/423), dari jalan Hamad dari Muhammad bin Amr dari Abi Salamah dari Abu Hurairah. Sanadnya hasan)

Yang dimaksudkan sebagai azan di dalam hadis di atas adalah azan subuh yang kedua kerana telah terbitnya fajar shadiq dengan dalil tambahan riwayat, yang diriwayatkan oleh Ahmad (2/510), Ibnu Jarir ath-Thabari (2/102) dan selain keduanya setelah hadis di atas.

“Dahulu seorang muadzin melakukan azan ketika terbit fajar.”

Yang mendukung makna seperti ini adalah riwayat Abu Umamah radhiallahu 'anhu: “Telah dikumandangkan iqomah solat di mana ketika itu di tangan Umar masih ada gelas, dia berkata: “Boleh aku meminumnya ya Rasulullah? Rasulullah bersabda: Ya minumlah.” (Hadis Riwayat Ibnu Jarir (2/102) dari dua jalan dari Abu Umamah)

Jelaslah bahawa menghentikan makan sebelum terbit fajar shadiq dengan dalih Ihtiyath (hati-hati) adalah perbuatan bid'ah yang diada-adakan.

Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata di dalam Fathul Bari (4/199): “Termasuk perbuatan bid'ah yang mungkar adalah yang diada-adakan pada zaman ini, iaitu mengumandangkan azan kedua sepertiga jam sebelum waktunya di bulan Ramadhan, serta memadamkan lampu-lampu yang dijadikan sebagai tanda telah haramnya makan dan minum bagi orang yang mahu berpuasa, mereka menganggap perbuatan ini dalam rangka ihtiyath (langkah berhati-hati) dalam ibadah, tidak ada yang mengetahuinya kecuali beberapa bilangan manusia saja, hal ini telah menyeret mereka sehingga melakukan azan ketika telah terbenam matahari beberapa peringkat, untuk meyakinkan telah masuknya waktu (menurut sangkaan mereka) mereka mengakhirkan (melambatkan) berbuka dan menyegerakan sahur, sehingga menyelisihi sunnah, oleh kerana itu sedikit pada mereka kebaikan dan keburukan pun banyak tersebar pada mereka, Allahul Musta'an.

Kami katakan: Bid'ah ini, yakni menghentikan makan (imsak) sebelum fajar dan mengakhirkan (melewatkan) waktu berbuka, tetap ada dan terus berlangsung di zaman ini, kepada Allahlah kita mengadu.

3. Kemudian menyempurnakan Puasa hingga malam

Jika telah datang malam dari arah timur, menghilangnya siang dari barat dan matahari telah terbenam berbukalah orang yang berpuasa.

Dari Umar radhiallahu 'anhu berkata Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya): “Jika malam datang dari sini, siang menghilang dari sini, dan apabila terbenam matahari telah berbukalah orang yang puasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/171), Muslim (1100))

Perkataanya: “Telah berbukalah orang yang puasa” yakni dari sisi hukum bukan kenyataan, kerana telah masuk waktu puasa.

Perkara ini berlaku setelah terbenamnya matahari, walaupun sinarnya masih ada (kelihatan). Ia termasuk di dalam petunjuk Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam. Jika beliau berpuasa, beliau menyuruh seseorang untuk naik ke suatu ketinggian, jika orang berkata: “Matahari telah terbenam”, beliau pun berbuka. (Hadis Riwayat al-Hakim (1/434), Ibnu Khuzaimah (2061) disahihkan oleh al-Hakim menurut syarat al-Bukhari & Muslim. Perkataan aufa, yakni naik atau melihat)

Sebahagian orang menyangka malam itu tidak terwujud langsung setelah terbenamnya matahari, tapi masuknya malam setelah kegelapan menyebar di timur dan di barat. Sangkaan seperti ini pernah terjadi kepada sahabat Rasulullah, kemudian mereka diberi pemahaman bahawa cukup dengan adanya awal gelap dari timur setelah hilangnya bundaran matahari.

Dari Abdullah bin Abi Aufa radhiallahu 'anhu: “Kami pernah bersama Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam dalam satu safar ketika itu kami berpuasa (di bulan Ramadhan) ketika terbenam matahari Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada sebahagian kaum: “Wahai fulan, (dalam riwayat Abu Daud: “Wahai bilal) berdiri ambilkan kami air”. “Wahai Rasulullah kalau engkau tunggu sore (dalam riwayat: “kalau engkau tunggu hingga sore, dalam riwayat lain: Matahari) Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Turun ambilkan air, Bilal pun turun, kemudian Nabi minum. Beliau bersabda: “Kalau kalian melihatnya niscaya akan kalian lihat dari atas unta, yakni: Matahari, kemudian beliau melemparkan (dalam riwayat: berisyarat dengan tangannya). (Dalam riwayat al-Bukhari & Muslim: berisyarat dengan telunjuknya ke arah kiblat) kemudian berkata: “Jika kalian melihat malam telah datang dari sini maka telah berbuka orang yang puasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/199), Muslim (1101), Ahmad (4/381), Abu Daud (2352))

Telah ada riwayat yang menegaskan bahawa para sahabat Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam mengikuti perkataannya, dan perbuatan mereka sesuai dengan perkataan Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam, Abu Said al-Khudri berbuka ketika tenggelam (hilangnya) bundaran matahari. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan Mu'allaq (4/196)).

Sesuatu yang wajib difahami bahawa,

Hukum-hukum puasa yang diterangkan di atas adalah berkaitan dengan pandangan mata manusia, tidak boleh bertakalluf atau berlebih-lebihan dengan mengintai hilal dan mengawasi dengan alat-alat (teknologi) perbintangan (astrologi) yang baru, atau berpegangan dengan ramalan ahli nujum yang menyelewengkan kaum muslimin dari sunnah Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam, sehingga menjadikan sebab sedikitnya kebaikan pada mereka, wallahu a'lam.

Seterusnya,

Di sebahagian negeri umat Islam, para muadzin menggunakan jadual-jadual (takwim) waktu solat yang telah berlalu lebih dari beberapa tahun... sehinggakan mereka mengakhirkan (melewatkan) berbuka puasa dan menyegerakan sahur, akhirnya mereka menentang petunjuk Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam yang mengerakan berbuka dan melewatkan bersahur.

Di negeri-negeri seperti ini ada sekelompok orang yang bersemangat di dalam mengamalkan sunnah dengan berbuka berpedoman pada matahari dan sahur berpedoman kepada fajar. Jika terbenam matahari mereka berbuka, jika terbit fajar shadiq (sebagaimana yang telah dijelaskan) mereka menghentikan makan dan minum, inilah perbuatan syar’i yang sahih yang tidak diragukan lagi, barangsiapa yang menyangka mereka menyelisihi sunnah, telah berprasangka salah, tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah. Jelaslah, bahawa ibadah puasa berkaitan dengan matahari dan fajar, jika ada orang yang menyelisihi kaedah ini, maka sebenarnya mereka telah salah. Azan adalah pemberitahuan masuknya waktu, dan tetap mengamalkan segala dasar dan prinsip yang diajarkan oleh Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam sebagai petunjuk dan pegangan.

112 - DIWAJIBKAN BERNIAT PUASA RAMADHAN SEBELUM TERBIT FAJAR

DIWAJIBKAN BERNIAT PUASA RAMADHAN SEBELUM TERBIT FAJAR

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Jika telah jelas masuknya bulan Ramadhan dengan penglihatan mata atau persaksian atau dengan menyempurnakan bulan Sya'ban menjadi tiga puluh hari, maka wajib ke atas setiap muslim yang mukallaf untuk berniat puasa di malam harinya, berdasarkan sabda Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam (yang ertinya): “Barangsiapa yang tidak berniat sebelum fajar untuk berpuasa, maka tidak ada puasa baginya”. (Hadis Riwayat Abu Daud (2454), Ibnu Majah (1933), al-Baihaqi (4/202))

Dan Sabdanya (yang ertinya): “Barangsiapa yang tidak berniat puasa pada malam harinya maka tidak ada puasa baginya”. (Hadis Riwayat an-Nasa'i (4/196), al-Baihqi (4/202), Ibnu Hazm (6/162), dari jalan Abdur Razaq dari Ibnu Juraij dari Ibnu Syihab. Sanadnya sahih sekiranya tiada 'an 'Anah Ibnu Juraij, akan tetapi sahih dengan riwayat sebelumnya)

Niat itu tempatnya di hati, melafazkannya dan ditambah dengan susunkata atau barisan perkataan yang tertentu adalah bid'ah yang sesat walaupun ada sebahagian manusia yang menganggapnya sebagai baik. Kewajiban untuk berniat bermula di waktu malam adalah merupakan suatu yang khusus bagi puasa wajib (Ramadhan), kerana Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam pernah datang kepada ‘Aisyah di dalam selain bulan Ramadhan dan beliau berkata: “Apakah engkau punyai santapan siang? Kalau tidak ada, maka aku berpuasa”. (Hadis Riwayat Muslim (1154))

Perkara yang sama juga dilakukan oleh para sahabat: Abu Darda', Abu Thalhah, Abu Hurairah, Ibnu Abbas, Hudzaifah bin al-Yaman radhiallahu ‘anhum.

Ini berlaku di dalam ketika puasa sunnah. Manakala hadis menunjukan wajibnya niat di malam hari sebelum terbit fajar bagi tujuan puasa wajib. Wallahu Ta'ala A'lam.

Rabu, 20 Ogos 2008

111 - DI SAAT MENJELANGNYA BULAN RAMADHAN

DI SAAT MENJELANGNYA BULAN RAMADHAN

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

1. Menghitung hari bulan Sya'ban

Umat Islam seharusnya mengambil langkah menghitung bulan Sya'ban sebagai persiapan untuk menuju Ramadhan, kerana sebagaimana yang kita ketahui bahawa satu bulan itu adakalanya dua puluh sembilan hari dan terkadang tiga puluh hari. Kita hendaklah berpuasa ketika melihat hilal (anak bulan) bulan Ramadhan, jika terhalang awan, maka hendak diperkirakan menyempurnakan bulan Sya'ban menjadi tiga puluh hari, kerana Allah pencipta langit dan bumi menjadikan tempat-tempat tertentu agar manusia mengetahui jumlah tahun dan hisab, satu bulan tidak akan lebih dari tiga puluh hari.

Dari Abi Hurairah Radhiyallahu 'anhu berkata: Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Puasalah kalian kerana melihat hilal (anak bulan), dan berbukalah kerana melihat melihat hilal, jika kalian terhalang oleh awan, sempurnakanlah bulan Sya'ban tiga puluh hari.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/106) dan Muslim (1081))

Dari Abdullah bin Umar radhiallahu 'anhuma Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya):

“Janganlah kalian puasa hingga melihat hilal, jangan pula kalian berbuka hingga melihatnya, jika kalian terhalang oleh awan, hitunglah bulan Sya'ban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/102) dan Muslim (1080))

Dari Adi bin hatim radhiallahu 'anhu berkata: Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Jika datang bulan Ramadhan puasalah tiga puluh hari, kecuali jika kalian melihat hilal sebelum hari ketiga puluh.” (Hadis Riwayat at-Thahawi dalam “Musykilul Atsar” (no. 501), Ahmad (4/377), at-Thabrani dalam “al-kabir” (17/171))

2. Barangsiapa yang berpuasa di hari yang diragukan bererti telah derhaka kepada Abul Qosim Shalallahu 'alaihi wasallam

Oleh kerana itu, seorang muslim tidak seharusnya mendahului bulan puasa, dengan melakukan puasa satu atau dua hari sebelumnya dengan alasan ihtiath (hati-hati) kecuali kalau bertepatan dengan puasa sunnah yang biasa ia lakukan.

Dari Abi Huarairah radhiallahu 'anhu Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

“Janganlah kalian mendahului Ramadhan dengan melakukan puasa satu atau dua hari sebelumnya kecuali seseorang telah rutin berpuasa maka berpuasalah.” (Hadis Riwayat Muslim (573, Mukhtashar dengan mu'laqnya)).

Shilah bin Zufar dari Ammar membawakan perkataan Amar bin Yasar:

“Barangsiapa yang berpuasa pada hari yang diragukan bererti telah derhaka kepada Abal Qosim Shalallahu 'alaihi wasallam.” (Dibawakan oleh al-Bukhari (4/119))

3. Jika ada seorang yang melihat hilal hendaknya seluruh kaum muslimin berpuasa atau berbuka

Melihat hilal akan diperkirakan sekiranya ada dua orang saksi yang adil, berdasarkan sabda Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam:

“Puasalah kalian kerana melihat hilal, berbukalah kerana melihatnya, berhajilah kerana melihatnya, jika kalian tertutup dengan mendung, sempurnakanlah tiga puluh hari, jika ada dua saksi, berpuasalah kalian dan berbukalah.” (Hadis Riwayat an-nasa'I (4/133), Ahmad (4/321), ad-Daruquthni (2/167) dan dari jalan Husain bin al-Harits al-Jadali dari Abdur Rahman bin Zaid bin al-Khaththab dari para sahabat Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam, sanadnya hasan, lafadz di atas dalam riwayat an-Nasa'i, Ahmad menambahkan: “dua orang muslim”)

Tidak diragukan lagi bahawa diterimanya persaksian dua orang dalam satu kejadian tidak menunjukkan persaksian seorang diri itu ditolak, oleh kerana itu persaksian seorang saksi dalam melihat hilal tetap diperkirakan (sebagai dasar untuk mulai berpuasa), dalam satu riwayat yang sahih dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma berkata:

“Manusia mencari-cari hilal, maka aku khabarkan kepada Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam bahawa aku melihatnya, Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam pun menyuruh manusia berpuasa.” (Hadis Riwayat Abu Daud (2342), Ad-Darimi (2/4), Ibnu Hibban (871), al-hakim (1/423), al-Baihaqi (4/212) dari dua jalan dari Yahya bin Abdullah bin Salim dari Abu Bakar bin Nafi' dari bapanya dari Ibnu Umar. Sanadnya hasan sebagaimana dikatakan Ibnu Hajar al-Atsqalani dalam “At-Talkhisul habir” (2/187))

110 - FADHILAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

FADHILAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

1. Pengampunan Dosa

Dari Abi Hurairah radhiallahu 'anhu dari Nabi Shalallahu 'alaihi wasalam bersabda (yang erti nya): “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan ihtisab maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/99), Muslim (759))

Maksud “Penuh iman dan Ihtisab” di sini adalah membenarkan wajibnya puasa, mengharapkan pahalanya, hatinya senang dalam mengamalkan, tidak membencinya, dan tidak merasa berat dalam mengamalkannya.

Dari Abi Hurairah radhiallahu 'anhu juga Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasalam pernah bersabda (yang ertinya):

“Solat yang lima waktu, Juma'at ke Juma'at, Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa yang terjadi di antara senggang waktu tersebut jika menjauhi dosa besar”. (Hadis Riwayat Muslim (233))

Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu juga, bahawa Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa salam pernah naik mimbar kemudian berkata: “Amin, Amin, Amin”, ditanyakan kepadanya:”Ya Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasalam: Engkau naik mimbar kemudian mengucapkan: Amin, Amin, Amin? Beliau bersabda:

“Sesungguhnya Jibril ‘alaihissalam datang kepadaku, dia berkata: “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya maka akan masuk neraka dan akan Allah jauhkan dia, katakan: “Amin”, maka akupun mengucapkan : Amin……”.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah (3/192), Ahmad (2/246 dan 254) dan al-Baihaqi (4/204) dari jalan Abu Hurairah. Hadis ini sahih, asalnya terdapat dalam “Sahih Muslim” (4/1978))

2. Dikabulkannya do'a dan pembebasan dari api neraka

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasalam bersabda (yang ertinya): “Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan Ramadhan, dan semua orang muslim yang berdo'a akan dikabulkan do'anya.” (Hadis Riwayat al-Bazzar (3142), Ahmad (2/254) dari jalan A'mas, dari Abu Shalih dari Jabir, diriwayatkan oleh Ibnu Majah (1643) darinya dengan ringkas dari jalan lain, hadits sahih. Do'a yang dikabulkan itu adalah ketika berbuka - lihat “Misbahuh Azzujajah” (no. 604) karya al-Bushiri)

3. Orang yang berpuasa termasuk shidiqin dan syuhada

Dari Amr bin Murrah al-Juhani Radhiallahu 'anhu berkata: Datang seorang lelaki kepada Nabi Shalallahu 'alaihi wasalam kemudian berkata: “Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang hak untuk diibadahi kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah Shalallahualaihi wasalam, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku melaksanakan puasa Ramadhan dan solat tarawih di malam harinya, termasuk orang yang manakah aku? Beliau menjawab: “Termasuk dari shidiqin dan syuhada”. (Hadis Riwayat Ibnu Hibban (no. 11 di dalam Zawaidnya) sanadnya sahih)

109 - KEUTAMAAN IBADAH PUASA

KEUTAMAAN IBADAH PUASA

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Banyak sekali ayat yang tegas dan muhkam (Qath'i) dalam kitabullah yang mulia, memberikan anjuran untuk berpuasa sebagai sarana untuk berlaku Taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Azza wa Jalla dan menjelaskan keutamaan-keutamaannya, antaranya adalah sebagaimana firman Allah Ta'ala berikut (yang ertinya):

“Sesungguhnya kaum muslimin dan muslimat, kaum mukminin dan mukminat, kaum lelaki yang patuh dan kaum wanita yang patuh, dan kaum lelaki serta wanita yang benar (imannya) dan kaum lelaki serta wanita yang sabar (ketaatannya), dan kaum lelaki serta wanita yang khusyu', dan kaum lelaki serta wanita yang bersedekah, dan kaum lelaki serta wanita yang berpuasa, dan kaum lelaki dan wanita yang menjaga kehormatannya (syahwat berahinya), dan kaum lelaki serta kaum wanita yang banyak mengingat Allah. Allah menyediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab, 33: 35)

Dan firman Allah yang ertinya:

“Dan berpuasa itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”. (Surah al-Baqarah, 2: 184)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam telah menjelaskan dalam hadis yang sahih bahawa puasa adalah benteng dari syahwat, perisai dari neraka, Allah Tabaraka wa Ta'ala telah mengkhususkan satu pintu syurga untuk orang yang berpuasa, puasa berupaya memutuskan jiwa dari syahwatnya, menahannya dari kebiasaan-kebiasaan yang buruk, hingga menjadilah jiwa yang tenang. Inilah pahala yang besar, keutamaan yang agung, dijelaskan secara terperinci melalui hadis-hadis sahih berikut ini, dijelaskan dengan penjelasan yang sempurna.

1. Puasa adalah perisai (pelindung)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam memerintahkan orang yang kuat syahwatnya dan belum mampu untuk menikah agar berpuasa, menjadikannya sebagai pemutus kepada syahwat yang menguasai diri. Ini adalah kerana antaranya puasa mampu menahan kuatnya anggota badan, menenangkan atau merehatkan seluruh anggota badan, serta seluruh kekuatan (yang buruk) ditahan sehingga ia menjadi lebih taat dan dikawal dengan belenggu puasa. Melalui kesan-kesan tersebut kita dapat memahami bahawa puasa memiliki pengaruh yang menakjubkan di dalam menjaga anggota badan yang dzahir dan kekuatan yang batin.

Oleh kerana itu Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya):

“Wahai sekalian para pemuda, barang siapa di antara kalian telah mampu menikah, hendaklah dia menikah, kerana menikah lebih menundukkan pandangan, dan lebih menjaga kehormatan. Barang siapa yang belum mampu menikah, hendaklah berpuasa kerana berpuasa merupakan pemutus syahwat baginya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/106) dan Muslim (no. 1400) dari Ibnu Mas'ud)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam telah memperjelaskan kepada kita bahawa syurga diliputi dengan perkara-perkara yang tidak disenangi, dan neraka diliputi dengan syahwat.

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya):

“Tidaklah ada seorang hamba yang puasa di jalan Allah kecuali akan Allah jauhkan dia (kerana puasanya) dari neraka sejauh tujuh puluh musim.” (Hadis Riwayat al-Bukhori (6/35), Muslim (1153) dari Abu Sa'id al-Khudri, ini adalah lafadh Muslim. Sabda Rasulullah Sholallahu 'alaihi wasalam, “70 musim” adalah “perjalanan 70 tahun”, demikian yang disebutkan di dalam “Fathul Bari” (6/48))

“Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka”. (Hadis Riwayat Ahmad (3/241), (3/296) dari Jabir, Ahmad (4/22) dari Utsman bin Abil 'Ash. Ini adalah hadis yang sahih)

“Barang siapa yang berpuasa sehari di jalan Allah maka di antara dia dan neraka ada parit yang luasnya seperti antara langit dengan bumi”. (Dikeluarkan oleh at-Tirmidzi (no. 1624) dari hadis Abi Umamah)

Sebahagian para ulama telah memahami bahawa hadis-hadis tersebut merupakan penjelasan berkenaan keutamaan puasa ketika jihad dan berperang di jalan Allah, namun dzahir hadis-hadis tersebut mencakupi semua jenis puasa yang jika dilakukan dengan ikhlas kerana mengharapkan wajah Allah Ta'ala, bertepatan dengan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam.

2. Puasa mampu memasukkan seorang hamba ke dalam syurga

Kita telah mengetahui dan memahami bahawa dengan berpuasa ia mampu menjauhkan kita dari neraka. Maka, apabila ia menjauhkan kita dari neraka, ini sekaligus membawa kita mendekatkan diri kepada syurga.

Dari Abi Umamah radhiallahu 'anhu:

“Aku berkata: “Ya Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam, tunjukkan padaku amalan yang boleh memasukkanku ke syurga; beliau menjawab: “Atasmu puasa, tidak ada (amalan) yang semisal dengan itu.” (Hadis Riwayat Nasa'I (4/165), Ibnu Hibban (hal. 232 Mawarid), al-Hakim (1/421) sanadnya sahih)

3. Orang yang berpuasa diberi pahala yang tidak terhitung

4. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan

5. Bau mulutnya orang yang puasa lebih wangi dari bau misk (kasturi)

Dari Abi Hurairah radhiallahu 'anhu: Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Semua amalan bani Adam untuknya kecuali puasa (pahalanya tidak terbatas), kerana puasa itu untuk Aku dan Aku akan membalasnya, puasa adalah perisai, jika salah seorang kalian sedang berpuasa janganlah memperkatakan perkataan-perkataan yang keji dan berteriak-teriak, jika ada orang yang mencercanya atau memeranginya, ucapkankanlah: “Aku orang yang sedang berpuasa (ucapan dengan lisan), demi Dzat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada bau minyak misk (kasturi), orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan, (iaitu) jika berbuka dia gembira, jika bertemu dengan Rabbnya dia gembira kerana puasa yang dia lakukan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/88), Muslim (no. 1151) ini lafadz al-Bukhari)

Dalam riwayat al-Bukhari:

“Meninggalkan makan, minum, dan syahwatnya kerana Aku, puasa itu untuk-Ku, dan Aku yang akan membalasnya. kebaikan dibalas dengan sepuluh kali lipat.”

Dalam riwayat Muslim:

“Semua amalan Ibnu Adam (anak Adam) dilipat-gandakan, kebaikan dibalas dengan sepuluh kali, sehingga tujuh ratus kali lipat, Allah Ta'ala berfirman:

“...Kecuali puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya, dan meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku, bagi orang yang puasa ada dua kegembiraan: (iaitu) gembira ketika berbuka, dan gembira bertemu dengan Rabbnya, dan bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi dari bau misk (kasturi).”

6. Puasa dan Al-Qur'an akan memberikan syafaat kepada ahlinya

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya):

“Puasa dan al-Qur’an akan memberikan syafaat kepada hamba di hari kiamat, puasa akan berkata: “Wahai Rabbku, aku menghalanginya dari makan dan syahwat, berilah dia syafaat keranaku, al-Qur'an pun berkata: “Aku telah menghalanginya dari tidur di malam hari, berilah dia syafaat. Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Maka keduanya memberi syafaat.” (Diriwayatkan oleh Ahmad (no.6626), Hakim (1/554), Abu Nu'aim (8/161) dari jalan Huyyay bin Abdullah, dari Abdurrahman al-Hubuli, dari Abdullah bin Amr. Dan sanadnya Hasan)

7. Puasa sebagai kafarat

Di antara keistimewaan puasa, yang tidak ada dalam amalan lain adalah; Allah menjadikannya sebagai kafarat bagi orang yang memotong rambut kepalanya (ketika Haji) kerana ada udzur sakit atau penyakit di kepalanya, dan kafarat bagi yg tidak mampu untuk membeli korban, kafarat bagi pembunuh orang kafir yang memiliki perjanjian kerana tidak sengaja, juga sebagai kafarat bagi yang membatalkan sumpah, atau yang membunuh binatang buruan di tanah haram, dan sebagai kafarat dzihar. Ianya dijelaskan melalui dalil-dalil yang berikut:

Allah Ta'ala berfirman (yang ertinya):

“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan ‘umrah kerana Allah. Jika kamu terkepung (terhalang oleh musuh atau kerana sakit), maka (sembelihlah) korban yang mudah diperolehi, dan jangan kamu mencukur kepalamu, sebelum korban sampai di tempat penyembelihannya. Jika ada di antaramu yang sakit atau ada gangguan di kepalanya (lalu ia bercukur), maka wajiblah atasnya berfidyah, iaitu: berpuasa atau bersedekah atau berkorban. Apabila kamu telah (merasa) aman, maka bagi siapa yang ingin mengerjakan 'umrah sebelum haji (di dalam bulan haji), (wajiblah ia menyembelih) korban yang mudah diperolehi. Tetapi jika ia tidak menemukan (binatang korban atau tidak mampu), maka wajib berpuasa tiga hari di dalam masa haji dan tujuh hari (lagi) apabila kamu telah pulang kembali. Itulah sepuluh (hari) yang sempurna. Demikian itu (kewajiban membayar fidyah) bagi orang-orang yang keluarganya tidak berada (di sekitar) Masjidil Haram (orang-orang yang bukan penduduk kota Mekah). Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah sangat keras siksaan-Nya.” (Surah al-Baqarah, 2: 196)

Allah Ta'ala juga berfirman yang ertinya:

“Jika ia (si terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka dengan kamu, maka (hendaklah si pembunuh) membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang beriman. Barangsiapa yang tidak memperolehinya, maka hendaklah ia (si pembunuh) berpuasa dua bulan berturut-turut untuk penerimaan taubat dari pada Allah. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (Surah an-Nisaa', 4: 92)

Allah Ta'ala berfirman yang ertinya:

“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya)” (Surah al-Maidah, 5: 89)

Allah Ta'ala berfirman yang ertinya:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu membunuh binatang buruan ketika kamu sedang ihram. Barang siapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka wajiblah atasnya denda, iaitu mengganti dengan binatang ternak yang seperti binatang yang dibunuhnya yang ditetapkan oleh dua orang yang adil (penduduk Makkah) atau kafaratnya memberi makanan kepada orang-orang miskin, atau berpuasa seimbang dengan makanan yang dikeluarkan itu supaya merasakan akibat perbuatannya barang siapa yang mengulangi lagi mengerjakannya, maka Allah akan menyiksanya, Allah Maha Perkasa lagi mempunyai hak siksa.” (Surah al-Maidah, 5: 95)

Allah Ta'ala berfirman yang ertinya:

“Orang-orang yang mendzihar isterinya, kemudian ingin kembali kepada apa yang mereka katakan, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum keduanya bercampur (bersetubuh). Demikian itu dijadikan nasihat kepadamu untuk mengerjakannya, dan Allah sentiasa mengetahui rahsia apa yang kamu kerjakan maka barang siapa yang tidak memperolehi budak (kerana tidak kuat mengadakannya, atau memang tidak ada), maka ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bersentuhan maka barang siapa yang tiada berkuasa untuk puasa, hendaklah memberi makan enam puluh orang miskin (keringanan) yang demikian itu agar kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan itulah hukum-hukum Allah, dan bagi orang-orang yang mengingkari (hukum-hukum Allah itu) azab yang pedih.” (Surah al-Mujadalah, 58: 3-4)

Demikianlah pula, puasa dan sedekah mampu menghapuskan fitnah seorang pemuda dari harta, keluarganya dan anaknya. Dari Hudzaifah Ibnul Yaman radhiallahu 'anhu, berkata Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasallam (yang ertinya):

“Fitnah lelaki dari keluarga (isteri), harta, dan tetangganya, boleh dihapuskan oleh solat, puasa dan sedekah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (2/7) Muslim (144))

8. Rayyan bagi orang yang puasa

Dari Sahl bin Sa'ad radhiallihu 'anhu, dari Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam bersabda (yang ertinya): “Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan rayyan, orang-orang yang berpuasa akan memasukinya di hari kiamat nanti dari pintu tersebut, tidak ada orang selain mereka yang memasukinya. Jika telah masuk orang terakhir yang berpuasa, ditutuplah pintu tersebut. Barangsiapa yang masuk akan minum, dan barang siapa yang minum tidak akan merasa haus untuk selamanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/95). Muslim (1152). Tambahan akhir terdapat di dalam riwayat Ibnu Khuzhaimah dalam kitab Sahihnya (1903))

108 - KEUTAMAAN DI BULAN RAMADHAN

KEUTAMAAN DI BULAN RAMADHAN

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Ramadhan adalah bulan kebaikan dan barakah, Allah memberkahinya dengan banyak keutamaan yang antaranya adalah sebagaimana berikut:

1. Bulan Al-Qur'an

Allah menurunkan kitab-Nya yang mulia sebagai petunjuk bagi manusia, penawar bagi kaum mukminin, membimbing kepada yang lurus, memperjelaskan jalan petunjuk yang sebenar, ia diturunkan pada malam Lailatul Qadar iaitu suatu malam di dalam bulan Ramadhan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yang ertinya:

“Bulan Ramadhan itulah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an yang menjadi petunjuk bagi manusia, dan menjadi keterangan-keterangan dari petunjuk itu dan membezakan di antara yang hak dengan yang bathil. Maka barang siapa di antara kamu melihat bulan itu hendaklah ia berpuasa.” (Surah al-Baqarah, 2: 185)

2. Dibelenggunya syaitan dan ditutupkan padanya pintu-pintu neraka dan di bukanya pintu-pintu surga

Pada bulan Ramadhan ini keburukan menjadi sedikit, kerana dibelenggu dan diikatnya syaitan dengan salasil (rantai), belenggu dan “Ashfad”, mereka tidak berupaya lepas bebas mengganggu manusia sebagaimana bebasnya di bulan-bulan yang lain, kerana kaum muslimin sibuk dengan puasa, hingga hancurlah syahwat, dan juga kerana bacaan al-Qur'an serta seluruh ibadah yang mengatur dan membersihkan jiwa, Allah berfirman (yang ertinya):

“Telah diwajibkan atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, 2: 183)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasalam bersabda (yang ertinya): “Jika datang bulan Ramadhan dibukalah pintu-pintu syurga (Dalam riwayat Muslim: “Dibukakan pintu-pintu rahmat”) dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggulah syaitan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/97) dan Muslim (1079))

Semuanya itu sempurna di awal malam bulan Ramadhan yang diberkahi, berdasarkan sabda Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasalam (yang ertinya):

“Jika telah datang awal malam bulan Ramadhan, diikatlah para syaitan dan jin-jin yang jahat, ditutup pintu-pintu neraka tidak ada satu pintu pun yang dibuka, dan dibukalah pintu-pintu syurga tidak ada satu pun yang tertutup, menyerulah seorang penyeru: “Wahai orang yang ingin kebaikan lakukanlah, wahai orang yang ingin keburukan kurangilah, Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan dari neraka, ianya terjadi pada setiap malam. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi (682) dari Ibnu Majah (1642) dan Ibnu Khuzaimah (3/188) dari jalan Abi Bakar bin Ayyash dari al-A'masy dari Abi Hurairah. Dan sanad hadis ini hasan)

3. Malam Lailatul Qadar

Engkau telah tahu wahai hamba yang beriman bahawa Allah Jalla Jalallah memilih bulan Ramadhan kerana diturunkan padanya al-Qur'an al-Karim, dan mungkin untuk mengetahui hal ini dibantu qiyas dengan kepelbagaian macam cara, di antaranya:

1. Hari yang paling mulia di sisi Allah adalah di bulan yang diturunkan padanya al-Qur'an, sehingga harus dikhususkan dengan pelbagai jenis/bentuk amalan.

2. Sesungguhnya jika satu nikmat dicapai oleh kaum muslimin mengharuskan adanya tambahan amal sebagai penzahiran rasa syukur kepada Allah, hal ini adalah berdasarkan firman Allah setelah menceritakan sempurnanya nikmat di bulan Ramadhan (yang ertinya):

“Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangannya, dan supaya kamu mengagungkan Allah terhadap sesuatu yang Allah telah menunjukkan kamu (kepadanya) dan mudah-mudahan kamu mensyukuri-Nya.” (Surah al-Baqarah, 2: 185)

Firman Allah Tabaroka wa Ta'ala berkenaan setelah selesainya nikmat haji yang ertinya:

“Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berdzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berdzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.” (Surah al-Baqarah, 2: 200)

4. Diwajibkan Untuk Berpuasa

1. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati berbuat kebajikan maka itu lebih baik baginya.

Kerana keutamaan-keutamaan di atas, maka Allah mewajibkan kaum muslimin untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Oleh kerana memutuskan jiwa dari syahwatnya (makan, minum, dan seks) dan menghalanginya dari apa yang biasa dilakukan termasuk perkara yang paling sukar, kewajiban berpuasa disyariatkan pada tahun kedua Hijriyah, setelah hati kaum mukminin kukuh dalam bertauhid dan dalam mengagungkan syiar-syiar Allah, maka Allah membimbing mereka untuk melakukan puasa dengan bertahap, pada awalnya mereka diberi pilihan untuk berbuka atau puasa beserta diberi semangat (kekuatan) untuk berpuasa, kerana puasa masih terasa berat bagi para sahabat Radhiallahu 'anhum. Barangsiapa yang ingin berbuka kemudian membayar fidyah dibolehkan, Allah berfirman yang ertinya:

“(Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, 2: 184)

2. Barangsiapa yang melihat hilal (anak bulan) Ramadhan, maka hendaklah berpuasa

Kemudian turunlah kelanjutan ayat tersebut yang menghapus hukum di atas, perkara ini dikhabarkan oleh dua orang sahabat yang mulia: Abdullah bin Umar dan Salamah bin al-Akwa' Radhiallahu 'anhum, keduanya berkata: “Kemudian dihapus oleh ayat: “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dengan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, 2: 185)

Dan dari Ibnu Abi Laila dia berkata: “Sahabat Muhammad Shalallahu 'alaihi wa salam telah menyampaikan kepada kami: “Ketika turun kewajiban puasa di bulan Ramadhan terasa memberatkan mereka, barangsiapa yang tidak mampu dibolehkan meninggalkan puasa dan memberi makan seorang miskin, sebagai keringanan bagi mereka, kemudian hukum ini dihapuskan oleh ayat: “Berpuasa itu lebih baik bagi kalian”. Akhirnya mereka disuruh berpuasa. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari secara mu'allaq (8/181, al-fath), dimaushulkan oleh al-Baihaqi di dalam Sunannya (4/200) sanadnya hasan)

Bermula dari saat itu menjadilah ibadah puasa sebagai salah satu kewajiban umat Islam, dan menjadi salah satu rukun agama berdasarkan sabda Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasalam (yang ertinya):

“Islam dibangunkan di atas lima perkara: Syahadah Laa ilaha illallahu, wa anna Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan menunaikan haji ke baitul haram, serta puasa di bulan Ramadhan”. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari (1/47), Muslim (16) dari Ibnu Umar)