Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Jumaat, 3 Jun 2011

180 - Mengambil Faedah Hadis Badwi Kencing Di Masjid

Mengambil Faedah Hadis Badwi Kencing Di Masjid

Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

Amar Ma’ruf dan nahi mungkar adalah salah satu dasar dalam agama yang dengannya kebaikan menjadi jelas dan tersebar. Manakala kemungkaran berkurang, tersembunyi, dan menghilang. Melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar adalah sebahagian dari tanda-tanda orang yang beriman.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan (maksudnya), “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka mengajak kepada yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Surah at-Taubah, 9: 71)

Manakala sifat dan ciri-ciri orang munafik pula adalah mereka melarang amar ma’ruf dan mengajak kepada yang mungkar. Sebagaimana Allah menyebutkan dalam firman-Nya (bermaksud), “Orang-orang munafik lelaki dan perempuan. Sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka mengajak melaksanakan yang munkar dan melarang melaksanakan yang ma'ruf dan mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasiq.” (Surah at-Taubah, 9: 67)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga mengingatkan, “Sesiapa yang melihat di kalangan kamu suatu kemungkaran, maka tegahlah ia dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan lisannya (perkataan). Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, 1/167, no. 70)

Para ulama menyatakan bahawa hasil nahi mungkar (mencegah kemungkaran) adalah satu dari empat perkara. Iaitu sama ada hilangnya kemungkaran, kemungkaran berubah menjadi lebih ringan, kemungkaran tidak berubah atau berubah tetapi digantikan dengan kemungkaran lain yang sama saja keadaannya dengan sebelumnya, atau menjadi lebih teruk dari sebelum ia cuba diubah.

Dalam situasi pertama dan kedua, hukum melaksanakan nahi mungkar adalah wajib. Manakala bagi situasi ketiga, ia perlu dipertimbangkan dengan baik, dan bagi situasi keempat, tidak boleh dilaksanakan kerana maksud asal dari sebuah nahi mungkar adalah menghilangkan atau mengurangkan kemungkaran tersebut dan bukannya menambah menjadi lebih buruk.

Kebijaksanaan Dalam Bertindak

Setelah kita mengetahui perintah dan keutamaan amar ma’ruf nahi mungkar, sebenarnya kita juga perlu tahu bahawa praktik nahi mungkar harus dilaksanakan dengan bijaksana. Ini ditunjukkan oleh banyak hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam soal ini.

Salah satu hadis yang dapat kita ambil sebagai contoh adalah hadis daripada Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:

بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ مَهْ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَمَرَ رَجُلًا مِنْ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ

“Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengertaknya, tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Qur’an.” Atau sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sesuai. Setelah itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 2/133, no. 429)

Beberapa faedah dapat kita ambil melalui hadis ini, antaranya: [Pertama] Menunjukkan larangan kencing atau membuat kekotoran di dalam masjid. Kerana masjid adalah tempat yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya. Masjid adalah tempat untuk berzikir (mengingati Allah), melaksanakan solat, membaca al-Qur’an, dan majlis ilmu.

[Kedua] Menunjukkan air kencing manusia adalah suatu yang kotor dan najis. Cara menyucikannya adalah dengan membersihkannya menggunakan air.

[Ketiga] Hadis ini menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam menangani orang yang jahil. Iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan membuat kekotoran di masjid, tetapi Rasulullah tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan dan sebab-sebab tertentu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menasihati dan menunjukkan contoh yang tepat kepada para sahabatnya dalam menghadapi karenah orang-orang jahil.

[Keempat] Menolak kemudharatan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut dicegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudharat serta membahayakannya. Kerana kencing yang dihentikan dengan tiba-tiba boleh mengundang risiko dan sakit.

Atau mungkin ia akan terkejut lalu berpindah atau lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh-badannya pula. Tetapi dengan sebab contoh kebijaksanaan Rasulullah, maka najis tersebut hanya terkena pada satu tempat sahaja. Orang Badwi tersebut pula berjaya dinasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah serta tidak diperlakukan dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Dan najis tersebut dapat dibasuh dengan sempurna hanya dengan sebaldi atau sebekas air.

Kesimpulan yang dapat kita ambil di sini adalah kita tidak boleh mencegah sesuatu kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah sesuatu keburukan dengan cara yang buruk juga. Atau dengan cara yang lebih buruk lagi.

Sebaliknya kita hendaklah meneliti di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadahnya (keburukan) dengan pertimbangan yang tepat. Kita tidak boleh mengingkari sesuatu kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain. Kita juga tidak boleh mengingkari kemungkaran sehingga menyebabkan berlaku kemungkaran yang lebih besar lagi.

Dengan sebab itu jugalah Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) menyentuh persoalan ini dengan katanya:

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mensyari’atkan kepada ummatnya tentang kewajiban mencegah atau membasmi kemungkaran. Ini bertujuan meraih perkara yang ma’ruf yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya dari usaha-usaha tersebut. Tetapi jika perbuatan membasmi kemungkaran tersebut akan membawa kepada perkara lain yang lebih mungkar lagi dan lebih dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, maka membasmi kemungkaran tidak perlu dilakukan walaupun Allah tetap membenci dan murka kepada pelaku kemungkaran tersebut. Situasi ini adalah sama seperti mengingkari para raja dan pemimpin dengan cara memberontak keluar dari ketaatan kepada mereka. Bahawasanya ini adalah asas kepada setiap keburukan dan fitnah sehingga akhir zaman. Para sahabat telah meminta izin Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk memerangi para pemimpin (amir) yang melengah-lengahkan solat dari waktunya sambil berkata, “Adakah kita tidak perangi sahaja mereka?” Maka Rasulullah pun menjawab, “Tidak, selagi mana mereka masih tetap melaksanakan solat.”

Sesiapa yang meneliti fitnah-fitnah yang besar dan kecil dalam sejarah umat Islam, dia pasti akan mendapati bahawa fitnah-fitnah tersebut berpunca dari pengabaian prinsip-prinsip ini dan tidak sabar dalam menghadapi kemungkaran. Lalu mereka menuntut untuk menghapuskannya (dengan terburu-buru). Maka timbullah perkara lain yang lebih besar dari fitnah asal tersebut. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melihat sebesar-sebesar kemungkaran ketika di Makkah dan beliau tidak memiliki kemampuan untuk mengubahnya.

Sebaliknya ketika Allah telah membuka Makkah dan ia telah menjadi wilayah Islam, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bertekad untuk mengubah Ka’abah dan mengembalikannya kepada bentuk asal sebagaimana yang dibina oleh Nabi Ibrahim, tetapi beliau tidak melakukannya walaupun telah berkuasa pada ketika itu. Ini adalah kerana kebimbangan beliau dari berlakunya perkara-perkara buruk yang lebih besar kerana orang-orang Quraisy pada ketika itu masih tidak dapat menerima perubahan secara drastik disebabkan baru memeluk Islam dan masih baru mula untuk meninggalkan kekufuran. Kerana sebab itulah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengizinkan untuk mengingkari para pemimpin dengan kekuatan kerana akan mengakibatkan timbulnya keburukan yang lebih besar lagi dari yang sedia ada.” (Ibnul Qayyim, I’lam al-Muwaqqai’in ‘an Rabb al-‘Alamin, 3/4 - Daar al-Jil)

7 ulasan:

wan or sean berkata...

benar..baginda Rasullullah s.a.w xmarah pada pemuda jahil 2..malah membersihkan tmpt tersebut..
macam mana la kita hendak mencontohi sifat RASULLULLAH SAW..hebat baginda

luahfikiran berkata...

SALAM,
TERIMA KASIH ATAS TAZKIRAH

mencari kebenaran berkata...

senang ja wan bacalah al quran dan hayatilah dan cubalah amalkanya didalam kehidupan dan bro nak copy paste boleh ya .tq

EI berkata...

beanr mas gan, ini lah baginda rasul. Bukan main hajr langsung. Atau vonis, ahli maksiat, ahli bid'ah, Kafir, dll. Tapi dilihat dulu orangnya.

Dan satu hal, Kasih sayang beliau lebih besar daripada marahnya.
Rindu kami padamu Ya rasul Allah.
Engkau lebih kami cintai dari bapak ataupun ibu kami.

Adrean bagus_prastyo berkata...

Apkah tahlil bukan perbuatan baik sebab yang di baca merupakan bacaan yang meng agungkan AlLAH dan ROSULULLAH

nasir14061 nasir berkata...

Amalkan sunnah.Tinggalkan bid'ah.

nasir14061 nasir berkata...

Amalkan sunnah.Tinggalkan bid'ah.