Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, 9 Jun 2009

155 - Membaca Basmalah Ketika Hendak Berwudhu’

Membaca Basmalah Ketika Hendak Berwudhu’

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/


لاَوُضُوْءَ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ

“Tidak ada wudhu’ bagi orang yang tidak menyebut Nama Allah.”

Takhrij Hadis:

1 - Dari Riwayat Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu. Diriwayatkan oleh Ahmad, 2/418, Abu Daud, no. 101, al-Baihaqi, 1/43, Ibnu Majah, no. 399, al-Baghawi, no. 209, ad-Daruquthni, 1/79, al-Hakim, 1/146, dan selainnya, dari jalan Muhammad bin Musa al-Makhzumi, dari Ya’qub bin Salamah, dari bapanya, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dengan hadis tersebut.

Hadis ini di dalam sanadnya terdapat dua orang yang majhul (tidak dikenali). Tetapi hadis ini memiliki banyak syahid (penguat) di antaranya berdasarkan hadis dari Sahabat - Sa’id bin Za’id, ‘Aisyah, dan Sahl bin Sa’ad radhiyallahu ‘anhum.

Al-Hakim berkata: Sahih. Tetapi Imam adz-Dzahabi dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani tidak menyetujuinya. Keduanya mendhaifkannya disebabkan Ya’qub dan bapanya adalah rawi yang majhul. Begitu juga dengan al-Bukhari, beliau berkata di dalam at-Tarikh, 4/76, “Salamah tidak diketahui mendengar dari Abu Hurairah, dan Ya’qub tidak diketahui mendengar dari bapanya.”

Syaikh al-Albani menyatakan hadis ini (dari jalan Abu Hurairah) sebagai hasan. (Rujuk: Irwa’ul Ghalil, 1/160, no. 51)

2 - Hadis ini juga diriwayatkan oleh ad-Daruquthni, 1/71 dan al-Baihaqi, 1/44 dari jalan Mahmud bin Muhammad azh-Zhafari, Ayyub bin Najjar menyampaikan kepada kami, dari Yahya bin abu Katsir, dari Abu Salamah, dri Abu Hurairah dengan hadis tersebut. Sanad ini juga dhaif dengan dua ‘illat, iaitu Mahmud tidak kuat, Ayyub tidak mendengar hadis ini dari Yahya sebagaimana perkara itu banyak dinyatakan oleh ulama hadis.

3 – Dari riwayat Sa’id bin Zaid radhiyallahu ‘anhu. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, no. 15, Ahmad, 3/70, Ibnu Majah, 398, at-Tirmidzi, 1/37, no. 25 & 26, ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 373-377, ad-Daruquthni, 1/72, al-Hakim, 4/60, al-Baihaqi, 1/43: Dari jalan Abu Tsifat al-Murri, dari Rabah bin Abdurrahman dari neneknya dari bapak neneknya dengan hadis tersebut.

Imam al-Bukhari berkata: “Ini adalah hadis terbaik dalam persoalan ini.”

At-Tirmidzi berkata: “Hadis Sa’id bin Zaid merupakan hadis yang paling baik.” (Rujuk: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/184)

Hadis ini adalah dhaif dan hanya layak sebagai syahid (penguat) kerana Abu Tsifal dan Rabah adalah rawi yang diterima dengan mutaba’ah.

4 – Dari riwayat Abu Sa’id al-Khudri. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, no. 14, Ahmad, 3/41, Abd bin Humaid, no. 910, ad-Darimi, 1/116, Ibnu Majah, 397, ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 380, Ibnu Sunni, no. 26, Ibnu Adi, 3/1034, al-Hakim, 1/147, al-Baihaqi, 1/43 dengan beberapa jalan. Dari Katsir bin Zaid, dari Rubaih bin Abdurrahman bin Abu Sa’id, dari datuknya dengan hadis tersebut.

Ahmad berkata: “Ini adalah yang terbaik dalam masalah ini.”

Ishaq berkata: “Ini adalah yang tersahih dalam masalah ini.”

Dinyatakan di dalam az-Zawaid, “Hasan.” Namun, ia sebenarnya hasan dengan syahid-syahidnya kerana pada Katsir dan Rubaih terdapat kelemahan.

5 – Dari riwayat ‘Aisyah. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, no. 16, al-Bazzar, no. 159, Mukhtashar az-Zawaid (Abu Ya’la), no. 4687, ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 383-384, ad-Daruquthni, 1/72, dari jalan Haritsah bin Abur Rijal, dari Amrah, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, dari perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Haritsah adalah perawi yang sangat lemah. Disebabkannya, Ahmad pun menyatakan: Ini adalah hadis yang paling dhaif dalam masalah ini.”

6 – Dari riwayat Sahl bin Sa’ad. Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, no. 400, ath-Thabrani (al-Mu’jam al-Kabir), 6/121, no. 5699 dan ad-du’a, no. 382, al-Hakim, 1/269, al-Baihaqi, 2/379, dari jalan Ubay dan Abdul Muhaimin dua anak Abbas bin Sahl bin Sa’ad, dari bapa keduanya, dari datuk keduanya dengan hadis tersebut secara marfu’.

Ubay dan Abdul Muhaimin adalah dua rawi yang dhaif, dan hadis ini didhaifkan oleh adz-Dzahabi dan al-Bushiri.

Syaikh Salim ‘Ied al-Hilali berkata:

“Abdul Muhaimin bin ‘Abbas lemah, tetapi dia tidak sendirian dalam meriwayatkan hadis tersebut, ia didukung oleh saudaranya, Ubay bin ‘Abbas. Ubay bin ‘Abbas juga memiliki kelemahan, tetapi hadisnya mu’tabar (dapat digunakan) untuk penelitian dan sebagai syahid (penguat).” (Salim al-Hilali, Sahih dan Dhaif Kitab al-Adzkar, m/s. 113)

Kesimpulan:

Syaikh Amir bin Ali Yasin berkata:

“Tidak satu pun hadis dari jalan-jalan yang dijelaskan di atas selamat dari kelemahan. Hanya saja padanya tidak terdapat rawi yang tertuduh berdusta dan matruk, maka hadis seperti ini boleh menjadi kuat dengan mutaba’ah dan syawahidnya, jadi hadis di atas adalah sahih tanpa kebimbangan padanya. Para imam berikut cenderung menguatkannya, mereka adalah: Ibnu Abi Syaibah, al-Mundziri, Ibnu Sholah, Ibnul Qayyim, Ibnu Jama’ah, Ibnu Katsir, al-Bushiri, al-Haitsami, al-Iraqi, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Syaikh Ahmad Syakir, dan Syaikh al-Albani.” (Amir Ali Yasin, Tahiq ke atas al-Adzkar an-Nawawiyah, m/s. 114, Pustaka Sahifa)

Dan beliau berkata lagi:

“Ia memiliki dasar sunnah, hanya saja ia sangat lemah, tidak dianggap dan tidak disyari’atkan.”

Imam Ahmad bin Hanbal berkata:

“Aku tidak mengetahui satu hadis pun yang sahih dalam persoalan basmalah ketika berwudhu’.” (Abu Daud, Masa’ilul Imam Ahmad, m/s. 6)

Namun, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata sebagaimana yang dinukil oleh Ibnu Allan darinya di dalam al-Futuhat, 2/6:

“Tidak mengetahui tidak bererti sesuatu itu tidak ada. Kalau pun demikian maka penafian ketidak adaan yang sahih, jadi masih ada yang hasan, kalau pun demikian maka penafian ketiadaan dari setiap peribadi tidak mengharuskan penafian dari keseluruhan.”

Syaikh Salim ‘Ied al-Hilali berkata:

Berkenaan hadis-hadis tentang tasmiyah dalam wudhu’. Maknanya tidak terlepas dari perbincangan, pada semua hadis itu terdapat perkara yang menjadikannya kuat yang menunjukkan bahawa hadis-hadis itu memiliki dasar. Pendapat ini dipegang oleh para ulama pilihan dalam bidang ini sama ada para salaf mahu pun ulama-ulama sekarang. Al-Hafiz al-Mundziri rahimahullah menyatakan di dalam at-Targhib wat Tarhib, 1/164. Dalam masalah ini terdapat banyak hadis yang tidak terlepas dari perbincangan menurut al-Hasan, Ishaq Ibnu Rahawaih, azh-Zhahiriyah dan salah satu riwayat (pendapat) dari imam Ahmad, bahawa Tasmiyah (membaca basmalah) ketika berwudhu’ itu adalah wajib, sehingga jika sengaja ditinggalkan, maka harus mengulangi wudhu’mya. Tidak diragukan lagi, bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai tasmiyah ketika berwudhu’ walau pun semuanya tidak terlepas dari perbincangan, tetapi ia menjadi kuat dengan banyaknya jalan. Wallahu a’lam.

Al-Hafiz rahimahullah berkata di dalam Talkhishul Habir, 1/75: “Nampaknya semua hadis itu masing-masing saling mendukung satu dengan yang lainnya yang menunjukkan bahawa ia memiliki dasar.”

Al-‘Allamah Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata dalam al-Manaarul Muniif, no. 122: “Akan tetapi, hadis-hadis tersebut hasan.”

Di antara yang berpendapat akan kuatnya hadis tersebut adalah Ibnu Sayyid an-Nass, al-Hafiz al-‘Iraqi, asy-Syaukani, ash-Shan’ani, serta Syaikh kami ahli Hadis zaman ini, iaitu Syaikh al-Albani rahimahullah.” (Salim al-Hilali, Sahih dan Dhaif Kitab al-Adzkar, m/s. 113)

Fiqh Hadis:

Syaikh al-Albani berkata:

Jika mengakui hadis ini kuat, maka harus mengatakan dengan makna zahirnya, iaitu wajibnya membaca basmalah. Kerana tidak ada dalil yang membolehkan keluar dari makna zahir ini kepada pernyataan bahawa perintah ini hanyalah suatu anjuran (sunnah). Hukum wajib ini adalah pendapat mazhab Zhahiriyah, Ishaq, salah satu dari dua riwayat Ahmad, Siddiq Khan, dan asy-Syaukani. Itulah yang benar, insyaAllah. (al-Albani, Tamamul Minnah, m/s. 93, Pustaka Sumayyah)

Imam an-Nawawi menganggap ia sebagai suatu sunnah dan perlu dilakukan di awal wudhu’. Jika terlupa di awal wudhu’ hendaklah membacanya di pertengahan atau di akhir wudhu’.(Rujuk Radhatuth Thalibin dan al-Adzkar an-Nawawiyah)

Diriwayatkan dari Ahmad bahawa hukum membaca basmalah adalah wajib dalam setiap thaharah, sama ada wudhu’, mandi, mahu pun tayammum. Ini merupakan pendapat yang dipilih Abu Bakar serta merupakan mazhab Hasan dan Ishaq. (Rujuk: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/184)

At-Tirmidzi berkata:

“Hadis Sa’id bin Za’id merupakan hadis terbaik. Penyebutan kata benda nakirah (indefinite) dalam kalimat negatif pada hadis tersebut menunjukkan bahawa wudhu’ seseorang tidak akan sah tanpa membaca basmalah terlebih dahulu.” (Rujuk: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/184)

Ibnu Qudamah berkata:

Dalam persoalan ini, meninggalkannya secara sengaja, bererti thaharah (wudhu’) yang dilakukan seseorang tidak akan sah. Kerana ia telah meninggalkan sesuatu yang wajib dilakukan ketika bersuci. Ini sama seperti ketika seseorang meninggalkan niat. Tetapi jika seseorang meninggalkannya secara tidak sengaja atau kerana lupa, maka thaharah yang dilakukannya tetap sah.

Bagaimana melafazkan basmalah?

Ibnu Qudamah berkata:

“Membaca basmalah adalah dengan mengucapkan lafaz “Bismillah” (dengan menyebut nama Allah). Ia tidak dapat digantikan dengan lafaz lain, seperti halnya bacaan basmalah yang disyari’atkan sebelum melakukan penyembelihan, dan ketika hendak makan atau minum. Ia dilakukan setelah berniat, iaitu sebaik sahaja ingin bersuci.” (Rujuk: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/186-187)

Rujukan:

1 – Ibnu Qudamah, al-Mughni.

2 – an-Nawawi, Raudhatuth Thalibin.

3 – ash-Shan’ani, Subulus Salam.

4 – al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud

5 – al-Albani, Tamamul Minnah.

6 – al-Albani, Irwa’ul Ghalil.

7 – Amir bin Ali Yasin, Tahqiq al-Adzkar an-Nawawiyah.

8 – Salim ‘Ied al-Hilali, Shahih dan Dhaif Kitab al-Adzkar.

Jumaat, 22 Mei 2009

153 - Sahihnya Sunnah Menggerak-gerakkan Jari Telunjuk Ketika Bertasyahhud

Harap maaf, artikel ini telah kami pindahkan ke website baru kami di,

http://www.ilmusunnah.com/contoh-sikap-lapang-dada-zamihan-al-ghari-dalam-isu-gerak-jari-dalam-tasyahhud-solat/

152 - Bolehkah Menetapkan Seseorang Sebagai Syahid?

Bolehkah Menetapkan Seseorang Sebagai Syahid?

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Mungkin kita pernah mendengar seseorang yang telah meninggal dunia disebut namanya dengan gelaran “asy-Syahid fulan...” atau mungkin pernah kita diberitahu bahawa, “Si fulan telah Syahid...”.

Maka, ini kita letakkan sebagai perkataan kategori pertama.

Dengan itu, adakah ia bermakna si fulan telah dipastikan masuk Syurga dan diampuni segala dosa-dosanya?

Kemudiannya, terdapat satu lagi ungkapan yang sekali imbas hampir sama, tetapi hakikatnya berbeza iaitu,

“Sesiapa yang mati di medan perang di jalan Allah, maka dia mati syahid.”

Walau bagaimana pun, dua ungkapan di atas adalah berbeza sama sekali. Jenis perkataan dari kategori pertama, menjelaskan soal kesyahidan seseorang individu dengan khusus. Manakala perkataan kedua, menjelaskan hanya secara umum bahawa sesiapa sahaja yang benar-benar berjihad di jalan Allah dan terbunuh maka dialah yang mati syahid dan dijamin masuk syurga tanpa merujuk kepada mana-mana individu tertentu.

Berkenaan perkataan kategori yang pertama, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“...Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertaqwa.” (Surah an-Najm, 53: 32)

Ini adalah disebabkan persoalan niat merupakan persoalan hati. Tidak ada yang mengetahui hati seseorang melainkan Allah. Dan dialah yang maha mengetahui tentang kedudukan seseorang itu secara jelas.

Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa Sallam juga bersabda:

“Demi Zat yang diriku berada di tangan-Nya, tidaklah seseorang terluka di jalan Allah, dan hanya Allah yang maha Mengetahui siapa yang terluka di jalan-Nya. Pasti akan datang pada hari kiamat (luka tersebut) warnanya darah, tetapi baunya bau minyak kasturi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2803)

Dengan penjelasan bahawa “... hanya Allah yang maha Mengetahui siapa yang terluka di jalan-Nya...” menunjukkan bahawa kita tidak mengetahui niat seseorang yang berjihad.

Imam al-Bukhari juga telah meletakkan bab di dalam Shahihnya dengan judul “Tidak Boleh Disebut Si Fulan Mati Syahid”.

Perbuatan menetapkan seseorang sebagai mati syahid bukanlah tugas manusia melainkan melalui ketetapan yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan juga Rasul-Nya melalui wahyu yang diterimanya.

Umar Radhiyallahu ‘anhu berkata di dalam khutbahnya:

“Kamu mengatakan di dalam peperangan kamu bahawa si fulan dan si fulan mati syahid. Namun, boleh jadi dia (mati) kerana terjatuh dari kenderaannya. Maka janganlah kamu berkata begitu tetapi katakanlah seperti yang dikatakan oleh Rasulullah, iaitu: “Sesiapa yang mati di jalan Allah atau terbunuh maka dia mati Syahid...”.” (Hadis Riwayat Ahmad. Hasan menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, jil. 9, m/s. 48)

Rabu, 13 Mei 2009

151 - Walimatul Urus: Di Antara Sunnah Dan Yang Ditokok Tambah

Walimatul Urus
Di Antara Sunnah Dan Yang Ditokok Tambah
www.ilmusunnah.com

Mewujudkan sebuah perkahwinan merupakan satu langkah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti petunjuk mereka.

Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam menggalakkan umatnya untuk berkahwin...

Ikuti artikel lengkap di website kami, http://www.ilmusunnah.com/majlis-perkahwinan-yang-sunnah-mudah-dan-barakah-2/

Dan sambungannya di, http://www.ilmusunnah.com/tinjauan-beberapa-amalan-dalam-majlis-perkahwinan/

Ahad, 26 April 2009

150 - Hukum Berubat Dengan Memakan Sesuatu Yang Diharamkan

Hukum Berubat Dengan Memakan Sesuatu Yang Diharamkan

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Di dalam keadaan darurat, jika seseorang terpaksa untuk memakan sesuatu yang diharamkan, maka baginya boleh memakan apa yang asalnya haram tersebut dengan ukuran sekadar dapat mengelakkan (menjaga dirinya) dari kematian.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah, 2: 173)

Namun, perbuatan berubat adalah sebenarnya tidak semestinya termasuk ke dalam perkara yang menjurus kepada darurat. Kerana tidak semestinya semua penyakit itu menjurus kepada kematian.

Dan menurut pendapat ulama yang benar bahawa berubat itu bukanlah suatu kemestian atau kewajiban buat orang yang ditimpa penyakit. Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah menjelaskan:

“Aku sama sekali tidak mengetahui seorang pun dari kalangan Salaf yang mewajibkan berubat.” (Majmu’ al-Fatawa, 21/564)

Di antara dalil yang menyokong pendapat tersebut adalah hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkenaan seorang wanita berkulit hitam yang datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Wanita itu berkata, “Aku ditimpa penyakit ayan (epilesi/sopak), doakanlah kesembuhan buatku.” Belia Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika engkau mahu bersabar, maka bagimu adalah Syurga, dan jika mahu, aku akan memohon kepada Allah agar menyembuhkanmu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sekiranya berubat itu merupakan suatu perkara yang diwajibkan, sudah tentu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak akan memberikan pilihan.

Dari sini, boleh difahami bahawa berserah diri dengan tidak berubat merupakan satu langkah yang lebih utama jika disertai dengan kesabaran. Ada pun jika tidak disertai dengan kesabaran dan terasa berat (sangat terbeban) dengan kesakitan tersebut, maka pada masa itu, berubat adalah lebih diutamakan. Dari sini juga menunjukkan bahawa keutamaan untuk berserah diri (meninggalkan berubat) telah hilang dengan tidak adanya kesabaran.

Dari keadaan ini, maka dapat diambil kesimpulan bahawa berubat dengan sesuatu yang diharamkan itu adalah tidak dibolehkan apatah lagi menyatakan ia sebagai darurat.

Diriwayatkan dari Thariq bin Suwaid al-Ju’fi radhiyallahu ‘anhu bahawa dia bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang khamar. Lalu beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallah melarang atau membenci membuatnya, kemudiannya dia bertanya lagi,

“Aku membuatnya hanya sebagai ubat.” Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:

“Sesungguhnya khamar bukanlah ubat, tetapi ia adalah penyakit.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini juga merupakan dalil yang menunjukkan bahawa tidak bolehnya berubat dengan sesuatu yang diharamkan seperti khamar (arak) atau seumpamanya.

Juga diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang membuat ramuan ubat-ubatan yang buruk (dari sumber yang haram dan najis).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Begitu juga dengan hadis berikutnya ini, di mana Rasulullah menjelaskan bahawa setiap penyakit ada ubatnya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit berserta ubatnya, dan menjadikan ubat bagi setiap penyakit, maka berubatah kamu dan jangan berubat dengan sesuatu yang haram.” (Hadis Riwayat Abu Daud dari Abu Darda’. Lihat ash-Shahihah no. 1633 (Hasan lighairihi))

Kesimpulan:

Haram berubat dengan sesuatu yang haram.

Jumaat, 24 April 2009

149 - Hukum Sengaja Meninggalkan Solat Sehingga Tamat Waktunya Tanpa Sebarang Uzur Syar’i

Hukum Sengaja Meninggalkan Solat Sehingga Tamat Waktunya Tanpa Sebarang Uzur Syar’i

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

Pendapat pertama:

Dia berdosa besar dan perlu segera (Wajib) mengqadha’ solat yang ditinggalkannya.

Pendapat kedua:

Tidak wajib qadha’, di mana ia tidak boleh (tidak sah) diqadha'. Dia berdosa besar, dan wajib bertaubat.

Penjelasan:

Pendapat yang paling kuat di antara dua pendapat ulama adalah dia tidak wajib mengqadha’nya, dan tidak sah baginya sekiranya dia mengqadha’nya. Kerana solat adalah ibadah yang telah ditentunya waktunya masing-masing, di mana ada awal masuknya waktu dan tamatnya waktu. Maka, adalah tidak sah melaksanakan solat fardhu di luar daripada waktu yang telah disyari’atkan sama ada sebelum masuk waktu, atau pun setelah tamat waktunya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Sesungguhnya solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nisaa’, 4: 103)

Melalui ayat ini, ia jelas menunjukkan kewajiban solat, dan bahawa solat itu memiliki waktu tertentu di mana dengannya ia tidak sah melainkan di dalam waktunya yang telah ditetapkan, tidak kira sama ada anak kecil, orang tua, ulama atau pun orang yang jahil, di mana pun mereka berada pada wktu tersebut. (Rujuk: Tafsir as-Sa’di)

Begitulah sebagaimana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak memberi keringanan untuk mengqadha’nya (dilaksanakan solat di luar waktunya), melainkan bagi orang yang lupa atau tertidur.

“Sesiapa yang lupa atau tertidur (sehingga tertinggal) solat, maka hendaklah dia segera melakukan solat tersebut di saat dia mengingatnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 607)

Demikianlah pendapat yang tepat dalam persoalan ini, dan pendapat inilah juga yang dipegang oleh majoriti Sahabat radhiyallahu ‘anhum, sekelompok ulama Salaf (dari generasi awal), Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyah, dan inilah juga yang dipegang oleh sekumpulan ulama zaman ini seperti Syaikh Soleh al-Utsaimin dan Syaikh al-Albani rahimahullah.

Perlu difahami dengan jelas bahawa dengan tidak adanya qadha’ bagi solat yang ditinggalkan dengan sengaja bererti kita boleh bebas meninggalkan solat. Dan sekali-kali ia bukanlah sebuah keringanan dari Allah. Tetapi sebenarnya perbuatan tersebut (meninggalkan solat dengan sengaja) adalah sangat besar dosanya, lebih besar dari hanya sekadar diqadha’, walau pun dia menggantinya dengan melakukan sebanyak seribu kali solat, maka ia tidak akan tertebus melainkan dengan segera bertaubat memperbanyakkan permohonan ampun kepada Allah Yang Maha Kuasa dan Pengampun.

Begitu juga kepada mereka yang telah berkali-kali meninggalkan solat fardhu dengan sengaja tanpa sebarang uzur yang dibenarkan, maka hendaklah dia segera bertaubat dan berusaha dengan sedaya-upayanya untuk beristiqomah melaksanakan solat di dalam waktunya dan tidak lagi meninggalkan solat tanpa sebarang uzur syar’i.

Khamis, 5 Mac 2009

148 - Kriteria Asas Halal Haram Makanan

Kriteria Asas Halal Haram Makanan



Pengertian Makanan

Al-ath’imah adalah bentuk jama’ dan kata tha’aam, maknanya adalah sesuatu yang dimakan dan dicerna, sama ada ia berupa makanan asas atau yang selainnya.

Secara dasarnya semua makanan adalah halal, melainkan yang telah dijelaskan melalui nash/dalil bahawa makanan tersebut haram. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi makanan yang halal lagi baik...” (Surah al-Baqarah, 2: 168)

Ikuti perbahasan/artikel lengkap di website kami, http://www.ilmusunnah.com/?p=14590