Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, 28 Januari 2008

075 - Pendirian Para Salaf (Ulama Generi Awal) Terhadap Muzik & Nyanyian

Pendirian Para Salaf (Ulama Generasi Awal) Terhadap Muzik & Nyanyian

Melalui penelitian peribadi, secara ringkas, dapat disimpulkan bahawa Muzik membawa maksud:

Suatu alunan/adunan bunyi-bunyian yang direka-cipta oleh manusia dengan alat-alat tertentu dengan berdasarkan susunan not-not, irama, dan melodi-melodi tertentu yang mana dengan tujuan menghiburkan diri manusia.

Dan kebiasaannya muzik adalah sama ada diiringi dengan nyanyian, iaitu di-adun dengan suara manusia berdasarkan intonasi-intonasi tertentu sama ada lelaki mahupun wanita atau pun tidak.

(Ini adalah berdasarkan penelitian peribadi melalui persoalan-persoalan yang saya ajukan/utarakan kepada beberapa pelajar-pelajar jurusan muzik di uitm, ustaz-ustaz tertentu, dan juga melalui rujukan terhadap beberapa buah buku yang mengulas persoalan muzik dalam syari’at)

Maka, dengan itu:

1 – Selain dari alunan bunyi seperti yang dimaksudkan dalam pengertian di atas adalah tidak termasuk dalam perbahasan ini.

2 – Suara/deruan air terjun atau dari suara alam adalah terkecuali dari perbahasan muzik/lagu yang dimaksudkan.

3 – Suara haiwan, burung, atau unggas juga adalah terkecuali dan tidak termasuk ke dalam perbahasan.

4 – Yang termasuk adalah suara manusia. Dan bunyi-bunyian nada, serta muzik/lagu-lagu ciptaan manusia adalah yang termasuk ke dalam perbahasan.

Ayat 6 Dari Surah al-Luqman Dan Manhaj Salaf (Generasi Awal) Dalam Persoalan Muzik

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ
Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan. (Surah Luqman: 6)

Di dalam Tafsir ath-Thobari, (berkenaan ayat tersebut):

1 – Muzik/nyanyian termasuk di dalam maksud perkataan yang tidak berguna (لَهْوَ الْحَدِيثِ).

2 – Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa ia berkata: “Perkataan yang tiada berguna adalah perkataan yang batil dan nyanyian.”

Di dalam Tafsir Ibnu Katsir:

1 – Dari Ibnu Masoud r.a. beliau menyatakan bahawa, “Demi Allah yang tiada ilah yang berhak disembah selain Dia maksudnya ialah nyanyian” (Bliau mengucapkan/menegaskannya 3 kali)

2 – Demikian juga yang dinyatakan oleh Jabir, Ikrimah, Sa’id bin Jubeir, Makhul, Maimun bin Mihran, Amru bin syu’aib, dan Ali bin Badzimah.

3 – Hasan al-Basri (dari generasi Tabi’in) menyatakan bahawa, “Ayat ini turun berkenaan dengan nyanyian dan alat muzik.”

Di dalam Tafsir al-Qurthubi:

1 – Perkataan yang tiada berguna adalah maksudnya nyanyian dengan merujuk kepada tafsiran Ibnu Mas’oud r.a. dan Ibnu Abbnas r.a. Begitu juga yang dinyatakan oleh Mujahid dan Jabir bin Abdullah.

2 – Abul Faraj Ibnul Jauzi juga menyebutkan hal yang sama dari al-Hasan, Sa’id bin Jubeir, Qotadah, dan an-Nakha’i.

3 – al-Qurthubi rahimahullah berkata, “Aku katakan, inilah tafsiran yang paling benar berkenaan maksud ayat ini sehingga Ibnu Mas’oud r.a. bersumpah dengan nama Allah 3 kali bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan yang tidak berguna adalah nyanyian.

4 – Begitu juga pendapat dari Ibnu Umar r.a.

Dalam Kitab Ruuhul Ma’ani fi Tafsir al-Qur’an al-Azim was Sab’ul Matsani oleh al-Alusi:

1 – Diriwayatkan dari Ibnu Abi Nujeih dari Mujahid rahimahullah, ia berkata, perkataan yang tidak berguna itu adalah nyanyian dan mendengarkannya.

2 – Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari al-Hasan rahimahullah bahawa ayat ini turun berkenaan dengan nyanyian dan alat muzik.

Dari atsar Para sahabat:

1 – Dari Abdullah bin Abbas r.a.: “Ayat ini turun berkenaan pengharaman nyanyian dan sejenisnya.” (Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Adabul Mufrad, 1265. al-Baihaqi dalam kitab Sunan-nya, 9/221)

2 – Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar (Ibnu Umar), bahawa lalu di hadapan beliau satu rombongan orang yang berihram, di antara mereka ada seorang lelaki yang bernyanyi. Maka beliau berkata: “Ketahuilah, Allah tidak akan mendengarkan kalian! Ketahuilah, Allah tidak akan mendengarkan kalian!” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya)

Ayat seterusnya daripada ayat ke-6 tadi,

Dari Surah Luqman: ayat 7, (maksudnya): “Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami dia berpaling dengan menyombongkan diri seolah-olah dia belum mendengarnya, seakan-akan ada penyumbat di kedua telinganya; maka berilah khabar gembira kepadanya dengan azab yang pedih.”

* Sedikit komentar/bantahan berkenaan sekitar isu dan permasalahan Muzik/nasyid Islami: dengan ayat-ayat yang biasa mereka tidak mahu mendengar. Kenapa pula perlu kepada muzik dan nyanyian untuk menyampaikan baru mereka mahu mendengar. Adakah mereka mahu mendengar dan beramal dengannya ataukah mereka hanya mahu mempermain-mainkan ayat-ayat Allah dan agama Allah?

Berikut dibawakan hadis:

“Bukan dari golongan kami orang yang tidak membaguskan suara ketika membaca al-Qur’an.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Kitab Tauhid, an-Nasa’i dalam Iftitah, 1005)

“Hiasilah al-Qur’an dengan suara-suara kamu.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, dalam Fadhailul Qur’an, 4660)

Apakah yang dimaksudkan dengan membaguskan suara dan menghiasi al-Qur’an dengan suara-suara kamu itu sebagai melagukannya dengan nyanyian dan alat-alat muzik? Sila bawakan tafsiran para salaf (ijma’ golongan generasi awal) jika benar ianya demikian.

Daripada firman Allah s.w.t.:

“Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.” (al-A'raaf: 204)

Apakah terdapat penghayatan di dalam/melalui Nayid-nasyid Islami akan halnya ayat tersebut? Apakah yang dinamakan memainkan gitar, drum, keybord itu sebagai menghayati seruan al-Qur’an sepertimana yang diminta dalam ayat di atas? Apa yang dapat dilihat, mereka hanya mahu berhibur. Si penyanyi dengan lagunya, manakala si pemain alat muzik, khusyu’ dengan permainannya, dan si pendengar merasa terhibur dan khayal. Na’uzubillah, wallahu a’lam...

Beberapa Hadis Bekenaan Haramnya Muzik:

Hadis dari Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala mengharamkan khamr, judi, dan gendang.” (Hadis riwayat Abu Daud, Baihaqi, Ahmad, dan selainnya. Disahihkan oleh al-Albani, Tahriimu Aalath Ath-Tharb halaman. 56)

Hadis Imran bin Husain, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Akan datang dalam umat ini kehinaan, keburukan, dan fitnah.” Maka berdirilah salah seorang Muslim: “Wahai Rasulullah, bilakah itu terjadi?” Beliau menjawab: “Apabila telah muncul biduanita dan alat-alat muzik dan khamr diminum.” (Dikeluarkan oleh at-Tirmizi dan dihasankan oleh Syaikh al-Albani, Tahriimu Aalati Ath-Tharb halaman 56)

Berdasarkan hadis-hadis tersebut maka para Salaf benar-benar mengharamkan nyanyian dan sangat menjauhinya, di antaranya riwayat Ibnu Abbas r.a., beliau berkata:

“Rebana itu haram, alat-alat muzik haram, gendang itu haram, dan seruling itu haram.” (Dikeluarkan oleh Baihaqi dan Hadis ini hasan menurut Syaikh al-Albani, Tahriimu Aalati Ath Tharb halaman 92)

Riwayat Said bin al-Musayyab r.a., ia berkata:

“Sesungguhnya aku membenci nyanyian dan menyenangi kata-kata yang indah (pantun).” (Dikeluarkan oleh Abdurrazzaq dalam Mushannaf dan Hasan menurut Syaikh al-Albani, Tahriimu Aalati Ath Tharb halaman 99 dan 101)

Diriwayatkan dari Jabir r.a. ia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya aku tidaklah melarang mengeluarkan air mata (menangis), akan tetapi aku melarang dari dua suara yang bodoh lagi fajir. Suara ketika mendapat nikmat, iaitu gurauan, permainan, dan senandung syaitan. Dan suara ketika mendapat musibah, iaitu tamparan wajah, koyakan baju dan jeritan syaitan.” (Diriwayatkan oleh at-Timidzi dalam Sunan-nya, dan ia menyatakan bahawa hadis ini hasan. Juga diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, dan juga ath-Thahawi dalam Syarh al-Ma’aani. Hadis ini turut dihasankan oleh Syaikh al-Albani di dalam Sahihul Jami’)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas umatku Khamar, judi, minuman keras dari gandum, dan gendang (Kuubah) serta drum (qinnin). Dan menambahkan untukku solat witir.” (Hadis ini sahih menurut Syaikh al-Albani, Rujuk: Sahihul Jami’, 1708)

Dari Hadis Abu Daud, beliau meriwayatkan, dalam Kitab Sunan-nya bahawa dari Nafi r.a. ia berkata: “Ibnu Umar r.a. mendengar suara muzik, maka iapun meletakkan jarinya pada kedua telinganya dan menjauh dari jalan. Ia berkata kepadaku, “Hai Nafi, apakah engkau masih mendengar sesuatu?” Aku menjawab, “Tidak!” Maka beliaupun melepaskan jarinya dari telinganya dan berkata: “Aku pernah bersama Nabi s.a.w. lalu beliau mendengar seperti ini dan beliaupun melakukan seperti itu.” (Rujuk Sahih Abu Daud, 4116)

Imam al-Qurthubi menjelaskan berkenaan hadis tersebut di dalam tafsirnya dengan menyatakan: “Ulama kami mengatakan, “Jika demikian yang mereka lakukan terhadap suara yang tidak keluar seperti biasanya, bagaimana dengan suara nyanyian orang-orang zaman sekarang dan suara alat muzik mereka?”

Imran ibn Husain meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda mafhumnya: “Akan berlaku kemusnahan, penukaran rupa (penjelmaan) dan lontaran dalam umat ini. Seorang lelaki dari kaum muslimin berkata: Bilakah yang demikian itu akan berlaku wahai Rasulullah s.a.w.? Beliau bersabda mafhumnya: “Apabila lahir biduanita-biduanita, alat-alat muzik dan diminum khamr (arak)” (Hadis ini Sahih, diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Ibn Abid Dunya. Lafaz hadis ini menurut riwayat at-Tirmidzi. Lihat Sahih Sunan at-Tirmidzi, 1801-2323. Sahihul Jami’ As-Sagheer, 4273 dan Silsilah al-Ahadis as-Sahihah, oleh Syaikh Muhammad Nasihruddin al-Albani)

Anas ibn Malik r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: “Pasti akan berlaku kemusnahan, lontaran dan pengubahan rupa dalam umat ini, iaitu apabila mereka meminum khamr, mengambil biduanita-biduanita dan membunyikan alat-alat muzik. (Hadis ini sahih, Diriwayatkan oleh Ibn Abid Dunya dalam “Dzam al-Muhalli” Juz. 1/1530. Hadis ini juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Ibn Abid Dunya daripada Imran ibn Husain. Imam Ahmad dan Ibn Abid Dunya meriwayatkan juga daripada Abi Umamah dan ia diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah oleh at-Tirmidzi dan Ibn Abid Dunya. Sila lihat Sahihul Jami’ as-Sagheer 5467 dan Silsilah al-Ahadis as-Sahihah, 2023 as-Syaikh al-Albani)

Imran ibn Husain dan Abu Saaid r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: “Akan berlaku kemusnahan, lontaran dan perubahan rupa di akhir zaman iaitu lahir alat-alat muzik, biduanita-biduanita dan apabila khamr dihalalkan” (Hadis ini sahih, Riwayat at-Tirmidzi dan at-Thabarani)

Abu Maalik al-Asyaari r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: “Orang-orang dari umat ku pasti akan meminum khamr yang mereka namakannya dengan bukan nama khamr, di-mainkan alat-alat muzik ke atas kepala mereka dan biduanita-biduanita. Allah akan musnahkan bumi bersama-sama mereka dan menjadikan sebahagian mereka sebagai kera dan babi. (Hadith ini sahih - Riwayat Ibn Maajah, al-Baihaqi dan Ibn Asaakir, Ibn Hibban dan at-Thabarani. Sila lihat Sahihul Jami’ as-Sagheer, 5454, Silsilah al-Ahadis as-Sahihah, 90, 91 dan Sahih Ibn Maajah 3247–4020)

Abu Maalik al-Asyaari r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: “Akan ada beberapa kaum dari umatku yang menghalalkan zina, sutera (bagi lelaki), khamr dan alat muzik dan beberapa kamu akan turun/berhenti di sudut sebuah bukit yang tinggi. Para penternak datang kepada mereka di waktu petang dengan membawa haiwan-haiwan ternakan mereka kerana sesuatu keperluan, lalu mereka berkata: Datanglah semua menemui kami esok. Lantas Allah s.w.t. memusnahkan mereka pada waktu malam dan menjatuhkan bukit yang tinggi itu ke atas mereka dan sebahagian yang lain lagi Allah mengubah rupa mereka menjadi seperti kera dan babi sampailah ke hari kiamat. (Hadis ini sahih – Riwayat al-Bukhari dalam kitab sahihnya (4/30). Sila lihat Silsilah al-Ahadis as-Sahihah 1/91/139-147 dan Sahih al-Jami as-Sagheer, 5466)

Perlu diketahui, mendahulukan tafsiran dan perkataan para salaf as-Soleh (generasi awal yang terbaik) adalah lebih utama dalam setiap persoalan dan permasalahan agama. Ini adalah lebih utama apabila ia datangnya dari perkataan/tafsiran generasi para sahabat Rasulullah s.a.w. sendiri. Ini adalah kerana mereka adalah generasi yang terbaik yang diberitakan oleh al-Qur’an dan hadis, malah zaman mereka lebih dekat dengan turunnya ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis disampaikan. Malahan, sebahagian besar daripada mereka berada bersama-sama Nabi s.a.w. di ketika turunnya ayat-ayat Qur’an. Maka, oleh kerana itulah, sudah pasti mereka lebih mengetahui akan maksud, tujuan, penafsiran, sebab, dan intipati wahyu atau hadis itu disampaikan.

Perkataan Para Imam Dalam Persoalan Muzik Dan Nyanyian

1 - Syaikh al-Albani rahimahullah berkata, “Mazhab yang empat sepakat atas haramnya seluruh jenis alat muzik.” (Silsilah hadis as-Shahihah, 1/145)

2 – Tidak ada seorang pun dari pengikut para imam yang empat yang menyebutkan adanya perselisihan dalam hukum alat muzik ini. (al-Majmu’, 10/576)

3 – Pemain muzik ditolak riwayat hadis dan kesaksiannya. Ini adalah berdasarkan tulisan al-Kasaani di dalam Kitab al-Badaai’: “Adapun mereka yang memainkan salah satu jenis muzik ini maka perlu dilihat jika masih wajar seperti memukul batang kyu, duff (rebana), dan sejenisnya maka tidak mengapa, dan tidak gugur penyaksiannya. Namun jika tidak wajar, seperti gendang dan sejenisnya maka gurulah kesaksiannya, kerana alat-alat tersebut tidak halal sama sekali. (6/269)

4 – Imam Malik rahimahullah ditanya tentang boleh atau tidaknya muzik bagi penduduk Madinah. Beliau menjawab: “Sesungguhnya yang bermain muzik di kalangan kami adalah orang-orang fasik.” (Disebutkan oleh Ibnul Jauzi dalam Kitab Talbisul Iblis, hal. 244. dengan sanad yang sahih dan perawi yang tsiqah dari perawi yang diterima oleh imam Muslim)

5 – Ibnu Abdil Barr rahimahullah berkata: “Termasuk usaha yang disepakati keharamannya ialah riba, upah pelacur, wang haram, rasuah, mengambil upah atas pekerjaan meratab dan menyanyi, perbuatan perdukunan, permainan ilmu ghaib, wang jualan alat muzik...” (al-Kaafi)

6 – Imam ath-Thobari berkata: “Adapun Malik bin anas rahimahullah, beliau melarang nyanyian dan mendengarkannya. Beliau berkata: “Itulah mazhab seluruh penduduk Madinah.” (Rujuk: Kitab Tahrimun Nard, Syathranj wal Malaahi, oleh al-Ajurri, hal. 121)

7 – Imam asy-Syafi’i berkata di dalam Kitab Adabul Qadha’: “Sesungguhnya muzik adalah permainan yang dimakruhkan (makruh menurut Imam Syafi’i adalah haram), menyerupai kebatilan. Barangsiapa banyak melakukannya maka ia adalah orang yang jahil yang ditolak persaksiannya.” Beliau rahimahullah juga berkata di dalam kitabnya al-Umm: “Seorang lelaki yang bernyanyi dan menjadikannya sebagai pekerjaan, kadangkala ia diundang dan kadangkala didatangi, hingga ia dengan hal itu diberi julukan penyanyi serta ma’ruf (dikenali) dengan sebutan itu, dan seorang juga wanita, tidak diterima persaksian kedua-duanya. Kerana menyanyi termasuk permainan yang dimakruhkan (haram). Namun yang lebih tepat lagi, siapa saja yang melakukannya maka ia disebut sebagai orang yang bodoh/dungu yang sudah jatuh harga dirinya.”

8 - Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah rahimahullah berkata: “Imam Ahmad rahimahullah telah menegaskan bahawa bolehnya mematahkan (merosakkan) alat-alat muzik seperti gendang dan sejenisnya. Apabila ia melihatnya di tempat terbuka dan memungkinkan baginya untuk mematahkannya.” (Rujuk: Risalah fi Ahkaamil Ghinaa’)

9 – Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata: “alat muzik adalah khamar (arak) bagi jiwa. Ia dapat mempengaruhi jiwa lebih daripada pengaruh gelas-gelas minuman keras. (Majmu’ Fatawa 9/417)

10 - Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah telah menukil kesepakatan keempat-empat imam atas diharamkannya nyanyian. Beliau rahimahullah berkata:

“Sesungguhnya mereka bersepakat atas dilarangnya alat-alat muzik yang merupakan alat-alat yang melalaikan seperti kecapi dan yang seumpamanya dan seandainya ada orang yang merosakannya maka ia tidak perlu menggantinya bahkan dilarang menuntut mereka menggantinya.” (Minhaj as-Sunnah 3: 439)

Berikut ini beberapa riwayat dari selain imam yang empat, Abu Amr bin as-Sholah berkata:

“Adapun dibolehkannya mendengar (nyanyian) ini dan menghalalkannya maka ketahuilah apabila rebana, seruling, dan nyanyian telah berkumpul maka mendengarkannya adalah haram menurut para ulama mazhab dan ulama Islam lainnya. Dan tidak ada satupun riwayat yang sahih dari ulama yang mu’tabar (diakui) dalam hal ijma’ dan ikhtilaf bahawa ada yang memperbolehkan mendengar nyanyian ini.” (Fataawaa Ibnu Sholaah, Ighatsatul Lahafan 1: 257)

Dari ulama zaman ini yang juga mengharamkan nyanyian adalah Syaikh Abdurrahman as-Sa’di (penulis Tafsir as-Sa’di), Syaikh al-Albani (al-Muhaddith dari Yordania), Syaikh Ibnu Baz (Bekas Ketua Mufti Arab Saudi (Lajnah Daimah...)), Syaikh Ibnu ‘Utsaimin (Barisan Anggota Fatwa Arab Saudi), Syaikh Soleh al-Fauzan (Barisan Anggota Fatwa Arab Saudi), Syaikh Muqbil bin Hadi hafidhahumullah (Al-Muhaddith dari Yaman), dan lain-lain.

Satu Bantahan Terhadap Pendapat Yang Menghalalkan Muzik Dan Nyanyian

Terdapat suatu pendapat yang menyatakan sebagaimana berikut, apabila ditanyakan, “Apakah hukumnya muzik”?

“Apabila tidak terlalu keras dan tidak merangsang pemikiran (mengkhayalkan) yang ditolak oleh Islam maka tidak ada halangan untuk mendengarkannya.”

Pertamanya, batasan tidak terlalu keras dan tidak merangsang perasaan. Hal ini telah pun diulas oleh Syaikh al-Albani rahimahullah sebagai berikut:

“Batasan ini hanyalah teori yang tidak mungkin dipraktikkan kerana yang membangkitkan perasaan adalah relatif (variable) berbeza (bagi setiap individu) seiring dengan perbezaan watak dan karakter seseorang laki-laki dan perempuan, tua dan muda, panas dan dingin, dan sebagainya. Ini tidak tersamar lagi bagi orang memahami. Sungguh demi Allah, aku sangatlah hairan dengan ulama Al-Azhar yang selalu mendakwahkan batasan teoritis ini, di samping menyelisihi hadis-hadis yang sahih, mazhab imam yang empat, perkataan para ulama Salaf, mereka juga menciptakan alasan-alasan dari diri mereka sendiri yang belum pernah diucapkan oleh seorang pun dari imam yang diikuti. Maka kesan akhirnya adalah membolehkan apa yang diharamkan (seperti muzik dan lagu) ini menurut mereka juga (menurut akal dan kehendak hati - pent.).” (Syaikh al-Albani, Tahriimu Aalaat Ath-Tharb halaman 7)

Hal ini, sepertimana juga arak adanya. Yang mana, ada individu yang meminumnya dengan kadar tertentu tetap tidak memabukkan dirinya. Namun, ada pada individu yang lainnya, dengan hanya merasakan sedikit sahaja, ianya terus memabukkannya. Lantas, di sini, jelas arak tetap haram tidak kira diambil dalam jumlah yang sedikit mahupun banyak.

Bersambung...

Tiada ulasan: