Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Ahad, 7 Oktober 2007

048 - Seks Di Siang Ramadhan

Seks Di Siang Ramadhan

(Baca Di Malam Ramadhan)

Oleh: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

Best View:
http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Saya yakin hampir semua muslim mengetahui hukum seks di siang Ramadhan. Ia dilarang, sebagaimana dilarang juga makan dan minum berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


فَالآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمْ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنْ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنْ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib). [al-Baqarah 2:187]

Saya juga yakin hampir semua muslim mengetahui hukuman kafarat ke atas orang yang melakukan seks di siang Ramadhan, iaitu sama ada membebaskan seorang hamba, puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan enam puluh orang miskin. Hukuman kafarat ini berdasarkan hadis berikut:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: هَلَكْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ! قَالَ: وَمَا أَهْلَكَكَ؟ قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ. قَالَ: هَلْ تَجِدُ مَا تُعْتِقُ رَقَبَةً؟ قَالَ :لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَجِدُ مَا تُطْعِمُ سِتِّينَ مِسْكِينًا؟ قَالَ: لاَ.

قَالَ: ثُمَّ جَلَسَ فَأُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهِ تَمْرٌ فَقَالَ: تَصَدَّقْ بِهَذَا. قَالَ: أَفْقَرَ مِنَّا فَمَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا أَهْلُ بَيْتٍ أَحْوَجُ إِلَيْهِ مِنَّا. فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ ثُمَّ قَالَ: اذْهَبْ فَأَطْعِمْهُ أَهْلَكَ.

Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Celakalah saya wahai Rasulullah!” Rasulullah bertanya: “Apa yang mencelakakan kamu?” Dia menjawab: “Saya telah melakukan hubungan seks dengan isteri saya pada (siang hari) bulan Ramadhan.” Lalu Rasulullah bertanya: “Bolehkah kamu mencari seorang hamba untuk dibebaskan?” “Tidak!” “Bolehkah kamu berpuasa dua bulan berturut-turut?” “Tidak!” “Bolehkah kamu memberi makan kepada enam puluh orang miskin?” “Tidak!”

Kemudian dia duduk. Tatkala itu dibawakan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sebakul kurma. Rasulullah berkata kepadanya: “Sedekahkanlah (kurma) ini”. Dia menjawab: “Adakah yang lebih miskin dari kami? Tidak ada yang lebih miskin di antara dua lembah Madinah ini melainkan keluarga saya.” Mendengar yang sedemikian Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ketawa sehingga nampak gigi baginda. Lalu baginda bersabda: “Pergilah dan berilah makan keluarga kamu (dengan kurma ini).” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1111-1 (Kitab al-Siyam, Bab larangan keras melakukan hubungan seks…)].

Akan tetapi hukum berkenaan seks di siang Ramadhan tidak semudah yang dijangkakan. Jika kita menelaah kitab-kitab fiqh keempat-empat mazhab dahulu dan kini, akan ditemui perbincangan yang terperinci dalam persoalan ini. Sekadar mampu saya telah mengkaji kitab-kitab tersebut dan hasil kajian saya permudahkan dalam risalah yang ringkas ini.

Maksud saya sebagai “permudahkan” ialah memudahkan cara untuk menyampaikan perbezaan pendapat yang berlaku di antara dan di dalam mazhab. Ini kerana jika kita mengkaji khazanah keempat-empat mazhab, akan ditemui mereka saling berbeza pendapat dalam sesuatu persoalan fiqh. Perbezaan ini berlaku bukan sahaja di antara mazhab tetapi dalam satu mazhab yang sama. Semua ini adalah normal kerana apabila kita berinteraksi dengan sesuatu subjek berdasarkan ilmu, pasti akan ada perbezaan pendapat.

Katakanlah terdapat satu persoalan hukum yang memiliki perbezaan pendapat sama ada ia makruh atau haram. Saya memiliki dua cara untuk menyampaikan perbezaan tersebut:

Menyebut nama mazhab-mazhab dan perbezaan pendapat mereka. Umpama:
Dalam persoalan ini, terdapat dua pendapat dari Ahmad, yang pertama ialah makruh manakala yang kedua ialah haram. Ada pun di sisi Mazhab Hanafi, para tokoh mereka yang awal berpendapat ia adalah makruh sementara para tokoh terkemudian mendiamkannya. Bagi Mazhab al-Syaf‘e, pendapat yang ashah ialah haram. Demikian juga di sisi Malikiyyah, ia adalah haram. Namun terdapat sebuah riwayat dari Malik yang menyatakan beliau hanya memakruhkannya.

Tidak menyebut nama mazhab, sebaliknya menyebut perbezaan mereka, sebab perbezaan dan pendapat yang paling kuat (rajih) dalam perbezaan tersebut. Umpama:

Dalam persoalan ini, para ilmuan terbahagi kepada dua pendapat. Yang pertama berpendapat ia adalah makruh manakala yang kedua berpendapat ia adalah haram. Punca perselisihan ialah kerana hadis dalam persoalan ini boleh difahami melalui dua cara. Antara dua pendapat ini, yang rajih ialah makruh kerana…… .

Cara mana yang lebih mudah dan mesra kepada para pembaca awam? Tentunya cara kedua. Ada pun para pembaca yang inginkan pandangan setiap mazhab secara berasingan, dia boleh merujuk kepada kitab-kitab mazhab tersebut dalam bab yang dibincangkan. Lebih lanjut berkenaan cara berinteraksi dengan mazab-mazhab fiqh yang empat ini, sila rujuk buku saya Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

Kembali kepada persoalan seks di siang Ramadhan, secara umumnya terdapat dua perkara yang perlu diperincikan. Pertama berkenaan aktiviti seks yang dilakukan manakala kedua berkenaan hukuman kafarat yang dikenakan.

Bahagian A: Aktiviti Seks Yang Mewajibkan Kafarat

Terdapat beberapa pecahan tentang aktiviti seks dan kaitannya dengan hukuman kafarat. Ia adalah seperti berikut:

A-1: Seks Yang Disepakati Hukuman Kafarat

Sesiapa yang melakukan hubungan seks dalam bentuk lelaki memasukkan zakar ke dalam faraj wanita, maka puasanya batal dan dia dikenakan hukuman kafarat tanpa mengira sama ada keluar air mani atau tidak. Sejauh yang saya kaji, tidak ada perselisihan di kalangan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam hukum ini.

A-2 Seks Yang Diperselisihkan Sama Ada Dikenakan Kafarat Atau Tidak

Para ilmuan dari keempat-empat mazhab: al-Syafi’e, Maliki, Hanafi dan Hanbali memiliki perbincangan yang meluas berkenaan hukuman kafarat bagi aktiviti seks selain A-1. Sebelum menyenaraikan aktiviti seks yang dimaksudkan, ingin saya gariskan bahawa sebahagian daripada aktiviti seks tersebut ada yang haram hukumnya. Hanya dalam risalah ini, saya tidak membincang halal atau haram aktiviti tersebut, sebaliknya memberi tumpuan kepada wajib atau tidak hukuman kafarat bagi sesiapa yang melakukannya. Hukum halal atau haram boleh dirujuk kepada sumber-sumber yang membicara Fiqh al-Mubasyarah secara khusus.

Aktiviti seks selain A-1 yang dimaksudkan adalah:

1 - Seks antara lelaki dan wanita tanpa memasukkan zakar ke dalam faraj.

2 - Seks antara jantina yang sama, iaitu lelaki dengan lelaki (gay) atau perempuan dengan perempuan (lesbian). Tidak dibezakan sama ada jenis kemaluan adalah semula jadi atau melalui pembedahan.

3 - Seks bersendirian seperti onani (masturbation), menonton tayangan lucah, membaca majalah lucah atau menggunakan alat-alat mainan tertentu.

4 - Seks dengan selain manusia, seperti seks dengan mayat (manusia yang telah meninggal dunia), jin, haiwan dan makhluk asing.

Bagi aktiviti-aktiviti seks di atas, para ilmuan bersepakat bahawa ia membatalkan puasa. Akan tetapi mereka terbahagi kepada dua pendapat berkenaan hukuman kafarat:

Pendapat Pertama menyatakan hukuman kafarat tidak dikenakan kerana aktiviti-aktiviti seks di atas tidak melibatkan zakar yang dimasukkan ke dalam faraj wanita.

Pendapat Kedua menyatakan hukuman kafarat wajib dikenakan kerana sekali pun aktiviti-aktiviti di atas tidak melibatkan zakar yang dimasukkan ke dalam faraj, ia tetap merupakan suatu aktiviti seks yang memberikan kepuasan seksual kepada pelakunya.

Di antara dua pendapat di atas, yang rajih (kuat) ialah pendapat kedua. Ini kerana aktiviti seks wujud dalam pelbagai bentuk dan cara, dimana kesemuanya memberi kepuasan seksual kepada pelakunya. Padahal ibadah puasa ialah menahan diri dari makan, minum dan seks dari waktu fajar sehingga maghrib. Ia bukan makanan dan minuman tertentu sahaja tetapi meliputi semua jenis makanan dan minuman. Demikian juga bagi seks, ia bukan aktiviti seks yang melibatkan zakar yang dimasukkan ke dalam faraj sahaja, tetapi melibatkan apa jua aktiviti yang masuk dalam kategori “seks”.

A-3 Beberapa Pengecualian Dan Kelonggaran

Terdapat beberapa aktiviti atau kes yang dikecualikan atau diberi kelonggaran, iaitu:

Cium. Dibolehkan bagi orang yang dapat mengawal nafsunya untuk berciuman dengan pasangannya. Berciuman tidak membatalkan puasa dan tidak mewajibkan kafarat. Dalilnya adalah keterangan A’isyah radhiallahu 'anha:


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ أَمْلَكُكُمْ لإِرْبِهِ

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mencium (isterinya) padahal baginda sedang berpuasa dan pernah bermesra-mesraan (dengan isterinya) padahal baginda berpuasa. Akan tetapi baginda adalah orang yang paling mampu mengendali nafsunya di antara kalian. [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1106 (Kitab al-Siyam, Bab mencium tanpa syahwat dibolehkan bagi orang berpuasa)]

Justeru dibolehkan bagi seorang suami mencium isterinya sebelum pergi kerja atau isteri memeluk suaminya sekembalinya dari kerja. Aktiviti seperti ini dibolehkan dengan syarat ia dikawal dari berlarutan.

Bermesra-mesraan. Dibolehkan bagi orang tua untuk bermesra-mesraan dengan pasangannya. Bagi orang yang tidak dapat mengawal nafsunya, seperti orang muda, ditegah baginya dari bermesra-mesraan di siang Ramadhan. Bermesra-mesraan tidak membatalkan puasa dan tidak mewajibkan kafarat. Abu Hurairah radhiallahu 'anh menerangkan:


أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْمُبَاشَرَةِ لِلصَّائِمِ فَرَخَّصَ لَهُ. وَأَتَاهُ آخَرُ فَسَأَلَهُ فَنَهَاهُ فَإِذَا الَّذِي رَخَّصَ لَهُ شَيْخٌ وَالَّذِي نَهَاهُ شَابٌّ.

Seorang lelaki bertanya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkenaan bermesra-mesraan (dengan isteri pada siang) Ramadhan dan baginda memberi keringanan baginya (boleh melakukannya). (Kemudian) datang pula seorang lelaki lain yang bertanya soalan yang sama namun baginda melarangnya. Maka yang diberi keringanan ialah orang tua manakala yang dilarang ialah orang muda. [Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2387 (Kitab al-Shaum, Bab dimakruhkan mencium)]

Keluar air mazi. Air mazi ialah cecair pelincir yang keluar di zakar dan faraj. Ia lazimnya keluar sebelum keluarnya air mani, bertujuan memperlincirkan pergerakan antara zakar dan faraj ketika melakukan hubungan seks. Keluarnya air mazi, sama ada sengaja atau tidak sengaja, tidak membatalkan puasa dan tidak mewajibkan kafarat kerana ia bukanlah hubungan seks tetapi pengantar kepada hubungan seks. Air mazi juga tidak mewajibkan Mandi Wajib, sebaliknya cukup dengan membasuh kemaluan dan mengambil wudhu’. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْيَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ.

Apabila kamu melihat air mazi, maka basuhlah kemaluan kamu dan berwudhu’lah sebagaimana kamu berwudhu’ untuk solat. [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 206 (Kitab al-Thaharah, Bab berkenaan air mazi)]

Air mani yang meleleh keluar. Wujud kemungkinan air mani meleleh keluar kerana penyakit tertentu atau baki daripada hubungan seks sebelum fajar. Air mani yang meleleh keluar tidak membatalkan puasa dan tidak mewajibkan kafarat. Ia juga tidak mewajibkan Mandi Wajib. Ini kerana yang diambil kira sebagai hubungan seks dan yang mewajibkan Mandi Wajib ialah air mani yang terpancut keluar (ejaculation). Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ.

Apabila kamu memancutkan air mani, maka mandilah (Mandi Wajib). [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 206 (Kitab al-Thaharah, Bab berkenaan air mazi)]

Tidak sengaja. Orang yang melakukan aktiviti seks secara tidak sengaja tidak batal puasanya dan tidak wajib kafarat atas dirinya. Ini kerana Allah al-Rahman dan al-Rahim tidak mengambil kira kesalahan yang tidak disengajakan:


وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا.

Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu untuk melakukannya. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Ahzab 33:05]

Seks tidak sengaja yang dimaksudkan ialah:

1 - Mimpi sehingga memancutkan air mani (mimpi basah).

2 - Jahil, iaitu tidak tahu tentang larangan aktiviti seks di siang Ramadhan atau tidak tahu hukum-hukum perinciannya.

3 -Tersilap, seperti orang yang tersilap dalam menentukan waktu fajar dan waktu maghrib lalu dia membuat aktiviti seks kerana disangkakan fajar belum terbit atau maghrib sudah berlalu.
Terlupa, iaitu orang yang terlupa dia sedang berpuasa atau dia berada di waktu siang Ramadhan sehingga melakukan aktiviti seks.

4 - Dipaksa. Seperti orang yang dirogol, dia dipaksa kepada aktiviti seks tanpa kerelaan dirinya. Orang yang dipaksa kepada aktiviti seks tidak terbatal puasanya dan tidak wajib kafarat ke atas dirinya. Ini kerana orang yang dipaksa tanpa kerelaan dirinya tidak menerima apa-apa hukuman. Sebagai contoh, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman mengenai orang yang dipaksa ke arah kekufuran:


مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلاَّ مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالإِيمَانِ.

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman (maka dia tidak mendapat kemurkaan dan azab dari Allah). [al-Nahl 16:106]

Maka demikianlah juga bagi orang yang dipaksa kepada aktiviti seks padahal hatinya menolak dan membantahnya, dia tidak dikira sebagai melakukan hubungan seks di siang Ramadhan. Puasanya tidak batal dan tiada kafarat yang diwajibkan ke atas dirinya.

Walaubagaimana pun, kebanyakan ahli fiqh berpendapat orang yang dipaksa kepada aktiviti seks terbatal puasanya, hanya tiada kafarat yang dikenakan ke atas dirinya. Tanpa melepaskan kehormatan saya kepada para ahli fiqh tersebut, saya tidak bersetuju dengan pendapat mereka kerana dua sebab:

Orang yang dipaksa melakukan aktiviti seks, seperti dirogol, dia pada hakikatnya tidak melakukan aktiviti seks. Ini kerana seks ialah satu aktiviti yang melibatkan kerelaan, keseronokan dan pemuasan nafsu bagi orang atau orang-orang yang melakukannya. Orang yang dipaksa kepada aktiviti seks amat jauh dari berada dalam keadaan rela, seronok dan puas. Bahkan yang dialaminya ialah di sebalik itu semua.

Memasukkan sesuatu ke dalam rongga tidak membatalkan puasa. Perkara ini telah saya kupas dengan panjang lebar dalam risalah Puasa Ramadhan: Antara Yang Ditinggalkan Dan Yang Ditokok Tambah. Oleh itu zakar yang dimasukkan secara paksa ke dalam faraj wanita yang menjadi mangsa rogol tidak membatalkan puasa wanita tersebut.

Hyperseks

Dalam kes-kes terpencil terdapat orang yang terpaksa melakukan aktiviti seks beberapa kali dalam sehari. Jika tidak, kesihatan dan kehidupannya akan terjejas secara serius. Bahkan mungkin kemudaratan akan berlaku kepada kemaluannya. Bagi orang seperti ini, dia tidak wajib berpuasa kerana termasuk dalam kategori orang yang memiliki penyakit (surah al-Baqarah 2:183-184). Pada waktu yang sama, dia perlu berjumpa dengan doktor pakar atau menerima kaunseling berkenaan masalah hyperseks yang dihadapinya. Tidak digalakkan untuk menghampiri penjual daging di pasar atau pemotong kayu api di pinggir kampung.

A-4 Sengaja Berbuka Puasa Untuk Melakukan Aktiviti Seks

Para ilmuan berbeza pendapat berkenaan orang yang ingin melakukan aktiviti seks di siang Ramadhan, lalu dia sengaja makan, minum atau musafir untuk berbuka puasa demi melakukan aktiviti seks tersebut. Terdapat dua pendapat di kalangan para ilmuan:

1 - Dia tidak diwajibkan kafarat.
2 - Dia diwajibkan kafarat.

Pendapat yang rajih (kuat) ialah dia tetap diwajibkan kafarat kerana pada hakikatnya, dia melakukan hubungan seks dalam keadaan berpuasa. Ada pun tindakannya untuk membatalkan puasa, ia hanya satu muslihat untuk menghalalkan sesuatu yang diharamkan pada siang Ramadhan. Orang yang melakukan muslihat tersebut, dia tidak lain hanya menipu dirinya sendiri:


يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلاَّ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ.

Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. [al-Baqarah 2:09]

Tindakannya tidak berbeza dengan orang yang ingin mencuri duit di dalam bank, lalu dia membuat sebuah buku akaun yang palsu. Dengan buku akaun tersebut, dia dapat mengeluarkan duit. Dari sudut teknikal, dia dikira “mengeluarkan duit (cash withdrawal). Akan tetapi dari sudut hakikat, dia sebenarnya mencuri sesuatu yang bukan miliknya. Dia adalah seorang pencuri yang mencuri secara muslihat. Jika dihadap ke mahkamah, dia akan dijatuhkan hukuman sebagai pencuri.

A-5 Tidak Berpuasa Atas Alasan Syar‘i, Kemudian Melakukan Aktiviti Seks

Katakanlah, ada pasangan suami isteri yang tidak berpuasa Ramadhan kerana alasan yang dibenarkan oleh syari‘at. Suami tidak berpuasa kerana diserang sakit kepala yang amat dahsyat (migraine) manakala isteri pula tidak berpuasa kerana berada dalam tempoh haid. Kemudian pada pukul sebelas pagi suami sembuh dari sakit kepalanya dan pada pukul satu tengah hari isteri suci dari haidnya. Apa hukumnya jika pasangan suami isteri ini ingin melakukan aktiviti seks pada pukul tiga petang?

Terdapat dua pendapat di kalangan para ilmuan terhadap persoalan ini:

1 - Mereka wajib menahan diri dari perkara-perkara yang dilarang pada siang Ramadhan sehingga masuk waktu maghrib. Ini disebut sebagai Wajib Imsak. Maka mereka tidak boleh makan, minum dan dalam persoalan ini – melakukan aktiviti seks – sehingga masuknya waktu maghrib. Jika melakukan hubungan seks, kafarat dikenakan.

2 - Mereka tidak wajib menahan diri dari perkara-perkara yang dilarang pada siang Ramadhan. Ini kerana konsep Wajib Imsak tidak wujud dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Maka mereka boleh makan, minum dan melakukan aktiviti seks di siang Ramadhan.

Pendapat yang rajih (kuat) ialah mereka boleh melakukan aktiviti seks tanpa dikenakan hukuman kafarat. Mereka telah mendapat kelonggaran (rukhsah) dari syari‘at Islam untuk tidak berpuasa pada hari tersebut kerana alasan-alasan yang tidak mereka sengajakan. Maka sekali pun alasan-alasan itu telah hilang, kelonggaran tetap diberikan kepada mereka sepanjang hari tersebut untuk makan, minum dan dalam persoalan ini, melakukan aktiviti seks.

Bahagian B: Beberapa Perincian Berkaitan Kafarat

Seseorang yang telah melakukan aktiviti seks yang mewajibkan hukuman kafarat hendaklah memerhatikan beberapa perincian berikut berkenaan hukum kafarat itu sendiri:

B-1 Hukum Kafarat Untuk Seks Berbilang Kali

Para ilmuan meneliti hukum mengenai orang yang melakukan seks berbilang kali, seperti:

1 - Orang yang melakukan aktiviti seks tiga kali di siang Ramadhan, apakah dia dikenakan hukuman kafarat sekali atau tiga kali?

2 - Orang yang memiliki tiga isteri lalu pada satu hari di siang Ramadhan dia melakukan aktiviti seks dengan setiap orang dari mereka sekali. Apakah dia dikenakan hukuman kafarat sekali atau tiga kali?

3 - Orang yang melakukan aktiviti seks sebanyak tiga kali di siang hari dalam bulan Ramadhan, setiap satunya pada hari yang berasingan. Apakah dia dikenakan hukuman kafarat sekali atau tiga kali?

Dalam penelitian tersebut, ada yang menghitung hukuman kafarat berdasarkan bilangan aktiviti seks yang dilakukan sepanjang Ramadhan. Sebahagian yang lain pula menghitung jumlah hari aktiviti seks dilakukan sepanjang Ramadhan, tanpa menghitung bilangan yang dilakukan dalam sehari.

Pendapat yang rajih (kuat) ialah hukuman kafarat dihitung mengikut jumlah hari dan bukannya bilangan seks. Ini kerana kafarat adalah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan hubungan seks ketika berpuasa di siang hari. Ia tidak berkaitan dengan bilangan aktiviti seks, tetapi merujuk kepada aktiviti seks itu sendiri dalam sehari. Maka bagi kes pertama dan kedua di atas, pelaku hanya dikenakan hukuman kafarat sekali sementara bagi kes ketiga, pelaku dikenakan hukuman kafarat tiga kali.

B-2 Cara Melaksanakan Hukuman Kafarat

Cara melaksanakan hukuman kafarat adalah seperti berikut:

1 - Membebaskan hamba. Pada masa kini tidak ada hamba yang wujud, maka ia tidak lagi dilaksanakan. Pembantu rumah warga Indonesia bukanlah hamba, maka membebaskan mereka dari kontrak kerja tidak termasuk dalam kategori ini.

2 - Berpuasa dua bulan berturut-turut. Iaitu berpuasa secara berturutan selama dua bulan mengikut kalendar Islam (hitungan berdasarkan peredaran anak bulan). Jika seseorang itu memutuskan perturutan ini dengan sengaja, maka dia wajib mengulangi kesemua dua bulan tersebut dari awal.

Jika seseorang itu memutuskan perurutan ini dengan alasan yang syar‘i, seperti musafir, sakit, kerja keras yang tidak dijangkakan (kereta rosak di kawasan pendalaman), haid, hamil, menyusu dan bertembung dengan hari yang dilarang berpuasa, maka terdapat dua pandangan di kalangan para ilmuan:

1 - Dia wajib mengulangi kesemua dua bulan tersebut dari awal.

2 - Dia menyambung jumlah hari yang berbaki setelah alasan syar‘i tersebut hilang.

Pandangan yang rajih (kuat) ialah dia hanya menyambung jumlah hari yang berbaki. Pandangan yang pertama mustahil dilaksanakan oleh sesiapa jua dan ia menyelisihi ciri-ciri istimewa syari‘at Islam yang sentiasa memahami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh manusia sebelum menggariskan sesuatu hukuman.

Memberi makan enam puluh orang miskin. Iaitu memberi makanan yang mengenyangkan kepada enam puluh orang miskin. Setakat ini saya tidak menemui hadis sahih yang menerangkan jenis makanan mahu pun kadarnya. Tidak juga ditemui ukuran bagaimana menentukan seseorang itu miskin atau tidak. Maka jenis, kadar dan ukuran ini dirujuk kepada kebiasaan (al-‘Urf) masyarakat. Di bandar-bandar besar, makanan yang mengenyangkan lazimnya bernilai RM5.00, terdiri dari nasi, satu lauk dan satu sayur. Jika di pekan-pekan kecil, makanan yang sama mungkin bernilai RM3.00.

Ada pun ukuran orang miskin, maka ia adalah berdasarkan penilaian orang yang dikenakan hukuman kafarat. Memadai penilaian secara zahir, tidak perlu meminta penyata gaji atau melakukan temuduga kepada orang miskin yang bakal diberikan makanan.

B-3 Jika Tidak Mampu Melaksanakan Kafarat

Orang yang tidak mampu melaksanakan kafarat memiliki dua pilihan:

Menangguhkannya sehingga ke satu masa dimana dia mampu melaksanakannya.
Mewakilkan (meminta) orang lain yang berkemampuan untuk memberi makanan kepada enam puluh orang miskin.

Kedua-dua pilihan ini adalah berdasarkan hadis Abu Hurairah radhiallahu 'anh yang dikemukakan di awal risalah ini. Hadis itu menerangkan berkenaan orang lelaki yang melakukan aktiviti seks di siang Ramadhan tetapi tidak mampu melaksanakan mana-mana dari tiga hukuman kafarat yang dikenakan ke atasnya. Sekali pun tidak mampu, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melepaskan dia, sebaliknya hanya mendiamkan diri. Ini menunjukkan dia tetap wajib melaksanakan kafarat.

Dia juga boleh mewakilkan, yakni meminta orang lain yang mampu untuk memberi makanan kepada enam puluh orang miskin. Ini berdasarkan tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mengambil sebakul kurma yang dihadiahkan kepada baginda dan memberikannya kepada lelaki yang tidak mampu tersebut. Di sini, Rasulullah telah memberi makanan kepada enam puluh orang miskin bagi pihak lelaki yang tidak mampu tersebut.

B-4 Hukuman-Hukuman Kafarat, Adakah Ia Secara Tertib Atau Pilihan?

Ketiga-tiga hukuman kafarat, iaitu membebaskan seorang hamba, puasa dua bulan berturut-turut dan memberi makan enam puluh orang miskin, adakah ia secara tertib atau pilihan?

Di kalangan para ilmuan, ada yang berpandangan ia dilaksanakan secara tertib. Seseorang yang dikenakan hukuman kafarat hendak berpuasa dua bulan hari berturut-turut. Jika tidak mampu, barulah dia pergi ke tertib seterusnya, iaitu memberi makan enam puluh orang miskin. Mereka menggunakan hadis Abu Hurairah radhiallahu 'anh yang dikemukakan di awal risalah ini sebagai dalil, dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bertanya kepada lelaki yang melakukan aktiviti seks hukuman-hukuman kafarat secara tertib.

Sebahagian ilmuan yang lain berpandangan ia dilaksanakan secara pilihan. Seseorang yang dikenakan hukuman kafarat boleh memilih sama ada berpuasa dua bulan hari berturut-turut atau memberi makan enam puluh orang miskin. Dalil mereka ialah hadis sama yang diriwayatkan dalam lafaz yang menggunakan perkataan “atau”:


أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ رَجُلاً أَفْطَرَ فِي رَمَضَانَ أَنْ يُعْتِقَ رَقَبَةً أَوْ يَصُومَ شَهْرَيْنِ أَوْ يُطْعِمَ سِتِّينَ مِسْكِينًا

Bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan lelaki yang melakukan aktiviti seks di (siang) Ramadhan untuk memerdekakan hamba atau berpuasa dua bulan atau memberi makan enam puluh orang miskin. [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1111-3 (Kitab al-Siyam, Bab larangan keras melakukan hubungan seks…)].

Pendapat yang rajih (kuat) ialah secara tertib, kerana jika dikaji kesemua hadis-hadis dalam bab ini, akan didapati jumlah jalan periwayatan dengan lafaz tertib adalah jauh lebih banyak dari jalan periwayat dengan lafaz pilihan (“atau”).

Justeru bagi orang yang melakukan aktiviti seks yang mewajibkan hukuman kafarat, hendaklah dia mempertimbangkan hukuman berpuasa selama dua bulan hari secara berturut-turut terlebih dahulu. Antara yang turut dipertimbangkan adalah kemampuan dia untuk menahan diri dari melakukan aktiviti seks di siang hari selama dua bulan. Jika tidak mampu, barulah dia beralih kepada hukuman memberi makanan kepada enam puluh orang miskin.

B-5 Adakah Kafarat Dikenakan Atas Suami Sahaja Atau Suami Dan Isteri?

Terhadap pasangan suami isteri yang melakukan aktiviti seks di siang Ramadhan, adakah hukuman Kafarat dikenakan di atas suami sahaja atau suami dan isteri? Persoalan ini berpaksi kepada hadis Abu Hurairah radhiallahu 'anh yang dikemukakan di awal risalah ini, dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mendiamkan isteri lelaki yang datang berjumpa baginda. Sikap diam baginda menimbulkan dua pandangan di kalangan para ahli ilmu:

Isteri terkecuali kerana sikap diam baginda menunjukkan isteri tidak dikenakan hukuman kafarat. Seandainya isteri dikenakan hukuman juga, nescaya baginda akan menyebutnya kerana tidak boleh mendiamkan perkara yang memiliki hukuman ke atasnya.

Isteri termasuk sama dikenakan hukuman kafarat. Ini kerana semua hukam Islam adalah sama antara lelaki dan wanita, suami dan isteri. Tidak ada pengecualian kepada salah seorang dari mereka melainkan dengan dalil. Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mendiamkan isteri lelaki yang bertanya, ia adalah kerana isteri tersebut memang berada dibawah hukuman kafarat yang sama dengan suaminya. Seandainya isteri dikecualikan, nescaya baginda akan menyebut pengecualian tersebut.

Di antara dua pandangan di atas, saya memilih yang di pertengahan. Lelaki dikenakan hukuman kafarat bagai aktiviti seks yang dilakukan bersama isterinya. Ada pun isteri, maka dia tertakluk kepada tiga keadaan:

1 - Isteri turut rela, sama ada sebelum, semasa atau sesudah melakukan aktiviti seks dengan suaminya. Maka isteri dikenakan hukuman kafarat.

2 - Isteri tidak rela melakukan aktiviti seks dengan suaminya, dari permulaan hinggalah akhir. Maksudnya, isteri dipaksa melakukan aktiviti seks padahal dia tidak menghendakinya kerana waktu pada ketika itu ialah di siang Ramadhan. Maka isteri tidak dikenakan hukuman kafarat dan puasanya juga tidak batal.

3 - Isteri tidak rela melakukan aktiviti seks, tetapi terpaksa merelakan diri demi menjaga kemaslahatan suami. Dibimbangi jika nafsu seks suami tidak dilayan dengan baik, suami akan beralih mencari aktiviti seks yang lain, yang haram hukumnya dan besar kemudaratannya. Maka isteri tidak dikenakan hukuman kafarat tetapi puasanya batal.

Kesimpulan

Keliru kerana terlalu banyak perincian hukum dan perbezaan pandangan dalam perincian tersebut? Atau ada persoalan seks yang tidak terjawab dalam risalah ini? Ada pilihan lain yang mudah, iaitu jangan melakukan apa-apa aktiviti seks di siang Ramadhan. Bahkan jangan menghampiri apa-apa yang bersifat seksual di siang Ramadhan. Pilihan ini disebut sendiri oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala di akhir ayat 187 surah al-Baqarah. Setelah menyebut larangan daripada seks, makan dan minum dari fajar hingga maghrib, Allah berfirman:


تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلاَ تَقْرَبُوهَا.

Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. [al-Baqarah 2:187]
Ini adalah pilihan yang lebih mudah, baik dan selamat, yang juga menjadi kesimpulan kepada risalah Seks Di Siang Ramadhan.

3 ulasan:

Unknown berkata...

Bagaimana pula jika kafarah tidak diselesaikan sebelum ramadhan berikutnya ?

Tanpa Nama berkata...

tidak mengapa, masih boleh dibayar pada tahun yang berikutnya dengan kaedah yang serupa. tiada dalil yang menyatakan tentang limitation times...

nawawi bin subandi
dimensi83@hotmail.com

Tanpa Nama berkata...

bagaimana jika isteri sudah memberitahu suami tidak boleh melakukan hubungan kerana berada di bulan puasa tetapi sisuami tetap ingin melakukan hubungan seks... adakah si isteri perlu membayar kafarah jugak? mohon pencerahan..