Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Ahad, 26 April 2009

150 - Hukum Berubat Dengan Memakan Sesuatu Yang Diharamkan

Hukum Berubat Dengan Memakan Sesuatu Yang Diharamkan

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Di dalam keadaan darurat, jika seseorang terpaksa untuk memakan sesuatu yang diharamkan, maka baginya boleh memakan apa yang asalnya haram tersebut dengan ukuran sekadar dapat mengelakkan (menjaga dirinya) dari kematian.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah, 2: 173)

Namun, perbuatan berubat adalah sebenarnya tidak semestinya termasuk ke dalam perkara yang menjurus kepada darurat. Kerana tidak semestinya semua penyakit itu menjurus kepada kematian.

Dan menurut pendapat ulama yang benar bahawa berubat itu bukanlah suatu kemestian atau kewajiban buat orang yang ditimpa penyakit. Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah menjelaskan:

“Aku sama sekali tidak mengetahui seorang pun dari kalangan Salaf yang mewajibkan berubat.” (Majmu’ al-Fatawa, 21/564)

Di antara dalil yang menyokong pendapat tersebut adalah hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkenaan seorang wanita berkulit hitam yang datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Wanita itu berkata, “Aku ditimpa penyakit ayan (epilesi/sopak), doakanlah kesembuhan buatku.” Belia Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika engkau mahu bersabar, maka bagimu adalah Syurga, dan jika mahu, aku akan memohon kepada Allah agar menyembuhkanmu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sekiranya berubat itu merupakan suatu perkara yang diwajibkan, sudah tentu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak akan memberikan pilihan.

Dari sini, boleh difahami bahawa berserah diri dengan tidak berubat merupakan satu langkah yang lebih utama jika disertai dengan kesabaran. Ada pun jika tidak disertai dengan kesabaran dan terasa berat (sangat terbeban) dengan kesakitan tersebut, maka pada masa itu, berubat adalah lebih diutamakan. Dari sini juga menunjukkan bahawa keutamaan untuk berserah diri (meninggalkan berubat) telah hilang dengan tidak adanya kesabaran.

Dari keadaan ini, maka dapat diambil kesimpulan bahawa berubat dengan sesuatu yang diharamkan itu adalah tidak dibolehkan apatah lagi menyatakan ia sebagai darurat.

Diriwayatkan dari Thariq bin Suwaid al-Ju’fi radhiyallahu ‘anhu bahawa dia bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang khamar. Lalu beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallah melarang atau membenci membuatnya, kemudiannya dia bertanya lagi,

“Aku membuatnya hanya sebagai ubat.” Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:

“Sesungguhnya khamar bukanlah ubat, tetapi ia adalah penyakit.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini juga merupakan dalil yang menunjukkan bahawa tidak bolehnya berubat dengan sesuatu yang diharamkan seperti khamar (arak) atau seumpamanya.

Juga diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang membuat ramuan ubat-ubatan yang buruk (dari sumber yang haram dan najis).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Begitu juga dengan hadis berikutnya ini, di mana Rasulullah menjelaskan bahawa setiap penyakit ada ubatnya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit berserta ubatnya, dan menjadikan ubat bagi setiap penyakit, maka berubatah kamu dan jangan berubat dengan sesuatu yang haram.” (Hadis Riwayat Abu Daud dari Abu Darda’. Lihat ash-Shahihah no. 1633 (Hasan lighairihi))

Kesimpulan:

Haram berubat dengan sesuatu yang haram.

Jumaat, 24 April 2009

149 - Hukum Sengaja Meninggalkan Solat Sehingga Tamat Waktunya Tanpa Sebarang Uzur Syar’i

Hukum Sengaja Meninggalkan Solat Sehingga Tamat Waktunya Tanpa Sebarang Uzur Syar’i

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

Pendapat pertama:

Dia berdosa besar dan perlu segera (Wajib) mengqadha’ solat yang ditinggalkannya.

Pendapat kedua:

Tidak wajib qadha’, di mana ia tidak boleh (tidak sah) diqadha'. Dia berdosa besar, dan wajib bertaubat.

Penjelasan:

Pendapat yang paling kuat di antara dua pendapat ulama adalah dia tidak wajib mengqadha’nya, dan tidak sah baginya sekiranya dia mengqadha’nya. Kerana solat adalah ibadah yang telah ditentunya waktunya masing-masing, di mana ada awal masuknya waktu dan tamatnya waktu. Maka, adalah tidak sah melaksanakan solat fardhu di luar daripada waktu yang telah disyari’atkan sama ada sebelum masuk waktu, atau pun setelah tamat waktunya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Sesungguhnya solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nisaa’, 4: 103)

Melalui ayat ini, ia jelas menunjukkan kewajiban solat, dan bahawa solat itu memiliki waktu tertentu di mana dengannya ia tidak sah melainkan di dalam waktunya yang telah ditetapkan, tidak kira sama ada anak kecil, orang tua, ulama atau pun orang yang jahil, di mana pun mereka berada pada wktu tersebut. (Rujuk: Tafsir as-Sa’di)

Begitulah sebagaimana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak memberi keringanan untuk mengqadha’nya (dilaksanakan solat di luar waktunya), melainkan bagi orang yang lupa atau tertidur.

“Sesiapa yang lupa atau tertidur (sehingga tertinggal) solat, maka hendaklah dia segera melakukan solat tersebut di saat dia mengingatnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 607)

Demikianlah pendapat yang tepat dalam persoalan ini, dan pendapat inilah juga yang dipegang oleh majoriti Sahabat radhiyallahu ‘anhum, sekelompok ulama Salaf (dari generasi awal), Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyah, dan inilah juga yang dipegang oleh sekumpulan ulama zaman ini seperti Syaikh Soleh al-Utsaimin dan Syaikh al-Albani rahimahullah.

Perlu difahami dengan jelas bahawa dengan tidak adanya qadha’ bagi solat yang ditinggalkan dengan sengaja bererti kita boleh bebas meninggalkan solat. Dan sekali-kali ia bukanlah sebuah keringanan dari Allah. Tetapi sebenarnya perbuatan tersebut (meninggalkan solat dengan sengaja) adalah sangat besar dosanya, lebih besar dari hanya sekadar diqadha’, walau pun dia menggantinya dengan melakukan sebanyak seribu kali solat, maka ia tidak akan tertebus melainkan dengan segera bertaubat memperbanyakkan permohonan ampun kepada Allah Yang Maha Kuasa dan Pengampun.

Begitu juga kepada mereka yang telah berkali-kali meninggalkan solat fardhu dengan sengaja tanpa sebarang uzur yang dibenarkan, maka hendaklah dia segera bertaubat dan berusaha dengan sedaya-upayanya untuk beristiqomah melaksanakan solat di dalam waktunya dan tidak lagi meninggalkan solat tanpa sebarang uzur syar’i.

Khamis, 5 Mac 2009

148 - Kriteria Asas Halal Haram Makanan

Kriteria Asas Halal Haram Makanan



Pengertian Makanan

Al-ath’imah adalah bentuk jama’ dan kata tha’aam, maknanya adalah sesuatu yang dimakan dan dicerna, sama ada ia berupa makanan asas atau yang selainnya.

Secara dasarnya semua makanan adalah halal, melainkan yang telah dijelaskan melalui nash/dalil bahawa makanan tersebut haram. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi makanan yang halal lagi baik...” (Surah al-Baqarah, 2: 168)

Ikuti perbahasan/artikel lengkap di website kami, http://www.ilmusunnah.com/?p=14590

Isnin, 23 Februari 2009

147 - MENGHAYATI SIFAT WUDHU’ RASULULLAH

MENGHAYATI SIFAT WUDHU’ RASULULLAH
DENGAN DALIL YANG SAHIH

Pengertian Wudhu’

Menurut bahasa, kalimah wudhu’ apabila dibaca dengan (أَلْوُضُوْءُ) iaitu dengan didhammahkan huruf wawnya, ia bermaksud perbuatan berwudhu’. Dan apabila difathahkan wawnya, maka (أَلْوَضُوْءُ) ia bermaksud air wudhu’.

Wudhu’ menurut syara ialah: Menggunakan air bersih (suci lagi mensucikan) untuk membasuh anggota-anggota tertentu yang telah ditetapkan oleh syara.

Berwudhu’ untuk solat adalah merupakan perintah dari Allah Azza wa-Jalla sebagaimana firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu akan mendirikan solat maka basuhlah muka kamu dan tangan-tangan kamu hingga siku-siku kamu dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke kedua mata kaki!”. (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

Tidak sah solat seseorang tanpa bersuci atau berwudhu’ terlebih dahulu, sebagaimana perintah dan penjelasan dari hadis-hadis yang sahih:

“Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwudhu’.” (H/R Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

“Allah tidak menerima solat tanpa bersuci (berwudhu’)”. (H/R Muslim, 1/60)

“Tidak diterima solat seseorang antara kamu jika berhadas sehinggalah dia berwudhu’”. (H/R Bukhari, 1/206. Muslim, No. 225)

“Sesungguhnya aku diperintah agar berwudhu’ apabila aku ingin mendirikan solat”. (H/R Abu Daud, no. 3760. Disahihkan oleh al-Albani, Lihat: as-Sahihah)

Fadhilat Berwudhu’

1 – Sebahagian Dari Iman

Diriwayatkan daripada Abu Malik al-Ash’ari radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Bersuci itu adalah sebahagian daripada iman...” (H/R. Muslim, no. 223)

2 – Wudhu’ Yang Sempurna Menghapuskan Dosa

Pengambilan wudhu’ yang sempurna bukan sahaja menjamin diterimnya solat tetapi ianya juga dapat menghapuskan dosa-dosa selagi tidak melakukan kesyirikan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwudhu’ maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwudhu’ ia bersih dari dosa-dosanya”. (H/R. Muslim, 1/148)

“Barangsiapa yang berwudhu’ seperti ini (seperti wudhu’nya Rasulullah), diampunkan dosa-dosanya yang telah berlalu dan solat serta perjalanannya ke masjid adalah dipenuhi pahala”. (H/R. Muslim, 3/113)

“Dari Abi Umamah radiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: Apabila seseorang muslim berwudhu’ maka akan keluar dosa-dosanya dari pendengarannya (telinganya), matanya, tangannya dan dari kedua kakinya. Apabila ia duduk menanti solat, ia duduk dalam keampunan (diampunkan) dosa-dosanya”. (H/R. Ahmad, 5/252. Hadis Hasan: Lihat Jami’ as-Saghir, No. 461)

3 – Wudhu’ Mengangkat Darjat Manusia

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda: Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: “Ya, wahai Rasulullah”. Maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda: “Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhu’ walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya)…” (H/R. Muslim, no: 253)

4 – Wudhu’ Dapat Membuka Pintu Ke Syurga

Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Tiada seorang pun dari kalian yang berwudhu’, lalu ia menyampaikan atau meratakan wudhu’nya, kemudian dia mengucapkan: “Asyhadu alla ilaha illallah wa anna Muhammadan ‘Abduhu wa Rasuluh”, melainkan dibukalah untuknya pintu syurga yang lapan, dia boleh memasuki dari pintu mana pun yang dia kehendaki.” (H/R. Muslim, no: 234)

5 – Wudhu’ Memberi Cahaya Di Akhirat

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

“Perhiasan-perhiasan di syurga itu sampai di tubuh seorang mukmin, bersesuaian dengan anggota yang dicapai oleh wudhu’.” (H/R. Muslim, no: 250)

6 – Wudhu’ Dapat Membuka Ikatan Syaitan

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau meriwayatkan dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memberitahu cara untuk merungkai ikatan tersebut, dalam sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“…sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwudhu’ pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wudhu’, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk dan pemalas”. (H/R. al-Bukhari, no: 1091)

Perkara-perkara Sunnah (Yang Dituntut) Dalam Berwudhu'

1 - Menggosok-gosok Anggota Badan

Sebagaimana hadis Abdullah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu:

“Sesungguhnya telah dibawa kepada Nabi Nabi Shallallahu ‘alaihi tiga mud (cupak) air, maka Nabi telah berwudhu’ dan menggosok-gosok kedua tangannya.” (H/R. Ibnu Hibban, no: 1083)

2 – Meluaskan (Melebihkan) Kawasan Basuhan

Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya, umatku akan dipanggil pada hari kiamat kelak dalam keadaan putih (pada dahi) dan bercahaya (pada anggota) kerana kesan-kesan wudhuk. Maka barangsiapa yang mampu melebarkan warna putihnya, maka lakukanlah.” (HR. Al-Bukhari, no: 136)

3 – Tidak Membazir (Berlebih-lebihan) Dalam Berwudhu’

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan...” (al-Israa’ 17: 27)

“Sesungguhnya akan ada di kalangan umat ini, satu kaum yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berdoa.” (H/R. Abu Daud, no: 96, lihat: Sahih Sunan Abi Daud, 1/21)

Imam al-Bukhari (w. 256H) telah berkata: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menerangkan bahawa wudhu’ difardhukan (basuhannya) sekali, dua kali, dan tiga kali, dan tidak lebih dari tiga kali, dan Ahli Ilmu membenci berlebih-lebihan dalam berwudhu’ dan melebihi (bilangan) yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam”. (Sahih al-Bukhari, 1/62)

4 – Membasuh Dengan Sekali, Dua, dan Tiga Kali

Dibolehkan membasuh anggota wudhu’ dengan sekali basuhan, dua kali dua kali dan tiga kali tiga kali, tetapi tidak dibolehkan membasuh sehingga empat kali. Sepakat ulama bahawa membasuh sekali hukumnya wajib. Sementara membasuh dua kali dan tiga kali adalah sunnah. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 1/229) Kecuali kepala dan telinga hanya diusap sekali (dan hukumnya bid’ah jika diusap melebihi sekali) usapan. (Lihat: Bidayatul Mujtahid, 1/13, Tarjih Ibnu Rusyd) Yang paling sempurna ialah mencontohi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan melakukan tiga kali (selain kepala dan telinga). Adapun hadis-hadis yang membolehkan satu kali, dua kali dan tiga kali cucian ialah:

“Dari Ibnu Abbas radiyallahu ‘anhu berkata: Telah berwudhu’ Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam (dengan membasuh) satu kali, satu kali”. (H/R. al-Bukhari, 1/226)

Ada kalanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam membasuh anggota wudhu’nya dua kali, dua kali.

“Dari Abdullah bin Zaid radiyallahu ‘anhu berkata: Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwudhu’ (membasuh anggota wudhu’) dengan dua kali, dua kali”. (H/R. al-Bukhari, 1/226)

Ada kalanya baginda membasuh anggota wudhu’ dengan tiga kali, tiga kali:

“Baginda membasuh anggota-anggota wuduknya tiga kali”. (H/R. al-Bukhari)

“Dari Uthman bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwudhu’ (membasuh anggota wudhu’) tiga kali, tiga kali”. (H/R. Muslim)

“Dari Amr bin Syu’aib radiyallahu ‘anhu dari ayahnya dari datuknya, ia berkata: Telah datang seorang Badwi kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menanyakan permasalahan wudhu’ lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memperlihatkannya tiga kali tiga kali dan baginda bersabda: “Itulah bilangan wudhu’, maka barangsiapa menambah dari itu maka ia telah melakukan keburukan, pelanggaran dan kezaliman”.” (H/R. Ahmad)

5 - Berdoa Setelah Berwudhu’

Berdoa sejurus atau selepas berwudhu’ adalah sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Dari Umar bin al-Khattab radiyallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: Tiada seorang pun di antara kamu yang berwudhu’ dengan sempurna, kemudian ia mengucapkan:

أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ ، وَاَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ

pasti (yang membaca doa di atas ini) akan dibukakan baginya kelapan-lapan pintu syurga, dia boleh masuk dari mana yang dia kehendaki”. (H/R. Muslim No. 234)

Pada hadis riwayat Imam at-Tirmizi terdapat penambahan di hujungnya, iaitu:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِيْ مِنَ التَّوَّابِيْنَ وَاجْعَلْنِيْ مِنَ الْمُتَطَهِّرِيْنَ

“Ya Allah, jadikanlah aku golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah aku golongan orang-orang yang membersihkan diri!” (Sahih: Lihat Shahih Sunan at-Tirmidzi)

“Dari Abi Sa’ied al-Khudri radiyallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: Sesiapa yang berwudhu’ kemudian setelah selesai darinya dia membaca:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ اَللَّهُمَّ وَأَتُوْبُ اِلَيْكَ

Maka (dengan membaca doa ini) dituliskan di tempat tulisan, kemudian terpelihara dalam lambaran, maka tidak akan binasa sehingga ke hari kiamat”. (Sahih: Lihat: al-Jami’, no. 6046)

Tatacara/Sifat Wudhu’ Yang Sunnah (Sahih)

1 - Berniat

Maksud niat ialah menyengajakan atau bersungguh-sungguh untuk mengerjakan sesuatu kerana menunaikan perintah Allah ‘Azza wa Jalla. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata:

“Tempat niat itu di hati, bukan di lisan sebagaimana yang disepakati oleh para imam kaum Muslimin, sama ada pada ibadah, taharah, solat, zakat, puasa, haji, membebaskan hamba, jihad dan selainnya. Jika diucapkan dengan lisannya tetapi berlainan dengan kehendak hatinya maka yang diterima hanya yang diniatkan oleh hatinya bukan lafaznya. Sebaliknya jika diucapkan niat dengan lisannya sedangkan berlainan dengan niat yang di hatinya maka ia tidak diterima menurut kesepakatan Imam-Imam Muslimin”. (Lihat: Majmu’ ar-Rasail al-Kubra, 1/234)

Setiap amal ibadah dituntut agar dimulakan dengan niat sebagaimana sabda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Setiap amal itu dimulakan dengan niat, sesungguhnya bagi setiap insan mengikut apa yang diniatkan”. (H/R al-Bukhari, 1/9)

2 - Membaca Basmalah (bismillah)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memerintahkan agar membaca basmalah (bismillah) di setiap kali hendak berwudhu’. Baginda bersabda:

“Tiada wudhu’ bagi sesiapa yang tidak menyebut nama Allah di atas wudhu’nya”. (H/R at-Tirmizi, 26. Disahihkan oleh al-Albani dalam al-Jami’ 7444)

Diketika kekurangan air, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah meminta air untuk berwudhu’ maka setelah memperolehi air, baginda memasukkan tangannya ke dalam air tersebut. Baginda memerintahkan para sahabat agar membaca basmalah ketika hendak berwudhu’:

“Semasa Rasulullah meletakkan tangannya di dalam air, baginda bersabda: Berwudhu’lah kamu sekalian dengan nama Allah. Maka aku melihat air keluar dari celah-celah jari-jemari baginda sehinggalah orang yang terakhir (dapat berwudhu’). Thabit bertanya (kepada Anas): Berapa jumlah mereka? Sekitar tujuh puluh orang (jawab Anas)”. (H/R al-Bukhari, 1/236)

Telah dijelaskan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah, bahawa berdasarkan hadis-hadis di atas maka menurut Imam Ahmad rahimahullah membaca bismillah ketika hendak berwudhu’, hendak mandi dan bertayamum adalah wajib hukumnya. Al-Hasan al-Basri dan Ishaq bin Rahawaih serta ramai para imam-imam yang lain juga berpendapat seperti itu. Menurut Ibnu Qudamah:

“Apabila ditetapkan wajibnya (membaca basmalah), jika ditinggalkan dengan sengaja maka thaharahnya tidak sah kerana meninggalkan yang wajib dalam thaharah sama seperti meninggalkan niat. Adapun jika meninggalkan dengan tidak disengajakan (terlupa) maka taharahnya tetap sah”. (Lihat: Al-Mughni, 1/84)

3 - Membasuh kedua telapak tangan

Disunnahkan membasuh kedua tangan sebelum memasukkannya ke dalam air atau sebelum berkumur-kumur. Dan dituntut supaya mendahulukan yang sebelah kanan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Dari Aisyah radiyallahu ‘anha, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyukai mendahulukan yang kanan apabila memakai sandalnya (kasut), ketika berjalan, bersuci dan dalam segala urusan”. (H/R Ahmad, al-Bukhari dan Muslim)

“Dari hadis Abdillah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu, beliau telah ditanya tentang wudhu’nya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam maka beliau menuangkan air dengan tangannya, lalu membasuh tangannya tiga kali”. (H/R al-Bukhari, 1/255)

4 - Berkumur-kumur, Istinsyaq, Dan Istinsar

“Baginda berkumur-kumur serta memasukkan air ke hidung (serentak) dengan sebelah tangan dan melakukannya tiga kali”. (H/R al-Bukhari, 1/255)

Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Apabila seseorang kamu berwudhu’ maka hendaklah ia memasukkan air ke dalam hidungnya kemudian ia menyisihkan (menghembuskannya) keluar”. (H/R al-Bukhari, 1/229)

Berkumur-kumur (أَلْمَضْمَضَةُ) ialah: Memasukkan air ke dalam mulut sambil beristinsya’ (menggandingkan atau dengan serentak memasukkan air ke dalam hidung). Syariah berkata: Bahawa dalam mulut dan hidung termasuk muka. (Lihat: Nailul Autar. 1/125) Ketika berkumur-kumur hendaklah menggerak-gerakkan air di dalam mulut dengan bersungguh-sungguh.

Istinsyaq (اَلاِسْتِنْشَاقُ) ialah: Memasukkan air ke dalam hidung dengan tangan kanan, menggerakkan air di dalam hidung, membasuh dan kemudian menghembuskan keluar air tersebut. Cara mengeluarkan air dari hidung “istinsyaq (أَْلإسْتِنْشَاقُ)” ialah setelah mengeluarkan air dari mulut (setelah berkumur-kumur).

Menurut Imam an-Nawawi rahimahullah: “Dari hadis ini (hadis Amru bin Yahya), diambil dalil yang menunjukkan bahawa mazhab yang paling benar ialah sunnah diketika berkumur-kumur dengan membasuh (memasukkan air) ke hidung dengan melakukan kedua-duanya serentak pada setiap kali (berwudhu’) dengan tiga kali cedukan (ambilan) air”. (Lihat: Syarah Sahih Muslim, 3/123)

Istinsar (اَلاِسْتِنْثَارُ) ialah: Bersungguh-sungguh menghirup atau memasukkan air ke hidung dengan tangan kanan (jika tidak berpuasa), kemudian menghembuskan (menyemburkan) air tersebut dari hidung dengan tangan kiri:

“Dari Laqit bin Sabirah radhiyallahu ‘anhu berkata: Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang wudhu’! Baginda bersabda: Sempurnakanlah wudhu’ kamu, sela-selalah celah-celah jari-jemari kamu dan basuhlah hidung dengan menyedut air ke hidung melainkan ketika kamu berpuasa (dengan tidak menyedut bersungguh-sungguh)”. (H/R at-Tirmizi, 38. Juga disahihkan oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani)

5 - Membasuh Muka

Cara membasuh muka ialah bermula dari atas dahi (tempat tumbuhnya rambut) sehingga ke bawah dagu. Dari anak telinga kiri ke anak telinga kanan. Membasuh muka adalah perintah dari Allah ‘Azza wa Jalla. Allah berfirman:

“Dan basuhlah muka kamu”. (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

Batas muka yang wajib dibasuh ialah (sebagaimana dijelaskan di atas): Panjangnya dari sebelah atas dimulai dari bahagian yang ditumbuhi rambut (jambul) di kepala (di atas dahi), sehinggalah ke dagu dan janggut. Dan lebarnya bermula dari tepi telinga kanan sehinggalah ke bahagian tepi telinga kiri.

Sebahagian ulama seperti Abu Tsaur dan Ishak menghukum wajib mensela-sela janggut, jika meninggalkannya dengan sengaja maka wajib mengulangi wudhu’ dan solatnya kerana Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sentiasa mensela-sela janggutnya dengan air semasa berwudhu’:

“Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengambil seceduk air lalu dimasukkan di bawah dagunya dan mensela-sela (menyilang-nyilang) air pada janggutnya. Kemudian baginda bersabda: Beginilah yang diperintahkan oleh Tuhanku Azza wa-Jalla”. (H/R Abu Daud, 145. Lihat: al-Jami’u as-Saghir, 4572)

“Dari Uthman, bahawa sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mensela-sela air pada janggut baginda”. (H/R at-Tirmizi, 31. Menurut at-Tirmidzi, al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah, hadis ini sahih. Lihat: Tahzibut Tahzib. 5/69)

6 - Membasuh Kedua Tangan Hingga Ke Siku

“Dan (basuhlah) tangan-tanganmu sehingga ke siku-sikumu”. (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

“Dari Nu’aim bin al-Mujmir ia berkata: Aku pernah melihat Abu Hurairah berwudhu’ lalu dia menyempurnakan wudhu’nya, kemudian ia membasuh tangan kanannya hingga mengenai lengan atasnya (sikunya), kemudian membasuh tangan kirinya hingga mengenai bahagian lengan kirinya hingga mengenai bahagian lengan atasnya. Di akhir hadis ini Abu Hurairah berkata: Demikianlah aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwudhu’”. (H/R Muslim, 1/246)

Siku (مرفق) ialah tempat percantuman antara hasta (lengan sebelah bawah) dengan lengan sebelah atas. (Lihat: Kamus Muhith) Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

Menyela Jari-jemari Ketika Membasuh Tangan:

Membasuh sela-sela (celah-celah) jari-jemari sama ada tangan atau kaki adalah perbuatan sunnah yang telah ditinggalkan, ia sangat dituntut kerana telah diperintahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: Apabila kamu berwudhu’, maka sela-selalah (celah-celah) jari-jemari kedua tangan kamu dan kaki kamu”. (H/R Ahmad)

“Dari Laqit bin Sabirah radhiyallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: Sempurnakanlah wudhu’ dan basuhlah sela-sela (celah-celah) jari-jemari kamu”. (H/R Abu Daud No. Sahih menurut al-Albani di dalam Sahih Jami’ as-Sagir, no. 940)

Menurut Imam San’ani (Lihat: Subulus Salam 1/47) rahimahullah:

“Secara zahirnya, lafaz jari-jemari yang dimaksudkan adalah jari-jemari kedua tangan dan kedua kaki. Ianya telah dijelaskan melalui hadis Ibnu Abbas”.

“Hadis ini juga adalah dalil yang menjelaskan kewajipan menggosok celah-celah jari-jemari, sebagaimana yang ditetapkan dari hadis Ibnu Abbas, seperti yang telah kami jelaskan iaitu hadis yang telah diriwayatkan oleh at-Tirmizi, Ahmad, Ibnu Majah, al-Hakim dan dihukum hasan oleh Imam al-Bukhari. Adapun caranya ialah dengan menggosok-gosokkan dengan menggunakan jari kelingking tangan kiri bermula dengan bahagian bawah jari-jemari. Mengenai menggosok dengan tangan kiri maka sebenarnya ia tidak terdapat walaupun satu nash, hanya itulah yang dikatakan oleh Imam al-Ghazali, yang demikian diqiaskan kepada istinja.”

7 - Menyapu (Mengusap) Air Ke Seluruh Kepala

Pendapat yang paling rajih cara menyapu air di kepala ialah menyapu sehingga ke seluruh bahagian kepala iaitu berdasarkan penjelasan Ibnu Qudamah rahimahullah bahawa (Lihat: al-Mughni (di bawah perbahasan wudhu’)):

“Terdapat sebahagian orang yang berpegang dengan pendapat bahawa: Menyapu kepala hanya sebahagian sudah memadai. Mereka berpendapat bahawa huruf (ب) dalam al-Qur’an (بِرُؤُوْسِكُمْ) bermakna sebahagian (التبعيض). Mereka menafsirkan ayat tersebut: Sapulah air pada sebahagian kepalamu. Walaubagaimanapun pendapat kami bahawa huruf (ب) bermakna: Seluruh kepala (الاِلصاق) sebagaimana firman Allah:

فَامْسَحُوْا بِرُؤُوْسِكُمْ

“Dan sapulah kepalamu (bermaksud: keseluruhan kepalamu)”.

Menurut Imam Asy-Syaukani rahimahullah:

Berikut adalah penjelasan daripada hadis yang membuktikan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyapu (mengusap) seluruh kepala baginda ialah:

“Dari Abdullah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyapu (mengusap) kepala baginda dengan kedua tangannya maka ditemukan kedua tangannya, digerakkan ke belakang. Dimulakan dari bahagian hadapan kepalanya kemudian terus menyapu dengan kedua tangannya sehingga ke tengkuknya, kemudian dikembalikan semula kedua tangannya kebahagian di mana baginda bermula”. (H/R al-Bukhari 1/251)

8 - Mengusap (Menyapu) Air Pada Kedua Telinga

Setelah menyapu air di kepala kemudian terus sahaja mengusap kedua telinga di bahagian luar dan dalam telinga dengan sisa air di tangan. (Lihat: Sifat Wudhu’ Nabi, m/s. 15, Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin). Menurut Syeikh al-Albani rahimahullah:

Tiada ada keterangan di dalam as-Sunnah yang mewajibkan pengambilan air baru untuk menyapu telinga. Maka memadailah dengan sisa air yang digunakan untuk menyapu kepala, sebagaimana hukumnya harus menyapu air di kepala dengan sisa air dari membasuh tangan.

“Dari Abdullah bin Amru radhiyallahu ‘anhu – pada mensifati wudhu’ Nabi – berkata: Kemudian baginda menyapukan air di kepala dan memasukkan kedua jari telunjuknya ke dalam telinga, lalu mengusap bahagian belakang kedua kuping telinga baginda dengan menggunakan kedua ibu jari baginda”. (H/R Abu Daud 135. Disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah)

Menurut Imam Ahmad rahimahullah, Ibnu Musayyib, Atha’, Al-Hasan al-Basri, Ibnu Sirin, Sa’ied bin Jubair, An-Nakhaie, At-Thauri dan Malik bahawa kedua telinga termasuk bahagian kepala maka hukum menyapunya sama dengan menyapu kepala. Kerana Rasulullah sallallahu ‘alahi wa-sallam bersabda:

“Dari Ibnu Majah selain dari muka, dari Nabi salallahu ‘alaihi wa-sallam baginda bersabda: Kedua-dua telinga termasuk sebahagian dari kepala”. (H/R Abu Daud. no. 134. Lihat: As-Silsilah As-Sahihah, 1/36)

9 – Sunnah Menyapu Serban Dan Ubun-Ubun (Jambul)

Bagi yang memakai serban, maka memadai menyapu di atas serbannya tanpa ditanggalkan atau menyapu di atas ubun-ubun kemudian di atas serbannya, sebagaimana amalan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Dari ‘Amru bin Umaiyah berkata: Aku telah melihat Rasulullah Shallallahi ‘alaihi wa sallam menyapu air ke atas serban dan kedua sepatu baginda”. (H/R al-Bukhari, 1/266)

Menurut Imam Ahmad rahimahullah, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengusap (menyapu dengan air) serban dan jambulnya, ini dilakukan sejalan (bersamaan) berdasarkan hadis Mughirah bin Syu’bah (Lihat: al-Mughni. 1/310) di bawah ini:

“Dari Mughirah bin Syubah, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwudhu’ lalu menyapu ubun-ubun (jambul) dan atas serban serta dua sepatunya”. (H/R Muslim, 1/159)

(Menurut Lisanu al-Arab, kalimah (اَلنَّاصِيَةُ) ialah rambut yang tumbuh di atas dahi. Asal kalimahnya (اَلنُّصَّةُ) yang jamaknya (نُصَصٌ) bermakna jambul)

(Perhatian: Serban tidak sama dengan songkok, kupiah atau topi kerana semua ini wajib ditanggalkan. Tidak boleh menyapu air di atas songkok, kupiah atau topi.)

10 - Menyapu Di Atas Telekong Atau Jilbab

Dibolehkan bagi para wanita mengusap (menyapu) air di atas telekong atau jilbabnya. Kenyataan ini berdasarkan amalan Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha yang pernah mengusap (menyapu) air di atas jilbabnya. Perbuatan ini telah di nyatakan oleh Ibnu al-Munzir. (Lihat: Al-Mughni 1/312 dan 1/383-384)

11 - Membasuh Dua Kaki

Diwajibkan membasuh dua kaki sehingga kedua mata kaki atau buku lali. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga kedua mata kaki”. (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

“Dari Jarir bin Hazim dari Qatadah dari Anas bin Malik bahawa ada seorang lelaki yang datang kepada Nabi sedang ia telah berwudhu’, ia meninggalkan punggung (tumit) kakinya sebesar tempat kuku (lalu Nabi bersabda kepadanya): Ulangilah dan baguskanlah (sempurnakan) wudhu’mu”. (H/R Abu Daud, Ahmad dan Durqutni)

Berkata Syariah: “Celaka bagi tumit-tumit dari neraka” bahawa hadis ini menunjukkan atas wajibnya membasuh dua kaki, begitulah pendapat jumhur. (Lihat: Nailul Authar, 1/143)

Begitu juga supaya sentiasa sempurna hendaklah dibasuh celah-celah jari-jemari kaki dan mencela-cela dengan jari yang paling kecil iaitu mencela-cela menggunakan jari kelingking.

12 - Tertib

Berwudhu’ hendaklah mengikut tertib (turutan) seperti mana yang telah ditunjukkan melalui dalil al-Qur’an dan as-Sunnah iaitu dengan:

1 – Membasuh tapak tangan
2 – Berkumur-kumur & Memasukkan air ke dalam hidung
3 – Membasuh muka
4- Membasuh tangan sehingga ke siku
5 – Menyapu (mengusap) kepala dan telinga
6 – Membasuh kaki sehingga ke buku lali.

Kesemua ini adalah berdasarkan firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu ingin mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sehingga ke siku, dan sapulah kepalamu dan basuhlah kakimu sehingga kedua buku lali”. (al-Ma’idah 5: 6)

Juga berdasarkan ke-umuman hadis Jabir rahiyallahu ‘anhu, ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ingin memulakan sai’e antara Safa dan Marwah, Baginda menyebut firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah antara syi’ar-syi’ar Allah”. (al-Baqarah, 2: 158). Kemudian Baginda bersabda: Aku bermula dengan apa yang dimulakan oleh Allah, dan Baginda bermula dengan safa.” (H/R Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi memulakan sai’e di Safa kerana Allah memulakan sebutan “Safa” di dalam surah al-Baqarah, 2: 158.

Maka, begitulah juga dengan ayat wudhu’ dalam surah al-Ma’idah tadi. Kemudiannya lagi, ia turut dijelaskan dengan begitu banyaknya hadis-hadis yang menunjukkan tertib seperti itu.


-Artikel ini diringkaskan dari sebuah kertas kerja milik Ust. Abu Farouq al-Atsary-

Sabtu, 21 Februari 2009

146 - Lemahnya Hujjah Menetapkan Qunut Di Setiap Solat Fardhu Subuh

Lemahnya Hujjah Menetapkan Qunut Di Setiap Solat Fardhu Subuh

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

Definisi Qunut

Kata qunut digunakan untuk beberapa makna, di antaranya: berdiri, diam, rutin beribadah, doa, tasbih dan khusyu’. Menurut istilah, ialah nama untuk suatu doa yang diucapkan di dalam solat pada waktu tertentu di ketika berdiri. (Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shahih Fiqh Sunnah, jil. 2, m/s. 33, terbitan Pustaka at-Tazkia)

Pendapat Imam an-Nawawi

Imam an-Nawawi rahimahullah berkata:

“Ketahuilah bahawa qunut di waktu solat subuh adalah sunnah berdasarkan hadis sahih


عن أنس (رضي الله عنه): أن رسول الله (صلى الله عليه وسلم) لم يزل يقنت في الصبح حتى فارق الدنيا

Daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sentiasa melakukan qunut di waktu solat subuh sehingga beliau wafat.”

Diriwayatkan oleh al-Hakim Abu ‘Abdillah di dalam kitab al-Arba’in, lalu dia berkata: “Hadis sahih”. Ketahuilah bahawa qunut subuh menurut kami adalah disyari’atkan, ia merupakan sunnah muakkad (yang sangat dituntut). Sekiranya seseorang meninggalkannya maka solatnya tidak batal akan tetapi dia perlu melakukan sujud shahwi, sama ada dia meninggalkannya dengan sengaja atau pun kerana terlupa.” (Rujuk Kitab al-Adzkar an-Nawawiyyah, Bab Qunut Subuh, hadis no. 171)

Komentar Terhadap Pendapat Imam an-Nawawi

1 - Hadis ini (yang digunakan oleh imam an-Nawawi) adalah hadis yang dhoif, tidak sahih, walau pun al-Hakim dan an-Nawawi mensahihkannya.

Hadis ini dhoif disebabkan perawi yang bernama Abu Ja’far ar-Razi yang meriwayatkan hadis ini dari jalan ar-Rabi’ dari Anas. Ibnul Qayyim telah menjelaskan persoalan ini secara panjang lebar di dalam kitabnya, Zaadul Ma’ad (1/99-100) dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani di dalam at-Talkhis (3/417-418) serta lainnya. (Rujuk: Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Solat Nabi (judul asli: Ashlu Shifati Sholatin Nabiy), jil. 3, m/s. 201, terbitan Griya Ilmu)

2 – Sanad hadis ini dhoif, illatnya (penyebabnya) adalah Abu Ja’afar ar-Razi, iaitu ‘Isa bin Haman, hafalannya buruk. (Rujuk: Syaikh Salim ‘Ied al-Hilali, Shahih dan Dhoif Kitab al-Adzkar (judul asli: Shahih Kitab al-Adzkar wa Dha’ifuhu), jil. 1, m/s. 193, terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i)

3 – Hadis ini diriwayatkan oleh Abdur Razzaq, no. 4964, Ibnu Abi Syaibah, no. 7002, Ahmad 3/162, at-Thahawi di dalam al-Ma’ani, 1/244, ad-Daruquthni, 2/39, al-Hakim di dalam al-Arba’in, al-Baihaqi, 2/201, al-Baghawi, no. 639, dari beberapa jalan, dari Abu Ja’afar ar-Razi, dari ar-Rabi’ bin anas, dari Anas dengan hadis tersebut.

Abu Ja’afar adalah rawi yang jujur akan tetapi hafalannya buruk, rawi sepertinya hanya layak pada hadis yang syahid (yang memiliki penguat). Jika tidak, maka hadisnya dhoif. Hadis ini memiliki syawahid (beberapa penguat) yang disebutkan oleh ad-Daruquthni dan al-Baihaqi, akan tetapi semuanya sangat lemah sekali, tidak layak untuk diperhatikan, kemudian ianya bertentangan pula dengan riwayat yang juga dari Anas yang sahih bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak berqunut, melainkan apabila beliau berdoa untuk kebaikan atau kebinasaan sesuatu kaum.

Hadis ini didhoifkan oleh Ibnul Jauzi, Ibnu Taimiyah, Ibnu at-Turkumani, Ibnul Qayyim, dan al-Albani, dan az-Zaila’i cenderung kepadanya. Al-Asqalani (al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani) berkata: “Hujjah tidak tertegak dengan hadis seperti ini”. (Rujuk: Syaikh Amir bin Ali Yasin, al-Adzkar an-Nawawiyah, m/s. 172, terbitan Pustaka Sahifa)

4 – Sebuah persoalan yang perlu kita perhatikan adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh Amir bin Ali Yasin:

“Saya berkata: Telah jelas bagimu bahawa hadis yang mereka jadikan sebagai sandaran dalam mensyari’atkan qunut subuh adalah dhoif dan mungkar. Jadi ia tidak dianjurkan, bahawa melakukannya secara terus menerus adalah sesuatu yang dibuat-buat (diada-adakan) dan itu adalah perbuatan yang dibenci. Sekiranya kita menerima bahawa hadis tersebut sebagai sahih sekalipun, maka, di mana dalil yang menunjukkan bahawa qunut subuh itu dengan lafaz “Allahummah dini fii man hadait (اَللَّهُمَّ اهْدِنِيْ فِيْمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِيْ فِيْمَنْ عَافَيْتَ)...”? Sekiranya kita menerima bahawa hadis tersebut sahih, lalu di mana pula dalilnya yang menunjukkan bahawa meninggalkannya mengharuskan sujud shahwi? Ini adalah tiga mukaddimah yang tidak mampu mereka dukung dengan dalil.” (Rujuk: Syaikh Amir bin Ali Yasin, al-Adzkar an-Nawawiyah, m/s. 172, terbitan Pustaka Sahifa)

5 - Pendapat Sayyid Sabiq rahimahullah:

“Qunut di dalam solat subuh itu tidak disyari’atkan kecuali apabila terjadi bahaya. Dan sekiranya terjadi bahaya tersebut, maka bukan hanya di dalam solat subuh saja disunnahkan berqunut, tetapi juga di dalam semua solat fardhu...” (Rujuk: Sayyid Sabiq, Fiqih Sunnah, jil. 2, m/s. 43, terbitan Victory Agencie)

6 – Penggunaan hadis dari Anas oleh mereka yang bertujuan mensyari’atkan qunut di setiap solat fardhu subuh tersebut sebenarnya dibantah dengan hadis yang datangnya juga dari Anas. Daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu:

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam itu tidak pernah berqunut di dalam waktu subuh melainkan bagi tujuan mendoakan kebaikan bagi sesuatu kaum (muslimin), atau mendoakan kebinasaan sesuatu kaum (kafir).” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani mensahihkan sanadnya. Rujuk: al-Dirayah fi Takhrij Ahadis al-Hidayah, jil. 1, m/s. 195)

Dengan hadis yang sahih ini, sekaligus ia menjelaskan pegangan sebenar Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkenaan qunut subuh. Oleh itu, hadis ini secara tidak langsung telah menolak hadis di atas yang dijadikan hujjah untuk mensyari’atkan qunut di dalam setiap solat subuh.

Kesimpulan/Ringkasan Pendapat:

1 – Telah tsabit daripada hadis-hadis yang sahih bahawa doa Qunut yang dilakukan di dalam solat fardhu adalah doa qunut nazilah yang bertujuan mendoakan kebaikan (keselamatan) bagi kaum muslimin, atau mendoakan kebinasaan bagi kaum kafir (yang memerangi/memusuhi) umat Islam.

Dan ianya tidak semestinya dilakukan hanya di ketika waktu solat subuh.

2 – Doa dengan lafaz “Allahummah dini fiiman hadait... (اَللَّهُمَّ اهْدِنِيْ فِيْمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِيْ فِيْمَنْ عَافَيْتَ)” adalah lafaz doa qunut yang dibaca di dalam solat witir, bukannya solat fardhu subuh.

3 - Syaikh Dr. Sa’id Wahf bin Ali al-Qahthani berkata,

“Telah diriwayatkan dengan sahih dari nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawa beliau melakukan qunut Nazilah selama sebulan, berdoa melaknat satu kaum. Teriwayat dengan sahih bahawa beliau berdoa untuk kaum yang lemah dari kalangan para sahabat beliau yang ditawan oleh satu kaum sewaktu mereka berhijrah. Ketika penyebab beliau melakukan qunut tersebut sudah tidak ada lagi, beliau pun meninggalkannya. Nabi tidak pernah melakukan qunut secara rutin dalam solat wajib yang manapun, solat subuh atau solat yang lainnya. Demikian juga halnya dengan para Khulafa’ur Rasyidin. Mereka melakukan qunut tersebut dengan cara yang sama. Mereka tidak pernah melakukannya secara rutin. Namun jika penyebab qunut itu sudah tidak ada, mereka meninggalkan qunut tersebut. Apa yang sunnahnya (yang tsabit dari sunnah) adalah melakukan qunut Nazilah dan berdoa berdasarkan kepada keadaan, iaitu untuk mendoakan kebaikan bagi suatu kaum, atau untuk melaknat mereka, dan disesuaikan juga dengan bencana yang terjadi.

Diriwayatkan dengan sahih bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melakukan qunut pada solat subuh, zuhur, asar, maghrib dan isya’. Namun perlaksanaan di dalam solat Subuh dan Maghrib adalah lebih ditekankan. Ketika penyebab qunut itu sudah tidak ada, beliau pun meninggalkannya, termasuk juga pada solat subuh.” (Rujuk: Syaikh Dr. Sa’id ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, Kumpulan Shalat Sunnah Dan Keutamaannya, m/s. 75, Terbitan Darul Haq, Cet. Ketujuh – Feruari 2007M)

4 – Tiada dalil yang boleh dijadikan sandaran bagi mensyari’atkan doa qunut di dalam setiap kali solat fardhu subuh.

Wallahu a’lam...

Rabu, 21 Januari 2009

145 - Tidak Wajib Berwudhu' Setelah Mandi Junub

Mandi Wajib Merangkumi Wudhu’

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Ibnu Abdil Barr berkata:

“Orang yang mandi junub, apabila tidak berwudhu’, namun jika dia telah membasahi seluruh tubuhnya, maka ia telah melaksanakan wudhu’, berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat ... ... Jika kamu berjunub, maka mandilah.” (Surah al-Ma’idah, 5: 6) (Allah hanya memerintahkan supaya mandi. Tidak pula berwudhu’). Ini adalah ijma’, tidak ada perbezaan di antara ulama. Namun mereka juga sepakat akan sunnah berwudhu’ sebelum mandi, kerana berdasarkan (mencontohi) perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam. Selain itu, berwudhu’ lebih mempermudahkan mandi dan menjadikan mandi lebih tersa nikmatnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan mandi sebagai mengakhiri larangan solat.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, melainkan sekadar berlalu saja, hingga kamu mandi.” (Surah an-Nisaa’, 4: 43)

Apabila seseorang telah mandi, maka ia tidak dilarang untuk melakukan solat. Selain itu, mandi dan wudhu’ adalah dua ibadah yang sejenis, maka yang kecil masuk ke dalam yang besar. Sebagaimana Umrah masuk ke dalam Haji.

Dipetik dari: Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil. 1, m/s. 366-367.

Rujuk juga artikel berkaitan Mandi Junub pada posting yang lepas:

Mandi Junub -
Klik

Mandi Hadas -
Klik

144 - Larangan Berjual Beli Di Dalam Masjid

Larangan Berjual Beli Di Dalam Masjid

Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com

‘Amru B. Syu’aib daripada ayahnya, daripada datuknya, beliau berkata:

أَنَّهُ نَهَى عَنْ تَنَاشُدِ الأَشْعَارِ فِي الْمَسْجِدِ، وَعَنِ البَيْعِ وَالاِشْتِرَاءِ فِيهِ، وَأَنْ يَتَحَلَّقَ النَّاسُ فِيهِ يَوْمَ الجُمُعَةِ قَبْلَ الصَّلاَةِ

“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang dari melagukan sya’ir di masjid, berjual-beli, dan membuat halaqah pada hari Juma’at sebelum solat.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, no. 6676. Abu Daud, bab: Larangan membuat halaqah di hari Juma’at sebelum solat, no. 1079. at-Tirmidzi, bab: Dibencinya jual-beli dan melagukan sya’ir di masjid, no. 322. Shahih Ibnu Khuzaimah, bab: Larangan jual-beli di masjid, no. 1304.

Kata at-Tirmidzi, hadis ‘Abdullah B. ‘Amru adalah hadis hasan, dan ‘Amru B. Syu’aib adalah Ibn Muhammad B. ‘Abdullah B. ‘Amru B. al-‘Ash. Hadis ini juga dihasankan oleh al-Albani, Syu’aib al-Arnauth, dan Salim al-Hilali.

Setelah membawakan hadis ini, Imam at-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279) menyatakan:

وَقَدْ كَرِهَ قَوْمٌ مِنْ أَهْلِ العِلْمِ البَيْعَ وَالشِّرَاءَ فِي المَسْجِدِ، وَبِهِ يَقُولُ أَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ

“Sebahagian ahli ilmu memakruhkan (membenci) urusan jual beli di masjid, dan ini adalah pendapat Imam Ahmad dan Ishaq (Ibn Rohuyah).” (Sunan at-Tirmidzi, 2/139)

Manakala Syaikh Salim al-Hilali hafizhahullah menyatakan:

“Haram hukumnya berjual-beli di dalam masjid, kerana masjid adalah pasar akhirat. Termasuk adabnya adalah dengan menjauhkan masjid dari urusan dunia dan urusan-urusan lain yang tidak ada hubung-kaitnya dengan akhirat.” (Mausu’ah al-Manahi asy-Syar’iyyah fiish Shahih as-Sunnah an-Nabawiyah, 1/371 – Daar Ibn ‘Affan)

Adapun tentang sya’ir, yang diharamkan adalah sya’ir-sya’ir jahiliyyah dan sya’ir-sya’ir ahli bathil. Atau apabila kebanyakan waktu dihabiskan untuk bersya’ir sehingga melalaikan dari menuntut ilmu, mempelajari al-Qur’an, berdzikir, dan bertasbih. (Mausu’ah al-Manahi asy-Syar’iyyah fiish Shahih as-Sunnah an-Nabawiyah, 1/365 – Daar Ibn ‘Affan)

Manakala tentang membuat halaqah-halaqah (kumpulan-kumpulan atau bulatan-bulatan majlis bicara) sebelum solat Juma’at, hukumnya adalah haram. Kata Syaikh Salim al-Hilali, “Haram hukumnya membuat halaqah sebelum solat di hari Juma’at. Khususnya bid’ah yang begitu menyebar di sejumlah besar negara Islam (pada hari ini), iaitu sebagaimana disebut dengan nama “kuliah agama khas hari Juma’at”. Ini termasuk dalam maksud larangan hadis tersebut. Di samping itu, perkara ini juga tidak pernah diamalkan oleh para salaf serta akan mengganggu orang-orang yang sedang solat (solat sunnah) dan berdzikir di hari Juma’at.” (Mausu’ah al-Manahi asy-Syar’iyyah fiish Shahih as-Sunnah an-Nabawiyah, 1/376 – Daar Ibn ‘Affan)

Termasuk halaqah-halaqah yang dimaksudkan adalah bersembang-sembang, dan berkumpul-kumpul di masjid untuk membicarakan sesuatu.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي المَسْجِدِ، فَقُولُوا: لَا أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ، وَإِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَنْشُدُ فِيهِ ضَالَّةً، فَقُولُوا: لَا رَدَّ اللَّهُ عَلَيْكَ

“Jika kamu melihat orang berjual-beli di masjid, maka katakanlah (kepada mereka), “Semoga Allah tidak memberi keuntungan di atas perniagaan kamu.” Dan apabila kamu melihat orang membuat pengumuman barang hilang di dalam masjid, maka katakanlah, “Semoga Allah tidak mengembalikannya kepada kamu.”.”

Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, bab: Larangan berniaga di masjid, no. 1321.Kata beliau, hadis ini hasan gharib. Demikian juga Syaikh Muqbil, beliau menghasankannya dalam al-Jaami’ ash-Shahih mimma laisa fish-Shahihain, no. 1438.

Diriwayatkan juga oleh an-Nasaa’i, bab: Apa yang diucapkan kepada sesiapa yang berjual-beli di masjid, no. 9933. Dan Ibnu Hibban, no. 1650. Dinilai sahih oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth.

Diriwayatkan juga oleh Ibnu Khuzaimah dalam Shahihnya, no. 1305 dan beliau menyatakan pada babnya:

الأمر بالدعاء على المتبايعين في المسجد أن لا تربح تجارتهما وفيه ما دل على البيع ينعقد وإن كانا عاصيين بفعلهما

“Perintah mendoakan orang yang berjual-beli di masjid agar tidak mendapat keuntungan dan dalil menyatakan bahawa jual-beli tersebut sah walaupun keduanya telah melakukan dosa disebabkan perbuatan tersebut.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/274)

Imam ash-Shan’ani rahimahullah menjelaskan maksud hadis ini dengan katanya:

فيه دلالة على تحريم البيع والشراء في المساجد وأنه يجب على من رأى ذلك فيه أن يقول لكل من البائع والمشتري لا أربح الله تجارتك جهرا زجزا للفاعل لذلك يقول والعلة هي قوله فيما سلف فإن المساجد لم تبن لذلك وهل ينعقد البيع قال الماوردي: إنه ينعقد اتفاقا

“Hadis ini menunjukkan pengharaman jual beli di dalam masjid, dan orang yang menyaksikan transaksi tersebut hendaklah mengatakan dengan jelas, “Semoga Allah tidak memberi keuntungan di atas perniagaan kamu”, sama ada kepada pembeli atau penjual, sebagai peringatan untuk mereka yang melakukannya. Dan alasannya adalah hadis Nabi yang telah disebutkan, “Bahawa masjid bukan dibina untuk perkara tersebut (urusan jual-beli).” Tetapi adakah jual-belinya sah? Kata al-Mawardi: jual-belinya tetap sah dengan ittifaq ulama.” (Subulus Salam, 1/297 – al-Maktabah at-Taufiqiyyah)

Demikian juga Imam asy-Syaukani rahimahullah, beliau menegaskan:

يدلان على تحريم البيع والشراء وإنشاد الضالة وإنشاد الأشعار والتحلق يوم الجمعة قبل الصلاة

“Kedua-dua hadis tersebut menunjukkan bahawa diharamkan jual-beli, membuat pengumuman berkenaan kehilangan, pembacaan sya’ir (di masjid), dan membuat halaqah-halaqah pada hari Juma’at sebelum solat.” (Nail al-Authar, 2/166)

Wallahu a’lam.