Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, 11 Oktober 2011

185 - Kisah Nyanyian Sya’ir Thola’al Badru ‘Alaina

Kisah Nyanyian (Sya’ir) Thola’al Badru ‘Alaina Ketika Hijrah Nabi
Kisah Yang Masyhur Tapi Tidak Sahih



Sya’ir Thola’al Badru ‘Alaina memiliki hubungan yang erat dan seringkali digandingkan dengan kisah Hijrah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dari Makkah ke Madinah. Dalam masa yang sama, ia turut dijadikan sebagai dalil untuk mengharuskan lagu dan muzik sama ada bagi tujuan dakwah atau hiburan.

Malah ia seringkali dinyanyikan oleh masyarakat nusantara terutamanya kalangan Melayu Islam di Malaysia. Ia biasanya dinyanyikan atau dianggap sebagai nasyid ketika hari raya, sambutan maulid Nabi, marhaban, sambutan ulangtahun hijrah (awal Muharram) dan seumpamanya.

Apapun, sebenarnya para ulama telah menegaskan bahawa riwayat syai’r tersebut sebenarnya adalah lemah (dha’if). Sebarang penyandaran sya’ir tersebut kepada kisah hijrah Nabi sebagaimana yang banyak dilakukan oleh para tukang cerita, para ustaz, filem-filem rekaan, sebahagian kitab-kitab sirah, dan orang-orang terkemudian sebenarnya perlu ditinjau semula dengan baik dan adil.

Lafaz sya’ir yang dimaksudkan adalah:

طَلَعَ البَدْرُ علينا مَن ثَنيَّاتِ الوَدَاعِ
“Purnama telah terbit di atas kami, dari Tsaniyatil Wada’…”
وجبَ الشُّكرُ علينا مَا دعا للهِ داعِ
“Dan kami wajib bersyukur, atas apa yang diserukan oleh penyeru kepada Allah...”

Syaikh Muhammad B. ‘Abdullah al-‘Usyan menyatakan:

“Imam al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad dari (‘Ubaidillah) Ibn ‘Aisyah. Katanya, “Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tiba di Madinah, para wanita dan anak-anak mengucapkan: (Sya’ir dengan lafaz sebagaimana di atas).”.” (Dala’ilun Nubuwwah, m/s. 506. Muhammad B. ‘Abdullah al-‘Usyan, Ma Sya’a wa lam Yatsbutu fii as-Sirah an-Nabawiyah, m/s. 87 – Daar Thoyyibah)

Al-Baihaqi juga meriwayatkannya dalam Dala’ilun Nubuwwah pada bab yang lain, iaitu bab orang-orang menyambut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika pulang dari Perang Tabuk. Kemudian al-Baihaqi menyebutkan:

وهذا يذكره علماؤنا عند مقدمه المدينة من مكة وقد ذكرناه عنده، لا أنه لما قدم المدينة من ثنية الوداع عند مقدمه من تبوك، والله أعلم، فذكرناه أيضا هاهنا

“Ini disebutkan oleh para ulama kami ketika beliau tiba di Madinah dari Makkah, dan kami telah menyebutkan pada tempatnya. Bukan ketika beliau tiba di Madinah melalui bukit Tsaniyatul Wada’ ketika beliau datang dari Tabuk, wallahu a’lam. Tetapi kami tetap menyebutkannya di sini (dalam bab ini).” (Muhammad B. ‘Abdullah al-‘Usyan, Ma Sya’a wa lam Yatsbutu fii as-Sirah an-Nabawiyah, m/s. 87 – Daar Thoyyibah)

Penjelasan Kelemahan Riwayat Sya’ir tersebut:

[Pertama] Al-Hafiz al-‘Iraqi rahimahullah (Wafat: 806H) mengatakan:

أخرجه البيهقي في دلائل النبوة من حديث عائشة معضلا وليس فيه ذكر الدف والالحان

“Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dala’ilun Nubuwwah dari hadis ‘Aisyah, ianya mu’dhal dan tidak dinyatakan padanya disertakan dengan duff (kompang) atau irama lagu (sebagaimana diutarakan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulumuddin – pent.).” (Takhrij al-‘Iraqi dalam Ihya’ ‘Ulumuddin, 3/252 – Maktabah Syamilah)

* Mu’dhal bermakna pada sanadnya gugur dua atau lebih perawinya secara berurutan.

[Kedua] Syaikh al-Albani rahimahullah mengatakan:

ضعيف. رواه أبو الحسن الخلعي في "الفوائد" (59/2) وكذا البيهقي في "دلائل النبوة" عن الفضل بن الحباب قال: سمعت عبد الله بن محمد بن عائشة يقول فذكره. وهذا إسناد ضعيف رجاله ثقات، لكنه معضل سقط من إسناده ثلاثة رواة أو أكثر، فإن ابن عائشة هذا من شيوخ أحمد وقد أرسله. وبذلك أعله الحافظ العراقي

“Hadis ini dha’if (lemah). Diriwayatkan oleh Abu al-Hasan al-Khal’i di dalam al-Fawa’id, 59/2. Begitu juga al-Baihaqi dalam Dala’ilun Nubuwwah daripada al-Fadhl B. al-Habbab. Beliau berkata, “Aku pernah mendengar ‘Abdullah B. Muhammad daripada ‘Aisyah mengatakan, “(riwayat tersebut).”

Sanad ini lemah, para perawinya tsiqah tetapi mu’dhal kerana gugur dari sanadnya tiga orang perawi atau lebih. Ibn ‘Aisyah adalah salah seorang syaikh (guru) Ahmad, tetapi ia menyebutkan secara mursal. Al-Hafiz al’Iraqi juga melemahkannya.” (al-Albani, Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah wal Maudhu’ah, 2/63)

Beliau menjelaskan lagi:

تنبيه : أورد الغزالي هذه القصة بزيادة: "بالدف والألحان" ولا أصل لها كما أشار لذلك الحافظ العراقي

“Sebagai peringatan: al-Ghazali mengutarakan kisah ini (dalam Ihya’ ‘Ulumuddin) dengan memberi tambahan “disertakan padanya pukulan duff (kompang) dan irama lagu.” Tetapi sebenarnya tambahan tersebut tidak ada asalnya sama sekali sebagaimana diisyaratkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi.” (al-Albani, Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah wal Maudhu’ah, 2/63)

على أن القصة برمتها غير ثابتة

“Secara keseluruhannya, kisah ini tidak tsabit.” (al-Albani, Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah wal Maudhu’ah, 2/63)

[Ketiga] Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) juga mengulas kisah (atau sya’ir) ini dalam Fathul Bari. Beliau mengatakan:

وأخرج أبو سعيد في شرف المصطفى ورويناه في فوائد الخلعي من طريق عبيد الله بن عائشة منقطعا لما دخل النبي صلى الله عليه و سلم المدينة جعل الولائد يقلن طلع البدر علينا من ثنية الوداع وجب الشكر علينا ما دعا لله داع وهو سند معضل ولعل ذلك كان في قدومه من غزوة تبوك

“Abu Sa’id mengeluarkan dalam Syaraful Mushthafa dan kami meriwayatkannya dalam Fawaid al-Khal’i dari jalan ‘Ubaidillah B. ‘Aisyah secara munqathi’ (terputus sanadnya), ketika Nabi memasuki Madinah, kanak-kanak perempuan serentak mengucapkan:

“Purnama telah terbit di atas kami, dari Tsaniyatil Wada’…”

“Dan kami wajib bersyukur, selama yang berdoa mendoakan kepada Allah...”

Ini adalah sanad yang mu’dhal. Kemungkinan peristiwa ini terjadi ketika beliau kembali dari perang Tabuk.” (Fathul Bari, 7/261-262)

Al-Hafiz Ibnu Hajar juga menyatakan, “ad-Dawudi mengingkari riwayat ini.” (Fathul Bari, 8/128)

[Keempat] Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) dalam Zaadul Ma’ad mengatakan:

وَبَعْضُ الرّوَاةِ يَهِمُ فِي هَذَا وَيَقُولُ إنّمَا كَانَ ذَلِكَ عِنْدَ مَقْدِمِهِ إلَى الْمَدِينَةِ مِنْ مَكّةَ وَهُوَ وَهْمٌ ظَاهِرٌ لِأَنّ ثَنِيّاتِ الْوَدَاعِ إنّمَا هِيَ مِنْ نَاحِيَةِ الشّامِ لَا يَرَاهَا الْقَادِمُ مِنْ مَكّةَ إلَى الْمَدِينَةِ وَلَا يَمُرّ بِهَا إلّا إذَا تَوَجّهَ إلَى الشّامِ

“Sebahagian perawi telah melakukan kesilapan berkaitan bait sya’ir ini dan mengatakan perkataan tersebut diucapkan ketika beliau tiba di Madinah dari Makkah. Dan ini adalah kekeliruan yang jelas. Kerana Tsaniyatil Wada’ adalah tempat yang letaknya dari arah Syam. Manakala orang yang datang dari Makkah menunju Madinah tidak akan melihatnya, juga tidak akan menemui tempat tersebut melainkan jika dia hendak menuju Syam.” (Ibnul Qayyim, Zaadul Ma’ad, 3/480)

[Kelima] Syaikh Muhammad B. ‘Abdullah al-‘Usyan menyatakan, “Di antara indikasi kelemahan kisah ini, bahawa riwayat-riwayat yang sahih tentang masuknya Nabi ke Madinah ketika hijrah tidak menyebutkan (walaupun secara umum) apa yang boleh menjadi bukti kebenaran kisah ini.

Bahkan riwayat-riwayat yang sahih menceritakan kata sambutan (jeritan kerana gembira) penduduk madinah di ketika beliau tiba. (Tidak diceritakan adanya sya’ir atau nyanyian)

Al-Bukhari dalam kitab Shahihnya bab hijrah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabat ke Madinah, meriwayatkan hadis Anas B. Malik. Di dalamnya disebutkan, “Maka di Madinah ada yang mengatakan, “Nabi Allah datang, Nabi Allah datang...” Lalu mereka pun menuju ke tempat yang tinggi untuk melihat. Mereka mengucapkan, “Nabi Allah datang...”

Dan dalam hadis Bara’ B. ‘Azib disebutkan, “... kemudian Nabi datang. Aku tidak pernah melihat penduduk Madinah begitu gembira sebagaimana gembiranya mereka disebabkan kedatangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Malah hamba-hamba wanita berteriak, “Rasulullah datang!” Dalam riwayat yang lain, “Lalu para lelaki dan wanita naik ke bumbung-bumbung rumah, manakala anak-anak dan para pelayan bertempiran di jalan-jalan. Mereka berteriak, “Ya Muhammad, ya Rasulullah... Ya Muhammad, ya Rasulullah...”.”

Ibnu Ishaq yang begitu terkenal sangat teliti dalam mencatat riwayat-riwayat sirah dan mengikuti peristiwa demi peristiwa pun tidak menyebutkan nasyid (lagu) ini dalam cacatan sirahnya.” (Muhammad B. ‘Abdullah al-‘Usyan, Ma Sya’a wa lam Yatsbutu fii as-Sirah an-Nabawiyah, m/s. 89-90 – Daar Thoyyibah)

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: