Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, 4 Ogos 2009

158 - Amalan Puasa Sunnah Di Bulan Sya’ban

Amalan Puasa Sunnah Di Bulan Sya’ban

http://fiqh-sunnah.blogspot.com


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ

Maksud: Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

Telah berpuasa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sehingga kami mengatakan bahawa beliau tidak pernah berbuka, dan beliau berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa. Kemudian aku tidak pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban.

- Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/78, (كِتَاب الصِّيَامِ), no. 1833.

أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنْ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksud: Usamah B. Zaid berkata:

Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, aku tidak melihatmu (kerap) berpuasa di bulan lain sebagaimana engkau berpuasa di bulan Sya’ban.”

Beliau menjawab: “Bulan itu banyak manusia yang lalai, iaitu di antara Rejab dengan Ramadhan, bulan diangkatnya amal-amal kepada Tuhan semesta alam, dan aku mahu supaya amal-amalku diangkat di dalam keadaan sedang berpuasa.”

- Hadis Riwayat an-Nasa’i, 8/59, (كِتَاب الصِّيَامِ), no. 2317. Ahmad, 44/228, no. 20758. Dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahih wa Dhoif Sunan an-Nasa’i, 6/1, no. 2357.

Kesimpulan:

Disunnahkan supaya memperbanyakkan amalan/ibadah puasa di bulan Sya’ban berbanding bulan-bulan yang selainnya.

Jumaat, 24 Julai 2009

157 - Melakukan Sujud Sahwi Jika Tertinggal Beberapa Raka’at dan Melakukan Salam Lebih Awal Dalam Solat

Melakukan Sujud Sahwi Jika Tertinggal Beberapa Raka’at dan Melakukan Salam Lebih Awal Dalam Solat

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ قَالَ حَدَّثَنَا النَّضْرُ بْنُ شُمَيْلٍ أَخْبَرَنَا ابْنُ عَوْنٍ عَنْ ابْنِ سِيرِينَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِحْدَى صَلَاتَيْ الْعَشِيِّ قَالَ ابْنُ سِيرِينَ سَمَّاهَا أَبُو هُرَيْرَةَ وَلَكِنْ نَسِيتُ أَنَا قَالَ فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ سَلَّمَ فَقَامَ إِلَى خَشَبَةٍ مَعْرُوضَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَاتَّكَأَ عَلَيْهَا كَأَنَّه غَضْبَانُ وَوَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ وَوَضَعَ خَدَّهُ الْأَيْمَنَ عَلَى ظَهْرِ كَفِّهِ الْيُسْرَى وَخَرَجَتْ السَّرَعَانُ مِنْ أَبْوَابِ الْمَسْجِدِ فَقَالُوا قَصُرَتْ الصَّلَاةُ وَفِي الْقَوْمِ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ فَهَابَا أَنْ يُكَلِّمَاهُ وَفِي الْقَوْمِ رَجُلٌ فِي يَدَيْهِ طُولٌ يُقَالُ لَهُ ذُو الْيَدَيْنِ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَسِيتَ أَمْ قَصُرَتْ الصَّلَاةُ قَالَ لَمْ أَنْسَ وَلَمْ تُقْصَرْ فَقَالَ أَكَمَا يَقُولُ ذُو الْيَدَيْنِ فَقَالُوا نَعَمْ فَتَقَدَّمَ فَصَلَّى مَا تَرَكَ ثُمَّ سَلَّمَ ثُمَّ كَبَّرَ وَسَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ أَوْ أَطْوَلَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ وَكَبَّرَ ثُمَّ كَبَّرَ وَسَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ أَوْ أَطْوَلَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ وَكَبَّرَ فَرُبَّمَا سَأَلُوهُ ثُمَّ سَلَّمَ فَيَقُولُ نُبِّئْتُ أَنَّ عِمْرَانَ بْنَ حُصَيْنٍ قَالَ ثُمَّ سَلَّمَ

Maksud: Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu (beliau berkata):

Kami solat bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada salah satu solat di waktu siang hari (sama ada zuhur atau ‘asar (Ibnu Sirin menyebut: Abu Hurairah ada menyebutkan tentang solat tersebut, tetapi aku terlupa)), tetapi beliau hanya solat dua rakaat sahaja dan terus memberi salam. Baginda lalu pergi ke sebatang kayu yang terhampar (melintang/terbaring) di masjid lalu duduk di atasnya seolah-olah sedang geram. Tangan kanannya diletakkan di atas tangan kirinya sambil menggenggam jari-jarinya, manakala pipinya diletakkan di atas telapak kirinya bahagian luar. Kemudian ada yang segera keluar melalui pintu-pintu masjid. Mereka agak kehairanan disebabkan solat telah dipendekkan. Di antara orang ramai itu terdapat pula Abu Bakar dan Umar. Keduanya malu untuk bertanyakan akan perkara tersebut. Kebetulan di antara mereka terdapat seorang lelaki bernama Dzulyadain, beliau bertanya (kepada Rasulullah):

“Ya Rasulullah, adakah anda telah lupa atau solat tadi itu memang telah dipendekkan?” Baginda bersabda:

“Aku tidak lupa dan solat tadi tidak pula dipendekkan.”

Maka Rasulullah pun bertanya kepada para sahabat,

“Adakah benar sebagaimana apa yang dikatakan oleh Dzulyadain?” Para sahabat menjawab:

“Benar”. Maka baginda pun menuju kembali ke tampat semula (tempat solat) dan menyempurnakan baki rakaat yang ditinggalkan, kemudian terus memberi salam. Setelah salam itu baginda bertakbir, sujud sebagaimana biasa atau agak panjang sedikit, lalu mengangkat kepala dan bertakbir. Seterusnya baginda bertakbir lagi lalu bersujud seperti biasa atau agak lama sedikit, kemudian mengangkat kembali kepalanya. Kemudian beliau memberi salam.

- Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 460 (بَاب تَشْبِيكِ الْأَصَابِعِ فِي الْمَسْجِدِ وَغَيْرِهِ)

Note: Berdasakan situasi sebagaimana di dalam hadis di atas, sujud sahwi hendaklah dilaksanakan selepas salam. Sujud dilakukan sebanyak dua kali sujud (selepas salam) dan kemudian memberi salam semula setelah selesai dua kali sujud (sujud sahwi).

Untuk lebih lanjut, boleh merujuk artikel terdahulu: http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/08/perihal-tatacara-sujud-syahwi-yang.html

Rabu, 15 Julai 2009

156 - Wajib Mandi Di Hari Jumaat Bagi Menunaikan Solat Fardhu Jumaat

Wajib Mandi Di Hari Jumaat Bagi Menunaikan Solat Fardhu Jumaat

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال إذا جاء أحدكم الجمعة فليغتسل

Maksudnya:

Dari ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika seseorang dari kamu mendatangi (solat) Jumaat, hendaklah dia mandi.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 877)


عن أبي سعيد الخدر رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال غسل يوم الجمعة واجب على كل محتلم

Dari Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Mandi pada hari Jumaat adalah wajib bagi setiap muslim yang telah deawasa (baligh).”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 879)

Sayyid Sabiq rahimahullah menjelaskan:

“Majoriti ulama memilih pendapat wajibnya mandi untuk solat Jumaat.” (Diperakui oleh al-Albani sebagai pendapat yang benar, Tamamul Minnah, m/s. 126, Pustaka Sumayyah)

Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim berkata:

“Diwajibkan mandi bagi sesiapa yang mendatangi solat Jumaat, iaitu orang-orang yang diperintahkan untuk menunaikan solat Jumaat, menurut pendapat yang ulama yang paling sahih, berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan.” (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, jil. 2, m/s. 305, Pustaka at-Tazkia)

Penjelasan:

1 – Wajib mandi pada hari Jumaat sebelum pergi menunaikan solat fardhu Jumaat. Cukup dengan sekali mandi.

2 – Orang yang berhadas (hadas kecil) setelah mandi, maka cukup dengan berwudhu’, tidak perlu mandi semula.

3 – Sesiapa yang berjunub pada hari Jumaat tersebut, cukup baginya mandi sekali sahaja (merangkumi mandi junub dan mandi hari Jumaat).

4 – Boleh mandi sama ada mahu mandi di waktu awal pagi atau lewat pagi sebelum pergi menunaikan solat Jumaat.

Ibnu Qudamah rahimahullah menjelaskan:

“Waktu mandi adalah setelah terbitnya fajar, bila mandi setelah itu maka itu mencukupi, dan bila mandi sebelumnya maka tidak mencukupi.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil. 3, m/s. 85, Pustaka Azzam)

Wallahu a’lam.

Rujukan:

1 – Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, Pustaka at-Tazkia.

2 – Ibnu Qudamah, al-Mughni, Pustaka Azzam.

3 – Muhammad Nashiruddin al-Albani, Tamamul Minnah, Pustakla Sumayyah.

4 – Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, Darus Sunnah.

Selasa, 9 Jun 2009

155 - Membaca Basmalah Ketika Hendak Berwudhu’

Membaca Basmalah Ketika Hendak Berwudhu’

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/


لاَوُضُوْءَ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ

“Tidak ada wudhu’ bagi orang yang tidak menyebut Nama Allah.”

Takhrij Hadis:

1 - Dari Riwayat Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu. Diriwayatkan oleh Ahmad, 2/418, Abu Daud, no. 101, al-Baihaqi, 1/43, Ibnu Majah, no. 399, al-Baghawi, no. 209, ad-Daruquthni, 1/79, al-Hakim, 1/146, dan selainnya, dari jalan Muhammad bin Musa al-Makhzumi, dari Ya’qub bin Salamah, dari bapanya, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dengan hadis tersebut.

Hadis ini di dalam sanadnya terdapat dua orang yang majhul (tidak dikenali). Tetapi hadis ini memiliki banyak syahid (penguat) di antaranya berdasarkan hadis dari Sahabat - Sa’id bin Za’id, ‘Aisyah, dan Sahl bin Sa’ad radhiyallahu ‘anhum.

Al-Hakim berkata: Sahih. Tetapi Imam adz-Dzahabi dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani tidak menyetujuinya. Keduanya mendhaifkannya disebabkan Ya’qub dan bapanya adalah rawi yang majhul. Begitu juga dengan al-Bukhari, beliau berkata di dalam at-Tarikh, 4/76, “Salamah tidak diketahui mendengar dari Abu Hurairah, dan Ya’qub tidak diketahui mendengar dari bapanya.”

Syaikh al-Albani menyatakan hadis ini (dari jalan Abu Hurairah) sebagai hasan. (Rujuk: Irwa’ul Ghalil, 1/160, no. 51)

2 - Hadis ini juga diriwayatkan oleh ad-Daruquthni, 1/71 dan al-Baihaqi, 1/44 dari jalan Mahmud bin Muhammad azh-Zhafari, Ayyub bin Najjar menyampaikan kepada kami, dari Yahya bin abu Katsir, dari Abu Salamah, dri Abu Hurairah dengan hadis tersebut. Sanad ini juga dhaif dengan dua ‘illat, iaitu Mahmud tidak kuat, Ayyub tidak mendengar hadis ini dari Yahya sebagaimana perkara itu banyak dinyatakan oleh ulama hadis.

3 – Dari riwayat Sa’id bin Zaid radhiyallahu ‘anhu. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, no. 15, Ahmad, 3/70, Ibnu Majah, 398, at-Tirmidzi, 1/37, no. 25 & 26, ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 373-377, ad-Daruquthni, 1/72, al-Hakim, 4/60, al-Baihaqi, 1/43: Dari jalan Abu Tsifat al-Murri, dari Rabah bin Abdurrahman dari neneknya dari bapak neneknya dengan hadis tersebut.

Imam al-Bukhari berkata: “Ini adalah hadis terbaik dalam persoalan ini.”

At-Tirmidzi berkata: “Hadis Sa’id bin Zaid merupakan hadis yang paling baik.” (Rujuk: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/184)

Hadis ini adalah dhaif dan hanya layak sebagai syahid (penguat) kerana Abu Tsifal dan Rabah adalah rawi yang diterima dengan mutaba’ah.

4 – Dari riwayat Abu Sa’id al-Khudri. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, no. 14, Ahmad, 3/41, Abd bin Humaid, no. 910, ad-Darimi, 1/116, Ibnu Majah, 397, ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 380, Ibnu Sunni, no. 26, Ibnu Adi, 3/1034, al-Hakim, 1/147, al-Baihaqi, 1/43 dengan beberapa jalan. Dari Katsir bin Zaid, dari Rubaih bin Abdurrahman bin Abu Sa’id, dari datuknya dengan hadis tersebut.

Ahmad berkata: “Ini adalah yang terbaik dalam masalah ini.”

Ishaq berkata: “Ini adalah yang tersahih dalam masalah ini.”

Dinyatakan di dalam az-Zawaid, “Hasan.” Namun, ia sebenarnya hasan dengan syahid-syahidnya kerana pada Katsir dan Rubaih terdapat kelemahan.

5 – Dari riwayat ‘Aisyah. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, no. 16, al-Bazzar, no. 159, Mukhtashar az-Zawaid (Abu Ya’la), no. 4687, ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 383-384, ad-Daruquthni, 1/72, dari jalan Haritsah bin Abur Rijal, dari Amrah, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, dari perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Haritsah adalah perawi yang sangat lemah. Disebabkannya, Ahmad pun menyatakan: Ini adalah hadis yang paling dhaif dalam masalah ini.”

6 – Dari riwayat Sahl bin Sa’ad. Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, no. 400, ath-Thabrani (al-Mu’jam al-Kabir), 6/121, no. 5699 dan ad-du’a, no. 382, al-Hakim, 1/269, al-Baihaqi, 2/379, dari jalan Ubay dan Abdul Muhaimin dua anak Abbas bin Sahl bin Sa’ad, dari bapa keduanya, dari datuk keduanya dengan hadis tersebut secara marfu’.

Ubay dan Abdul Muhaimin adalah dua rawi yang dhaif, dan hadis ini didhaifkan oleh adz-Dzahabi dan al-Bushiri.

Syaikh Salim ‘Ied al-Hilali berkata:

“Abdul Muhaimin bin ‘Abbas lemah, tetapi dia tidak sendirian dalam meriwayatkan hadis tersebut, ia didukung oleh saudaranya, Ubay bin ‘Abbas. Ubay bin ‘Abbas juga memiliki kelemahan, tetapi hadisnya mu’tabar (dapat digunakan) untuk penelitian dan sebagai syahid (penguat).” (Salim al-Hilali, Sahih dan Dhaif Kitab al-Adzkar, m/s. 113)

Kesimpulan:

Syaikh Amir bin Ali Yasin berkata:

“Tidak satu pun hadis dari jalan-jalan yang dijelaskan di atas selamat dari kelemahan. Hanya saja padanya tidak terdapat rawi yang tertuduh berdusta dan matruk, maka hadis seperti ini boleh menjadi kuat dengan mutaba’ah dan syawahidnya, jadi hadis di atas adalah sahih tanpa kebimbangan padanya. Para imam berikut cenderung menguatkannya, mereka adalah: Ibnu Abi Syaibah, al-Mundziri, Ibnu Sholah, Ibnul Qayyim, Ibnu Jama’ah, Ibnu Katsir, al-Bushiri, al-Haitsami, al-Iraqi, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Syaikh Ahmad Syakir, dan Syaikh al-Albani.” (Amir Ali Yasin, Tahiq ke atas al-Adzkar an-Nawawiyah, m/s. 114, Pustaka Sahifa)

Dan beliau berkata lagi:

“Ia memiliki dasar sunnah, hanya saja ia sangat lemah, tidak dianggap dan tidak disyari’atkan.”

Imam Ahmad bin Hanbal berkata:

“Aku tidak mengetahui satu hadis pun yang sahih dalam persoalan basmalah ketika berwudhu’.” (Abu Daud, Masa’ilul Imam Ahmad, m/s. 6)

Namun, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata sebagaimana yang dinukil oleh Ibnu Allan darinya di dalam al-Futuhat, 2/6:

“Tidak mengetahui tidak bererti sesuatu itu tidak ada. Kalau pun demikian maka penafian ketidak adaan yang sahih, jadi masih ada yang hasan, kalau pun demikian maka penafian ketiadaan dari setiap peribadi tidak mengharuskan penafian dari keseluruhan.”

Syaikh Salim ‘Ied al-Hilali berkata:

Berkenaan hadis-hadis tentang tasmiyah dalam wudhu’. Maknanya tidak terlepas dari perbincangan, pada semua hadis itu terdapat perkara yang menjadikannya kuat yang menunjukkan bahawa hadis-hadis itu memiliki dasar. Pendapat ini dipegang oleh para ulama pilihan dalam bidang ini sama ada para salaf mahu pun ulama-ulama sekarang. Al-Hafiz al-Mundziri rahimahullah menyatakan di dalam at-Targhib wat Tarhib, 1/164. Dalam masalah ini terdapat banyak hadis yang tidak terlepas dari perbincangan menurut al-Hasan, Ishaq Ibnu Rahawaih, azh-Zhahiriyah dan salah satu riwayat (pendapat) dari imam Ahmad, bahawa Tasmiyah (membaca basmalah) ketika berwudhu’ itu adalah wajib, sehingga jika sengaja ditinggalkan, maka harus mengulangi wudhu’mya. Tidak diragukan lagi, bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai tasmiyah ketika berwudhu’ walau pun semuanya tidak terlepas dari perbincangan, tetapi ia menjadi kuat dengan banyaknya jalan. Wallahu a’lam.

Al-Hafiz rahimahullah berkata di dalam Talkhishul Habir, 1/75: “Nampaknya semua hadis itu masing-masing saling mendukung satu dengan yang lainnya yang menunjukkan bahawa ia memiliki dasar.”

Al-‘Allamah Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata dalam al-Manaarul Muniif, no. 122: “Akan tetapi, hadis-hadis tersebut hasan.”

Di antara yang berpendapat akan kuatnya hadis tersebut adalah Ibnu Sayyid an-Nass, al-Hafiz al-‘Iraqi, asy-Syaukani, ash-Shan’ani, serta Syaikh kami ahli Hadis zaman ini, iaitu Syaikh al-Albani rahimahullah.” (Salim al-Hilali, Sahih dan Dhaif Kitab al-Adzkar, m/s. 113)

Fiqh Hadis:

Syaikh al-Albani berkata:

Jika mengakui hadis ini kuat, maka harus mengatakan dengan makna zahirnya, iaitu wajibnya membaca basmalah. Kerana tidak ada dalil yang membolehkan keluar dari makna zahir ini kepada pernyataan bahawa perintah ini hanyalah suatu anjuran (sunnah). Hukum wajib ini adalah pendapat mazhab Zhahiriyah, Ishaq, salah satu dari dua riwayat Ahmad, Siddiq Khan, dan asy-Syaukani. Itulah yang benar, insyaAllah. (al-Albani, Tamamul Minnah, m/s. 93, Pustaka Sumayyah)

Imam an-Nawawi menganggap ia sebagai suatu sunnah dan perlu dilakukan di awal wudhu’. Jika terlupa di awal wudhu’ hendaklah membacanya di pertengahan atau di akhir wudhu’.(Rujuk Radhatuth Thalibin dan al-Adzkar an-Nawawiyah)

Diriwayatkan dari Ahmad bahawa hukum membaca basmalah adalah wajib dalam setiap thaharah, sama ada wudhu’, mandi, mahu pun tayammum. Ini merupakan pendapat yang dipilih Abu Bakar serta merupakan mazhab Hasan dan Ishaq. (Rujuk: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/184)

At-Tirmidzi berkata:

“Hadis Sa’id bin Za’id merupakan hadis terbaik. Penyebutan kata benda nakirah (indefinite) dalam kalimat negatif pada hadis tersebut menunjukkan bahawa wudhu’ seseorang tidak akan sah tanpa membaca basmalah terlebih dahulu.” (Rujuk: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/184)

Ibnu Qudamah berkata:

Dalam persoalan ini, meninggalkannya secara sengaja, bererti thaharah (wudhu’) yang dilakukan seseorang tidak akan sah. Kerana ia telah meninggalkan sesuatu yang wajib dilakukan ketika bersuci. Ini sama seperti ketika seseorang meninggalkan niat. Tetapi jika seseorang meninggalkannya secara tidak sengaja atau kerana lupa, maka thaharah yang dilakukannya tetap sah.

Bagaimana melafazkan basmalah?

Ibnu Qudamah berkata:

“Membaca basmalah adalah dengan mengucapkan lafaz “Bismillah” (dengan menyebut nama Allah). Ia tidak dapat digantikan dengan lafaz lain, seperti halnya bacaan basmalah yang disyari’atkan sebelum melakukan penyembelihan, dan ketika hendak makan atau minum. Ia dilakukan setelah berniat, iaitu sebaik sahaja ingin bersuci.” (Rujuk: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/186-187)

Rujukan:

1 – Ibnu Qudamah, al-Mughni.

2 – an-Nawawi, Raudhatuth Thalibin.

3 – ash-Shan’ani, Subulus Salam.

4 – al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud

5 – al-Albani, Tamamul Minnah.

6 – al-Albani, Irwa’ul Ghalil.

7 – Amir bin Ali Yasin, Tahqiq al-Adzkar an-Nawawiyah.

8 – Salim ‘Ied al-Hilali, Shahih dan Dhaif Kitab al-Adzkar.

Jumaat, 22 Mei 2009

153 - Sahihnya Sunnah Menggerak-gerakkan Jari Telunjuk Ketika Bertasyahhud

Harap maaf, artikel ini telah kami pindahkan ke website baru kami di,

http://www.ilmusunnah.com/contoh-sikap-lapang-dada-zamihan-al-ghari-dalam-isu-gerak-jari-dalam-tasyahhud-solat/

152 - Bolehkah Menetapkan Seseorang Sebagai Syahid?

Bolehkah Menetapkan Seseorang Sebagai Syahid?

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Mungkin kita pernah mendengar seseorang yang telah meninggal dunia disebut namanya dengan gelaran “asy-Syahid fulan...” atau mungkin pernah kita diberitahu bahawa, “Si fulan telah Syahid...”.

Maka, ini kita letakkan sebagai perkataan kategori pertama.

Dengan itu, adakah ia bermakna si fulan telah dipastikan masuk Syurga dan diampuni segala dosa-dosanya?

Kemudiannya, terdapat satu lagi ungkapan yang sekali imbas hampir sama, tetapi hakikatnya berbeza iaitu,

“Sesiapa yang mati di medan perang di jalan Allah, maka dia mati syahid.”

Walau bagaimana pun, dua ungkapan di atas adalah berbeza sama sekali. Jenis perkataan dari kategori pertama, menjelaskan soal kesyahidan seseorang individu dengan khusus. Manakala perkataan kedua, menjelaskan hanya secara umum bahawa sesiapa sahaja yang benar-benar berjihad di jalan Allah dan terbunuh maka dialah yang mati syahid dan dijamin masuk syurga tanpa merujuk kepada mana-mana individu tertentu.

Berkenaan perkataan kategori yang pertama, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“...Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertaqwa.” (Surah an-Najm, 53: 32)

Ini adalah disebabkan persoalan niat merupakan persoalan hati. Tidak ada yang mengetahui hati seseorang melainkan Allah. Dan dialah yang maha mengetahui tentang kedudukan seseorang itu secara jelas.

Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa Sallam juga bersabda:

“Demi Zat yang diriku berada di tangan-Nya, tidaklah seseorang terluka di jalan Allah, dan hanya Allah yang maha Mengetahui siapa yang terluka di jalan-Nya. Pasti akan datang pada hari kiamat (luka tersebut) warnanya darah, tetapi baunya bau minyak kasturi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2803)

Dengan penjelasan bahawa “... hanya Allah yang maha Mengetahui siapa yang terluka di jalan-Nya...” menunjukkan bahawa kita tidak mengetahui niat seseorang yang berjihad.

Imam al-Bukhari juga telah meletakkan bab di dalam Shahihnya dengan judul “Tidak Boleh Disebut Si Fulan Mati Syahid”.

Perbuatan menetapkan seseorang sebagai mati syahid bukanlah tugas manusia melainkan melalui ketetapan yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan juga Rasul-Nya melalui wahyu yang diterimanya.

Umar Radhiyallahu ‘anhu berkata di dalam khutbahnya:

“Kamu mengatakan di dalam peperangan kamu bahawa si fulan dan si fulan mati syahid. Namun, boleh jadi dia (mati) kerana terjatuh dari kenderaannya. Maka janganlah kamu berkata begitu tetapi katakanlah seperti yang dikatakan oleh Rasulullah, iaitu: “Sesiapa yang mati di jalan Allah atau terbunuh maka dia mati Syahid...”.” (Hadis Riwayat Ahmad. Hasan menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, jil. 9, m/s. 48)

Rabu, 13 Mei 2009

151 - Walimatul Urus: Di Antara Sunnah Dan Yang Ditokok Tambah

Walimatul Urus
Di Antara Sunnah Dan Yang Ditokok Tambah
www.ilmusunnah.com

Mewujudkan sebuah perkahwinan merupakan satu langkah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti petunjuk mereka.

Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam menggalakkan umatnya untuk berkahwin...

Ikuti artikel lengkap di website kami, http://www.ilmusunnah.com/majlis-perkahwinan-yang-sunnah-mudah-dan-barakah-2/

Dan sambungannya di, http://www.ilmusunnah.com/tinjauan-beberapa-amalan-dalam-majlis-perkahwinan/