http://fiqh-sunnah.blogspot.com
Isbal (اَْلاِسْبَالُ) bermaksud: “Melabuhkan pakaian (seperti seluar, jubah, kain sarung dan semua jenis pakaian) sehingga menutup buku lali (mata kaki). Atau pakaian labuh yang menyentuh bumi (mencecah tanah) sehinggga diseret.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Ketika ada seorang lelaki yang solat dengan mengenakan pakaian secara Isbal, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepadanya, “Pergilah dan ambillah wudhu’!” Lelaki itu pun pergi dan berwudhu’ semula. Kemudian dia kembali datang dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kembali berkata, “Pergilah dan ambillah wudhu’!” Ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, mengapa kamu menyuruhnya mengambil wudhu’ semula?” Dia (Rasulullah) diam untuk beberapa ketika, kemudian berkata, “Sesungguhnya tadi dia melakukan Solat, sedangkan dia memakai pakaian dengan isbal (melabuhkan pakaiannya melebihi mata kakinya (buku lali)). Sesungguhnya Allah tidak menerima solat seseorang lelaki yang memakai pakaian dengan isbal.” (Hadis Riwayat abu Daud di dalam kitab as-Sholah, bab al-isbaal fii as-Sholah, 1/172, no. 638. Juga di dalam Kitab al-Libas, bab maa jaa’a fii isbal fii as-Sholah, 4/57, no. 4086. Juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam al-Musnad, 4/67, an-Nasaa’i di dalam Kitab as-Sunan al-Kubra di dalam kitab az-Ziinah)
Imam an-Nawawi berkata tentang hadis ini di dalam kitabnya Riyadhus Sholiheen, no. 795, dan juga di dalam al-majmuu’, 3/178 & 4/457: Hadis ini darjatnya sahih menepati syarat imam Muslim.
Pernyataan yang sama juga (tentang hadis tersebut) dari imam adz-Dzahabi di dalam al-kabaair, hal. 172, di dalam perbahasan al-Kabiiratul Tsaaniyah wa al-Khamsiin: Isbaal al-Izaar Ta’azzuzan wa Nahwahu.
Penjelasan
Syaikh Ahmad Syakir menjelaskan bahawa ianya boleh menjadi dalil yang kuat bahawa batalnya solat seseorang yang musbil (yang melakukan isbal) ketika mengerjakannya dengan perasaan sombong. (Rujuk: Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir di dalam al-Muhalla, 4/102, karya Ibnu Hazm)
Ibn al-Qayyim menjelaskan berkenaan hadis ini, “Pengertian yang dapat diambil dari hadis ini (wallahu a’lam) bahawa memakai pakaian dengan isbal adalah maksiat. Dan setiap orang yang terjerumus di dalam perbuatan maksiat, maka dia akan diperintahkan untuk mengambil wudhu’ dan solat. Kerana sesungguhnya berwudhu’ itu dapat memadamkan api maksiat.” (at-Tahdziib ‘alaa Sunan Abi Daud, 4/150)
Isbal terjadi apabila pakaian yang dipakai oleh seseorang itu dilabuhkan dari atas ke bawah sehingga melebihi mata kaki (buku lali) si pemakai. Adapun pakaian seperti stokin, khuf, atau yang seumpamanya, maka ia tidak termasuk dalam kategori pakaian yang boleh mengakibatkan isbal.
Menurut Syaikh al-Islam ibnu Taimiyah, “Isbal boleh terjadi tanpa mengira pakaian sama ada dengan jubah, seluar, atau kain.” (Majmuu’ al-fataawaa, 22/133)
Hukum isbal secara umum adalah haram walaupun di sana ada beberapa perbahasan yang agak panjang. Namun, kesimpulannya adalah menjurus kepada haram berdasarkan sekian banyak hadis-hadis yang sahih mengenainya. Antaranya adalah,
1 - “Pakaian yang melebihi kedua mata kaki, maka pelakunya di dalam neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Libas. An-Nasaa’i di dalam kitab az-Ziinah)
2 - Dari ‘Amr bin asy-Syarid, beliau berkata, “Dari kejauhan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat laki-laki yang menjulurkan pakaiannya sehingga terseret. Maka beliau pun bergegas untuk mendekatinya (dengan berlari-lari anak) menuju laki-laki tersebut. Beliau pun menegurnya, “Angkatlah kain mu dan bertakwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala”. Maka laki-laki itu pun berkata, “Aku seorang yang memiliki kaki bengkok dan kedua lutut ku saling tidak stabil ketika berjalan”. Ternyata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tetap menyatakan, “Angkatlah kain mu, kerana sesungguhnya semua ciptaan Allah adalah baik”. Maka, setelah kejadian tersebut, tidaklah kelihatan laki-laki tersebut melainkan dengan kainnya sentiasa terangkat sehingga ke tengah-tengah betisnya atau di bawah sedikit.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad di dalam al-Musnad, 4/390. Juga dinyatakan Sahih oleh Syaikh al-Albani di dalam ash-Shahihah)
3 – “Berhati-hatilah kamu terhadap perbuatan isbal, kerana perbuatan tersebut termasuk kesombongan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4084. Turut Disahihkan oleh Syaikh al-albani di dalam ash-Shahihah, no. 770)
4 – Dari Ibnu Umar dia berkata, “Aku pernah melewati Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tiba-tiba kain ku melurut turut ke bawah dengan sendirinya sedikit demi sedikit tanpa sengaja. Maka, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata, “Wahai Abdullah, angkatlah kain mu?” Lalu aku pun segera mengangkatnya. Kemudian beliau bersabda lagi, “Tinggikan lagi!” Maka aku pun menaikkannya lagi. Dan setelah kejadian itu, aku pun sentiasa menjaga keadaan kain ku. Lalu, sebahagian orang ada bertanya, “Sampai di mana?” “Sehingga pertengahan betis”. (Hadis Riwayat Muslim, no. 2086)
Telah banyak tersebar dan diketahui secara umum bahawa di sana begitu ramai sekali kaum lelaki yang gemar melabuhkan pakaiannya sehingga menyentuh tanah atau melabuhkannya dengan melepasi paras mata kaki (buku lali), namun berlaku sebaliknya pula kepada kaum wanita di mana mereka pula banyak berpakaian seakan-akan tidak cukup kain. Iaitu dengan mendedahkan aurat kepalanya (tidak bertudung), memakai pakaian ketat dan malah memendekkan kainnya atau seluarnya sehingga tersingkap betis-betis mereka.
Bukankah ini sudah menunjukkan suatu perkara yang terbalik sebagaimana yang dikehendaki oleh syari’at? Di mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan agar kaum lelaki supaya tidak ber-isbal (tidak melabuhkan pakaiannya melebihi buku lali), dan memerintahkan agar kaum wanitanya melabuhkan kain sehingga sejengkal melebihi buku lali.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya dengan kesombongan, maka Allah tidak akan melihatnya pada Hari Kiamat. Ummu Salamah bertanya, “Bagaimana dengan kaum wanita, apa yang harus dilakukan pada hujung (bawah) kain mereka?” Baginda pun menyatakan: Kalau mereka melabuhkannya, labuhkanlah sejengkal (dari tengah-tengah betis). Ia berkata, “Sesungguhnya jika seperti itu (hanya sejengkal) maka kaki mereka akan masih dapat tersingkap”. Baginda menjelaskan, “Maka, labuhkanlah sehingga sehasta dan jangan lebih dari itu”. (Hadis Riwayat Abu Daud, 4/364, no. 4119. an-Nasaa’i, 8/209, no. 5336-5339. at-Tirmidzi, 4/223, no. 1736. Ahmad di dalam al-Musnad, 2/5555. Dan Abul Razak as-San’ani di dalam al-Mushannafnya 11/82. Berkata Imam Muslim: Sanad hadis ini sahih)
Di dalam suatu hadis, dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaknat kaum lelaki yang menyerupai kaum wanita, begitu juga dengan kaum wanita yang menyerupai kaum lelaki.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melaknat seorang lelaki yang mengenakan pakaian wanita, begitu juga dengan wanita yang mengenakan pakaian lelaki.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 4098)
Dari Khorosyah bin al-Hurr, dia berkata, “Aku melihat ‘Umar al-Khathtab, dan ketika itu ada seorang pemuda yang mengisbalkan pakaiannya sehingga menyentuh ke tanah. Maka beliau pun memanggilnya dan bertanya kepadanya, “Adakah engkau datang haid tadi?” Lelaki itu pun bertanya kembali kepada ‘Umar, “Wahai Amirul Mukminin, adakah lelaki juga datang haid?” Maka ‘Umar pun bertanya lagi, “Jika begitu, mengapa engkau melabuhkan pakaianmu sehingga ke tapak kakimu (yang menunjukkan perbuatan melabuhkan pakaian adalah khusus untuk wanita - penulis)?” Setelah itu, beliau meminta sebilah pisau dan kemudian beliau pun mengumpulkan hujung pakaian pemuda tadi (yang dilabuhkan) lalu memotong bahagian yang labuh melebihi mata kaki.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah, 8/293 dengan sanad yang sahih)
Lebih lanjut, sila rujuk artikel sebelumnya di http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/08/hal-014-isbal.html, atau http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/07/larangan-isbal-melabuhkan-pakaian.html
Kesimpulannya
Hukum isbal (perbuatan melabuhkan pakaian sehingga melepasi mata kaki) bagi lelaki adalah haram. Apatah lagi jika ia turut dilakukan di dalam solat, maka ianya boleh mengakibatkan terjejasnya kesempurnaan solat seseorang itu sebagai mana yang dijelaskan melalui hadis yang awal di atas. Begitu juga dengan berdasarkan hadis-hadis tentang isbal yang lainnya.
-والله اعلم والحمد لله رب العالمين-
3 ulasan:
bagaimana pula jika imam melakukan isbal? haruskah kita mufaraqah?
tq atas info
Hukum ini pada dasarnya ialah lebih utk melarang umat Islam dari rasa sombong dan angkuh. Pada zaman itu mereka yg memakai pakaian labuh dikaitkan dng kemewahan dan keangkuhan. Cuma skrg sudah agak terbalik. Kalau di masjid, kita lihat yg berjubah/berseluar singkat, yg solatnya kaki terbuka luas (sahih ikut sunah), dari zahirnya majoriti mereka inilah yg angkuh! Ramai pula yg menghukum jemaah2 lain sbg bakal penghuni neraka... (ada hadith ttgn larangan 'menjadi tuhan dan menghukum org lain masuk neraka')
Jadi hati2 saudara2ku seIslam... Jangan belajar Islam setakat utk menjadi 'lebih pandai' drpd org lain dan boleh pula menghukum... Belajarlah Islam utk mendapat Rahmat Allah, dan dapat pula menyebarkan sifat Rahmah serta menjalin ukhuwah sesama umat Rasulullah s.a.w
Catat Ulasan