SEKITAR PERSOALAN AMALAN WANITA YANG DIDATANGI HAID
Kuliah Berkenaan Tajuk Di atas (mp3)
[Download]
SOALAN:
Apa hukumnya seorang wanita berhadas besar seperti dalam keadaan haid untuk duduk belajar, mendengar ceramah (kulliah) atau diam di dalam masjid? Apakah dibolehkan atau diharamkan? Tolong jelaskan dengan dalil-dalil dari al-Quran dan hadis sahih serta penjelasan dari syara.
JAWAPAN:
Tidak mengapa (dibolehkan) bagi wanita yang sedang kedatangan haid atau berhadas besar (berjunub) belajar, membaca al-Quran, mendengar kulliah (ceramah) dan diam di dalam masjid. Malah dibolehkan duduk atau tinggal lama di dalam masjid walaupun dalam keadaan berhadas besar seperti semasa kedatangan haid. Adapun dalil-dalil dari syara yang membolehkan ialah:
1 - Imam al-Bukhari telah memberi sebuah judul dalam kitab sahihnya dalam persoalan yang berkaitan dengan perkara ini (perempuan duduk atau tidur di masjid):
بَابُ نَوْمِ الْمَرْأَةِ فِى الْمَسْجِدِ
“Bab: Tidurnya Perempuan di Dalam Masjid”.
Dan berikut ini adalah hadis sahih berupa penjelasan dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha iaitu tentang seorang hamba perempuan berkulit hitam, ia menjadikan masjid sebagai tempat tinggalnya (duduk menetap) di masjid, ia bekerja sebagai pembersih masjid maka ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا ، أَنَّ وَلِيْدَةً كَانَتْ سَوْدَاءَ لِحَيِّ مِنَ الْعَرَبِ فَأَعْتَقُوْهَا فَكَانَتْ مَعَهُمْ ، قَالَتْ : فَجَاءَ تْ اِلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْلَمَتْ ، قَالَتْ عَائِشَةُ : فَكَانَتْ لَهَا خِبَاءٌ فِى الْمَسْجِدِ أَوْحِفْشٌ.
“Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha ia berkata: Sesungguhnya ada seorang hamba perempuan berkulit hitam milik salah seorang suku dari bangsa Arab, lalu dimerdekakannya, kemudian ia pun tinggal bersama mereka. Berkata ‘Aisyah: Kemudian perempuan itu datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan masuk Islam. Berkata ‘Aisyah: Dan perempuan itu mempunyai khemah (tempat tinggal) di dalam masjid (sebagai tempat penginapannya)”. (H/R Bukhari, 439)
Tentunya perempuan (hamba berkulit hitam) yang diceritakan oleh ‘Aisyah sama seperti perempuan-perempuan yang lain, setiap bulan pasti kedatangan haid, tetapi tidak pernah ada pengecualian dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam agar beliau keluar dari masjid semasa beliau kedatangan haid. Ini menunjukkan bahawa perempuan yang kedatangan haid (sedang berhaid) tidak dilarang (tidak haram) masuk dan duduk di dalam masjid. Sama ada untuk belajar atau mendengar ceramah atau kulliah.
Hadis ini dikuatkan lagi dengan hadis seterusnya:
عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلاً أَسْوَدَ – (أَوْ اِمْرَأَةً سَوْدَاءَ) - كَانَ يَقُمُّ الْمَسْجِدَ ، فَمَاتَ ، فَسَأَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُ فَقَالُوْا :مَاتَ. قَالَ : أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُوْنِيْ بِهِ ، دُلُّوْنِيْ عَلَى قَبْرِهِ (أَوْ قَالَ : قَبْرِهَا). فَأَتَى قَبْرَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ.
“Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu beliau berkata: Bahawasanya ada seorang lelaki berkulit hitam (atau seorang perempuan berkulit hitam), yang bekerja membersihkan masjid telah meninggal, lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bertanya tentang perempuan tersebut, mereka berkata: Ia telah meninggal. Baginda bersabda: Mengapakah kamu tidak memberitahu kepadaku berkenaan kematiannya, tunjukkanlah kepadaku kuburnya. Lalu baginda pergi kekubur lelaki tersebut (atau perempuan tersebut) kemudian baginda bersolat untuknya”. (H/R Bukhari 458,460 dan 1337)
Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah, bahawa hamba yang meninggal yang bekerja sebagai pembersih masjid tinggal (menetap) di dalam masjid, dia adalah seorang hamba perempuan. Oleh kerana tidak ada larangan dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam untuk hamba ini tinggal (menetap lama) di dalam masjid, walhal sudah dimaklumi setiap perempuan pasti kedatangan haid disetiap bulan, namun tidak ada pengecualian dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam agar beliau keluar semasa kedatangan haid, malah tidak pernah ada perintah agar hamba ini keluar semasa kedatangan haid. (Lihat: Fathul Bari, syarah hadis 458. Ibn Hajar) Maka dengan kenyataan ini, amat jelas bahawa tidak ada larangan bagi perempuan yang berhadas besar dan kedatangan haid untuk duduk, belajar atau mendengar ceramah di dalam masjid.
2 - Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menyuruh ‘Aisyah radiallahu ‘anha masuk ke masjid yang mana beliau sedang dalam keadaan berhaid, sedangkan baginda tahu hal keadaan ‘Aisyah sebagaimana kenyataan dari hadis sahih di bawah ini:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : قَالَ لِيْ رَسُوْلُ اللهِ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : نَاوِلِيْنِيْ الْخُمْرَةَ مِنَ الْمَسْجِدِ ، فَقُلْتُ : اِنِّيْ حَائِضٌ . فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِى يَدِكِ.
“Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda kepadaku: Ambilkanlah untukku sehelai sejadah (sejadah kecil untuk alas sujud). Aku berkata: Sesungguhnya aku sedang haid. Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya haidmu itu bukan di tanganmu”. (H/R Muslim, Abu Daud, Tirmizi, An-Nasaii, Ibn Majah, Ahmad dan selain mereka)
HADIS-HADIS LARANGAN PEREMPUAN DUDUK DI MASJID
Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah telah membuktikan bahawa semua hadis-haids yang melarang (mengharamkan) wanita haid duduk di dalam masjid adalah dhaif/lemah. (Lihat penjelasan beliau dalam kitab Irwaul Ghalil hadis 193) Antara hadis-hadis yang dimaksudkan:
حَدَّثَنَا أَبُوْ بَكْرِ بْنُ أَبِيْ شَيْبَةَ ، وَمُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَ قَالاَ : ثَنَا أَبُوْ نَعِيْمٍ ثَنَا ابْنُ أَبِيْ غَنِيَّةَ عَنْ أَبِيْ الْخَطَّابِ الْهَجَرِيِّ عَنْ مَحْدُوْجِ الذُهْلِيِّ عَنْ جَسْرَةَ قَالَتْ : أَخْبَرْتَنِيْ أُمُّ سَلَمَةَ قَالَتْ : دَخَلَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَرْحَةَ هَذَا الْمَسْجِدِ فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ : اِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنَبٍ وَلاَ لِحَائِطٍ.
“Berkata kepada kami Abu Bakr bin Abi Syaibah dan Muhammad bin Yahya. Mereka berkata: Mengkhabarkan kepada kami Abu Na’im, mengkhabarkan kepada kami Ibnu Abi Ghaniyah dari Abi al-Khattab al-Hajari dari Mahduj az-Zuhli dari Jasrah beliau berkata: Mengkhabarkan kepadaku Ummu Salamah beliau berkata: Rasulullah masuk ke dalam masjid. Kemudian menyeru dengan suara yang tinggi: Sesungguhnya masjid tidak dihalalkan bagi orang yang junub dan perempuan haid”. (H/R Ibnu Majah no. 645. Bab: فى ما جاء فى اجتناب الحائض المسجد)
Telah dijelaskan dalam Az-Zawaid bahawa sanad hadis ini lemah. Imam Ibnu Majah menjelaskan: Mahduj tidak boleh dipercayai dan Abul al-Khattab adalah majhul (tidak dikenali/tidak diketahui). (Lihat: Sunan Ibnu Majah. 1/212. No. 645) Oleh yang demikian, maka haids ini adalah hadis ضعيف “lemah” dan tidak boleh dijadikan hujjah untuk mengharamkan perempuan berhadas atau haid duduk di dalam masjid.
Adapun sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
فَاِنِّيْ لاَ أُحِلُّ الْمَسْجِدِ لِحَائِضٍ وَلاَ جُنُبٍ.
“Maka sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid bagi perempuan berhaid dan orang yang berjunub”. (H/R Abu Dadu 232. Dan Baihaqi 2/442)
Menurut Imam al-Baihaqi: “ليس هو بقوى (Hadis ini tidak kuat)”.
Berkata Imam al-Bukhari: “عند جسرة عجائب (Pada Jasrah terdapat keganjilan/keanehan)”.
Berkata al-Khatabi: “ضعف هذا الحديث (Hadis yang tidak kuat)”.
Berkata para ulama hadis: “أفلت مجهول (Aflat seorang yang majhul/tidak dikenali”.
Berkata al-Hafiz Abdul Haq: “ هذا الحديث لا يثبت(hadis ini tidak tsabit/tidak kuat jalur sanadnya”. (Lihat: كتاب المجموع شرح المهذب jld. 2 hlm. 185. Imam An-Nawawi)
Berkata Al-Hafiz Abi Abdullah Muhammad bin Zaid al-Qazwini (Ibnu Majah):محدوج لم يوثق" (Mahduj tidak siqah)”. Dan beliau berkata lagi: ابو الخطاب مجهول" (Abul Al-Khattab majhul/tidak dikenali”. (Lihat: Sunan Ibnu Majah. 1/645)
Dengan keterangan ini, amat jelas bahawa hadis di atas ini adalah hadis lemah, tidak ada ulama hadis yang mensahihkannya, maka dengan demikian hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk melarang (mengharamkan) perempuan yang sedang berjunub (berhadas besar) duduk di masjid, sama untuk belajar, mendengar kulliah atau sebagainya.
UCAPAN IBNU ABBAS
Adapun penjelasan Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu berkenaan firman Allah Azza wa-Jalla:
وَلاَ جُنُبًا إلاَّ عَابِرِى سِبِيْلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوْا
“(Jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub terkecuali sekadar berlalu sahaja sehingga kamu mandi”. (An-Nisa 4:43)
Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu menjelaskan tentang ayat di atas ini bahawa:
“Tidak boleh kamu masuk masjid dalam keadaan berjunub, kecuali sekadar melintas dan jangan engkau duduk”. (Lihat: Baihaqi 2/443)
Hadis ini juga tidak boleh dijadikan hujjah, lantaran sanad hadis ini lemah (ضعيف), kerana terdapat para rawi yang bernama:
(1). Salm bin Qais al-Alawi. Beliau telah dilemahkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar. (Lihat: Taqrib 1/314. Ibnu Hajar)
(2). Hasan bin Ja’far al-Jufri Abu Sa’id al-Azdi. Beliau telah dilemahkan oleh sekalian Ahli Hadis (para ulama hadis). (Lihat: Tahbut Tahzib 2/260-261. Ibnu Hajar)
TAFSIRAN AYAT
Adapun tafsiran ayat di surah an-Nisa, ayat 43 ialah:
وَلاَ جُنُبًا اِلاَّ عَابِرِى سَبِيْلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوْا.
“(Jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub terkecuali sekadar berlalu sahaja hingga kamu mandi”.
Sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Ali bin Abi Talib, Ibnu Jarir, Ibnu Kathir, Imam as-Sayuti (Lihat: Kitab Tafsir Ibnu Kathir 1/501. Ad-Durul Mansur 2/165 oleh Imam Suyuti) dan selain mereka bahawa:
“Turunnya ayat ini berkaitan dengan orang musafir. Bukan berkaitan dengan orang junub (bukan diturunkan untuk memperkatakan tentang orang junub, pent.). Dan dari Mujahid pula beliau berkata:
عَنْ مُجَاهِدٍ قَالَ : مُسَافِرِيْنَ لاَ يَجِدُوْنَ مَاء فَيَتَيَمَّمُوْنَ صَعِيْدَا طَيِّبًا
“(Ayat ini turun kepada) musafir yang tidak kedapatan air, kemudian bertayammum dengan debu yang bersih, sehinggalah mendapat air barulah mereka mandi”. (Lihat: Kitab Tafsir At-Tabari. Jld 4)
Jika diteliti semua tafsir-tafsir tentang ayat عَابِرِى َبِيٍلٍ, maka yang lebih rajih ialah ia memberi makna (bermaksud): “Musafir (orang yang musafir)”. (Lihat: Tafsir at-Tabari 4/7563, 7565, 7566, 7567, 7569, 7570, 7571) Bukan bermaksud: “Melewati masjid atau sekadar berlalu sahaja”.
Dengan keterangan dan penjelasan ini, membuktikan bahawa orang yang berjunub termasuklah perempuan yang sedang haid boleh duduk, belajar dan diam di dalam masjid. Malah lebih jelas lagi dengan apa yang dikatakan oleh ‘Aisyah radiallahu ‘anhu kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila baginda memerintahkan ‘Aisyah agar masuk ke dalam masjid sedangkan beliau sedang haid. Sebagaimana dapat difahami dari hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
إِنِّيْ حَائِضٌ ، فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَ فِى يَدِكِ.
“(‘Aisyah berkata): Sesungguhnya aku sedang haid. Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnyanya hadimu bukan berada di tanganmu”. (H/R Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasaii dan Ibnu Majah)
قَالَتْ عَائشَةُ : فَكَانَتْ لَهَا خِبَاءٌ فِى الْمَسْجِدِ أَوْحِفْشٌ
“Hamba perempuan itu mempunyai khemah kecil di dalam masjid iaitu sebagai tempat tinggalnya”. (H/R Bukhari No. 439)
Begitu juga jika seseorang yang berjunub tidak boleh (haram) masuk ke dalam masjid, ini amat bertentangan dengan hadis-hadis sahih yang lain. Pernah para sahabat membawa seorang tawanan yang belum masuk Islam ke dalam masjid untuk dihadapkan kepada Rasulullah, sedangkan Rasulullah tidak menghalang mereka walaupun baginda mengetahui bahawa orang kafir yang dibawa masuk ke dalam masjid tidak pernah mandi hadas. Malah baginda tidak melarang perbuatan para sahabat mengikat tawanan tersebut di salah satu tiang di dalam masjid. Sebagaimana hadis berikut:
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْلاً قِبَلِ نَجْدٍ ، فَجَاءَ تْ بِرَجُلٍ مِنْ بَنِيْ حَنِيْفَةٍ يُقَالُ لَهُ ثُمَامَةُ بْنُ أُثَالٍ ، فَرَبَطُوْهُ بِسَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ ، فَخَرَجَ اِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : أَطْلِقُوْا ثُمَامَةَ. فَانْطَلَقَ اِلَى نَخْلٍ قَرِيْبٍ مِنَ الْمَسْجِدِ ، فَاغْتَسَلَ ثُمَّ دَخَلَ الْمَسْجِدِ فَقَالَ : أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ.
“Dari Abi Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah mengutus pasukan berkuda menuju Najd. Pasukan tersebut pulang dengan membawa seorang tawanan lelaki dari Bani Hanafiah bernama Sumamah bin Uthal. Mereka mengikatnya di salah satu tiang dari tiang-tiang masjid. Maka Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam keluar dan berkata kepada mereka: Lepaskanlah ikatan Sumamah! Kemudian dia (Sumamah) pergi ke pohon kurma yang berdekatan masjid lalu mandi, kemudian masuk ke dalam masjid dan mengucapkan: أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ”. (H/R Bukhari. 462, 2422 dan 4372)
Perhatian! Berikut adalah jawapan dari Syeikh Nasruddin al-Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah berkisar persoalan perempuan haid duduk atau diam (tinggal) di dalam masjid:
MEMBACA QUR’AN DALAM KEADAAN BERHADAS BESAR
SOALAN:
Apa hukumnya bagi lelaki dan wanita yang dalam keadaan berhadas kecil (tanpa berwuduk), kemudian ia membaca al-Quran? Atau wanita yang dalam keadaan berhadas besar seperti haid atau nifas.? Atau juga bagi lelaki atau wanita yang berhadas besar, seperti keluar air mani atau lepas bersetubuh tanpa mandi junub terlebih dahulu kemudian mereka menyentuh (memegang) dan membaca al-Quran?
JAWAPAN:
SUNNAH MEMBACA AL-QURAN DALAM KEADAAN SUCI
Disunnahkan membaca al-Quran dalam keadaan berwuduk, iaitu tidak berhadas besar atau kecil. Namun tidak terdapat walau sebuah hadis sahih yang mengharamkan seseorang membaca al-Quran dalam keadaan berhadas besar atau kecil. Malah terdapat sebuah hadis yang boleh dijadikan dalil tentang bolehnya membaca al-Quran dalam apa pun keadaan. Antara hadis tersebut:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَانَ النَّبِيُّ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ اللهَ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ
“Dari Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam sentiasa berzikir kepada Allah dalam segala keadaan”. (H/R Muslim 1/194)
Hadis di atas ini menunjukkan boleh berzikir termasuklah membaca al-Quran walaupun dalam keadaan berhadas, sama ada hadas kecil atau besar. Namun membaca al-Quran dalam keadaan demikian (berhadas sama ada hadas besar atau kecil) hukumnya makruh. Hal ini telah dijelaskan dalam sebuah hadis sahih:
عَنْ مُهَاجِرِ بْنِ قُنْفُذٍ أَنَّهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَبُوْلُ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدُّ عَلَيْهِ حَتَّى تَوّضَّأَ ، ثُمَّ اعْتَذَرَ اِلَيْهِ فَقَالَ : اِنِّيْ كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللهَ اِلاَّ عَلَى طُهْرٍ . أَوْ قَالَ : عَلَى طَهَارَةٍ.
“Dari Muhajir bin Qunfaz, sesungguhnya beliau pernah datang kepada Nabi Sallallahu ‘alahi wa-sallam dan baginda sedang kencing, lalu ia memberi salam kepada baginda, akan tetapi baginda tidak menjawabnya sehinggalah baginda berwuduk. Kemudian baginda meminta keuzuran (beralasan) dan kemudian bersabda: Sesungguhnya aku tidak suka (makruh) menyebut nama Allah kecuali dalam keadaan suci (tidak berhadas)”. (H/R Abu Daud. Sahih.)
HADIS-HADIS LEMAH DAN MUNGKAR DALAM HAL INI
Adapun antara hadis-hadis lemah, palsu, batil dan mungkar yang dijadikan hujjah oleh mereka yang mengharamkan membaca al-Quran dalam keadaan berhadas antaranya ialah:
1. مِنْ طَرِيْقِ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ مَسْلَمَةَ ، حَدَّثَنِيْ الْمُغِيْرَة بْن عَبْد الرَّحْمَن عَنْ مُوْسَى بْن عُقْبَةَ عَنْ نَافِعٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَ يَقْرَأُ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ.
1 - “Dari jalan Abdulmalik bin Maslamah, mengkhabarkan kepadaku Mugirah bin Abdulrahman, dari Musa bin Uqbah dari Nafi’ dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma ia berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Tidak boleh membaca sedikitpun dari al-Quran bagi orang yang berjunub”. (H/R Darqutni)
Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan di dalam “Talkhisul Habir” bahawa hadis ini adalah hadis lemah, kerana Abdul Malik bin Maslamah adalah seorang rawi yang lemah. (Lihat: Talkhisul Habir. 1/138) Sedangkan hadis ini dari jalan Abdul Malik bin Maslamah.
2. مِنْ طَرِيْقِ اِسْمَاعِيْل بْنِ عَيَّاش عَنْ مُوْسَى بْنِ عُقْبَةَ عِنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَ تَقْرَإِ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ.
2 - Dari jalan Ismail bin ‘Ayyasy dari Musa bin Uqbah dari Nafi’ dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Janganlah perempuan yang haid membaca sedikitpun dari al-Quran”. (Hadis dikeluarkan oleh Tirmizi 131. Ibnu Majah 595. Darqutni 1/117. Dan Baihaqi 1/89)
(1). Menurut Imam Bukhari واسماعيل منكر الحديث “Dan Ismail (bin ‘Ayyasy) ia adalah mungkarul hadis (Hadis mugkar/palsu)”. (Lihat: (1). As-Sunan al-Kubra. 1/89. H/R Al-Baihaqi. (2). Nasbur Rayah 1/195)
(2). Imam Ahmad, Imam Bukhari dan selain mereka telah melemahkan (mendhaifkan) hadis di atas. (Lihat: Nasbur Rayah. 1/195)
(3). Menurut Ibnu Abu Hatim dari ayahnya: Hadis Ismail bin Ayyasy ini adalah keliru, yang jelas ia hanyalah perkataan Ibnu Umar. (Lihat: Talkhisul Habir. 1/138)
(4). Menurut Abdullah bin Ahmad dari bapanya (Imam Ahmad): “Hadis ini adalah batil”. Malah beliau mengingkari hadis riwayat Ismail (Ismail bin Ayyasy). (Lihat: Talkhisul Habir. 1/138)
3. حَدَّثَنَا عَبْد الصَّمَد ثَنَا اِبْرَاهِيم بن أَحْمَدُ بنُ مَرْوَان ، ثَنَا سُفْيَان بنُ عُثْمَان بْنُ عَاصِم ، ثَنَا مُحَمَّد بْنِ الْفَضْل ، عَنْ أَبِيْهِ عَنْ طَاوُسٍ عَنْ جَابِرٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَ يَقْرَأُ الْحَائِضِ وَلاَ النُّفَسَاءُ مِنَ الْقُرْآنِ شَيْئًا. وَفِى رِوَايَةٍ : لاَ يَقْرَأُ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ مِنَ الْقُرْآنِ شَيْئًا.
3 - “Mengkhabarkan kepada kami (dari jalan) Abdussamad, mengkhabarkan kepada kami Ibrahim bin Ahmad bin Marwan, mengkhabarkan kepada kami Sufyan bin Uthman bin ‘Asim, dari Muhammad bin Fadl dari bapanya dari Tawus dari Jabir ia berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Tidak boleh membaca bagi perempuan yang haid dan nifas sedikit pun dari al-Quran. Pada riwayat yang lain: Tidak boleh membaca perempuan haid dan junub sedikitpun dari al-Quran”. (Lihat: Sunan ad-Durqatni Darqutni 2/87. Lihat: Al-Hilya 4/22. Abu Nua’im)
(1). Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar: Muhammad bin Fadl bin Athiyah bin Umar dianggap oleh para Imam ahli hadis sebagai pendusta. (Lihat: At-Taqrib. 2/200. Ibnu Hajar)
(2). Ibnu Hajar juga menjelaskan bahawa (Muhammad bin Fadl bin Atiyah bin Umar) adalah seorang yang matruk. (Lihat: Talkhisul Habir. 1/138) Dengan demikian maka kedudukan hadis ini adalah paslu (maudu’).
4. عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ سَلِمَةَ قَالَ : …… إِنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلِيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ مِنَ الْخَلاَءِ فَيُقْرِئُنَا الْقُرْآنَ وَيَأْكُلُ مَعَنَا اللَّحْمَ وَلَمْ يَكُنْ يَحْجُبُهُ –أَوْقَالَ يَحْجِزُهُ عَنِ الْقُرْآنِ شَيْءٌ لَيْسَ الْجَنَابَةَ.
4 - Dari Abdullah bin Salimah berkata: ….. Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam keluar dari tandas, lalu baginda membacakan al-Quran kepada kami dan makan daging bersama kami, tidak ada yang menghalangi baginda sesuatupun juga dari membaca al-Quran selain junub”. (H/R Abu Daud 1/229 Bab Fil Junubi Yaqrau al-Quran. Tirmizi 146. Nasaii 1/144. Ibnu Majah 594. Ahmad 1/182 No 639)
(1). Berkata Imam Syafie tentang perawi hadis ini (Abdullah bin Salimah):لم يكن اهل الحديث يثبتونه “Tidak pernah Ahli Hadis mengithbatkan (ulama hadis tidak menguatkannya)”. (Lihat: Al-Jami as-Sahih Jld. 1. M/S 374. Sunan at-Tirmizi)
(2). Berkata Imam al-Baihaqi: Adapun Imam Syafie bertawaquf dan tidak menetapkan hadis ini ialah setelah Abdullah bin Salimah al-Kufi menjangkau umur tua. Setelah usianya lanjut, maka diingkari hadis yang datang darinya kerana berubah ingatannya (hafalannya). (Lihat: Al-Jami as-Sahih Jld. 1. M/S 374. Sunan at-Tirmizi)
(3). Berkata al-Khattabi: Bahawa Imam Ahmad bin Hambal radiallahu ‘anhu: يضعف أمر عبدالله بن سلمة “Beliau melemahkan hadis Abdullah bin Salimah”. (Lihat: Al-Jami as-Sahih Jld. 1. M/S 374. Sunan at-Tirmizi) Iaitu setelah beliau tua dan berubah hafalannya. (Lihat: Al-Jami as-Sahih Jld. 1. M/S 374. Sunan at-Tirmizi)
Walaupun hadis di atas ini telah disahihkan oleh Imam Tirmizi, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Hakim, Az-Zahabi, Ibnu Sakan, Abdul Haq, Al-Baghawi dan Ahmad Muhammad Syakir. Namun hadis ini telah dilemahkan oleh sekian ramai jamaah ahli hadis. Antara mereka yang melemahkan hadis ini ialah Imam Bukhari, Syafie, Ahmad, Baihaqi, Al-Munziri, An-Nawawi, Al-Khatabi, Al-Albani dan ramai lagi selain mereka.
5. وَعَنْهُ قَالَ : رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ ، ثُمَّ قَرَأَ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ ، ثُمَّ قَالَ : هَكَذَا لِمَنْ لَيْسَ بِجُنُبٍ ، فَأَّمَا الْجُنُبُ فَلاَ ، وَلاَ آيَة.
5 - Dan darinya ia berkata: Aku melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berwuduk, kemudian baginda membaca surah al-Quran, kemudian baginda bersabda: Demikianlah bagi orang yang tidak junub, sedangkan orang yang junub, maka tidak demikan, walaupun hanya sepotong ayat”. (H/R Ahmad dan Abu Ya’ala)
(1). Berkata Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani:
فإن لهذه الطريق علتين ، الضعف والوقف
“Sesungguhnya jalan ini mempunyai dua Illah, iaitu kelemahan الضعف dan kemauqufan الوقف”. (Lihat: تمام المنة فى التعليق فقه السنة hlm. 177. Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)
a. Kelemahan (الضعف): Adapun sebab kelemahan hadis ini kerana di dalam sanadnya terdapat Amir bin As-Samth Aba al-Garif (عامر بن السمط أبا الغريف). Ia tidak dinyatakan tsiqah (dipercayai/ثقة) kecuali oleh Ibnu Hibban, padahal Ibnu Hibban seorang yang dikenal bermudah-mudah dalam mentautsiq (فىالتوثيق). Ia telah dipertikaikan oleh ulama yang lebih tahu tentang masalah keadaan rawi-rawi iaitu Abu Hatim ar-Razi. Beliau telah berkata tentang Abul Gharif: Ia bukan seorang yang masyhur. Mereka juga telah membincangkan tentang Asbugh bin Nabatah (أصبغ بن نباتة). Dan Asbugh dia seorang yang lemah hadisnya menurut Ibnu Abi Hatim, malah menurut yang lainnya dia seorang yang matruk (ditinggalkan). Antara mereka yang menetapkan kelemahannya ialah Ibn Hajar. (Lihat: تمام المنة فى التعليق فقه السنة hlm. 177. Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)
Adapun sebab kemauqufannya ialah kerana Ad-Darqutni dan yang lainnya telah meriwayatkan dari Abul Gharif dari Ali secara mauquf darinya. (Lihat: (1). ضعيف سنن أبي داود No. 31. (2). تمام المنة فى التعليق فقه السنة hlm. 117. Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)
Ibnu Hazam pula berhujjah dengan athar yang berikut tentang bolehnya membaca al-Quran dalam keadaan junub, iaitu dari Ibnu Abbas, Sa’id bin Musyyib dan Sa’id bin Jubair dan sanadnya dari yang terakhir ini adalah baik, telah meriwayatkan darinya Hammad bin Abi Sulaiman ia berkata:
سَأَلْتُ سَعِيْدَ بْنِ جَبِيْر عَنِ الْجُنُبِ يَقْرَأ ؟ فَلَمْ يَرَ بِهِ بَأْسًا . وَقَالَ : اَلَيْسَ فِى جَوْفِهِ الْقُرْآن ؟
“Aku bertanya kepada Sa’id bin Jubair tentang orang yang junub, bolehkan dia membaca al-Quran? Ia memandang tidak mengapa, dan dia berkata: Bukankah di dalam dirinya terdapat al-Quran”. (Lihat: (1). شرح السنة. 2/43. (2).تمام المنة فى التعليق فقه السنة hlm. 118.)
(2). Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani: Di samping hadis ini mauquf, maka sanadnya juga lemah sehingga tidak layak menjadi syahid (penguat) bagi hadis marfu’. (Lihat: تمام المنة فى التعليق فقه السنة hlm. 117) Dengan demikian, maka berdalilkan dengan hadis di atas terhadap permasalahan ini menjadi gugur, malah wajib balik kepada hukum asal, iaitu boleh bagi orang junub membaca al-Quran.
(3). Melalui penjelasan ini, maka dibolehkan menyentuh, memegang dan membaca al-Quran walaupun dalam keadaan berhadas kecil atau hadas besar (berjunub). Namun tidak tersembunyi bahawa hal tersebut (membaca al-Quran dalam berhadas) tidak terlepas dari hukum makruh berdasarkan hadis sahih (Lihat: تمام المنة فى التعليق فقه السنة hlm. 117):
إِنِّيْ كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللهَ إِلاَّ عَلَى طُهْرٍ.
“Sesungguhnya aku tidak suka berzikir kepada Allah kecuali dalam keadaan suci”. (Lihat: As-Sahihah 834)
DIBOLEHKAN MENYENTUH & MEMBACA AL-QURAN
Dibolehkan membaca, membawa dan memegang (menyentuh) al-Quran sama ada dalam keadaan berhadas kecil (tidak berwuduk), atau berhadas besar seperti haid, nifas bagi wanita dan disebabkan keluar air mani atau juga selepas bersetubuh bagi lelaki dan wanita. Tidak ada perbezaan dalam perkara ini antara lelaki dan wanita.
Selain hujjah dan penjelasan yang lalu, maka antara hadis yang menjadi dalil (hujjah) membolehkan menyentuh, memegang, membawa atau membaca al-Quran dalam keadaan junub ialah:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ نَذْكُرُ اِلاَّ الْحَجَّ ، فَلَمَّا جِئْنَا سَرِفَ طَمِثْتُ ، فَدَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِيْ ، فَقَالَ : مَا يُبْكِيْكِ ؟ قُلْتُ : لَوَدِدْتُ وَاللهِ أَنِّيْ لَمْ أَحُجَّ الْعَامَ . قَالَ : لَعَلَّكِ نُفِسْتِ ؟ قُلْتُ : نَعَمْ . فَقَالَ : فَإِنَّ ذَلِكَ شَيْئٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ ، فَافْعَلِيْ مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوْفِيْ بِالبَيْتِ حَتَّى تَطْهَرِيْ.
“Dari ‘Aisyah ia berkata; Kami keluar (mengerjakan fardu haji) bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Tidaklah ada yang kami fikirkan kecuali haji. Ketika kami tiba di Sarif aku kedatangan haid. Lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam masuk menemuiku dan aku sedang menangis. Maka baginda bertanya: Apakah yang menyebabkan engkau menangis? Aku menjawab: Aku inginkan demi Allah sekiranya aku tidak haji pada tahun ini. Baginda bertanya: Apakah engkau sedang bernifas (berhaid)? Aku menjawab: Ya!. Baginda bersabda: Sesungguhnya ia adalah sesuatu yang telah Allah tentukan untuk anak-anak perempuan Adam, oleh itu kerjakanlah setiap yang dikerjakan oleh orang yang sedang menunaikan haji selain tawaf di Bait (Ka’abah) sehinggalah engkau dalam keadaan suci”. (H/R Muslim 4/30)
Dalam hadis ini, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak melarang ‘Aisyah memasuki masjid atau membaca al-Quran, kecuali solat dan tawaf.
FATWA SYEIKH MUHAMMAD NASHIRUDDIN AL-ALBANI
Berikut ini adalah jawapan (fatwa) Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah apabila ditanya tentang bolehnya lelaki atau perempuan yang berhadas kecil atau besar menyentuh, membawa, memegang dan membaca al-Quran. Soalan dan jawapan ini dinukil dari kitab:
( مجموعة فتاوى المدينة المنورة Oleh: Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)
SOALAN:
Bolehkah bagi seseorang lelaki atau wanita membaca al-Quran atau menyentuh mushaf tanpa berwuduk?.
JAWAPAN:
Suatu perkara yang dibolehkan (dalam syara. Pent) ialah membaca al-Quran tanpa berwuduk, kerana tidak ada suatupun nas dalam al-Kitab ataupun as-Sunnah yang melarang seseorang membaca al-Quran tanpa bersuci (berwuduk).
Begitu juga tidak ada perbezaan dalam perkara ini antara lelaki dan wanita. Malah tidak ada perbezaan dalam hal ini antara lelaki yang bersuci atau tidak dengan wanita yang berhaid (berhadas besar. Pent) atau tidak.
Antara dalilnya ialah hadis Aisyah dalam sahih Muslim, bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam berzikir kepada Allah dalam segala hal (dalam semua keadaan).
Apa yang dilarang dalam syariat bagi wanita haid adalah solat. Membaca al-Quran dalam keadaan tidak bersuci mengandungi hikmah yang sangat mendalam, iaitu agar ia beribadah kepada Allah dalam keadaan suci sebagaimana keadaan sebelum berhaid. Kita tidak boleh mempersempit ruang ibadah yang mulanya (semasa suci/belum haid) disyariatkan bersama dengan solat. Jika kemudian ia ditegah solat, ini bukan bermakna ia ditegah dari beribadah yang lain. Kita harus melapangkan apa yang telah Allah lapangkan kepada kita.
Dalam masalah haid, sering saya bawakan hadith Sayidah ‘Aisyah semasa beliau mengerjakan haji bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, mereka singgah di suatu tempat yang dinamakan Sarif, berdekatan Mekkah, baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam mendapati ‘Aisyah sedang menangis kerana kedatangan haid, lalu baginda bersabda:
اِصْنَعِيْ مَا يَصْنَعُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوْفِيْ وَلاَ تُصَلِّيْ.
“Buatlah (lakukanlah) sebagaimana apa yang dikerjakan oleh orang yang mengerjakan haji, kecuali tawaf dan solat”.
Baginda tidak melarang Aisyah (yang dalam keadaan berhaid) untuk membaca al-Quran dan memasuki Masjid al-Haram. Inilah penjelasan Syeikh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani tentang persoalan lelaki atau wanita yang menyentuh, memegang atau membaca al-Quran dalam keadaan belum bersuci.
والله اعلم
Boleh juga muat turun tulisan Sheikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin – [Download]
1 ulasan:
Berzikir dan Membaca al-Qur’an Bagi Wanita Yang Didatangi Haid
Wanita yang sedang haid boleh berzikir, bertasbih (membaca Subhanalah), bertahmid (membaca alhamdulillah), membaca Bismillah ketika makan dan sebagainya. Boleh juga membaca buku-buku hadis, fiqh (buku agama), berdoa, mengaminkan doa dan mendengar bacaan a-Qur’an.
Jelas di dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim serta kitab-kitab hadis yang lain bahawa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersandar di riba ‘A’isyah radhiallahu 'anha sambil membaca al-Qur’an padahal ‘A’isyah di saat itu sedang haid.
Di dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, Umm ‘Athiah radhiallahu 'anha berkata, Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda menyuruh keluar wanita-wanita dan anak-anak gadis yang berada di dalam rumah kepada solat dua hari raya (Solat Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha) supaya mereka dapat menyaksikan kebaikan dan seruan orang mukmin, dan jauhilah wanita haid daripada mushalla (tempat lapang solat Hari Raya) iaitu diasingkan.
Juga diharuskan bagi wanita yang sedang haid untuk membaca al-Qur’an dengan cara melihat dengan mata atau menghayatinya dalam hati tanpa menutur dengan lidah. Boleh juga meletak mushaf al-Qur’an di hadapannya lalu melihat ayat-ayatnya dan membacanya dengan hati. Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (daripada mazhab Syafi’e) dalam Majmu’ Syarh al-Muhazzab: Hal ini diharuskan tanpa perselisihan pendapat.
Adapun membaca dengan lidah bagi wanita yang sedang haid, maka terdapat perbezaan pendapat. Jumhur ilmuan berpendapat ianya dilarang. Imam al-Bukhari, Ibn Jarir al-Thabari dan Ibn al-Munzir berpendapat ia diharuskan. Demikian juga oleh Imam Malik dan Imam al-Syafi’e dalam pendapatnya yang lama (Qaul Qadim – al-Risalla). Ini sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari. Imam al-Bukhari mengemukakan sebuah riwayat daripada Imam Ibrahim al-Nakha’e (seorang tokoh tabi‘in) bahawa: “Tidak mengapa jika dibaca hanya satu ayat.”
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah membahas persoalan ini dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa, jld. 26, ms. 191:
Sejak asal tidak ada larangan daripada al-Sunnah (bagi wanita yang sedang haid) membaca al-Qur’an. Hadis: “Wanita haid tidak boleh membaca sesuatu daripada al-Qur’an” adalah hadis yang lemah (dha‘if) yang disepakati oleh para ahli hadis. Lebih dari itu, diketahui wanita-wanita di zaman Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sedia mengalami haid. Maka jika haram ke atas mereka untuk membaca al-Qur’an sepertimana haram ke atas mereka mendirikan solat, nescaya ia diterangkan oleh Nabi kepada umatnya dan dipelajari oleh para isteri baginda. Hal ini kemudiannya akan tersebar kepada manusia. Lihat Shahih al-Bukhari – no: 324 (Kitab al-Haid)
Namun tidak seorang jua yang meriwayatkan pengharaman seumpama daripada Nabi. Maka tidak boleh menghukum ia sebagai haram sedangkan baginda Nabi sendiri tidak pernah mengharamkannya. Justeru apabila Nabi tidak menegah daripada demikian padahal ramai wanita yang haid di zamannya, bererti diketahui bahawa tidaklah haram bagi wanita haid membaca al-Qur’an.
Kesimpulan:
Di antara perselisihan pendapat ini, yang lebih utama ialah wanita yang sedang haid itu HARUS membaca al-Qur’an dengan lidahnya dan memegang mushaf.
Catat Ulasan