Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Rabu, 29 Ogos 2007

020 - Persoalan Puasa Sunat Enam Syawal

Persoalan Puasa Sunat Enam Syawal

Oleh: Hafiz Firdaus Abdullah

Proper View:
http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Selain puasa wajib pada bulan Ramadhan, syari`at Islam juga membuka peluang kepada sesiapa yang ingin berpuasa di luar bulan Ramadhan. Ia disebut sebagai puasa sunat dan terbahagi kepada beberapa jenis. Puasa-puasa sunat adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Rasulullah s.a.w. bersabda, bahawa Allah s.w.t. berfirman (Hadis Qudsi):

"Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu)." (Rasulullah melanjutkan): "Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi." [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1151 (Kitab al-Siyam, Bab keutamaan berpuasa)]

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. Para pembaca boleh merujuk ke kitab al-Shahih al-Musnad min Fadhail al-Amal susunan Syaikh Ali bin Muhammad al-Maghribi (Dar Ibn `Affan, Riyadh, 2000). Di antara jenis puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Puasa sunat inilah yang akan saya kupas dalam risalah ini.

------
Dalil Puasa Sunat Enam Syawal
------

Dalilnya ialah hadis Rasulullah s.a.w.: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun." [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1164 (Kitab al-Siyam, Bab disunatkan berpuasa enam hari dari bulan Syawal)]

------
Darjat Hadis Puasa Sunat Enam Syawal
------

Hadis yang menjadi dalil puasa sunat enam Syawal adalah sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Sebelum ini ada segelintir pihak yang meragui kesahihan hadis ini. Keraguan tersebut adalah sia-sia kerana hadis ini diriwayatkan dari beberapa sahabat dan memiliki banyak jalan periwayatan. Syaikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Bassam menjelaskan:

"Hadis ini nyata kesahihannya, ia datang dengan tiga jalan periwayatan selain jalan di atas (yang dikemukakan oleh Imam Muslim). Ia juga diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dengan tiga wajah (yang berlainan) sehingga dikatakan: Sesungguhnya ia adalah hadis mutawatir. Ini kerana al-Dimyathi telah menghimpun semua jalan periwayatan hadis ini dan sanadnya dari dua puluh orang perawi, kebanyakan mereka hafiz dan thiqat." [Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 3, ms. 533]

------
Hukum Puasa Sunat Enam Syawal
------

Hukumnya adalah sunat sebagaimana jelas Syaikh Abdullah al-Bassam: "Disunatkan berpuasa enam hari (dibulan Syawal), ini merupakan mazhab al-Salaf dan al-Khalaf serta jumhur ilmuan, termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi'e dan Imam Ahmad." [Taudhih al-Ahkam, jld. 3, ms. 533]

Imam Malik menganggap hukumnya makruh. Sebabnya dijelaskan oleh Imam Ibn Rusyd (595H): "Dan ada pun (puasa) enam hari dari bulan Syawal, maka sesungguhnya telah sabit bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun." Walaubagaimana pun (Imam) Malik menganggap hukumnya makruh. (Anggapan ini) mungkin kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan, atau mungkin kerana hadis tersebut tidak sampai kepadanya, atau mungkin kerana hadis itu tidak sahih disisinya. Kemungkinan yang terakhir adalah yang lebih tinggi." [Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtashid (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 209]

Sebahagian ilmuan dari Mazhab Hanafi ada juga yang menganggap hukumnya makruh atas sebab-sebab yang sama dengan Mazhab Maliki. Akan tetapi jumhur Hanafiyah menganggapnya tidak mengapa, yakni membolehkannya. [Ibn `Abidin – Rad al-Muhtar `ala al-Dur al-Mukhtar fi Syarh Tanwir al-Abshor (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn), jld. 3, ms. 435]

------
Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
------

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa`id al-Khudri berkata: "Nabi s.a.w. melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha." [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1991 (Kitab al-Shaum, Bab berpuasa pada hari Aidil Fitri).]

------
Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
------

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Hanya saja terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan: Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara rambang?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah s.a.w. menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal.

Walaubagaimana pun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan keumuman firman Allah s.w.t.: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." [Surah Ali Imran 3:133]

------
Tidak Ada Hari Raya Selepas Puasa Sunat Enam Syawal
------

Sebahagian orang ada yang menyambut Hari Raya pada 1 Syawal dengan perasaan hambar dan kekosongan. Bagi mereka, Hari Raya yang memiliki erti sambutan dan kegembiraan sepenuhnya ialah pada hari selepas mereka menggenapkan puasa sunat enam Syawal.

Ini adalah satu bid`ah yang mungkar. Hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Dua hari ini bukanlah sesuatu yang dibuat-buat manusia tetapi disyari`at oleh tuhan yang mencipta manusia, yakni Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mengantikan untuk kalian dua perayaan yang lebih baik dari perayaan (zaman jahiliyah), iaitu (perayaan Aidil) Adha dan (perayaan Aidil) Fitri." [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 1134 (Kitab al-Solat, Bab solat dua hari raya)]

Oleh itu hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Hanya pada dua hari inilah kita menyambut dengan penuh kegembiraan kerana ia disyari`atkan oleh Allah s.w.t.. Tidak ada hari perayaan sempena genapnya puasa sunat enam Syawal.

------
Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan
------

Wujud perbincangan di kalangan para ilmuan, adakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini membuahkan dua pendapat.

Pendapat Pertama membolehkannya berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya'ban yang akan datang. Aisyah berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya'ban kerana sibuk (melayani) Rasulullah s.a.w.." [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1146 (Kitab al-Siyam, Bab mengqadha puasa Ramadhan pada
bulan Syawal). Dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayai Rasulullah" ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yangbernama Yahya bin Sa`id.]

Para ilmuan yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah, yakni Aisyah, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya'ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua tidak membolehkannya berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun."

Rasulullah s.a.w. mensyaratkan "berpuasa Ramadhan" terlebih dahulu, kemudian barulah "mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal". Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Pendapat yang rajih (kuat) ialah pendapat kedua kerana lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini ditambah dengan ayat 133 surah Ali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan.
Sudah tentu amal yang wajib lebih disegerakan dari amal yang sunat.

Ada pun dalil yang digunakan oleh pendapat pertama, ia hanya satu andaian. Mereka hanya membuat andaian bahawa Aisyah telah berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Yang benar Aisyah tidak menerangkan sedemikian. Bahkan jika diperhatikan dengan cermat keterangan Aisyah, terdapat isyarat bahawa beliau juga tidak berpuasa sunat enam Syawal. Ini kerana jika beliau sentiasa sibuk melayani Rasulullah sehingga ke bulan Sya'ban, bererti beliau sememangnya tidak sempat untuk berpuasa tanpa mengira sama ada ia puasa wajib (mengqadha puasa Ramadhan) mahu pun puasa sunat (enam Syawal).

Di sini mungkin ada yang bertanya: "Ehh! Takkanlah isteri Rasulullah tak puasa sunat enam Syawal?" Pertanyaan ini dijawab, bahawa umat Islam generasi awal, termasuklah Aisyah, tidak memahami Islam dalam bentuk juzuk-juzuk kecil sebagaimana yang difahami oleh umat Islam masa kini. Mereka memahami Islam dalam konteks yang luas lagi jauh ke hadapan. Bagi mereka, amal yang memberi manfaat kepada orang ramai diunggulkan di atas amal yang memberi manfaat kepada diri sendiri. Amal yang besar manfaatnya diunggulkan di atas amal yang sederhana manfaatnya. Amal yang memiliki manfaat jangka panjang diunggulkan di atas amal yang memiliki manfaat jangka pendek.

Justeru jika Aisyah tidak berpuasa sunat enam Syawal, ia bukanlah satu kekurangan. Ini kerana memberi tumpuan melayani Rasulullah s.a.w. memiliki manfaat yang besar untuk umat Islam seluruhnya untuk jangka masa yang panjang.

------
Ibadah Puasa Bukan Syampu Rambut 2 Dalam 1
------

Terdapat pandangan yang amat masyhur di Malaysia yang membolehkan puasa dua dalam satu, iaitu puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat Syawal dilaksanakan dalam satu hari. Ramai agamawan yang menyampaikan petua ini tanpa mengemukakan apa-apa dalil al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih. Tidak kurang pula, ramai orang bukan agama yang menerima petua ini tanpa bertanya apakah dalil al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih yang membolehkannya. Mereka menjadikan persoalan ini semudah syampu rambut 2 dalam 1.

Padahal ia adalah satu persoalan yang amat berat. Prof. Dr. Hasbi al-Shiddieqie rahimahullah (1394H) menjelaskan:

"Kemudian hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. Dalilnya ialah firman Allah: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. [al-Baiyinah 98:05].

Ikhlas yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah mengikhlaskan amal ibadah yang disuruh dengan cara yang disuruh. Demikian menurut Imam Malik, al-Shafi`e dan Abu Sulaiman. Kemudian perhatikanlah pula hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim daripada A'isyah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amal yang tidak ada atasnya tuntutan (ajaran) kami, maka amalnya itu tertolak.

Maka sesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan dengan amalan lain, bererti telah melakukan suatu amal yang tiada dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan tiada dibenarkan oleh Allah s.w.t.. Kerana itu, amalan sebegini tidak diterima." [Pedoman Puasa (Thinker's Library, Kuala Lumpur, 1996), ms. 136-137]

1 ulasan:

Nawawi Bin Subandi berkata...

Sedikit Tambahan/Update:

Puasa Enam (Puasa Syawal)

Disunnahkan oleh syara mengiringi puasa di bulan Ramadan dengan berpuasa enam hari di dalam bulan Syawal. Setelah berpuasa enam, maka tidak ada acara menyambut Hari Raya yang dikhususkan untuk merayakan puasa enam seperti apa yang dinamakan “Hari Raya Ketupat Besar” sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat Melayu.

Dalil-dalil yang menunjukkan sunnahnya puasa enam hari di bulan Syawal:

عَنْ اَبِيْ اَيُّوْبَ اْلاَنْصَارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اَتْبَعَهُ سِتَّا مِنْ شَوَّالِ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ.

“Dari Abi Ayub al-Ansari radiallahu ‘anhu: Bahawa Rasulullah bersabda: Barangsiapa berpuasa ramadan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti puasa setahun”. (H/R Muslim (1164). Ibn Majah (1612/1716). Imam Ahmad dalam musnadnya (2/204-5/417/419). Abu Daud (2433). Tirmizi (759). Nasaii dalam As-Sunan al-Kubra (2/2862). At-Thayalisi dalam Al-Musnad (hlm. 81). Abdurrazzak dalam Al-Musannaf (7918, 7919, 7921). Ibnu Syaibah dalam Al-Musannaf (3/97). At-Tahawi dalam Musykil al-Atsar (2238, 2340,2341,2345). Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra (4/292), H/R Ahmad 417. Muslim 822 (Kitabus Siam) no. 1164. Abu Daud. 2/812-813. (Kitabus Siam). No 2433. At-Turmizi . (Bab As-Siam) no 756 Turmizi berkata: Hadis hasan sahih. Ibnu Majah 3/206-207 (Kitabus Siam) no 1716)

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ اِبْرَاهِيْمَ : اَنَّ اُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ كَانَ يَصُوْمُ اَشْهُرَ الْحُرُمِ ، فَقَالَ لَهُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صُمْ شَوَّالاً. فَتَرَكَ اَشْهُرَ الْحُرُمِ ثُمَّ لَمْ يَزَلْ يَصُوْمُ شَوَّالاًحَتَّى مَاتَ.

“Dari Muhammad bin Ibrahim bahawa Usamah bin Zaid berpuasa pada bulan-bulan mulia, lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda kepadanya: Puasalah pada bulan Syawal. Lalu dia meninggalkan puasa bulan-bulan mulia dan terus berpuasa dibulan Syawal hingga dia meninggal dunia”. (Lihat: Al-Jami As-Saghir 2/99 hadis no 5037. Imam as-Syuti menyebutkan bahawa hadis ini sahih. H/R Ibnu Majah no. 1744)

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ فَشَهْرٌ بِعَشَرَةِ أَشْهُرٍ وَصِيَامُ سِتَّةِ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ فَذَلِكَ تَمَامُ السَنَةِ

“Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan, maka puasa sebelum itu sama dengan sepuluh bulan dan dengan puasa enam hari setelah berbuaka (berhari raya), maka itu melangkapi puasa setahun”. ((H/R Ahmad 5/280). Ibnu Majah (1715). An-Nasaai dalam As-Sunan Al-Kubra (2/2860). Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra (4/393) dan dalam Asy- Syu’bah Al-Imam 3/3736). Al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (2/362) Ad-Darimi dalam As-Sunan (2/21). Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya (2115). At-Tahawi dalam Musykil Al-Atsar (2348). At-Tabrani dalam Musnad Asy- Syamiyin (903))

Menurut Imam An-Nanawi rahimahullah: “Para ulama berkata: Bahawa puasa enam setara dengan puasa setahun, kerana satu kebaikan diberi ganjaran sepuluh kali ganda. Puasa sebulan Ramadan sama dengan puasa sepuluh bulan, puasa enam pula sama dengan berpuasa dua bulan”. (Lihat: Syarah Muslim 3/238)

Menurut Ibn Qudamah rahimahullah: “Puasa enam hari di bulan Syawal disunnahkan sebagaimana pendapat kebanyakan para ulama, iaitu berdasarkan riwayat dari Ka’ab al-Ahbar, Asy-Syafie dan Maimun bin Mihran serta inilah pendapat Imam Asy-Syafie rahimahullah dan Ahmad”. (Lihat: Al-Baihaqi dalam Ma’rifat As-Sunan Wal-Atsar (3/450). An-Nawawi dalam Syarah Muslim (3/238). Abdullah bin Ahmad dalam Masail Ahmad hlm 93. Syarah ‘Umdatul Ahkam (2/556)). (Lihat: Al-Mugni (4/438))

Apakah Dikerjakan Pada Minggu Pertama Syawal Atau Semestinya Berturut-turut?

Tidak disyaratkan dikerjakan pada minggu pertama Syawal, kedua atau ketiga atau secara beruturut. Boleh dikerjakan pada Hari Raya kedua, berturut-turut atau diselang seli kerana keumuman sabda Rasulullah:

وَأَتْبَعَهُ بِسِتٍّ مِنْ شَوَّالَ (وَفِى رِوَايَةٍ) سِتًّا مِنْ شَوَّالَ.

“Dan ikutkanlah/iringkanlah dengan puasa enam hari di bulan Syawal. (Diriwayat yang lain) Enam hari di bulan Syawal”.

Hadis di atas ini menunjukkan bahawa bulan Syawal keseluruhannya waktu untuk berpuasa enam, diberi kelongaran sehingga tidak dikhususkan sebahagian waktu dengan waktu yang lain, yang pesti ia dipisahkan oleh puasa Ramadan dengan Hari Raya pertama (1hb Syawal), kerana tidak dibolehkan berpuasa pada awal Hari Raya.

Ibn Taimiyah menjelaskan: Telah diketahui bahawa puasa Syawal tidak bersambung dengan puasa Ramadan, jika melakukannya di awal bulan lebih afdal kerana lebih hampir dengan Ramadan, maka melakukan di akhir bulan Syawal juga afdal kerana mengakhirinya menghampirkan puasa Ramadan dengan puasa lainnya, atau menjadikan Hari Raya kedua seperti yang dilakukan sebahagian orang, maka keduanya ada kebaikannya sama ada di awal atau di akhir Syawal.

Menurut Imam An-Nawawi rahimahullah: “Pendapat dari kalangan ulama Syafiyah puasa enam hari sunnah dilakukan secara berterusan/berurutan, kerana menurut Imam an-Nawawi: Para sahabat kami berkata: Disunnahkan puasa enam bulan Syawal berdasarkan hadis sahih. Mereka juga berkata: Disunahkan berpuasa berurutan (terus menerus enam hari tanpa diputuskan), tidak ditunda sehingga akhir bulan, namun sebaliknya juga dibolehkan, orang yang melakukan masih mengikut sunnah yang sesuai dengan keumuman makna hadis dan kemutlakannya. Dan ini tiada perbizaan dikalangan mazhab kami, sebagaimana juga pendapat Ahmad dan Abu Daud”. (Lihat: Al-Majmu’ (6/379))

Menurut Imam Ahmad, dijelaskan oleh anaknya Abdullah: “Nabi Muhammad bersabda: Enam hari dari bulan Syawal, maka apabila seseorang berpuasa enam hari tersebut, tidak perlu dikhuatari sama ada dilakukan berselang seli atau serentak (berurutan)”. (Lihat: Masail Abdullah hlm. 193)

Berpuasa enam Syawal sunnah hukumnya dan diberi pahala yang besar.

Puasa Sunnah Enam, Apakah Boleh Didahulukan Jika Ada Puasa Qada (Mengqada Puasa Ramadan)?

Syeikh Utaimin rahimahullah berkata: “Ini adalah suatu persoalan yang perlu dijelaskan, iaitu bahawa puasa enam (di bulan Syawal) tidak boleh didahulukan dari mengqada puasa fardu Ramadan yang tertinggal. Jika ada yang tertinggal puasa Ramadan, kemudian melakukan puasa enam sebagai sunnah mutlak, ia tidak memperolehi sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi di dalam hadisnya (Lihat: Syarah Al-Mumti’ (6/448)):

مَنْ تَطَوَّعَ وَعَلَيْهِ مِنْ رَمَضَانَ شَيْءٌ لَمْ يَقْضِهِ فَاِنَّهُ لاَ يُتَقَبَّلُ مِنْهُ حَتَّى يَصُوْمَهُ

“Barangsiapa yang mengerjakan puasa sunnah sedangkan ia mempunyai hutang (qada’) Ramadan yang belum ditunaikan, maka puasa sunnahnya tidak diterima sampai ia membayarnya (mengqada’nya). (Lihat: Al-Mugni. 4/401)

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اتْبَعَهُ بِسِتٍّ مِنْ شَوَّالَ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ.

“Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan, lalu ia mengiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seakan-akan ia telah berpuasa setahun”.

Oleh kerana hadis ini menetapkan: (Barangsiapa yang berpuasa Ramadan) adalah jelas. Sebahagian ahli ilmu ada yang berbeza pendapat tentang sahnya melakukan puasa sunnah sebelum mangqada’ puasa wajib. Namun masalah ini tidak berlaku khasnya kepada perkara ini, kerana hadis ini menyatakan dengan jelas tidak ada puasa enam hari kecuali setelah mengqada’ puasa Ramadan”. (Lihat: Al-Mugni. 4/401)

Perbezaan Pendapat Tentang Puasa Enam Syawal

Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad tidak menganggap sunnah puasa enam hari di bulan Syawal. Namun ini diingkari (dibantah) oleh al-Hafiz Asy-Syaukani, beliau mengatakan:

“Mereka berhujjah bahawa mungkin (puasa enam hari Syawal) akan dianggap sebagai puasa yang wajib. Ini adalah pendapat yang batil yang tidak pantas dikeluarkan oleh orang yang memiliki akal fikiran, apalagi seorang ulama seperti mereka dalam menentang sunnah yang sahih dan jelas. Malah pendapat seperti ini akan berlaku pula pada semua puasa yang dianjurkan oleh agama dan tidak seorangpun yang mengatakan demikian. Sementara Imam Malik berhujjah dalam memakruhkannya sebagaimana yang beliau katakan di dalam Al-Muwata’: Bahawa beliau tidak pernah melihat seorangpun dari kalangan ulama yang mengerjakan puasa enam hari Syawal. Sedangkan perlu dijelaskan bahawa jika ia tidak melihat seseorang melakukan sesuatu sunnah, maka tidak bererti pendangannya boleh menolak sunnah”. (Lihat: Nailul Autar (4/282))

Pendapat Yang Rajih (Lebih Sahih Dan Kuat)

Namun pendapat yang lebih rajih ialah hadis Aisyah radiallahu ‘anha bahawa beliau mengqada’ puasanya di bulan Syaban dan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam membenarkannya:

ِكَانَ يَكُوْنُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ فَمَا أَسْتَطِيْعُ أَنْ أَقْضِيَهُ اِلاَّ فِى شَعْبَانَ

“Dahulu aku mempunyai hutang puasa Ramadan, maka aku tidak mampu mengqada’nya kecuali pada bulan Sya’ban”. (H/R Bukhari l950. Muslim 1146)

Maka dibolehkan berpuasa sunnah sebelum mengqada’ puasa wajib yang tertingggal. Kewajipan mengqada’ puasa tidak dibatasi oleh waktu-waktu tertentu. (Lihat: Bada’ As-Sanai’ 2/104. (rujuk pendapat al-kasani))

Menurut Imam An-Nawawi: Mazhab Maliki, Abu Hanifah, As-Syafie, Ahmad dan Jumhur Ulama Salaf dan Khalaf, bahawa mengqada’ puasa Ramadan bagi orang yang meninggalkannya kerana uzur seperti disebabkan haid atau dalam musafir, maka tidak disyaratkan mengqada’nya dengan segera setelah mampu melakukannya, (Lihat: Syarah Muslim. 3/213. An-Nawawi) kerana keumuman Firman Allah Azza wa-Jalla:

فَعِدَّةٌ مِنْ أيَّامٍ أُخَرُ يُرِيْدُ اللهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيْدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

“berpuasalah dihari-hari yang lain, Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesusasah bagi kamu”. (al-Baqarah 2: 185)

Menurut Imam Qurtubi rahimahullah: “Ayat ini menunjukkan wajibnya mengqada’ puasa tanpa ditentukan harinya, kerana lafaz ayat tersebut berlaku sepanjang masa tanpa ditentukan pada masa-masa tertantu”. (Lihat: al-Jami Li Ahkam Al-Quran 2/282. al-Qurtubi)

Syeikul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah setelah mengingkari pendapat Imam Ahmad rahimahullah yang memakruhkan puasa enam hari Syawal, maka Ibn Taimiyah berkata: “Apabila dilakukan di akhir Ramadan, maka antara keduanya telah terpisah oleh Hari Raya. Dan larangan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berkenaan puasa di Hari Raya menunjukkan bahawa larangan tersebut khusus jika dikerjakan pada hari itu sahaja, sedangkan di hari-hari setelahnya adalah hari yang dibolehkan dan diizinkan untuk berpuasa. Jelasnya jika baginda mahu melarang dari puasa enam hari Syawal, pasti baginda akan menegahnya sebagaimana baginda menegah berpuasa diawal bulan Ramadan (Lihat: Syarah Al-Umdah (2/559)):

لاَ تُقَدِّمُوْا رَمَضَانَ بِصَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ.

Janganlah kamu mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya”. (Rujuk: Sahih Bukhari hadis no: 1914, Sahih Muslim, hadis no: 2514)

Berpuasa Pada Hari Tarwiyah?

Soalan:

Apa hukumnya berpuasa pada hari Tarwiyah sebagaimana yang sering diamalkan oleh ramai orang-orang Islam dewasa ini? Apakah hukumnya sunnah atau bid’ah?

Jawapan:

Puasa dihari tarwiyah hukumnya bid’ah dan haram kerana tiada hadis sahih yang warid dari Rasulullah yang memerintahkan berpuasa pada hari tersebut. Malah hadis tentang berpuasa pada hari Tarwiyah adalah hadis lemah atau palsu. Sebagaimana hadis di bawah ini:

صَوْمُ يَوْمِ التَّرْوِيَةِ كَفَّارَةُ سَنَةٍ ، وَصَوْمُ يَوْمِ عَرَفَةَ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ.

“Berpuasa pada hari Tarwiyah menghapuskan dosa satu tahun, dan berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa dua tahun”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Dailami dalam kitabnya “Musnad Firdaus”. 2/248. Hadis ini maudu’ kerana sanadnya tidak tsiqah (berpenyakit). Antara penyebab kelemahannya ialah:

Perawinya Muhammad bin as-Saaib al-Kalbi, dia seorang pendusta hadis (kazzab). Kebohongannya diakui sendiri oleh beliau. Beliau meriwayatkan hadis di atas ini dari Abi Salih. Sedangkan beliau pernah berkata kepada Sufyan as-Tahuri rahimahullah tentang Abu Salih:

“Setiap hadis yang kamu dengar dari aku melalui jalan Abi Saleh dari Ibnu Abbas, maka hadis-hadis tersebut adalah bohong (dusta)”.

Al-Hafiz Imam Hakim rahimahullah berkata:

“Muhammad bin as-Saaib al-Kalbi meriwayatkan hadis ini dari Abi Saleh. Hadis-hadis darinya adalah maudu’ (hadis tentang puasa hari Tarwiyah ini diriwayatkan dari Abi Saleh. Pent)”.

Untuk mengenali lebih lanjut komentar siapa Muhammad bin As-Saaib bin al-Kalbi, sila rujuk kepada kitab-kitab berikut:

Al-Jarah wat-Ta’dil 7/721. Tulisan Ibnu Abi Hatim.

Tahzibut Tahzib 9/5178. Tulisan al-Hafiz Ibn Hajar.

At-Taqrib 2/163. Tulisan Ibn Hajar.

Ad-Du’afa 2/253-256. Tulisan Imam Ibnu Hibban.

Selain kitab-kitab di atas, terdapat beberapa buah kitab lain yang telah menjelaskan tentang lemah dan palsunya hadis “Puasa Pada Hari Tarwiyah”.

Berpuasa Sunnah Pada Hari ‘Arafah

Soalan: Apakah benar berpuasa pada Hari ‘Arafah itu sunnah, iaitu pada tanggal 9hb. Zulhijjah? Ada sebahagian ustaz sunnah mengatakan bid’ah. Diharap ustaz dapat menjawab dengan berdalil atau hujjah yang tepat agar menjadi panduan kami dan jamaah.

Jawapan: Berpuasa pada Hari ‘Arafah (Hari Arafah ialah pada 9hb Zulhijjah) dan Hari ‘Asyura hukumnya sunnah kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ ، اَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ اَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِيْ قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِيْ بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُوْرَاءَ ، اَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ اَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِيْ قَبْلَهُ.

“Berpuasa pada hari ‘Arafah, aku mengharapkan dari Allah akan menghapuskan dosa selama satu tahun yang telah berlalu dan satu tahun yang akan datang. Berpuasa pada hari ‘Asyura aku mengharapkan dari Allah agar menghapuskan dosa satu tahun yang telah lalu”. Hadis ini sahih, diriwayatkan oleh beberapa orang perawi, antaranya dirawayatkan oleh Imam Muslim 3/168. Abu Daud no. 2425. Ahmad 5/297. 311. Dan Baihaqi 4/286.

عَنْ اَبِيْ قَتَادَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سُئِلَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ ؟ قَالَ : يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَّةَ وَالْبَاقِيَّةَ.

“Dari Qatadah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ditanya perihal berpuasa pada hari Arafah (tanggal 9hb Zulhijjah). Baginda bersabda: Puasa pada hari itu dapat menghapuskan dosa pada tahun yang lalu serta tahun yang akan datang”. Hadis sahih riwayat Imam Muslim. Pada bab 227. “Keutamaan Berpuasa Pada Hari Arafah, ‘Asyura dan Tasu’a”. Lihat: Riyadus Salihin. Jilid 2. Imam Nawawi.

Melalui hadis di atas ini jelaslah bahawa berpuasa pada hari Arafah adalah sunnah hukumnya.