Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Jumaat, 22 Mei 2009

153 - Sahihnya Sunnah Menggerak-gerakkan Jari Telunjuk Ketika Bertasyahhud

Sahihnya Sunnah Menggerak-gerakkan Jari Telunjuk Ketika Bertasyahhud

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Artikel ini adalah sebagai tambahan dan kemaskini terhadap artikel yang lepas, “SUNNAH MENGGERAK-GERAKKAN JARI TELUNJUK DI MASA TASYAHHUD DALAM SOLAT” dan sebagai menjawab beberapa kritikan terhadap sunnah menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika bertasyahud secara umum, insyaAllah.


قُلْتُ لأَنْظُرَنَّ اِلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَيْفَ يُصَلِّى، فَنَظَرْتُ اِلَيْهِ حِيْنَ، قَامَ فَكَبَّرَ، وَرَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى حَاذَتَا أُذُنَيْهِ، ثَمَّ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى ظَهْرِ كَفِّهِ الْيُسْرَى، وَالرُّسْغِ، وَالسَّاعِدِ، ثُمَّ لَمَّا اَرَادَ اَنْ يَرْكَعَ رَفَعَ يَدَيْهِ مِثْلُهَا ثُمَ رَكَعَ فَوَضَعَ يَدَيْهِ عَلَى رُكْبَتَيْهِ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ فَرَفَعَ يَدَيْهِ مِثْلَهَا ثُمَّ سَجَدَ فَجَعَلَ كَفَّيْهِ بِحَذَاءِ اُذُنَيْهِ، ثَمَّ جَلَسَ فَافْتَرَشَ فَخِذَهُ الْيُسْرَى، وَجَعَلَ يَدَهُ الْيُسْرَى عَلىَ فَخِذِهِ وَرُكْبَتِهِ الْيُسْرَى، وَجَعَلَ حَدَّ مِرْفَقِهِ اْلاَيْمَنِ عَلَى فَخِذِهِ الْيُمْنَى، وَعَقَدَ ثِنْتَيْنِ مِنْ اَصَابِعِهِ، وَحَلَقَ حَلْقَةً، ثُمَّ رَفَعَ اُصْبُعَهُ، فَرَاَيْتُهُ يُحَرِّكُهَا يَدْعُوْ بِهَا، ثُمَّ جِئْتُ بَعْدَ ذَلِكَ فِى زَمَانٍ فِيْهِ بَرْدٌ عَلَيْهِمْ جُلَّ الثِّيَابِ تَحَرَّكَ اَيْدِيُهُمْ مِنْ تَحْتِ الثِّيَابِ


Dari Sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (Wa’il bin Hujr) dia berkata:

“Sungguh aku akan melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bagaimana beliau bersolat, maka aku pun melihat ketika berdiri, beliau pun bertakbir dan menganggkat kedua tangannya hingga mencecah (paras) kedua daun (anak) telinganya, kemudian beliau pun meletakkan tangan kanannya di atas punggung dan pergelangan tangan kirinya, kemudian ketika beliau hendak ruku’, beliau pun mengangkat kedua tangannya seperti sebelumnya, lalu beliau ruku’ dan beliau meletakkan kedua (telapak) tangannya di atas kedua lututnya (masing-masing), kemudian beliau mengangkat kepala dan juga kedua tangannya seperti sebelumnya, lalu beliau sujud dan beliau meletakkan kedua telapak tangannya sejajar dengan kedua telinganya, kemudian beliau duduk iftirasy di atas peha kirinya, dan menjadikan tangannya yang kiri di atas peha dan lututnya yang kiri pula, dan meletakkan hujung siku tangan kanannya di atas pehanya yang kanan dan beliau pun membuat lingkaran membuat lingkaran (dengan jari tengah dan ibu jarinya) dan beliau mengangkat jari telunjuknya, maka aku pun melihat beliau menggerak-gerakkannya sambil berdoa dengannya, kemudian aku datang setelah itu ketika cuaca dingin, maka aku melihat para sahabat yang tangan mereka bergerak-gerak dari bawah pakaian mereka.”

Hadis ini diriwayatkan melalui satu jalan dari:

Wa’il bin Hujr radhiyallahu ‘anhu, Kulaib bin Syihab, ‘Ashim bin Kulaib, Za’idah bin Qudamah, yang kemudiannya direkodkan oleh:

1 – Imam Ahmad, al-Musnad, 4/318.

2 – al-Khatib al-Baghdadi, al-Fashlu lil wash lil Mudraj, 1/444.

3 – Abu Daud, Sunan Abu Daud, 1/178, no. 727.

4 – an-Nasa’i, Sunan an-Nasa’i, 1/463, no. 888. Sunan al-Kubra, 1/256, no. 873 & 1/318, no. 1100.

5 – Ibnu Hibban, Shahih Ibnu Hibban, 5/170-171, no. 1860.

6 – Ibnu Khuzaimah, Shahih Ibnu Khuzaimah, 1/234, no. 480 & 1/354, no. 714.

7 – ad-Darimi, Sunan ad-Darimi, 1/230, no. 1357.

8 – ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Kabir, 22/35, no. 82.

9 – Ibnul Jarud, al-Muntaqa, m/s. 91, no. 208.

10 – al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 2/189, no. 2787 & 2/132.

11 – ath-Thahawi, Syarhul Mani’, 1/153.

Hadis ini adalah sahih. Sebahagiannya mensahihkannya dengan jelas, dan sebahagian ulama lagi mensahihkannya dengan isyarat. Dan tidak seorang pun ulama salaf yang mendhaifkannya, sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani, wallahu a’lam.

Di antara yang mensahihkannya dengan jelas dan terang-terangan adalah:

Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Imam an-Nawawi (Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/454), Ibnu ‘Abdil Barr (al-Istidzkar, 4/262), al-Qurthubi (di dalam Tafsirnya), Ibnul Mulaqqin (Khulashatu Badril Munir, 1/139, no. 646), al-Baihaqi, al-Khatib asy-Syarbini (Mughnil Muhtaj, 1/255), Ibnul Qayyim (Za’dul Ma’ad, 1/239), al-Albani (Rujuk: Sifat Solat Nabi, Tamamul Minnah, Shahih Sunan Abi Daud, Shahih Sunan an-Nasa’i, dan Irwa’ul Ghalil), Hamdi Abdul Majid (Tahqiq al-Mu’jam al-Kabir ath-Thabrani, 22/35, no. 82), Syu’aib al-Arnauth & Abdul Qadir al-Arnauth (Tahqiq Za’dul Ma’ad), Hamzah Ahmad az-Zain (Tahqiq Musnad Ahmad), Ahmad Syarif (Tahqiq Qurratul ‘Ainain Susunan al-Bukhari, disemak oleh Syaikh Muqbil al-Wad’i).

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani mengatakan di dalam Fathul Bari, 2/178, “Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan selainnya.” Begitu juga di dalam at-Talkhis, 3/280-281, beliau menisbatkan hadis ini kepada Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban.

Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:

“Aku tidak mengetahui seorang pun dari para pendahulu umat ini yang terdiri daripada para imam ahli hadis yang mendhaifkan hadis Za’idah bin Qudamah atau hadis Wa’il bin Hujr dengan sangkaan bahawa hadis tersebut telah menyelisihi hadis-hadis yang lain. Mereka seluruhnya sepakat bahawasanya hadis ini sahih, yang aku maksudkan adalah hadis Wa’il bin Hujr secara umum dan hadis Za’idah bin Qudamah dari ‘Ashim bin Kulaib dari ayahnya dari Wa’il bin Hujr secara khusus. (al-Albani, Kaset La Qusyura Fil Islam, no. 169/8037, al-Istiqomah. Dinukil dari Ibnu Saini, Petunjuk Bagi Mereka Yang Menolak Untuk Menggerakkan Jari Telunjuk Ketika Tasyahud, m/s. 55-56, Pustaka Ihsan)

Berkenaan ‘Ashim Bin Kulaib

‘Ashim bin Kulaib perawi yang digunapakai dan diterima oleh para imam hadis seperti Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Ma’in, Ahmad bin Soleh, Ibnu Hibban, Ibnu Syahin, Ibnu Saad dan lain-lainnya. Mereka memuji dan mengakui bahawa ‘Ashim bin Kulaib sebagai perawi yang (ثقة حافظ) “Seorang yang dipercayai dan kuat hafalannya”. (Lihat: مختصر علوم الحديث, m/s. M/s.. 106, Ibnu Katsir)

Antara kalangan Imam-Imam hadis besar yang mensahihkan hadis ‘Ashim bin Kulaib ini ialah: Imam Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, An-Nawawi (ulama besar bermazhab as-Syafie), Ibnul Qayyim, Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah dan selain mereka.

Imam zz-Zahabi (bermazhab as-Syafie) menganggap ‘Ashim Bin Kulaib sebagai seorang yang (ثقة صدوق) “Perawi yang dipercayai lagi benar”.

Hadis ini tidak boleh dilemahkan hanya kerana kesilapan (disangka) “infirad”nya (menyendirinya) ‘Ashim bin Kulaib dalam meriwayatkan hadis menggerak-gerakkan jari telunjuk. Kerana Hadis Wa’il Bin Hujr yang meriwayatkan dari ‘Ashim bin Kulaib mempunyai banyak jalur (jalan/turuq), malah ramai Imam-Imam hadis menta’dil (تعديل) beliau. Dan ramai rawi yang merawikan dari ‘Ashim bin Kulaib dan juga menta’dil beliau, antara mereka:

Berkata Imam Sa’ad: Dia adalah tsiqah (ثقة) dipercayai dan aku dapati para imam hadis menghasankan hadisnya, malah mereka berhujjah dengan hadisnya. (Lihat: تَهذيب التهذيب, 8/445)

Imam Ahmad rahimahullah mengatakan: لاَبَأْسَ بِحَدِيْثِهِ “Tidak mengapa (tidak ada kesalahan menerima) hadisnya”. Ibnu Ma’in mengatakan: ‘Ashim bin Kulaib adalah (ثقة مأمون) “Dipercayai dan amanah”. (Lihat: من كلام ابي زكرى يحي بن معيت فى الرجال, No. 63)

Berkata Imam al-‘Ijli rahimahullah bahawa: (هو ثقة) “Dia dipercayai”. (Lihat: معرفة الثقة, No. 815)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah menjelaskan: (وهو صدوق) “Dia seorang perawi yang benar/dipercayai”. (Lihat: تقريب التهذيب, m/s. 385. ميزان الاعتدال, 2/356)

Abu Hatim rahimahullah menegaskan bahawa: ‘Ashim bin Kulaib adalah (صالح) “Seorang yang soleh”. (Lihat: الجرح والتعديل, 6/350, Ibnu Abi Hatim)

Kenyataan Ibnu al-Madini rahimahullah bahawa: Hadis ‘Ashim bin Kulaib tidak dapat dijadikan hujjah, maka jika alasannya hanya infiradnya (menyendirinya beliau), maka jarah (جرح) Ibnu al-Madini tidak dapat diterima, kerana tidak ada kesepakatan dari para ulama hadis.

Imam an-Nasai’i rahimahullah menjelaskan: Bahawa ia tidak boleh menolak hadis seseorang sehingga mereka (para ulama hadis) sepakat menolaknya. (Lihat: اختصار علوم الحديث, m/s. 96, Ta’liq Ahmad Syakir) Dengan demikian jarah (جرح) tidak dapat diterima, terutama kerana ramainya ulama hadis yang lebih luas keilmuannya dari beliau menthiqah (mempercayai dan menetapkan), membenarkan dan menganggap solehnya (benarnya) dan mereka menerima hadis ‘Ashim bin Kulaib ini.

Adapun alasan Ibnu al-Madini yang diambil dari Ibnu ‘Ulayyah dan Yahya al-Qaththan bahawa ‘Ashim bin Kulaib dan mereka yang terkena pada semua yang bernama ‘Ashim adalah buruk hafalannya, ‘Ulayyah dan Yahya al-Qaththan dikomentar seperti berikut:

كُلُّ مَنِ اسْمُهُ عَاصِمٌ فِى حِفِظِهِ شَيْءٌ

“Semua rawi yang bernama ‘Ashim adalah keadaannya ada sesuatu (buruk) pada hafalannya”. (Lihat: الميزان, 21/350)

مَا وَجَدْتُ رَجُلاً اسْمُهُ عَاصِمٍ ، اِلاَّ وَجَدْتُهُ رَدِىءُ الْحِفْظِ

“Tidak aku temui seorang lelaki yang bernama ‘Ashim kecuali aku dapati dia buruk hafalannya”. (Lihat: الميزان, 21/350)

Alasan Ibnu Madini ini disangkal dan ditolak oleh para ulama hadis, kerana terdapat beberapa orang yang bernama ‘Ashim yang juga diterima oleh para ulama atau para pembesar hadis (muhaddisin). Antara mereka ialah:

(1). ‘Ashim bin Sulaiman al-Ahwal.

(2). ‘Ashim bin Umar bin Qatadah.

(3). ‘Ashim bin ‘Umar (Ibnu Amr Hijaziyuun).

(4). ‘Ashim bin Laqith bin Sabiran.

(5). ‘Ashim bin Muhammad bin Zaid bin Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab (dipakai oleh Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai’i dan Ibnu Majah. (Lihat: تاريخ الكبي, Imam al-Bukhari. تاريخ بغداد, Al-Khatib Bagdadi)

(6). ‘Ashim bin Yusuf al-Yarbu’i. (Lihat: التقريب, 1/383)

Mereka sekalian adalah para rawi yang thiqah (dipercayai) dan dipakai oleh Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasai’i, Ibnu Majah (Lihat: تاريخ الكبير, Imam al-Bukhari. جرح والتعديل, Ibnu Abi Hatim. الميزان الاعتدال, Az-Zahabi) dan ramai lagi perawi-perawi dan Ahli Hadis yang lainnya.

Menurut Imam an-Nasai’i rahimahullah: Tidak boleh meninggalkan (menolak) hadis seseorang rawi sehingga mereka sekalian (para ulama hadis) bersepakat menolak atau meninggalkannya. (Lihat: اختصار علوم الحديث, m/s. 96, Ta’liq Ahmad Syakir) Jika sekiranya hanya menerima penilaian dari Yahya al-Qaththan yang di pegang oleh Ibnu Madani dan meninggalkan para ulama hadis yang lain, maka kaedah ini tidak boleh diterima pakai.

(Dinukil dari Abu Farouq Rasul bin Dahri, Sunnah Menggerak-gerakkan Jari Telunjuk Ketika Tasyahud, Jahabersa)

Berkenaan Za’idah bin Qudamah

Terdapat sebahagian pihak yang menjelaskan bahawa riwayat yang dibawa oleh Za’idah bin Qudamah sebagai Syadz (ganjil). Ini adalah kerana terdapat banyak lagi jalan lain dari hadis ini dari Wa’il bin Hujr radhiyallahu ‘anhu, Kulaib bin Syihab, ‘Ashim bin Kulaib, namun bukan melalui Za’idah bin Qudamah yang tidak memiliki lafaz “menggerak-gerakkannya (tahrik)”, tetapi dengan lafaz “memberi isyarat”. Jadi, Za’idah bin Qudamah telah menyendiri dalam menyampaikan lafaz “menggerak-gerakkannya (tahrik)”.

Berkenaan Za’idah ini, ia diulas di bawah tajuk berikutnya, “Penjelasan berkenaan hadis Syadz”.

Penjelasan Berkenaan Hadis Syadz

Ketahuilah bahawa di antara syarat-syarat hadis sahih bahawa hadis itu tidak syadz (ganjil). Kerana pengertian hadis sahih menurut para ahli hadis adalah, hadis yang bersambung sanadnya, diriwayatkan oleh orang yang adil dan kuat hafalannya, dari orang yang adil dan kuat hafalannya juga dan seterusnya sehingga mata rantai terakhir, tidak syadz dan tidak cacat.

Dengan batasan seperti ini, hadis sahih terhindar dari sifat mursal, munqathi’ (terputus sanadnya) dan syadz serta semua hadis yang memiliki cacat periwayatannya.

Hadis Syadz (ganjil) ialah hadis yang diriwayatkan oleh orang-orang yang dapat dipercayai dan diterima, namun bertentangan dengan riwayat orang yang memiliki darjat ketsiqahan (terpercaya/validiti) yang lebih tinggi, menurut pendapat yang diakui oleh para ahli hadis. (Ibnu Hajar, Syarh Nukhbah, m/s. 13-14. Lihat: al-Albani, Tamamul Minnah, m/s. 16-17, Pustaka Sumayyah)

Syaikh al-Albani rahimahullah menjelaskan:

Perkara ini dijelaskan oleh Ibnush Sholah dalam al-Muqaddimah, m/s. 86, beliau berkata:

“Jika seseorang perawi menyendiri dengan sesuatu, perlu diamati. Jika riwayat tunggalnya bertentangan dengan riwayat orang yang lebih baik dan lebih kuat hafalannya, maka ia tergolong riwayat syadz (ganjil) dan tertolak. Jika riwayat tunggalnya tidak bertentangan dengan hadis yang diriwayatkan orang lain tetapi hanya dia sendiri yang meriwayatkan, sedang orang lain tidak, maka perlu diamati, adakah perawi tunggal ini kuat hafalannya dan dapat dipercayai, maka diterimalah ia dan jika tidak baik dan tidak kuat hafalannya, maka terputus dan terlempar jauh dari wilayah kesahihan, dan setelah itu berada pada tingkat yang berbeza-beza bersesuaian dengan keadaan. Ertinya, jika perawi tunggal itu tidak jauh dari tingkat (darjat) perawi lain yang kuat hafalan dan diterima kesendiriannya, maka kami golongkan hadis hasan (baik) dan kami tidak menjatuhkannya pada kelompok hadis dhaif (lemah). Tetapi jika tidak, kami golongkan riwayat tunggal itu kepada hadis syazd (ganjil) yang mungkar.

Keganjilan (syadz) ini boleh berlaku pada mata rantai (sanad) atau redaksi hadis (matan). Contoh hadis dari kedua jenis ini banyak sekali yang (insyaAllah) sebahagiannya akan dijelaskan. (al-Albani, Tamamul Minnah, m/s. 17, Pustaka Sumayyah)

Kita sambung berkenaan Za’idah bin Qudamah,

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani di dalam Taqribut Tahzib, no. 1046, beliau berkata tentangnya: Tsiqatun tsabtun “ثقة ثبت” (seorang perawi yang tsiqah lagi tsabit/kuat).

Menurut Imam Ibnu Hibban, di dalam kitabya ats-Tsiqat (5/239-240), beliau berkata, “Dia (Za’idah bin Qudamah) termasuk dari para imam yang mutqin, ia tidak menganggap sebagai suatu sama’ (pendengaran), kecuali setelah mengulanginya sebanyak tiga kali dan ia tidak memuji seseorang pun melainkan mereka yang telah disaksikan keadilannya oleh seseorang (imam) dari yang Ahli.” (Rujuk Ibnu Saini, Petunjuk Bagi Mereka Yang Menolak Untuk Menggerakkan Jari Telunjuk Ketika Tasyahud, m/s. 55-56, Pustaka Ihsan)

Dalam perkara ini, Dr. Muhammad bin Umar bin Salim Bazmul berkata:

“Ada yang mendhaifkan kalimat hadis, “... beliau menggerak-gerakkan jari tersebut sambil berdoa.” Alasannya kalimat ini hanya diriwayatkan oleh Za’idah bin Qudamah.

Menurutku, perkara ini tidak berpengaruh (tidak mendatangkan apa-apa kesan) kepada kesahihan hadis, kerana Za’idah adalah seorang tsiqah tsabit (terpercaya dan kuat hafalannya) dan dia tidak menyelisihi lafaz yang diriwayatkan oleh perawi lainnya. Ada juga yang mendhaifkan kalimat ini dengan alasan bahawa kalimat tersebut bukan dari sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Alasan ini tertolak kerana menuduh seorang tsiqah (yang terpercaya) telah melakukan kesalahan, ini tidak dibolehkan melainkan dengan dalil. (Muhammad Umar Bazmul, Ensiklopedi Tarjih, m/s. 345-346, Darus Sunnah)

Beliau (Dr. Muhmmad Umar) berkata lagi:

Lafaz yang berasal hanya dari seorang rawi hanya dapat mempengaruhi kesahihan hadis tersebut apabila perawi itu dhaif. Atau berasal dari riwayat seorang tsiqah (terpercaya) yang menyelisihi riwayat orang-orang tsiqah lainnya.

Ada pun Za’idah adalah seorang perawi yang tsiqah dan kuat hafalannya. Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata, “Orang-orang yang kuat hafalan hadisnya ada empat: Sufyan, Syu’bah, Zuhair dan Za’idah.”

Beliau juga berkata, “Apabila kamu mendengar hadis dari Za’idah dan Zuhair maka kamu tidak perlu pedulikan lagi hadis-hadis dari yang lainnya melainkan Abu Ishaaq.” (Dr. Muhammad Umar Salim Bazmul, Ensiklopedi Tarjih, m/s. 354, Darus Sunnah)

Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:

Menolak kesahihan menggerak-gerakkan jari telunjuk kerana kesendirian Za’idah bin Qudamah tanpa perawi-perawi (murid) ‘Ashim bin Kulaib yang lain adalah suatu kesalahan besar, kerana dua alasan:

1 – Mereka meriwayatkan (dengan lafaz) isyarat dan isyarat tidak boleh menafikan adanya gerakan jari (kerana gerakan jari juga tergolong ke dalam bentuk isyarat – tamb. penulis).

2 – Kejujuran Za’idah, ia sangat teliti di dalam meriwayatkan hadis dari para gurunya. Para imam sepakat memberikan kesaksian atas dapat dipercayainya dan al-Bukhari serta Muslim pun berhujjah dengannya. Dalam ats-Tsiqat, 5/340, Ibnu Hibban berkata mengenai Za’idah: ia termasuk hafiz yang teliti. Ad-Daruquthni berkata: “(Dia) termasuk imam yang kukuh.” Allah Subhanahu wa Ta’ala yang memberi Taufiq. (al-Albani, Tamamul Minnah, m/s. 238, Pustaka Sumayyah)

Syaikh al-Albani berkata lagi:

“Oleh kerana itulah tidak mudah bagi kita untuk menganggap syadz riwayat yang disampaikan oleh Za’idah ini, khususnya periwayatan yang beliau terima dari gurunya ‘Ashim bin Kulaib dari bapanya...

... Kerana apabila kita menganggap ia sebagai syadz, maka niscaya akan banyak sekali riwayat-riwayat yang perlu dihukumi seperti itu.” (al-Albani, Kaset La Qusyura Fil Islam, no. 167/8037, al-Istiqomah. Lihat: Ibnu Saini, Petunjuk Bagi Mereka Yang Menolak Untuk Menggerakkan Jari Telunjuk Ketika Tasyahud, m/s. 62-63, Pustaka Ihsan)

Syaikh al-Albani berkata lagi:

“Kesendirian Za’idah di dalam menjelaskan tahrik (menggerak-gerakkan jari) bukanlah pembenaran memutuskan riwayatnya syazd (ganjil), kerana beberapa alasan:

Pertama:

Para ulama menerima riwayat ini (hadis di atas) dengan mengakui kesahihannya, termasuklah mereka (ulama) yang walaupun tidak mengamalkannya, seperti al-Baihaqi, an-Nawawi, dan selainnya. Mereka semua sepakat perlunya penafsiran riwayat ini sama ada dari mereka yang mengisytiharkan kesahihannya mahu pun dari orang yang hanya memberi pengakuan.

Tidaklah samar bagi seseorang bahawa ta’wil itu cabang dari tashih (pensahihan). Seandainya tidak begitu, tentu al-Baihaqi tidak memaksakan diri untuk mentakwil kalimat “tahrik” dengan berisyarat dengan jari tanpa menggerak-gerakkan dan tidak perlu menganggap cacat riwayat ini (syadz) seperti yang dilakukan saudara kita dari Yaman (Syaikh Muqbil bin Hadi al-Wad’i – tamb. penulis). Apa lagi yang mendorong al-Baihaqi melakukan tahrik, sementara saudara kita dari Yaman berpendapat hadis Ibnu Zubair itu Syadz (ganjil).

Riwayat Ibnu Zubair tersebut adalah:

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika berdoa berisyarat dengan jarinya tanpa menggerak-gerakkannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Hadis ini didhaifkan oleh Ibnul Qayyim di dalam Za’adul Ma’ad, dan Al-Albani di dalam Dhaif Abi Daud, no. 175)

Inilah pendapat yang benar seperti mana yang dijelaskan. (al-Albani, Tamamul Minnah, m/s. 235, Pustaka Sumayyah)

Penjelasan Berkenaan Di Antara “Isyarat” dan “Tahrik” (Menggerak-gerakkan)

Kedua:

Isyarat yang diterangkan oleh riwayat-riwayat ini bukanlah nash yang meniadakan tahrik, kerana menurut konteks bahasa, kelaziman isyarat itu disertai gerakan. Contohnya, seseorang akan memberi isyarat: “Dekatlah kepadaku! Kepada sesuatu yang jauh dan memberi isyarat: Duduklah! Kepada orang-orang yang sedang berdiri. Pada ilustrasi di atas, tidak seorang pun memahami bahawa orang tersebut tidak menggerak-gerakkan tangannya.

Mengapa kita terlampau jauh dalam memberi contoh. Contoh yang paling baik yang akan kami sampaikan kepada pembaca adalah hadis dari ‘Aisyah mengenai solat para sahabat di belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sambil berdiri. Sedangkan beliau duduk. Beliau memberi isyarat: Duduklah! Kepada para sahabat. Hadis ini disepakati kesahihannya. Setiap orang yang berakal tentu tahu bahawa isyarat Nabi tidak sekadar mengangkat tangan seperti ketika Nabi menjawab salam kaum Anshar dan beliau sedang solat. Isyarat ini tentu disertai gerakan tangan.

Kerana itu, tidak selayaknya kita memahami bahawa riwayat-riwayat ini bertentangan dengan riwayat tahrik, tetapi justeru ada kesesuaian. Saya yakin, ini menjadi perhatian bagi orang yang mensahihkan dan mengamalkan hadis dan bagi orang yang mengakui kesahihannya kemudian memberinya ta’wilan dan tidak menyatakannya sebagai syadz (ganjil).

Di antara riwayat yang menguatkan pendapat di atas adalah hadis sahih mengenai isyarat Nabi dengan jari telunjuknya dalam khutbah Juma’at sebagai mana diriwayatkan Muslim dan yang lainnya. Adalah suatu kelaziman bahawa Nabi menggerak-gerakkan telunjuknya sebagai isyarat ketauhidan, bukan sekadar isyarat tanpa menggerakkan telunjuk. Perkara ini disaksikan oleh riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Shahihnya, 2/351 dengan sanad yang dhaif dari Sahal bin Sa’ad, seperti hadis Imarah dengan lafaz:

“Dan Nabi memberi isyarat dengan jari telunjuknya sambil menggerakkannya.”

Ibnu Khuzaimah menggambarkan hadis Imarah ini dengan menyatakan: “Bab Isyarat Khatib di atas Mimbar Dengan Telunjuk ketika Berada Dalam Khutbahnya dan Menggerakkannya Ketika Memberikan Isyarat itu”.

Kesimpulannya: Memberi isyarat dengan telunjuk tidaklah meniadakan gerakan (tahrik), bahkan dapat dikompromikan sebagaimana telah dijelaskan. Dan menetapkan adanya perbezaan di antara kedua hadis di atas tidak benar secara bahasa mahu pun fiqhiyah. Dengan penjelasan di atas, anda mengetahui kekeliruan saudara kita dari Yaman dalam meyakini bahawa isyarat meniadakan gerakan.

Kesimpulan hadis Wa’il dalam menjelaskan tasyahud Nabi:

1 – Meletakkan siku di atas peha.

2 – Menggenggamkan dua jari dan membuat lingkaran dengan jari tengah dan ibu jari.

3 – Mengangkat dan menggerakkan jari telunjuk.

4 – Terus menggerakkannya sehingga akhir doa.

5 – Menggerakkan tangan di balik pakaian pada ketika musim sejuk (kerana tangan ditutupi dengan pakaian kerana sejuk). (Rujuk: al-Albani, Tamamul Minnah, m/s. 235-237, Pustaka Sumayyah)

Cara Menggerak-gerakkan Jari Ketika Tasyahud

Dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu. Dia berkata:

“... Dan apabila beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam duduk sambil (membaca tasyahud), beliau meletakkan telapak tangan kirinya di atas lutut kirinya (dan mengembangkannya/menghamparkannya di atas lutut beliau). Beliau menggenggam jari-jari tangan kanannya (dengan ibu jari) dan mengisyaratkan dengan jari telunjuk beliau (ke arah kiblat dan memfokuskan pandangan beliau kepada jari telunjuknya).” (Hadis Riwayat Muslim, Abu ‘Awanah, dan Ibnu Khuzaimah. Lihat: al-Albani, Sifat Solat Nabi, m/s. 195, Media Hidayah. Juga Sifat Solat Nabi, jil. 3, m/s. 38, Griya Ilmu)

Menurut Syaikh al-Albani, Abu Ya’la memberikan tambahan dengan sanad sahih dari Ibnu ‘Umar:

“Menggerak-gerakkan jari telunjuk ini sebagai pengusir Syaitan. Seseorang tidak akan menjadi lupa selama dia menggerakkan telunjuknya.”

Dari Wa’il bin Hujr (dari hadis yang dibincangkan di atas),

“... Dan terkadang bliau membentuk lingkaran dengan ibu jari dan jari tengahnya...”

Juga:

“Apabila beliau mengacungkan jari telunjuknya, beliau menggerak-gerakkannya sambil berdoa.”

Kesimpulan:

1 – Ia dilakukan ketika bertasyahud.

2 – Dilakukan oleh jari telunjuk kanan. Dengan cara sama ada menggenggam jari tangan selain telunjuk dengan ibu jari atau dengan membuat lingkaran di mana jari tengah dilingkarkan bersama dengan ibu jari.

3 – Jari manis dan kelingking digenggam.

4 – Jari telunjuk diisyaratkan ke arah kiblat dan digerak-gerakkan dari bawah ke atas (dalam bentuk getaran sederhana ke atas dan ke bawah), dengan gerakkan yang ringan secara berterusan sehingga akhir tasyahud.

Ini adalah merujuk kepada perbuatan:

“... Mengisyaratkan jari telunjuk (ke arah kiblat) dan menggenggam jari tengah.” Di mana mengisyaratkan ke arah kiblat jari telunjuk tersebut adalah dengan mengangkatnya bermula dari bawah ke atas.

Dan berdasarkan perkataan:

“Terus menggerak-gerakkannya...”

Perkataan Para Ulama Berkenaan Menggerak-gerakkan Jari di Dalam Tasyahud

Sebagai mengakhiri artikel ini, penulis membawakan perkataan para ulama dan tokoh berkenaan perkara ini.

Perkataan para ulama berkenaan persoalannya ini sengaja diletakkan di sini sebagai satu lampiran bahawa perbuatan serta pendapat menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika bertasyahud di dalam solat ini bukanlah suatu perkara yang baru. Tetapi ia telah lama dibahaskan oleh para ulama dari dahulu hingga kini. Sekaligus ia membuktikan bahawa amalan tersebut bukanlah sesuatu yang baru lagi aneh. Tetapi ia adalah sebuah sunnah yang tidak diketahui ramai.

Nukilan dari kitab-kitab Mazhab Maliki:

“ (Ketika bertasyahud) ... Disunnahkan juga untuk sentiasa menggerak-gerakkannya dengan gerakkan yang ringan (sedang) ke kiri dan ke kanan dari awal tasyahud sehingga selesai. Ada pun tangan kiri dihamparkan di atas paha kiri dan tidak ada jari yang digerakkan atau diacungkan.” (at-Talqin, m/s. 102-103. Bulughus Salik, 1/120. Al-Fawaakih ad-Dawaani, 1/223. Rujuk: Dr. Muhammad Umar Salim Bazmul, Ensiklopedi Tarjih, m/s. 348, Darus Sunnah)

Pandangan dari kalangan ulama Syafi’iyah:

Jika seseorang sedang solat dan duduk tasyahud, disunnahkan untuk menghamparkan tangan kirinya di atas peha kirinya. Ada pun jemari tangan kanan digenggam di atas peha kanan kecuali jari telunjuk dan ibu jari. Sebaiknya ibu jari juga digenggam bersama jari lain dan telunjuk diacungkan. Lalu mengangkat ketika membaca illallah dan inilah pendapat yang dipegang majoriti ulama.

Ada pun pendapat kedua: Memberi isyarat dari awal tasyahud hingga selesai.

Kemudian adakah telunjuk diacungkan sambil digerak-gerakkan?

Berkenaan dengan masalah ini, ada beberapa pendapat, dan pendapat yang benar adalah sebagaimana yang disebutkan oleh majoriti ulama, tidak perlu digerak-gerakkan dan makruh hukumnya jika digerak-gerakkan. Hanya sahaja tidak sehingga membatalkan solat, kerana hanya sekadar gerakan yang ringan.

Pendapat kedua mengatakan: Solat batal jika jari telunjuk digerak-gerakkan. Dan ini adalah pendapat yang syadz (ganjil) dari kalangan ulama mazhab asy-Syafi’i.

Pendapat ketiga: Diseunnahkan untuk menggerak-gerakkan jari telunjuk. Ini adalah pendapat Syaikh Abu Haamid al-Isfarayini, Abu ‘Ali al-Bandaniji, al-Qaadhi Abu Thayyib ath-Thabari, dan lain-lain. (al-Umm, 1/116. Fathul ‘Aziz, 3/502. Al-Majmu’, 3/454. Fathul Wahhaab, 1/45. Rujuk: Dr. Muhammad Umar Salim Bazmul, Ensiklopedi Tarjih, m/s. 349, Darus Sunnah)

Pendapat di dalam Mazhab Hanbali:

Jari telunjuk hanya diacungkan ketika berzikir kepada Allah dan tidak digerak-gerakkan menurut mazhab hanbali yang sahih. (Rujuk: Dr. Muhammad Umar Salim Bazmul, Ensiklopedi Tarjih, m/s. 349, Darus Sunnah)

Perkataan al-Majdudiin Ibnu Taimiyyah rahimahullah:

Dr. Muhammad Umar Salim Bazmul menukilkannya sebagaimana berikut, “al-Majdudiin Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata: Memberi isyarat beberapa kali dengan jari telunjuk di ketika duduk tasyahud.” (al-Muharrir, 165. Rujuk: Dr. Muhammad Umar Salim Bazmul, Ensiklopedi Tarjih, m/s. 352, Darus Sunnah)

Dan beliau (Dr. Muhammad Umar) berkata:

Ini menunjukkan adanya gerakan ringan pada jari telunjuk.

Pendapat Imam Abu Zakariya bin Yahya bin Syaraf an-Nawawi dari Mazhab asy-Syafi’i

Imam an-Nawawi berkata di dalam kitabnya Radhatuth Thalibin:

“Adakah ketika telunjuk diangkat perlu digerak-gerakkan atau tidak? Ada dua pendapat yang menjelaskan perkara ini:

Pertama: Pendapat yang ashah, tidak digerakkan.

Kedua, iaitu pendapat yang syadz (ganjil), di mana telunjuk terus digerak-gerakkan selama bertasyahud.

Saya katakan: Apabila kita katakan dengan pendapat yang ashah, maka tidak boleh digerakkan. Apabila digerakkan, maka tidak batal solatnya, berdasarkan pendapat yang sahih...” (Imam an-Nawawi, Raudhatuth Thalibin, jil. 1, m/s. 559-560, Pustaka Azzam)

Begitulah juga dengan apa yang diperkatakan oleh Imam al-Munawi (bermazhab Syafi’i) di dalam kitabnya, Faidhul Qadir, 2/565. Dan juga imam al-Ghazali turut mengisyaratkan wujudnya dua pendapat tersebut di dalam al-Wasith, 2/146-147 dan al-Wajiz, 1/45.

Abu Muhammad Abdullah bin Abi Zaid (W. 386H)

Beliau rahimahullah (bermazhab asy-Syafi’i) berkata di dalam kitabnya, ar-Risalah:

“... dan telah diperselisihkan tentang menggerak-gerakkan jari telunjuk itu, sebahagiannya mengatakan, “Untuk meyakini bahawasanya Allah adalah satu-satunya sesembahan (Yang berhak untuk disembah)”, dan sebahagian lagi mengatakan bahawa maksud dari menggerakkannya adalah untuk menghalau dan menghinakan Syaitan, namun saya meyakini bahawa faedahnya adalah agar seseorang yang sedang solat itu selalu ingat akan solatnya dan insyaAllah akan dapat mencegahnya dari kealpaan dan kesibukan lainnya.”(al-Fawakihud Dawani, 1/223-224. Lihat: Ibnu Saini, Petunjuk Bagi Mereka Yang Menolak Untuk Menggerakkan Jari Telunjuk Ketika Tasyahud, m/s. 67, Pustaka Ihsan)

Pendapat Khalil bin Ishaq bin Musa al-Jundi (W. 767H)

Beliau rahimahullah (bermazhab asy-Syafi’i) berkata:

“Dan hendaklah menggenggamkan (jari-jari) yang kanan dalam kedua tasyahudnya (yakni) tiga jarinya, dengan mengangkat jari telunjuknya dengan menggerakannya terus-menerus.” (al-Hafiz Mahfadh Bab bin Ubaid ad-Dimani, Muyassarul Jlilil ‘Ala Mukhtasharil Khalil, 1/194. Rujuk: Ibnu Saini, Petunjuk Bagi Mereka Yang Menolak Untuk Menggerakkan Jari Telunjuk Ketika Tasyahud, m/s. 68, Pustaka Ihsan)

Tokoh Nusantara, Muhammad Idris al-Marbawi

Beliau berkata di dalam kitabnya yang terkenal, Bahrul Madzi (Syarah Mukhtashar at-Tirmidzi):

“Ketahuilah kiranya, ya saudaraku! Bermula menggerak-gerakkan jari telunjuk di dalam tahiyat itu sunat jua pada mazhab Syafi’i. Bermula dalil atas menunjukkan tuntut gerak itu ialah hadis yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa at-Tirmidzi...” (Muhammad Idris al-Marbawi, Bahru al-Madzi, jil. 2, m/s. 365, al-Hidayah Publisher)

Beliau juga turut menyandarkan pendapatnya kepada perkataan Imam an-Nawawi dan at-Tirmidzi.

Di antara nama-nama (tokoh) lain yang turut menjelaskan berkenaan sunnah menggerak-gerakkan jari ketika bertasyahud adalah Prof. Dr. T.M Hasbie ash-Shiddiqie, di dalam kitabnya, Pedoman Solat, m/s. 160. Ustaz Hasan Bandung (Hasan bin ahmad) di dalam kitanya, Pengajaran Solat, m/s. 234.

Sekian, Wallahu a’lam...

7 ulasan:

zul berkata...

puak2 pnuduh wahhabi nih ne leh terima sunnah...

mrk cuma tuduh2 je pandai...

pastu guna kitab karangan yg dringkaskan utk bhujah...mintak dalil, hancur...

inilah sunnah mgerak2 telunjuk ktk tasyahud...

ramai yg taklid dgn 'bila baca syahdah, baru nak angkat telunjuk'..

bak mai dalil, xde...orang bawak dalil sohih, tduh sesat, wahabi dll pulak..

ini ke aswj????

pigi daaa wahai golongan bid'ah tapi kata bnd tu sunnah...

Tanpa Nama berkata...

perbuatan ni dah dibatalkan, walaupun hadisnya sahih..

sahih ndari segi sanad tak bermakna ia diamalkan

tak semua hadis sahih dipakai...nabi pernah solat jumaat sebelum zohor (hadith sahih)

Nawawi berkata...

Maka, izinkan kami mengetahui dalil dan hujjahnya bahawa hadis ini telah dimasuhkan.

Terima kasih...

Tanpa Nama berkata...

jadi, bagaimana dengan menggerakkan jari telunjuk ketika bacaan syahadah??

adakah ini sunnah dari dalil2 yg sohih??

perbuatan baru menaikkan jari telunjuk ke atas ketika bacaan syahadah adalah perkara yg biasa dilihat di malaysia..

minta diperjelaskan lagi...

Mr . K berkata...

ini masalah furu',yg menjadi masalah ialah org yg tak solat. Knp masih nak besar2 isu ini, sape yg nak buat buatlah, yg tak buat, jgn dikata bukan2 pulak. Masing2 ada hujah, bab furu' ni sampai kiamat pon tak akan selesai. Wallahua'lam

bukan sesat berkata...

adakah masalah ini kecil??sehingga ditinggalkan sunnah amalan mengerakkan jari ketika tasyahud...

"Akan senantiasa ada segolongan dari umatku yang berjuang membela
kebenaran dengan memperoleh pertolongan hingga datangnya hari
kiamat" [Hadis riwayat muslim]

Jika sekecil2 ini tidak mampu untuk membela kebenarannya, bagaimana nak menjaga mereka2 yang xsolat tuu??

amat sedih apabila melihat muslim tidak mengamalkan sunnah sedangkan ilmu hadis sudah di dada...

rupanya begini sikap kita, lebih suka sunnah dimatikan...iaitu, menganggap perkara sunnah ini kecil sahaja, tak perlu ambik berat....

kesian....apabila sunnah ditinggalkan....tahniah pd yg anggap perkara ini kecil...

Tanpa Nama berkata...

Salam.. Saya cume tertanye2.. bukan ke waktu Nabi Muhammad SAW menggerakkan jari tu cuaca sejuk? klau sejuk biasenye jari bergerak...
Kenape hadis ni, selalu para ulamak bincangkan telalu mendalam dan kadang2 tafsiran menggubah perkara yang telah jelas lagi nyata?