Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Khamis, 14 Jun 2007

Topic 005: WASIAT IMAM AS-SYAFIE KEPADA UMMAH BERKENAAN AQIDAH, FIQH, DAN BID’AH

WASIAT IMAM AS-SYAFIE KEPADA UMMAH BERKENAAN AQIDAH, FIQH, DAN BID’AH

Oleh: Ustaz Rasul bin Dahri
Disunting: an-Nawawi (Edisi Online)

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

PERIBADI RINGKAS AL-IMAM AS-SYAFI’E

Nama sebenar al-‘Allamah Imam as-Syafie rahimahullah ialah: Muhammad bin Idris as-Syafie yang lebih dikenali sebagai Imam as-Syafie. Beliau adalah seorang Imam besar yang sentiasa mendapat pujian, penghormatan dan pengiktirafan tentang keilmuannya oleh para ulama sejak zamannya sehinggalah ke saat ini. Imam as-Syafie dilahirkan di Gazzah (Palestin/Jurusalem) pada tahun 150H (767M). Meninggal dunia di Mesir pada malam Jumaat dan dikebumikan selepas Asar pada 2hb. Rejab, 204H dalam usia 54 tahun.[1] Beliau adalah seorang imam dan ulama besar yang sentiasa mengajak ummah agar berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sehingga digelar oleh tokoh-tohoh besar sebagai (Nasirus Sunnah)[2] "Pejuang/Penegak/Pembela Sunnah" atau (نَاصِرُ الْحَدَيْث) "Pejuang Hadith".[3]

Imam as-Syafie terkenal sebagai seorang yang paling alim di zamannya tentang makna-makna al-Quran, dianggap seorang manusia yang paling tahu tentang isi al-Quran dan sunnah Rasulullah.[4] Sehingga Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah berkata:

"Kalaulah tidak kerana as-Syafie tidaklah kami mengenali ilmu hadis".[5]

Berkata Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah dalam mukaddimah syarah dan tahkiknya tentang kitab ar-Risalah yang dihasilkan oleh Imam as-Syafie rahimahullah:

"Jika sekiranya dibolehkan bagi seorang alim bertaqlid dengan seorang alim yang lain, pasti manusia yang lebih layak menurut pendapatku untuk ditaqlid ialah as-Syafie. Sesungguhnya aku (tetapi tidak ghuluw dan keterlaluan) percaya sesungguhnya tidak pernah muncul seorang ulamak Islam seperti lelaki ini dalam pemahaman, pandangan dan ketelitiannya mengambil hukum dari al-Kitab dan sunnah".[6] Dan beliau berkata lagi: "as-Syafie telah memenuhi permukaan bumi ini dengan ilmu".[7]

Walaupun Imam as-Syafie diiktiraf sebagai seorang ulama besar dan muktabar sehingga fatwa-fatwanya dijadikan rujukan sejak zamannya sehinggalah sekarang, namun beliau tidak pernah mengizinkan sesiapapun untuk bertaqlid buta[8] dengannya, malah beliau bersepakat dengan imam-iman besar yang lain melarang dari bertaqlid buta dengan mana-mana mazhab yang ada. Beliau dan juga para imam yang lain tidak pernah memberi keizinan kepada sesiapapun mengguna-pakai fatwanya sebelum terlebih dahulu diketahui dari mana mereka mengambilnya. Beliau berkata:

"Dari Imam Abi Hanifah, Malik, as-Syafie dan Ahmad rahimahumullah mereka semua berkata: Tidak dihalalkan bagi seseorang untuk memberi fatwa dengan kata-kata kami atau berpegang dengan kata-kata kami selagi dia tidak mengetahui dari mana kami mengambil kata-kata tersebut".[9]

Imam as-Syafie amat membenci perbuatan bertaqlid buta. Malah beliau melarang dengan sekeras-kerasnya perbuatan bertaqlid buta. Larangan Imam as-Syafie amat jelas apabila difahami wasiat beliau yang masyhur:

"Berkata Imam as-Syafie: Setiap apa yang telah aku katakan, kemudian apa yang dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bertentangan dengan perkataanku sekalipun (perkataanku itu dianggap) betul, maka hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam mesti diutamakan, oleh itu janganlah kamu bertaqlid dengan qaulku (kata-kataku)".[10]

Imam as-Syafie tidak pernah menghalalkan perbuatan seseorang yang meninggalkan al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam lantaran bertaqlid buta atau ta’sub a’ma kepada seseorang ulama:

“Telah berkata Iman as-Syafie rahimahullahu Ta’ala: Telah ijmak (sepakat) seluruh muslimin bahawa sesiapa yang terang baginya sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam, maka tidak dihalalkan baginya meninggalkan sunnah tersebut lantaran mematuhi (mentaati) perkataan seseorang".[11]

Imam as-Syafie berulang kali berwasiat tentang haramnya bertaqlid buta kerana bertaqlid akan menyempitkan ilmu. Imam as-Syafie juga telah memberi peringatan yang tegas bahawa amalan bertaqlid buta kepada mana-mana Imam atau ulama samalah seperti mengangkat seseorang manusia sebagai tuhan yang disembah selain Allah Subhanahu wa-Ta'ala:

“Sesiapa bertaqlid kepada seseorang dalam perkara mengharamkan atau menghalalkan sesuatu sedangkan hadith sahih bertentangan dengannya dan menegah bertaqlid kerana diperintahkan beramal dengan sunnah, maka dia telah mengambil orang yang ditaqlidkan sebagai tuhan selain Allah ‘Ta’ala”.

Amaran Imam as-Syafie ini dapat diperjelaskan lagi dengan bersandarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh 'Adi bin Hatim radiallahu ‘anhu. Hadith ini merupakan keterangan yang amat ketara menunjukkan bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam menganggap sebagai penyembahan (pengibadatan) perbuatan bertaqlid buta yang dilakukan oleh kaum Nasara terhadap Ahbar dan Ruhban mereka:

“Dari ‘Ady bin Hatim berkata: Aku pergi kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan di leherku tergantung sebuah salib dari emas, maka baginda bersabda: Wahai ‘Ady! Buangkanlah berhala ini dari dirimu. Saya dengar baginda membacakan surah Baqarah (Dan mereka menjadikan Ahbar dan Ruhban mereka sebagai tuhan-tuhan sembahan selain Allah), aku berkata: Wahai Rasulullah! Mereka tidak pernah menyembah (Ahbar dan Ruhban). Maka baginda bersabda: Bukankah Ahbar dan Ruhban itu mengharamkan perkara yang telah dihalalkan Allah maka mereka mengharamkan? Dan mereka menghalalkan perkara yang diharamkan Allah lalu mereka pun menghalalkannya? Aku menjawab: Memang itu adalah benar. Baginda bersabda: Maka itulah cara mereka menyembah Ahbar dan Ruhban mereka".[12]

Itulah bahaya taqlid buta atau ta’sub a’ma (تعصب اعمى) yang ditakuti oleh Imam as-Syafie, yang mana ianya boleh membawa kepada penyembahan yang membawa kepada kesyirikan. Maka amat tepat apabila beliau berwasiat agar umat Islam tidak bertaqlid buta kepada mana-mana mazhab selain al-Quran dan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang sahih.

Penyerupaan (meniru) bentuk suluk atau tata-cara agama dari agama kaum kuffar atau musyrikin adalah haram (kufur) kerana telah ditegah oleh syara. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

"Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia tergolong dari golongan kaum tersebut".

Pengharaman bertaqlid buta atau ta’sub a’ma telah disuarakan juga oleh para sahabat, para imam dan para ulama muktabar:

"Dari Ibn Masoud radiallahu ‘anhu berkata: Sesungguhnya janganlah sama sekali seseorang dari kamu bertaqlid kepada seseorang tentang agamanya, yang mana apabila ia beriman kamupun beriman dan sekiranya dia kufur kamupun jadi kufur, maka sesungguhnya tidak ada contoh (yang boleh dikuti) dalam perkara buruk ini".[13]

"Ibn Abbas pernah menjawab pertanyaan seorang lelaki yang bertanya kepadanya tentang suatu masalah. Dijawabnya pertanyaan tersebut dengan sebuah hadith. Maka menyangkal dan berkata kepada Ibn Abbas: (Tetapi) telah berkata Abu Bakar dan Umar. Ibn Abbas kemudian berkata: Ditakuti akan diturunkan ke atas kamu hujan batu (bala) dari langit. Aku telah menjawab: Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam tetapi kamu berkata (menyangkal/beralasan) telah berkata Abu Bakar dan Umar?".

"Berkata Imam Ahmad: Janganlah kamu bertaqlid denganku, janganlah bertaqlid dengan Malik, Abu Hanifah, as-Syafie, 'Auzii dan Thauri rahimahumullah. Ambillah oleh kamu dari mana mereka itu mengambil".[14]

"Telah berkata Ibn Hazam rahimahullah: Sesungguhnya para fuqaha yang menjadi ikutan telah membatalkan pentaqlidan pada mereka dan sesungguhnya mereka menegah (melarang) para pengikut mereka dari bertaqlid kepada mereka".[15]

"Telah berkata Sanad bin 'Anan rahimahullah: Ketahuilah olehmu! Sesungguhnya hanya dengan mengambil jalan mudah sehingga mendorong bertaqlid, adalah tidak diredhai oleh seseorang insan yang bijaksana. Sesungguhnya (bertaqlid) adalah cara seseorang yang bodoh lagi bebal dan si tolol yang keras kepala".[16]

Ketegasan semua para imam mazhab sama ada mazhab fikeh atau akidah mengharamkan sesiapapun dari bertaqlid buta kepada mereka adalah amat serious. Ternyata tidak seorang pun dari mereka mengizinkan ummah bertaqlid buta kepada mereka, kerana taqlid buta sama seperti perbuatan Ahli Kitab yang akhirnya boleh membawa penyembahan kepada mereka yang dianggap sebagai ketua agama atau imam mazhab.

UCAPAN IMAM AS-SYAFIE YANG KONTROVERSI

Antara ucapan (qaul) Imam as-Syafie yang disalah ertikan oleh sebahagian masyarakat Islam sehingga menjadi isu kontroversi dan polemik, ialah tentang maksud dan pembahagian bid’ah yang mana beliau pernah berkata:

"Bid'ah itu terbahagi kepada yang baik dan yang buruk, atau yang terpuji dan tercela. Dalam perkara ini, termasuklah setiap yang diada-adakan selepas zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dan zaman para Khulafa ar-Rasyidin".[17]

"Dari Harmalah bin Yahya rahimahullah berkata: Aku mendengar as-Syafie rahimahullahu Ta'ala berkata: Bid'ah ada dua, iaitu bid'ah yang terpuji dan bid'ah yang tercela. Apa yang bersesuaian dengan sunnah maka itu adalah terpuji dan apa yang bertentangan dengan sunnah maka itu tercela".[18]

"Berkata ar-Rabi' rahimahullah: Telah berkata as-Syafie rahimahullahu Ta'ala: Perkara-perkara yang diada-adakan itu terbahagi dua: Yang pertama, apa yang dicipta bertentangan dengan al-Kitab, Sunnah, ijmak sahabat atau athar, maka inilah bid'ah yang sesat. Kedua apa yang dicipta berupa kebaikan yang tidak bertentangan dengan salah satu dari perkara (al-Kitab, sunnah, ijmak atau athar sahabat) maka itu ciptaan yang tidak tercela".[19]

Persoalan-persoalan (syubahat) yang timbul dari qaul Imam as-Syafie di atas telah dijelaskan oleh para ulama Salaf as-Soleh, antaranya Abdul Qayyum bin Muhammad bin Nasir as-Sahaibani rahimahullah. Beliau telah membincangkannya dengan membawa keterangan seperti berkut:

Pertama: Tidak seharusnya diterima perkataan seseorang manusia yang bertentangan dengan perkataan (sabda) Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam walau siapapun orangnya. Perkataan Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah hujjah bagi setiap orang dan bukan pula perkataan seseorang itu menjadi hujjah untuk menentang (meninggalkan) sabda Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam[20] sedangkan Nabi Muhammad telah bersabda tentang persoalan bid’ah:

“Setiap yang bid'ah itu sesat dan setiap yang sesat itu ke dalam neraka".[21]

Dalam hal ini Abdullah bin Abbas radhiallahu 'anhu berkata:

"Tidak ada pendapat seseorang (yang boleh terus diterima kerana) ia boleh diambil atau ditinggalkan kecuali pendapat (sabda) Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam".[22]

Kedua: Sesiapa yang mahu memberi perhatian (memahami) tentang qaul Imam as-Syafie (membahagikan bid'ah kepada yang baik dan tercela) maka dia tidak akan meragui bahawa yang dimaksudkan oleh Imam as-Syafie ialah bid'ah di segi bahasa (لغوى) bukan syarii (شرعي). Ini berdalilkan (kenyataan Imam as-Syafie) sesungguhnya setiap bid'ah dalam syara (agama) adalah bertentangan dengan al-Kitab dan as-Sunnah. Imam as-Syafie sendiri mengaitkan bid'ah yang baik dengan apa yang tidak bertentangan dengan al-Kitab dan as-Sunnah kerana setiap bid'ah dalam syara bertentangan dengan firman Allah dan Hadith Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam:[23]

"Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu".[24]

"Bersabda Rasulullah sallallahau ‘alaihi wa-sallam: Sesiapa yang mengada-adakan (mencipta) yang baru dalam urusan (agama) kami ini yang bukan darinya maka ia tertolak".[25]

"Barangsiapa yang mengerjakan satu amal yang bukan dari suruhan kami maka ia tertolak".[26]

Apa yang dimaksudkan oleh Imam As-Syafie sebagai bid'ah yang mahmudah (baik/terpuji), misalnya pembukuan hadith-hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan sembahyang tarawih, ini amat tepat menurut definisi bahasa kerana walaupun ia tidak ada contoh sebelumnya tetapi ia ada dasarnya dari syara.[27] Begitu juga dengan pembinaan madrasah kerana belajar itu wajib menurut syara, pastinya pembelajaran yang sempurna dan selesa ialah di madrasah. Semua yang berkaitan dengan dunia yang tidak memudaratkan adalah bid'ah keduniaan yang hasanah dan tidak bertentangan dengan syara.

Penjelasan di atas menunjukkan bahawa setiap bid'ah yang dikatakan terpuji sebenarnya ia bukanlah bid'ah, kerana ia tidak melibatkan urusan agama hanya disangka sebagai bid'ah lantaran kurang memahami istilah bid'ah di segi bahasa dan syara. Adapun bid'ah yang dianggap keji dan sesat setelah didapati secara qatii (pasti) ialah yang bertentangan dengan al-Kitab dan as-Sunnah dan jelas tiada dalilnya dari syara.[28]

Ketiga: Memang sudah diketahui tentang pendirian Imam as-Syafie Rahimahullah yang tegas, beliau sangat teliti dalam mengikuti (ittiba') kepada sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam dan sangat benci kepada muqallid (orang yang bertaqlid buta) dan orang yang menolak hadith Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam. Ini terbukti semasa beliau disoal tentang sesuatu perkara maka beliau menjawab:

"Wahai orang yang bertanya! Bumi manakah yang akan aku pijak dan langit manakah yang akan aku berlindung apabila aku telah meriwayatkan sesuatu hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam kemudian aku tidak berkata denganNya? Sewajarnya bagiku mendengar dan melihat (patuh dan taat kepada hadith -Pent.)"

Kalau demikianlah pengakuan, sikap, pendirian dan pegangan Imam as-Syafie rahimahullahu Ta’ala terhadap hadith Rasulullah, maka tidak sepatutnya seseorang itu berprasangka terhadapnya sehingga melagakan pandangan beliau dengan hadith sahih[29] terutamanya hadith di bawah ini:

"Sesungguhnya setiap yang bid'ah itu menyesatkan"

Yang paling tepat dan benar ialah perkataan Imam as-Syafie ini semestinya diletakkan di tempat yang sesuai dengan hadith di atas bukan (dijadikan alasan - Pent.) untuk menentang hadith tersebut, kerana apa yang dimaksudkan oleh Imam as-Syafie ialah bid'ah di segi bahasa[30] (لغوي) sahaja bukan di segi syara atau dalam persoalan agama.

Imam as-Syafie rahimahullah pernah menegaskan dengan perkataan beliau:

"Berkata as-Syafei rahimahullah: Apabila kamu temui di dalam kitabku apa yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam, maka berkatalah (ambillah/berpeganglah) kamu dengan sunnah tersebut dan hendaklah kamu tinggalkan apa yang telah aku katakan".[31]

"Berkata as-Syafie rahimahullah: Setiap hadith dari Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah ucapanku (ikutanku) walaupun kamu tidak pernah mendengar dariku".[32]

"Setiap masalah yang benar datangnya dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam menurut ahli Naql sedangkan ia bertentangan dengan apa yang telah aku katakan, maka aku akan kembali merujuk pada hadith itu selama hidupku atau setelah kematianku".

"Dari Imam Abi Hanifah, Malik, As-Syafie dan Ahmad mereka berkata: Tidak dihalalkan bagi seseorang untuk memberi fatwa dengan perkataan kami atau berpegang dengan perkataan kami selagi dia tidak mengetahui dari mana kami mengambil perkataan tersebut".[33]

BID'AH AKIDAH MENURUT IMAM AS-SYAFIE

Sebenarnya bid'ah yang diperkatakan oleh Imam as-Syafie bukan hanya di segi feqhiyah, tetapi merangkumi juga persoalan yang lebih besar, iaitu bid'ah akidah yang menyentuh persoalan syirik besar dan kecil atau tentang sah dan batalnya akidah seseorang yang mengaku sebagai seorang mukmin. Contohnya, Imam as-Syafie menolak fahaman (akidah) firqah-firqah bid'ah seperti Syiah, Khawarij, Qadariyah dan yang lainnya sebagaimana yang diriwayatkan dari para ulamak as-Syafie:

1 - Sebagaimana yang ditakhrij oleh al-Baihaqi sebagai qaul yang sahih dari Rabi' bin Sulaiman dari Imam as-Syafie bahawa:

'Imam as-Syafie telah melarang bersolat di belakang orang yang berfahaman (berakidah) Qadariyah".[34]

Larangan Imam as-Syafie ini lantaran firqah Qadariyah telah bid'ah akidahnya dan disepakati oleh para ulama salaf sebagai golongan yang sesat.

2 - Dari al-Lalakaii dari al-Muzani berkata:

"Tahukah kamu siapakah yang termasuk dalam golongan Qadariyah? Dia adalah orang-orang yang mengatakan bahawa Allah tidak menciptakan sesuatu sehingga sesuatu amal tersebut dikerjakan".[35]

Dan menurut al-Baihaqi lagi bahawa Imam as-Syafie telah berkata:

"Qadariyah ialah mereka yang telah digambarkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagai orang-orang Majusi ummat ini".[36]

Wasiat Imam as-Syafie ini menunjukkan bahawa beliau menentang semua golongan yang terkeluar dari akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Qadariyah ternyata telah terkeluar dari akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah.

3 - Imam Syafie berkata tentang Syiah:

"Belum pernah aku saksikan di kalangan manapun manusia yang begitu berani menjadi pendusta dan sebagai saksi-saksi palsu (bohong) seperti golongan Syiah".[37]

Dari kenyataan Imam as-Syafie di atas, sudah jelas bahawa akidah Imam as-Syafie adalah akidah yang di pegang oleh golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mendasari manhaj Salaf as-Soleh. Beliau ternyata adalah seorang ulama besar dibidang fikeh dan akidah.

TAUHID MENURUT IMAM AS-SYAFIE

Dalam memperkatakan tauhid asma' (nama-nama Allah) was-sifat wa-zat (sifat-sifat dan zat Allah), tauhid uluhiyah serta tauhid rububiyah, maka Imam as-Syafie dianggap seorang Imam Besar Salafi yang menegah (mengharamkan) takwil, takyif, tasybih dan ta'til terhadap sifat dan zat Allah ‘Azza wa-Jalla. Sebagaimana yang dapat difahami dari riwayat Abu Talib Al-'Usayri beliau berkata: Imam as-Syafie pernah ditanya berkenaan sifat-sifat Allah 'Azza wa-Jalla dan beriman dengannya, beliau (Imam as-Syafie) menerangkan:

"Allah Tabaraka wa-Ta'ala memiliki asma' (nama-nama) dan sifat-sifat yang telah disebutkan oleh KitabNya (al-Quran) dan dikhabarkan oleh NabiNya sallallahu 'alaihi wa-sallam (hadith-hadith) kepada umatnya, yang tidak boleh diingkari oleh sesiapa pun dari makhlukNya kerana telah sampai kepadanya dalil bahawa al-Quran turun membawa keterangan tentangnya. Begitu juga diriwayatkan tentangnya dengan perawi yang thiqah (dipercayai)". [38]

Dalam menjelaskan Tauhid Uluhiyah, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari Abu Muhammad az-Zubiri bahawa Imam as-Syafie berkata:

"Adapun kewajipan yang berupa beriman kepada Allah yang berupa (kerja) hati, ialah mengakui dan mengetahui dengan penuh keyakinan, redha dan berserah bahawa tiada Ilah (yang berhak diibadahi) selain Allah, tidak ada sekutu bagiNya, tidak mempunyai isteri dan anak, dan mengakui bahawa Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya".[39]

Apabila memperkatakan tentang tauhid rububiyah, Imam as-Syafie membawakan dalil melalui firman Allah:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih berganti malam dan siang........". Maka dijelaskan oleh Imam as-Syafie: "Maka jadikanlah makhluk ciptaan Allah sebagai dalil akan adanya pencipta, janganlah menyusahkan dirimu dengan sesuatu yang tidak dapat dijangkau oleh akalmu".[40]

Antara maksud yang dapat difahami dari penjelasan Imam as-Syafie ini bahawa beliau melarang mencabuli wahyu Allah dengan hawa nafsu atau akal jika sesuatu persoalan yang dikhabarkan oleh wahyu itu berupa persoalan akidah yang tidak mampu dijangkau oleh akal fikiran manusia.

Malangnya para pengikut yang mendakwa diri mereka bermazhab as-Syafie mengenepikan wasiat Imam as-Syafie ini. Mereka mengambil akal (falsafah) sebagai landasan untuk mengenal Allah, agama dan iman. Mereka berakidah dengan akidah kaum Muktazili falsafi, al-Maturidiyah (sifat 20) atau sufi falsafi, bukan akidah yang dianut oleh Imam as-Syafie yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh.

AKIDAH PARA ULAMA AS-SYAFI’EYAH

Di dalam sebuah kitab berbahasa Arab yang memperkatakan akidah kalangan ulama as-Syafie iaitu kitab (بيان الشرك ووسائله عند علماء الشافعية), dibawakan fatwa-fatwa dari beberapa orang ulama as-Syafieyah tentang kesyirikan dan dosa-dosa besar yang bersangkutan dengan persoalan syirik, terutamanya yang berkaitan dengan syirik akbar (syirik besar). Antara contoh-contoh dari fatwa tersebut:

Telah berkata Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah tentang kuburi (قُبُرِيٌّ). Erti dan maksud kuburi ialah: "Orang yang suka memuliakan, mencintai atau menyembah kubur atau juga yang berkaitan dengan pemujaan orang di dalam kubur (orang mati)":

"Maka sesungguhnya antara perkara-perkara yang paling besar diharamkan dan penyebab berlakunya perbuatan syirik (menyekutukan Allah Ta’ala) ialah bersembahyang di sisi kuburan dan menjadikannya masjid atau membina masjid (atau binaan) di atas perkuburan".

Fatwa ulama di atas adalah berdasarkan hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

"Janganlah kamu solat menghadap ke kuburan (atau di kuburan) dan janganlah kamu duduk di atasnya".[41]

Hadith sahih di atas ini dengan jelas melarang seseorang itu duduk di atas kubur, sembahyang di kuburan atau di masjid yang dibina di atas kawasan perkuburan, tetapi berapa ramaikah mereka yang mendakwa dari mereka bermazhab Syafie melanggar wasiat Imam as-Syafie dan para ulama as-Syafieyah? Malah ada dari kalangan mereka membina binaan di atas kubur dan menyediakan tikar di samping kubur sambil membaca doa atau al-Quran untuk si mati. Bukankah ini bertentangan dengan hadith sahih dan wasiat Imam as-Syafie serta para ulama muktabar Syafieyah?.

"Dari Abi Sa'id al-Khudri radhiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Bumi ini semuanya tempat sujud (masjid) kecuali kuburan dan tandas".[42]

Hadith ini dengan terang dan tegas melarang (mengharamkan) orang yang beriman dari bersembahyang di kuburan, di dalam masjid yang dibina di atas tanah perkuburan atau masjid yang di dalamnya terdapat kubur. Hadith ini dan wasiat Imam as-Syafie yang berpandukan hadith ini tidak diperdulikan dan dilanggar oleh sebahagian besar mereka yang mengakui bermazhab as-Syafie sebagaimana yang banyak terdapat di Tanah Melayu pelanggaran wasiat Imam as-Syafie ini. Sebagaimana juga terdapat larangannya di dalam sebuah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

"Dari Anas radhiallahu ‘anhu: Bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam melarang bersolat di antara kubur-kubur".[43]

Malangnya ramai dari kalangan mereka yang mengatakan bermazhab Syafie masih mendirikan solat di kawasan perkuburan, terutamanya di masjid-masjid yang dibina di kawasan perkuburan, d imasjid yang ada kubur di dalamnya dan sembahyang di bangunan kuburan yang dianggap kubur orang suci, orang keramat atau wali Allah. Perbuatan seperti ini amat bertentangan dengan hadith-hadith sahih, bertentangan dengan fatwa Imam Syafie rahimahullah dan para ulama Syafieyah.

Seterusnya al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah menjelaskan:

"Dilaknat pembuatnya (orang yang bersolat, membina masjid atau binaan di kuburan), wajib bersegera merobohkannya dan merobohkan kubbah yang dibina di atas kubur kerana membinanya lebih bahaya dari masjid ad-Dirar yang dibina kerana bermaksiat terhadap Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam, yang mana baginda telah melarang dari melakukan yang demikian".

Imam an-Nawawi rahimahullah juga telah berfatwa tentang perkara yang berkiatan dengan kuburi:

"Tidak dibolehkan bertawaf di kubur Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam, dilarang melekatkan perut dan dada ke dinding kubur. Abu 'Ubaidillah al-Hulaimi dan selainnya yang mana mereka semua menjelaskan fatwa Imam as-Syafie: Dibenci menyapu dengan tangan dan mengucup kubur Nabi".

Berkata Imam al-Bagawi rahimahullah:

"Dilarang dari meletak payung di atas kubur kerana 'Umar radhiallahu 'anhu berkata: Biarkanlah amalnya memayungkannya".

Ibn Hajar di dalam kitabnya (المنهاج) telah menjelaskan fatwa Imam as-Syafie:

"Dibenci mengapur, membina dan menulis tulisan di atas kubur, sama ada menulis namanya di atas batu di sebelah kepalanya atau di tempat-tempat yang lainnya".

Fatwa Imam as-Syafie berdasarkan hadith:

"Dari Jabir radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah melarang kuburan dikapur, diduduki atasnya, didirikan bangunan di atasnya, ditambah atau ditulis di atasnya".[44]

Dengan berpandukan kepada hadith di atas, adalah haram mengecat, mengapur, duduk di atas kubur, mendirikan bangunan, membuat batas (meninggikan batas di sekeliling kubur) kemudian menulis ayat al-Quran, nama atau apa sahaja di atas kubur. Malangnya terlalu ramai penganut mazhab as-Syafie melanggar larangan ini. Mereka meletak payang di atas kubur, menulis nama si mati di atas kuburnya, menulia ayat al-Quran (surah al-Fatihah) membina batas di sekeliling kubur dan membina binaan jika dianggap si mati itu orang yang dimuliakan atau keramat. Seolah-olah hadith sahih dan fatwa Imam as-Syafie tidak ada erti bagi mereka. Apakah orang-orang yang seperti ini dinamakan orang yang beriman?

PERBUATAN SYIRIK

Imam as-Syafie juga telah menjelaskan perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik besar dan syirik kecil yang membatalkan akidah seseorang. Antaranya ialah menyeru, meminta perlindungan (pertolongan), sujud, ruku', bernazar dan berkorban (menyembelih) selain untuk Allah.

Begitu juga seseorang itu ditegah dari mempercayai bahawa selain Allah ada yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib. Ditegah bersumpah dengan selain nama Allah dan melafazkan perkataan: "Dengan kehendak Allah dan kehendak engkau" dan percaya dengan kuasa sihir dan percaya bahawa zat sihir atau ilmu hitam boleh memberi kesan.

FIQH AS-SYAFI’E

Ada beberapa (malah banyak yang berlainan) berbeza antara kenyataan amalan fikeh Imam as-Syafie dengan mereka yang mendakwa dirinya bermazhab as-Syafie. Antara contoh-contohnya ialah:

Solat Hari Raya. Telah berkata Imam as-Syafie sebagaimana yang terdapat di dalam Kitab al-Umm:

"Telah sampai (hadith) kepada kami bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam keluar di dua Hari Raya ke musalla (tanah lapang) di Madinah, begitu juga mereka yang sesudah baginda".[45]

Jika terdapat keuzuran seperti hujan atau selainnya diperintahkan oleh baginda agar bersolat di masjid dan tidak keluar ke tanah lapang".[46]

Ada kalangan yang berdegil bersolat di masjid kerana kononnya beralasan dengan perintah 'Umar:

"Wahai manusia! Sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam keluar bersama manusa ke tanah lapang kerana tanah lapang lebih memudahkan mereka dan lapang bagi mereka. Sesungguhnya masjid pada ketika itu tidak dapat memuatkan mereka".

Hadith di atas telah dianggap sebagai hadis lemah oleh Imam as-Syafie.[47] Berkata Imam Bukhari bahawa hadth ini mungkar dan kedudukan hadith ini sangat lemah. [48]

"Sebagaimana menjadi mazhab jumhur ulama atas afdhalnya bersolat di tanah lapang, dan telah ditegaskan oleh Imam Syafie rahimahulla atas tentang makruhnya bersembahyang di masjid terutama jika dalam keadaan sesak". [49]

Dari apa yang telah dihuraikan, jelaslah bagi kita bahawa Imam as-Syafie rahimahullah adalah seorang ulama besar yang amat berjasa kepada ummah sejak zamannya sehinggalah sekarang. Maka sewajarnya umat yang mencintai para ulama salaf seperti beliau, memelihara segala wasiatnya dan tidak mengkhianatinya.

Semoga Allah sentiasa memberi limpahan rahmat kepadanya dan kepada kita sekalian dengan berkat ilmunya. Amin!

Rujukan:

[1] Lihat: الرسالة Hlm. 7 - 8. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[2] Lihat: الرسالة Hlm. 6. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[3] Lihat: الرسالة Hlm. 6. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[4] Lihat: الرسالة Hlm. 6. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[5] Lihat: الرسالة Hlm. 6. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[6] Lihat: الرسالة Hlm. 5. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[7] Lihat: الرسالة Hlm. 7. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[8] Makna taqlid ialah: (1). الرجوعُ الى قولٍ لا حجة لقائله عليه "Taqlid ialah: kembali kepada qaul (pendapat) yang mana (orang yang memberi pendapatnya) tidak ada hujjah di atas qaulnya". (2). التقليد هو قبولُ قَولَ القائل وانت لا تعلم من اين قاله "Taqlid ialah: Menerima perkataan seseorang sedangkan engkau tidak tahu dari mana (ia mengambil) perkataannya".
[9] Lihat: جامع البيان العلم وفضله Jld. 1. Hlm. 91. Abu 'Umar Yusuf bin Abdulbar an-Namri al-Qurtubi.
[10] Lihat: اعلام الموقعين (17) Ibn Qaiyyim al-Jauzi.
[11] Lihat: اعلام الموقعين (17) Ibn Qaiyyim al-Jauzi.
[12] Lihat: تفسير الالوسى (10/84).
[13] Lihat: الاعتصام jld. 2. Hlm. 359. As-Syatibi. Makkah al-Mukarramah.
[14] Lihat: مسائل الامام احمد Diriwayatkan oleh Abu Daud. Hlm. 277.
[15] Lihat: الاحكام فى اصول الاحكام Jld. 6. 118. Abu Ali Bin Hazam al-Andulusi az-Zahari.
[16] Lihat: هل المسلم ملزم باتباع مذهب معين من المذاهب الاربعة Hlm. 70. Muhammad Sultan al-Maksumi.
[17] Lihat: البدعة تحديدها وموقف الاسلام منها Hlm. 160. Dr. Izzat Ali 'Atiah. Darul Kitab al-Arabi. Lebnon.
[18] Lihat:الباعث على انكار البدع والحوادث Hlm. 12. Abi Syamah as-Syafie.
[19] Lihat: الحاوي Jld. 1. Hlm. 539. as-Syuyuti. Tahqiq Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid. Terbitan at-Tijariyah.
[20] Lihat: (1). اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 36. Abdul Qayyum bin Muhammad bin Hashir as-Sahaibani. (2). مناقب الشافعى Jld. 1. Hlm 469. (3). الباعث على انكار البدع والحوادث Hlm. 94. Syihabuddin Abu Muhammad Abdulrahman bin Ismail (lebih dikenali dengan laqab) Abu Syamah.
[21] H/R Muslim.
[22] Lihat: فتاوى أئمة المسلمين Jld. 1. Hlm. 138. Mahmud Khatab as-Subki. Al Istiqamah.
[23] Lihat: اللمع فى الرد على مُحَسِّني البدع Hlm. 37. Abdul Qayyum bin Muhammad bin Nashir as-Sahaibani.
[24] Al-Maidah, 5:3.
[25] H/R Ahmad (24840). Bukhari (2499). “Raddun (رَدٌّ) bererti bid’un (bid’ah) sebagaimana yang dijelaskan oleh Ali Hasan dalam bukunya Usul al-Bid’ah”.
[26] H/R Bukhari.
[27] Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 38.
[28] Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 38.
[29] Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 39.
[30] Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 39.
[31] Lihat: المجموع Jld. 1. Hlm. 63.
[32] Lihat: سير اعلام النبلاء Jld. 10. Hlm. 34
[33] Lihat: (1). اَلاَحْكَام فى اصول الاحام Jld. 1. Hlm. 145. Abu Ali bin Hazam al-Andulusi. (2). جامع بيان العلم وفضله Jld. 1. Hlm. 147. Abu 'Umar Yusuf bin Abd al-Barr al-Qurtubi. (3). الفتاوى Jld. 1. Hlm. 147.
[34] Lihat: مناقب الشافعى Hld. 1. Hlm. 413.
[35] Lihat: شرح اصول الاعتقاد اهل السنة والجماعة Jld. 2. 701. Abul Qasim Hibatullah bin al-Husin at-Tabary al-Lalakaii. Tahqiq Ahmad Sa'ad Hamdan. Dar Taiyibah. Riyad. Saudi Arabia.
[36] Dikeluarkan oleh Abu Daud (4691). Bab al-Qadar.
[37] Lihat: Sunnah Dan Syiah, Mungkinkah Dipertemukan? Hlm. 57. Dr. Abdullah Muhamma Gharib. Edisi pertama. Surabaya. l984.
[38] Lihat: صفة العلو Ibn Qudamah. Hlm. 124.
[39] Lihat: مناقب الشافعي Jld. 1. Hlm. 387. Al-Baihaqi.
[40] Lihat: شعار العلم النبلاء Az-Zahabi. Tahqiq Syu'aib. Muassasah ar-Risalah.
[41] H/R Muslim (3/62). Abu Daud, Ahmad, Nasaii, Turmizi dan selain mereka.
[42] H/R Abu Daud No 492. Darimi (1/322) Ibnu Majah No 745. Ahmad,Turmizi, Hakim dan Ibn Hibban.
[43] H/R al-Bazzar
[44] H/R Muslim (3/63). Abu Daud No. 3225-3226) Ahmad (3/295, 332, 339, dan 399). Diriwayatkan juga oleh Turmizi dan Hakim.
[45] Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 207.
[46] Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 207.
[47] Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 207.
[48] Lihat: صلاة العيدين فى المصلى هى السنة Hlm. 27. Nasruddin Al-Albani. Maktabah al-Islami. Beirut. Cetakan Kedua. 1406H-1986M.
[49] Lihat: صلاة العيدين فى المصلى هى السنة Hlm. 27. Nasruddin Al-Albani. Maktabah al-Islami. Beirut. Cetakan Kedua. 1406H-1986M.

5 ulasan:

Mohd Haneef bin Haji Mohd Yusoff berkata...

ahlussunnah wal jamaah ini di mana dan siapa?

apakah itu sunnah nabi s.a.w?
pernahkah kita lihat jamaah ini?

apakah ciri, sifat2 ahlussunnah waljamaah?

Maliku jabbar berkata...

Assalamualaikum wbt..jawapan pada org yg bertanya siapakah di maksudkan ahlus sunnah wal'jammah!!!

Ahlus sunnah wal'jamaah iaitu yg mengikuti akidah abu hassan asya'ari al 'mutarinddiyah yg di sepakat oleh ijma 4 imam mazhab dan para imam muhadistssin dan yg lain.. imam abu hassan asya'ari melepasi di fasal 3,kerana sewaktu di fasal 1 beliau di ajar oleh imam jubb'i al mu'tazili berfahaman muktazilah dan di fasal 2 beliau berlajar ilmu kalam dari said bin kullab atau di kenali ibnu kullab..maka di fasal 3 itulah beliau di temukan hidayat dari Allah bermimpin berjumpa Rasulullah saw..di situlah terjadinya pembalaan sunnah Rasulullah saw sewaktu umat islam di pengaruhi oleh fahaman muktazilah yg di dalami ayah tirinya dan ibnu kullab gurunya sendiri kerana tidak bersefahaman dgn pendapat mereka..malah sewaktu itu imam hambali di penjarakan oleh pembesar yg termakan fahaman muktazilah..wallahualam bishowab...

Maliku jabbar berkata...

Saudara yg bertanya,kerana info si admin nie lengkap dan semua rujukan yg di letakkan,tidak macam sesetengah blog yg cuma info dan kitab rujukan hanya 1-2 saje yg di tonjolkan dlm blog mereka,saudara jgn nak menangkan sayyid hassan ali as-saqqaf kerana saudara tidak kenal,saudara cuma mendengar dan merujuk dlm kitab mereka malahan dlm kitab syiah saudara tidak mahu pulak rujuk ada di sebut ke tidak..pergilah ke pustaka mereka (berhijrah) mencari sejarah mereka yg sebenar..Jgn cuma menyalak bagaikan serigala melihat bulan mengambang saje..fikir-fikirkanlah..wallahualam

Maliku jabbar berkata...

Assalamualaikum wbt..jawapan pada org yg bertanya siapakah di maksudkan ahlus sunnah wal'jammah!!!

Ahlus sunnah wal'jamaah iaitu yg mengikuti akidah abu hassan asya'ari al 'mutarinddiyah yg di sepakat oleh ijma 4 imam mazhab dan para imam muhadistssin dan yg lain.. imam abu hassan asya'ari melepasi di fasal 3,kerana sewaktu di fasal 1 beliau di ajar oleh imam jubb'i al mu'tazili berfahaman muktazilah dan di fasal 2 beliau berlajar ilmu kalam dari said bin kullab atau di kenali ibnu kullab..maka di fasal 3 itulah beliau di temukan hidayat dari Allah bermimpin berjumpa Rasulullah saw..di situlah terjadinya pembalaan sunnah Rasulullah saw sewaktu umat islam di pengaruhi oleh fahaman muktazilah yg di dalami ayah tirinya dan ibnu kullab gurunya sendiri kerana tidak bersefahaman dgn pendapat mereka..malah sewaktu itu imam hambali di penjarakan oleh pembesar yg termakan fahaman muktazilah..wallahualam bishowab...

Maliku jabbar berkata...

Assalamualaikum wbt..jawapan pada org yg bertanya siapakah di maksudkan ahlus sunnah wal'jammah!!!

Ahlus sunnah wal'jamaah iaitu yg mengikuti akidah abu hassan asya'ari al 'mutarinddiyah yg di sepakat oleh ijma 4 imam mazhab dan para imam muhadistssin dan yg lain.. imam abu hassan asya'ari melepasi di fasal 3,kerana sewaktu di fasal 1 beliau di ajar oleh imam jubb'i al mu'tazili berfahaman muktazilah dan di fasal 2 beliau berlajar ilmu kalam dari said bin kullab atau di kenali ibnu kullab..maka di fasal 3 itulah beliau di temukan hidayat dari Allah bermimpin berjumpa Rasulullah saw..di situlah terjadinya pembalaan sunnah Rasulullah saw sewaktu umat islam di pengaruhi oleh fahaman muktazilah yg di dalami ayah tirinya dan ibnu kullab gurunya sendiri kerana tidak bersefahaman dgn pendapat mereka..malah sewaktu itu imam hambali di penjarakan oleh pembesar yg termakan fahaman muktazilah..wallahualam bishowab...