Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
Jumaat, 18 November 2011
187 - Bulan Muharram Dalam Pandangan Islam
Bulan Muharram Dalam Pandangan Islam
Abu Numair Nawawi B. Subandi
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah dua belas bulan sebagaimana ketetapan Allah di ketika Dia menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada 4 bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang 4 itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.” (Surah at-Taubah, 9: 36)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
“Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya 4 bulan haram. 3 bulan berturut-turut, iaitu Dzulqa’dah, Dzulhijjah, Muharram, dan satu lagi adalah Rejab yang terletak di antara bulan Jumadil Akhir dan Sya’ban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 10/470, no. 2958)
Bulan Muharram adalah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya yang tersendiri. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyatakan bulan Muharram adalah bulan Allah, dan puasa yang yang paling afdhal setelah Ramadhan adalah puasa di bulan Muharram. Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ
“Puasa yang paling afdhal setelah puasa di bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Allah bulan al-Muharram. Dan solat yang paling afdhal setelah solat yang difardhukan adalah solat di malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim, 6/63, no. 1982)
Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan Haram, terutamanya di bulan Muharram. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.
Cuma dalam sebahagian kepercayaan masyarakat Melayu pada hari ini, mereka ada yang mempercayai bulan Muharram ini adalah bulan yang membawa sial sehingga mereka sangat takut untuk menikahkan anak-anak mereka pada bulan ini. Kepercayaan ini sangat popular di kalangan masyarakat jawa khususnya. Wallahu a’lam, setakat kajian penulis tidak ditemui sebarang dalil yang menguatkan perkara tersebut. Maka kepercayaan yang tidak dilandaskan kepada dalil yang benar ini, ia hanya tinggal khurafat dan tahyul semata-mata.
Hikmah Bulan Haram
Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu bulan Dzulqa’dah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Dzulhijjah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharram supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.
Manakala bulan Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Ka’bah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)
Ini adalah kerana di dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.
Amalan Sunnah di Bulan Muharram
Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada bulan Muharram adalah berpuasa sunnah.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdhal setelah puasa di bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Muharram. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan Muharram terutamanya pada hari yang ke sepuluh Muharram adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.
‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ مَا هَذَا قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى قَالَ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
“Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke sepuluh Muharram).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana Allah telah menyelamatkan bani Isra’el dari kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada Allah. Dan kami pun turut serta berpuasa.”
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/127, no. 1865)
Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari ‘Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.
Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa di bulan Ramadhan turun, puasa di hari ‘Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan:
فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ
“Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari ‘Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/125, no. 1863)
Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari ‘Asyura (hari yang ke sepuluh) sahaja di bulan Muharram, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke sembilannya.
Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari ‘Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata, “Jika begitu, tahun depan insyaAllah kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim, 5/479, no. 1916)
Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke sepuluh Muharram atau dikenali sebagai hari ‘Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharram.
Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya:
وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
“Adapun puasa di hari ‘Asyura, aku memohon kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim, 6/55, no. 1976)
Juga sebagaimana dalam hadis yang lain sebagaimana telah disebutkan, puasa di hari ‘Asyura adalah termasuk puasa yang paling afdhal setelah puasa wajib di bulan Ramadhan. Dan Rasulullah sentiasa melaksanakannya puasa ‘Asyura ini dengan penuh kesungguhan. Ini adalah sebagaimana kata ‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ
“Tidaklah aku pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berusaha untuk melaksanakan puasa pada satu hari yang lebih beliau utamakan berbanding hari-hari lainnya melainkan pada hari ini iaitu hari ‘Asyura, dan pada bulan ini, iaitu bulan Ramadhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/125, no. 1867)
Salah Faham di Bulan Muharram
Dalam kalangan masyarakat Islam hari ini, terdapat beberapa salah faham tentang bulan Muharram. Selain kepercayaan khurafat sebagaimana telah penulis sentuh, terdapat beberapa amalan lain yang turut perlu diambil perhatian. Antaranya adalah seperti amalan doa awal dan akhir tahun hijriyah, perayaan ma’al hijrah, puasa awal dan akhir tahun, dan perayaan meratap kematian Hussein B. ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma.
Kata Syaikh Bakr B. ‘Abdillah Abu Zaid rahimahullah, “Tiada dalam syari’at ini sedikitpun doa atau zikir-zikir khusus untuk awal tahun di bulan Muharram. Umat Islam pada hari ini banyak membuat tokok-tambah (bid’ah dalam agama) berupa doa, zikir, atau saling bertukar ucapan selamat. Demikian juga dengan puasa awal tahun baru, menghidupkan malam pertama Muharram dengan solat, zikir, atau doa-doa yang khusus, serta puasa akhir tahun dan seumpamanya yang sebenarnya semua ini tidak ada dalilnya sama sekali.
Tidak juga ada satupun doa atau zikir-zikir khusus sempena akhir tahun yang memiliki sandaran dalil syara’. Di setiap akhir tahun, ramai orang yang berdoa dan menyusun doa-doa khusus tertentu yang tidak pernah ditetapkan oleh syara’. Ini semua adalah contoh perbuatan bid’ah yang padanya tidak memiliki asas sandaran dalam agama.” (Bakr B. ‘Abdillah Abu Zaid, Tashhiih ad-Du’a, m/s. 107 – Daar al-‘Aashimah)
Meratapi Kematian Hussein
Rutin tahunan bagi kelompok Syi’ah pada bulan Muharram adalah dengan mengadakan perayaan kesedihan dan ratapan berarak ke jalan-jalan dengan berpakaian serba hitam. Ini dilakukan dalam rangka mengenang syahidnya Saidina Husain B. ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma. Mereka meratapinya di jalan-jalan terbuka sambil menampar-nampar pipi, memukul dada, memukul belakang mereka, sambil menangis, serta sambil berteriak, “Ya Husain, ya Husain...!”
Upacara ratapan ini menjadi lebih kemuncak pada hari ke sepuluh Muharram. Mereka melakukannya lebih dari memukul dan menampar. Iaitu dengan turut menggunakan alat-alat senjata tertentu seperti pisau dan pedang sehingga tubuh-tubuh mereka berlumuran darah. Dan penganut agama Syi’ah menganggap ritual yang mereka lakukan ini sebagai sebahagian dari bentuk-bentuk amalan ibadah dan syi’ar Islam?!
Kata al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):
وأما اتخاذه مأتما كما تفعله الرافضة لأجل قتل الحسين بن علي رضي الله عنه فهو من عمل من ضل سعيه في الحياة الدنيا وهو يحسب أنه يحسن صنعا ولم يأمر الله ولا رسوله باتخاذ أيام مصائب الأنبياء وموتهم مأتما فكيف بمن دونهم
“Menjadikan hari ‘Asyura sebagai hari kesedihan (ratapan) sebagaimana dilakukan oleh kaum Syi’ah Rafidhah sempena terbunuhnya Husain B. ‘Ali, maka ini semua termasuk perbuatan orang-orang yang sesat amalnya dalam kehidupan dunia di mana mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan. Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah memerintahkan supaya pada mana-mana hari berlaku musibah atau kematian para Nabi dijadikan sebagai hari ratapan. Jadi, bagaimana lagi terhadap yang selain mereka (yang tidaklah lebih mulia dari para Nabi)?” (Ibnu Rejab, Latha’iful Ma’arif, m/s. 113 – Daar Ibnu Katsir)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الْخُدُودَ وَشَقَّ الْجُيُوبَ وَدَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ
“Tidak termasuk golongan kami orang-orang yang menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyakkan baju, dan meratap seperti ratapan kaum jahiliyyah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 5/41, no. 1212)
Wallahu a’lam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan