Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Ahad, 26 April 2009

150 - Hukum Berubat Dengan Memakan Sesuatu Yang Diharamkan

Hukum Berubat Dengan Memakan Sesuatu Yang Diharamkan

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Di dalam keadaan darurat, jika seseorang terpaksa untuk memakan sesuatu yang diharamkan, maka baginya boleh memakan apa yang asalnya haram tersebut dengan ukuran sekadar dapat mengelakkan (menjaga dirinya) dari kematian.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah, 2: 173)

Namun, perbuatan berubat adalah sebenarnya tidak semestinya termasuk ke dalam perkara yang menjurus kepada darurat. Kerana tidak semestinya semua penyakit itu menjurus kepada kematian.

Dan menurut pendapat ulama yang benar bahawa berubat itu bukanlah suatu kemestian atau kewajiban buat orang yang ditimpa penyakit. Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah menjelaskan:

“Aku sama sekali tidak mengetahui seorang pun dari kalangan Salaf yang mewajibkan berubat.” (Majmu’ al-Fatawa, 21/564)

Di antara dalil yang menyokong pendapat tersebut adalah hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkenaan seorang wanita berkulit hitam yang datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Wanita itu berkata, “Aku ditimpa penyakit ayan (epilesi/sopak), doakanlah kesembuhan buatku.” Belia Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika engkau mahu bersabar, maka bagimu adalah Syurga, dan jika mahu, aku akan memohon kepada Allah agar menyembuhkanmu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sekiranya berubat itu merupakan suatu perkara yang diwajibkan, sudah tentu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak akan memberikan pilihan.

Dari sini, boleh difahami bahawa berserah diri dengan tidak berubat merupakan satu langkah yang lebih utama jika disertai dengan kesabaran. Ada pun jika tidak disertai dengan kesabaran dan terasa berat (sangat terbeban) dengan kesakitan tersebut, maka pada masa itu, berubat adalah lebih diutamakan. Dari sini juga menunjukkan bahawa keutamaan untuk berserah diri (meninggalkan berubat) telah hilang dengan tidak adanya kesabaran.

Dari keadaan ini, maka dapat diambil kesimpulan bahawa berubat dengan sesuatu yang diharamkan itu adalah tidak dibolehkan apatah lagi menyatakan ia sebagai darurat.

Diriwayatkan dari Thariq bin Suwaid al-Ju’fi radhiyallahu ‘anhu bahawa dia bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang khamar. Lalu beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallah melarang atau membenci membuatnya, kemudiannya dia bertanya lagi,

“Aku membuatnya hanya sebagai ubat.” Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:

“Sesungguhnya khamar bukanlah ubat, tetapi ia adalah penyakit.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini juga merupakan dalil yang menunjukkan bahawa tidak bolehnya berubat dengan sesuatu yang diharamkan seperti khamar (arak) atau seumpamanya.

Juga diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang membuat ramuan ubat-ubatan yang buruk (dari sumber yang haram dan najis).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Begitu juga dengan hadis berikutnya ini, di mana Rasulullah menjelaskan bahawa setiap penyakit ada ubatnya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit berserta ubatnya, dan menjadikan ubat bagi setiap penyakit, maka berubatah kamu dan jangan berubat dengan sesuatu yang haram.” (Hadis Riwayat Abu Daud dari Abu Darda’. Lihat ash-Shahihah no. 1633 (Hasan lighairihi))

Kesimpulan:

Haram berubat dengan sesuatu yang haram.

2 ulasan:

kenshin berkata...

salam tuan,
berkenaan dengan hadis tentang larangan menggunakan khamar (sesuatu yang memabukkan) sebagai ramuan membuat ubat- hampir keseluruhan ubat-ubatan yang ada dipasaran terdiri dpd khamar, tak payah pi jauh-jauh, ubat batuk dan selsema sudah cukup. belum lagi ubat tahan sakit atau ubat saraf...apatah lagi kalau ubat kanser.. 100% morfin..macamana ya???

qhaleefah berkata...

join qhaleefah now
www.qhaleefah.ning.com