Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, 18 Januari 2010

168 - Solat Sunnah Gerhana (Kusuuf/Khusuuf)

Solat Sunnah Gerhana (Kusuuf/Khusuuf)


Hadis-hadis berkaitan tuntutan melaksanakan solat sunnah di ketika berlakunya fenomena Gerhana:


عَنْ عَائِشَةَ: أَنَّ الشَّمْسَ خَسَفَتْ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَعَثَ مُنَادِيًا الصَّلَاةُ جَامِعَةٌ فَاجْتَمَعُوا وَتَقَدَّمَ فَكَبَّرَ وَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ


Terjemahan: Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, bahawasanya matahari mengalami gerhana pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka beliau meminta seseorang berseru (memanggil) dengan “ash-Shalatu Jami’ah” (ayuh solat berjama’ah). Beliau pun lantas tampil ke hadapan, bertakbir, dan melaksanakan solat dengan dua raka’at yang di dalamnya dilaksanakan empat kali ruku’. (Hadis Riwayat Muslim, Bab Solat Kusuuf, 4/444, no. 1501)


عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ يُخَوِّفُ اللَّهُ بِهِمَا عِبَادَهُ وَإِنَّهُمَا لَا يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ


Terjemahan: Dari Abu Mas’oud (Uqbah B. ‘Amir) al-Anshary radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda kekuasaan dari tanda-tanda kekuasaan Allah, yang dengan keduanya Allah hendak menjadikan hamba-hamba-Nya berperasaan takut. Keduanya (matahari dan bulan) tidak mengalami gerhana dengan sebab matinya seseorang manusia dan tidak pula kerana hidupnya seseorang manusia. Sekiranya kamu melihat salah satu dari dua gerhana tersebut, maka solatlah dan berdoalah selagi mana ia dapat kamu lihat. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Kusuuf, 4/463, no. 1516)


عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا قَالَتْ: خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الْأُولَى ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا ثُمَّ قَالَ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا


Terjemahan: Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

Matahari mengalami gerhana pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau berdiri dan bersolat bersama-sama yang lain, dengan memanjangkan (melamakan tempoh) berdiri, kemudian ruku’ lalu memanjangkan (melamakan tempoh) ruku’, kemudian berdiri dan memanjangkan tempoh berdiri namun lebih pendek dari tempoh berdiri yang pertama (sebelumnya). Kemudian ruku’ lalu memanjangkan ruku’, namun lebih pendek tempohnya berbanding ruku’ yang pertama, kemudian sujud dan memanjangkan tempoh sujud. Kemudian mengerjakannya di dalam rakaat yang lain sebagaimana beliau melaksanakannya di dalam raka’at yang pertama. Kemudian beliau beranjak sementara matahari sudah kelihatan, lalu menyampaikan khutbah kepada mereka yang hadir sambil memuji Allah dan menyanjung-Nya. Kemudian beliau bersabda:

Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda kekuasaan dari tanda-tanda kekuasaan Allah, yang gerhana ini berlaku tidaklah berlaku dengan sebab kematian seseorang atau kehidupan seseorang. Sekiranya kamu melihat gerhana maka berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, solatlah, dan bersedekahlah.

Kemudian beliau bersabda:

Wahai umat Muhammad, demi Allah, tiada seseorang pun yang lebih cemburu daripada Allah sekiranya hambanya yang lelaki berzina atau hambanya yang wanita berzina. Wahai umat Muhammad, demi Allah, sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, tentu kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Bab Sedekah Di Waktu Gerhana, 4/159, no. 986)


عَنْ أَبِي مُوسَى الأشعري قَالَ: خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلَاةٍ قَطُّ ثُمَّ قَالَ إِنَّ هَذِهِ الْآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لَا تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ


Terjemahan: Dari Abi Musa al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

Matahari mengalami gerhana pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu (beliau) berdiri dalam keadaan takut, kerana khuwatir (bimbang) hari kiamat telah tiba, sehingga beliau tiba di masjid, beliau berdiri lalu solat, ruku’, dan sujud dengan sangat lama. Aku sama sekali tidak pernah melihat beliau melakukan seperti itu di dalam mana-mana solat pun. Kemudian beliau bersabda:

Sesungguhnya ini merupakan tanda-tanda kekuasaan yang dikirimkan Allah Ta’ala, yang tidak terjadi disebabkan kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupan seseorang, tetapi Allah mengirimkannya untuk menjadikan hamba-hamba-Nya takut. Sekiranya kamu melihat sebahagian gerhana tersebut, maka mohonlah pertolongan dengan berzikir (mengingati Allah), berdoa, dan memohon keampunan kepada-Nya. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Kusuuf, 4/465, no. 1518)

Perkara-perkara Sunnah (Yang Dianjurkan) Ketika Berlaku Gerhana:

1 – Melihat gerhana dengan perasaan takut kerana Allah.

2 – Melaksanakan Solat jika berjaya melihatnya di tempat di mana berada.

3 – Berdoa dan berzikir.

4 – Mengeluarkan sedekah.

5 – Terdapat hadis yang menunjukkan bahawa Nabi memerintahkan memerdekakan hamba di waktu terjadinya gerhana.

6 – Melakukan amalan-amalan yang membawa keredhaan dan dapat mendekatkan diri kepada Allah.

Definisi:

Imam Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani rahimahullah berkata:


يقال: كسفت الشمس: بفتح الكاف وتضم نادراً وانكسفت وخسفت بفتح الخاء وتضم نادراً وانخسفت. واختلف العلماء في اللفظين هلا يستعملان في الشمس والقمر، أو يختص كل لفظ بواحد منهما؟ وقد ثبت في القرآن نسبة الخسوف إلى القمر، وورد في الحديث خسفت الشمس كما ثبت في نسبة الكسوف إليهما وثبت استعمالهما منسوبين إليهما فيقال فيهما: الشمس والقمر ينخسفان، وينكسفان إنما الذي لم يرد في الأحاديث نسبة الكسوف إلى القمر على جهة الانفراد، وعلى هذا يدل استعمال الفقهاء فإنهم يخصون الكسوف بالشمس والخسوف بالقمر: واختاره ثعلب، وقال الجوهري: إنه أفصح، وقيل يقال بهما في كل منهما.


Terjemahan: Disebutkan (dengan lafaz) “Kasafat asy-Syam”, Inkasafat dan Khasafat, begitu juga khasafat. Para ulama berbeza pendapat di dalam penggunaan dua lafaz tersebut (al-Kusuuf dan al-Khusuuf) sama ada keduanya digunakan untuk matahari dan bulan, atau masing-masing lafaz tersebut memiliki pasangannya sendiri dari keduanya.

Di dalam al-Qur’an, penisbahan kata al-Khusuuf kepada bulan, namun di dalam hadis terdapat penyandaran al-Khusuuf kepada matahari sebagaimana tsabit juga penyandaran kata al-Kusuuf kepada matahari. Terdapat penggunaan kedua-dua bentuk lafaz tersebut kepada matahari dan bulan, sebagaimana disebutkan “asy-Syamsu wal Qomari yankhasifani wa yankasifani”, tetapi tidak ditemui lafaz al-Kusuuf dinisbahkan kepada bulan dengan cara menyendiri, dengan alasan ini para ulama mengkhususkan lafaz kusuuf untuk matahari dan lafaz khusuuf untuk bulan, dan inilah yang dipilih oleh Tsa’lab, dan al-Jauhari berkata: “Ini lebih fasih (mendekati kebenaran), dan juga dinyatakan, kedua istilah tersebut (al-Kusuuf dan al-Khusuuf) digunakan untuk keduanya (matahari dan bulan)”. (Rujuk: Imam ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/73)

Bgitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani:


والمشهور في استعمال الفقهاء أن الكسوف للشمس والخسوف للقمر واختاره ثعلب وذكر الجوهري أنه أفصح وقيل يتعين ذلك


Terjemahan: Telah masyhur penggunaan lafaz tersebut di kalangan ulama bahawasanya al-Kusuuf untuk matahari dan al-Khusuuf untuk bulan sebagaimana yang dipilih oleh Tsa’lab dan disebutkan oleh al-Jauhari bahawasanya ia lebih fasih (mendekati kebenaran) disebutkan demikian. (Ahmad B. ‘Ali B. Hajar, Fathul Bari, 2/535)

Syaikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim hafizahullah berkata:


الكسوف: هو ذهاب ضوء أحد النيري (الشمس والقمر) أو بعضه، وتغيره إلى سواد، والخسف مرادف له، وقيل: الكسوف للشمس، والخسوف للقمر، وهو الشهر فى اللغة. والصلاة الكسوف: صلاة تؤدى بكيفية مخصوصة، عند ظلمه أحد النيرين أو بعضهما


Al-Kusuf: Ia adalah menghilangnya (perginya) seluruh cahaya salah satu dari dua benda langit yang bercahaya (iaitu matahari dan bulan) atau sebahagian darinya dan berubah menjadi gelap (hitam). Sementara al-Khusuf adalah yang bersamaan dengannya. Dikatakan al-Kusuuf merujuk untuk matahari, manakala al-Khusuuf pula merujuk kepada bulan, dan inilah yang dikenali di dalam bahasa ‘Arab.

Dan solat al-Kusuuf (gerhana): Adalah solat yang dilaksanakan dengan tatacara yang khusus di ketika terjadinya gerhana matahari atau bulan sama ada gerhana secara penuh atau sebahagian darinya. (Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shohih Fiqhus Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib al-A’immah, 1/432)

Hukum Melaksanakan Solat Sunnah Gerhana (Solat Kusuuf/Khusuuf)

Di dalam Fathul Bari, al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan:


أي مشروعيتها وهو أمر متفق عليه لكن اختلف في الحكم وفي الصفة فالجمهور على أنها سنة مؤكدة وصرح أبو عوانة في صحيحه بوجوبها ولم أره لغيره إلا ما حكى عن مالك أنه أجراها مجرى الجمعة ونقل الزين بن المنير عن أبي حنيفة أنه أوجبها وكذا نقل بعض مصنفي الحنفية أنها واجبة


Terjemahan: (Bahawa Solat gerhana ini) pensyari’atannya telah disepakati (diperakui), hanya cuma terdapat perbezaan pada penentuan hukum dan tatacara perlaksanaannya. Jumhur (majoriti) ulama menyatakan hukumnya (solat gerhana) adalah sunnah mu’akkad. Abu ‘Awanah menegaskan hukumnya wajib di dalam Shohihnya. Aku tidak melihat mereka yang meletakkan hukum wajib ini selain dari beliau (Abu ‘Awanah) kecuali apa yang diriwayatkan dari Malik bahawasanya beliau meletakkan kedudukan solat gerhana sama seperti solat Juma’at. Dan dinukilkan dari az-Zain B. Al-Munayir dari Abi Hanifah bahawa beliau mewajibkannya sebagaimana yang dinukil oleh para pencatat dari kalangan mazhab Hanafi. (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 2/527)

Ibnu Qudamah di dalam al-Mughni berkata:


وَصَلَاةُ الْكُسُوفِ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ ؛ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَلَهَا ، وَأَمَرَ بِهَا ، وَوَقْتُهَا مِنْ حِينِ الْكُسُوفِ إلَى حِينِ التَّجَلِّي ، فَإِنْ فَاتَتْ لَمْ تُقْضَ ؛ لِأَنَّهُ رُوِيَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { أَنَّهُ قَالَ : إذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَافْزَعُوا إلَى الصَّلَاةِ حَتَّى تَنْجَلِيَ } . فَجَعَلَ الِانْجِلَاءَ غَايَةً لِلصَّلَاةِ


Terjemahan: Solat gerhana hukumnya sunnah mu’akkadah, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaksanakan dan memerintahkannya. Waktunya adalah ketika berlakunya gerhana sehingga terang kembali (selesai gerhana). Apabila telah berlalu maka tidak diqadha, kerana beliau bersabda: “Apabila kamu melihatnya (gerhana) maka lakukanlah solat sehingga gerhana selesai.” Beliau menetapkan “Sehingga gerhana selesai (kembali terang)” sebagai batas waktu berakhirnya perlaksanaan solat. (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 4/318)

Ibnu Rusyd di dalam Bidayatul Mujtahid:


اتفقوا على أن صلاة كسوف الشمس سنة وأنها في جماعة


Terjemahan: Telah dipersejui (diperakui oleh para ulama) bahawa solat kusuuf (gerhana) matahari adalah sunnah dan ia dilaksanakan secara berjama’ah. (Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1/210)

Imam Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani berkata:


والأمر دليل الوجوب إلا أنه حمله الجمهور على أنه سنة مؤكدة لانحصار الواجبات في الخمس الصلوات


Terjemahan: Perintah solat gerhana melalui hadis ini menunjukkan perintah wajib, walaubagaimana pun majoriti ulama (jumhur) menyatakannya sebagai sunnah mu’akkadah kerana solat yang wajib hanyalah solat fardhu yang lima. (Rujuk: ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/73)

Syaikh Muhammad B. ‘Umar Salim Bazmul berkata:


صلاة الكسوف والخسوف سنة مؤكدة ، يستحب للمسلم فعلها استحباباً مؤكداً


Terjemahan: Solat Kusuuf (gerhana matahari) dan Khusuuf (gerhana bulan) adalah sunnah mu’akkadah (sunnah yang sangat dianjurkan). Disunnahkan bagi umat Islam melaksanakannya.

Beliau menjelaskan lagi:


قلت : ووجه دلالة الحديث أن الأمر بالصلاة جاء مقروناً بالأمر بالتكبير والدعاء والصدقة ، ولا قائل بوجوب الصدقة والتكبير والدعاء عند الكسوف ؛ فالأمر فيها للاستحباب إجماعاً ، فكذا الأمر بالصلاة المقترن بها. والله الموفق


Terjemahan: Aku katakan: Melalui dalil ini, ia adalah perintah mengerjakan solat bersamaan dengannya perintah untuk bertakbir, berdoa, dan bersedekah. Dan tidak ada seorang pun yang mewajibkan bersedekah, bertakbir, dan berdoa di ketika terjadinya gerhana. Dengan itu, menurut kesepakatan ijma’ bahawa perintah tersebut bersifat sunnah. Begitu juga dengan perintah untuk mengerjakan solat yang bersamaan dengannya. Wallahul Muwaffiq. (Rujuk: Muhammad B. ‘Umar, Bughayatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’, m/s. 75, saaid.net)

Kesimpulan: Hukumnya adalah sunnah mu’akkad bagi mereka yang melihatnya. Dan dilaksanakan secara berjama’ah.

Masa Perlaksanaan Solat Gerhana:

Di dalam al-Mughni, Ibnu Qudamah menjelaskan:


فَقَالَ الْقَاضِي : يُصَلِّي ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَذْهَبْ وَقْتُ الِانْتِفَاعِ بِنُورِهِ وَضَوْئِهِ . وَيَحْتَمِلُ أَنْ لَا يُصَلِّيَ ؛ لِأَنَّ مَا يُصَلِّي لَهُ قَدْ غَابَ ، أَشْبَهَ مَا لَوْ غَابَتْ الشَّمْسُ . وَإِنْ فَرَغَ مِنْ الصَّلَاةِ وَالْكُسُوفُ قَائِمٌ لَمْ يَزِدْ ، وَاشْتَغَلَ بِالذِّكْرِ وَالدُّعَاءِ ؛ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَزِدْ عَلَى رَكْعَتَيْنِ .


Terjemahan: al-Qadhi berkata: “Dilaksanakan solat gerhana disebabkan waktu untuk memanfaatkan cahaya dan sinarnya.” Kemungkinan juga tidak dilaksanakan solat gerhana disebabkan penyebabnya yang telah tiada sebagaimana apabila matahari tidak kelihatan. Apabila solat gerhana telah selesai dilakukan sedangkan gerhana masih berlangsung, maka tidak ditambah solatnya, namun sibukkanlah diri dengan zikir dan doa, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melakukannya tidak lebih dari dua raka’at. (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 4/318)

Syaikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim:


وقت صلاة الكسوف ظهر الكسوف إلى حسين زوله، لقول النبى صلى الله عليه وسلم (المتقدم): إذا رأيتموهما فادعوا الله وصلوا حتى ينجلى. فجعل الانجلاء غاية للصلاة، لأنها شرعت رغبة إلى لله فى رد نعمة الضوء، فإذا حصل ذلك حصل المقصود من الصلاة


Terjemahan: Waktu solat gerhana bermula pada ketika gerhana mula terjadi sehingga gerhana selesai. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

Apabila kamu melihat keduanya (fenomena gerhana), maka berdoalah kepada Allah dan solatlah sehingga gerhana tersebut selesai.”

Beliau menetapkan berakhirnya gerhana sebagai tanda berakhirnya solat. Kerana solat gerhana ini disyari’atkan sebagai harapan kepada Allah supaya mengembalikan nikmat cahaya. Sekiranya perkara tersebut telah tercapai, maka tercapailah maksud dari solat tersebut. (Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shohih Fiqhus Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib al-A’immah, 1/433)

Imam Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani berkata:


وجعل صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم غاية وقت الدعاء والصلاة انكشاف الكسوف، فدل على أنها تفوت الصلاة بالانجلاء، فإذا انجلت وهو في الصلاة فلا يتمها، بل يقتصر على ما فعل إلا أن في رواية لمسلم: "فسلم وقد انجلت"، فدل أنه يتم الصلاة وإن كان قد حصل الانجلاء، ويؤيده القياس على سائر الصلوات فإنها تقيد بركعة كما سلف، فإذا أتى بركعة أتمها. وفيه دليل على أن فعلها يتقيد بحصول السبب في أي وقت كان من الأوقات، وإليه ذهب الجمهور


Terjemahan: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa dan solat sehingga hujung (akhir) waktu tersingkapnya gerhana menunjukkan habis waktu untuk bersolat adalah dengan tersingkapnya matahari. Dan sekiranya matahari sudah jelas terang (kelihatan/tamat gerhana) tetapi beliau masih di dalam keadaan solat, maka beliau pun menyempurnakan solatnya, akan tetapi cukup dengan apa yang telah dilakukan. Tetapi, di dalam riwayat Muslim, “Rasulullah memberi salam sedangkan matahari telah jelas tersingkap (tamat gerhana)”. Hadis ini menunjukkan bahawa beliau menyempurnakan solat walau pun matahari telah tersingkap. Perkara ini diperkuatkan dengan qiyas terhadap seluruh solat, iaitu setiap solat dibatasi oleh raka’at sebagaimana penjelasan yang lalu, iaitu sekiranya ia telah mendapatkan satu raka’at maka ia (hanya perlu) menyelesaikannya. Dan di dalam hadis ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa melaksanakan solat gerhana adalah dengan sebab terjadinya sebuah sebab di dalam waktu-waktu tertentu bila-bila sahaja (ia berlaku). Dan ini merupakan pendapat majoriti (jumhur ulama). (Rujuk: ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/73)

Perlaksanaan Solat Gerhana:

1 – Melaksanakannya di masjid secara berjama’ah. Wanita juga boleh turut keluar mengikuti solat gerhana berjama’ah di masjid sekiranya terhindar (bebas) dari fitnah.

Selain dalil-dalil sebagaimana di atas, berikut dalil yang menunjukkan wanita juga boleh turut serta melaksanakannya secara berjama’ah:


عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ أَنَّهَا قَالَتْ: أَتَيْتُ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ خَسَفَتْ الشَّمْسُ فَإِذَا النَّاسُ قِيَامٌ يُصَلُّونَ وَإِذَا هِيَ قَائِمَةٌ تُصَلِّي


Terjemahan: Dari Asma’ Binti Abi Bakr bahawasanya beliau berkata:

Aku datang kepada ‘Aisyah, isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika sedang berlakunya gerhana matahari. Maka aku pun melihat sekumpulan manusia berdiri melaksanakan solat dan beliau (‘Aisyah) pun turut melaksanakan solat juga. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/313, no. 178)

2 – Menyerukan untuk bersolat dengan lafaz:


الصَّلَاةُ جَامِعَةٌ


Ash-Shalaatu Jami’ah (ayuh solat berjama’ah). Dengan tanpa azan dan iqamah.

Imam Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani berkata:


وهو دليل على مشروعية الإعلام بهذا اللفظ للاجتماع لها ولم يرد الأمر بهذا اللفظ عنه صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم إلا في هذه الصلاة


Terjemahan: Hadis ini (berkenaan lafaz seruan ash-Shalatu Jami’ah) menunjukkan disyari’atkan untuk mengumumkan solat kusuuf dengan lafaz ini bagi tujuan mengumpulkan orang melaksanakannya. Tidak terdapat satu riwayat pun yang datang dari Rasulullah (berkenaan seruan solat dengan lafaz tersebut) melainkan bagi solat ini (solat gerhana). (ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/74)

Syaikh Muhammad B. ‘Umar Salim Bazmul menjelaskan:


اتفق العلماء على أنه لا يؤذن لصلاة الكسوف ولا يقام، والمستحب أن ينادى لها بـ (الصلاة جامعة )


Terjemahan: Para ulama telah bersepakat untuk tidak mengumandangkan azan dan iqamah bagi solat kusuuf (gerhana). Dan yang disunnahkan (mustahab) adalah menyerukan dengan lafaz: “ash-Sholatu Jami’ah”. (Rujuk: Muhammad B. ‘Umar, Bughayatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’, m/s. 75, saaid.net)

3 – Dilaksanakan dengan dua raka’at. Di dalamnya dilaksanakan sama ada dengan dua (2) kali ruku’, tiga (3) kali ruku’ atau empat (4) kali ruku bagi setiap raka’at.

Disebutkan oleh Ibnu Rusyd di dalam Bidayatul Mujtahid:


وكان إسحاق بن راهويه يقول: لا يتعدى بذلك أربع ركعات في كل ركعة لأنه لم يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم أكثر من ذلك. وقال أبو بكر بن المنذر وكان بعض أصحابنا يقول: الاختيار في صلاة الكسوف عين وإن شاء ثلاثة وإن شاء أربعة


Terjemahan: Ishak B. Rahawaih berkata: Tidak boleh melebihi empat kali ruku’ dalam satu raka’at. Kerana tiada riwayat yang menunjukkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ruku’ lebih dari empat kali.

Abu Bakar B. Al-Mundzir berkata: Ada beberapa sahabat kami menyatakan bahawa memilih tatacara solat kusuuf memiliki landasan hukum. Mereka yang mahu solat kusuuf dibolehkan memilih mana-mana tatacara yang dikehendakinya, sama ada dua kali ruku’ dalam setiap raka’at, tiga kali ruku’ dalam setiap raka’at, atau empat kali ruku’ dalam setiap raka’at. (Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1/121)

Dalil-dalilnya:


عَنْ جَابِرٍ قَالَ: انْكَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ مَاتَ إِبْرَاهِيمُ ابْنُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّاسُ إِنَّمَا انْكَسَفَتْ لِمَوْتِ إِبْرَاهِيمَ فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ سِتَّ رَكَعَاتٍ بِأَرْبَعِ سَجَدَاتٍ


Terjemahan: Dari Jabir, beliau berkata: Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di ketika hari kematian Ibrahim putra Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka orang ramai pun mengatakan yang kejadian tersebut disebabkan oleh kematian Ibrahim, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdiri menunaikan solat bersama-sama orang ramai dengan enam kali ruku’ dan empat kali sujud... (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Kusuuf, 4/453, no. 1508)


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ كَسَفَتْ الشَّمْسُ ثَمَانَ رَكَعَاتٍ فِي أَرْبَعِ سَجَدَاتٍ


Terjemahan: Dari Ibnu ‘Abbas, beliau berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersolat di ketika terjadi gerhana matahari lapan kali ruku’ dengan empat kali sujud. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Kusuuf, 4/459, no. 1513. Walaubagaimana pun hadis ini didhoifkan oleh Ibnu Hibban di dalam Shohih-nya, 7/98 – Perawi bernama Habib tidak mendengar dari Thowus)

4 – Merupakan solat yang panjang (lama), berbanding solat-solat yang lain.


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: انْخَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا نَحْوًا مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلًا ثُمَّ رَفَعَ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ


Terjemahan: Dari ‘Abdullah B. ‘Abbas, beliau berkata: Telah terjadi gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau solat dengan berdiri lama sekira-kira membaca surah al-Baqarah, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang lama, kemudian bangun berdiri (qiyam) dengan berdiri yang lama, namun lebih pendek dari berdiri yang pertama... (sehingga seterusnya). (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Jama’ah, 4/173, no. 993. Rujuk juga hadis-hadis di atas)


عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَوْمٍ شَدِيدِ الْحَرِّ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأَصْحَابِهِ فَأَطَالَ الْقِيَامَ حَتَّى جَعَلُوا يَخِرُّونَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ رَفَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ رَفَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ ثُمَّ قَامَ فَصَنَعَ نَحْوًا مِنْ ذَاكَ فَكَانَتْ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ


Terjemahan: Dari Jabir B. ‘Abdillah, beliau berkata: Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada hari yang sangat panas. Kemudian beliau solat bersama para sahabatnya, dengan memanjangkan (melamakan tempoh) berdiri sehingga menjadikan mereka jatuh tersungkur. Kemudian beliau ruku’ dengan panjang, kemudian mengangkat kepalanya dan berdiri dengan masa yang panjang (lama). Kemudian ruku’ kembali dengan waktu yang panjang (lama), kemudian beliau sujud dua kali, lalu berdiri kembali. Beliau mengulanginya sebagaimana raka’at yang pertama. Maka, solat tersebut adalah dengan empat kali ruku’ dan empat kali sujud. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Kusuuf, 4/452, no. 1507)

5 – Bacaan al-Fatihah dan surah pada setiap raka’at hendaklah dijaharkan/dikeraskan (bagi imam). Berlaku untuk solat gerhana bulan dan matahari.

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam perkara ini. Beberapa perbezaan tersebut adalah sebagaimana berikut:

1 – Dikeraskan/dikuatkan (jahr) bacaan sama ada pada solat gerhana bulan (malam) atau pun matahari (siang). Pendapat ini dikemukakan (dipegang) oleh Ahmad, Ishaq, Abu hanifah, Ibnu Khuzaimah, Ibnul Mundzir, dan selainnya.

2 – Diperlahankan (sirr) bacaan sama ada untuk solat gerhana matahari atau pun bulan. Pendapat ini dipegang oleh asy-Syafi’e.

3 – Dibolehkan memilih sama ada mahu mengeraskan bacaan atau memperlahankannya.

4 – Diperlahankan pada solat gerhana matahari (siang), dan dikeraskan pada solat gerhana bulan (malam). Pendapat ini adalah berdasarkan qiyas kepada solat fardhu. (Diringkaskan dari: ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/74)

Ada pun yang mendekati kebenaran (wallahu a’lam) adalah pendapat yang pertama. Dalilnya adalah hadis berikut:


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: جَهَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلَاةِ الْخُسُوفِ بِقِرَاءَتِهِ فَإِذَا فَرَغَ مِنْ قِرَاءَتِهِ كَبَّرَ فَرَكَعَ وَإِذَا رَفَعَ مِنْ الرَّكْعَةِ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ثُمَّ يُعَاوِدُ الْقِرَاءَةَ فِي صَلَاةِ الْكُسُوفِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ


Terjemahan: Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha: Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjaharkan (mengeraskan) bacaan di dalam solat gerhana. Apabila selesai bacaannya, beliau pun bertakbir dan ruku’. Setelah bangun dari ruku’, beliau mengucapkan “Sami’Allahuliman hamidah, Rabbana wa lakalhamd”. Kemudian beliau kembali mengulangi bacaan di dalam solat gerhana. Empat kali ruku’ di dalam dua raka’at dan dengan empat kali sujud. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Jama’ah, 4/194, no. 1004)

Al-Bukhari meletakkan hadis ini di dalam bab:


بَاب الْجَهْرِ بِالْقِرَاءَةِ فِي الْكُسُوفِ


Terjemahan: Bab dikeraskan bacaan di dalam solat gerhana.

Juga hadis yang menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan perkara yang sama apabila berlaku gerhana (merujuk kedua-dua gerhana): “Oleh itu, sekiranya kamu melihat gerhana tersebut, hendaklah kamu berdoa kepada Allah, bertakbir, solat, dan bersedekah.” Jadi, solat untuk gerhana matahari dan bulan adalah sama, dan bacaan surah dikeraskan (jahr) bagi kedua-dua solat sama ada siang atau malam. (Rujuk penjelasan no. 6)

Solat gerhana juga dilakukan secara berjama’ah di masjid sebagaimana solat Istisqa’, solat Juma’at, dan solat ‘Ied. Maka, bacaannya hendaklah dikeraskan sebagaimana solat-solat tersebut.

Imam at-Tirmidzi berkata:


وَلِأَنَّهَا نَافِلَةٌ شُرِعَتْ لَهَا الْجَمَاعَةُ ، فَكَانَ مِنْ سُنَنِهَا الْجَهْرُ كَصَلَاةِ الِاسْتِسْقَاءِ وَالْعِيدِ وَالتَّرَاوِيحِ


Terjemahan: Dan solat ini adalah merupakan solat nafilah yang disyari’atkan dilaksanakan dengan berjama’ah, maka di antara Sunnahnya adalah mengeraskan bacaan sebagaimana solat istisqa’, solat ‘Ied, dan solat tarawikh. (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 4/312)

Ulama yang menyatakan bacaan di dalam solat gerhana adalah perlahan (sirr) antaranya berdalilkan dengan riwayat berikut:

Pertama:


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا نَحْوًا مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ


Terjemahan: Dari ‘Abdullah B. ‘Abbas, beliau berkata: ... kemudian beliau solat dengan berdiri lama sekira-kira membaca surah al-Baqarah... (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Jama’ah, 4/173, no. 993. Rujuk juga hadis-hadis di atas)

Mereka menjelaskan: Sekiranya bacaan dikeraskan/dikuatkan (jahr), maka beliau (Ibnu ‘Abbas) tidak perlu mengukurnya (mengira-ngira/mengagak-agak) dengan apa yang disebutkan.

Bantahan: Ini tidak bererti bahawa bacaan tidak dikeraskan. Ada kemungkinan bahawa Ibnu ‘Abbas mendengar dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam surah yang lain, yang panjang bacaannya sekira-kira surah al-Baqarah. Atau boleh jadi, Ibnu ‘Abbas mendengarnya dari jarak (tempat berdiri) yang agak jauh sehingga menjadikannya tidak mendengar apa yang dibaca oleh Nabi dengan jelas, lalu beliau pun mengagak-agak.

Kedua:


عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدَبٍ قَالَ: صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْكُسُوفِ فَلَا نَسْمَعُ لَهُ صَوْتًا


Terjemahan: Dari Samurah B. Jundab, beliau berkata: Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat di ketika terjadinya gerhana matahari, namun aku tidak mendengar suara beliau. (Hadis Riwayat Ibnu Majah, 4/138, no. 1254)


عن ابن عباس: أنه قام بجنب النبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم في الكسوف فلم يسمع منه حرفاً


Terjemahan: Dari Ibnu ‘Abbas: Bahawasanya beliau berdiri di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika melaksanakan solat gerhana, beliau (Ibnu ‘Abbas) tidak mendengar walau satu huruf pun (dari Nabi). (Rujuk: ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/74)

Bantahan: Hadis dari Samurah B. Jundab tersebut dhoif. Didhoifkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Dhoif Sunan Ibnu Majah, Dhoif Sunan Abi Daud, al-Miyskah, dan Tamamul Minnah.

Hadis dari Ibnu ‘Abbas tersebut juga dhoif. Imam ash-Shan’ani menyatakan bahawa hadis ini dimaushulkan (disambungkan) oleh al-Baihaqi dari tiga jalan yang pada semua sanadnya terdapat wahiyah (kelemahan). Ini menjadikan hadis ini dhoif. Dianggap mauquf oleh imam adz-Dzahabi. Dan turut dilemahkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Dhoif Sunan Abi Daud.

Ketiga:

Mereka berhujjah bahawa sekiranya Nabi mengeraskan (jahr) bacaannya, sudah tentu ‘Aisyah tidak perlu meneka-neka apa yang beliau baca.


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كُسِفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ فَقَامَ فَحَزَرْتُ قِرَاءَتَهُ فَرَأَيْتُ أَنَّهُ قَرَأَ بِسُورَةِ الْبَقَرَةِ


Terjemahan: Dari ‘Aisyah beliau berkata: Telah terjadi gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun keluar dan berdiri menunaikan solat bersama-sama dengan orang ramai. Kemudian aku meneka-neka apa yang dibaca oleh beliau (Rasulullah), bahawasanya beliau membaca surah al-Baqarah... (Hadis Riwayat Abi Daud, 3/415, no. 1002. Hadis ini hasan, dihasankan oleh al-Albani di dalam Shohih Sunan Abi Daud, 3/187, no. 1187))

Bantahan: Pertamanya, hadis ini menyelisihi hadis yang lebih sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah juga bahawa Nabi mengeraskan bacaan ketika solat gerhana.

Boleh jadi juga, ‘Aisyah berada di tempat yang agak jauh dan tidak begitu jelas mendengar apa yang dibaca oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika itu, lalu beliau pun meneka-neka apa yang dibaca oleh Nabi ketika itu.

6 – Diadakan khutbah setelah solat. Khutbah dimulakan dengan pujian kepada Allah.

Ibnu Rusyd berkata:


واختلفوا أيضا هل من شروطها الخطبة بعد الصلاة؟ فذهب الشافعي إلى أن ذلك من شرطها. وذهب مالك وأبو حنيفة إلى أنه لا خطبة في صلاة الكسوف

والسبب في اختلافهم اختلاف العلة التي من أجلها خطب رسول الله صلى الله عليه وسلم الناس لما انصرف من صلاة الكسوف على ما في حديث عائشة وذلك أنها روت أنه لما انصرف من الصلاة وقد تجلت الشمس حمد الله وأثنى عليه ثم قال: "إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله لا يخسفان لموت أحد ولا لحياته" الحديث فزعم الشافعي أنه إنما خطب لأن من سنة هذه الصلاة الخطبة كالحال في صلاة العيدين والاستسقاء. وزعم بعض من قال بقول أولئك أن خطبة النبي عليه الصلاة والسلام إنما كانت يومئذ لأن الناس زعموا أن الشمس إنما كسفت لموت إبراهيم ابنه عليه السلام


Terjemahan: Para ulama juga berbeza pendapat sama ada khutbah termasuk syarat solat gerhana atau tidak. Pendapat asy-Syafi’e, ia termasuk sebahagian dari syaratnya. Malik dan Abu Hanifah berpendapat, tidak ada khutbah di dalam solat gerhana (khutbah bukanlah syarat).

Sebab terjadinya perbezaan pendapat adalah dari tujuan khutbah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di ketika selesainya solat gerhana sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidak akan menjadi gerhana disebabkan oleh kematian atau kehidupan seseorang.”

Asy-Syafi’e menjelaskan dari hadis ini bahawa khutbah termasuk di dalam syarat solat gerhana sebagaimana solat ‘Ied dan Istisqa’. Beberapa ulama yang lain menyatakan bahawa Nabi berkhutbah hanya disebabkan kerana pada masa tersebut orang ramai menganggap gerhana berlaku disebabkan oleh kematian Ibrahim anak lelaki beliau. (Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1/213)

Ibnu Qudamah pula menjelaskan:


وَلَنَا ، هَذَا الْخَبَرُ ، فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُمْ بِالصَّلَاةِ وَالدُّعَاءِ وَالتَّكْبِيرِ وَالصَّدَقَةِ ، وَلَمْ يَأْمُرْهُمْ بِخُطْبَةٍ ، وَلَوْ كَانَتْ سُنَّةً لَأَمَرَهُمْ بِهَا ، وَلِأَنَّهَا صَلَاةٌ يَفْعَلُهَا الْمُنْفَرِدُ فِي بَيْتِهِ ، فَلَمْ يُشْرَعْ لَهَا خُطْبَةٌ ، وَإِنَّمَا خَطَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ الصَّلَاةِ لِيُعَلِّمَهُمْ حُكْمَهَا ، وَهَذَا مُخْتَصٌّ بِهِ ، وَلَيْسَ فِي الْخَبَرِ مَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ خَطَبَ كَخُطْبَتَيْ الْجُمُعَةِ


Terjemahan: Menurut kami, pada khabar tersebut, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan mereka supaya solat, berdoa, bertakbir, dan bersedekah. Beliau tidak memerintahkan supaya berkhutbah. Sekiranya khutbah itu disyari’atkan, sudah tentu beliau akan memerintahkannya. Solat ini juga boleh dilaksanakan secara bersendirian di rumah (tanpa khutbah). Maka tidak disyari’atkan untuk berkhutbah. Ada pun khutbah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam setelah solat tersebut, bertujuan memberitahu mereka tentang hukumnya, dan khutbah tersebut dikhususkan bagi beliau. Pada khabar ini juga tidak menunjukkan bahawa beliau berkhutbah sebagaimana dua khutbah solat Juma’at. (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 4/315)

Pendapat yang menyatakan khutbah tidak disyari’atkan (sebagaimana pendapat Abu Hanifah, Malik, Ahmad, dan Ibnu Qudamah) dibantah pula oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqolani rahimahullah:


وتعقب بما في الأحاديث الصحيحة من التصريح بالخطبة وحكاية شرائطها من الحمد والثناء والموعظة وغير ذلك مما تضمنته الأحاديث فلم يقتصر على الإعلام بسبب الكسوف والأصل مشروعية الاتباع والخصائص لا تثبت إلا بدليل


Terjemahan: Ia dibantah dengan apa yang disebutkan di dalam hadis-hadis sahih, iaitu penegasan adanya khutbah dan penjelasan tentang syarat-syarat khutbah berupa pujian dan sanjungan (kepada Allah), nasihat, dan selainnya yang terkandung di dalam hadis-hadis tersebut. Beliau tidak hanya setakat memberitahu berkenaan sebab terjadinya gerhana. Oleh itu, hukum asalnya adalah disyari’atkan untuk ittiba’ (mengikuti Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) dan kekhususan tidak ditetapkan melainkan dengan dalil. (Rujuk: Ibnu Hajar, Fathul Bari, 2/534)

7 – Solat Gerhana Matahari sama dengan solat gerhana bulan.

Syaikh Muhammad B. Umar Salim Bazmul menjelaskan:


يصلى لكسوف القمر كما يصلى لخسوف الشمس ، والدليل قوله صلى الله عليه وسلم : " إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله ، لا ينخسفان لموت أحد ولا لحياته ، فإذا رأيتم ذلك ؛ فادعوا الله وكبروا وصلوا وتصدقوا". أخرجه الشيخان. قلت : فالرسول صلى الله عليه وسلم صلى لخسوف الشمس ، وأمرنا أن نصنع مثل ذلك في كسوف القمر ، وهذا ظاهر بين ، و الله أعلم.
قال ابن المنذر : "ويصلى لكسوف القمر كما يصلى لخسوف الشمس"


Terjemahan: (Dari sudut tatacara) Solat gerhana bulan dilaksanakan sama sebagaimana solat gerhana matahari dilaksanakan. Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana disebabkan kematian seseorang atau kehidupan seseorang. Oleh itu, sekiranya kamu melihat gerhana tersebut, hendaklah kamu berdoa kepada Allah, bertakbir, solat, dan bersedekah.” (Hadis Riwayat dua Syaikh (al-Bukhari & Muslim))

Saya katakan: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melaksanakan solat gerhana matahari dan beliau memerintahkan kita supaya melakukan perkara yang sama di ketika gerhana bulan. Perkara ini sangat jelas dan terang. Wallahu a’lam.

Ibnul Mundzir berkata: “Solat gerhana bulan dilaksanakan sama sebagaimana gerhana matahari.” (Rujuk: Muhammad B. ‘Umar, Bughayatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’, m/s. 79, saaid.net)

Ringkasan tatacara solat gerhana:

1 – Dilaksanakan di masjid. Mengumpulkan orang ramai untuk solat berjama’ah. Seorang mu’adzin menyerukan “ash-Sholatu Jami’ah” bagi tujuan mengumpulkan orang dan melaksanakan solat berjama’ah.

2 – Bertakbir, membaca doa istiftah, al-fatihah, membaca surah (disunnahkan membaca surah yang panjang baacaannya).

3 – Ruku’ dengan ruku’ yang panjang (lama).

4 – Bangun dari ruku’ dan mengucapkan sami’allahuliman hamidah rabbana wa lakalhamd. Kemudian kembali membaca al-Fatihah dan surah yang panjang (namun lebih pendek dari surah yang pertama).

5 – Ruku’ yang panjang, namun lebih pendek dari ruku’ yang pertama.

6 – Bangun dari ruku’ dan mengucapkan sami’allahuliman hamidah rabbana wa lakalhamd.

7 – Sujud dan duduk di antara dua sujud, lalu sujud semula.

8 – Kemudian bangun (qiyam) semula untuk raka’at yang kedua. Ia dilaksanakan sama sebagaimana raka’at yang pertama, namun lebih pendek dari yang pertama. Sehinggalah kepada tahiyat dan memberi salam.

Wallahu a’lam...

Jumaat, 27 November 2009

Wasiat Ibnu Umar: Membaca al-Qur'an Di Kubur???

Wasiat Ibnu ‘Umar, Membaca Al-Qur’an Di Kubur???

www.ilmusunnah.com

Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) meriwayatkan:

Telah mengkhabarkan kepada kami Abu ‘Abdillah Al-Haafiz, telah menceritakan kepada kami Abu Al-‘Abbaas Muhammad bin Ya’quub, telah menceritakan kepada kami Al-‘Abbaas bin Muhammad, beliau berkata, aku pernah bertanya kepada Yahya bin Ma’in berkaitan qiraa’ah (membaca Al-Qur’an) di sisi kubur, maka beliau berkata:

....

Baca selengkapnya di website kami, http://www.ilmusunnah.com/wasiat-ibnu-umar-membaca-al-quran-di-kubur/

Khamis, 12 November 2009

166 - Berzikir Dengan Suara Perlahan Atau Kuat: Kita Lihat Pendapat Mazhab Syafi'e

Berzikir Dengan Suara Perlahan Atau Kuat:
Kita Lihat Pendapat Mazhab Syafi'e

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Masyarakat awam Malaysia secara umumnya sudah terbiasa untuk berzikir di setiap kali selesai solat (setelah salam) dengan cara berjama'ah dan suara yang kuat (dinyaringkan atau dilagukan (koir)).

Di antara dalil yang mereka gunakan adalah hadis dari Ibnu 'Abbas radhiyallahu 'anhu sebagaimana berikut:

أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ

Terjemahan: Bahawasanya mengeraskan suara di ketika berzikir setelah para jama'ah mendirikan solat fardhu, adalah biasa dilakukan pada zaman Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam. (Berkata Ibnu 'Abbas):

Dahulu aku mengetahui bahawa berakhir solat (selesai solat) itu adalah apabila telah mendengar suara zikir. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shohih al-Bukhari, Kitab al-Azan, 3/345, no. 796. Muslim, 3/239, no. 919)

Disebabkan masyarakat kita secara umumnya telah sepakat bahawa kita di Malaysia mengamalkan Mazhab Syafi'e, di sini saya mengambil keputusan untuk mengetengahkan perkataan ulama Syafi'iyah sendiri dalam memahami hadis tersebut.

Imam asy-Syafi'e sendiri telah menjelaskan berkenaan hadis ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah:

وحمل الشافعي رحمه الله تعالى هذا الحديث على أنه جهر وقتا يسيرا حتى يعلمهم صفة الذكر لا أنهم جهروا دائما قال فاختار للإمام والمأموم أن يذكر الله تعالى بعد الفراغ من الصلاة ويخفيان ذلك الا أن يكون اماما يريد أن يتعلم منه فيجهر حتى يعلم أنه قد تعلم منه ثم يسر وحمل الحديث على هذا

Terjemahan: asy-Syafi'e rahimahullahu Ta'ala menjelaskan berkenaan hadis ini, bahawasanya (Nabi) mengeraskan suara di dalam beberapa tempoh waktu sahaja, ia adalah bertujuan untuk mengajar para sahabatnya berkenaan cara-cara berzikir, bukan bererti mereka (Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam dan sahabatnya) sentiasa mengeraskan suaranya. Beliau (asy-Syafi'e) berkata:

Aku berpendapat bahawa seseorang imam dan makmum hendaklah mereka berzikir kepada Allah, sebaik selesai menunaikan solatnya, dan hendaklah mereka merendahkan suara zikirnya, kecuali bagi seseorang imam yang mahu supaya para makmumnya belajar (berkenaan zikir) darinya, maka dia boleh mengeraskan zikirnya, sehingga apabila dia merasa (mengetahui) bahawa mereka telah memahami (belajar), maka hendaklah ia kembali merendahkan (memperlahankan) suaranya ketika berzikir. (Rujuk: Imam an-Nawawi, Syarah an-Nawawi 'ala Muslim, 5/84)

Imam an-Nawawi rahimahullah sendiri pula turut berkata:

يندب الذكر والدعاء عقب كل صلاة ويسر به. فإن كان إماما يريد تعليمهم جهر. فإذا تعلموا أسر

Terjemahan: Disunnahkan untuk berzikir dan berdoa di setiap kali selesai solat (fardhu) dan hendaklah ia merendahkan suaranya. Apabila seseorang imam dan hendak mengajarkan makmumnya (tentang bacaan zikir), maka ia boleh untuk mengeraskan suaranya, kemudian apabila mereka telah mengetahui, ia kembali merendahkan (suara zikirnya). (Imam an-Nawawi, at-Tahqiq fil Fiqh asy-Syafi'e, m/s. 219. Dinukil dari Muhammad Ariffin Badri, Zikir 'Ala Tasawuf, m/s. 152-154. Rujuk juga: Edisi e-Book (manuskrip))

Imam Yahya B. Abil Khoir al-'Imrani (bermazhab Syafi'e), setelah menyebutkan beberapa riwayat berkenaan zikir-zikir Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, beliau memberikan kesimpulan:

فتحمل رواية من روى أنه دعا وجهر. على أنه أراد بذلك ليتعلم الناس. وتهمل رواية من روى أنه مكث قليلا ثم انصرف على أنه دعا سرا بحيث يسمع نفسه

Terjemahan: Riwayat perawi yang meriwayatkan bahawa beliau (Shallallahu 'alaihi wa Sallam) berdoa (berzikir) dan mengeraskan suaranya, ditafsirkan bahawa beliau (Shallallahu 'alaihi wa Sallam) melakukan perkara tersebut supaya para sahabatnya dapat belajar dari beliau (Shallallahu 'alaihi wa Sallam). Dan riwayat perawi yang menyebutkan bahawa beliau Shallallahu 'alaihi wa Sallam diam sejenak (setelah selesai solat) kemudian bangun dan pergi, difahami bahawa beliau berdoa dengan merendahkan suaranya, sehingga beliau hanya memperdengarkan untuk dirinya sahaja. (Yahya B. Abil Khoir, al-Bayan, 2/250. Dinukil dari: Muhammad Ariffin Badri, Zikir 'Ala Tasawuf, m/s. 133)

Berkenaan hadis tersebut juga, Syaikh 'Abdullah B. 'Abdurrahman al-Bassam di dalam Syarahnya ke atas 'Umdatul Ahkam berkata:

Di sini sebenarnya harus difahami bahawa Ibnu 'Abbas masih kecil dan dia tidak turut serta dalam solat berjama'ah. Dia mendengar suara tahlil dari luar masjid. Dapat juga diertikan bahawa beliau menyertai solat berjama'ah, tetapi beliau di shaf yang jauh sehingga tidak ada orang yang menyambung suara kepadanya, menjadikan beliau tidak mengetahui telah berakhirnya solat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam melainkan dengan mendengar suara tahlil dari saf-saf yang awal. ('Abdullah B. 'Abdurrahman al-Bassam, Syarah Hadis Pilihan Bukhari Muslim, m/s. 266. Edisi Terbitan/terjemahan Darul Falah)

Alasan yang sama turut dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqolani yang bermazhab Syafi'e:

فقال عياض الظاهر أنه لم يكن يحضر الجماعة لأنه كان صغيرا ممن لا يواظب على ذلك ولا يلزم به فكان يعرف انقضاء الصلاة بما ذكر وقال غيره يحتمل أن يكون حاضرا في أواخر الصفوف فكان لا يعرف انقضاءها بالتسليم وإنما كان يعرفه بالتكبير وقال بن دقيق العيد يؤخذ منه أنه لم يكن هناك مبلغ جهير الصوت يسمع من بعد

Terjemahan: Berkata 'Iyadh (al-Qadhi 'Iyadh), bahawa Ibnu 'Abbas tidak hadir menyertai solat jama'ah tersebut kerana usianya yang masih kecil, ia tidak termasuk di antara orang-orang yang terus-menerus menghadiri jama'ah, maka beliau mengetahui habisnya solat berdasarkan keadaan tersebut. Ulama selainnya mengatakan, kemungkinan Ibnu 'Abbas hadir di akhir Saf, maka beliau tidak mengetahui selesainya solat berdasarkan salam, akan tetapi beliau mengetahuinya dengan takbir. Ibnu Daqiq al-'Ied berpendapat, dari sini dapat dibuat kesimpulan bahawa di ketika itu tidak ada orang yang menyampaikan takbir imam (muballigh) supaya didengar oleh orang-orang yang berada di akhir saf. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 2/326)

Demikianlah penjelasan berkenaan hadis Ibnu 'Abbas di atas berdasarkan para ulama dari kalangan mazhab Syafi'e.

Kemudiannya, kaedah di dalam persoalan ini sebenarnya dapat dilihat secara umum dan khusus:

1 – Secara umumnya, adab dalam berzikir itu adalah dengan suara yang perlahan dan bukan dikeraskan.

Ini dijelaskan melalui dalil berikut yang bersifat umum:

وَلا تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ وَلا تُخَافِتْ بِهَا

Terjemahan: Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya. (Surah al-Israa', 17: 110)

Imam asy-Syafi'e rahimahullah berkata tentang ayat ini:

Maksud kata الصلاة (ash-Sholah) wallahu Ta'ala a'lam adalah doa. لا تَجْهَرْ (Laa Tajhar): Janganlah engkau mengangkat suaramu, وَلا تُخَافِتْ (wa laa tukhofit): Janganlah engkau rendahkan sehingga engkau sendiri tidak mendengarnya. (Rujuk: Imam asy-Syafi'e, al-Umm, 1/127)

Juga firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ

Terjemahan: Dan berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai. (Surah al-A'raaf, 7: 205)

Ini dijelaskan lagi dengan larangan daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berdasarkan kepada riwayat berikut:

Dari sebuah hadis dari Abu Musa al-'Asy'ari, beliau menceritakan:

رفع الناس أصواتهم بالدعاء في بعض الأسفار، فقال لهم النبي صلى الله عليه وسلم: "أيها الناس، أربعوا على أنفسكم، فإنكم لا تدعون أصمَّ ولا غائبًا؛ إن الذي تدعونه سميع قريب

Terjemahan: Ketika itu, orang ramai mengeraskan (memperkuatkan) suaranya di dalam berdoa di ketika melakukan safar (perjalanan), maka Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam pun berkata (membantah perbuatan mereka yang mengeraskan suara dalam berdoa):

Wahai manusia, kasihanilah diri kamu. Kerana kamu sebenarnya tidak menyeru kepada yang tuli (pekak) dan yang jauh, sesungguhnya Dzat yang kamu seru adalah Maha Mendengar lagi sangat dekat. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur'anil Adzim, 3/539)

Dalam riwayat yang lain, dari Abu Musa al-'Asya'ari:

كنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في غَزَاة فجعلنا لا نصعد شَرَفًا، ولا نعلو شَرَفًا، ولا نهبط واديًا إلا رفعنا أصواتنا بالتكبير. قال: فدنا منا فقال: "يا أيها الناس، أرْبعُوا على أنفسكم؛ فإنَّكم لا تدعون أصمّ ولا غائبًا، إنما تدعون سميعًا بصيرًا، إن الذي تدعون أقربُ إلى أحدكم من عُنُق راحلته. يا عبد الله بن قيس، ألا أعلمك كلمة من كنوز الجنة؟ لا حول ولا قوة إلا بالله"

Terjemahan: Ketika kami bersama Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam di dalam sebuah peperangan, tidaklah kami mendaki tanah tinggi, memanjat bukit, dan menuruni lembah, melainkan kami meninggikan suara ketika bertakbir. Kemudian beliau pun mendekati kami lalu bersabda:

Wahai sekalian manusia, tahanlah diri kamu, sesungguhnya kamu tidak berdoa kepada Tuhan yang Maha mendengar dan Maha melihat. Sesungguhnya Tuhan yang kamu seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kamu daripada leher binatang tunggangannya. Wahai 'Abdullah B. Qais, mahukah engkau aku ajarkan sebuah kalimah yang termasuk perbendaharaan Syurga? Iaitu ucapan "La haula walaa quwwata illaa billah" (Tidak ada daya dan kekuatan melainkan hanya dengan pertolongan Allah). (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, no. 19599. Tahqiq Syaikh Syu'aib al-Arnauth: Isnadnya sahih berdasarkan syarat dua kitab sahih (Bukhari dan Muslim))

Maka, secara umumnya, adab dalam berzikir itu adalah dengan suara yang perlahan dan bukan dikuatkan. Cukup dengan sekadar diri sendiri yang mendengarnya.

2 – Zikir boleh dikuatkan (diperdengarkan suara bacaannya kepada yang lain) dengan beberapa sebab yang mengkhususkannya. Ini dapat dilihat melalui beberapa dalil sebagaimana salah satunya dari Ibnu 'Abbas di atas, yang dijelaskan oleh para ulama sebagai bertujuan untuk mengajar.

Ini dapat kita fahami bahawa, dalam soal mahu mengajar sudah tentu zikir perlu diperdengarkan demi untuk memberi tahu kepada para pelajarnya. Namun, dalam praktik untuk ibadah, hendaklah kita mematuhi dengan baik adab-adabnya setelah mengetahui dari apa yang telah dipelajarinya. Demikianlah sebahagian adab dalam berzikir yang merupakan salah satu bentuk ibadah yang mulia dengan tatacaranya, yang bukan untuk dilaksanakan mengikut hawa nafsu.

Prinsip dalam berzikir ini diperkuatkan lagi dengan beberapa penjelasan ulama yang lainnya, antaranya adalah al-Hafiz Ibnu Katsir yang bermazhab Syafi'e, katanya:

أي: اذكر ربك في نفسك رهبة ورغبة، وبالقول لا جهرًا؛ ولهذا قال: { وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ } وهكذا يستحب أن يكون الذكر لا يكون نداء ولا جهرًا بليغًا؛ ولهذا لما سألوا رسول الله صلى الله عليه وسلم فقالوا: أقريب ربنا فنناجيه أم بعيد فنناديه؟ فأنزل الله: { وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ }

Terjemahan: Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rasa penuh harap dan takut, dan dengan suaramu (lisanmu) tanpa mengeraskannya, dengan sebab itulah Allah berfirman: Dan dengan tidak mengeraskan suara. Dan demikianlah yang disunnahkan, hendaklah zikir itu dengan suara yang tidak sampai seperti suara orang memanggil, dan (bukan dengan) suara yang keras, oleh sebab itu juga di ketika para sahabat bertanya kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam:

Adakah Tuhan kita itu dekat, sehingga kita bermunajat (berdoa dengan berbisik-bisik) kepada-Nya ataukah jauh sehingga kita memanggilnya?

Maka Allah pun menurunkan firman-Nya:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat, Aku memperkenankan permohonan orang yang memohon bila ia memohon pada-Ku. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur'anil Adzim, 3/538)

Sekali lagi dipetik perkataan Imam an-Nawawi dari sumber yang lain dalam syarahnya ke atas hadis Abu Musa al-'Asy'ari, beliau berkata:

ارفقوا بأنفسكم واخفضوا أصواتكم فان رفع الصوت انما يفعله الانسان لبعد من يخاطبه ليسمعه وأنتم تدعون الله تعالى وليس هو بأصم ولاغائب بل هو سميع قريب وهو معكم بالعلم والاحاطه ففيه الندب إلى خفض الصوت بالذكر اذا لم تدع حاجة إلى رفعه فانه إذا خفضه كان أبلغ فى توقيره وتعظيمه فان دعت حاجةالى الرفع رفع كما جاءت به أحاديث

Terjemahan: Kasihanilah dirimu, dan rendahkanlah suaramu, kerana mengeraskan suara itu biasanya dilakukan seseorang kerana orang yang diajak berbicara berada di tempat yang jauh agar ia mendengar suaranya (apa yang hendak disampaikan). Sedangkan kamu sedang menyeru Allah Ta’ala, dan Dia tidaklah tuli dan tidak juga jauh, akan tetapi Dia Maha Mendengar dan Maha Dekat dan bersama kamu dengan ilmunya sehingga dalam hadis ini mengandungi anjuran supaya merendahkan suara zikir, selagi mana tidak ada keperluan untuk mengeraskannya, kerana dengan merendahkan suara itu lebih menunjukkan tanda penghormatan dan pengagungan. Dan bila ada keperluan untuk mengeraskan suara, maka boleh untuk dikeraskan, sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis. (Rujuk: Imam an-Nawawi, Syarah an-Nawawi 'Ala Muslim, 17/26)

Dari penjelasan Imam an-Nawawi ini kita dapat melihat bahawa secara asasnya setiap orang yang berzikir itu hendaklah dengan merendahkan suaranya, melainkan apabila ada alasan untuk mengeraskannya, sebagai contoh misalnya apabila seseorang imam atau guru (cikgu) yang hendak memberi tunjuk-ajar dan membimbing makmumnya (atau orang-orang tertentu dari para pelajar) memahami wirid-wirid atau zikir-zikir yang dahulu diucapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam asy-Syafi’e rahimahullah.

Perkara ini dikuatkan dengan dalil sebuah riwayat sebagaimana yang dilakukan oleh Ibnu Abbas radiallahu 'anhu ketika beliau menjadi imam di dalam solat jenazah di saat dia hendak mengajarkan kepada makmumnya bahawa disunnahkan membaca al-fatihah dalam solat jenazah:

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ صَلَّيْتُ خَلْفَ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَلَى جَنَازَةٍ فَقَرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ قَالَ لِيَعْلَمُوا أَنَّهَا سُنَّةٌ

Terjemahan: Dari Thalhah bin ‘Abdillah bin ‘Auf, beliau berkata: Aku pernah mensolatkan jenazah dengan berimamkan Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, maka beliau membaca surat al-Fatihah (dengan suara keras), kemudian beliau berkata: Supaya mereka mengetahui bahawa ini (membaca al-fatihah dalam solat jenazah) adalah sunnah.” (Riwayat Bukhori, 1/448, hadis no: 1270)

Berdasarkan sedikit kupasan di atas ini, alhamdulillah dapat dibuat kesimpulan dengan beberapa point bahawa:

1 – Mazhab asy-Syafi'e menyatakan bahawa amalan berzikir di setiap kali setelah selesai solat fardhu adalah sunnah (dianjurkan).

2 – Cara berzikir selepas solat adalah dilaksanakan dengan secara individu.

3 – Dilaksanakan dengan suara yang perlahan dan bukan dikuatkan, cukup sekadar diri sendiri yang mendengarnya.

4 – Boleh dikeraskan bacaan sekiranya bertujuan untuk mengajar dan memberi bimbingan kepada orang lain yang mahu memperlajarinya.


Untuk melihat contoh-contoh zikir yang disunnahkan untuk diamalkan apabila telah selesai solat fardhu (sebaik selepas salam), bolehlah melihat artikel saya yang lalu bertajuk: No. 98 – Zikir-zikir Selepas Solat Fardhu Yang Tsabit Dari Sunnah.

Sekian, Wallahu a'lam...

Selasa, 3 November 2009

Menghadiahkan Pahala Bacaan al-Qur’an Kepada Si Mati Menurut as-Sunnah & Ulama Bermazhab Syafi'e

Menghadiahkan Pahala Bacaan al-Qur’an Kepada Si Mati Menurut as-Sunnah & Ulama Bermazhab Syafi'e
 

Pendapat:

1 - Amalan mensedekahkan pahala bacaan al-Qur’an kepada si mati adalah tidak tsabit dari sunnah Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam.

2 – Pahala bacaan al-Qur’an yang disedekahkan kepada orang yang telah mati adalah tidak sampai.

Penjelasan:

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

أَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (٣٨) وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى

Terjemahan: Bahawasanya seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, dan bahawasanya seorang manusia tidak mendapat selain apa yang telah diusahakannya. (Surah an-Najm, 53: 38-39)

Artikel asal di sini telah kami kemaskini dan kami pindahkan ke website baru kami di, http://www.ilmusunnah.com/?p=3415

Harap maklum.

Jumaat, 9 Oktober 2009

164 - Hadis: Yasin Adalah Jantung/Hati al-Qur'an

Hadis: Yaasiin Adalah Jantung/Hati al-Qur'an

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Benarkah Surah Yaasiin adalah Qolbul Qur'an (hati/jantung al-Qur'an)? Dalil berkenaan dengannya adalah:

Hadis Pertama:


حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ وَسُفْيَانُ بْنُ وَكِيعٍ قَالَا حَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الرُّؤَاسِيُّ عَنْ الْحَسَنِ بْنِ صَالِحٍ عَنْ هَارُونَ أَبِي مُحَمَّدٍ عَنْ مُقَاتِلِ بْنِ حَيَّانَ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ قَالَ

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ

Maksud: Telah mengkhabarkan kepada kami, Qutaibah dan Sufyan B. Waqiq. Daripada Humaid B. 'Abdurrahman ar-Ru'asi, daripada Hasan B. Soleh, daripada Harun Abi Muhammad, daripada Muqatil B. Hayyan, daripada Qotadah, dari Anas (bahawasanya):

Berkata Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam:

Sesungguhnya setiap sesuatu itu memiliki hati dan hati bagi al-Qur'an itu adalah surah Yaasiin. Sesiapa yang membacanya, maka Allah akan memberikan pahala bagi bacaannya itu seperti pahala membaca al-Qur'an sepuluh kali.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no. 2812, Bab Fadhoil al-Qur'an. Ad-Darimi, Sunan ad-Darimi, 10/311, no. 3479. Bab Fadhoil Yaasiin.

Berkenaan Hadis Ini:

1 - Berkata Imam at-Tirmidzi, hadis ini gharib (asing/tidak dikenali). Pada sanadnya terdapat Harun Abi Muhammad beliau seorang yang majhul (tidak dikenali/diketahui). Juga diriwayatkan oleh ad-Darimi, dan pada sanadnya dhoif. (Rujuk: Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no. 2812, Bab Fadhoil al-Qur'an)

2 – Didhoifkan (dilemahkan) oleh Syaikh al-Albani di dalam Misykah al-Mashobih, 1/486, no. 2147. Kitab Fadhoil al-Qur'an. Dinyatakan maudhu' (palsu), di dalam Dhoif at-Targhib wa at-Tarhib, 1/222, no. 885. Juga di dalam Dhoif Sunan at-Tirmidzi, 6/387, no. 2887 dan Silsilah al-Ahadis adh-Dhoifah wal Maudhu'ah, 1/246, no. 169.

3 – Harun Abi Muhammad turut dinyatakan sebagai majhul (tidak dikenali) oleh Imam adz-Dzahabi, Mizanul I'tidal, 4/288, no. 9178.

4 – Perawi bernama Muqatil B. Hayyan pula didhoifkan oleh Ibnu Ma'in. Manakala Imam Ahmad menyatakan bahawa beliau tidak mempedulikan Muqatil B. Hayyan. (Rujuk: Imam adz-Dzahabi, Mizanul I'tidal, 4/172, no. 8739)

Hadis Kedua:

حَدَّثَنَا عَارِمٌ، حَدَّثَنَا مُعْتَمِرٌ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ رَجُلٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ….:وَيس قَلْبُ الْقُرْآنِ لَا يَقْرَؤُهَا رَجُلٌ يُرِيدُ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَالدَّارَ الْآخِرَةَ إِلَّا غُفِرَ لَهُ وَاقْرَءُوهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ

Maksud: Diriwayatkan (dikhabarkan) daripada ‘Arim, dari Mu’tamir, dari ayahnya, dari seseorang, dari ayahnya, dari Ma’qil B. Yasaar: Seseungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:....

....Surah Yaasiin adalah jantung (hati) al-Qur’an, tidaklah seseorang yang membacanya kerana mengharapkan keredhaan Allah dan negeri akhirat (Syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah surah Yaasiin itu kepada orang yang akan mati di antara kamu.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Musnad Ahmad, 41/250, no. 19415. an-Nasaa’i, ‘Amalul Yaum wal Lailah, 1/581, no. 1075.

Berkenaan Hadis Ini:

Di dalam hadis ini terdapat tiga orang yang majhul (tidak dikenali nama dan keadaannya). Hadis ini didhoifkan oleh Syaikh Syu’aib al-Arnauth di dalam penelitiannya ke atas Musnad Ahmad, 33/417, no. 20300. Dinyatakan mungkar oleh Syaikh al-Albani. Menurut al-Haitsami, padanya terdapat rawi yang tidak diketahui. Dan menurut ad-Daruquthni, isnadnya dhoif tidak diketahui matannya dan tidak diketahui satu hadis pun yang sahih dalam bab ini. (Rujuk: Silsilah al-Ahadis adh-Dhoifah wal Maudhu’ah, 41/250, no. 6843).

Kesimpulan:

Setelah kita melihat dan mengetahui bahawa dalil (hadis) yang menyatakan bahawa hati al-Qur'an adalah Yaasin itu lemah (dhoif) atau sebahagian dari ulama pula menyatakannya sebagai maudhu' (palsu), maka dengan itu:

Hadis ini tidak boleh diterima pakai dan tidak boleh dijadikan sebagai hujjah.

Syaikh 'Abdul Muhsin al-'Abbad menyatakan bahawa, tiada suatu hadis pun yang sahih berkenaan Yaasiin sebagai jantung (atau hati) al-Qur'an. (Rujuk: 'Abdul Muhsin al-'Abbad, Syarah Sunan Abi Daud, 16/435). Begitu juga sebagaimana yang dinukilkan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah di dalam Silsilah al-Ahadis adh-Dhoifah wal Maudhu’ah, 12/784, no. 5861.

Selasa, 15 September 2009

163 - Sunnah Di Dalam Persoalan Ziarah Kubur

Sunnah Di Dalam Persoalan Ziarah Kubur

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Dalil Disunnahkan (disyari'atkan) menziarahi kubur:


عن بريدة بن الحصيب رضي الله عنه قال: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إني كنت نهيتكم عن زيارة القبور، فزوروها


Maksud: Dari Buraidah B. Al-Hushaib radhiyallahu 'anhu, beliau berkata:

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Dulu aku pernah melarang kamu untuk menziarahi kuburan, tetapi sekarang ziarahilah. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Jana'iz, no. 1623)


فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يَزُورَ فَلْيَزُرْ وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا


Maksud: Oleh kerana itu, sesiapa yang hendak menziarahi kubur, hendaklah dia melakukannya, dan janganlah kamu mengucapkan kata-kata yang batil. (Hadis Riwayat an-Nasa'i, Bab ziarah Kubur, no. 2006. Dinilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan an-Nasa'i, no. 2033)


إِنِّي كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ ثَلَاثٍ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا وَلْتَزِدْكُمْ زِيَارَتُهَا خَيْرًا


Maksud: Dulu aku melarang kamu dari tiga perkara (iaitu) menziarahi kubur, tetapi sekarang, ziarahilah ia dan hendaklah ziarah yang kamu lakukan itu menambah kebaikan... (Hadis Riwayat an-Nasa'i, Kitab adh-Dhohaya, no. 4353. Dinilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan an-Nasa'i, no. 5653)


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمْ الْآخِرَةَ


Maksud: Dari Abi Hurairah, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

Menziarahi kubur, dengannya dapat mengingati akhirat. (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Kitab Ziarah Kubur, no. 1558. Ahmad, Musnad Ahmad, 3/179, no. 1173. Dinilai Shahih oleh al-Albani, Shahih Sunan Ibnu Majah, no. 1569 dan Shahih al-Jami' ash-Shoghir, no. 7829)


عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّ فِيهَا عِبْرَةً


Maksud: Dari Abi Sa'id al-Khudri, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

Sesungguhnya aku telah melarang kamu dari menziarahi kubur, tetapi sekarang, kamu sudah boleh berziarah kerana sesungguhnya di dalamnya terdapat 'ibrah (pelajaran). (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 22/466, no. 10901. al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 4/77. al-Hakim, al-Mustadrak, 3/414, no. 1335. Dan beliau menyatakannya Sahih di atas syarat Muslim. Dinilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Targhib wa at-Tarhib, no. 3543)


زِيَارَةِ الْقُبُورِ ثُمَّ بَدَا لِي أَنَّهَا تُرِقُّ الْقَلْبَ وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ فَزُورُوهَا وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا


Maksud: Menziarahi kubur itu melembutkan hati, menitiskan air mata, dan mengingatkan kepada kehidupan akhirat. Dan janganlah kamu berkata-kata dengan perkataan yang batil/keji. (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 27/47, no. 13000. al-Hakim, al-Mustadrak, 3/421, no. 1342. Hadis daripada Anas B. Malik)

Sunnah Ziarah Kubur Adalah Umum Sama ada Kubur Kaum Muslimin Atau Orang Kafir:


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِامْرَأَةٍ عِنْدَ قَبْرٍ وَهِيَ تَبْكِي فَقَالَ اتَّقِي اللَّهَ وَاصْبِرِي


Maksud: Dari Anas B. Malik radhiyallahu 'anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam pernah berjalan melintasi seorang perempuan yang sedang berada di perkuburan dan sedang menangis. Maka beliau pun berkata kepadanya:

Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah... (Hadis Riwayat al-Bukhari, Bab Ziarah Kubur (Kitab al-Jana'iz), 4/476, no. 1174)

Syaikh al-Albani menukilkan:


وقال العيني في (العمدة) (3 / 76): وفيه جواز زيارة القبور مطلقا، سواء كان الزائر رجلا أو امرأة: وسواء كان المزور مسلما أو كافرا، لعدم الفصل في ذلك


Maksud: Dan telah berkata al-'Aini di dalam (kitab) Syarahnya iaitu al-'Umdah (3/76): Di dalam hadis tersebut memiliki pengertian yang membolehkan perbuatan menziarahi kubur secara mutlak, sama ada lelaki mahu pun perempuan, atau yang diziarahi itu Muslim atau pun kafir disebabkan tiadanya penjelasan berkenaan dengannya. (Rujuk: al-Albani, Ahkamul Janaz'iz, m/s. 185, Maktabah Syamilah. Edisi Terjemahan m/s. 417, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi'i, Cet. 2 September 2006)

Imam an-Nawawi juga turut menjelaskan bahawa perbuatan menziarahi kubur adalah umum (dibolehkan secara mutlak) sama ada kubur orang Islam atau orang kafir:


قال النووي: وبالجواز قطع الجمهور، وقال صاحب الحاوي: لا تجوز زيارة قبر الكافر وهو غلط


Maksud: Berkata imam an-Nawawi: Secara pasti bahawa jumhur ulama membolehkan ziarah kubur. Penulis kitab al-Haawii (Abul Hasal al-Mawardi) berkata: "Tidak dibolehkan menziarahi kubur orang kafir". Dalam perkara ini, dia telah salah (gholath). (Rujuk: al-Albani, Ahkamul Janaz'iz, m/s. 185, Maktabah Syamilah. Edisi Terjemahan m/s. 417, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi'i, Cet. 2 September 2006. Rujuk juga: Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 3/150)

Juga terdapat hadis yang menjelaskan bolehnya menziarahi kubur orang yang matinya di dalam keadaan tidak memeluk Islam. Di mana Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam pernah menziarahi kubur ibunya:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: زَارَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي فِي أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِي أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِي فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ


Maksud: Dari Abi Hurairah radhiyallahu 'anhu, beliau berkata:

Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam pernah menziarahi kubur ibunya lalu beliau mengangis, maka orang-orang di sekelilingnya pun turut menangis. Beliau pun bersabda:

Aku meminta izin kepada Rabb-ku untuk memberikan keampunan untuk ibuku, tetapi Dia tidak mengizinkanku. Aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya, maka Dia memberi izin kepadaku. Oleh kerana itu, ziarahlah kubur, kerana ia dapat mengingatkan kepada kematian. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Jana'iz, no. 1622)

Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan:


فيه جواز زيارة المشركين في الحياة وقبورهم بعد الوفاة لأنه اذا جازت زيارتهم بعد الوفاة ففي الحياة


“Hadis ini menunjukkan bolehnya menziarahi orang-orang musyrik yang masih hidup dan bolehnya menziarahi kuburan mereka setelah mereka meninggal. Kerana sekiranya menziarahi mereka ketika meninggal dibolehkan, sudah tentu menziarahi mereka di ketika masih hidup lebih boleh lagi.” (an-Nawawi, Syarah Shohih Muslim, 7/45)

Tujuan Menziarahi Kubur:

Pertama:


انتفاع الزائر بذكر الموت والموتى، وأن مآلهم إما إلى جنة وإما إلى نار وهو الغرض الاول من الزيارة


Maksud: Orang yang berziarah dapat mengambil manfaat dengan mengingati kematian orang-orang yang telah meninggal dunia dan bahawasanya tempat kembali mereka hanya Syurga atau Neraka. Demikianlah tujuan pertama menziarahi kubur. (Rujuk: al-Albani, Ahkamul Jana'iz, m/s. 188, Maktabah Syamilah)

Di antara lain, daripada hadis-hadis di atas dapat kita fahami bahawa menziarahi kubur dapat:

1 - Mengingati akhirat (mati),

2 - di dalamnya terdapat 'ibrah (pelajaran), dan

3 – dapat melembutkan hati.

Kedua:


نفع الميت والاحسان إليه بالسلام عليه، والدعاء والاستغفار له، وهذا خاص بالمسلم


Maksud: Memberikan manfaat kepada si jenazah (si mati) sekaligus sebagai bentuk perbuatan baik kepadanya dengan memberi salam, mendoakannya, dan memohon keampunan baginya. Yang demikian itu khusus bagi Muslim sahaja. (Rujuk: al-Albani, Ahkamul Jana'iz, m/s. 189, Maktabah Syamilah)

Sunnah Mendoakan Ahli Kubur (Apabila Menziarahi Kubur):


عَنْ عَائِشَةَ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ إِلَى الْبَقِيعِ فَيَدْعُو لَهُمْ فَسَأَلَتْهُ عَائِشَةُ عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَدْعُوَ لَهُمْ


Maksud: Dari 'Aisyah (beliau berkata):

Bahawasanya Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam pernah pergi ke tanah perkuburan Baqi'. Kemudian, beliau mendoakan para penghuninya.

'Aisyah bertanya kepada beliau berkenaan perkara tersebut, maka beliau menjawab:

Sesungguhnya aku diperintahkan untuk mendoakan mereka. (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad ahmad, 52/110, no. 24952. Sanadnya sahih berdasarkan syarat dua kitab sahih sebagaimanya dinyatakan oleh Syaikh al-Albani di dalam Ahkamul Jana'iz, m/s. 189)

Doa Ketika Menziarahi Kubur:

Dari sebuah hadis yang agak panjang:


كَيْفَ أَقُولُ لَهُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟

قَالَ: قُولِي:

السَّلَامُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ


Maksud: ('Aisyah bertanya) Bagaimana harus aku katakan (doakan) kepada mereka (ahli kubur) wahai Rasulullah?

Beliau menjawab, katakanlah:

Semoga keselamatan dilimpahkan ke atas ahli kubur, dari kalangan orang Mukmin dan Muslim. Semoga Allah memberikan rahmat kepada orang telah meninggal dunia terdahulu atau terkemudian. Sesungguhnya, insyaAllah kami akan menyusul bertemu kamu semua. (Hadis Riwayat Muslim, 5/102, Kitab al-Jana'iz, no. 1619)

Disunnahkan (atau dibolehkan) mengangkat tangan ketika mendoakan ahli kubur berdasarkan dari hadis yang sama:


فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ انْحَرَفَ فَانْحَرَفْتُ


Maksud: (Ketika di perkuburan Baqi') Beliau berdiri cukup lama dan kemudian mengangkat kedua tangannya tiga kali. Dan beliau pun kemudiannya terus pulang... (Hadis Riwayat Muslim, 5/102, Kitab al-Jana'iz, no. 1619)

Ketika berdoa tidak boleh menghadap ke arah kubur, tetapi hendaklah menghadap ke arah kiblat. Ini adalah kerana terdapat larangan bersolat dengan menghadap ke arah kubur. Dan terdapat pula hadis yang sahih menjelaskan bahawa doa itu adalah ibadah. (Untuk penjelasan lanjut, rujuk: al-Albani, Ahkamul Janai'z)

Disunnahkan Membuka Selipar/Kasut:

Adalah disunnahkan supaya membuka kasut/selipar ketika menziarahi kubur. Ini berdasarkan hadis berikut:


(بينما أماشي رسول الله (ص)...أتى على قبور المسلمين...فبينما هو يمشي إذ حانت منه نظرة، فإذا هو برجل يمشي بين القبور عليه نعلان، فقال: يا صاحب السبتيتين ألق سبتيتيك، فنظر، فلما عرف الرجل رسول الله (ص) خلع نعليه، فرمى بهما


Maksud: Ketika aku menemani Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, di ketika melalui perkuburan kaum Muslimin... Ketika Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam berjalan, tiba-tiba pandangannya tertumpu kepada satu arah. Ternyata beliau melihat seorang lelaki berjalan-jalan di antara kubur dengan mengenakan sepasang terompah, maka beliau pun bersabda:

Wahai orang yang memakai dua terompah, celaka kamu, lepaskanlah kedua terompahmu itu.

Maka orang tersebut pun memandang dan ketika orang itu mengetahui bahawa yang dipandang itu adalah Rasulullah, dia pun segera melepaskan kedua terompahnya lalu melemparkan keduanya. (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 4/80. Ibnu Hibban, Shahih Ibnu Hibban, 13/334, no. 3237. al-Hakim, al-Mustadrak, 3/407, no. 1328)

Berkenaan hadis ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata:


والحديث يدل على كراهة المشي بين القبور بالنعال


Maksud: Dan hadis ini menunjukkan dimakruhkannya berjalan di antara kubur dengan memakai sandal (kasut/selipar/terompah). (Rujuk: al-Albani, Ahkamul Jana'iz, m/s. 199, Maktabah Syamilah)

Manakala Syaikh al-Albani berkata:


والاقرب أن النهي من باب احترام الموتى، فهو كالنهي عن الجلوس على القبر


Maksud: Yang lebih dekat dengan kebenaran adalah bahawa larangan tersebut sebagai sebuah tindakan menghormati orang-orang yang telah meninggal dunia. Ia sama juga seperti larangan duduk-duduk di atas kuburan. (Rujuk: al-Albani, Ahkamul Jana'iz, m/s. 200, Maktabah Syamilah)

Menziarahi Kubur Di Waktu Malam:

Terdapat juga contoh dari Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bahawa beliau menziarahi kubur di waktu malam.

Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang agak panjang, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam keluar menziarahi perkuburan Baqi' di waktu malam dan mendoakan untuk penghuninya. (Rujuk: Hadis Riwayat Muslim, 5/102, Kitab al-Jana'iz, no. 1619)

Larangan Berhari Raya Di Perkuburan (Tidak mengadakan apa-apa majlis di perkuburan)

Hadis daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:


لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قُبُورًا وَلَا تَجْعَلُوا قَبْرِي عِيدًا وَصَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ تَبْلُغُنِي حَيْثُ كُنْتُمْ

Maksud: Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu seperti perkuburan dan jangan jadikan kuburku sebagai tempat perayaan. Berselawatlah ke atasku kerana sesungguhnya selawat kamu akan sampai kepadaku di mana jua kamu berada. (Hadis Riwayat Abu Daud, Bab: Ziarah al-Kubur, 5/418, no. 1746. Isnadnya sahih dan dihasankan oleh Ibnul Qayyim. Disahihkan oleh al-Albani - Rujuk: al-Albani, Shohih Sunan Abi Daud, 6/282, no. 1780. Diriwayatkan juga oleh Ahmad, Musnad Ahmad, 14/403, no. 8804 dan dinyatakan Isnadnya hasan oleh Syaikh Syu'aib al-Arnauth)

Tidak Dibenarkan Duduk Di Atas Kubur Serta Bersandar Padanya


لأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ

Maksud: Sesungguhnya jika seseorang daripada kamu duduk di atas bara api lalu ia membakar pakaiannya sehingga mengenai kulitnya, maka ia adalah lebih baik baginya dari dia duduk di atas kubur. (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, Bab: Larangan Duduk Di Atas Kubur dan Solat Di Atasnya, 5/93, no. 1612)

Tetapi dibenarkan (dibolehkan) duduk di tepi/sisi kubur berdasarkan hadis berikut (daripada Anas radhiyallahu 'anhu):

شَهِدْنَا بِنْتًا لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَ

وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ عَلَى الْقَبْرِ قَالَ: فَرَأَيْتُ عَيْنَيْهِ تَدْمَعَانِ

Maksud: Kami melihat ketika kematian puteri Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam (iaitu Ummi Kaltsum radhiyallahu ‘anha). (Anas menyambung): “Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam duduk di atas kubur, maka aku melihat kedua-dua matanya menitiskan air mata.”

al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani rahimahullah menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan duduk di atas kubur dari hadis di atas adalah duduk di sisi kubur di ketika urusan pengebumian berlangsung. (Rujuk: Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 1/269)

‘Amr bin Hazm al-Anshari radhiyallahu ‘anhu menceritakan:


رَآنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَّكِئًا عَلَى قَبْرٍ فَقَالَ: لاَ تُؤْذِ صَاحِبَ هَذَا الْقَبْرِ


Maksud: Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam melihat aku bersandar kepada suatu kubur lalu beliau berkata: “Janganlah menyakiti ahli kubur ini.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 39/476, no. 24009. Isnadnya Sahih sebagaimana dinyatakan oleh Syaikh Syu'aib al-Arnauth)

Beberapa Larangan Yang Lain Berkaitan Adab di Kubur

Daripada Jabir radhiyallahu 'anhu, beliau berkata:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُجَصَّصَ الْقُبُورُ وَأَنْ يُكْتَبَ عَلَيْهَا وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهَا وَأَنْ تُوطَأَ

Maksud: Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam melarang dari mengkapur kubur (menyimen), menulis di atasnya (melainkan sekiranya sekadar tanda - pent.), membina sebarang binaan di atasnya dan memijaknya. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 4/206, no. 972. Beliau menyatakan: Hadis ini hasan sahih)

Dibolehkan membuat tanda sekadar pengenalan, sebagaimana Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam meletakkan batu di kubur 'Umar B. Mazh'un radhiyallahu 'anhu dengan katanya:

أَتَعَلَّمُ بِهَا قَبْرَ أَخِي وَأَدْفِنُ إِلَيْهِ مَنْ مَاتَ مِنْ أَهْلِي

Maksud: Aku memberi tanda dengan batu ini untuk kubur saudaraku dan di sinilah akan dikebumikan sesiapa yang meninggal dunia dari kalangan ahli keluargaku. (Hadis Riwayat Abi Daud, 9/1, no. 2791. Dihasankan oleh al-Albani, Shohih Sunan Abi Daud, 7/206, no. 3206)

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:


لأَنْ أَمْشِيَ عَلَى جَمْرَةٍ أَوْ سَيْفٍ أَوْ أَخْصِفَ نَعْلِي بِرِجْلِي أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَمْشِيَ عَلَى قَبْرِ مُسْلِمٍ وَمَا أُبَالِي أَوَسْطَ الْقُبُورِ قَضَيْتُ حَاجَتِي أَوْ وَسْطَ السُّوقِ

Maksud: Sesungguhnya, berjalan di atas bara api atau pedang atau aku ikat kasutku dengan kakiku lebih aku sukai dari berjalan di atas kubur orang Islam. Tidak ada beza keburukannya bagiku, sama ada membuang hajat di tengah perkuburan atau di tengah pasar. (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Bab: Larangan Berjalan-jalan di Atas Kubur dan Duduk Di Atasnya, 5/39, no. 1556. Disahihkan oleh al-Albani, Shohih Sunan Ibnu Majah, 1/261, no. 1273)

Kesimpulan/Ringkasan:

1 – Disunnahkan menziarahi kubur bagi umat Islam sama ada yang lelaki atau wanita.

2 – Ziarah kubur tidak terhad kepada kubur-kubur yang tertentu dan khusus. Tetapi ia adalah bersifat umum kepada mana-mana kubur umat Islam (yang terdekat). Juga tidak dikhususkan kepada kubur ahli keluarga semata-mata.

3 – Dibolehkan menziarahi kubur orang kafir.

4 – Disunnahkan memberi salam ketika sampai ke kuburan, kemudian mendoakan kebaikan dan keampunan bagi si mati. Ini adalah khusus jika menziarahi perkuburan umat Islam. Serta dilarang mengucapkan kata-kata yang keji.

5 – Menziarahi kubur memiliki beberapa faedah seperti dapat mengingati kematian dan melembutkan hati.

Beberapa Contoh Tokok Tambah dan Salah Faham Masyarakat Terhadap Sunnah Menziarahi Kubur:

1 – Menziarahi perkuburan tertentu sahaja. Seperti mengkhususkan kepada kubur ahli keluarga tertentu.

2 – Berpendapat bahawa haram hukumnya menziarahi kubur orang kafir.

3 – Membacakan al-Qur'an di perkuburan. Sedangkan di kubur bukanlah tempat untuk membaca al-Qur'an.

4 – Mensedekahkan/menghadiahkan bacaan al-Qur'an atau Surah al-Fatihah kepada si mati di setiap kali menziarahi kubur.

5 – Melakukan safar (perjalanan jauh) kerana untuk menziarahi kubur-kubur tertentu. Sedangkan perbuatan tersebut adalah termasuk larangan.

6 – Mengkhususkan ziarah kubur pada hari raya.

7 – Bertahlil. Sedangkan amalan tahlilan itu adalah bid'ah, maka apatah lagi jika ia dilaksanakan di perkuburan. Maka, yang batil akan menjadi lebih batil lagi.

9 – Berdoa kepada si mati (memohon hajat kepada si mati/penghuni kubur). Seperti memintah berkat atau meminta nombor ramalan.

10 – Mengirimkan salam kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam melalui orang yang menziarahi kubur Rasulullah.

11 – Membina binaan tertentu di atas perkuburan. Seperti tembok atau malah ada yang sehingga membina seakan-akan rumah.

12 – Menjiruskan air mawar ke atas kubur.

13 – Meratap dan menangis teresak-esak di atas kubur.

Wallahu a'lam...

Selasa, 1 September 2009

161 - Beginilah Para Sahabat Nabi Merapikan Saf-saf Solat Mereka

Beginilah Para Sahabat Nabi Merapikan Saf-saf Solat Mereka

Harap maaf, artikel ini telah kami perbaiki dan dipindahkan ke website baru kami di, http://www.ilmusunnah.com/?p=8541