Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Jumaat, 19 September 2008

127 - MELAKSANAKAN TARAWIH DI MALAM-MALAM RAMADHAN

MELAKSANAKAN TARAWIH DI MALAM-MALAM RAMADHAN

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

1 – Pengertian

Tarawih membawa perngertian Qiyam Ramadhan (berdiri solat/menunaikan solat malam) di awal malam. (Lihat: Majmu’u Fatawa ‘Syaikh Abdul Aziz bin Bazz) Juga disebut sebagai solat tarawih kerana mereka yang melaksanakannya disunnahkan beristirehat di setiap selesai solat empat raka’at. (Lihat: al-Qaamuusul Muhith, m/s. 282. Lisanul ‘Arab, oleh Ibnu Manzhur, 2/462)

2 - Pensyari’atan & Perlaksanaannya

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Barangsiapa yang mengerjakan qiyam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala, maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Imam an-Nawawi rahimahullah menyatakan bahawa, “Para ulama telah sepakat menyatakan akan tuntutan sunnahnya solat tarawih.” (Syarh Nawawi ‘Ala Shahih Muslim, 6/286)

Solat tarawih disyari’atkan untuk dilaksanakan pada malam ramadhan dan secara berjama’ah berdasarkan hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah pada suatu malam keluar dan solat di masjid, kemudian orang-orang pun mengikuti solat bersamanya, dan keesokan harinya mereka membincangkan tentang solat tersebut. Maka seterusnya berkumpullah orang-orang mengikuti solat bersamanya lebih ramai dari sebelumnya. Keesokan harinya mereka membincangkan lagi, hingga bertambah banyaklah penghuni masjid pada malam ketiga. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam keluar dan solat, ketika malam ke empat masjid tidak mampu menampung jama’ah, hingga beliau hanya keluar untuk melakukan solat subuh. Setelah selesai solat beliau menghadap manusia dan bersyahadat kemudian bersabda, “Amma ba’du, sesungguhnya aku mengetahui perbuatan kalian semalam, namun aku bimbang jika aku keluar melaksanakannya bersama kalian, solat (terawih) tersebut akan diwajibkan ke atas kalian, sehingga kalian tidak mampu mengerjakannya”. Keadaan ini berlaku di dalam bulan Ramadhan. Setelah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam wafat, solat terawih tetap seperti itu.”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menemui Rabbnya (dalam keadaan seperti keterangan hadis di atas) maka bererti syari’at telah tetap, maka solat tarawih berjama’ah disyari’atkan kerana kebimbangan tersebut telah hilang dan ‘illat telah hilang. Sesungguhnya ‘illat itu seiring bersama ma’lulnya (alasannya), adanya atau tidak adanya.

Juga dari hadis Abu dzarr,

Diriwayatkan dari Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, “Kami berpuasa bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada bulan ramadhan, dan beliau tidak pernah sedikit pun mengerjakan solat malam bersama kami dalam bulan tersebut, sehingga berbaki tujuh hari. Kemudian beliau solat bersama kami (sebagai imam) sehingga berlalu sepertiga malam. Kemudian beliau tidak solat bersama kami pada malam yang ke-empat. Kemudian beliau bersolat bersama kami pada malam berikutnya sehingga berlalu separuh. Kami mengatakan, “Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika engkau mengerjakan solat malam bersama kami pada baki malam kami ini.

Beliau menjawab,

“Sesungguhnya jika seseorang solat bersama imam hingga imam pergi, maka ditulis baginya pahala solat malam dari baki malamnya itu.”

Kemudian beliau tiak keluar mengimami kami pada malam yang keenam, dan beliau mengimami kami lagi pada malam yang ketujuh. Beliau mengutus seseorang untuk membangunkan keluarganya, dan orang-orang pun berkumpul. Lalu beliau mengimami kami, sehingga kami khuwatir terlewat makan sahur.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah)

Dan yang menghidupkan kembali sunnah ini adalah Khalifah Umar bin al-Khaththab radhiyyallahu ‘anhu sebagaimana dikhabarkan demikian oleh Abdurrahman bin Abdin al-Qariy, beliau berkata, “Aku pernah keluar bersama Umar bin al-Khaththab Radhiyallahu ‘anhu suatu malam di bulan Ramadhan ke masjid, ketika itu manusia berkelompok-kelompok ada yang solat sendirian dan ada yang berjama’ah, maka Umar berkata, “Aku berpendapat sekiranya mereka dikumpulkan dengan satu imam, niscaya akan lebih baik”. Kemudian beliau mengumpulkan mereka dalam satu jama’ah dengan imam (dipimpin) oleh Ubay bin Ka’ab. Setelah itu aku keluar bersama imam mereka. Umar pun berkata, “Sungguh ini adalah sebaik-baik pembaharuan (yang pertama kali wujud pada masa Umar – ed.), orang yang tidur lebih baik dari yang bangun, ketika itu manusia solat di awal malam”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/218) dan tambahannya dalam riwayat Imam Malik (1/114) dan Abdur Razaq (7733))

3 - Berapa Jumlah Raka’atnya?

Manusia berbeza pendapat berkenaan batasan rakat’at, namun pendapat yang paling bertepatan dengan petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah lapan raka’at tanpa witir berdasarkan hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak pernah solat malam di bulan Ramadhan atau selainnya lebih dari sebelas raka’at.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (3/16) dan Muslim (736))

Apa yang disampaikan oleh ‘Aisyah Radhiyallahu ‘anha tersebut dibenarkan oleh Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau menyatakan, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam menghidupkan malam Ramadhan bersama manusia lapan raka’at kemudian witir.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam Shahihnya (920))

Ketika Umar bin al-Khaththab menghidupkan sunnah ini beliau mengumpulkan manusia dengan sebelas raka’at bersesuaian dengan sunnah yang sahih sebagaimana yang diriwayatian oleh Malik (1/115) dengan sanad yang sahih dari jalan Muhammad bin Yusuf dari Saib bin Yazid, ia berkata, “Umar bin al-Khaththab menyuruh Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari untuk mengimami manusia dengan sebelas raka’at.” Ia berkata, “Ketika itu imam membaca dua ratus (200) ayat sehinggakan kami bersandar pada tongkat kerana lamanya berdiri, kami tidak pulang kecuali ketika mula menjelangnya fajar.”

Riwayat beliau ini kemudiannya diselisihi oleh riwayat dari Yazid bin Khashifah, beliau berkata, “Dua puluh raka’at.”

Riwayat Yazid ini syadz (ganjil/menyelisihi yang lebih sahih), kerana Muhammad bin Yusuf lebih tsiqah dari Yazid bin Khashifah. Riwayat Yazid tidak boleh dikatakan ziyadah tsiqah jiika keadaannya seperti ini, kerana ziyadah tsiqah itu tidak ada perselisihan, tetapi hanya sekadar tambahan ilmu saja dari riwayat tsiqah yang pertama sebagaimana yang disebutkan dalam Fathul Mughits (1/199), Muhashinul Istilah (hal. 185), al-Kifayah (hal. 424-435). Kalaulah seandainya riwayat Yazid tersebut sahih, itu adalah perbuatan, sedangkan riwayat Muhammad bin Yusuf adalah perkataan, dan perkataan lebih diutamakan dari perbuatan, sebagaimana telah ditetapkan dalam ilmu ushul fiqih.

Abdur Razaq meriwayatkan dalam al-Mushannaf (7730) dari Daud bin Qais dan lainnya, dari Muhammad bin Yusuf dari Saib bin Yazid, bahawa Umar mengumpulkan manusia di dalam bulan Ramadhan dengan dua puluh satu raka’at, membaca dua ratus ayat, selesai ketika fajar.”

Riwayat ini bertentangan dengan apa yang diriwayatkan oleh Malik dari Muhammad bin Yusuf dari Saib bin Yazid. Namun, zaahir sanad Abdur Razaq adalah sahih dan seluruh rawinya tsiqah.

Sebahagian mereka berhujjah dengan riwayat ini, mereka menyangka riwayat Muhammad bin Yusuf adalah mudhtharib (saling bertentangan/bercanggah), hingga selamatlah pendapat mereka dua puluh rakaat yang terdapat dalam hadis Yazid bin Khashifah.

Namun sebenarnya sangkaan mereka ini tertolak, kerana hadis mudhtharib adalah hadis yang diriwayatkan dari seorang rawi satu kali atau lebih, atau diriwayatkan oleh dua orang atau lebih dengan lafadz yang berbeza-beza, mirip dan sama, tapi tidak ada yang boleh menguatkan (mentarjih mana yang lebih kuat).

Adapun syarat tersebut sama sekali tidak terdapat di dalam hadis Muhammad bin Yusuf, bahkan riwayat Malik lebih rajih daripada riwayat ‘Abdur Razzaq.

Kami ketengahkan hal ini sekiranya kita menganggap bahawa sanad Abdur Razzaq selamat dari ‘illat (cacat), akan tetapi hakikatnya tidak demikian, kita jelaskan sebagai berikut:

1 - Yang meriwayatkan hadis dari Abdur Razaq lebih dari seorang, di antaranya adalah Ishaq bin Ibrahim bin Ubbad ad-Dabari.

2 - Hadis ini dari riwayat ad-Dabari dari Abdur Razzaq, dan dialah yang meriwayatkan Kitabus Shaum. (al-Mushannaf, 4/153)

3 – Ad-Dabari mendengar dari Abdur Razaq beberapa karyanya ketika berumur tujuh tahun. (Mizanul I’tidal, 1/181)

4 – Ad-Dabari bukan perawi hadis yang dianggap sahih hadisnya, juga bukan seorang yang ahli dalam bidang hadis. (Mizanul I’tidal, 1/181)

5 - Oleh kerana itu dia banyak keliru (kesalahan) dalam meriwayatkan dari Abdur Razzaq. Dia banyak meriwayatkan dari Abdur Razzaq hadis-hadis yang mungkar, sebahagian ahlul ilmi telah mengumpulkan kesalahan-kesalahan Ad-Dabari dan tashif-tashifnya (kekeliruannya) di dalam Mushannaf Abdur Razaq.

Dari penjelasan tersebut maka jelaslah bahawa riwayat ini mungkar dan mushahhaf (telah diubah) sehingga tidak dapat dijadikan sebagai hujjah. ad-Dabari dalam meriwayatkan hadisnya diselisihi oleh orang yang lebih tsiqah darinya, yang mententeramkan hadis ini kalau kita nyatakan hadis inipun termasuk tashifnya ad-Dabari, dia mentashifkan dari sebelas raka’at (menggantinya menjadi dua puluh satu raka’at) dan kita telah mengetahui bahwa dia banyak berbuat tashif.

Maka, jelaslah bahawa sunnah yang sahih yang adalah yang diriwayatkan di dalam al-Muwatha’ (1/115) dengan sanad yang sahih dari Muhammad bin Yusuf dari Saib bin Yazid. Wallahu a’lam.

4 - Istirehat Di Antara Dua Tarawikh (Empat Rakaat dengan Dua Salam)

Para ulama fiqh sepakat ke atas disunnahkannya istirehat setelah setiap empat rakaat, kerana amalan ini merupakan amalan para salaf (para sahabat). Dahulu mereka memperlama berdiri dalam solat tarawih, dan mereka duduk setelah setiap empat rakaat untuk beristirehat. (Lihat: Kasyaf al-Qanna’, 1/425. dan Muthalib Uli an-Nuha, 1/563)

Ini adalah berdasarkan hadis berikut,

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata, “Rasulullah tidak pernah menambah solat malam lebih dari sebelas rakaat, sama ada pada bulan Ramadhan atau pun di luar Ramadhan. Beliau solat empat rakaat, dan jangan ditanyakan tentang bagus dan panjangnya. Kemudian beliau solat empat rakaat, dan jangan ditanyakan tentang bagus dan panjangnya. Kemudian beliau solat tiga rakaat”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ini menunjukkan bahawa ada pemisahan di antara setiap empat rakaat solat. Perlulah difahami bahawa di ketika istirehat atau pemisahan di antara dua solat terawih tidaklah ada sunnahnya untuk melaksanakan dzikir-dzikir tertentu mahupun selawat-selawat tertentu sebagaimana yang banyak dilakukan oleh sebahagian kelompok manusia. Apatah lagi apabila mereka melaksanakannya dengan cara berjama’ah (beramai-ramai) dan dengan suara-suara yang kuat. Semua itu adalah merupakan bentuk tambahan-tambahan yang tidak tsabit dari Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam, juga tidak tsabit dari para sabahat radhyallahu ‘anhum. Malahan, ianya menjurus kepada bid’ah iaitu berlebih-lebihan dalam beramal yang akhirnya menjauhkan manusia dari ruh agama yang sebenar.

5 - Bacaan Surah Dalam Solat Tarawih

Tidak ada satu sunnah pun yang menunjukkan adanya bacaan-bacaan khusus bagi solat tarawih ini. Maka, terpulang kepada individu atau imam untuk memilih surah mana yang mudah dan sesuai baginya. Panjang bacaan pula berbeza-beza menurut keadaan dan situasi. Seseorang imam boleh membaca bersesuaian dengan kadar yang tidak akan menjadikan jama’ahnya meninggalkannya. Jika para jama’ah redha agar imam memanjangkan bacaannya maka itu adalah yang lebih utama.

6 - Mengerjakan Solat Bersama Imam Sehingga Selesai

Mereka yang melaksanakan solat di belakang imam, seharusnya ia menyelesaikan solat bersamanya dan tidak berpisah dengannya sebelum imam pergi. Dalam hadis Abu dzarr, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Barangsiapa yang solat bersama imam sehingga selesai, maka ditulis baginya pahala qiyam penuh satu malam.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah)

Jika imam berwitir pada akhir raka’atnya, maka ia turut berwitir bersama-sama dengan imam tersebut. Tidak mengapa jika dia masih mahu mengerjakan solat sunnah yang seterusnya. Ini adalah sebagaimana yang telah disebutkan sebagaimana dalam artikel “Menutup Malam Dengan Witir”.

7 – Bersungguh-sungguh untuk Melakukan Qiyam Di Penghujung Ramadhan

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala maka akan diberikan ampunan kepadanya atas dosanya yang telah berlalu. Dan barangsiapa bangun pada malam al-Qadar (lailatul Qadar) dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala, maka akan diberikan ampunan kepadanya atas dosanya yang telah berlalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Dari ‘Aisyah dia menyatakan bahawa, “Jika masuk sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan, Nabi shallallahu ‘alaihi wa Sallam menghidupkan malam, membangunkan keluarganya, bersungguh-sungguh, dan memperkuatkan ikatan kainnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

8 - Waktu Untuk Solat Tarawih

Solat terawih dilakukan selepas ditunaikan solat fardhu Isya’ dan selepas solat sunnah rawatibya. (Rujuk: Syaikh Ibnu Utsaimin, asy-Syarhul Mumti’ ‘alaa Zaadil Mustaqni, 4/82)

Sabtu, 6 September 2008

126 - Sahur Itu Penuh Barakah

Sahur Itu Penuh Barakah

Abu Numair Nawawi B. Subandi


Di ketika bulan Ramadhan, kita diperintahkan untuk berpuasa di siang hari dan berbuka di malam harinya. Selagi mana waktu masih malam, iaitu selagi belum masuknya Subuh, maka kita dibolehkan untuk makan, minum, dan menggauli isteri yang mana perkara ini diharamkan dilakukan di waktu siangnya. Ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya):

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ فَالآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan Ramadhan untuk bercampur dengan isteri-isteri kamu - mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar (masuknya waktu Subuh).” (Surah al-Baqarah, 2: 187)

Adalah menjadi sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di bulan Ramadhan sebelum memulakan puasa beliau bersahur dan melewatkannya di penghujung malam. Sahur adalah makan atau minum di penghujung waktu malam ketika hampir menjelang Subuh bertujuan untuk puasa. Atau lebih tepat lagi adalah akhir sepertiga malam sehingga terbitnya fajar (masuk waktu Subuh).

Sahur Penuh Barakah

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ، فَلَا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

“Makan ketika sahur itu barakah, maka janganlah kamu meninggalkannya sekalipun hanya dengan seteguk air. Kerana Allah ‘Azza wa Jalla dan para Malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ahmad, 17/150, no. 11086. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

Di antara bentuk barakah dari sahur adalah mampu memberikan tenaga, menguatkan semangat, dan meringankan beban bagi mereka yang berpuasa. Ini adalah hasil dari makanan dan minuman yang diambil ketika sahur. Kemudian, waktu sahur itu sendiri pula termasuk ke dalam waktu mustajab berdoa, waktu terbaik beribadah, dan waktu diampunkan bagi mereka yang memohon keampunan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan kepada kita bahawa:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

“Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, Aku ampunkannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 23/13, no. 6940)

Berkenaan turunnya Allah ke langit dunia, Ahlus Sunnah wal-Jama’ah menerima sebagaimana zahir hadis tentangnya. Iaitu Allah turun secara hakiki bukan majazi, tanpa diserupakan dengan turunnya makhluk, tanpa diberi perumpamaan, dan tanpa mempersoalkannya bagaimana. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala itu tidak menyerupai segala sesuatu dan kita tidak mengetahui tentang-Nya melainkan dengan nash-nash yang sahih.

Seterusnya, dalam al-Qur’an pula kita boleh lihat Allah memuji mereka yang memohon keampunan ketika waktu sahur. Ini boleh disemak di Surah Ali ‘Imran, 3: 17 dan adz-Dzaariyaat, 51: 18.

Selain penuh barakah dan dalam rangka mengikuti sunnah, bersahur turut menjadi pembeza di antara puasa umat Islam dengan Ahlul Kitab (Yahudi dan Nashara). Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

“Pembeza di antara puasa kami dengan puasa Ahlul Kitab adalah makan sahur.” (Hadis Riwayat Muslim, 5/388, no. 1836)

Melewatkan Sahur

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إنا معاشر الأنبياء أمرنا بتعجيل فطرنا وتأخير سحورنا

“Sesungguhnya kami para Nabi diperintahkan untuk menyegerakan berbuka (sebaik masuk waktunya) dan melewatkan sahur.” (Majma’ az-Zawa’id, 2/275, no. 2609. Kata al-Haitsami, “Hadis riwayat ath-Thabrani dalam al-Kabir dan para perawinya perawi kitab Shahih.”)

‘Amr B. Maimun al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/199)

Waktu Disunnahkan Bersahur

Waktu disunnahkan memulakan sahur adalah sekitar kira-kira tempoh bacaan lima puluh ayat al-Qur’an sebelum masuknya waktu Subuh. Ini menunjukkan sekitar 15 atau 10 minit sebelum masuknya waktu subuh.

Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Zaid B. Tsabit radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

“Kami pernah makan sahur bersama Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam. Setelah itu beliau segera menunaikan solat.” Aku bertanya, “Berapa lama jarak antara azan dengan sahur?” Beliau menjawab, “Kira-kira sama seperti (panjangnya) bacaan lima puluh ayat al-Qur’an”. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6/500, no. 1787)

Atau dalam riwayat dan lafaz yang lain, menyebutkan tempoh 50 ayat bacaan al-Qur'an tersebut adalah menunjukkan tempoh antara selesainya sahur dengan waktu memulakan solat. Ini juga sebagaimana keterangan Imam al-Bukhari melalui bab yang beliau letakkan. (Rujuk: Shahih al-Bukhari, 6/499)

Juga sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “... makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu terbitnya fajar (masuknya waktu Subuh).” (Surah al-Baqarah, 2: 187)

Rasulullah menjelaskan lagi:

كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ فَإِنَّهُ لَا يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ

“Makan dan minumlah kamu sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan. Dan beliau hanya melaungkan azan setelah terbit fajar (setelah masuknya waktu Subuh).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6/496, no. 1785)

Tiga dalil ini menunjukkan bahawa sunnah makan sahur bermula dari kira-kira 50 ayat bacaan al-Qur’an menuju masuknya waktu Subuh (atau azan dikumandangkan). Dan makan perlu berhenti sebaik sahaja telah jelas masuknya waktu Subuh atau azan dikumandangkan.

Menghabiskan Makan dan Minum Ketika Azan

Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ، فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ

“Apabila salah seorang di antara kamu mendengar panggilan (azan subuh) sedangkan bekas (minuman) masih ada di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga ia menyelesaikan hajat darinya (menghabiskan minum).” (Hadis Riwayat Ahmad, 16/368, no. 10629. Abu Dawud, Kitab ash-Shaum, 6/297, no. 2003. Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/320, no. 729. Al-Baihaqi, 4/218, no. 7809. Dinilai sahih oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, dan al-Albani. Hasan oleh al-Wadi’i dan al-Arnauth. Lihat: al-Albani, as-Silsilah ash-Shahihah, 3/381. Muqbil B. Hadi al-Wadi’i, al-Jaami’ ash-Shahih mimma Laisa fii Shahihain, 2/373-374. An-Nawawi turut memperakui kesahihannya dalam al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 6/312)

Syaikh Muqbil B. Hadi al-Wadi’i rahimahullah meletakkan hadis ini dalam bab:

“Mendengar Azan Sementara Bekas (Minuman) Berada Di Tangan Maka Dibolehkan Untuk Minum Darinya.” (Rujuk: al-Jaami’ ash-Shahih mimma Laisa fii Shahihain. m/s. 373)

Salah seorang perawi hadis ini, ‘Ammar B. Abi ‘Ammar (perawi Abu Hurairah) menyatakan:

وَكَانَ الْمُؤَذِّنُ يُؤَذِّنُ إِذَا بَزَغَ الْفَجْرُ

“Bahawasanya mereka mengumandangkan azan setelah terbit fajar.” (Hadis Riwayat Ahmad, 16/368, no. 10630. Dinilai sahih oleh al-Albani dan al-Arnauth)

Di antara riwayat lain yang menguatkan hadis ini adalah hadis daripada Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:

أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ وَالإِنَاءُ في يَدِ عُمَرَ فَقَالَ: أَشْرَبُهَا يَا رَسُولَ الله؟ فَقَالَ: نَعَمْ، فَشَرِبَهَا

“Pernah ketika solat hendak didirikan (iqamah) sedangkan bekas (minuman) masih di tangan Umar (al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu). Dia bertanya kepada Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam, “Adakah aku boleh meminumnya?” Rasulullah menjawab, “Boleh.” Maka ‘Umar pun meminumnya.” (Tafsir ath-Thabari, 3/527, no. 3017. Dinilai sahih isnadnya oleh Ahmad Muhammad Syakir, dan hasan oleh al-Albani)

Juga hadis daripada Abu az-Zubair, beliau berkata:

قَالَ: سَأَلْتُ جَابِرًا عَنِ الرَّجُلِ يُرِيدُ الصِّيَامَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ لِيَشْرَبَ مِنْهُ، فَيَسْمَعُ النِّدَاءَ، قَالَ جَابِرٌ: كُنَّا نُحَدَّثُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " لِيَشْرَبْ

Aku pernah bertanya kepada Jabir tentang seseorang yang hendak berpuasa sedangkan ia masih memegang bekas untuk minum, kemudian ia mendengar panggilan (azan Subuh). Jabir menjawab:

“Kami pernah mengatakan perkara seperti itu kepada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau bersabda, “Hendaklah ia minum.” (Hadis Riwayat Ahmad 23/82, no. 14755. Al-Albani berkata, “Wa Isnaduhu laa ba’sa bihi fii asy-Syawaahid (Isnadnya tidak mengapa (dapat diguna) untuk penguat).” (as-Silsilah ash-Shahihah, 3/381) al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan isnadnya hasan.” (Majma’ az-Zawa’id, 3/364, no. 4858) Syu’aib Al-Arna’uth menyatakan, “Hasan lighairihi, dan sanad hadis ini dha’if kerana buruknya hafalan Ibnu Lahi’ah.”)

Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan:

وفيه دليل على أن من طلع عليه الفجر وإناء الطعام أو الشراب على يده أنه يجوز له أن لا يضعه حتى يأخذ حاجته منه فهذه الصورة مستثناة من الآية: وكلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر. فلا تعارض بينها وما في معناها من الأحاديث وبين هذا الحديث ولا إجماع يعارضه بل ذهب جماعة من الصحابة وغيرهم إلى أكثر مما أفاده الحديث وهو جواز السحور إلى أن يتضح الفجر وينتشر البياض في الطرق راجع " الفتح ( 4 / 109 - 110 ) لأن من فوائد هذا الحديث إبطال بدعة الإمساك قبل الفجر بنحو ربع ساعة. لأنهم إنما يفعلون ذلك خشية أن يدركهم أذان الفجر وهم يتسحرون ولو علموا هذه الرخصة لما وقعوا في تلك البدعة

“Dalam hadis ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang mengetahui fajar telah terbit tetapi bekas makanan atau minuman masih berada di tangannya, dia boleh segera menyelesaikan keperluannya tersebut (makan dan minum). Ini adalah bentuk pengecualian dari ayat “... makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu terbitnya fajar (masuknya waktu Subuh).” (Surah al-Baqarah, 2: 187)

Ayat ini dan hadis-hadis yang semakna dengannya tidak bertentangan dengan hadis tersebut. Tiada pula ijma’ ulama yang bertentangan dengannya. Bahkan sejumlah sahabat dan selain mereka berpendapat selari dengan makna hadis ini iaitu boleh makan sahur sehingga jelas terbitnya fajar dan menyebarnya cahaya di jalan-jalan (setelah jelas masuknya waktu Subuh). Lihatlah di kitab Fathul Bari (4/109-110). Dalam masa yang sama, hadis ini menolak bid’ah tentang penetapan waktu imsak sekitar 15 minit sebelum terbitnya fajar (sebelum masuknya waktu Subuh). Kebanyakan mereka yang mengamalkannya adalah disebabkan bimbang berkumandangnya azan Subuh dalam keadaan mereka sedang bersahur. Kalaulah mereka mengetahui rukhsah (keringanan) ini, sudah tentu mereka tidak akan terjerumus ke dalam bid’ah sedemikian rupa.” (Tamamul Minnah fii Ta’liq ‘ala Fiqhus Sunnah, m/s. 417-418)

Bersahur Dengan Tamar

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

“Sebaik-baik makanan ketika seseorang mukmin bersahur adalah tamar (kurma kering).” (Hadis Riwayat Abu Daud, 6/290, no. 1998. Shahih Ibnu Hibban, 8/253, no. 3475. Dinilai sahih oleh Ibnu Hibban, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)

Oleh itu, janganlah kita tinggalkan begitu sahaja sunnah bersahur ini walaupun hanya dengan kurma kering mahupun seteguk air. Selain beberapa hikmah dan bentuk barakah (tambahan kebaikan) yang dapat kita lihat secara umum, di sana masih ada lagi bentuk-bentuk barakah yang hanya diketahui di sisi Allah Ta’ala.

Menyahut sunnah makan sahur ini juga termasuk ke dalam ciri-ciri mengerjakan puasa di atas keimanan dan mengharapkan pahala Allah Subhanahu wa Ta’ala. Yang dengannya akan menjadi sebab diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan semoga kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.

Wallahu a’lam...

Selasa, 2 September 2008

125 - Malam al-Qadar (Lailatul Qadar) Di Bulan Ramadhan

Malam al-Qadar (Lailatul Qadar) Di Bulan Ramadhan

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Keutamaan Lailatul Qadar sangat besar kerana malam tersebut menyaksikan turunnya al-Qur’an al-Karim, iaitu kitabullah yang menjadi petunjuk bagi mereka yang berpegang dengannya kepada jalan kemuliaan dan mengangkat ke darjat yang mulia dan abadi. Umat Islam yang mengikuti sunnah Rasulnya tidak perlu mengguna pakai tanda-tanda tertentu dan tidak pula memasang lampu-lampu pelita untuk memperingati malam ini, akan tetapi mereka wajar untuk berlumba-lumba bangun di malam harinya dengan penuh iman dan mengharap pahala dari Allah.

Berikut ini adalah di antara keutamaan malam Lailatul Qadar berdasarkan dalil-dalil yang sahih.

1. Keutamaan Lailatul Qadar (Malam al-Qadar)

Cukuplah untuk mengetahui tingginya kedudukan Lailatul Qadar dengan mengetahui bahawasanya malam itu lebih baik dari seribu bulan dan merupakan malam yang diberkahi, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Qur’an pada malam al-Qadar, tahukah engkau apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turunlah malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Rabb mereka (untuk mengatur) segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (al-Qadar, 97: 1-5)

Dan pada malam itu dijelaskan segala urusan yagn penuh hikmah:

“Sesungguhnya Kami menurunkan pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (ad-Dukhan, 44: 3-6)

2. Waktunya

Diriwayatkan dari Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa malam tersebut terjadi pada tanggal malam ke 21, 23, 25, 27, 29 dan malam-malam terakhir dari bulan Ramadhan. (Pendapat-pendapat yang terdapat dalam masalah ini berbeza-beza, Imam al-Iraqi telah mengarang suatu risalah khusus yang diberi judul Syarhush Shadr bi Dzikri Lailatil Qadar yang membawakan perkataan para ulama berkaitan permasalahan ini)

Imam asy-Syafi’i berkata, “Menurut pemahamanku, wallahu a’lam, Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab bertepatan dengan yang ditanyakan, ketika ditanyakan kepada beliau, “Adakah kami mencarinya di malam ini?” Beliau menjawab, “Carilah di malam tersebut”.”

Pendapat yang paling kuat, terjadinya Lailatul Qadar itu pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan berdasarkan hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam beri’tikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan dan beliau bersabda:

“Carilah Lailatul Qadar di (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/225) dan Muslim (1169))

Jika seseorang merasa lemah atau tidak mampu, janganlah sehingga terluput dari tujuh hari terakhir, kerana riwayat dari Ibnu Umar, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Carilah di sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu maka janganlah sampai terluput tujuh hari yang selebihnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/221) dan Muslim (1165))

“Aku melihat mimpi kalian telah terjadi, barangsiapa yang mencarinya carilah pada tujuh hari terakhir.”

Telah diketahui di dalam as-sunnah, pemberitahuan ini wujud adalah kerana pada masa itu berlaku perselisihan di antara para sahabat. Dari Ubadah bin Shamit Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar pada malam al-Qadar, ada dua orang sahabat berdabat, beliau bersabda:

“Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu berkenaan Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang sedang berselisih sehingga pengetahuan berkenaannya tidak diberikan. Mudah-mudahan ini lebih baik bagi kamu, carilah di malam 29, 27, 25 (dan dalam riwayat lain, pada malam ke tujuh, sembilan dan lima).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/232))

Telah banyak hadis yang mengisyaratkan bahawa Lailatul Qadar itu pada sepuluh hari terakhir, yang lainnya menegaskan di malam-malam ganjil sepuluh hari terakhir. Hadis yang pertama sifatnya umum, manakala hadis kedua adalah khusus, maka riwayat yang khusus lebih diutamakan daripada yang umum. Dan ada beberapa hadis yang lain turut menjelaskan bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada tujuh hari terakhir bulan Ramadhan dan yang ini terikat kepada yang mengalami ketidakmampuan dan kelemahan, sehingga tidak ada masalah. Makanya, di sini hadis-hadis yang berkaitan adalah saling bersesuaian dan tidak bertentangan.

Kesimpulannya, jika seorang muslim ingin mencari Lailatul Qadar, maka carilah ia pada malam-malam ganjil di sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan, 21, 23, 25, 27 dan 29. Sekiranya tidak berupaya mencarinya pada sepuluh hari terakhir, maka carilah pada malam-malam ganjil tujuh hari terakhir iaitu 25, 27 dan 29. Wallahu a’lam.

3. Bagaimana Mencari Lailatul Qadar

Sesungguhnya malam yang diberkahi ini barangsiapa yang terhalang dari mendapatkannya, maka bererti dia telah terhalang dari seluruh kebaikan (baginya). Dan tidaklah terhalang dari kebaikan itu melainkan (bagi) orang yang rugi. Oleh kerana itu dianjurkan bagi kaum muslimin (agar) bersemangat dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah untuk menghidupkan Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan terhadap pahala-Nya yang besar, jika telah berbuat demikian niscaya akan diampuni Allah dosa-dosanya yang telah lalu.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa berdiri (solat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/217) dan Muslim (759))

Disunnahkan untuk memperbanyakkan do’a pada malam tersebut. Telah diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa dia bertanya, “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mendapat Lailatul Qadar (mengetahui terjadinya), apa yang mesti aku ucapkan?” Beliau menjawab,

“Ucapkanlah, Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3760), Ibnu Majah (3850) dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. Sanadnya sahih)

Semoga Allah memberkati dan memberi taufiq kepada kita dalam usaha mentaati-Nya. Berdasarkan beberapa penjelasan tadi, maka kita telah mengetahui serba sedikit bagaimana keadaan Lailatul Qadar dan keutamaannya untuk berusaha mendapatkannya. Maka wajarlah kita berusaha untuk bangun (menegakkan ibadah, solat, dan berdoa) pada sepuluh malam-malam yang terakhir. Bersungguh-sungguhlah dalam menghidupkannya dengan ibadah dan menjauhi hubungan suami isteri. Juga perintahkanlah kepada keluarga kita untuk tujuan yang sama iaitu memperbanyakkan perbuatan ketaatan.

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:

“Adalah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam apabila memasuki sepuluh hari (terakhir bulan Ramadhan), beliau memperkuatkan ikatan kainnya sambil menghidupkan malam tersebut dan membangunkan keluarganya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/233) dan Muslim (1174))

Juga dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:

“Adalah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersungguh-sungguh (dalam beribadah) apabila telah masuk sepuluh malam terakhir yang tidak beliau lakukan pada malam-malam pada bulan selainnya.” (Hadis Riwayat Muslim (1174))

4. Tanda-Tandanya

Mudah-mudahan Allah membantu kita dengan pertolongan-Nya dalam memahami datangnya malam al-Qadar. Dalam hal ini, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam menggambarkan (menyifatkan) paginya Lailatul Qadar agar seseorang muslim dapat mengetahuinya.

Dari ‘Ubai radhiyallahu ‘anhu ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Pagi hari (setelah) Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinar), seakan-akan ia bejana sehinggalah ia meninggi.” (Hadis riwayat Muslim (762))

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu ia berkata, “Kami menyebutkan malam Lailatul Qadar di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan beliau bersabda:

“Siapa di antara kalian yang masih ingat ketika terbit bulan yang ianya seperti syiqi jafnah (separuh mangkuk).” (Hadis Riwayat Muslim (1170). Kalimat syiqi jafnah, syiq membawa erti setengah, jafnah pula ertinya bejana. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata, “Dalam hadis ini menunjukkan isyarat bahawa Lailatul Qadar hanya di akhir bulan, kerana bulan tidak akan berbentuk (berupa) sedemikian rupa ketika terbit melainkan ketika di akhir-akhir bulan”)

Dan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Malam al-Qadar adalah malam yang indah penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Manakala pada keesokan harinya sinar mataharinya kelihatan melemah kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat ath-Thayalisi (394), Ibnu Khuzaimah (3/231), al-Bazzar (1/486) dan sanadnya hasan)

124 - Tasbih/Doa/Zikir Sesudah salam Solat Witir

Tasbih/Doa/Zikir Sesudah salam Solat Witir

Diriwayatkan dari Ubay bin Ka’ab, ia berkata, “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأعْلَى” (Surah al-a’la), “قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ” (Surah al-Kafirun) dan “قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ” (Surah al-Ikhlas). Kemudian sesudah salam, beliau mengucapkan: Subhaanal Malikil Quddus tiga kali.

سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوْسِ
(3× يجهر بها ويمد بها صوته يقول)
[رَبُّ الْمَلاَئِكَةِ وَالرُّوْحِ]

manakala pada bacaan yang ketiga, beliau membacanya dengan suara yang keras dan ditambah dengan (rabbul malaaikati warruh).” (Hadis Riwayat Abu Daud, an-Nasa’i, ad-Daruquthni, dan beberapa imam hadis yang lain. Kalimat di antara dua tanda kurung adalah tambahan menurut riwayat ad-Daruquthni. Sanadnya sahih, lihat Za’dul Ma’ad yang ditahqiq oleh Syu’aib al-Arnauth dan Abdul Qadir al-Arnauth)

Diriwayatkan dari Ali radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada akhir Witir mengucapkan:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوْبَتِكَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْكَ، لاَ أُحْصِيْ ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ

“Ya, Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan kerelaan-Mu dari kemarahan-Mu, dan dengan keselamatan-Mu dari siksa-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dari ancaman-Mu. Aku tidak mampu menghitung pujian dan sanjungan kepada-Mu, Engkau adalah sebagaimana yang Engkau sanjungkan kepada diri-Mu sendiri.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih at-Tirmidzi, Shahih Ibnu Majah, dan Irwa’ul Ghalil)

Sumber: Artikel “Menutup Malam Dengan Witir

123 - Persoalan Kafarat & Fidyah Puasa

Persoalan Kafarat & Fidyah Puasa

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Kafarat

Berikut adalah hadis yang menjadi dalil berkenaan kafarat dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu,

“Pernah datang seseorang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kemudian berkata, “Ya Rasulullah, binasalah aku!” Rasulullah bertanya, “Apakah yang membuatmu binasa?” Orang itu menjawab, “Aku menjima’i isteriku di bulan Ramadhan.” Rasulullah bersabda, “Apakah kamu mampu memerdekakan seorang budak?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Apakah engkau mampu berpuasa selama dua bulan berturut-turut?” Orang itu menjawab tidak. Rasulullah bersabda, “Apakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Duduklah.” Dia pun duduk. Kemudian ada yang mengirimkan (membawakan) satu wadah kurma kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Rasulullah bersabda, “Bersedekahlah dengan kurma ini.” Orang itu berkata “Tidak ada di antara dua kampung ini keluarga yang lebih miskin dari kami.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam pun tertawa hingga terlihat gigi serinya, lalu beliau bersabda, “Ambillah, berilah makan kepada keluargamu.” (Hadis sahih dengan berbagai lafadz yang berbeza dari al-Bukhari (11/516), Muslim (1111), at-Tirmidzi (724), al-Baghawi (6/288), Abu Dawud (2390) ad-Darimi (2/11), Ibnu majah (1671) Ibnu Abi Syaibah (2/183-184) Ibnu Khuzaimah (3/216) Ibnul Jarud (139) asy-Syafi’i (299) Malik (1/297) dan Abdur Razzaq (4/196). Sebahagian mereka memursalkannya dan sebahagian yang lainnya menyambungkannya. Lihat juga di dalam Fathul Bari oleh al-Hafiz Ibnu Hajar (11/516))

1. Kafarat Bagi Laki-Laki yang Menjima' Isterinya

Telah disampaikan berkenaan hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkenaan laki-laki yang menjima’ (menyetubuhi) isterinya di siang hari dalam bulan Ramadhan bahawa dia harus mengqadha puasanya dan sekaligus membayar kafarat iaitu dengan membebaskan (memerdekakan) seorang budak, jika tidak mampu maka dia wajib berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak mampu maka dia wajib memberi makan enam puluh orang miskin.

Ada yang mengatakan bahawa kalimat kafarat jima’ itu boleh dipilih secara tidak tertib (iaitu tanpa mengikut turutan seperti yang dijelaskan dalam hadis Abu Hurairah). Akan tetapi, mereka yang berpendapat agar ianya mengikut tertib (sesuai urutannya) lebih ramai. Ini adalah kerana riwayat yang dipegang dan digunakan lebih rajih, kerana perawinya lebih banyak jumlahnya dan padanya terdapat kelebihan ilmu, mereka sepakat menyatakan tentang batalnya puasa kerana jima’. Tidak pernah terjadi hal seperti ini dalam riwayat-riwayat lain, dan orang yang berilmu menjadi hujjah atas yang tidak berilmu. Dan hujah yang menyatakan perlunya mengikut tertib itu adalah lebih selamat. Yang menganggap lebih rajih berkenaan perlunya mengikut tertib disebabkan dengan tertib sudah cukup sebagaimana di dalam hadis, sama ada bagi yang menyatakan boleh memilih atau tidak, berbeza dengan sebaliknya.

2. Gugurnya Kafarat

Barangsiapa yang telah wajib membayar kafarat, namun tidak mampu membebaskan seorang budak atau pun berpuasa (dua bulan berturut-turut) dan juga tidak mampu memberi makan (enam puluh orang miskin), maka gugurlah kewajibannya membayar kafarat tersebut, kerana tidak ada beban syari'at kecuali jika ada kemampuan. Allah berfirman:

“Allah tidak membebani jiwa kecuali mengikut kemampuannya.” (al-Baqarah, 2: 286)

Dan dengan dalil Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menggugurkan kafarat dari orang tersebut, ketika mengkhabarkan kesulitannya dan memberinya satu wadah kurma untuk diberikan kepada keluarganya.

3. Kafarat Hanya Bagi Laki-Laki

Seorang wanita tidak ditsabitkan dengan kewajiban membayar kafarat, karena ketika dikhabarkan kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berkenaan perbuatan yang terjadi di antara seorang laki-laki dengan isterinya tersebut, beliau Shalallahu ‘alaihi wa Sallam hanya mewajibkan satu kafarat saja, Wallahu a'lam.

Fidyah

1. Bagi Siapa Fidyah Itu?

Bagi ibu yang hamil dan yang menyusui anak, jika khuwatir (bimbang) terhadap keadaan dirinya mahu pun anaknya, maka dia dibolehkan untuk berbuka dan memberi makan setiap harinya seorang miskin, dalilnya adalah firman Allah:

“Dan orang-orang yang tidak mampu berpuasa hendaknya membayar fidyah, dengan memberi makan seorang miskin (bagi setiap hari yang ditinggalkannya).” (al-Baqarah, 2: 184)

Berdasarkan penggunaan dalil tersebut, bahwasanya ayat ini adalah khusus bagi orang yang sudah tua/uzur (sama ada laki-laki atau pun perempuan), orang sakit yang tidak ada harapan kesembuhannya, ibu yang hamil dan menyusui anak, jika dia bimbang terhadap keadaan diri dan anaknya. Ia adalah sebagaimana penjelasan Ibnu Abbas dan Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhum.

2. Penjelasan Ibnu Abbas Rhadiyallahu anhuma

Ada riwayat dari Ibnu Abbas yang menegaskan bahwa ayat ini tidak dimansukhkan dan ini berlaku (sah) bagi laki-laki atau pun wanita yang sudah tua dan bagi orang yang tidak mampu berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan setiap hari seorang miskin (mengikut jumlah hari puasa yang ditinggalkannya). (Hadis Riwayat al-Bukhari (8/135))

Oleh kerana itulah Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma dianggap menyelisihi jumhur para sahabat atau pendapatnya saling bertentangan, lebih khusus lagi jika kita mengetahui bahawasanya beliau menegaskan adanya mansukh. Dalam riwayat lain (disebutkan):

“Diberi rukhsah bagi laki-laki dan perempuan yang sudah tua yang tidak mampu berpuasa, hendaklah bebuka sekiranya mahu, atau memberi makan seorang miskin dan tidak ada qadha’.”

Kemudian dimansukh oleh ayat:

“Kerana itu barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu.” (al-Baqarah, 2: 185)

Telah sahih bagi datuk dan nenek yang sudah tua jika tidak mampu berpuasa, ibu yang hamil dan menyusui anak yang bimbang kepada keadaan keduanya (anak dan dirinya) untuk berbuka, kemudian memberi makan setiap harinya (jumlah hari yang ditinggalkan) seorang miskin.” (Hadis Riwayat Ibnu Jarud (381), al-Baihaqi (4/230), Abu Dawud (2318). Sanadnya sahih)

Sebahagian orang ada yang melihat zahir riwayat yang lalu, iaitu riwayat al-Bukhari pada kitab Tafsir dalam kitab Shahih-nya yang menegaskan tidak adanya naskh, sehingga mereka menyangka Hibarul Ummat (Ibnu Abbas Radhiyallahu 'anhuma) menyelisihi jumhur, tetapi tatkala diberikan riwayat yang menegaskan adanya naskh mereka menyangka adanya saling percanggahan.

3. Yang Benar Ayat Tersebut (al-Baqarah, 2: 185) Nasakh (dihapuskan)

Yang benar dan tidak diragukan lagi ayat tersebut adalah dinasakh (dihapuskan/mansuh), tetapi adalah mengikut pengertian nasakh para salafus soleh, kerana salafus soleh radhiyallahu ‘anhum menggunakan kata nasakh untuk menghilangkan (menghapuskan) penggunaan dalil-dalil umum, mutlak dan zahir atau selainnya, sama ada dengan maksud mengkhususkan, membataskan, menghubungkan, atau menunjukkan yang mutlak kepada muqayyad (terikat), untuk menjelaskan penafsiran dan penjelasannya sehingga mereka menamakannya sebagai istitsna’ (pengecualian), syarat dan sifat sebagai nasakh kerana lafaz-lafaz tersebut mengandungi makna penghapusan makna zahir dan penjelasan makna yang dimaksudkan. Nasakh dalam bahasa arab menjelaskan maksud tanpa mengguna pakai lafaz tersebut (dengan mengguna pakai lafaz yang lain), malahan (boleh juga) dengan sebab dari luar perkara tersebut. (Lihat I’lam alMuwaqi’in (1/35) karya Ibnul Qayyim dan al-Muwaqafat (3/118) karya Imam asy-Syatibi)

Sebagaimana diketahui dan difahami bahawa mereka yang memperhatikan (menyelidiki) perkataan mereka (orang arab), maka mereka akan melihat banyak sekali contoh ungkapan-ungkapan seperti itu sehingga pada masa yang sama akan hilanglah pelbagai kemusykilan dan kesulitan yang mewajibkan menafsirkan ungkapan mereka itu dengan istilah baru yang datang kemudian, yang pada dasarnya dihapuskan hukum syari’at terdahulu dengan dalil syari’at berikutnya bagi para mukallaf (orang yang terkena hukum wajib).

4. Ayat Tersebut Bersifat Umum

Pengertian ini memperkuatkan bahawa ayat tersebut adalah bersifat umum yang mencakupi setiap mukallaf iaitu meliputi setiap mereka yang mampu berpuasa atau tidak. Yang menjadi dalil dalam persoalan ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan Imam Muslim dari Salamah bin al-Akwa’ radhiyallahu ‘anhau, “Kami pernah berada dalam bulan Ramadhan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Pada bulan itu, barangsiapa yang mahu berpuasa maka dia boleh berpuasa, dan barangsiapa yang mahu berbuka maka dia boleh berbuka, tetapi dia wajib mengeluarkan fidyah (memberi makan) kepada seorang miskin, sehingga turunlah ayat ini:

“Kerana itu barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa...” (al-Baqarah, 2: 185)

Mungkin mula timbulnya masalah itu adalah kerana hadis Ibnu Abbas tersebut yang menjelaskan bahawa nasakh tersebut mengelirukan, yang mana ruskhsah (keringanan) itu diberikan untuk laki-laki dan wanita yang sudah lanjut usia dan tidak mampu berpuasa. Akan tetapi masalah ini dapat diatasi dan dapat dihilangkan jika jelas bagi kita bahawa hadis tersebut hanya sebagai dalil dan bukan membatasi setakat orang tua. Dalil bagi memahami persoalan ini terdapat pada hadis itu sendiri. Jika rukhshah tersebut hanya untuk laki-laki dan wanita yang sudah lanjut usia semata-mata kemudian dihapus (dinaskh), sehingga tetap berlaku bagi laki-laki dan wanita yang sudah lanjut usia, maka apa makna rukhshah yang ditetapkan dan yang dinafikan itu jika penyebutan mereka bukan sebagai dalil ataupun pembatasan?

Setelah kita merasa jelas dan yakin, serta berpendapat bahawa makna ayat mansukh (dihapuskan) bagi orang yang mampu berpuasa, dan tidak mansukh bagi yang tidak mampu berpuasa, hukum yang pertama mansukh dengan dalil al-Qur’an, manakala hukum yang kedua ditetapkan dengan dalil dari sunnah (hadis) yang tidak akan terhapus sehingga hari kiamat.

Situasi tersebutdiperkuatkan dengan pernyataan Ibnu Abbas dalam riwayat yang menjelaskan adanya nasakh, “Telah tetap bagi laki-laki dan wanita yang sudah lanjut usia dan tidak mampu berpuasa, serta wanita yang hamil dan menyusui anak jika bimbang kepada keadaan diri dan anaknya, maka mereka boleh berbuka (tidak perlu berpuasa) namun perlu memberi makan orang miskin setiap harinya.”

Permasalahan ini menjadi lebih jelas dengan berpandukan hadis dari Muadz bin Jabal radhiyallahu'anhu, “Adapun berkenaan puasa, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang ke Madinah lalu berpuasa selama tiga hari setiap bulannya, juga puasa “Asyura”. Kemudian Allah mewajibkan kepada beliau puasa. Maka turunlah ayat:

“Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa...” (al-Baqarah, 2: 183)

Kemudian Allah menurunkan ayat yang lain,

“Bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan padanya al-Qur-an...” (Al Baqarah : 185)

Allah menetapkan puasa bagi orang mukmin yang sihat, dan memberi rukhshah (keringanan) bagi orang yang sakit dan musafir serta menetapkan fidyah bagi orang tua yang tidak mampu berpuasa, inilah keadaan keduanya...” (Hadis Riwayat Abu Dawud dalam Sunannya (507), al-Baihaqi dalam Sunannya (4/200), Ahmad dalam al-Musnad (5/246-247) dan sanadnya sahih)

Melalui dua hadis ini, ia menjelaskan bahawa ayat tersebut mansukh bagi orang yang mampu berpuasa, dan tidak mansukh bagi orang yang tidak mampu berpuasa, yakni ayat ini dikhususkan.

Dengan sebab itu, Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu tidak menyelisihi para sahabat yang lainnya. Hadit beliau menepati dua hadis yang lainnya iaitu hadis Ibnu Umar dan Salamah bin al-Akwa’ radhiyallahu ‘anhum, dan malah juga tidak saling bertentangan. Perkataannya yang menyatakan “tidak mansukh” ditafsirkan oleh perkataannya: “itu mansukh, yakni ayat ini dikhususkan”. Melalui penjelasan ini, maka jelaslah bahawa nasakh dalam pemahaman sahabat berlawanan dengan pengkhususan dan pembatasan di kalangan ahli ushul mutaakhirin, demikianlah yang diisyaratkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya. (al-Jami’ li Ahkamil Qur-an (2/288))

5. Hadis Ibnu Abbas dan Muadz Hanya Ijtihad?

Mungkin ada yang akan berpendapat bahawa hadis dari Ibnu Abbas dan Muadz hanya yang tersebut hanya semata-mata ijtihad sehingga faedah tidak boleh ditasabitkan kepada darjat hadis yang marfu’ yang dapat mengkhususkan peng-umuman dalam al-Qur-an dan membatasi yang mutlaknya, menafsirkan yang global. Ia dapat dijawab sebagaimana berikut:

a. Menurut kesepakatan ulama hadis, dua hadis ini memiliki hukum marfu’ kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam dan seseorang yang beriman mencintai Allah dan Rasul-Nya tidak boleh menyelisihi dua hadis ini jika ia menganggapnya sahih. Hadis ini juga terdapat di dalam kitab-kitab tafsir ketika menjelaskan asbabun nuzul. Dengan kata lain, kedua sahabat ini menyaksikan ketika turunnya wahyu (ayat tersebut) dan dengan ini mereka mengetahui lagi memahami berkenaan ayat tersebut. Tanpa diragukan, maka hadis tersebut menjadi sandaran yang kuat.

b. Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu menetapkan bahawa hukum ini bagi wanita yang menyusui anak atau yang sedang hamil. Dari mana beliau mengambil hukum (ketetapan) ini? Tidak diragunakan lagi bahawa beliau mengambilnya dari sunnah. Ditambah lagi beliau tidak bersendirian dalam persoalan ini tetapi turut dipersetujui oleh Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma yang meriwayatkan bahawa hadis ini mansukh.

Dari Malik, dari Nafi' bahawasanya Ibnu ‘Umar ditanya tentang seorang wanita yang sedang hamil jika ia bimbangkan keadaan anaknya. Beliau berkata, “Berbuka dan gantinya dengan memberi makan satu mud gandum setiap harinya kepada seorang miskin.” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam kitab Sunannya (4/230) melalui jalan Imam asy-Syafi’i, dan sanadnya adalah sahih)

Daripada ad-Daruquthni pula, beliau meriwayatkan (1/270) dari Ibnu ‘Umar dan beliau mensahihkannya, bahawa Ibnu ‘Umar berkata, “Seorang wanita yag sedang hamil atau menyusukan anak boleh berbuka dan tidak perlu mengqadha’.” Dari jalan lain beliau meriwayatkan bahawa seorang wanita hamil bertanya kepada Ibnu Umar, beliau menjawab, “Berbukalah, dan berilah makan orang miskin setiap harinya dan tidak perlu mengqadha’.” Sanadnya jayyid. Dan dari jalan yang ketiga, juga dari Ibnu ‘Umar, yang mana anak perempuannya dinikahi oleh seseorang dari kaum Quraisy. Suatu masa di ketika dia sedang hamil, dia merasa dahaga di siang hari dalam bulan ramadhan, maka Ibnu ‘Umar menyuruhnya untuk tidak berpuasa dan mewajibkannya untuk memberi makan satu orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.

c. Tidak ada sahabat yang mempertikaikan Ibnu Abbas Radhiyallahu 'anhu. (Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Qudamah di dalam kitabnya, al-Mughni (3/21))

6. Wanita Hamil atau Yang Menyusukan Anak Gugur Kewajiban Puasanya

Keterangan ini menjelaskan makna, “Allah menggugurkan kewajiban puasa dari wanita hamil dan yang menyusukan” yang terdapat dalam hadis Anas yang lalu, yakni dibatasi “sekiranya bimbang terhadap diri dan anaknya”, maka dia mengeluarkan fidyah dan tidak perlu mengqadha’.

7. Para Musafir Gugur Kewajiban Puasanya dan Wajib Mengqadha’

“Barangsiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” (al-Baqarah, 2: 184)

Dan Allah menjelaskan makna gugurnya kewajiban puasa bagi yang tidak mampu menjalankannya atau menggantikannya melalui firman-Nya:

“Dan wajib bagi orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah (iaitu) memberi makan seorang miskin.” (al- Baqarah, 2: 184)