Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, 10 Disember 2007

062 - MENCONTOHI HAJI, UMRAH, & ZIARAH YANG SUNNAH

MENCONTOHI HAJI, UMRAH, & ZIARAH YANG SUNNAH

Oleh:
Abu Farouq al-Atshary

Download KuliahKeratan 01, Keratan 02

Muqaddimah

Ibadah haji, adalah salah satu dari tuntutan agama yang terdapat dalam rukun Islam yang lima. Ia merupakan seruan Allah kepada sekalian manusia. Oleh itu, setiap insan yang beriman wajib menunaikannya setelah mempunyai kemampuan kerana ia telah diperintahkan oleh Allah Azza wa-jalla di dalam firman-Nya:


وَللهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً

“Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang mampu mengadakan perjalanan ke Baitullah”. (Ali Imran, 97)


وَأَذِّنْ فِى النَّاسِ بِالْحَجِّ

“Dan serukanlah kepada manusia untuk mengerjakan haji”. (Al-Hajj, 27)

Menurut kesepakatan para ulama Salaf as-Soleh, sebelum seseorang pergi menunaikan ibadah haji, maka wajiblah terlebih dahulu mempelajari sifat haji Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, kerana mencontohi (ittiba’) cara-cara baginda mengerjakan haji adalah wajib.

Baginda bersabda:


لِتَأْخُذُوْا عَنِّيْ مَنَاسِكَكُمْ

“Agar kamu sekalian sentiasa mengambil (mencontohi) tata cara mengerjakan ibadah haji dari aku”. (H/R Muslim)

Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah memerintahkan agar setiap amal ibadah berpandukan (mencontohi) ibadah yang telah dicontohkan oleh RasulNya. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:


لَقَدْكَانَ لَكُمْ فِى رَسُوْلِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كَانَ يَرْجُوْا اللهَ وَالْيَوْمَ اْلأَخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيْرًا

“Sesungguhnya, telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”. (Al-Ahzab, 21)

Oleh yang demikian, atas kesedaran tentang kurangnya buku-buku rujukan yang berkaitan dengan manasik haji, maka penulis berusaha menyiapkan buku ini untuk dimanfaatkan oleh setiap bakal jamaah yang akan menunaikan haji.

Penulis berdoa agar buku ini dan buku-buku yang ditulis oleh para ulama Salaf as-Soleh yang lainnya, semuanya dapat memberi sumbangan dan panduan kepada mereka yang ingin menunaikan haji dengan cara mencontohi sifat haji Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

Semoga haji, umrah dan segala amalan yang berkaitan dengan haji dan umrah yang akan para jamaah kerjakan, sentiasa mendapat keberkatan, haji yang mabrur dan di dalam rahmat serta pemeliharaan Allah Azza wa-Jalla. Amin! Wallahu a’lam.

UMRAH DAN HAJI

Haji menurut ahli ilmu ialah mengangkat suara ketika bertalbiyah. (Lihat: Hajjatun Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam kama rawahu ‘anhu Jabir radiallahu ‘anhu. Nasruddin al-Albani) Haji dan umrah pula bermaksud: Berihram, tawaf, sa’i serta tahalul. (Lihat: Subulus Salam. 2/178)

Ihram adalah niat haji atau umrah, iaitu kesimpulan (tekad) di hati untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah. (Lihat: Fatwa-Fatwa Haji & Umrah. Sheikh Soleh al-Uthaimin)

Adapun talbiyah ialah jawapan terhadap seruan Allah yang terdapat di dalam firmanNya (Lihat: Fatwa-Fatwa Haji & Umrah. Sheikh Soleh al-Uthaimin):


وَأَذِّنْ فِى النَّاسِ بَالْحَجِّ

“Dan serukanlah (panggillah) kepada manusia untuk menunaikan haji”. (Al-Haj, 27)

Menunaikan haji merupakan salah satu dari rukun Islam yang lima yang wajib ditunaikan bagi mereka yang berdaya.

Ibadah haji dan umrah adalah wajib sebagaimana yang diwajibkan oleh Umar bin al-Khattab, (Lihat: al-Muhalla 3069. Ibnu Hazm) wajib (Sebagaimana pendapat para sahabat seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Jabir bin Abdullah. Ia telah dijelaskan dalam al-Muhalla oleh Ibnu Hazm. Ibnu Khuzaimah 3066-3068. Juga oleh Imam al-Bukhari 2/198) dikerjakan sekali seumur hidup. Dan adalah sunnah mengerjakan beberapa kali haji dan umrah bagi mereka yang mampu. Adapun haji yang mabrur akan mendapat balasan syurga sebagaimana hadis:


اَلْحَجُّ الْمَبْرُوْرُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

“Haji yang mabrur tiada baginya balasan selain syurga”. (H/R Ahmad, Bukhari 2/198, Muslim 4/170 dan selain mereka)

Umrah waktunya tidak terbatas, boleh dikerjakan pada bila-bila masa, namun yang lebih afdal dan diutamakan ialah dibulan Ramadan. (اَلْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ بَيْنَهُمَا ، وَالْحَجُّ الْمَبْرُوْرٌ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ “Dari satu umrah kesatu umrah, menjadi penebus dosa antara keduanya. Sedangkan haji yang mabrur, tidak ada balasan baginya selain syurga”. H/R Bukhari 2/198. Muslim 4/170)

Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah berfirman tentang wajibnya menunaikan haji dan umrah:


وَللهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِيْنَ

“Dan mengerjakan haji itu adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” (Ali Imran. 97)


وَأَتِمُّوْ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ للهِ

“Sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah”. (Al-Baqarah, 2:196)

Dan banyak lagi dalil-dalil dari al-Quran dan hadis-hadis sahih yang menunjukkan wajibnya menunaikan haji dan umrah. Hendaklah mensegerakan menunaikan haji bagi yang telah mampu, kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:


تَعَجَّلُوْا الْحَجَّ (يَعْنِيْ الْفَرِيْضَةَ) فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لاَ يَدْرِيْ مَا يَعْرِضُ لَهُ.

“Bersegeralah kamu menunaikan haji (haji yang wajib), kerana sesungguhnya seseorang dari kamu tidak mengetahui apa yang akan menimpa kepadanya”. (H/R Ahmad dan selain darinya)


مَنْ أَرَادَ الْحَجَّ فَلْيَتَعَجَّلْ ، فَإِنَّهُ قَدْ يَمْرَضُ وَتَضِّلُّ الرَّاحِلَةُ وَتَعْرِضُ الْحَاجَةُ.

“Barangsiapa ingin menunaikan haji, maka hendaklah bersegera melakukannya, kerana boleh jadi dia ditimpa sakit, ketiadaan kenderaan atau terpaksa memenuhi keperluan yang lain”. (H/R Ahmad dan Ibnu Majah)

Malah ada ancaman dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bagi mereka yang mampu tetapi tidak mahu menunaikan haji, iaitu sabda baginda:


مَنْ مَلَكَ زَادًا وَرَاحِلَةً ، فَلَمْ يَحُجُّ ، فَلاَ عَلَيْهِ أَنْ يَمُوْتَ يَهُوْدِيًّا أَوْ نَصْرَانِيًّا.

“Barangsiapa yang telah memiliki bekalan dan kenderaan, lalu dia tidak mengerjakan haji, maka bila mati, ia mati sebagai Yahudi atau Nasrani”. (H/R Tirmizi. Sanad hadis ini telah dilemahkan oleh Syeikh Nasruddin al-Albani. Lihat: Daif Jami As-Sagir No. 5860. Dan Musykat No. 2521)

Namun kesempurnaan haji sehingga mencapai haji mabrur hanya setelah mematuhi hadis-hadis berikut:


خُذُوْا عَنِّيْ مَنَاسِكَكُمْ ، فَإِنِّيْ لاَ أَدْرِيْ لَعَلِّيْ لاَ أَحِجُّ بَعْدَ عَامِيْ هَذَا

“Ambillah contoh (cara menunaikan haji kamu) dariku, sesungguhnya aku tidak pasti apakah masih akan berhaji selepas tahun ini”.


لِتَأْخُذُوْ مَنَاسِكَكُمْ

“Hendaklah kamu mengambil cara-cara ibadah haji kamu dariku”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Iaitu kesempurnaan haji sehingga mendapat haji yang mabrur, ialah setelah berittiba’ kepada sifat haji Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang diperintahkan semua manusia agar mematuhinya. Baginda bersabda: “Supaya kamu hanya mengambil dariku tata-cara kamu mengerjakan haji”. (H/R Bukhari dan Muslim) Malah sewajarnya ditaati perintah Allah Azza wa-Jalla di dalam firmanNya:


وَمَآ اَتَاكُمُ الرَّسُوْلُ فَخُذُوْهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوْا

“Dan apa yang didatangkan oleh Rasul kepada kamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagi kamu, maka tinggalkannya”. (Al-Hasyr, 7)

NIAT HAJI & UMRAH MENURUT SYARA’

Niat ialah menyengaja (sengaja) atau berkehendak melakukan sesuatu, atau juga mengetahui maksud dan mengetahui sesuatu yang akan dikerjakan. Sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:


إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

“Bahawasanya setiap amal itu berserta dengan niat, dan setiap seseorang memperolehi dari apa yang diniatkan”. (Hadis Muttafaqun ‘alaihi)

Mereka-reka ayat niat, sehingga menjadi susunan ayat niat yang khusus, menjelaskan di dalam ayat niat tersebut maksud dan tujuan amal yang akan dilakukan, lalu melafazkan sebagaimana kebiasaannya dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin, yang disangka oleh mereka sebagai wajib sehingga ia dilafazkan dalam semua ibadah yang utama, seperti berwuduk, mandi junub, solat, puasa, zakat, haji, umrah dan lain-lainnya, sedangkan yang benar, mereka yang melafazkan, membaca atau memperdengarkan bacaan niatnya dengan jahrah (dengan bersuara), adalah amalan yang telah disepakati oleh para ulama umat Islam sebagai perbuatan yang bid’ah, kerana tidak ada dasarnya dari agama Islam yang mulia ini (perbuatan melafazkan niat (Lihat: زاد المعاد 1/15. Ibnu Qaiyim) sebelum memulakan ibadah). Malah melafazkan niat tidak ada keterangan dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. (Lihat: Fatwa-Fatwa Haji & Umrah. Bin Bazz)

Niat adalah amalan hati, tidak ada nas yang mencontohkan bahawa ia dilafazkan dengan lisan, diperdengarkan dengan suara atau dijahrahkan, sesiapa yang sengaja melafazkan dengan jahrah atau mengeraskan suara, maka ia adalah perbuatan yang bid’ah, demikianlah yang sahih mengikut kesepakatan ulama Salaf as-Soleh.

Menurut pendapat yang rajih (lebih kuat/sahih), niat haji dan umrah disengajakan (diniatkan) setelah sampai di miqat, iaitu berniat di miqat, tetapi memakai pakaian ihram dibolehkan walau bukan di miqat (belum sampai di miqat). Dan diwajibkan menyebutkan dengan lisan/perkataan manasiknya dalam talbiyah, sama ada manasik haji atau umrah, iaitu dengan ucapan:


لَبَّيْكَ اللَهُمَّ حَجًّا

Atau


لَبَّيْكَ اللَهُمَّ عُمْرَةً

Dan bukan mengucapkan/menyebutkan niatnya seperti melafazkan:


نَوَيْتُ الحَجَّ وَأَحْرَمْتُ بِهِ للهِ تَعَالَى

Atau


أَللَّهُمَّ إِنِّيْ أُرِيْدُ طَوَافَ بَيْتِكَ الْحَرَامِ سَبْعَةَ أَشْوَاطٍ طَوَافَ القُدُوْمِ للهِ تَعَالَى

Atau


أَللَّهُمَّ إِنِّيْ أُرِيْدُ أَنْ أَسْعَى بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ سَبْعَةَ أَشْوَاطٍ سَعْيَ الحَجِّ للهِ تَعَالَى

Lafaz-lafaz niat di atas dan sebagainya yang dilafazkan dengan suara keras (nyaring) adalah lafaz yang bid’ah, kerana sama sekali tidak ada dalilnya dari syara' dan tidak pernah diajarkan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam kepada umatnya, serta tidak pernah dicontohkan oleh para Salaf as-Soleh membaca dan melafazkan niat seperti yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam.

Dianjurkan bagi mereka yang khuatir tidak mampu melaksanakan manasiknya sampai selesai, terutama bagi mereka yang sakit atau takut, iaitu diketika niat ihram agar menyebut bersama niat ihramnya (talbiyahnya) sebutan berikut:


فَإِنْ حَبَسَنِيْ حَابِسٌ ، فَمَحَلِّيْ حَيْثُ حَبَسْتَنِيْ

“Jika berlaku sesuatu yang menghalangku, maka tempatku ketika aku terhalang”.

Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah memerintahkan Dhaba’ah binti Zubir bin Abdul Mutalib, agar menentukan syarat niat ini dalam hajinya ketika beliau mengadu sakit.

Ucapan di atas ini dibolehkan juga diucapkan (dilafazkan) oleh sesiapa sahaja yang menunaikan haji atau umrah, kerana pada dasarnya ia adalah berupa suruhan secara umum.

MIQAT

Berihram di miqat adalah wajib bagi setiap orang yang akan menunaikan haji atau umrah. Tempat-tempat miqat telah ditentukan oleh syara sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir radiallahu ‘anhu, iaitu:

Menurut hadis riwayat Muslim bahawa penduduk Madinah miqatnya di Zul Khulaifah. Iaitu satu tempat yang jaraknya enam batu dari Madinah. Ibn Qayyim berkata: Sekitar satu batu. (Za’adul Maad. 2/178)

Yang datang dari arah Syam, miqatnya di Juhfah yang jauhnya sekitar tiga marhalah dari Mekah.

Yang datang dari Yaman miqatnya ialah di Yalamlam. (H/R Muslim, Baihaqi & Ibnu Majah)

Penduduk Mekah (Ahli Mekah) pula miqatnya ialah di Mekah.


وَقَتَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لأَهْلِ الْمَدِيْنَةِ ذَا الْحُلَيْفَةِ ، ولأَهْلِ الشَامِ الْجُحْفَةِ ، وَلأَهْلِ الْيَمَنِ يَلَمْلَمْ وَقَالَ : هُنَّ لَهُنَّ ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِ أَهْلِهِنَّ مِمَّنْ يُرِيْدُ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ وَمَنْ كَانَ دُوْنَ ذَلِكَ فَمَهِلَّهُ مِنْ حَيْثُ أَنْشَأَ حَتَّى أَهْلُ مَكَّةَ يُهِلُّوْنَ مِنْ مَكَّةَ

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menetapkan miqat bagi penduduk Madinah di Zulhulaifah, bagi penduduk Syam di al-Juhfah dan penduduk Yaman di Yalamlam. Lalu baginda bersabda: Tempat-tempat miqat ini adalah bagi penduduknya dan bagi orang yang melewatinya dari mereka yang bukan penduduknya, iaitu bagi orang yang ingin haji dan umrah. Barangsiapa tempat tinggalnya lebih dekat ke Mekah dari tempat-tempat miqat tersebut maka dia ihram dari tempat ia berada, hingga penduduk Mekah, maka mereka berihram di Mekah”. (Hadis Muttafaqun ‘alaihi)

Yang datang dari arah Iraq, maka miqatnya ialah di Dzatu Irq. Iaitu kira-kira empat puluh dua batu dari Mekah. (Lihat: Fathul Bari, Ibnu Hajar al-Asqalani)

Penduduk dari Najd, miqatnya di Qurnul Manazil.


وَيَهِلُّ أَهْلُ نَجْدِ مِنْ قَرْنٍ ، وَيُهِلُّ أَهْلَ الْيَمَنِ مِنْ يَلَمْلَمْ

“Penduduk Najd ihram dari Qurnul Manazil dan penduduk Yaman ihram dari Yalamlam. (H/R An-Nasaii)

Tempat-tempat miqat yang disebutkan di atas, semuanya telah ditetapkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim, Ibnu Majah, as-Syafie, Baihaqi, Ahmad at-Thayalisi. Dan lihat penjelasan Abu Nu’im dalam kitab Al-Mustakhrij yang berkaitan dengan miqat.

SOLAT DUA RAKAAT IHRAM

Solat dua rakaat ihram hukumnya sunnah menurut jumhur ulama. (Lihat: Fatwa-fatwa Haji & Umrah. Ibn Bazz) Jumhur ulama yang menilai sunnah berdasarkan hadis:


قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ : صَلِّ فَى هَذَا الْوَادِيْ الْمُبَارَكِ ، وَقُلْ عُمْرَةٌ فِى حَجَّةٍ

“Allah Azza wa-Jalla berfirman: Solatlah kamu di lembah yang diberkati ini dan katakanlah: Umrah dan haji”. (H/R Ahmad, Bukhari dan Abu Daud)

Maksud lembah yang diberkati ialah di lembah al-Atiq dalam haji wada’. Malah terdapat riwayat dari seorang sahabat bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam solat sunnah dua rakaat kemudian ihram. (Lihat: Fatwa-fatwa Haji & Umrah. Ibn Bazz) Dan bagi yang terlupa untuk solat sunnah sebelum ihram, maka tidak ada qada’ baginya.

TALBIYAH UMRAH ATAU HAJI

Maksud talbiyah ialah jawapan terhadap seruan Allah Subhanahu wa-Ta’ala sebagai makhlukNya, semata-mata untuk beribadah haji ke rumahNya (Baitullah al-Haram di Mekah), menurut lisan kekasihNya (Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam). (Lihat: Hajjatun Nabi saw. No. 15) Menurut Ibnu aimiyah, erti talbiyah ialah: “Saya menjawab seruanMu, tunduk patuh kepada hukumMu, taat terhadap perintahMu dan sentiasa berkeadaan demikian”. (Lihat: Majmu’ Fatawa. Ibn Taimiyah)

Adapun lafaz yang diucapkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, para sahabat dan para Salaf as-Soleh semasa berihram untuk menunaikan haji atau umrah ialah:


لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ حَجًّا

“Ya Allah, aku sambut seruanMu untuk haji!

Dan jika ibadah umrah baginda melafazkan:


لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ عُمْرَةً

“Ya Allah, aku sambut seruan Mu untuk umrah!”.

Jabir radiallahu ‘anhu berkata:

“Kami mengucapkannya dengan lantang”. (H/R Muslim)

Menurut Ibnu Taimiyah: Membisu dalam mengerjakan Ibadah haji atau umrah, tidak mahu berkata sehingga tidak melafazkan talbiyah, maka ia adalah suatu perbuatan yang bid’ah. (Lihat: Al-Iqtida’ hlm. 60. Ibnu Taimiyah)

Jabir berkata lagi:

“Dan tidaklah kami niatkan (talbiyah haji) kecuali untuk haji”. (H/R Bukhari, Muslim dan Nasaii)

Ini bermakna, talbiyah adalah wajib, kerana sebagai niat yang wajib dilafazkan. Setelah melafazkan lafaz di atas, baginda meneruskan dengan bertalbiyah dengan suara nyaring (Jabir berkata: “Kami melaungkan (talbiyah) dengan suara lantang”. H/R Muslim) yang juga hukumnya wajib, iaitu:


لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ ، إِنَّ الْحَمْدَ ، وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكُ ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ

“Aku sambut (tunaikan) seruanMu ya Allah! Aku sambut seruanMu ya Allah! Aku sambut seruanMu! Tiada sekutu bagiMu, aku sambut seruanMu! Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kekuasaan adalah bagiMu. Tidak ada satupun sekutu bagiMu”. (H/R Bukhari 2/147. Dan Muslim. 4/7. Ibn Majah)

Atau boleh menambah bertalbiyah seperti berikut:


لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ ، وَالْخَيْرُ كُلُّهُ بِيَدَيْكَ ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ وَالرُّغَبَاءُ إِلَيْكَ وَالْعَمَلُ لَبَّيْكَ حَقًّا حَقًّا تَعَبُّدًا وَرِقًا

“Aku penuhi panggilanMu, aku bahagia memenuhi panggilanMu. Semua kebaikan ada ditanganMu dan keburukan tidak kembali kepadaMu. Aku penuhi panggilanMu dengan penuh sukacita dalam menghadap kepadaMu dan beramal. Aku penuhi panggilanMu, bagiMu dengan sepenuhnya dalam mengabdi dan merendahkan diri”. (Hadis Muttafaqun ‘alaihi)

Ibnu Abbas menjelaskan bahasa bertakbir dan bertahlil sebagai pengganti talbiyah adalah perbuatan bid’ah. (Lihat: Kanzul Ummal. 3/30) Bertalbiyah dengan cara serentak (dengan satu suara), juga adalah amalan bid’ah. ((1). Lihat: Al-Madkhal 2/221. Ibnu Hajj. (2). Syarah at-Tariqah al-Muhammadiyah. 1/115. H. Rajab)

Talbiyah bagi orang yang umrah selesai (dihentikan) apabila sampai di Hajar Aswad, iaitu ketika ingin memulakan tawaf. Tetapi talbiyah bagi yang mengerjakan haji selesai ketika menghampiri (ingin melimpar batu) di Jamrah ‘Aqabah.

Perlu diketahui, bahawa orang yang sedang ihram adalah bid’ah hukumnya jika melakukan solat tahiyatul masjid setelah memasuki Masjid al-Haram. Pengganti tahiyatul masjid ialah tawaf kemudian solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim. (Lihat: Al-Qawa’id an-Nuraniyah. Hlm. 101. Ibnu Taimiyah) Kerana menurut hadis bahawa:

“Kami memasuki Mekah pada waktu matahari pagi mulai naik (waktu duha), lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menuju Masjid al-Haram dan baginda menambatkan untuknya, kemudian masuk ke masjid, lalu Nabi mengusap Hajar Aswad”. (H/R Ibnu Khuzaimah, al-Hakim, Baihaqi, Ahmad dan Ibnu Jarud)

“Kemudian baginda berlari-lari kecil (berjalan cepat dengan langkah kecil) (Iaitu menurut Imam An-Nawawi) sehinggalah sampai ke Hajar Aswad tiga kali keliling. (H/R Ahmad) Dan berjalan empat kali keliling dengan tenang”. (Lihat: Syarah al-Ma’ni. At-Tahawi)

Semasa mengusap Hajar Aswad (jika tidak berdaya menciumnya) ialah dengan tangan kanan (sebelah tangan sahaja), dan disunnahkan mengusap Hajar Aswad disetiap keliling (putaran), (Lihat: Penjelasan Imam an-Nawawi dalam Syarah Muslim) atau mengisyaratkan dengan tangan atau dengan tongkat sambil membaca takbir. Termasuk amalan sunnah ialah mengusap Rukun Yamani, juga bertakbir setiap kali mengusapnya sebagaimana hadis Ibnu Umar, tetapi tidak disunnahkan mencium Rukun Yamani atau memberi isyarat dengan tangan setiap kali melintasinya jika tidak mampu mengusapnya.

Semasa tawaf baginda sentiasa berithiba’ (الإضْطِبَاعُ), iaitu memasukkan kain ihramnya di bawah ketiak kanannya dan hujungnya menutup bahu kirinya sehingga kelihatan bahu kanan baginda. Apabila selesai tawaf baginda membentangkan kain ihramnya seperti sediakala (tidak berithiba’). (Lihat penjelasan lanjut dalam al-Mughni. Ibnu Qudamah) Ibnu Abidin berkata:

“Disunnahkan berithiba’ (اَلإِضطِبَاعُ) ketika memulakan tawaf, sehinggalah selesai, tidak ada cara yang selainnya”. ((1). Lihat: Al-Hasyiah. Ibnu Abidin. (2). Lihat: Fathul Qadir 2/150. (3). Lihat: Talbisul Iblis. Hlm. 154. Ibnu Qaiyim)

HIJIR ISMAIL

Tidak dibolehkan (tidak sah) tawaf sama ada tawaf haji, umrah atau tawaf sunnah bagi yang bertawaf apabila masuk (melalui/melintasi) hijir Ismail. Sahnya tawaf hanya mengelilingi Baitullah (Kaabah), sedangkan hijir Ismail termasuk Baitullah (Kaabah) sebagaimana hadis dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha:

“Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha beliau berkata: Aku bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang hijir Ismail, maka baginda bersabda: Ia termasuk Baitullah (Kaabah)”. (H/R Muslim)

Dan diriwayat yang lain:

“Aisyah berkata: Aku bernazar untuk solat di dalam Baitullah (Kaabah), maka Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Solatlah kamu di hijir Ismail, kerana sesungguhnya hijir Ismail itu termasuk Baitullah”.

Allah Azza wa-Jalla hanya memerintahkan agar tawaf mengelilingi Baitullah (Kaabah) sebagaimana firmanNya:


وَلْيَطَّوَّفُوْا بِالْبَيْتِ الْعَتِيْقِ

“Dan hendaklah mereka melakukan tawaf sekeliling Baitullah (Kaabah)”. (Al-Haj, 29)

Tawaf ialah dengan cara mengelilingi Kaabah (Baitullah), bukan melintasinya atau masuk ke dalamnya. Oleh itu tidak terdapat dalil yang menunjukkan yang membolehkan tawaf melintasi Hijir Ismail.

LARANGAN SEMASA BERIHRAM

Ada beberapa perkara yang terlarang ketika sedang berihram:

1 - Bagi lelaki khususnya dilarang memakai sarung kaki atau sepatu, sebagaimana hadis:

“Janganlah kamu yang sedang ihram memakai sepatu, kecuali jika tidak mempunyai sandal (capal), maka potonglah sepatu kamu ke paras di bawah buku lali (mata kaki)”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Menurut Abdulaziz bin Bazz rahimahullah, hadis di atas ini mansukh kerana menurut beliau:


وَجَاءَ عَنْهُ فِى خُطْبَتِهِ فِى حَجَّةِ الْودَاعِ فِى عَرَفَات : أَنَّهُ أَمَرَ مَنْ لَمْ يَجِدْ نَعْلَيْنِ أَنْ يَلْبَسَ الْخُفَّيْنِ ، وَلَمْ يَأْمُرْ بِقَطْعِهَا

“Dan telah datang dari baginda di dalam khutbahnya, pada haji wada’ di ‘Arafah: Bahawasanya baginda memerintahkan sesiapa yang tidak memperolehi sandal, agar memakai sepatu, dan tidak diperintahkan agar memotongnya”. (Lihat: فتاوى تتعلق بأحكام الحج ةالعمرة والزيارة hlm. 30. Ibnu Bazz)

Ibnu Bazz rahimahullah menambah:


والأرجح ان شاء الله أن القطع منسوخ ، لأن النبي صلى الله عليه وسلم خطب الناس من الحاضر والبادية ممن لم يحضر خطبته فى المدينة التى أمر فيها بالقطع ، فلوكان القطع واجبا أو مشروعا لبينه للأمة ، فلما سكت عن ذلك فى عرفات دل على انه منسوخ وأن الله جل وعلا عفا وسامح العباد عن القطع لما فيه من افساد الخف ، والله أعلم

“Dan yang paling rajih (sahih) insya Allah, bahawa memotong itu adalah mansukh. Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam berkhutbah kepada manusia di Arafah, telah dihadiri khutbah baginda oleh khalayak manusia yang amat ramai, sama ada dari kota dan perkampungan, hanya mereka yang tidak menghadiri khutbah baginda dari Madinah sahaja yang masih menyuruh memotong sepatu. Jika sekiranya memotong sepatu itu wajib atau telah disyariatkan, pasti telah dijelaskan oleh Nabi kepada umatnya, maka apabila berdiam dari hal tersebut di Arafah, menunjukkan bahawa ia telah dimansukhkan. Sesungguhnya Allah Jalla wa-‘Ala telah memaafkan dan mengampunkan para hamba dari memotong sepatunya, yang mana memotongnya adalah membawa kerosakan kepada sepatu, wallahu ‘alam. (Lihat: فتاوى تتغلق بأحكام الحج والعمرة والزيارة hlm. 31. Ibn Bazz)

2 - Khusus bagi lelaki, dilarang memakai semua jenis pakaian berjahit seperti baju, menutup kepala (memakai songkok, kupiah, serban), memakai seluar.


لاَ يَلْبِسُ الْقَمِيْصَ ، وَلاَ الْعَمَائِمَ ، وَلاَ السَّرَاوِيْلَ ، وَلاَ الْبَرَانِسَ ، وَلاَ الْخِفَافَ إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ ، فَيَلْبَسُ الْخُفَّيْنِ ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ

“Tidak boleh memakai baju, serban, seluar, tudung kepala dan sepatu, kecuali orang yang tidak memperolehi capal (sandal), maka ia boleh memakai sepatu. Dan hendaklah dia memotong khuf sampai ke bawah mata kaki”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Tetapi jika tidak memperolehi kain ihram atau sandal, maka diperbolehkan memakai seluar atau sepatu iaitu berdasarkan hadis:


مَنْ لَمْ يَجِدْ إِزَارًا فَلْيَلْبَسِ السَّرَاوِيْلَ ، وَمَنْ لَمْ يَجِدْ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسِ الْخُفَّيْنِ

“Barangsiapa yang tidak memperolehi kain (kain ihram) maka hendaklah dia memakai seluar, dan sesiapa yang memperolehi sandal (capal), maka hendaklah dia memakai sepatu”. (H/R Bukhari dan Muslim)

3 - Dilarang bagi wanita menutup muka atau memakai niqab (نقاب) kecuali jika terdapat lelaki yang bukan mahramnya, maka dibolehkan untuk memakai niqab. Dan juga dilarang memakai sarung tangan kerana menurut hadis:


لاَ تَنْتَقِبُ الْمَرْأَةَ وَلاَ تَلْبِسُ الْقُفَّازَيْنِ

“Orang perempuan tidak menutup muka (memakai niqab) dan tidak boleh memakai sarung tangan”. (H/R Bukhari, Tirmizi dan An-Nasaii)

Dikecualikan jika terdapat lelaki yang bukan mahramnya, maka dibolehkan bagi para wanita menutup wajahnya, iaitu berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Daraqutni dari Ummu Salamah dan juga hadis dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha:


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَانَ الرُّكْبَانُ يَمُرُّوْنَ بِنَا وَنَحْنُ مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا حَاذَوْنَا سَدَلَتْ إِحْدَانَا جِلْبَابِهَا مِنْ رَأْسِهَا عَلَى وَجْهِهَا ، فَإِذَا جَاوَزُوْنَا كَشَفْنَاهُ

“Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Pernah rombongan lelaki melewati kami dan kami bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, maka ketika mereka berdekataan dengan kami, setiap orang (wanita) antara kami menjulurkan (menurunkan) jilbabnya (kain penutup mukanya), setelah mereka telah melewati kami, maka kami membukanya”. (H/R Abu Daud dan Ibn Majah)

4 - Dilarang memakai minyak wangi atau wangi-wangian (kecuali sebelum berihram).

5 - Dilarang mencukur, menggunting atau mencabut rambut, misai, janggut dan bulu ari-ari. (Mencukur janggut hukumnya haram sama ada semasa berihram atau di luar ihram, kerana dengan jelas Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang dari menyerupai orang-orang kafir sebagaimana hadis baginda: خَالِفُوا الْمُشْرِكِيْنَ أُخْفُوْا الشَّوَارِبَ وَأَوْفُوْا اللِّحْيَ “Bezakanlah diri kamu dengan orang-orang musyrik, tipiskanlah misai kamu dan panjangkanlah janggut kamu”. H/R Bukhari dan Muslim)

6 - Dilarang juga dari memotong kuku kecuali jika adanya sebab yang membolehkan seperti patah atau pecah.

7 - Dilarang bersetubuh, bercumbu serta berasmara.

8 - Dilarang meminang atau bernikah, sama ada untuk dirinya atau untuk mewakili orang lain.

9 - Dilarang memburu binatang buruan di darat.

10 - Dilarang rafas, berbuat fasik dan berbantah-bantahan.


فَمَنْ فَرَضَ فِيْهِنَّ الْحَجَّ فَلاَ رَفَثَ وَلاَ فُسُوْقَ وَلاَ جِدَالَ فِى الْحَجِّ

“Barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafs, berbuat fasik dan berbantah-bantahan dalam masa mengerjakan haji”. (Al-Baqarah, 2:197)

Adapun maksud rafs (رفث) ialah: Melakukan persetubuhan atau hal-hal yang mengarah kepada melakukan persetubuhan. Maksud fasik ialah: Semua perbuatan yang berupa maksiat. Dan jidal ialah: Perdebatan dalam hal-hal yang tidak mendatangkan manfaat atau kebaikan (tidak berguna), terutamanya yang boleh membawa kepada pertengkaran, pergaduhan, mengganggu ketenteraman atau yang memudaratkan orang lain. Dalam hal ini Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:


مَنْ حَجَّ فَلَمْ يَرْفُثْ ، وَلَمْ يَفْسُقْ ، رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

“Barangsiapa haji dan dia tidak rafs dan tidak berbuat fasik, maka dia kembali seperti hari ketika dia baru dilahirkan oleh ibunya”. (H/R Ahmad, Bukhari, An-Nasaii dan Ibnu Majah)

PERKARA-PERKARA YANG DIBOLEHKAN

Di dalam kitab Hajjatun Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, (Lihat: Hajjatun Nabi saw. Hlm. 26-31 Al-Albani) terdapat perkara-perkara yang dibolehkan semasa melakukan ihram sebagai keringanan, antaranya ialah:

1 - Memakai sandal, capal dan tali pinggang. (Namun dilarang bagi setiap lelaki memakai cincin emas, sama ada semasa berihram atau di luar ihram: نَهَى صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ خَاتِمِ الذَهَبِ. “Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang memakai cincin emas”. H/R Bukhari dan Muslim. Dan hadisnya lagi: يَعْمَدُ أَحَدُكُمْ إِلَى جَمْرَةٍ مِنْ نَارٍ فَيَجْعَلَهُمَا فِيْ يَدِهِ “Apakah salah seorang dari kamu sengaja mengambil bara dari neraka kemudian meletakkannya di tangannya?”. H/R Muslim)

2 - Menukar atau mengganti kain ihramnya bagi lelaki atau wanita.

Ibn Hazam membolehkan mandi atau membersihkan dirinya, termasuklah mencuci kepalanya. Begitulah menurut hadis:

“Dari Abdullah bin Hunain dari Abdullah bin Abbas dan Musawwir bin Makhramah, iaitu ketika keduanya berselisih pendapat di Abwa’: Seorang yang sedang ihram bolehkah mencuci rambutnya, maka dalam hal ini Musawwir berpegang bahawa seseorang yang sedang ihram tidak boleh membasuh rambutnya, kemudian Ibnu Abbas mengutus Abdullah bin Hunain kepada Abu Ayyub al-Ansari untuk menanyakan hal tersebut. Pada saat ditemui, Abu Ayyub sedang mandi bertutup pakaian. Abdullah bin Hunain berkata: Aku memberi salam kepadanya. Dia bertanya: Siapa itu? Aku menjawab: Aku Abdullah bin Hunain yang diutus oleh Abdullah bin Abbas untuk menanyakan kepadamu bagaimana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam mencuci rambutnya ketika beliau ihram:


فَوَضَعَ اَبُوْ اَيُّوْب رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَدَهُ عَلَى الثَّوْبِ ، فَطَأْطَأَهُ حَتَّى بَدَا لِيْ رَأْسُهُ ، ثُمَّ قَالَ لإِنْسَانٍ يَصُبُّ : أَصْبِبْ ! فَصَبَّ عَلَى رَأْسِهِ ، ثُمَّ حَرَّكَ رَأْسَهُ بِيَدِهِ ، فَأَقْبَلَ بِهِمَا وَأَدْبَرَ ثُمَّ قَالَ : هَكَذَا رَأَيْتُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْعَلُ ، وَزَادَ مُسْلِمُ : فَقَالَ الْمُسَوَّرُ لإِبْنِ عَبَّاسٍ : لاَ أُمَارِيْكَ أَبَدًا

“Abu Ayyub meletakkan tangannya di atas kain, kemudian menundukkan kepalanya hingga aku melihat kepalanya, lalu berkata kepada seseorang. Tuangkanlah air. Kemudian orang itu menuangkan air, sementara Abu Ayyub meramas-ramas rambutnya ke depan dan ke belakang dengan kedua tangannya, lalu ia berkata: Beginilah aku melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam melakukannya. (H/R Bukhari) Imam Muslim menambah, Musawwir berkata kepada Ibnu Abbas: Aku tidak akan membantahmu lagi”. (H/R Muslim)

Dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu berkata:


رَبَّمَا قَالَ لِيْ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : تَعَالَى أُبَاقِيْكَ فِى الْمَاءِ أَيُّنَا أطْوَلُ نَفْسًا ، وَنَحْنُ مُحْرِمُوْنَ

“Acap kali Umar bin al-Khattab berkata kepadaku: Kemarilah! Kita bersama-sama menyelam ke dalam air siapakah antara kita yang lebih panjang nafasnya, sedangkan ketika itu kami sedang ihram”. (H/R Al-Baihaqi. Hadis Sahih. Lihat: Hajjatun Nabi. Nasruddin Al-Albani)

Di hadis yang lain pula:


اَلْمُحْرِمُ يَدْخُلُ الْحَمَّامُ

“Orang yang sedang berihram boleh mandi”. (H/R Baihaqi. 5/63)

3 - Dibolehkan memakai tali pinggang.

4 - Dibolehkan mencium benda-benda yang wangi atau wangi-wangian walaupun dilarang memakainya. Iaitu berdasarkan hadis dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu:


وَيَشُمُّ الرَّيْحَان

“Dan mencium wangi-wangian”. (H/R Baihaqi. 5/62. Dengan sanad sahih)

5 - Bernaung di bawah bangunan, khemah, pokok atau payung. Sebagaimana yang diterima dari Ummu Husain ia berkata:


حَجَجْتُ مَع النَّبِيِّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حُجَّةُ الْوَدَاعِ ، فَرَأَيْتُ أُسَامَةَ وَبَلاَلاً رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا ، وَاَحَدُهَمَا آخِذٌ بِخَطَامِ نَاقَتِهِ ، وَاْلآخَرَ رَافِعٌ ثَوْبَهُ يَسْتَرُهُ مِنَ الْحَرِّ ، حَتَّى رَمَى جُمْرَةَ الْعَقَبَةِ

“Aku mengerjakan haji besama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pada Haji Wada’. Kemudian aku melihat Usamah dan Bilal radiallahu ‘anhuma, salah seorang dari keduanya memegang tali kekang unta, sementara yang lain mengangkat kainnya untuk melindungi dari pancaran panas. Mereka lakukan begitu sehingga melempar Jamrah Aqabah”. (H/R Muslim dan Al-Baihaqi 5/69)

6 - Dibolehkan bersikat, menggaru kepala (rambut) atau janggut walaupun ada beberapa helai yang gugur, runtuh atau tercabut, kerana bukan bertujuan untuk mencabutnya. (Dalilnya berdasarkan hadis Abu Ayyub: “Abu Ayyub meramas-ramas rambutnya (semasa membasuh rambutnya) ke hadapan dan ke belakang”. H/R Bukhari dan Muslim) Ibn Hazm berkata: Baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam hanya menegah kita mencukur rambut tanpa ada alasan ketika ihram. (Lihat: Penjelasan hal ini terdapat dalam Al-Muhalla 7/257 Oleh Ibnu Hazm) Menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyah: Tidaklah mengapa bagi orang yang sedang berihram, menggaru anggota tubuhnya, (Kepala termasuk anggota, maka tidak mengapa menggaru kepala. Ibn Taimiyah berkata: Orang yang sedang ihram dibolehkan menggaru badannya, berbekam di kepalanya atau di bahagian tubuhnya, bahkan jika diperlukan ia dibolehkan mencukur bulu kemaluannya”. Lihat: Kitab Manasik 2/338 Ibnu Taimiyah) begitu juga jika gugur beberapa helai rambutnya ketika mandi. (Lihat: Al-Majmu’ah ar-Rasail al-Kubra. 2/368) Berdasarkan hadis dari Ummu Alqamah bin Alqamah beliau berkata:


سَمِعْتُ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تُسْأَلُ عَنِ الْمُحْرِمِ : أَيَحُكُّ جَسَدَهُ ؟ فَقَالَتْ : نَعَمْ ، فَلْيَحكهُ وَلْيَشْدُدْ ، وَلَوْ رُبِطَتْ يَدَايَ ، وَلَمْ أَجِدْ إِلاَّ رِجْلِيْ لَحَكَكْتُ

“Aku mendengar ‘Aisyah isteri Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam ditanya tentang orang yang sedang berihram, apakah orang yang sedang berihram boleh menggaru badannya? Dia berkata: Walaupun (sekiranya) tangan aku diikat (aku tetap menggaru), dan aku merasa gatal pada kakiku, maka aku menggarunya”. (H/R Malik 1/358/92. Sanadnya hasan secara syawahid. Lihat: Hajjtun Nabi saw.)

7 - Dibolehkan berbekam walaupun terpaksa memotong sedikit dari rambutnya, berdasarkan hadis dari Ibnu Buhainah radiallahu ‘anhu:


اِحْتَجَمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهَوَ مُحْرِمٌ (لِحَيِّ جَمَل) مَوْضِعٌ بِطَرِيْقِ مَكَّةَ فَى وَسَطِ رَاْسِهِ

“Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah berbekam di tengah kepalanya, yang mana baginda sedang berihram di Haiy Jaml. Iaitu suatu jalan di Mekah”. (H/R Bukhari dan Muslim. (Muttafaqun ‘alaihi))

8 - Dibolehkan mencabut atau memotong kuku yang patah. Imam Malik meriwayatkan dari Muhammad bin Abdillah bin Abi Maryan, beliau bertanya kepada Sa’id bin Musayyab tentang kuku yang patah, sedangkan yang bersangkutan sedang berihram. Sa’id menjawab: Potonglah! Hal ini dibolehkan berdasarkan hadis dari Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu:


اَلْمُحْرِمُ يَدْخُلُ الْحَمَّامُ ،وَيَنْزَعُ ضَرْسَهُ ، وَيَشُمُّ الرَّيْحَان وَإِذَا انْكَسَرَ ظَفْرُهُ طَرَحَهُ

“Seseorang yang sedang berihram dibolehkan mandi, mencabut gigi, mencium wangi-wangian, memotong kuku yang patah”. (H/R Baihaqi 5/62. Dengan sanad yang sahih)

Dengan penjelasan ini, sesiapa yang menentang dan membantah setiap perkara yang telah dihalalkan oleh syara seperti mandi, mencuci kepala, menggaru badan atau kepala, bersikat rambut, mencium wangi-wangian atau memotong kuku yang rosak, maka hendaklah ia membawa hujjah atau dalil.

PERKARA-PERKARA YANG BID’AH

Terdapat beberapa perbuatan atau amalan yang wajib ditinggalkan kerana ia termasuk perkara-perkara yang menyalahi syara, batil atau bid’ah. Ia kebiasaannya dilakukan oleh orang-orang yang jahil ketika ingin menunaikan haji atau umrah (sebelum berangkat). Antara perkara-perkara bid’ah yang dimaksudkan ialah:

1 - Mengadakan majlis bacaan Berzanji (maulid), yasinan, kenduri arwah, doa selamat atau mengadakan majlis-majlis zikir tertentu. Sama ada sebelum berangkat ke Mekah atau setelah pulang dari mengerjakan haji.

2 - Berhutang, meminjam wang atau bergadai untuk menunaikan haji. Perbuatan seperti ini dilarang dalam syara.

3 - Melaungkan azan sebelum berangkat atau sebelum menaiki kenderaan atau sesudah berangkat (setelah menaiki kenderaan).

4 - Mengiringi keberangkatan jamaah haji ke lapangan terbang dengan bacaan al-Quran atau dengan zikir-zikir yang khusus.

5 - Membaca atau melafazkan niat ketika ihram (kecuali talbiyah).

6 - Mengkhususkan memakai ihram di miqat dan melarang memakainya sebelum miqat.

7 - Menerima amanah dari orang yang belum mengerjakan haji supaya diserukan namanya di Kaabah agar memperolehi seruan dari Allah.

8 - Menerima amanah agar menyampaikan salam kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan arwah para sahabat radiallahu ‘anhum.

9 - Ihram dari Tana’im atau Ja’ranah bagi yang tinggal di Mekah atau yang berada di Mekah, sedangkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berihram di Mekah bagi penghuni Mekah sebagaimana sabda baginda:

“Sehingga penghuni (penduduk) Mekah (ihramnya) dari Mekah”. (H/R Bukhari 2/142. Dan Muslim 4/5)

Mereka yang berada di Mekah, kemudian keluar dari Mekah untuk ihram haji adalah bertentangan dengan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

HUKUM TAWAF & CARA YANG SUNNAH

Tawaf ialah mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan dan dalam keadaan Kaabah berada di sebelah kirinya. Melafazkan niat dan mengangkat kedua tangan seperti dalam solat ketika ingin tawaf atau ketika mengusap Hajar Aswad adalah perbuatan bid’ah. (Lihat: Zaadul Ma’ad. 1/303. Ibnu Qaiyim) Begitu juga meletakkan telapak tangan kanan di atas punggung tangan kiri (bersedekap) ketika tawaf (Lihat: Al-Madkhal. 1/122) adalah perbuatan bid’ah yang tiada dalilnya dari syara.

Tawaf di Kaabah merupakan perintah Allah Azza wa-Jalla:


وَلْيَطَّوَّفَ بِالْبَيْتِ الْعَتِيْقِ

“Dan hendaklah mereka melakukan tawaf mengelilingi Baitul’Atiq (Kaabah)”. (Al-Haj, 29)

Tawaf dimulai dari Hajar Aswad dan berakhir di Hajar Aswad. Tidak pernah disyariatkan mandi terlebih dahulu khusus untuk mengerjakan tawaf. (Lihat: Majmu’ah ar-Rasail al-Kubra. 2/380. Ibnu Taimiyah) Begitu juga tidak pernah disyariatkan agar memakai sarung kaki ketika tawaf, sama ada kerana takut terkena tahi burung, (Lihat penjelasan lanjut dalam Majmu’ah ar-Rasail al-Kubra. 2/374. Ibnu Taimiyah) bersentuhan dengan wanita atau sebagainya.

Apabila melakukan tawaf, hendaklah berjalan dengan cepat ditiga pusingan (Lihat hadis riwayat Imam Ahmad) dan berjalan biasa dipusingan keempat sehingga keakhir pusingan. (Lihat hadis riwayat At-Tahawi dalam Syarah al-Ma’ani)

Apabila sampai ke Hajar Aswad, disunnahkan mencium (Berebut-rebut, mendesak atau berasak-asak untuk mencium Hajar Aswad adalah dilarang) (bukan mengucup), (Mengucup Hajar Aswad dengan mengeluarkan bunyi adalah bid’ah. al-Madkhal. 4/223) atau menyentuh dengan tangan (Adalah perbuatan bid’ah membaca أَللُّهُمَّ إِيْمَانًابِكَ وَتَصْدِيْقًا بِكِتَابِكَ ketika mencium, mengusap atau menyentuh Hajar Aswad. Lihat: Al-Mu’awwanah 2/124. (Penjelasan Imam Malik)) lalu menciumnya, (Lihat: Hajjatun Nabi. Muhammad Nashiruddin al-Albani) atau menyentuh dengan sesuatu (seperti dengan tongkat) atau juga memberi isyarat dengan tangan kanan jika tidak dapat menyentuh atau menciumnya. Dari Ibnu Abbas beliau berkata:

“Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tawaf di atas untanya, setiap kali sampai di Hajar Aswad, baginda memberi isyarat kepadanya dengan sesuatu yang ada pada baginda dan seterusnya bertakbir”. (H/R Bukhari)

Apabila sampai ke Rukun Yamani, disunnahkan menyentuhnya atau mengusap dengan tangan kanan. Tidak disunnahkan menciumnya dan tidak bertakbir atau memberi isyarat dengan tangan setiap kali melintasinya.

Setiap kali sampai di Hajar Aswad, hendaklah bertakbir, iaitu dengan mengucapkan:


اَللهُ اَكْبَرُ

“Allahu Akbar/Allah Maha Besar”. (H/R Bukhari)

Atau membaca:


بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَرُ

“Dengan Nama Allah dan Allah Maha Besar”. (H/R Al-Baihaqi 5/79 dari Ibnu Umar. Menurut An-Nawawi dan Ibn Hajar (dalam at-Talkhis) bahawa sanad hadis ini sahih)

Dengan ini boleh dibaca salah satu dari dua lafaz takbir di atas. Namun yang paling rajih dan jelas ialah hanya bertakbir (أللهُ أكْبَرُ) sebagaimana terdapat dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Tiada doa, zikir atau bacaan khusus, kerana semasa tawaf, sa’i atau melontar jamrah, tidak terdapat hadis yang sahih atau dalil yang mensyariatkan agar membaca bacaan (zikir-zikir atau doa-doa tertentu) khusus. Berdoa semasa tawaf adalah sunnah, bukan wajib, sama ada semasa mengerjakan tawaf wajib atau tawaf sunnah. Boleh dibaca apa sahaja doa yang diinginkan sebagaimana keumuman hadis di bawah ini:


إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَالسَّعْيَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَة وَرَمْيُ الْجِمَارِ لإِقَامَةِ ذِكْرِ اللهِ

“Sesungguhnya dijadikan tawaf di sekeliling Baitullah, sa’i di antara Safa dan Marwah dan melontar Jamrah adalan untuk mengingati (berdoa kepada) Allah”. (H/R Ahmad dan Abu Daud)

Malah dibolehkan membaca al-Quran, berdoa atau berzikir. Kecuali apabila sampai diantara Rukun Yamani dan Hajar Aswad, disunnahkan membaca doa:


رَبَّنَاآتِنَا فِىالدُّنْيَاحَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta selamatkanlah kami dari azab neraka!”. (H/R Abu Daud. No. 1892. Dinyatakan hasan oleh Al-Albani)

Hadis di atas ini adalah hadis sahih dari jalan Abdullah bin Saib.

Berithiba’ (اَلإضْطِبَاعُ) iaitu memasukkan kain ihram di bawah ketiak sebelah kanan, menutup bahu sebelah kiri dan tidak menutup bahu sebelah kanan. Cara berihram seperti ini (اَلإِضْطِبَاعُ) hanya dilakukan semasa mengerjakan tawaf, begitulah mengikut sunnah.

Berithiba’ selain ketika bertawaf (di luar tawaf) adalah menyalahi sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Ithiba’ hanya pada kaum lelaki sahaja.

SOLAT SELEPAS TAWAF

Selesai tawaf, hendaklah menuju ke Maqam Ibrahim untuk solat dua rakaat. Amalan ini berdasarkan hadis:

“Kemudian baginda sallallahu ‘alaihi wa-salllam ketika sampai di Maqam Ibrahim ‘alaihis sallam membaca ayat:


وَاتَّخِذُوْا مِنْ مَّقَامِ إِبْرَاهِيْمَ مُصَلَّى

“Dan jadikanlah maqam (tempat berdiri) Ibrahim itu sebagai tempat solat”. (Al-Baqarah 2:125)

“Kemudian (setelah itu) baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam memilih tempat sehingga Maqam Ibrahim terletak antara baginda dan Kaabah, kemudian solat dua rakaat”. (H/R Baihaqi dan Ahmad)

Dan tidak semestinya menentukan tempat solat selepas tawaf hanya dikerjakan di Maqam Ibrahim, atau berdekatan dengan Maqam Ibrahim sehingga berasak-asak. Sebenarnya boleh solat di mana-mana sahaja asalkan di Masjid al-Haram. Cara solat selepas tawaf yang dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah:

“Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Maka pada kedua rakaat tersebut beginda membaca masing-masing (dirakaat pertama selepas al-Fatihah baginda membaca) قُلْ هُوَ اللهُ اَحُدٌdan di rakaat kedua selepas al-fatihah baginda membaca قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُوْنَ”. (H/R Nasaii dan Tirmizi) Diriwayat yang lain: Baginda membaca قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُوْنَ dan kemudian membaca قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ “.

Selepas solat sunnah, baginda terus minum air zam-zam sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis sahih:

“Kemudian baginda pergi ke telaga Zamzam, meminum airnya dan menyiramkannya ke atas kepalanya”. (H/R Ahmad)

Setelah itu, baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam terus menuju ke Hajar Aswad untuk menyentuhnya (jika mampu). Sebagaimana menurut hadis:

“Kemudian baginda kembali ke Hajar Aswad dan mengusapnya”. (H/R Ahmad dari Jabir radiallahu ‘anhu)

Setelah semua itu selesai dikerjakan, baginda menuju ke Bukit Safa (melalui pintu Safa) (H/R Tirmizi) untuk mengerjakan sa’i antara Safa dan Marwah. Apabila menghampiri (mendaki Bukit Safa) baginda membaca:


إِنَّ الصًّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَآئِرِ اللهِ

“Sesungguhnya Safa dan Marwah itu dari syiar-syiar Allah”. (Al-Baqarah 2:158)

Dan seterusnya membaca:


أَبْدَأُ بِمَا بَدَأَ اللهُ بِهِ

“Aku memulakan dengan apa yang telah Alllah mulakan”. (H/R Muslim 4/40)

Atau membaca dengan memulai dengan huruf “nun/ن”, iaitu:

نَبْدَأُ بِمَا بَدَأَ اللهُ بِهِ
“Kami memulakan dengan apa yang telah Allah mulakan”. (Menurut Malik, Sufiyan dan Yahya bin Sa’id al-Qatthan, telah ijmak bahawa riwayat نَبْدَأُ adalah untuk menunjukkan kebersamaan)

Semua bacaan di atas tidak diulang-ulang kerana tiada dalil yang mengizinkannya. Apabila naik ke Bukit Safa, sambil menghadap (sehingga melihat Kaabah) ucapkanlah:


لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ أَنْجَزَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ

“Tiada tuhan yang berhak disembah, melainkan Allah dan Allah Maha Besar. Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah sahaja, tidak ada satupun sekutu bagiNya, bagiNya segala kekuasaan dan bagiNya segala puji. Di atas segala sesuatu, Dia Maha Berkuasa. Tiada tuhan yang wajib disembah melainkan Dia sahaja. Yang menunaikan janjinya, menolong hambaNya dan mengalahkan golongan orang-orang kafir”. (H/R Nasaii, al-Baihaqi, Ahmad, Ibnu Majah)

Tiada doa-doa khusus semasa melakukan sa’i antara Bukit Safa menuju ke Bukit Marwah, boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang disukai, terutama doa yang warid dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Apabila turun ke bawah dan sampai ke tempat bertanda hijau (yang telah diberi tanda oleh kerajaan Saudi Arabia), maka hendaklah berlari-lari anak sehingga keakhir tanda hijau.

Ketika sampai ke Bukit Marwah, lakukanlah sebagaimana dilakukan sewaktu di Bukit Safa. Sa’i yang dilakukan antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali dan berakhir di Bukit Marwah.

Setelah selesai sa’i, wajiblah bertahalul (التَّحَلُّل). Bagi kaum lelaki lebih afdal (utama) membotakkan kepalanya, boleh juga memendekkannya. Namun tidak ada dalil dari hadis-hadis yang sahih bagi kaum lelaki yang hanya menggunting beberapa helai sahaja dari rambutnya. Bagi kaum wanita memadai menggunting beberapa helai sahaja dari rambutnya. Setelah selesai tahalul, maka dihalalkan segala yang diharamkan semasa berihram.

MANASIK HAJI

Haji yang paling utama adalah tamattu’ walaupun ada haji ifrad dan haji qiran. Tamattu’ ialah umrah dahulu dan bertahalul, kemudian berihram di Mekah untuk haji pada tarikh 8hb Zulhijjah di hari Tarwiyah. Tahalul adalah pembatal bagi haji ifrad atau qiran.

Rasulullah salllallahu ‘alaihi wa-sallam telah memerintahkan para sahabat yang berniat ifrad dan qiran agar melakukan haji tamattu’. Haji tamattu’ ialah bertahalul antara umrah dan haji. Haji tamattu’ lebih utama jika dibandingkan dengan haji qiaran yang membawa hadyu, kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam sendiri mengucapkan: “(Alangkah baiknya) jika aku tidak membawa hadyu”. Malah baginda memerintahkan agar menukar kepada tamattu’ kerana mereka tidak membawa binatang korban. Sebagaimana sabda baginda kepada para sahabat yang tidak membawa binatang korban:


فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ لَيْسَ مَعَهُ هَدْيٌ فَلْيَحِلَّ وَلْيَجْعَلْهَا عُمْرَةً

“Maka barangsiapa antara kamu yang tidak membawa hadyu (binatang korban), maka hendaklah dia bertahalul dan jadikanlah sebagai umrah”. (H/R Muslim. 4/40)

Setelah diperintahkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam agar bertahalul, maka para sahabat mentaati perintah baginda, sebagaimana keterangan dari Jabir bin Abdullah radiallahu ‘anhu:


فَحَلَّ النَّاسُ كُلُّهُمْ وَقَصَّرُوْا إِلاَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَنْ كَانَ مَعَهُ هَدْيٌ

“Maka mereka semuanya bertahalul dan memendekkan rambut mereka, kecuali Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, serta para sahabat yang membawa hadyu (binatang korban)”. (H/R Muslim. 4/41)

BERIHRAM DIHARI TARWIYAH

Hari yang jatuh pada tarikh 8hb. Zulhijjah dinamakan hari Tarwiyah. Pada hari tersebut, diwajibkan berniat dan berihram (memakai ihram) untuk menunaikan haji dari tempat tinggalnya iaitu di Mekah dengan mengucapkan:


لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ حَجًّا

Atau


لَبَّيْكَ حَجًّا

Selepas itu terus bertalbiyah. Dan pada hari yang sama (8hb. Zulhijjah) sebelum Zohor baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam berangkat ke Mina untuk mabit (tidur dan bermalam) di Mina. Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam solat Zohor, Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh di Mina. Solat Zohor, Asar dan Isya’ diqasar tetapi tidak dijamak.

Sesiapa yang bersolat tamam (sempurna) atau qasar tetapi dijamak adalah menyalahi sunnah. Mabit di Mina adalah wajib hukumnya.

BERANGKAT UNTUK WUQUF DI ARAFAH

Selepas menunaikan solat Subuh dan setelah matahari terbit, baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam berangkat ke Arafah untuk wuquf. Dalam perjalanan ke Arafah, sebahagian sahabat bertalbiyah, sedangkan yang bertakbir, sebagaimana terdapat dalam hadis Anas radiallahu ‘anhu dalam sahih al-Bukhari dan sahih Muslim. (Lihat: Hajjatun Nabi saw. Penjelasan 58 (keterangan 52). Al-Albani)

Wuquf dimulai setelah tergelincir matahari, berakhir sehingga sebelum terbit fajar pada malam Idel Adha sebagaimana yang disepakati oleh semua ulama. (Fatwa-Fatwa Haji & Umrah. Ibn Bazz) Jika seseorang tidak memungkinkan (tidak sempat) untuk wuquf pada siang hari, kemudian dia wuquf di malam hari, maka yang demikian sudah memadai baginya walaupun dia hanya sempat wuquf hanya beberapa minit sahaja. (Lihat: Fatwa-Fatwa Haji & Umrah. Ibn Bazz) Namun yang afdal ialah wuquf disiang hari. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:


اَلْحَجُّ عَرَفَةُ ، فَمَنْ أَدْرَكَ عَرَفَةَ بِلَيْلٍ قَبْلَ أَنْ يَطْلُعَ الْفَجْرُ فَقَدْ أَدْرَكَ الْحَجَّ

“Haji itu adalah wuquf di Arafah, maka sesiapa yang mendapati Arafah pada malam hari sebelum terbit fajar, sesungguhnya dia telah mendaptkan haji”. (H/R Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, An-Nasaii dan Ibnu Majah)

Seluruh padang Arafah adalah tempat berwuquf, sebagaimana sabada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Aku wuquf di sini (Arafah) dan seluruh Arafah adalah tempat wuquf”. (H/R Abu Daud, Nasaii, Ibnu Majah, Ahmad, Ad-Darimi dan Ibnu Jarud)

Tidak boleh meninggalkan Arafah sebelum matahari terbenam bagi orang yang melakukan wuquf pada siang hari. Jika ia melakukan demikian (meninggalkan Arafah sebelum matahari terbenam pent.), maka menurut jumhur ulama, dia wajib menyembelih korban kerana meninggalkan kewajiban haji, iaitu wuquf di Arafah antrara malam dan siang bagi orang yang wuquf disiang hari. (Lihat: Fatwa-Fatwa Haji & Umrah. Ibn Bazz.)

Hendaklah mengerjakan solat Zohor dan solat Asar dengan cara qasar serta jamak taqdim di Arafah. Dan antara perkara-perkara yang dilakukan di Arafah:

1 - Mendengarkan khutbah Arafah.

2 - Meneruskan talbiyah.

3 - Memperbanyakkan doa sambil menghadap Kiblat dan mengangkat tangan. Kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersungguh-sungguh dalam berdoa dan berzikir pada hari Arafah sehingga matahari terbenam, iaitu setelah solat Zohor dan Asar. (Lihat: Fatawa-Fatawa Haji & Umrah. Ibn Bazz)

4 - Berzikir atau juga membaca al-Quran.

Terdapat jamaah yang berdoa dengan mengangkat suara nyaring, beramai-ramai dan menggunakan pembesar suara, perbuatan seperti ini bertentangan dengan syara, yang mana Allah Azza wa-Jalla telah melarang perbuatan seperti itu di dalam berfirmanNya:


ادْعُوْا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِيْنَ

“Berdoalah kepada Rabbmu dengan merendahkan diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampui batas”. (Al-A’raf, 55)


وَاذْكُرْ رَّبَّكَ فِى نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيْفَةً وَدُوْنَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ

“Dan sebutlah (nama) Rabbmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut dan tidak mengeraskan suara”. (Al-A’raf, 205)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam juga bersabda:


قَالَ أَبُوْ مُوْسَى اْلأَشْعَرِيُّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : رَفَعَ النَّاسُ أَصْوَاتَهُمْ بِالدُّعَاءِ فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَيُّهَا النَّاسُ إِرْبَعُوْا عَلَى أَنْفُسَكُمْ ، فَإِنَّكُمْ لاَ تَدْعُوْنَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًا إِنَّ الَّذِيْ تَدْعُوْنَهُ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ أَقْرَبُ إِلَى أَحَدِكُمْ مِنْ عُنُقِ رَاحِلَتِهِ

“Berkata Abu Musa al-Asy’ari radiallahu ‘anhu: Manusia mengeraskan suara mereka semasa berdoa, maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Wahai manusia, perlahankanlah suara kamu, sesungguhnya kamu tidak berdoa kepada yang tuli dan ghaib! Sesungguhnya zat yang kamu berdoa kepadaNya adalah Maha Mendengar lagi Mahadekat lebih dekat kepada seseorang antara kamu dari leher untanya (tunggangannya)”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menjelaskan tentang kemuliaan dan kelebihan hari Arafah:


مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيْهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ ، وَإِنَّهُ لَيَدْنُوْ ثُمَّ يُبَاهِيْ بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُوْلُ : مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ

“Tidak ada satu haripun, dimana hamba Allah lebih ramai dibebaskan dari api neraka daripada hari Arafah. Bahawa Allah Subhanahu wa-Ta’ala dekat kepada mereka, lalu berbangga dengan mereka Malaikat-malaikatNya dan berkata: Alangkah mulianya keinginan mereka”. (H/R Muslim)


أُنْظُرُوْا إِلَى عِبَادِيْ أَتُوْنِيْ شُعْتًا غُبْرًا. يَرْجُوْنَ رَحْمَتِيْ أُشْهِدُكُمْ أَنِّيْ قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ

“(Allah berfirman kepada para Malaikat): Lihatlah hamba-hambaKu! Mereka datang kepadaKu dengan rambut kusut dan berdebu, kerana mengharapkan rahmatKu. Maka Aku bersaksi kepadamu, bahawa Aku telah mengampunkan mereka”. (H/R Ahmad dan At-Tabrani)

Malangnya, ada dari kalangan jamaah yang melakukan perkara-perkara yang mungkar, iaitu mereka pergi mencari-cari barakah dengan cara yang bid’ah dan syirik semasa wuquf di Arafah, antaranya pergi ke Jabal (gunung) Rahmah. Ingatlah! Sesiapa yang pergi ke Jabal Rahmah sama ada kerana mengutamakan wuquf, berdoa di Jabal Rahmah atau untuk mendapatkan barakah, maka perbuatan tersebut adalah perbuatan bid’ah yang sesat, sewajarnya dijauhi dan ditinggalkan oleh mereka yang ingin memperolehi haji yang mabrur. Setelah matahari terbenam, berangkat dari Arafah menuju ke Muzdalifah.

Begitu juga, terdapat para jamaah haji yang naik dan mencari-cari masjid di Jabal Rahmah untuk solat dua rakaat selain untuk berdoa dan mencari barakah, perbuatan seperti itu adalah bid’ah yang boleh membawa kepada kesyirikan. Perbuatan yang bid’ah ini dijelaskan oleh Ibn Bazz rahimahullah:


توجه الناس الى هذه المساجد ، وتمسحهم بجدرانها ومهاربها والتبرك بها بدعة ، ونوع من أنواع الشرك شبيه بعمل الكفار فى الجاهلية الأولى بأصنامهم

“Pemergian manusia kepada masjid-masjid (di Jabal Rahmah), menyapu dindingnya dan mihrabnya (dengan tangannya) untuk mendapat barakah adalah suatu yang bid’ah, termasuk jenis dari jenis-jenis syirik menyerupai amalan orang-orang kafir dimasa jahiliyah dahulu kala terhadap berhala-berhala mereka”. (Lihat: Fatawa Tata’allaq Biahkamil Hajj wal-Umrah wa-Ziarah. Syeikh Abdulaziz bin Bazz)

Diperintah agar bertenang (tidak terburu-buru ketika berangkat menuju ke Muzdalifah sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:


أَيُّهَا النَّاسُ ‍! اَلسَّكِيْنَةُ ، اَلسَّكِيْنَةُ

“Wahai manusia, tenanglah kamu, tenanglah kamu!”. (H/R Nasaii)

Hadis di atas memerintahkan agar jamaah haji bertenang ketika berangkat ke Muzdalifah, kerana mengikut sunnah tidak boleh terburu-buru, iaitu tidak berasak-asak (berdesak-desak). (Begitulah penjelasan Imam an-Nawawi dalam Syarah Muslim) Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berangkat ke Muzdalifah setelah terbenamnya matahari dan tidak berangkat sebelum waktu Maghrib (baginda tidak berangkat selepas Asar) sebagaimana yang banyak dilakukan oleh jamaah sekarang. Dalam perjalanan ke Muzdalifah, baginda terus bertalbiyah tanpa putus. (Lihat: Sahih al-Bukhari dan Muslim)

BERMALAM (MABIT) DI MUZDALIFAH

Mabit (bermalam) di Muzdalifah adalah wajib, kecuali bagi orang-orang yang lemah (Lihat: Fatwa-Fatwa Haji & Umrah. Ibn Bazz) seperti wanita, orang sakit atau orang yang uzur. Boleh mabit (bermalam) di mana-mana sahaja di seluruh kawasan Muzdalifah, kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:


وَقَفْتُ هَاهُنَا ، وَجَمْعٌ كُلُّهَا مَوْقَفٌ

“Dan saya wuquf (berhenti/bermalam) di sini (Muzdalifah), dan semua kawasan Muzdalifah adalah tempat wuquf (bermalam/berhenti). (H/R Abu Daud, An-Nasaii, Ad-Darimi dan selain mereka)

Adapun orang yang meninggalkan mabit di Muzdalifah tanpa alasan syarie, maka wajib baginya membayar dam (menyembelih binatang korban). Dari Ibnu Abbas berkata:


مَنْ تَرَكَ نُسُكًا أَوْ نَسِيَهُ فَلْيُهْرِقْ دَمًا

“Barangsiapa meninggalkan suatu ibadah (dalam ibadah haji) atau terlupa salah satu darinya, maka dia hendaklah menyembelih kurban”. (H/R Malik)

Setelah tiba di Muzdalifah baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan para sahabat menunaikan solat Maghrib yang dijamak dengan solat Isya’, dilakukan dengan cara jamak takhir, dengan cara sekali azan dan dua kali iqamah. (Lihat: Penjelasan lanjut dalam Nash Ar-Rayah. 3/69-70)

Kemudian baginda tidur (mabit) tanpa menunaikan solat qiyamullail (solat malam) sampailah kewaktu Subuh. Baginda solat Subuh di Muzdalifah dan bersabda:


مَنْ شَهِدَ صَلاَتَنَا هَذِهِ ، وَوَقَفَ مَعَنَا حَتَّى نَدْفَعَ ، وَقَدْ وَقَفَ قَبْلَ ذَلِكَ بِعَرَفَةَ لَيْلاً أَوْنَهَارًا ، فَقَدْ تَمَّ حَجَّهُ وَقَضَى تَفَثَهُ

“Barangsiapa menyaksikan solat kami ini, wuquf (berhenti di Muzdalifah) bersama kami sehingga kami berangkat (ke Mina) dan dia telah wuquf sebelum ini di Arafah pada malam atau siangnya, maka telah sempurna hajinya dan menghilangkan kotorannya”. (H/R Tirmizi, Ibnu Majah dan lainnya)

Baginda tidak juga menunaikan solat rawatib Isya’. Tidak disyariatkan mencari (memilih) batu di Muzdalifah, kerana untuk melontar boleh mengambil batu jamrah walaupun di Mina. Begitu juga tidak ada dalil yang memerintahkan agar batu jamrah dibasuh terlebih dahulu, kerana perbuatan seperti itu adalah suatu bid’ah yang sesat.

MASY’ARIL HARAM

Setelah menunaikan solat Subuh, baginda terus berada (wuquf) di Masy’aril Haram. Masy’aril Haram adalah satu kawasan di Muzdalifah. Dan menurut jumhur ahli tafsir, sejarawan dan ahli hadis, bahawa Masy’aril Haram adalah seluruh kawasan Muzdalifah, demikian menurut pendapat Imam an-Nawawi rahimahullah. (Lihat: Hajjatun Nabi saw. Al-Albani)

Baginda wuquf di Masy’aril Haram sambil menghadapkan dirinya ke Kiblat, mengangkat tangan dan berdoa dan memuji Allah (H/R Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Jarud dan Baihaqi) dengan doa:


اَلْحَمْدُ للهِ وَاللهُ أَكْبَرُ ، وَلاَإِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ

Baginda terus wuquf di Masy’aril Haram sehingga fajar terbit di ufuq Timur, (Lihat: Hajjatun Nabi saw Al-Albani) kemudian berangkat ke Mina sebelum matahari terbit. (H/R Abu Daud, Tirmizi, Baihaqi, Ahmad. Lihat: Hajjatun Nabi saw. Al-Albani)

MELONTAR DI MINA & CARA MELONTAR

Waktu mula dibolehkan melontar Jamrah Kubara atau Jamrah Aqabah ialah sejak terbit matahari sehinggalah kewaktu malam. Namun baginda mula melontar Jamrah Aqabah setelah matahari terbit (waktu Duha). (H/R Ibnu Majah, Abu Daud, Nasaii, Tirmizi, Baihaqi, At-Tahawi (syarah al-Ma’ani). Ad-Duruqutni dan Ahmad)

Tiada hujjah yang membolehkan melontar sebelum matahari terbit walaupun bagi mereka yang lemah atau wanita, berdasarkan hadis Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu:

“Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam memerintahkan isteri-isterinya agar lebih dahulu pergi ke Mina, namun melarang mereka melontar jamrah sebelum matahari terbit”. ((1) Tirmizi dan Ibnu Hibban mensahihkan hadis ini. (2). Ibnu Hajar menghasankannya. Lihat: Fathul Bari 3/422)

Menurut Nasruddin al-Albani: Dalam hal ini, tidak sewajarnya menentang hadis riwayat Bukhari, bahawa Asma binti Abu Bakr melontar jamrah kemudian solat Subuh, ini terjadi setelah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam wafat. Di sini tidak jelas apakah Asma melakukannya berdasarkan keizinan Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam selain kerana keberangkatannya ke Mina sesudah tengah malam. Yang jelas menurut Asma, bahawa Nabi mengizinkannya meninggalkan Muzdalifah, sehingga memungkinkan Asma memahami keizinan tersebut meliputi keizinan untuk melontar pada malam hari. Sedangkan larangan Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang dihafal oleh Ibnu Abbas tidak sampai kepada Asma radiallahu ‘anha. (Lihat: Hajjatun Nabi (dalam perkara melontar Jamrah Kubra) Al-Albani)

Melontar hanyalah dengan tujuh ketul batu-batu kecil kerana baginda bersabda:

“(Melontar) dengan batu-batu kerikil, diletakkan di antara kedua jari”. (H/R Abu Daud, Nasaii, Ahmad dan al-Baihaqi dengan sanad yang sahih)

Setiap kali melontar hendaklah bertakbir dengan mengucapkan:


أَللهُ أَكْبَرُ

Setelah selesai melontar Jamrah Aqabah, maka halallah semua yang sebelumnya diharamkan walaupun belum mencukur rambut, kecuali bersetubuh yang hanya dihalalkan setelah selesai tawaf ifadah, (Setelah tawaf ifadah dihalalkan apa yang sebelumnya diharamkan ketika ihram, sebagaimana terdapat dalam Sahih Bukhari dan Muslim, hadis dari ‘Aisyah dan Ibnu Umar) iaitu berdasarkan hadis ‘Aisyah radiallahu ‘anha:

“Saya memakaikan wangi-wangian kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ketika halal dan ketika akan ihram, juga setelah melontar Jamrah Aqabah pada hari Nahar sebelum tawaf ifadah”. (H/R Ahmad dengan sanad yang sahih menurut syarat Bukhari dan Muslim)

Demikianlah juga pendapat Ata’, Malik, Abu Thaur dan Abu Yusuf. (Riwayat Ahmad. Lihat: Al-Mughni 3/439. Ibn Qudamah)

AMALAN-AMALAN DI HARI NAHAR

Pada hari Nahar iaitu 10hb. Zulhijjah, para jamaah haji hendaklah melakukan perkara-perkara tersebut (Inilah pendapat yang rajih dari Imam an-Nawawi dan mazhab Syafi’iyah):

Melontar Jamrah Aqabah dengan tujuh ketul batu-batu kerikil yang kecil setelah matahari terbit. Baginda telah bersabda:


لاَ تَرْمُوْا الْجَمْرَةَ حَتَّى تَطْلَعَ الشَّمْسُ

“Janganlah kamu melontar sehinggalah matahari terbit”. (H/R Ahmad dan selain darinya)

Masih boleh juga melontar walaupun sampai ke petang hari, bahkan pada malam hari (Lihat:Al-Muhalla. Ibnu Hazm. Dan juga berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan selainnya) juga dibolehkan. Adapun bagi mereka yang berhalangan kerana uzur atau lemah, maka dibolehkan melontar pada waktu sebelum terbit matahari, iaitu berdasarkan hadis Ummu Salamah radiallahu ‘anha:


أَنَّهَا رَمَتِ الْجَمْرَةَ قَبْلَ الْفَجْرِ

“Bahawa dia melontar jamrah sebelum terbit fajar”. (H/R Abu Daud)

Adapun antara perbuatan yang wajib ditinggalkan kerana tidak ada dalilnya dalam syara ialah amalan jamaah haji yang membaca doa selepas melontar dengan doa yang diambil dari hadis berikut:


كَانَ يَرْمِيْ الْجُمْرَةَ فِى هَذَا الْمَكَانِ وَيَقُوْلُ كُلَّمَا رَمَى بِحَصَاةٍ : اَللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اَللَّهُمَّ اجْعَلْهُ حَجًّأ مَبْرُوْرًا ، وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا ، وَعَمْلاً مَشْكُوْرًا

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam melontar jamrah di tempat ini dan mengucapkan pada setiap lontaran: Allahu Akbar, Allahu Akbar. Ya Allah, jadikanlah ibadah haji yang mabrur, dosa yang terampun dan amalan yang disyukuri!”.

Mengkhususkan doa dengan membaca doa ini adalah perbuatan yang bid’ah, kerana ini adalah hadis lemah. Hadis dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Sunannya 5/129. Dan Al-khatib dalam Talkhisul Mutasyabih 11/11. (Lihat: سلسلة الأحاديث الضعيفة والموضوعة No. 1107. Al-Albani) Begitu juga Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak pernah membaca doa tersebut setelah melontar jamrah.

Menyembelih binatang korban yang sihat (gemuk). Disunnahkan memakan dagingnya kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Maka makanlah dan ambillah dagingnya sebagai bekal. Jabir berkata: Maka kami makan dan mengambilnya sebagai bekal sehingga kami tiba di Madinah”. (H/R Ahmad)

Dianjurkan juga menyembelih pada hari-hari Tasyriq. Dibolehkan menyembelih binatang korban di seluruh kawasan Mina, iaitu berdasarkan hadis:


قَدْ نَحَرْتُ هَهُنَا ، وَمِنَى كَلُّهَا مَنْحَرْ

“Aku menyembelih korban di sini Mina), dan seluruh Mina adalah tempat menyembelih (penyembelihan)”. (H/R Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, At-Tahawi, Al-Hakim dan Baihaqi. Lihat: Hajjatun Nabi saw No. 100. Albani)

Dibolehkan juga menyembelih di kawasan Mekah, (Lihat: Hajjatun Nabi saw. (Penjelasan hadis No. 101)) kerana hadis al-Baihaqi bahawa Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu menyembelih di Mekah, (Lihat hadis riwayat Al-Baihaqi 5/239) iaitu berdasarkan hadis:


وَكُلُّ فجاجِ مَكَّةَ طَرِيْقٌ وَمَنْحَرٌ

“Dan setiap ceruk di Mekah adalah jalan dan tempat penyembelihan”. (H/R Abu Daud, Ahmad, At-Tahawi, Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Dibolehkan tawaf sebelum menyembelih sebagaimana hadis dari Jabir radiallahu ‘anhu, iaitu apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ditanya:

“Orang yang lain bertanya: Apakah dibenarkan kalau saya tawaf sebelum menyembelih korban? Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjawab: Sembelihlah tidak mengapa”. (H/R At-Tahawi. Lihat: Hajjatun Nabi saw. No. 98. Albani)

Dan dibolehkan juga menyembelih sebelum melontar berdasarkan hadis dari Jabir radiallahu ‘anhu, iaitu:

“Lalu datang lagi yang lain dan berkata: Sesungguhnya saya telah menyembelih sebelum melontar jamrah, apakah dibenarkan? Baginda menjawab: Melontarlah tidak mengapa”. (H/R Ad-Darimi, Ibnu Majah, At-Tahawi, Ibnu Hibban, At-Thayalisi dan Ahmad. Lihat: Hajjatun Nabi saw. No. 99. Albani)

Dan dibolehkan juga tawaf ifadhah sebelum melontar, sebagaimana hadis:


سَأَلَ رَجُلُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ : طُفْتُ قَبْلَ أَنْ أَرْمِيْ . قَالَ : لاَ خَرَجَ

“Seorang lelaki bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan dia berkata: Saya tawaf (tawaf ifadhah) sebelum melontar? Maka baginda menjawab: Tidak mengapa”. (H/R Ad-Darimi dan Ibnu Hibban)

Memotong, mencukur atau membotakkan (yang afdal ialah membotakkan) seluruh rambut di bahagian kepala bagi kaum lelaki, kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam mendoakan dengan keampunan dan rahmat Allah kepada orang-orang yang bercukur sebanyak tujuh kali, dan hanya sekali kepada orang yang memendekkan rambutnya.

Memadai memotong hanya beberapa helai rambut bagi kaum wanita.

Dibolehkan memotong, menggunting atau mencukur rambut sebelum menyembelih korban iaitu berdasarkan hadis:


كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسْأَلُ يَوْمَ النَّحْرِ بِمِنَى فَيَقُوْل : لاَ حَرَجَ فَسَألَهُ رَجُلٌ فَقَالَ : حَلَقْتُ قَبْلَ أَنْ أَذْبَحَ قَالَ : إِذْبَحْ وَلاَ حَرَجَ فَقَالَ : رَمَيْتُ بَعْدَ مَا أَمْسَيْتُ فَقَالَ : لاَحَرَجَ

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah ditanya pada hari Nahar di Mina, maka baginda bersabda: Tidak mengapa. Lalu seseorang bertanya kepadanya seraya berkata: Saya bercukur sebelum menyembelih korban? Maka baginda menjawab: Sembelihlah, dan tidak mengapa. Lalu seseorang berkata: Saya melontar setelah petang? Maka Nabi bersabda: Tidak mengapa”. (H/R Bukhari)

Dan dibolehkan bercukur sebelum melontar, iaitu berdasarkan hadis dari Jabir radiallahu ‘anhu, bahawa apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ditanya:

“Apakah dibenarkan jika bercukur sebelum melontar? Baginda menjawab: Tidak mengapa”. (Lihat: Hajjatun Nabi saw. No. 96. Muhammad Nasrhiuddin al-Albani)

Dan setelah selesai melontar dan memotong rambut (bercukur), dihalalkan semua perkara yang sebelumnya diharamkan, kecuali bersetubuh, iaitu berdasarkan hadis:


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلِيْه وَسَلَّمَ : إِذَا رَمَيْتُمْ وَحَلَقْتُمْ فَقَدْ حَلَّ لَكُمُ الطِّيْبُ وَكُلُّ شَيْءٍ إِلاَّ النِّسَاءُ

“Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Apabila kamu telah melontar jamrah dan telah bercukur (memotong rambut), maka dihalalkan bagi kamu wangi-wangian dan segala sesuatu kecuali wanita (bersetubuh)”. (H/R Abu Daud)

Tawaf haji atau tawaf ifadah. Semasa mengerjakan tawaf ifadah tidak disunnahkan berjalan cepat.

Dibolehkan tawaf sebelum melontar, berdasarkan hadis dari Jabir radiallahu ‘anhu, iaitu apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ditanya:


سَأَلَ رَجُلُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ : طُفْتُ قَبْلَ أَنْ أَرْمِيَ قَالَ : لاَ حَرَجَ

“Seorang lelaki bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Saya tawaf sebelum saya melontar? Baginda menjawab: Tidak mengapa”. (H/R Ad-Darimi dan Ibnu Hibban. Lihat: Hajjatun Nabi saw. No.96. Muhammad Nasruddin al-Albani)

Bagi yang mengerjakan haji tamattu’, diwajibkan untuk sa’i sekali lagi setelah selesai tawaf ifadah. Setelah tawaf ifadah dihalalkan semuanya termasuklah bersetubuh walaupun belum melontar, menyembelih binatang dan mecukur rambut.

MELONTAR JAMRAH & HARI TASYRIQ

Melontar yang pertama ialah pada hari Ied (Hari Raya), iaitu melontar Jamrah Aqabah. Waktu melontar bermula dari waktu Duha sehinggalah terbenam matahari pada hari Ied, iaitu berakhir pada terbitnya fajar. Melontar hendaklah dengan tujuh kali lontaran dengan membaca takbir di setiap lontaran.

Hari tasyriq ialah hari yang diwajibkan mabit (bermalam) di Mina, iaitu pada tanggal 11hb - 12hb dan 13hb Zulhijjah. Sekurang-kurang bermalam selama dua hari iaitu 11hb dan 12hb Zulhijjah supaya dapat melontar Jamratul Ula, Jamratul Wusta (Saniyah) dan Jamratul Kubra (Jamratul Aqabah).

Adapun melontar pada hari-hari tasyrik adalah dilakukan setelah matahari tergelincir (setelah Zohor) tidak boleh dilakukan sebelum Zohor, kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam melontar setelah Zohor sehingga mentakhirkan (melewatkan) solat Zohornya. Baginda bersabda:


لاَ تَرْمُوْا الْجَمْرَةَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسَ

“Janganlah kamu melontar sehinggalah matahari terbit”. (H/R Ahmad dan selainnya)

Ketika melontar di setiap jamrah, hendaklah melontar dengan tujuh kali lontaran dengan batul-batu kecil. (Menurut Imam an-Nawawi: Iaitu sebesar biji kacang, agar lebih besar atau lebih kecil. Akan tetapi jika tidak memperolehi batu kecil maka tetap diperbolehkan (yang lebih besar). Lihat: Hajjatun Nabi. Al-Albani) Disyariatkan supaya melontar secara berurutan, iaitu dimulakan dari Ula yang berdekatan dengan Masjid Khaif, kemudian Wusta dan yang terakhir Aqabah. (Inilah pendapat An-Nawawi. Lihat: Hajjatun Nabi saw. Al-Albani) Dan disertakan dengan takbir disetiap kali melontar.

Disunnahkan berdo’a dengan menghadapkan diri ke Kiblah setiap kali selesai melontar di Jamrah Ula (di Jamrah Ula, disunnahkan berdoa di sebelah kanan tempat melontar). Kemudian melontar di Jamrah Wusta (di Jamrah Wusta, disunnahkan berdiri di sebelah kiri tempat melontar, menghadap kiblah dan berdoa panjang), kecuali setelah melontar di Jamrah Kubra teruskan berdoa walaupun tidak menghadap ke Kiblah. Menurut Imam Syafie dan Ibnu Hazm:

“Tiada larangan untuk melontar dengan batu-batu yang telah digunakan untuk melontar, kerana tidak ada dalil melarangnya”. (Lihat: Hajjtun Nabi. Al-Albani)

Sekali diingatkan, bahawa dihari Tasyriq, melontar hendaklah dilakukan setelah matahari tergelincir (setelah waktu Zohor) sehinggalah kewaktu malam. Iaitu berdasarkan hadis dari Jabir radiallahu ‘anhu:


رَمَى رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ النَّحْرِ ضُحًى ، وَرَمَى بَعْدَ ذَلِكَ بَعْدَ الزَّوَالِ

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam melontar pada hari Nahar pada waktu Duha, baginda melontar selepas itu (hari-hari tasyriq) ketika matahari telah tergelincir (setelah Zohor)”. (H/R Muslim)


كُنَّا نَتَحَيَّنُ فَإِذَا زَالَتِ الشَّمْسُ رَمَيْنَا

“Adalah kami menunggu-nunggu waktu melontar, maka apabila matahari tergelincir (Zohor) kami melontar”. (H/R Bukhari)


فَسَأَلَ رَجُلٌ : رَمَيْتُ بَعْدَ مَا أَمْسَيْتُ ، فَقَالَ : لاَ حَرَجَ

“Seorang lelaki bertanya: Saya melontar setelah waktu petang, baginda menjawab: Tidak mengapa”. (H/R Bukhari)

Dibolehkan bermalam dua malam sahaja di Mina, kemudian pulang ke Mekah sebelum terbenam matahari pada malam 13 Zulhijjah setelah melontar jamrah. Amalan ini dinamakan Nafar Awal dan telah menyempurnakan hajinya. Perbuatan ini diizinkan kerana Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:


فَمَنْ تَعَجَّلَ فِى يَوْمَيْنِ فَلاَ إِثْمَ عَلَيْهِ

“Barangsiapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya”. (Al-Baqarah, 203)

Bagi Jamaah yang bermalam sehingga tiga malam dan melontar pada tiga hari (hari ke13 Dzulhijjah) pula dinamakan Nafar Thani.

Dan sesiapa yang pulang ke Mekah pada hari ke 11 Dzulhijjah, bererti dia telah mengurangi jumlah melontarnya yang wajib dilakukan pada hari ke12 Dzulhijjah. Oleh itu wajib baginya menyembelih korban di Mekah untuk orang-orang miskin, bertaubat dan beristighfar kerana pulang ke Mekah sebelum waktunya.

TAWAF WADA’ (TAWAF PERPISAHAN)

Sebelum meninggalkan Mekah untuk berangkat pulang ke tanah air, maka wajib tawaf wada’ terlebih dahulu, kecuali wanita yang haid atau nifas dibolehkan meninggalkan Mekah tanpa tawaf wada’. (Lihat: H/R Bukhari 2/195. Dan Muslim 4/93) Antara hadis-hadis sahih yang menunjukkan wajibnya tawaf wada’ (perpisahan) ialah:


لاَيَنْفِرَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ حَتَّى يَكُوْنَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

“Janganlah seseorang antara kamu pulang melainkan akhir yang dilakukannya adalah tawaf di Baitullah”. (H/R Muslim)


أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُوْنَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلاَّ أَنَّهُ خُفِّفَ عَنِ الْحَائِضِ

“Telah diperintahkan (oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam) agar manusia (yang menunaikan haji) supaya akhir yang dilakukannya adalah tawaf di Baitullah. Namun baginda memberi keringanan kepada wanita yang haid”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:

“Kami menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di khemahnya dimalam hari, lalu bersabda: Apakah kamu sudah siap? Jawabku Ya! Lalu baginda mengizinkan para sahabat berangkat, maka baginda keluar menuju Baitullah dan tawaf (wada’) sebelum solat Subuh, kemudian berangkat pulang ke Madinah”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Ibnu Umar radiallahu ‘anhum berkata:

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak berjalan cepat pada tawaf wada’ dan begitu juga pada tawaf ifadah”. (H/R Bukhari dan Muslim)

MENUNAIKAN HAJI TANPA BERSAMA MAHRAM

Seorang wanita tidak boleh pergi menunaikan haji kecuali bersama suaminya atau diiringi oleh mahramnya. Kerana terdapat larangan dari Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam sebagaimana hadis baginda:


لاَ يُحِلُّ لإِمْرَأَةٍ تُسَافِرُ مَسِيْرَةَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ إِلاَّ مَع ذِيْ مَحْرَمٍ

“Tidak halal bagi wanita berpergian (belayar/musafir) dalam perjalanan sehari semalam, melainkan bersama mahramnya”. (H/R Bukhari)


لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُوْ مَحْرَمٍ ، وَلاَ تُسَافِرُ الْمَرْأَةُ إِلاَّ مَعَ ذِيْ مَحْرَمٍ

“Tidak boleh seorang lelaki berkhalwat (berdua-duan) dengan seorang wanita. Dan janganlah wanita berpergian (belayar/musafir), melainkan bersama mahramnya”. (H/R Bukhari dan Muslim)


لاَ تَسَافِرُ امْرَأَةٌ إِلاَّ مَعَ ذِيْ مَحْرَمٍ

“Wanita tidak boleh berpergian, kecuali bersama mahramnya”. (H/R Bukhari & Muslim)

Larangan musafir bagi wanita di hadis ini adalah umum, termasuklah dalam larangan tersebut ialah musafir untuk menunaikan haji. Hadis-hadis di atas ini diperkuat lagi dengan hadis tentang seorang sahabat yang dibatalkan oleh baginda untuk berperang kerana wajibnya menemani isterinya menunaikan haji. Yang mana dia berkata kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteriku menunaikan haji dan aku berkewajipan dalam berperang serta demikian dan demikian! Maka baginda bersabda:


فَانْطَلِقْ ، فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِكَ

“Maka pergilah kamu, dan tunaikanlah haji bersama isterimu”. (H/R Bukhari dan Muslim)

Hadis ini sebagai dalil yang menunjukkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang wanita berpergian walaupun untuk menunaikan haji jika tanpa ada mahram bersamanya. Wallahu ‘alam.

MENZIARAHI MADINAH

Ziarah ke Madinah tidak wajib dan tidak termasuk dalam rukun atau syarat sahnya haji atau umrah. Tetapi niatkan menziarahi Madinah kerana Masjid Nabawi, kerana itulah yang sewajarnya yang diutamakan apabila ke Madinah. Kerana terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskan tentang kemuliaan masjid Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam di Madinah sehingga dituntut agar rehlah (berpergian) ke sana sebagaimana baginda bersabda:


لاَ تَشُدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدِ : اَلْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِيْ هَذَا ، وَالْمَسْجِدِ اْلأَقْصَى

“Janganlah kamu melakukan rehlah (perjalanan), kecuali kepada tiga masjid: Masjid al-Haram, masjidku ini dan masjid al-Aqsa”. (H/R Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasaii, Ibnu Majah dan Ahmad)


صَلاَةٌ فِى مَسْجِدِيْ هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيْمَا سِوَاهُ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ ، وَصَلاَةٌ فِى الْمَسْجِدِ الْحَرَامَ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلاَةٍ فِى مَسْجِدِيْ هَذَا

“Solat di masjidku ini lebih baik daripada solat di masjid lainnya, kecuali Masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih utama seratus kali solat di masjidku ini”. (H/R Ahmad dan Ibnu Hibban dengan sanad yang sahih)

Apabila menziarahi Masjid Nabawi, maka disyariatkan agar solat dua rakaat di Raudhah, kemudian mengucapkan salam kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan dua sahabat baginda, iaitu Abu Bakar dan Umar radiallahu ‘anhuma sebagaimana disyariatkan ziarah ke Baqi’ serta para syuhada. Disunnahkan memberi salam dan berdoa:


اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُوْنَ ، نَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ

Disunnahkan juga menziarahi masjid Quba dan solat dua rakaat di dalamnya. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Barangsiapa bersuci (berwuduk) di rumahnya dengan sempurna kemudian datang ke masjid Quba lalu solat di dalamnya, maka dia seperti umrah”.

Adapun menziarahi masjid tujuh, masjid kiblatain atau tempat-tempat lainnya tidak pernah disyariatkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Dan barangsiapa berniat ke Madinah semata-mata kerana kubur Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, maka niat dan perbuatan seperti itu adalah menyalahi syara (bid’ah yang membawa kepada kesyirikan). Terdapat hadis-hadis lemah, mungkar atau palsu yang memperkatakan tentang ziarah kubur Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam secara khusus, antaranya:


مَنْ زَارَنِيْ بِالْمَدِيْنَةَ مُحْتَسِبًا كُنْتُ لَهُ شَفِيْعًا وَشَهِيْدًا لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Barangsiapa yang menziarahi aku di Madinah dengan penuh keikhlasan, maka aku akan memberikan syafaat dan menjadi saksi (pembela) kepadanya di hari Kiamat”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya dari jalan Anas bin Malik, tetapi hadis ini lemah kerana terdapat di dalam sanadnya Sulaiman bin Zaid al-Ka’bi, dia seorang yang lemah (وهو ضعيف الحديث). Hadis ini dari sanad ‘Amr. Diriwayatkan oleh Abu Daud at-Tayalisi dari jalan Umar, tetapi di dalam sanad-sanadnya terdapat orang yang majhul (وفى اسناده مجهول).


مَنْ حَجَّ الْبَيْتَ وَلَمْ يَزُرْنِيْ فَقَدْ جَفَانِيْ

“Barangsiapa yang pergi haji ke Baitullah dan tidak ziarah kepadaku, maka dia telah mengkasariku”.

(1). Hadis diriwayatkan oleh Imam Daruqutni, beliau berkata: Pada sanad hadis ini ada kecacatan, iaitu pada Muhammad bin Nu’man bin Syabil al-Bahili dari bapanya, keduanya (bapa dan anaknya) sangat lemah. Hadis ini adalah hadis lemah, bahkan hadis palsu atau hadis tipu (مكذوب).

(2). Hadis diriwayatkan oleh Al-Bazzar. Di dalam sanadnya terdapat Ibrahim al-Giffari, dia lemah (وهو ضعيف).

(3). Menurut imam az-Zahabi rahimahullah, bahawa hadis ini adalah hadis palsu. Ditegaskan dalam Al-Mizan. 111/237.

(4). Hadis diriwayatkan oleh al-Baihaqi, beliau berkata: Pada sanadnya terdapat orang yang tidak dikenali (majhul) (اسناده مجهول).

(5). Menurut Al-Albani bahawa hadis ini adalah palsu (موضوع). (Lihat: سلسلة الأحَديث الضعيفة والموضوعة No. 45. Al-Albani)

Hadis ini dari sanad Abdullah bin ‘Amr, tetapi didapati sangat lemah kerana di dalam sanadnya terdapat Muhammad bin Nu’man bin Syabil al-Bahili dari ayahnya. Keduanya (Muhammad bin Nu’man dan ayahnya) sangat lemah sebagaimana dijelaskan di atas.


مَنْ زَارَنِيْ بَعْدَ مَوْتِيْ ، فَكَأَنَّمَا زَارَنِيْ فِى حَيَاتِيْ

“Barangsiapa yang menziarahi aku setelah aku meninggal, maka seakan-akan dia menziarahi ketika aku hidup”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Daruqutni, Abu Ya’la (dalam Musnad) dan Ibnu ‘Adi (dalam Kamil). Hadis ini lemah kerana dalam sanadnya terdapat Hafsah bin Daud yang mana dia terlalu lemah dalam hadis. Dan dalam sanad hadis ini terdapat orang yang majhul.

SOLAT ARBA’IN (SOLAT 40 WAKTU)

Sebahagian besar jamaah haji, lantaran kejahilan mereka dan gemar beramal sekalipun ternyata hadis yang dijadikan landasan lemah, palsu, mungkar dan sudah jelas perbuatan itu bid’ah, mereka masih berusaha dan bersungguh-sungguh agar dapat menunaikan solat fardu di masjid Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam sebanyak 40 waktu. Sedangkan hadis yang menjadi pegangan mereka (solat 40 waktu) adalah hadis lemah, iaitu hadis:


مَنْ صَلَّى فِى مَسْجِدِيْ أَرْبَعِيْنَ صَلاَةً لاَيَفُوْتَهُ صَلاَةٌ كُتِبَ لَهُ بَرَاءَ ةٌ مِنَ النَّارِ وَنَجَاةٌ مِنَ الْعَذَابِ وَبَرِىءٌ مِنَ النِّفَاقِ

“Barangsiapa menunaikan solat di masjidku empat puluh kali solat (40 waktu solat fardu) dengan tidak tertinggal walau satu solat pun, maka ditetapkan baginya bebas dari api neraka, selamat dari siksaan dan terbebas dari kemunafikan”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad 111/115 dan Tabrani dalam al-Mu’jamul Ausat 11/125. Sanadnya dari Abdur Rahman bin Abi Razaq, dari Nabith bin Amr, dari Anas bin Malik.

Berkata al-Albani rahimahullah: Sanad rawi hadis ini lemah, sebab Nabith tidak dikenal oleh para Muhaddisin (Ahli Hadis) kecuali dalam riwayat ini. (Lihat: سلسلة الأحاديث الضعيفة والموضوعة No. 364. Al-Albani)

Adapun hadis yang sahih ialah solat 40 hari, bukan 40 waktu, iaitu hadis:

“Barangsiapa solat berjamaah selama 40 hari, sempat bertakbiratul ihram (bersama imam), maka ditetapkan baginya dua kebebasan. Bebas dari api neraka dan bebas dari kemunafikan”. (Lihat: سلسلة الأحاديث الضعيفة والموضوعة No. 364. Al-Albani)

APA ITU HAJI AKHBAR?

Semua pekerjaan haji yang mabit di Mina, wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina adalah haji akbar. Tetapi terdapat keyakinan yang mendalam di kalangan sebahagian besar jamaah haji, iaitu meyakini kebesaran, kemuliaan dan haji akbar hanya terjadi khusus pada hari Jumaat (wuquf di Arafah yang berlaku pada hari Jumaat). Mereka yang berkeyakinan seperti itu kerana berpegang kepada hadis batil iaitu:


أَفْضَلُ اْلأَيَّامِ يَوْمُ عَرَفَةَ إِذَا وَافَقَا يَوْمُ الْجُمُعَةِ ، وَهُوَ أَفْضَلُ مِنْ سَبْعِيْنَ حَجَّةً فِى غَيْرِ جُمُعَةٍ

“Hari yang paling utama adalah hari Arafah, iaitu apabila bertepatan dengan hari Jumaat, ia lebih utama daripada tujuh puluh kali haji yang tidak pada hari Jumaat”.

Menurut Syeikh al-Albani rahimahullah: Hadis ini adalah hadis batil, tidak ada sumbernya. Az-Zaila’i berkata dalam Hasyiyati Ibnu Abidin 11/384, diriwayatkan oleh Razin bin Muawiyah dalam kitab Tajrid as-Sihah. (Lihat: سلسلة الأحاديث الضعيفة والموضوعة Hadis No. 207. Al-Albani)

Sebenarnya, semua pekerjaan haji yang semua jamaah wajib wuquf di Arafah, melontar, tawaf, sa’i dan bertahalul, tidak kira sama ada ia berlaku pada hari Jumaat atau di luar hari Jumaat, maka ia dinamakan sebagai haji akbar, tidak semestinya haji akbar itu di hari Jumaat. Allahu ‘alam.

3 ulasan:

naasiha almadani berkata...

asslaaamu`alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.

seronok saya baca artikel anda ini. saya nak tanya samada anta ni ustaz ke atau masih belajar di UIA. Teruskanlah perjuangan untuk menegakkan sunnah dan melawan bid`ah, saya rasa anta masih muda. Selepas saya tamat belajar di Madinah tahun 1980an saya begitu gigih untuk menegakkan sunnah ini tetapi tidak berjaya kerana golongan agama sendiri yang banyak menentang . namun begitu sehingga sekarang saya masih lagi berjuang tetapi dalam nada yang agak lembut sedikit kerana saya terpaksa ambil pendekatan begini supaya masyarakat rapat dengan kita. Untuk berjuang kita perlu lakukan dengan cermat dan hikmah.Tentang haji dan umrah ini saya sudah pun menyiapkan sebuah buku menurut sunnah dan ini saya praktikkan dan membimbing jemaah saya mengerjakan umrah mengikut sunnah kerana saya memang membawa jemaah umrah setiap tahun.
Tahun depan saya akan mengerjakan umrah cuti semester iaitu dari bulan April hingga hujung bulan Jun 2008. Kalau ada sesiapa yang nak mengerjakan umrah mengikut sunnah boleh lah anta introduce kan saya kepada kenalan.

Untuk melihat blog saya sila lawati
http://almadanii.multiply.com

Sekian semoga perjuangan kita yang tidak mengenal putus asa mendapat bimbingan daripada ALLAH. Wassalaamu`alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh


saudaramu seperjuangan
Ustaz Mohd Nasir

naasiha@yahoo.com

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum

saudara ada menyatakan boleh bersikat walaupun ada rambut gugur. cuma saya ingin bertanya, maksud saudara "boleh" itu, adakah dalam erti kata 'tidak berdosa tetapi dikenakan dam'?

Unknown berkata...

Apa nama buku karangan tuan