Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Khamis, 5 Mac 2009

148 - Kriteria Asas Halal Haram Makanan

Kriteria Asas Halal Haram Makanan


Pengertian Makanan

Al-ath’imah adalah bentuk jama’ dan kata tha’aam, maknanya adalah sesuatu yang dimakan dan dicerna, sama ada ia berupa makanan asas atau yang selainnya.

Secara dasarnya semua makanan adalah halal, melainkan yang telah dijelaskan melalui nash/dalil bahawa makanan tersebut haram. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi makanan yang halal lagi baik...” (Surah al-Baqarah, 2: 168)

Dalam ayat lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Katakanlah, “Tidaklah aku temui dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, melainkan sekiranya makanan itu adalah bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi (kerana sesungguhnya semua itu kotor) atau binatang yang disembelih untuk selain Allah...”’ (Surah al-An’aam, 6: 145)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Mengapa kamu tidak mahu memakan (binatang-binatang yang halal) yang disebut Nama Allah ketika menyembelihnya, padahal sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan ke atasmu, melainkan apa yang kamu terpaksa memakannya...”(Surah al-An’aam, 6: 119)

Dengan ini, ia bermaksud:

1 – Makanan yang telah dijelaskan di dalam nash akan kehalalannya, maka ianya adalah halal.

2 – Makanan yang sama sekali tidak disentuh secara langsung oleh nash/dalil, maka ianya juga adalah halal.

3 – Makanan yang telah dijelaskan oleh nash bahawa ianya haram, maka ianya adalah haram.

Secara umumnya, semua makanan adalah halal, melainkan ada nash/dalil yang mengharamkannya.

“Katakanlah, “Terangkanlah kepadaku tentang rezeki yang diturunkan oleh Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebahagiannya haram dan (sehahagiannya) halal.” Katakanlah, “Adakah Allah telah memberikan izin kepadamu (dalam persoalan mengaharamkan dan menghalalkan) atau kamu hanya mengada-adakan sesuatu terhadap Allah?” (Surah Yunus, 10: 59)

Ketentuan awal di dalam pemisahan oleh syara’ di antara yang haram dan mubah (harus) dalam segala perkara, sama ada makanan, minuman atau yang selainnya adalah berdasarkan pemisahan di antara yang baik dan buruk.

Ini bermakna, segala perkara yang baik adalah halal hukumnya dan segala sesuatu yang buruk adalah haram hukumnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“... dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk...” (Surah al-A’raaf, 7: 157)

Di dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Supaya Allah memisahkan (golongan) yang buruk dan yang baik dan menjadikan (golongan) yang buruk itu sebahagiannya di atas sebahagian yang lain...” (Surah al-Anfal, 8: 37)

Dengan ini, setiap mereka yang benar-benar memahami segala sesuatu yang diharamkan oleh Allah, niscaya dia akan mengetahui bahawa setiap yang diharamkan oleh Allah pasti memiliki kesan negatif terhadap badan atau akal, atau merupakan najis dan sesuatu yang dianggap buruk, atau memiliki hikmah yang lain yang sesuai dengan apa yang telah ditentukan oleh al-Khaliq (sang pencipta).

Berikut adalah kriteria atau bentuk-bentuk makanan yang diharamkan oleh Nash:

1. Bangkai haiwan:

Bangkai adalah semua haiwan yang mati tanpa disembelih dengan betul.

Contohnya:

1 - Al-munkhaniqah: Haiwan yang mati tercekik.

2 - Al-mauqudzah: Haiwan yang mati kerana dipukul (cth: dengan kayu, batang besi, atau seumpamanya)

3 - Al-mutaraddiyah: Haiwan yang mati kerana jatuh dari tempat yang tinggi (mati terhempas).

4 – An-nathihah: Haiwan yang mati serta ditanduk oleh yang lainnya (mati kerana bergaduh sesama sendiri atau disebabkan haiwan yang lain).

5 - Haiwan yang diterkam, iaitu haiwan yang mati kerana diserang atau dicederakan oleh binatang buas. Tetapi sekiranya haiwan yang terluka/cedera itu ditemui sebelum mati lalu sempat disembelih, maka haiwan tesebut adalah halal.

Ciri-ciri di atas telah disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam firmannya (bermaksud):

“Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh (terhempas), yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, melainkan yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu,) yang disembelih untuk berhala.” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Termasuk di dalam kategori bangkai yang haram dimakan adalah semua bahagian haiwan yang dipotong darinya, padahal haiwan tersebut masih hidup.

Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Sesuatu yang dipotong dari binatang yang masih hidup adalah bangkai.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2841)

Walau pun begitu, di sana terdapat dua bangkai yang dikecualikan dari hukum di atas, iaitu bangkai ikan (hidupan air) dan belalang. Bangkai keduanya halal dimakan. Ini adalah berdasarkan hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dan dua jenis bangkai itu adalah bangkai ikan dan belalang. Manakala dua jenis darah itu pula adalah hati dan limpa.” (Hadis Riwayat Ahmad (no.5690). Lihat: Silsilah Hadis ash-Shahihah, no. 1118, Syaikh al-Albani)

2. Darah Yang Mengalir:

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah...” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Akan tetapi, adalah dimaafkan darah yang sedikit yang biasa ada pada badan haiwan sembelihan yang tidak dapat dihilangkan darinya.

Darah yang halal dimakan pula adalah:

Hati dan Limpa kerana ia tidak termasuk darah yang mengalir dan telah dijelaskan melalui hadis berikut:

“Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dan dua jenis bangkai itu adalah bangkai ikan dan belalang. Manakala dua jenis darah itu pula adalah hati dan limpa.” (Hadis Riwayat Ahmad (no.5690). Lihat: Silsilah Hadis ash-Shahihah, no. 1118, Syaikh al-Albani)

3. Babi

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Diharamkan bagimu (memakan) ban gkai, darah, daging babi...” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Para ulama telah bersepakat bahawa setiap bahagian dari babi adalah haram. Dan tujuan disebutkan (di dalam al-Qur’an) kata daging bahawa babi adalah haiwan yang biasa disembelih dengan tujuan diambil dagingnya.” (Ahkaamul Qur’aan, karya Ibnul ‘Arabi)

Demikian pula tidak ada perbezaan pendapat di antara para ulama bahawa lemak dan kulitnya juga adalah haram.

4. Haiwan yang disembelih atas nama selain Nama Allah

Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“.. (Daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Nama Allah.” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Oleh karena itu, haram hukumnya memakan haiwan yang disembelih oleh seorang musyrik, Majusi dan orang yang murtad. Adapun sembelihan orang Nasrani dan Yahudi (Ahlul Kitab), maka halal dimakan selama mana tidak diketahui bahawa mereka menyebut selain Nama Allah.

Ini telah dijelaskan sebagaimana di dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:

“Dan makanan orang-orang yang diberi al-Kitab (ahlul Kitab) itu halal bagi-
mu...” (Surah al-Ma’idah, 5: 5)

lbnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata, “Makna makanan mereka di dalam
ayat ini adalah merujuk kepada sembelihan mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ibnu Katsir rahimahullah pula menjelaskan di dalam tafsirnya:

“Ibnu ‘Abbas, Abu Umamah, Mujahid, Sa’id bin Jubair, ‘Ikrimah, ‘Atha’, al-Hasan, Makhul, Ibrahim an-Nakha’i, as-Suddi, dan Muqatil bin Hayyan mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Ahli Kitab ialah sembelihan mereka.”

5. Daging Keldai Yang Dipelihara

Sebagaimana dijelaskan di dalam hadis Anas radhiyallahu ‘anhu:

“...lalu seseorang berseru, “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya melarang kamu memakan daging keldai peliharaan kerana keldai peliharaan tersebut najis”, maka panci-panci (periuk) ditumpahkan (untuk dibersihkan), kerana panci tersebut biasa mendidih dengan dagingnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5528)

Maka, dengan ini juga, ia turut menjelaskan bahawa:

Keldai liar adalah halal dimakan berdasarkan ijma’ para ularna.

Dari Abu Qatadah bahawasanya beliau bersama orang-orang yang sedang ihram, sementara dia tidak. Kemudian keldai liar mendatangi mereka, maka Abu Qatadah memburunya (membunuhnya) kemudian menyembelih seekor keldai betina dan sekelompok keldai itu. Maka mereka pun memakannya... (di dalam hadis tersebut dijelaskan bahawa para Sahabat bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu Nabi berkata kepada mereka, “Adakah kamu ada membawa sebahagian darinya?” “Kami membawa kakinya”, jawab mereka. (Abu Qatadah) berkata, “Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun mengambil dan memakannya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2854)

Ada pun berkenaan daging kuda, maka ianya adalah halal.

Daripada Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, “Pada peristiwa Khaibar kami memakan daging kuda dan keldai liar manakala Nabi melarang kami memakan keldai peliharaan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4219)

6. Daging haiwan dan burung yang buas

Daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Rasulullah melarang (memakan) setiap binatang buas yang memiliki taring dan burung yang memiliki kuku tajam.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1934)

Dan daripada Abuz Zubair, beliau berkata, “Aku bertanya kepada Jabir tentang wang (hasil penjualan) anjing dan kucing. Maka dia berkata, “Nabi melarangnya”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1569)

7. Haiwan Jallalah (haiwan yang memakan kotor-kotoran)

Jallalah adalah semua jenis haiwan yang memakan najis, tidak kira sama ada ianya unta, lembu, kambing, ayam atau yang serupa dengannya.

Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, “Rasulullah melarang memakan daging jallalah serta susunya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no.3767. Disahihkan oleh al-Albani)

Namun, haiwan jallalah yang pada dasarnya halal, ia masih boleh dimakan dengan beberapa kaedah.

Jika haiwan jallalah dikurung selama tiga hari dan diberi makan dengan sesuatu yang baik, maka haiwan tersebut halal untuk disembelih dan dimakan.

Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu bahawasanya ia mengurung ayam yang biasa memakan sesuatu yang najis selama tiga hari.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah, no.4660/8847, hadis ini sahih sebagaimana dijelaskan di dalam al-Irwaa’ al-Ghalil, no. 2504, Syaikh al-Albani)

8. Semua jenis haiwan yang diperintahkan syari’at untuk dibunuh

Segala jenis haiwan yang diperintahkan syari’at untuk dibunuh maka haram dimakan dengan kesepakatan seluruh ulama, di antaranya adalah gagak, burung helang, tikus, cicak padang pasir, ular, kala jengking, dan anjing liar (anjing yang tidak liar juga haram dimakan berdasarkan faktor yang lain).

Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Ada lima binatang berbahaya yang dianjurkan untuk dibunuh di Tanah Haram, (iaitu) tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing liar.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3314)

Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata,

“Nabi memerintahkan untuk membunuh cicak dan menamakannya fuwaisiqa.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 3238)

Daripada Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, “Dahulu kami pernah bersama Nabi di dalam sebuah gua dan telah turun kepada beliau surah al-Mursalaat dan kami mengambilnya dari mulut beliau yang masih basah, tiba-tiba keluar seekor ular menghampiri kami, lalu beliau berkata, “Bunuhlah ular itu...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1830)

9. Semua jenis binatang yang dilarang syari’at untuk dibunuh

Semua jenis binatang yang dilarang syari’at untuk dibunuh, maka tidak halal untuk dimakan, di antaranya adalah semua jenis binatang yang disebutkan di dalam hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu di mana dia berkata:

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang kami membunuh empat jenis binatang, (iaitu) semut, lebah, burung hud-hud dan burung shurad.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i, 5/189, dan Ahmad, 6/83, dengan sanad yang sahih)

Demikian juga dengan haiwan yang disebutkan di dalam hadis ‘Abdurrahman bin ‘Utsman, beliau berkata:

“Seorang tabib menyenaraikan ubat untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan menyebutkan katak sebagai ubatnya, lalu Rasulullah melarang untuk membunuh katak.” (Hadis Riwayat Ahmad, 3/453)

10. Semua jenis haiwan khabitsaat

Haiwan Khabisaat adalah haiwan yang berbahaya seperti memiliki bisa/racun, atau bahan kimia tertentu yang memudharatkan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi makanan yang halal lagi baik...” (Surah al-Baqarah, 2: 168)

“... dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk...” (Surah al-A’raaf, 7: 157)