Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, 23 Jun 2008

105 - TIADA KAITAN ANTARA HADIS PELEPAH TAMAR DAN KONSEP MENGHADIAHKAN PAHALA KEPADA SI MATI

TIADA KAITAN ANTARA HADIS PELEPAH TAMAR DAN KONSEP MENGHADIAHKAN PAHALA KEPADA SI MATI

Oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

Sesetengah ulama berhujah bahawa bacaan al-Qur`an dan pahalanya sampai kepada si mati berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, iaitu hadis baginda memacakkan pelepah tamar di atas dua buah kubur.


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَائِطٍ مِنْ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ أَوْ مَكَّةَ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ ثُمَّ قَالَ بَلَى كَانَ أَحَدُهُمَا لَا يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ وَكَانَ الْآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ دَعَا بِجَرِيدَةٍ فَكَسَرَهَا كِسْرَتَيْنِ فَوَضَعَ عَلَى كُلِّ قَبْرٍ مِنْهُمَا كِسْرَةً فَقِيلَ لَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ فَعَلْتَ هَذَا قَالَ لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ تَيْبَسَا أَوْ إِلَى أَنْ يَيْبَسَا

“Daripada Ibn Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. melalui dekat salah sebuah kebun di Madinah atau Mekah lalu baginda terdengar suara dua orang yang diseksa di dalam kubur mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda: “mereka berdua itu diseksa. Tidaklah mereka berdua itu diseksa kerana perkara yang besar. Kemudian baginda bersabda: “benar sekali, salah seorang daripada mereka tidak menjaga kebersihan daripada air kencingnya dan seorang lagi sering mengacum.” Kemudian Rasulullah s.a.w. meminta supaya dibawakan pelepah tamar kemudian baginda membelahnya kepada dua lalu meletakkannya pada setiap kubur itu. Baginda ditanya; Wahai Rasulullah! Mengapa tuan berbuat demikian? Baginda menjawab: “Semoga itu akan meringankan daripada mereka berdua selagi ia tidak kering atau sehinggalah ia kering.” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wudhu` Bab Min al-Kabair An La Yastatir Min Baulih, Muslim, Kitab al-Taharah, Bab al-Dalil ‘Ala Najasah al-Baul, Abu Daud, Kitab al-Taharah, Bab al-Istibra` Min al-Baul.)

Hadis ini menerangkan Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat melalui dekat dua kuburan lalu Allah s.w.t. mewahyukan kepada baginda tentang keadaan kedua-duanya yang sedang diazab. Satunya, kerana tidak menjaga kebersihan semasa buang air dan satu lagi kerana mengadu domba dan mencetuskan permusuhan. Baginda memberitahu kepada umatnya sebagai membari amaran dan peringatan tentang kedua-dua bentuk kesalahan ini. Dengan rasa belas kasihan, baginda menyuruh sahabat mengambil pelepah tamar kemudian dipacakkan di atas dua kuburan itu sebagai syafaat baginda untuk umatnya.

Di dalam satu hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Jabir, Imam Muslim meriwayatkan:


قَالَ إِنِّي مَرَرْتُ بِقَبْرَيْنِ يُعَذَّبَانِ فَأَحْبَبْتُ بِشَفَاعَتِي أَنْ يُرَفَّهَ عَنْهُمَا مَا دَامَ الْغُصْنَانِ رَطْبَيْنِ

Rasulullah s.a.w. bersabda” “Sesungguhnya aku lalu dekat dua buah kubur yang diseksa maka aku mahu ia diberikankan syafaatku agar dihindarkan daripada kedua-duanya selagi dua ranting itu tidak kering.” (Muslim, Kitab al-Zuhd Wa al-Riqaq, Bab Hadith Jabir al-Tawil Wa Qissah Abi al-Yasar. ) (Muslim, no: 3013)

Hadis ini jelas menunjukkan sebab Rasulullah s.a.w. meletakkan ranting di atas kubur iaitu sebagai syafaat dan doanya (Al-Qurtubi, al-Mufhim Li Asykala Min Talkhis Sahih Muslim, jil. 1 hal. 553) bukan menghadiahkan pahala kepada mayat di dalamnya. Apa yang jelas ialah baginda memohon ampun bagi pihak penghuninya. (Sila rujuk al-Kasymiri, Faidh al-Bari ‘Ala Sahih al-Bukhari, jil. 1, hal. 311, Taqi Uthmani, Takmilah Fath al-Mulhim Bi Syarh Muslim, jil. 6, hal. 525.) Sama ada peristiwa ini adalah sama dengan peristiwa hadis Ibn Abbas atau tidak, kedua-duanya mempunyai ‘illah hukum atau sebab hukum yang sama.

Peristiwa ini adalah peristiwa khusus yang tidak boleh hendak diqiyaskan kerana hikmatnya dan sebabnya tidak dapat difikirkan kerana berkait dengan doa Rasulullah s.a.w. dan tambahan pula ia adalah perkara ghaib, yakni kedua-duanya itu sedang diazab dalam kubur. (Syabbir Ahmad ‘Uthmani, Fath al-Mulhim Bi Syarh Muslim, jil. 3, hal. 93.) Oleh kerana itu, baginda tidak melakukannya kecuali untuk dua kubur ini sahaja. Perbuatan sahabat bertanya menunjukkan bahawa ini tidak pernah dilakukan sebelum ini dan tidak pula diperintahkan supaya diikuti oleh para sahabat. Ini menunjukkan bahawa perbuatan ini khusus kepada baginda sebagai doa dan syafaat nabi untuk umatnya. (Muhammad bin ‘Ali, Zakhirah al-‘Uqba Fi Syarh al-Mujtaba, jil. 1, hal. 515)

Al-Khattabi, seorang ulama hadis yang terkenal ketika menghuraikan hadis ini di dalam kitabnya Ma’alim al-Sunan Syarh Sunan Abi Daud menyebutkan: “Kata-kata Rasulullah s.a.w. “semoga ia meringankan untuk mereka berdua” itu adalah dari sudut memperolehi keberkatan daripada kesan Rasulullah s.a.w. dan doa baginda supaya diringankan azab daripada mereka berdua. Seolah-olah baginda menjadikan tempoh lembabnya pelepah itu sebagai had kepada doa keringanan azab itu daripada mereka berdua bukan kerana pelepah yang basah itu mempunyai makna yang tidak terdapat pada pelepah yang kering. Orang ramai di kebanyakan negeri menghamparkan daun tamar di atas kubur-kubur dan saya berpendapat bahawa perbuatan mereka itu tidak mempunyai satu dalilpun. Wa Allah A’lam.” (Ma’alim al-Sunan, jil. 1, hal. 18)

Nukilan daripada al-Khattabi menegaskan bahawa dalam masalah ini tidak boleh dilakukan sebarang qiyas. Untuk mengatakan kelembapan atau segarnya dahan atau pelepah tamar itu sebagai sebab ringan azab, adalah sesuatu yang tidak jelas dan tidak konsisten. Dengan itu, ia tidak memenuhi syarat ‘illah hukum. Sekiranya perkara ini dapat dijadikan ‘illah pasti semua mayat yang dikebumikan di bawan rimbunan pokok atau dipenuhi dengan batu-batu akan memperolehi faedah yang besar kerana semua itu tetap terus berzikir untuknya walaupun dia tidak beriman dan tidak pernah beramal soleh. Tentu sekali tidak ada yang berpendapat demikian.

Oleh kerana itu, menjadikan pelepah tamar basah yang bertasbih sebagai asas qiyas untuk memacak ranting pokok, menabur bunga dan meletakkan batu-batu di atas kubur adalah kesimpulan hukum yang tidak menepati prinsipnya kerana tidak memenuhi syarat ‘illah dan berlaku qiyas ma’a al-Fariq (qiyas dua perkara yang tidak serupa). Mereka yang mengqiyaskan bacaan al-Qur`an dapat memberikan pahala kepada si mati menggunakan qiyas ini dengan alasan bacaan al-Qur`an itu lebih mulia dari tasbih daripada pelepah tamar itu. Sedangkan pelepah tamar yang diletakkan oleh Rasulullah s.a.w. merupakan doa dan syafa’at baginda bukan kerana sifat lembab dan basah yang ada padanya. Jauh sekali untuk dikatakan sebagai menyampaikan pahala kepada si mati.

Menyalahgunakan kaedah qiyas dan meluaskan pemakaiannya dalam masalah ini tidak akan memberikan apa-apa manfaat melainkan hanya menimbulkan pelbagai jenis bid’ah dan khurafat dalam masyarakat. Atas alasan qiyas, orang ramai meletakkan bunga-bunga di atas kubur serta menyirami dengan air mawar. Apabila mereka merasakan kesegaran pelepah tamar dan bunga itu tidak berpanjangan lalu mereka menanam pokok bunga di atas kubur serta menghias pula dengan anak-anak batu. Tujuannya tidak lain kerana menyangka semuanya itu akan memberi manfaat kepada si mati. Padahal hanya iman dan amal sahaja yang berguna. Disedari ataupun tidak, mereka telah menyerupai amalan Kristian dalam upacara kematian mereka!

Selain itu, mengkhususkan benda hidup sahaja bertasbih adalah tidak tepat kerana segala yang ada di langit dan di bumi, semuanya bertasbih dan menyebut-nyebut nama Allah sama ada ianya lembab atau kering.


تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih Dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (al-Isra`: 44)

Ayat ini menunjukkan bahawa segala sesuatu itu bertasbih, dan semuanya itu bertasbih bagi Allah dan memuji-muji kebesaran-Nya bukannya mengucapkan tasbih untuk orang yang meninggal dunia. Ini bermakna, segala makhluk yang bertasbih tidak ada kaitan dengan manusia yang telah meninggal dunia.

Mengapa Rasulullah s.a.w. memacak pelepah tamar di dua buah kubur itu sedangkan batu-batu, tanah dan pasir yang ada di situ juga bertasbih kepada Allah. Jawabnya ini adalah syafa’at dan doa baginda. Inilah sebabnya mengapa baginda tidak memacakkan kepada kubur-kubur yang lain.

Justeru, kita mengatakan, sebagai umat Rasulullah s.a.w., kita hanya perlu meminta ampun dan berdoa untuk mayat sebagaimana yang diajarkan oleh baginda dalam hadis-hadis yang lain tanpa perlu melampaui petunjuk baginda. Bahaya paling besar apabila meninggalkan sunnah ialah terjerumusnya kita dalam bid’ah. Ini kerana tidak ada satupun riwayat yang sahih menyuruh kita menghadiahkan pahala kepada orang yang meninggal dunia dan ia tidak pernah dilakukan oleh generasi sahabat dan tabi’in.

Kesimpulannya, hukum ini tidak umum dan tidak boleh diqiyaskan kepada kes orang lain. (Taqi Uthmani, Takmilah Fath al-Mulhim Bi Syarh Muslim, jil. 6, hal. 525., Abdullah Al Bassam, Taysir al-‘Allam Syarh ‘Umdah al-Ahkam, jil. 1, hal. 60) Begitu juga tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa sahabat-sahabat lain ada melakukannya kecuali yang apa diriwayatkan daripada Buraidah bin al-Husaib bahawa beliau mewasiatkan supaya meletakkan dua pelepah tamar di atas kuburnya.

Perbuatan Buraidah ini tidak boleh dijadikan hujah kerana alasan-alasan berikut: Pertama, ini adalah pendapat peribadi beliau dalam keadaan sahabat-sahabat yang utama tidak melakukannya dan hanya beliau seorang sahaja.

Kedua, beliau melakukan ini hanya semata-mata untuk mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. yang pernah melakukan begitu. Ikutan ini dinamakan sebagai ittiba’ suri iaitu mengikuti sunnah secara zahir bukan sunnah yang disyariatkan.

Sheikh Muhammad Tahir berkata: “Adapun perkara yang berlaku berhubung seorang sahabat secara jarang-jarang atau tidak biasa dan tidak diketahui oleh kebanyakan mereka, maka perbuatan itu sama ada berdasarkan kepada ijtihad peribadi atau hadis yang didengarinya (dan diketahuinya) itu kemudian telah mansukh dalam keadaan dia tidak mengetahuinya. Sesungguhnya ittiba’ atau ikutan yang diperintahkan ialah sahabat dengan lafaz jamak iaitu ashab yang disandarkan kepada kata nama khas yang menunjukkan keumuman yang sebenar, yakni semua sekali atau keumuman menurut adat iaitu kebanyakan sahabat mana kala yang lain berdiam diri. Begitu juga lafaz qarni (kurunku) bermaksud perkara yang tersebar di kurun tersebut.” (Usul al-Sunnah Li Radd al-Bid`ah, hal.64)

Ketiga, Buraidah tidak pernah berniat berbuat demikian untuk melepaskan diri dari azab kubur, kerana sebagai sahabat yang pernah menyertai Bai’ah Ridwan, beliau meyakini hanya iman dan amalan soleh sahaja yang dapat menolong seseorang menyelamatkan diri dari azab Allah.

Keempat, Imam al-Bukhari yang menukilkan athar Buraidah menyebutkannya di dalam tajuk hadis kemudian mengemukakan athar daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau melihat sebuah khemah di atas kubur ‘Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Siddiq lalu memerintahkan supaya ianya dicabut dan berkata: “Sebenarnya yang melindunginya adalah amalannya.” (Al-Bukhari, Kitab al-Jana`iz, Bab al-Jarid ‘Ala al-Qabr.) Dengan ini difahami bahawa al-Bukhari berpendapat tindakan Buraidah itu tidak boleh dijadikan hujah kerana Ibn ‘Umar tidak sependapat dengannya dan beliau seorang sahabat yang cukup mendalam ilmunya tentang sunnah Rasulullah s.a.w.. Oleh itu, pendapat sahabat yang lebih berilmu dan paling beriltizam dengan sunnah harus diutamakan daripada yang lain. (Lihat Ibn Hajar, Fath al-Bari Bi Syarh Sahih al-Bukhari, jil. 3, hal. 588) Al-‘Aini menyatakan bahawa tujuan Imam al-Bukhari mengemukakan athar daripada Ibn ‘Umar untuk menyatakan perbuatan Rasulullah s.a.w. memacakkan pelapah tamar adalah khusus dengan kedua-dua kubur itu tidak yang lain. (Al-‘Aini, ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, juz. 8, 264)

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kepada dua kubur merupakan isyarat dan alamat kepada doa dan syafa’at baginda sebagaimana berlaku doa baginda kepada Abu Hurairah supaya mempunyai ingatan yang kuat dengan selendang yang dilipat kemudian diletakkan di dadanya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أَسْمَعُ مِنْكَ حَدِيثًا كَثِيرًا أَنْسَاهُ قَالَ ابْسُطْ رِدَاءَكَ فَبَسَطْتُهُ قَالَ فَغَرَفَ بِيَدَيْهِ ثُمَّ قَالَ ضُمَّهُ فَضَمَمْتُهُ فَمَا نَسِيتُ شَيْئًا بَعْدَهُ

Daripada Abu Hurairah katanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya banyak mendengar hadis daripada tuan tetapi saya terlupa. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bentangkanlah selendangmu. Lalu saya membentangkannya kemudian baginda mencebok dengan tangannya pada selendang itu kemudian bersabda: “Dakapkanlah. Lalu saya mendakapkannya dan selepas itu saya tidak melupakan satu hadis pun.” (Al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, Bab Hifz al-‘Ilm.)

Begitu juga baginda berdoa untuk Mahmud bin al-Rubayyi’ dengan cara berkumur kemudian menghembuskan kumuran itu sebagai keberkatan daripada baginda.


عَنْ مَحْمُودِ بْنِ الرَّبِيعِ قَالَ عَقَلْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَجَّةً مَجَّهَا فِي وَجْهِي وَأَنَا ابْنُ خَمْسِ سِنِينَ مِنْ دَلْوٍ

Daripada Mahmud bin al-Rubayyi` katanya: “Saya masih lagi ingat semburan Rasulullah s.a.w. ke muka saya dari bekas air ketika saya berumur lima tahun.” (Al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, Bab Mata Yasihhu Sama’ al-Shaghir)

Doa yang disertakan ‘sentuhan’ tangan Rasulullah s.a.w. mempunyai kesan yang sangat mendalam kepada para sahabat dan ini tidak lain menunjukkan perkara ini khusus dengan baginda. Jika diteliti dalam kitab-kitab hadis tentu banyak lagi peristiwa yang sama ditemui.

Tiada ulasan: