Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Khamis, 27 Ogos 2009

160 - Fenomena Isbal Di Kalangan Kaum Lelaki

Fenomena Isbal Di Kalangan Kaum Lelaki

http://fiqh-sunnah.blogspot.com


Contoh-contoh fesyen/perbuatan Isbal yang terlarang (bagi lelaki): Pakaian/seluar/kain/sarung yang dipakai sehingga melepasi paras buku lali dan ke bawah.


Contoh pakaian yang tidak isbal (tidak melepasi paras buku lali)

Tentu masih ramai di antara kita yang mungkin tidak mengetahui bahkan mungkin juga sama sekali tidak pernah mendengar perkataan "Isbal". Atas sebab tidak tahu dan tidak pernah mendengar itu jugalah, ramai dari kalangan kaum lelaki muslim yang tidak mengendahkannya. Sekaligus tidak mengetahui bahawa ia merupakan suatu perbuatan yang terlarang dari sudut pandangan agama.

Malah sudah menjadi trend (budaya), bahawa isbal adalah suatu bentuk wajah masa kini yang barang siapa tidak melakukannya, maka akan kelihatan seakan-akan ketinggalan zaman dan tidak moderate. Dari itu, tulisan kali ini akan sekali lagi mengupas isu berkenaan isbal dari sudut al-Qur'an dan as-Sunnah yang sahih serta berpandukan kefahaman para ulama bermanhaj Salafus Soleh.

Maksud Isbal:

المسبل إزاره هو الذي يطول ثوبه ويرسله إذا مشى

Maksud: Orang yang mengisbalkan (melabuhkan) pakaian, dia adalah orang-orang yang menjulurkan (memanjangkan) dan melabuhkan pakaiannya sehingga mencecah ke bumi (melebihi had). (Rujuk: Imam Ibnu Hajar, Mukaddimah Fathul Bari, 1/126)

Isbal menurut syar'i adalah melabuhkan (menjulurkan) pakaian serta membiarkannya terurai ke bawah sehingga melampaui batasan yang telah ditetapkan di dalam syari'at (melebihi mata kaki), dan perkara tersebut tidak terhad kepada isbal dengan niat sombong.

Apabila membahaskan berkenaan fenomena isbal ini, para ulama sebahagiannya mengklasifikan di antara hadis-hadis yang menyentuh isbal dengan disertai kesombongan dan juga perbuatan isbal yang tidak disertakan dengan niat sombong.

Dengan itu, untuk membolehkan para pembaca dapat melihat hadis-hadis tersebut dengan lebih baik berdasarkan perbahasan yang dimaksudkan, maka di sini diletakkan dua sub-tajuk yang membawakan hadis-hadis tersebut berdasarkan pembahagian di antara isbal dengan niat sombong dan juga isbal tanpa disertai niat sombong.

Isbal Tanpa Niat Sombong

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ مِنْ الْإِزَارِ فَفِي النَّارِ

Maksud: Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam, bahawa beliau berkata:

Apa yang terjulur (labuh) ke bawah melebihi kedua mata kaki dari pakaian, maka ia berada di neraka. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, 18/89, no. 5341)

Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab:

بَاب مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ فَهُوَ فِي النَّارِ

Maksud: Apa yang menjulur labuh ke bawah (dari pakaian) sehingga melebihi mata kaki, maka ia di neraka. (Rujuk: Shahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, 18/88)

وعن المغيرة بن شعبة رضي الله عنه قال رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم أخذ بحجزة سفيان بن أبي سهل فقال يا سفيان لا تسبل إزارك فإن الله لا يحب المسبلين

Maksud: Dari al-Mughirah B. Syu'bah, beliau melihat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam mendatangi Sufyan dan menahannya, lalu berkata:

Wahai Sufyan, janganlah engkau melakukan isbal, kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak mencintai orang-orang yang isbal. (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah, 10/423, no. 3564. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Silsilah Ahadis ash-Shahihah, 10/241, no. 4004. Shahih Sunan Ibnu Majah, 8/74, no. 3574. dan Shahih al-Jami' ash-Shoghir, 28/372, no. 13872)

عَنْ يَعْقُوبَ بْنِ عَاصِمٍ أَنَّهُ سَمِعَ الشَّرِيدَ يَقُولُ

أَبْصَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يَجُرُّ إِزَارَهُ فَأَسْرَعَ إِلَيْهِ أَوْ هَرْوَلَ فَقَالَ ارْفَعْ إِزَارَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ قَالَ إِنِّي أَحْنَفُ تَصْطَكُّ رُكْبَتَايَ فَقَالَ ارْفَعْ إِزَارَكَ فَإِنَّ كُلَّ خَلْقِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ حَسَنٌ

فَمَا رُئِيَ ذَلِكَ الرَّجُلُ بَعْدُ إِلَّا إِزَارُهُ يُصِيبُ أَنْصَافَ سَاقَيْهِ أَوْ إِلَى أَنْصَافِ سَاقَيْهِ

Maksud: Daripada Ya'kub B. 'Ashim sesungguhnya beliau mendengar asy-Syarid berkata:

Dari kejauhan, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam melihat seorang lelaki yang menjulurkan (melabuhkan) pakaiannya (seluarnya) sehingga terseret. Maka beliau pun bergegas menemuinya (berlari-lari anak) menuju kepada orang tersebut. Lalu beliau menegurnya:

"Angkatlah kain pakaianmu dan bertaqwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala".

Maka orang tersebut pun berkata:

"Sesungguhnya aku seorang yang memiliki kaki yang bengkok (seperti huruf X) dan kedua lutut-ku tidak stabil ketika berjalan".

Lalu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam tetap menyatakan:

"Angkatlah pakaianmu, kerana sesungguhnya semua ciptaan Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah bagus".

Maka setelah peristiwa tersebut, tidaklah kelihatan lelaki tersebut melainkan dengan pakaiannya (seluarnya) sentiasa terangkat hingga pada tengah-tengah kedua betisnya atau di bawah sedikit. (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 39/470, no. 18656. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Silsilah ash-Shahihah, 4/15, no. 1441)

Daripada hadis ini, ia turut menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam datang menegur kepada pelaku isbal tanpa menanyakan terlebih dahulu sama ada si pelaku itu melakukan isbal dengan sombong atau pun tidak. Tetapi, apa yang jelas dari zahir hadis tersebut adalah, Nabi terus sahaja menegurnya supaya meninggalkan isbal, biar pun si lelaki tersebut telah memberikan alasan.

Kesimpulan:

Akibat melakukan isbal (tanpa sombong):

1 – Berdosa dan diancam dengan neraka.

2 – Tidak dicintai oleh Allah.

Isbal Dengan Kesombongan

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

فَقَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ فَكَيْفَ يَصْنَعْنَ النِّسَاءُ بِذُيُولِهِنَّ قَالَ يُرْخِينَ شِبْرًا فَقَالَتْ إِذًا تَنْكَشِفُ أَقْدَامُهُنَّ قَالَ فَيُرْخِينَهُ ذِرَاعًا لَا يَزِدْنَ عَلَيْهِ

Maksud: Daripada Ibnu 'Umar, katanya:

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berkata: Sesiapa sahaja yang menjulurkan (melabuhkan) pakaiannya kerana sombong, nescaya Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan melihatnya dengan pandangan kasih sayang pada hari kiamat.

Maka Ummu Salamah pun bertanya: Apa yang perlu dilakukan oleh para wanita dengan hujung pakaiannya?

Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam menjawab: Hendaklah mereka menurunkan (melabuhkannya) satu jengkal dari pertengahan betis.

Ummu Salamah berkata: Jika begitu, sudah tentu telapak kaki mereka masih akan tersingkap (kelihatan).

Maka Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam pun menerangkan: Sekiranya begitu, hendaklah mereka menurunkannya satu hasta dan tidak boleh lebih dari itu. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 6/343, no. 1653. at-Tirmidzi menyatakan, hadis ini Hasan Sahih. Juga disahihkan oleh al-Albani)

Hadis ini selain menerangkan tentang isbal yang dilakukan dengan disertai kesombongan, ia juga menjelaskan bahawa isbal tanpa disertai dengan sifat sombong juga tetap dilarang. Ini dapat dilihat dari pertanyaan Ummu Salamah di dalam hadis tersebut yang menanyakan berkenaan dengan pakaian wanita:

"Apa yang perlu dilakukan oleh para wanita dengan hujung pakaiannya?"

Berkenaan dengan pertanyaan ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan dengan membawakan perkataan Imam an-Nawawi:

قَالَ النَّوَوِيّ : ظَوَاهِر الْأَحَادِيث فِي تَقْيِيدهَا بِالْجَرِّ خُيَلَاء يَقْتَضِي أَنَّ التَّحْرِيم مُخْتَصّ بِالْخُيَلَاءِ ، وَوَجْه التَّعَقُّب أَنَّهُ لَوْ كَانَ كَذَلِكَ لَمَا كَانَ فِي اِسْتِفْسَار أُمّ سَلَمَة عَنْ حُكْم النِّسَاء فِي جَرّ ذُيُولهنَّ مَعْنًى ، بَلْ فَهِمَتْ الزَّجْر عَنْ الْإِسْبَال مُطْلَقًا سَوَاء كَانَ عَنْ مَخِيلَة أَمْ لَا ، فَسَأَلَتْ عَنْ حُكْم النِّسَاء فِي ذَلِكَ لِاحْتِيَاجِهِنَّ إِلَى الْإِسْبَال مِنْ أَجْل سَتْر الْعَوْرَة ، لِأَنَّ جَمِيع قَدَمهَا عَوْرَة ، فَبَيَّنَ لَهَا أَنَّ حُكْمهنَّ فِي ذَلِكَ خَارِج عَنْ حُكْم الرِّجَال فِي هَذَا الْمَعْنَى فَقَطْ

Maksud: Berkata an-Nawawi: Di dalam hadis ini terdapat penjelasan yang meunjukkan bahawa hadis-hadis larangan isbal itu tidaklah terhad kepada perbuatan dengan sombong. Sekiranya ia dibataskan dengan faktor kesombongan, sudah tentu pertanyaan dari Ummu Salamah (kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam) berkenaan hukum perbuatan para wanita yang memanjangkan hujung pakaiannya itu tidak akan membawa makna sama sekali. Tetapi sebenarnya, apa yang dapat kita fahami adalah Ummu Salamah telah memahami adanya larangan isbal secara mutlak. Sehingga (dengan kefahamannya itu) beliau bertanya kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam berkenaan hukum bagi para wanita di dalam permasalahan ini disebabkan perlunya mereka untuk melakukan isbal dalam rangka untuk menutup aurat mereka, kerana seluruh telapak kaki adalah merupakan aurat. Maka Nabi pun menjelaskan kepada Ummu Salamah bahawa hukum bagi para wanita di dalam perkara isbal ini berbeza dengan hukum bagi lelaki. (Rujuk: Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Bari, 16/333. Imam an-Nawawi, Syarah Shohih Muslim, 14/62)

بَيْنَمَا نَحْنُ مَعَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ لَحِقَنَا عَمْرو بْن زُرَارَةَ الْأَنْصَارِيّ فِي حُلَّة إِزَار وَرِدَاء قَدْ أَسْبَلَ ، فَجَعَلَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذ بِنَاحِيَةِ ثَوْبه وَيَتَوَاضَع لِلَّهِ وَيَقُول: عَبْدك وَابْن عَبْدك وَأَمَتك ، حَتَّى سَمِعَهَا عَمْرو فَقَالَ : يَا رَسُول اللَّه إِنِّي حَمْش السَّاقَيْنِ، فَقَالَ: يَا عَمْرو إِنَّ اللَّه قَدْ أَحْسَنَ كُلّ شَيْء خَلَقَهُ ، يَا عَمْرو إِنَّ اللَّه لَا يُحِبّ الْمُسْبِل

Maksud: Ketika kami bersama Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, tiba-tiba 'Amr B. Zurarah al-Anshori datang menyertai kami. Ketika itu beliau memakai pakaian berupa kain dan jubah dalam keadaan isbal. Kemudian Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam memegang hujung pakaian beliau dengan bertawadhu' kepada Allah lalu berkata:

Ya Allah, inilah hamba-Mu (lelaki) dan anak dari hamba-Mu (lelaki) serta anak dari hamba-Mu (perempuan) sehingga didengar oleh 'Amr B. Zurarah. Maka beliau pun berpaling menghadap kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam lalu berkata (untuk memberitahu sesuatu):

Wahai Rasulullah, aku ini memiliki dua betis yang kecil.

Maka Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berkata:

Wahai 'Amr, sesungguhnya Allah telah memperindahkan segala sesuatu yang Dia ciptakan. Wahai 'Amr, sesungguhnya Allah tidak mencintai orang yang isbal. (Diriwayatkan oleh ath-Thabrani. Lihat Fathul Bari, 16/336)

Berkenaan hadis ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata:

وَظَاهِره أَنَّ عَمْرًا الْمَذْكُور لَمْ يَقْصِد بِإِسْبَالِهِ الْخُيَلَاء ، وَقَدْ مَنَعَهُ مِنْ ذَلِكَ لِكَوْنِهِ مَظِنَّة

Maksud: Zahir hadis tersebut menunjukkann bahawa 'Amr tidaklah bermaksud sombong dengan perbuatan isbalnya. Dan ternyata Rasulullah tetap melarang beliau dari isbal kerana (isbal) itu termasuk dari tanda kesombongan. (Rujuk: Imam Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/336)

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksud: Daripada 'Abdullah B. 'Umar radhiyallahu 'anhuma, telah berkata Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bahawa:

Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong, nescaya Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan memandangnya dengan pandangan kasih sayang pada hari kiamat nanti. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, 11/500, no. 3392. Kitab al-Libas, 18/84, no. 5338)

عَنْ أَبِي ذَرٍّ

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمْ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ قَالَ فَقَرَأَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَ مِرَارًا قَالَ أَبُو ذَرٍّ خَابُوا وَخَسِرُوا مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْمُسْبِلُ وَالْمَنَّانُ وَالْمُنَفِّقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْكَاذِبِ

Maksud: Daripada Abu Dzarr, daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam beliau bersabda:

Tiga jenis manusia yang mana pada hari kiamat nanti Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan berbicara kepada mereka (dengan perbicaraan yang baik), tidak akan melihat mereka (dengan pandangan kasih sayang), tidak akan menyucikan mereka (dari dosa-dosa), malah mereka mendapat azab yang pedih. Rasulullah mengulangi pernyataan ini sehingga tiga kali.

Sebenarnya orang-orang tersebut telah binasa dan rugi. Kemudian Abu Dzarr pun bertanya: Siapakah mereka wahai Rasulullah? Rasulullah pun menjawab:

Orang yang isbal (dengan sombong), orang yang suka mengungkit-ngungkit sesuatu yang telah diberikan, dan orang yang melariskan barang dagangannya dengan sumpah palsu. (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, Kitab al-Iman, 1/277, no. 154)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أزرة المؤمن إلى نصف الساق ولا حرج أو قال لا جناح عليه فيما بينه وبين الكعبين وما كان أسفل من ذلك فهو في النار ومن جر إزاره بطرا لم ينظر الله إليه يوم القيامة

Maksud: Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, pakaian seseorang mu'min (lelaki) itu menjulur turun sehingga ke pertengahan betisnya. Dan tidaklah berdosa atau tidak mengapa (jika menurunkannya sehingga pada bahagian kaki) di antara pertengahan betis dengan kedua mata kaki. Ada pun bahagian yang lebih rendah dari itu (iaitu turun melepasi mata kaki), maka tempatnya di neraka. Dan sesiapa sahaja yang menjulurkan pakaiannya dengan kesombongan, maka pada hari kiamat nanti Allah tidak akan memandangnya dengan pandangan kasih sayang. (Hadis Riwayat Imam Malik di dalam Muwaththo', Abu Daud di dalam Sunannya, Ibnu Majah di dalam Sunannya, dan Ibnu Hibban di dalam Shahihnya. Hadis ini daripada Abu Sa'id al-Khudri, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahih Targhib wa at-Tarhib, 2/219, no. 2031 dan di dalam Shahih al-Jami' ash-Shoghir, 2/423, no. 923)

Kesimpulan:

Akibat isbal (dengan disertai kesombongan):

1 - Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan memandangnya dengan pandangan kasih sayang pada hari kiamat.

2 – Tidak akan berbicara dengan baik kepadanya.

3 – Tidak akan membersihkannya dari dosa.

Isbal Termasuk Kesombongan

و إياك و إسبال الإزار فإن إسبال الإزار من المخيلة و لا يحبها الله

Maksud: Dan berhati-hatilah kamu terhadap perbuatan mengisbalkan pakaian, kerana perbuatan tersebut termasuk kesombongan dan Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak mencintai kesombongan. (Hadis Riwayat Abu Daud dari Jabir B. Sulaim. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahih al-Jami' ash-Shoghir, 1/98, no. 98)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata:

أَنَّ الْإِسْبَال يَسْتَلْزِم جَرّ الثَّوْب وَجَرّ الثَّوْب يَسْتَلْزِم الْخُيَلَاء وَلَوْ لَمْ يَقْصِد اللَّابِس الْخُيَلَاء

Maksud: Bahawasanya isbal itu adalah perbuatan melabuhkan pakaian, dan perbuatan melabuhkan pakaian itu adalah termasuk ke dalam ciri-ciri kesombongan. (Imam Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/336)

Juga merujuk sebagaimana penjelasan beliau (al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah) di atas tadi dalam menjelaskan berkenaan hadis tentang 'Amr B. Zurarah al-Anshori.

Di Antara Isbal Dengan Disertai Sombong Dan Tanpa Sombong

Syaikh Ibnu Utsaimin rahimahullah menyatakan bahawa:

Jika isbal itu dilakukan kerana bermegah-megah dan sombong, maka perbuatan tersebut termasuk ke dalam kategori dosa besar dan hukumannya (akibatnya) sangat berat. (Majmu' Fatwa Ibnu Utsaimin susunan Fahd B. Nashir, m/s. 309. Dinukil dari Abul Harith Kholiiful Hadi, Dosakah Isbal Tanpa Sombong, m/s. 16, Darul Atsar, Cet. 1, Nov. 2007)

Perbuatan isbal yang disertai dengan perasaan sombong, ia adalah suatu kesalahan yang sangat berat berbanding dengan perbuatan isbal tanpa disertai dengan kesombongan yang mana ia lebih ringan (dosanya).

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah, selepas beliau menyebutkan hadis-hadis berkenaan isbal, beliau berkata:

وفي هذه الأحاديث أن إسبال الإزار للخيلاء كبيرة وأما الإسبال لغير الخيلاء فظاهر الأحاديث تحريمه أيضا

Maksud: Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa melakukan isbal yang disertai dengan rasa sombong merupakan salah satu dari dosa-dosa besar. Adapun sekiranya dilakukan dengan tidak disertai dengan rasa sombong, dari zahir hadis-hadis tersebut, ia masih tetap juga haram (tidak seberat isbal dengan sombong). (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/263)

Larangan Isbal Adalah Mutlak (Bagi Lelaki) Walau pun Tanpa Sombong

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ

مَرَرْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي إِزَارِي اسْتِرْخَاءٌ فَقَالَ يَا عَبْدَ اللَّهِ ارْفَعْ إِزَارَكَ فَرَفَعْتُهُ ثُمَّ قَالَ زِدْ فَزِدْتُ فَمَا زِلْتُ أَتَحَرَّاهَا بَعْدُ فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ إِلَى أَيْنَ فَقَالَ أَنْصَافِ السَّاقَيْنِ

Maksud: Daripada Ibnu 'Umar, beliau berkata:

Aku pernah melintasi Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam dengan pakaianku (kain) di dalam keadaan turun dengan sendirinya tanpa sengaja. Maka Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam pun berkata:

Wahai 'Abdullah, angkatlah kainmu!

Lalu aku pun mengangkatnya (dari terlondeh turun). Kemudian beliau berkata lagi:

Naikkan tinggi lagi sedikit!

Maka aku pun menaikkannya lagi. Dan setelah peristiwa itu, aku pun sentiasa menjaga kedudukan kainku. Lalu sebahagian orang bertanya kepada ku, "Sehingga paras mana?"

Aku menjawab: "Sehingga ke pertengahan kedua betis". (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, Kitab al-Libas wa az-Zinah, 10/455, no. 3892)

Syaikh al-Albani rahimahullah berkata di dalam kitab beliau, Mukhtashar Syamail Muhammadiyah berkenaan hadis tersebut:

Jika Ibnu 'Umar sebagai seorang sahabat yang mulia dan paling bertaqwa di antara mereka itu pun tidak didiamkan oleh Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam ketika beliau melihat kainnya turun tanpa disengajakan, malah beliau tetap memerintahkan untuk mengangkat kainnya tersebut. Maka, bukankah situasi ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa adab ini sama sekali tidak berkaitan dengan ada atau tidak adanya faktor kesombongan.

Atau adakah kita akan menyatakan bahawa Ibnu 'Umar melakukannya kerana sombong (sehingga ditegur oleh Nabi? Lalu kita katakan bahawa yang dilarang oleh Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam hanyalah isbal dengan disertai sombong sahaja?) Sekali-kali tidak, keadaan itu sama sekali tidak mungkin. Dan telah jelas bahawa Ibnu 'Umar tidaklah melakukannya kerana sombong, bahkan ia berlaku tanpa sengaja kerana kain tersebut turun (melurut) dengan sendirinya. (Dinukil dari Abul Harith Kholiiful Hadi, Dosakah Isbal Tanpa Sombong, m/s. 46, Darul Atsar, Cet. 1, Nov. 2007)

Benarkah Abu Bakar Melakukan Isbal?

Terdapat sebahagian pihak yang mahu membolehkan isbal, mereka menggunakan dalil berikut, di mana mereka menyatakan bahawa Abu Bakar juga turut melakukan isbal.

عَنْ سَالِمٍ عَنْ أَبِيهِ

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ قَالَ أَبُو بَكْرٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَحَدَ شِقَّيْ إِزَارِي يَسْتَرْخِي إِلَّا أَنْ أَتَعَاهَدَ ذَلِكَ مِنْهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَسْتَ مِمَّنْ يَصْنَعُهُ خُيَلَاءَ

Maksud: Daripada Salim, dari Ayahnya, daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam, beliau berkata:

Sesiapa sahaja yang menjulurkan pakaiannya kerana sombong, nescaya Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan memandangnya dengan pandangan kasih sayang pada hari kiamat nanti.

Pada ketika itu Abu Bakar pun berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya salah satu sisi belahan kain-ku ini menjulur turun, kecuali apabila aku menjaganya dari keadaan tersebut.

Maka Rasulullah pun menjelaskan: Engkau tidak termasuk orang yang melakukannya dengan sombong. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Libas, 18/84, no. 5338)

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan berkenaan hadis ini:

وَكَانَ سَبَب اِسْتِرْخَائِهِ نَحَافَة جِسْم أَبِي بَكْر

Maksud: Sebab turunnya (kain Abu Bakar) adalah kerana kurusnya badan Abu Bakar.

(إِلَّا أَنْ أَتَعَاهَد ذَلِكَ مِنْهُ)

أَيْ يَسْتَرْخِي إِذَا غَفَلْت عَنْهُ ، وَوَقَعَ فِي رِوَايَة مَعْمَر عَنْ زَيْد بْن أَسْلَمَ عِنْد أَحْمَد " إِنَّ إِزَارِي يَسْتَرْخِي أَحْيَانًا " فَكَأَنَّ شَدّه كَانَ يَنْحَلّ إِذَا تَحَرَّكَ بِمَشْيٍ أَوْ غَيْره بِغَيْرِ اِخْتِيَاره ، فَإِذَا كَانَ مُحَافِظًا عَلَيْهِ لَا يَسْتَرْخِي لِأَنَّهُ كُلَّمَا كَادَ يَسْتَرْخِي شَدَّهُ . وَأَخْرَجَ اِبْن سَعْد مِنْ طَرِيق طَلْحَة بْن عَبْد اللَّه بْن عَبْد الرَّحْمَن بْن أَبِي بَكْر عَنْ عَائِشَة قَالَتْ : " كَانَ أَبُو بَكْر أَحْنَى لَا يَسْتَمْسِك إِزَاره يَسْتَرْخِي عَنْ حَقْوَيْهِ " وَمِنْ طَرِيق قَيْس بْن أَبِي حَازِم قَالَ: " دَخَلْت عَلَى أَبِي بَكْر وَكَانَ رَجُلًا نَحِيفًا"

Maksud: Berkenaan perkataan Abu Bakar: (Kecuali apabila aku menjaganya dari keadaan tersebut), maksudnya:

Salah satu sisi belahan kainnya tersebut menjulur turun apabila aku terlupa darinya (tanpa ada kesengajaan).

Dan di dalam riwayat Ma'mar dari Zaid B. Aslam yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, bahawasanya Abu Bakar berkata:

"Sesungguhnya kain-ku kadangkala menjulur turun dengan sendirinya".

Jadi, ikatan kain beliau kadangkala menjadi longgar ketika digunakan untuk bergerak, sama ada dengan berjalan atau pun gerakkan yang lain, dan terjadinya keadaan tersebut bukanlah disebabkan oleh kehendaknya sendiri. Ada pun ketika beliau menjaga kain sarungnya (ketika bukan dalam keadaan terlupa) maka tidak akan menjulur turun (sehingga terjadi isbal), kerana setiap kali kainnya turun (melurut ke bawah) beliau segera mengetatkan semula ikatannya.

Dan Imam Ibnu Sa'ad telah mengeluarkan sebuah riwayat dari jalur Thalhah B. 'Abdillah B. 'Abdirrahman B. Abu Bakara dari 'Aisyah, beliau berkata:

"Abu Bakar adalah orang yang tubuhnya sangat kurus sehingga tidak berupaya menahan kainnya supaya tidak melurut turun dari pinggangnya".

Dan Imam Ibnu Sa'ad juga mengeluarkan sebuah riwayat dari jalur Qais B. Abi Hazim, beliau berkata:

"Aku masuk menemui Abu Bakar dan beliau adalah lelaki yang sangat kurus". (Rujuk: Imam Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/326)

Berkenaan dengan perkataan Rasulullah:

"Engkau tidak termasuk orang yang melakukannya kerana sombong",

al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan bahawa:

وَفِيهِ أَنَّهُ لَا حَرَج عَلَى مَنْ اِنْجَرَّ إِزَاره بِغَيْرِ قَصْده مُطْلَقًا

Maksud: Dari perkataan ini, ia merupakan dalil bahawa tidak ada dosa bagi seseorang yang kain (pakaiannya) menjulur turun sehingga terjadi isbal tanpa sengaja. (Imam Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/326)

Imam Ibnu Hazm rahimahullah berkata di dalam kitabnya, al-Muhalla:

وحق كل ثوب يلبسه الرجل أن يكون إلى الكعبين لا أسفل البتة، فان أسبله فزعا أو نسيانا فلا شئ عليه

Haq setiap pakaian bagi lelaki adalah sehingga mata kaki, dan sama sekali tidak boleh lebih rendah lagi (dari itu). Ada pun apabila lelaki tersebut pakaiannya menjadi isbal disebabkan terkejut atau lupa, maka tiada dosa baginya. (Ibnu Hazm, al-Muhalla, 4/73)

Berkenaan hadis kisah Abu Bakar ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menjawab syubhat bolehnya isbal dengan menggunakan hadis tersebut, katanya (di dalam Mukhtashar Syamail Muhammadiyah):

"... Sehingga dari kalangan pendakwah dan selainnya akan anda temui orang-orang yang tidak memiliki kepedulian sama sekali di dalam permasalahan ini. Mereka tidak ambil peduli di ketika mana mereka dengan sengaja menurunkan pakaiannya sehingga terseret ke tanah, serta mengiringinya dengan dakwaan bahawa dia tidak melakukannya dengan sombong, sambil tanpa merasa bersalah (bahkan gembira) hatinya dengan adanya hadis di atas berkenaan kisah Abu Bakar. (Sebenarnya) mereka lalai dengan adanya perbezaan yang sangat ketara di antara Abu Bakar dengan diri mereka. Di mana Abu Bakar benar-benar tidak sengaja melakukannya (malah telah berusaha sedaya-upaya), sebagaimana telah jelas di dalam hadis tersebut menyatakan bahawa kainnya menjulur turun tanpa sengaja. Sedangkan mereka yang menggunakan hadis tersebut untuk membolehkan isbal, mereka melakukannya dengan kesengajaan. Di mana mereka tidak tahu atau sengaja bersikap bodoh terhadap hadis-hadis yang menjelaskan tentang sifat pakaian Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam...." (Dinukil dari Abul Harith Kholiiful Hadi, Dosakah Isbal Tanpa Sombong, m/s. 51, Darul Atsar, Cet. 1, Nov. 2007)

Benarkah Nabi Juga Melakukan Isbal?

Terdapat pihak yang menggunakan hadis di bawah ini dengan tujuan menyatakan bahawa Nabi juga turut berisbal, dan ini menunjukkan bahawa isbal tanpa niat sombong adalah tidak mengapa.

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ

خَسَفَتْ الشَّمْسُ وَنَحْنُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ يَجُرُّ ثَوْبَهُ مُسْتَعْجِلًا حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ

Maksud: Daripada Abi Bakrah radhiyallahu 'anhu, beliau berkata:

Gerhana matahari tiba-tiba berlaku di ketika kami sedang bersama-sama Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Maka beliau pun berdiri lalu menyeret kain luarnya yang menyelimuti tubuhnya dengan tergesa-gesa sehingga beliau sampai masuk ke dalam masjid. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Libas, 18/85, no. 5339. Rujuk: Imam Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/327, no. 5339)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah menjelaskan berkenaan hadis ini:

" فَقَامَ يَجُرّ ثَوْبه مُسْتَعْجِلًا " فَإِنَّ فِيهِ أَنَّ الْجَرّ إِذَا كَانَ بِسَبَبِ الْإِسْرَاع لَا يَدْخُل فِي النَّهْي

Maksud: Berkenaan penjelasan "فَقَامَ يَجُرّ ثَوْبه مُسْتَعْجِلًا" (Maka beliau pun berdiri lalu menyeret kain luarnya yang menyelimuti tubuhnya dengan tergesa-gesa) perkataan ini sebenarnya mengandungi penjelasan bahawa perbuatan isbal yang disebabkan oleh keadaan tergesa-gesa itu tidaklah termasuk ke dalam kategori larangan. (Rujuk: Imam Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/327, no. 5339)

Hadis ini sebenarnya menjelaskan berkenaan persoalan isbal yang berlaku disebabkan terlupa atau kerana tergesa-gesa (kelam-kabut). Dengan ini, tidak timbul persoalan bolehnya isbal jika tidak disertai rasa kesombongan. Sekaligus ia juga masih tetap tidak boleh digunakan sebagai hujjah untuk isbal di dalam keadaan yang penuh kesedaran (senang) manakala hadis ini adalah menunjukkan isbal yang berlaku tanpa sengaja atas sebab tergesa-gesa.

Batasan Pakaian Supaya Tidak Isbal

1 – Diturunkan sehingga ke pertengahan betis atau ke bawah sedikit. Berdasarkan dari hadis dari Ibnu 'Umar dan asy-Syarid di atas tadi.

2 – Atau selagi mana tidak menjulur ke bawah melebihi batas atau paras mata kaki (buku lali).

Imam Ibnu Hazm rahimahullah berkata di dalam kitabnya, al-Muhalla:

وحق كل ثوب يلبسه الرجل أن يكون إلى الكعبين لا أسفل البتة

Haq setiap pakaian bagi lelaki adalah sehingga mata kaki, dan sama sekali tidak boleh lebih rendah lagi (dari itu). (Ibnu Hazm, al-Muhalla, 4/73)

Adakah Kasut Boleh Menyebabkan Isbal?

Isbal berlaku adalah disebabkan kain pakaian dari atas yang dijulurkan ke bawah sehingga melepasi mata kaki. Dari itu, kasut tidak termasuk ke dalam pakaian yang menyebabkan isbal.

Mengangkat Kain/Pakaian Sehingga Melampaui Pertengahan Betis

Dalam persoalan ini, Imam Ibnu Abi Syaibah ada membawakan sebuah riwayat daripada Ibnu Sirin:

عن ابن سيرين قال: كانوا يكرهون الازار فوق نصف الساق

Maksud: Berkata Ibnu Sirin (rahimahullah):

Mereka membenci kain/seluar yang diangkat sehingga melampaui pertengah betis. (Rujuk: Ibnu Abi Syaibah, al-Mushonnaf, 6/29)

Larangan Menyinsing, Mengumpul, atau Melipat Pakaian Ketika Solat

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ وَلَا نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَلَا الشَّعْرَ

Maksud: Daripada Ibnu 'Abbas, bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah berkata:

Aku telah diperintahkan (oleh Allah) untuk sujud dengan tujuh anggota tubuh yang utama termasuk dahi. Dan beliau dalam masa yang sama menunjukkan ke arah hidung, tapak tangan, kaki, dan jari jemari kaki. Serta (diperintahkan) untuk tidak mengikat rambut serta tidak mengumpulkan (menggulung/melipat) pakaian. (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, Kitab as-Solah, 3/45, no. 758)

Berkenaan hadis ini, Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan:

ثُمَّ مَذْهَب الْجُمْهُور أَنَّ النَّهْي مُطْلَقًا لِمَنْ صَلَّى كَذَلِكَ سَوَاء تَعَمَّدَهُ لِلصَّلَاةِ أَمْ كَانَ قَبْلهَا كَذَلِكَ لَا لَهَا بَلْ لِمَعْنًى آخَر، وَقَالَ الدَّاوُدِيّ يَخْتَصّ النَّهْي بِمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ لِلصَّلَاةِ ، وَالْمُخْتَار الصَّحِيح هُوَ الْأَوَّل ، وَهُوَ ظَاهِر الْمَنْقُول عَنْ الصَّحَابَة وَغَيْرهمْ

Maksud: Kemudian majoriti ulama berpendapat bahawa larangan (menyinsingkan pakaian) tersebut adalah bersifat mutlak, berlaku bagi sesiapa sahaja yang solat di dalam keadaan seperti itu. Sama ada dia sengaja menyinsingkan untuk solat, atau sebelum solat memang dia telah seperti itu kerana adanya urusan yang lainnya (bukan kerana solat). Ada pun imam ad-Dawudi berpendapat bahawa larangan tersebut berlaku khusus bagi seseorang yang memang melakukannya untuk solat. Namun yang lebih tepat (benar) serta terpilih adalah pendapat pertama. Dan itulah zahir dari pendapat yang dinukilkan oleh para sahabat dan yang selainnya. (Imam an-Nawawi, Syarah an-Nawawi 'ala Muslim, 2/240, no. 758)

Maka dengan ini, untuk mengelakkan isbal, dan dalam masa yang sama mengelakkan dari perbuatan melipat atau menggulung pakaian, maka pakaian/seluar/kain yang menjulur ke bawah hendaklah dipotong dan dijahit.

Pelaku Isbal Menyerupai Wanita

Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:

Yang membezakan di antara jenis pakaian lelaki dengan pakaian wanita adalah kembali kepada apa yang bertepatan bagi kaum lelaki dan apa yang bertepatan dengan kaum wanita, iaitu pakaian yang sesuai dengan apa yang diperintahkan kepada kaum lelaki dan dengan apa yang diperintahkan kepada kaum wanita. (Syaikh al-Albani, Jilbab Wanita Muslimah, m/s. 152, Pustaka at-Tibyan)

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنْ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنْ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksud: Daripada Ibnu 'Abbas radhiyallahu 'anhuma, katanya:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, 18/239, no. 5435)

Batas larangan yang dimaksudkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam berkenaan penyerupaan wanita dengan lelaki atau yang sebaliknya tidaklah hanya merujuk kepada apa yang dipilih oleh sama ada kaum lelaki atau wanita berdasarkan apa yang biasa mereka pakai. Tetapi, apa yang lebih penting adalah perlunya merujuk kembali kepada apa yang wajib dikenakan bagi kaum lelaki dan wanita berpandukan kepada perintah syara’ yang mewajibkan menutup aurat menurut kaedahnya. (Lihat: Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 152, Pustaka Ibnu Katsir)

Apa yang dapat kita fahami adalah:

1 – Pakaian yang labuh, sehingga menutup kaki itu adalah khusus bagi para wanita.

2 – Pakaian yang tidak labuh dan tidak melebihi paras buku lali, itu adalah batas pakaian bagi lelaki.

3 – Maka, hendaklah kaum lelaki dan kaum wanita memahami persoalan ini dengan baik dan tidak mengenakan yang saling bertentangan. Dan sekiranya lelaki mengenakan pakaian yang labuh sehingga melepasi batas buku lali, maka itu sebenarnya telah mengambil situasi pakaian wanita, dan begitulah sebaliknya.

Ini dapat difahami juga melalui hadis sebagaimana berikut, sekali lagi dinukilkan:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

فَقَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ فَكَيْفَ يَصْنَعْنَ النِّسَاءُ بِذُيُولِهِنَّ قَالَ يُرْخِينَ شِبْرًا فَقَالَتْ إِذًا تَنْكَشِفُ أَقْدَامُهُنَّ قَالَ فَيُرْخِينَهُ ذِرَاعًا لَا يَزِدْنَ عَلَيْهِ

Maksud: Daripada Ibnu 'Umar, katanya:

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berkata: Sesiapa sahaja yang menjulurkan (melabuhkan) pakaiannya kerana sombong, nescaya Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan melihatnya dengan pandangan kasih sayang pada hari kiamat.

Maka Ummu Salamah pun bertanya: Apa yang perlu dilakukan oleh para wanita dengan hujung pakaiannya?

Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam menjawab: Hendaklah mereka menurunkan (melabuhkannya) satu jengkal dari pertengahan betis.

Ummu Salamah berkata: Jika begitu, sudah tentu telapak kaki mereka masih akan tersingkap (kelihatan).

Maka Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam pun menerangkan: Sekiranya begitu, hendaklah mereka menurunkannya satu hasta dan tidak boleh lebih dari itu. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 6/343, no. 1653. at-Tirmidzi menyatakan, hadis ini Hasan Sahih. Juga disahihkan oleh al-Albani)

Meninggalkan Isbal Adalah Sebahagian Dari Ciri-ciri Taqwa

Ini adalah berdasarkan kepada hadis di atas daripada asy-Syarid, di mana Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam yang bertindak menegur seseorang yang isbal dengan katanya:

ارْفَعْ إِزَارَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ قَالَ إِنِّي أَحْنَفُ تَصْطَكُّ رُكْبَتَايَ

Maksud: "Angkatlah kain pakaianmu (dari dilabuhkan dan terseret) dan bertaqwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala". (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 39/470, no. 18656. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Silsilah ash-Shahihah, 4/15, no. 1441)

Penutup

Demikianlah tulisan dan catatan yang serba ringkas berkaitan persoalan isbal bagi kaum lelaki. Semoga kita dapat mengambil manfaat darinya.

Wallahu a'lam...

2 ulasan:

n-u-r-u-l berkata...

minta izin share k???
syukran =)

Hazim Shafii berkata...

Assalamualaikum WBT

Saya amat tertarik dgn entry post "Fenomena Isbal Di Kalangan Kaum Lelaki". In shaa Allah byk yang saya pelajari,

Saya terdapat beberapa persoalan:

1. Adakah memakai stoking yang menutupi buku lali dikira sebagai isbal?

2. Mengenai sunnah pakaian nabi sehingga ke pertengahan betis... boleh x kalau dikatakan pemakaian seluar tiga suku lebih dekat pada sunnah pemakaian nabi memandangkan seluar tiga suku kebiasaannya sehingga paras pertengahan betis.

3. Mengenai hadis larangan melipat pakaian/seluar ketika ingin solat... yang mana lebih penting: iaitu melipat seluar atas buku lali (untuk mengelakkan isbal) sebelum solat atau mengikut larangan hadis ini.

Terima Kasih