Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, 11 Oktober 2011

185 - Kisah Nyanyian Sya’ir Thola’al Badru ‘Alaina

Kisah Nyanyian (Sya’ir) Thola’al Badru ‘Alaina Ketika Hijrah Nabi
Kisah Yang Masyhur Tapi Tidak Sahih
 


Artikel ini telah kami kemaskini dan pindahkan ke website baru kami di, http://www.ilmusunnah.com/kisah-nyanyian-tholaal-badru-alaina-ketika-hijrah-nabi/

Khamis, 18 Ogos 2011

184 - Mengimbau Tarawih Rasulullah

Mengimbau Tarawih Rasulullah

Abu Numair
 

Artikel ini telah dikemaskini dan dipindahkan ke website baru kami di, http://www.ilmusunnah.com/?p=3393

Maaf atas kesulitan.

Selasa, 16 Ogos 2011

183 - Syaitan Dibelenggu Ketika Ramadhan

Syaitan Dibelenggu Ketika Bulan Ramadhan


Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

“Apabila masuk sahaja Ramadhan, maka pintu-pintu Jannah (Syurga) pun dibuka, pintu-pintu jahannam ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/55, no. 3035)

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ

“Apabila tiba saja malam pertama bulan Ramadhan, dibelenggulah syaitan-syaitan dan jin-jin yang ganas (yang besar). Pintu-pintu Neraka ditutup dan tiada satu pun terbuka. Pintu-pintu Syurga pula dibuka dan tiada satu pun yang tertutup.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 3/103, no. 618. Ibnu Khuzaimah, 3/188, no. 1883. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Imam Ibnu Khuzaimah (Wafat: 311H) menyatakan:

باب ذكر البيان أن النبي صلى الله عليه و سلم إنما أراد بقوله: و صفدت الشياطين مردة الجن منهم لا جميع الشياطين إذ اسم الشياطين قد يقع على بعضهم

“Bab penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan dengan Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).” Bukan merujuk kepada seluruh syaitan kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan adakalanya digunakan untuk sebahagian dari mereka.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 3/187)

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah:

المراد بالشياطين بعضهم وهم المردة منهم وترجم لذلك بن خزيمة في صحيحه وأورد ما أخرجه هو والترمذي والنسائي وبن ماجة والحاكم

“... (Berdasarkan pendapat yang lain) Apa yang dimaksudkan syaitan dalam hadis ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang. Sebab itulah Ibnu Khuzaimah membuat judul bab dalam kitab Shahihnya untuk hadis berkaitan, lalu beliau menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, dan al-Hakim... (sebagaimana di atas).”

Syaitan Dibelenggu, Tetapi Kenapa Maksiat Berleluasa?

Imam al-Qurthubi menjelaskan:

فإن قيل كيف نرى الشرور والمعاصى واقعة في رمضان كثيرا فلو صفدت الشياطين لم يقع ذلك فالجواب أنها إنما تقل عن الصائمين الصوم الذي حوفظ على شروطه وروعيت ادابه أو المصفد بعض الشياطين وهم المردة لاكلهم كما تقدم في بعض الروايات أو المقصود تقليل الشرور فيه وهذا أمر محسوس فإن وقوع ذلك فيه أقل من غيره اذلا يلزم من تصفيد جميعهم أن لا يقع شر ولا معصية لأن لذلك اسبابا غير الشياطين كالنفوس الخبيثة والعادات القبيحة والشياطين الإنسية

“Apabila dikatakan, “Mengapa kita masih melihat kejahatan dan maksiat berlaku di bulan Ramadhan. Sekiranya syaitan dibelenggu, bukankah sepatutnya perkara seperti itu tidak akan berlaku?”

Maka jawabannya, “Bahawasanya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu para penentang yang ganas dari kalangan mereka sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya. Apabila semua syaitan dibelenggu, juga tidak menjadi sebab untuk tidak akan berlakunya kejahatan dan kemaksiatan. Kerana sebab berlakunya kemaksiatan itu turut didorong oleh sejumlah faktor lainnya selain dari faktor syaitan. Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan syaitan-syaitan dari kalangan manusia sendiri.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 4/114)

Wallahu a'lam...

Isnin, 8 Ogos 2011

182 - Mengkhatamkan al-Qur’an Kurang Dari Tiga Hari

Mengkhatamkan al-Qur'an Kurang Dari Tiga Hari

Abu Numair Nawawi B. Subandi


Terdapat beberapa riwayat hadis menyebutkan tentang batas minima mengkhatamkan al-Qur’an. Sekaligus menunjukkan terlarangnya mengkhatamkan al-Qur’an kurang dari jumlah hari tertentu. Riwayat-riwayat tersebut datang dengan lafaz yang berbeza-beza. Antaranya dilarang mengkhatamkan al-Qur’an kurang dari 7 hari, 5 hari, dan 3 hari.

Hadis-hadis yang dimaksudkan tersebut adalah:

Daripada ‘Abdullah B. ‘Amru radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

اقْرَإِ الْقُرْآنَ فِي شَهْرٍ قُلْتُ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً حَتَّى قَالَ فَاقْرَأْهُ فِي سَبْعٍ وَلاَ تَزِدْ عَلَى ذَلِكَ

“Bacalah (khatamkanlah) al-Qur’an dalam sebulan sekali.” Aku menyatakan, “Sesungguhnya aku mampu untuk lebih dari itu.” Rasulullah bersabda, “Maka, khatamkanlah dalam tujuh hari, jangan kurang dari itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 15/479, no. 4666)

Dalam Riwayat Muslim:

اقْرَأْ الْقُرْآنَ فِي كُلِّ شَهْرٍ قَالَ قُلْتُ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً قَالَ فَاقْرَأْهُ فِي عِشْرِينَ لَيْلَةً قَالَ قُلْتُ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً قَالَ فَاقْرَأْهُ فِي سَبْعٍ وَلَا تَزِدْ عَلَى ذَلِكَ

“Bacalah (khatamkanlah) al-Qur’an setiap sebulan sekali.” Aku menyatakan, “Sesungguhnya aku mampu untuk lebih dari itu.” Rasulullah bersabda, “Maka bacalah (khatamkanlah) dalam dua puluh malam.” Aku menyatakan, “Sesungguhnya aku mampu untuk lebih dari itu.” Rasulullah bersabda, “Maka, khatamkanlah dalam tujuh hari, jangan kurang dari itu.” (Hadis Riwayat Muslim, 6/42, no. 1964)

Dalam riwayat yang lain, daripada ‘Abdullah B. ‘Amru, Rasulullah menegaskan:

اخْتِمْهُ فِي خَمْسٍ قُلْتُ إِنِّي أُطِيقُ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ قَالَ فَمَا رَخَّصَ لِي

“Khatamkanlah dalam lima hari.” Aku menegaskan, “Aku mampu mengkhatamkan lebih dari itu.” Tetapi beliau tidak lagi memberi keringanan kepadaku lebih dari itu.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 10/200, no. 2870 dengan katanya, “Hadis ini hasan sahih gharib.”)

Dalam riwayat yang lain, daripada ‘Abdullah B. ‘Amru, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ يَفْقَهُ مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فِي أَقَلَّ مِنْ ثََلاَثٍ

“Orang yang membaca (mengkhatamkan) kurang dari tiga hari tidak akan dapat memahami bacaan al-Qur’an.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 4/166, no. 1186. At-Tirmidzi, 10/203, no. 2873 dengan katanya, “Hadis ini hasan sahih.”)

Dalam riwayat yang lain:

اقْرَإِ الْقُرْآنَ فِي كُلِّ شَهْرٍ قَالَ إِنِّي أُطِيقُ أَكْثَرَ فَمَا زَالَ حَتَّى قَالَ فِي ثَلَاثٍ

“Bacalah (khatamkanlah) al-Qur’an setiap sebulan sekali.” Aku menyatakan, “Aku mampu melakukan lebih banyak dari itu.” Beliau pun terus menguranginya sehingga menjadi tiga hari.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/93, no. 1842)

Ulasan Para Ulama:

1 – Imam at-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 256H) berkata:

و قَالَ إِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ وَلاَ نُحِبُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يَأْتِيَ عَلَيْهِ أَكْثَرُ مِنْ أَرْبَعِينَ يَوْمًا وَلَمْ يَقْرَأْ الْقُرْآنَ لِهَذَا الْحَدِيثِ و قَالَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ لَا يُقْرَأُ الْقُرْآنُ فِي أَقَلَّ مِنْ ثَلاَثٍ لِلْحَدِيثِ الَّذِي رُوِيَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَخَّصَ فِيهِ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ وَرُوِي عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ أَنَّهُ كَانَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ فِي رَكْعَةٍ يُوتِرُ بِهَا وَرُوِي عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ أَنَّهُ قَرَأَ الْقُرْآنَ فِي رَكْعَةٍ فِي الْكَعْبَةِ وَالتَّرْتِيلُ فِي الْقِرَاءَةِ أَحَبُّ إِلَى أَهْلِ الْعِلْمِ

“Ishaq bin Ibrahim berkata, “Berdasarkan hadis ini, maka kami tidak suka apabila empat puluh hari berlalu daripada seseorang, sedangkan dirinya belum pernah mengkhatamkan al-Qur’an.” Sebahagian ulama menyatakan bahawa al-Qur’an tidak dikhatamkan kurang dari tiga hari berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Manakala sebahagian ulama yang lain memberi keringanan dalam perkara ini. Diriwayatkan daripada ‘Utsman B. ‘Affan bahawa beliau mengkhatamkan al-Qur’an dalam satu rakaat witir. Diriwayatkan daripada Sa’id B. Jubair, bahawa beliau mengkhatamkan al-Qur’an dalam satu rakaat di (sisi) ka'bah. Dan para ulama lebih menyukai al-Qur’an dibaca dengan tartil.” (Sunan at-Tirmidzi, 10/200)

2 – Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

هذا من نحو ما سبق من الارشاد إلى الاقتصاد في العبادة والارشاد إلى تدبر القرآن وقد كانت للسلف عادات مختلفة فيما يقرؤون كل يوم بحسب أحوالهم وأفهامهم ووظائفهم فكان بعضهم يختم القرآن في كل شهر وبعضهم في عشرين يوما وبعضهم في عشرة أيام وبعضهم أو أكثرهم في سبعة وكثير منهم في ثلاثة وكثير في كل يوم وليلة وبعضهم في كل ليلة وبعضهم في اليوم والليلة ثلاث ختمات وبعضهم ثمان ختمات وهو أكثر ما بلغنا وقد أوضحت هذا كله مضافا إلى فاعليه وناقليه في كتاب آداب القراء مع جمل من نفائس تتعلق بذلك والمختار أنه يستكثر منه ما يمكنه الدوام عليه ولا يعتاد الا ما يغلب على ظنه الدوام عليه في حال نشاطه وغيره هذا اذا لم تكن له وظائف عامة أو خاصة يتعطل باكثار القرآن عنها فان كانت له وظيفة عامة كولاية وتعليم ونحو ذلك فليوظف لنفسه قراءة يمكنه المحافظة عليها مع نشاطه وغيره من غير اخلال بشيء من كمال تلك الوظيفة وعلى هذا يحمل ما جاء عن السلف والله أعلم

“Perkara ini sebagaimana yang dikemukakan sebelumnya, iaitu menunjukkan anjuran untuk bersederhana dalam ibadah dan anjuran supaya mentadabburi (menghayati) al-Qur’an. Para Salafush Sholeh memiliki kebiasaan yang berbeza-beza dalam membaca atau mengkhatamkan al-Qur’an bersesuaian (seiring) dengan keadaan, kefahaman, aktiviti, dan tugas yang dipikulnya.

Sebahagian daripada mereka mampu mengkhatamkan al-Qur’an setiap sebulan sekali, ada yang dua puluh hari sekali, ada juga yang sepuluh hari sekali, dan kebanyakannya mengkhatamkan al-Qur’an tujuh hari sekali. Tetapi tidak sedikit juga yang mampu mengkhatamkan al-Qur’an setiap tiga hari sekali, bahkan ada yang mengkhatam sehari semalam sahaja. Ada juga yang mengkhatamkan al-Qur’an hanya dalam satu malam. Lebih menakjubkan lagi, ada juga yang mampu mengkhatamkan sehingga lima kali dalam sehari semalam, bahkan yang paling banyak berdasarkan pengetahuan kami adalah yang mampu mengkhatam lapan kali dalam sehari semalam. Aku telah menjelaskannya dalam kitab Adab al-Qurra’ berserta ungkapan-ungkapan yang mengagumkan berkaitan permasalahan tersebut.

Dan pendapat terpilih tentang perkara ini adalah mengkhatamkan al-Qur’an sebanyak-banyaknya selagi mana ia mampu melakukannya dengan istiqomah (berterusan) dan bukan melakukannya hanya ketika waktu sihat dan bersemangat sahaja. Ini tentu bagi mereka yang tidak memiliki tugas-tugas secara umum atau khusus yang akan membebankannya jika sering mengkhatamkan al-Qur’an. Sehingga apabila seseorang memiliki tugas berkaitan dengan masyarakat umum atau orang ramai seperti pemerintahan, mengajar, dan yang lain-lainnya, maka hendaklah ia menempatkannya pada kedudukan yang sewajarnya iaitu berusaha mengkhatamkan al-Qur’an dengan dalam masa yang sama dapat menjaganya di sela-sela masa sibuknya tanpa mengabaikan tugas-tugas yang sedang dipikulnya. Inilah yang dilakukan oleh para Salafush Sholeh. (Syarah Shahih Muslim, 8/43)

Kesimpulan:

Larangan menghabiskan (mengkhatamkan) membaca al-Qur’an kurang dari tujuh hari, lima hari, atau tiga hari ini adalah dengan bersebab. Selagi mana pembacanya dapat membaca dengan kefahaman, penghayatan, tadabbur, tartil, tajwid yang betul, tanpa mengabaikan tanggungjawab lainnya, dan dia dapat istiqomah, maka dia boleh membacanya sebanyak mana yang dia mampu. Praktik ini turut diamalkan oleh para huffaz al-Qur’an zaman ini serta para ulama yang tekun terhadap al-Qur’an.

Ini adalah sebagaimana amalan para salafush sholeh seperti yang telah disebutkan oleh Imam a-Nawawi rahimahullah di atas. Juga sebagaimana amalan para ulama yang mengikutinya dengan baik seperti asy-Syafi’i, Qotadah, dan selainnya. Dan mereka lebih tekun lagi ketika datangnya bulan Ramadhan, yang mana ia dinamakan sebagai bulan al-Qur’an.

Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) menukilkan:

قال الربيع بن سليمان من طريقين عنه، بل أكثر: كان الشافعي يختم القرآن في شهر رمضان ستين ختمة

“Berkata ar-Rabi’ B. Sulaiman, dari dua jalan bahkan lebih, bahawasanya asy-Syafi'i mengkhatamkan al-Qur'an pada bulan Ramadhan 60 kali khatam.” (Siyar A'lam an-Nubala', 10/36)

كان الاسود يختم القرآن في رمضان في كل ليلتين

“Bahawasanya al-Aswad mengkhatam al-Qur'an setiap dua malam sekali pada bulan Ramadhan.” (Siyar A'lam an-Nubala', 4/51)

Adapun bagi mereka yang belum menguasai al-Qur’an, tidak memahaminya, dan tidak pernah menghafalnya, tetapi tiba-tiba mahu segera mengkhatamkannya secara tergesa-gesa sehingga mengabaikan aspek tadabbur, tajwid, tartil, dan seumpanya, maka berikut kata Syaikh Salim B. ‘Ied al-Hilali hafizahullah:

“Membaca al-Qur’an hendaklah dengan mentadabburinya (penghayatan). Adapun membacanya dengan cepat (supaya segera khatam), maka ia merupakan bentuk-bentuk bacaan yang bid’ah yang tidak akan melepasi tenggorokan. (Iaitu bacaan yang tidak memberikan sebarang kefahaman). Oleh sebab itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengecam orang-orang yang bacaannya tidak melepasi tenggorokan (seperti kaum khawarij).” (Salim al-Hilali, Mausu’ah al-Manahi asy-Syar’iyyah as-Shahih as-Sunnah an-Nabawiyyah, 1/217 – Daar Ibnu ‘Affan)

Khamis, 21 Julai 2011

181 - Menghidupkan Sunnah Di Bulan Sya'ban

Menghidupkan Sunnah Di Bulan Sya'ban

Oleh Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


BULAN SYA'BAN hampir menutup tirainya manakala Ramadhan pula bakal menjelang. Namun ada sebahagian dari kita kurang memanfaatkan keutamaan bulan Sya’ban ini sebaiknya.

Bulan Sya’ban adalah bulan diangkatnya amal-amal perbuatan ke sisi Allah. Dan bulan Sya’ban juga adalah bulan yang padanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memperbanyakkan ibadah puasa sunnah berbanding bulan-bulan selainnya.

‘Usamah B. Zaid pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Sya’ban?” Rasulullah menjawab:

ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

“Sya’ban adalah bulan yang terletak di antara Rejab dan Ramadhan yang sering dilupakan oleh manusia. Ia adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan diangkat ke sisi Tuhan semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Ahmad, 85/36, no. 21753. An-Nasaa’i, 8/59, no. 2317. Dinilai hasan oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha juga pernah mengkhabarkan dengan katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ

“Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah mengetahui beliau lebih banyak berpuasa sunnah selain dari bulan Sya’ban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/78, no. 1833)

Di antara hikmah dan faedah lain memperbanyakkan puasa di bulan Sya’ban adalah sebagai salah satu bentuk persiapan memasuki Ramadhan. Iaitu bulan yang padanya umat Islam akan menunaikan keawajiban berpuasa selama sebulan penuh. Semoga dengan membiasakan diri berpuasa sunnah di bulan Sya’ban mampu menjadikan tubuh-badan merasa ringan untuk berpuasa penuh di bulan Ramadhan, insyaAllah.

Puasa Penuh Di Bulan Sya’ban

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha memberitahu Abu Salamah:

لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah berpuasa pada suatu bulan yang lebih banyak dari bulan Sya’ban. Beliau berpuasa pada bulan Sya’ban seluruhnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/79, no. 1834)

Para ulama berbeza pendapat dalam memahami hadis ini. Sebahagian daripada mereka menyatakan kadangkala Rasulullah berpuasa penuh, dan adakalanya Rasulullah berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban. Manakala sebahagian lagi berpendapat menyatakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hanya berpuasa sebahagian besar dari bulan Sya’ban dan tidak pernah berpuasa untuk keseluruhan bulan Sya’ban.

Dari perbezaan pendapat yang timbul ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menguatkan pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah hanya berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban dan bukan keseluruhan dari bulan Sya’ban. Beliau menukilkan perkataan Imam Ibnul Mubarak:

جائز في كلام العرب إذا صام أكثر الشهر أن يقول صام الشهر كله ويقال قام فلان ليلته أجمع ولعله قد تعشى واشتغل ببعض أمره

“Menurut konteks bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain.” (Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/214)

Ini dikuatkan lagi dengan hadis-hadis yang lain sebagaimana disebutkan di atas daripada ‘Aisyah, “Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/78, no. 1833)

Juga berdasarkan kefahaman yang dapat diambil daripada sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ini:

لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمَهُ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ

“Jangan sekali-kali salah seorang di antara kamu mendahului puasa Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya melainkan bagi orang yang sudah biasa berpuasa pada hari tersebut, maka bolehlah dia berpuasa pada hari tersebut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6/489, no. 1781)

Maka dari apa yang dapat difahami di sini kita disunnahkan supaya memperbanyakkan puasa sunnah di dalam bulan Sya’ban berbanding bulan-bulan selainnya. Dan tidak dianjurkan berpuasa sebulan penuh sebagaimana pendapat yang lebih tepat.

Ini adalah sebagai salah satu rangka mengikuti dan menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka yang bersungguh-sungguh dalam mengikuti dan menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam maka dia termasuk ke dalam golongan yang mencintai Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sebenar-benarnya.

Adapun amalan lain tertentu di bulan Sya’ban seperti amalan kenduri majlis tahlil yang dilakukan oleh sebahagian kecil masyarakat Islam di negara kita hari ini, wallahu a’lam tidak ditemui satu pun dalil yang menganjurkannya. Bahkan amalan kenduri tahlilan itu sendiri termasuk amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Yang lebih tepat hendaklah ia ditinggalkan dan cukuplah dengan kembali menghidupkan sunnah-sunnah yang telah jelas sahih dalil-dalilnya dan anjurannya.

Nisfu Sya’ban

Sebahagian umat Islam apabila masuknya bulan Sya’ban mereka akan fokus menanti datangnya malam nisfu Sya’ban. Mereka juga akan mengkhususkan malam tersebut dengan beberapa jenis amalan tertentu seperti solat sunnah yang khusus dan bacaan ayat-ayat al-Qur’an tertentu. Sebahagian yang lain pula menganggap malam tersebut sebagai malam ditentukan rezeki dan ajal bagi seseorang.

Wallahu a’lam, di sebalik semua itu wujudkah dalil-dalil yang mendukung keistimewaan malam tersebut secara khusus? Apa sebenarnya keistimewaan malam tersebut? Apa pula kata para ulama berkaitan dengannya?

Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menyebutkan dalam Tafsirnya:

وليس في ليلة النصف من شعبان حديث يعول عليه لا في فضلها ولا في نسخ الآجال فيها

“Berkenaan dengan malam nisfu Sya’ban, padanya tidak terdapat satu hadis pun yang dapat dijadikan sebagai sandaran, sama ada tentang keutamaannya atau tentang pembatalan ajal seseorang.” (Tafsir al-Qurthubi, 16/128)

Pernyataan al-Qurthubi ini turut didukung antaranya oleh al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali dan Imam Abu Syamah.

Walau bagaimanapun di sana terdapat sebuah hadis (yang datang dengan beberapa lafaz) yang diperselisihkan status kesahihannya tentang keutamaan malam nisfu Sya’ban. Ia sebagaimana hadis berikut:

إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

“Sesungguhnya Allah memerhatikan para hamba-Nya pada malam nisfu Sya’ban (pertengahan Sya’ban) lalu Dia mengampuninya kecuali orang-orang musyrik atau orang yang suka bermusuhan.”

Manakala pada sebahagian lafaz menyebutkan, “Sesungguhnya Allah turun pada malam nisfu Sya’ban...”

Sebahagian ulama hadis mensahihkannya, manakala sebahagian lain pula mengingkari kesahihannya. Hadis ini diriwayatkan dari jalur sanad beberapa sahabat, iaitu Mu’adz B. Jabal, Abu Tsa’labah al-Hutsaini, ‘Abdullah B. ‘Umar, Abu Musa al-Ays’ari, Abu Hurairah, Abu Bakar ash-Shiddiq, ‘Auf B. Malik, dan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhum ajma’in. Direkodkan antaranya oleh Ibnu Majah, Ibnu Abi Syaibah, ‘Abdurrazzaq, ath-Thabrani, al-Bazzar, dan al-Mundziri.

Secara umum antara ulama yang mensahihkannya adalah Ibnu Hibban, Ibnu Hajar al-Haitsami, dan al-Albani. Manakala antara yang menjelaskan kedhaifannya adalah Imam al-Mubarakfuri dalam Tuhfatul Ahwadzi bi Syarah Jami’ at-Tirmidzi.

Seandainya sahih sekalipun hadis ini, maka ia hanya menunjukkan keutamaan malam nisfu sya’ban secara umum. Sebagaimana kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, “Dalam hal ini, pendapat yang dipegang oleh majoriti atau sebahagian besar ulama sama ada dari kalangan sahabat kami ataupun dari selainnya, mereka menyatakan bahawa malam nisfu Sya’ban adalah malam yang memiliki keutamaan.” (Iqtidha’ ash-Shirathal Mustaqim, 1/302)

Walau bagaimanapun, hadis tersebut sedikitpun tidak menunjukkan adanya anjuran untuk mengkhususkan malam tersebut dengan amalan-amalan tertentu sama ada dengan berpuasa, bersolat, berdoa, mengkhatamkan al-Qur’an, membaca ayat-ayat al-Qur’an tertentu, atau sebarang bentuk ibadah lainnya. Malah turunnya Allah Tabaraka wa Ta’ala ke langit dunia sebenarnya berlaku di setiap malam. Tidak hanya pada malam nisfu Sya’ban. Ini sebagaimana hadis dalam dua kitab Shahih (al-Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, sesiapa yang mahu menyatakan adanya amalan khusus tertentu pada malam nisfu Sya’ban hendaklah dia mengemukakan dalil yang sahih. Antara ulama yang menegaskan bahawa tiadanya amalan khusus tertentu pada malam nisfu Sya’ban sama ada dengan solat, puasa, bacaan al-Qur’an atau yang sewaktu dengannya adalah Ulama tabi’in Ahta’ B. Rabah (Wafat: 114H) dan Zaid B. Aslam (Wafat: 136H), Imam an-Nawawi, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, Imam as-Suyuthi, Imam az-Zabidi, al-Mubarakfuri, dan Syaikh ‘Abdul ‘Aziz B. Bazz.

Untuk penjelasan dengan lebih terperinci dalam bab ini, penulis mencadangkan supaya para pembaca meneliti sebuah kitab hasil thesis milik Syaikh ‘Abdullah B. ‘Abdul ‘Aziz at-Tuwaijiri berjudul al-Bida’ al-Hauliyyah (Bid’ah-bidah Sepanjang Tahun), dan buku ini telah pun diterjemahkan.

Oleh itu, hendaklah kita menghidupkan amalan-amalan yang telah jelas anjurannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih. Sebaliknya hendaklah kita meninggalkan amalan-amalan yang tidak memiliki dasarnya sedikitpun. Secara umumnya, meninggalkan amalan (ibadah) yang tidak diamalkan dan tidak pula dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam itu sendiri adalah termasuk salah satu sunnah, manakala menghidupkannya adalah bid’ah. Wallahu a’lam.

Jumaat, 3 Jun 2011

180 - Mengambil Faedah Hadis Badwi Kencing Di Masjid

Mengambil Faedah Hadis Badwi Kencing Di Masjid

Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

Amar Ma’ruf dan nahi mungkar adalah salah satu dasar dalam agama yang dengannya kebaikan menjadi jelas dan tersebar. Manakala kemungkaran berkurang, tersembunyi, dan menghilang. Melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar adalah sebahagian dari tanda-tanda orang yang beriman.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan (maksudnya), “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka mengajak kepada yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Surah at-Taubah, 9: 71)

Manakala sifat dan ciri-ciri orang munafik pula adalah mereka melarang amar ma’ruf dan mengajak kepada yang mungkar. Sebagaimana Allah menyebutkan dalam firman-Nya (bermaksud), “Orang-orang munafik lelaki dan perempuan. Sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka mengajak melaksanakan yang munkar dan melarang melaksanakan yang ma'ruf dan mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasiq.” (Surah at-Taubah, 9: 67)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga mengingatkan, “Sesiapa yang melihat di kalangan kamu suatu kemungkaran, maka tegahlah ia dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan lisannya (perkataan). Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, 1/167, no. 70)

Para ulama menyatakan bahawa hasil nahi mungkar (mencegah kemungkaran) adalah satu dari empat perkara. Iaitu sama ada hilangnya kemungkaran, kemungkaran berubah menjadi lebih ringan, kemungkaran tidak berubah atau berubah tetapi digantikan dengan kemungkaran lain yang sama saja keadaannya dengan sebelumnya, atau menjadi lebih teruk dari sebelum ia cuba diubah.

Dalam situasi pertama dan kedua, hukum melaksanakan nahi mungkar adalah wajib. Manakala bagi situasi ketiga, ia perlu dipertimbangkan dengan baik, dan bagi situasi keempat, tidak boleh dilaksanakan kerana maksud asal dari sebuah nahi mungkar adalah menghilangkan atau mengurangkan kemungkaran tersebut dan bukannya menambah menjadi lebih buruk.

Kebijaksanaan Dalam Bertindak

Setelah kita mengetahui perintah dan keutamaan amar ma’ruf nahi mungkar, sebenarnya kita juga perlu tahu bahawa praktik nahi mungkar harus dilaksanakan dengan bijaksana. Ini ditunjukkan oleh banyak hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam soal ini.

Salah satu hadis yang dapat kita ambil sebagai contoh adalah hadis daripada Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:

بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ مَهْ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَمَرَ رَجُلًا مِنْ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ

“Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengertaknya, tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Qur’an.” Atau sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sesuai. Setelah itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 2/133, no. 429)

Beberapa faedah dapat kita ambil melalui hadis ini, antaranya: [Pertama] Menunjukkan larangan kencing atau membuat kekotoran di dalam masjid. Kerana masjid adalah tempat yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya. Masjid adalah tempat untuk berzikir (mengingati Allah), melaksanakan solat, membaca al-Qur’an, dan majlis ilmu.

[Kedua] Menunjukkan air kencing manusia adalah suatu yang kotor dan najis. Cara menyucikannya adalah dengan membersihkannya menggunakan air.

[Ketiga] Hadis ini menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam menangani orang yang jahil. Iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan membuat kekotoran di masjid, tetapi Rasulullah tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan dan sebab-sebab tertentu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menasihati dan menunjukkan contoh yang tepat kepada para sahabatnya dalam menghadapi karenah orang-orang jahil.

[Keempat] Menolak kemudharatan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut dicegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudharat serta membahayakannya. Kerana kencing yang dihentikan dengan tiba-tiba boleh mengundang risiko dan sakit.

Atau mungkin ia akan terkejut lalu berpindah atau lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh-badannya pula. Tetapi dengan sebab contoh kebijaksanaan Rasulullah, maka najis tersebut hanya terkena pada satu tempat sahaja. Orang Badwi tersebut pula berjaya dinasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah serta tidak diperlakukan dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Dan najis tersebut dapat dibasuh dengan sempurna hanya dengan sebaldi atau sebekas air.

Kesimpulan yang dapat kita ambil di sini adalah kita tidak boleh mencegah sesuatu kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah sesuatu keburukan dengan cara yang buruk juga. Atau dengan cara yang lebih buruk lagi.

Sebaliknya kita hendaklah meneliti di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadahnya (keburukan) dengan pertimbangan yang tepat. Kita tidak boleh mengingkari sesuatu kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain. Kita juga tidak boleh mengingkari kemungkaran sehingga menyebabkan berlaku kemungkaran yang lebih besar lagi.

Dengan sebab itu jugalah Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) menyentuh persoalan ini dengan katanya:

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mensyari’atkan kepada ummatnya tentang kewajiban mencegah atau membasmi kemungkaran. Ini bertujuan meraih perkara yang ma’ruf yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya dari usaha-usaha tersebut. Tetapi jika perbuatan membasmi kemungkaran tersebut akan membawa kepada perkara lain yang lebih mungkar lagi dan lebih dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, maka membasmi kemungkaran tidak perlu dilakukan walaupun Allah tetap membenci dan murka kepada pelaku kemungkaran tersebut. Situasi ini adalah sama seperti mengingkari para raja dan pemimpin dengan cara memberontak keluar dari ketaatan kepada mereka. Bahawasanya ini adalah asas kepada setiap keburukan dan fitnah sehingga akhir zaman. Para sahabat telah meminta izin Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk memerangi para pemimpin (amir) yang melengah-lengahkan solat dari waktunya sambil berkata, “Adakah kita tidak perangi sahaja mereka?” Maka Rasulullah pun menjawab, “Tidak, selagi mana mereka masih tetap melaksanakan solat.”

Sesiapa yang meneliti fitnah-fitnah yang besar dan kecil dalam sejarah umat Islam, dia pasti akan mendapati bahawa fitnah-fitnah tersebut berpunca dari pengabaian prinsip-prinsip ini dan tidak sabar dalam menghadapi kemungkaran. Lalu mereka menuntut untuk menghapuskannya (dengan terburu-buru). Maka timbullah perkara lain yang lebih besar dari fitnah asal tersebut. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melihat sebesar-sebesar kemungkaran ketika di Makkah dan beliau tidak memiliki kemampuan untuk mengubahnya.

Sebaliknya ketika Allah telah membuka Makkah dan ia telah menjadi wilayah Islam, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bertekad untuk mengubah Ka’abah dan mengembalikannya kepada bentuk asal sebagaimana yang dibina oleh Nabi Ibrahim, tetapi beliau tidak melakukannya walaupun telah berkuasa pada ketika itu. Ini adalah kerana kebimbangan beliau dari berlakunya perkara-perkara buruk yang lebih besar kerana orang-orang Quraisy pada ketika itu masih tidak dapat menerima perubahan secara drastik disebabkan baru memeluk Islam dan masih baru mula untuk meninggalkan kekufuran. Kerana sebab itulah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengizinkan untuk mengingkari para pemimpin dengan kekuatan kerana akan mengakibatkan timbulnya keburukan yang lebih besar lagi dari yang sedia ada.” (Ibnul Qayyim, I’lam al-Muwaqqai’in ‘an Rabb al-‘Alamin, 3/4 - Daar al-Jil)

Sabtu, 2 April 2011

179 - Ada Apa Dengan Tarian Poco-poco?

Ada Apa Dengan Tarian Poco-poco?

Oleh: Abu Numair Nawawi B. Subandi


Dalam beberapa hari ini, ramai rakan facebook dan berita akhbar bercerita tentang tarian poco-poco. Situasi tersebut mungkin sebagai respon terhadap fatwa (atau kenyataan) yang dikeluarkan Jawatankuasa Mufti Negeri Perak.

Dari mana atau asal-usul tarian tersebut sendiri masih samar-samar dan tiada sesiapa pun lagi yang tampil memberi penjelasan tuntas tentangnya. Peliknya ia begitu cepat tersebar dan menjadi kegilaan masyarakat di Malaysia tanpa mengira usia dan pangkat.

Walau bagaimanapun, asas yang terdapat dalam tarian poco-poco tersebut jelas. Iaitu mengandungi unsur seni joget lenggok tubuh, muzik, dan nyanyian. Ditarikan oleh lelaki dan wanita, sama ada secara tertutup mahupun terbuka, dalam kumpulan berasingan atau bersamaan lelaki dan wanita.

Tepuk Tangan dan Seni Joget Tari-menari

Di zaman awal Islam, praktik bergembira dengan cara tepuk-tangan, bersiul, dan tari-menari dikenali sebagai salah satu bentuk ritual ibadat milik masyarakat Arab jahiliyyah. Selain itu, disebutkan juga mereka yang mula-mula mencipta praktik tarian adalah pengikut Samiri dari kalangan umat Nabi Musa ‘alaihis Salam yang ingkar. Tarian dijadikan oleh mereka sebagai satu bentuk praktik meraikan kegembiraan dan ritual penyembahan ke atas patung lembu.

Imam Abu Bakar ath-Thurthusi rahimahullah (Wafat: 520H) ketika mengkritik amalan golongan sufi, beliau berkata:

وأما الرقص والتواجد فأول من أحدثه أصحاب السامري، لما اتخذ لهم عجلا جسدا له خوار قاموا يرقصون حواليه ويتواجدون؛ فهو دين الكفار وعباد العجل

“Adapun menari dan mengolah perasaan, ia mula direka oleh pengikut Samiri (dari kalangan umat Nabi Musa). Iaitu ketika Samiri membinakan untuk mereka sebuah patung berbentuk anak lembu yang mengeluarkan suara. Mereka pun menari-nari di sekelilingnya sambil berdendang riang gembira dengannya. Tarian adalah agama orang-orang kafir dan para penyembah anak lembu.” (Tafsir al-Qurthubi, 11/238)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman menceritakan perlakuan kaum Arab (Quraisy) jahiliyyah:

وَمَا كَانَ صَلاتُهُمْ عِنْدَ الْبَيْتِ إِلا مُكَاءً وَتَصْدِيَةً

“Solat mereka di sekitar Baitullah itu tidak lain hanyalah siulan dan tepukan tangan.” (Surah al-Anfal, 8: 35)

Apabila Islam datang, ritual-ritual jahiliyyah tersebut pun ditinggalkan tanpa mengasingkan sama ada semata-mata tarian atau tarian yang disertakan dengan kepercayaan. Begitu juga dengan praktik tepuk-tangan dan siulan untuk berhibur.

Rasulullah mengajar bagaimana praktik ibadah (solat) dan tawaf yang benar. Manakala tepuk-tangan yang berbentuk isyarat dibenarkan bagi wanita ketika dalam solat apabila mendapati imam melakukan kesilapan. Jauh sekali untuk praktik hiburan dan bersuka-ria.

Ada sebahagian pihak yang membenarkan tarian dengan dalil kaum Habsyah yang membuat persembahan tombak di masjid ketika hari raya. Dalam hadis persembahan tombak tersebut, terdapat lafaz:

جَاءَ حَبَشٌ يَزْفِنُونَ فِي يَوْمِ عِيدٍ فِي الْمَسْجِدِ

“Orang-orang Habsyah datang seperti orang menari (yazfinuun) ketika hari ‘Ied di masjid.” (Hadis Riwayat Muslim, 4/418, no. 1483) Manakala dalam riwayat yang lain turut disebutkan perkataan يَرْقُصُونَ (yarqushuun).

Para ulama menjelaskan bahawa menari di sini merujuk kepada seni bermain senjata sambil melompat, tunduk, dan menghayun-hayun senjata dengan tangan yang mana kelihatan seperti orang sedang menari. Dilakukan pada hari raya dan tidak dijadikan sebagai permainan yang menjadi kebiasaan secara umum.

Ini mungkin sama seperti persembahan seni bermain senjata dalam ilmu persilatan. Maka, tidaklah boleh disamakan dengan tarian terkinja-kinja mengikut rentak muzik tertentu berbentuk hiburan yang diketahui umum.

Secara logiknya pula, adakah tarian poco-poco ini sesuai dibawa ke masjid sebagaimana permainan tombak kaum Habsyah tersebut sehingga mahu disamakan dengannya?

Oleh itu, tradisi jahiliyyah berupa tari-menari yang telah sedia ditinggalkan Rasulullah bersama-sama para sahabatnya ini tidak perlulah untuk kita hidupkan kembali. Apatah lagi bila mengenangkan ia salah satu bentuk syi’ar agama yang dimulakan dan dimainkan oleh orang-orang kafir semenjak dahulu kala hingga kini. Juga merupakan seni yang sinonim dengan orang-orang fasiq.

Bahkan Ummu ‘Alqamah menceritakan:

أن بنات أخي عائشة رضي الله عنها خفضن فألمن ذلك فقيل لعائشة يا أم المؤمنين ألا ندعو لهن من يلهيهن قالت بلى قالت فأرسل إلى فلان المغني فأتاهم فمرت به عائشة رضي الله عنها في البيت فرأته يتغنى ويحرك رأسه طربا وكان ذا شعر كثير فقالت عائشة رضي الله عنها أف شيطان أخرجوه أخرجوه فأخرجوه

“Bahawasanya anak-anak perempuan saudara lelaki ‘Aisyah dikhitankan. Mereka kesakitan disebabkan khitan tersebut. Lalu ada dari kalangan mereka meminta kepada ‘Aisyah, “Bolehkah kami menjemput orang yang dapat menghiburkan mereka?”

‘Aisyah berkata, “Boleh.” Maka mereka pun menjemput seorang lelaki (si fulan) untuk menyanyi. Kemudian datanglah ‘Aisyah menghampiri mereka di rumah tersebut dan beliau melihatnya sedang menyanyi sambil melenggok-lenggokkan kepala. ‘Aisyah berkata, “Uhh, syaitan! Keluarkan dia! Keluarkan dia! Maka ia pun dikeluarkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad, 1/427, no. 1247. al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 10/223. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Sebagaimana kata Syaikh al-Albani rahimahullah, hadis ini menunjukkan dibolehkan berhibur dengan sedikit nyanyian tanpa alat muzik (seperti syair Arab). Tetapi tidak boleh diiringi dengan tarian, joget, menghentak-hentak kaki, atau yang sama dengannya yang menjadikan jatuhnya maruah diri. Tidak juga boleh dijadikan sebagai pekerjaan bagi meraih pendapatan. (Rujuk: Tahrim Alat ath-Tharb, m/s. 131)

Nyanyian dan Muzik

Hukum nyanyian berserta alat muzik dalam Islam memiliki perbahasan yang agak panjang. Secara ringkasnya, para imam empat mazhab sepakat mengharamkannya. Melainkan nyanyian kanak-kanak atau hamba perempuan yang dimainkan dengan iringan kompang pada hari raya dan majlis pernikahan (walimatul urus) secara khusus.

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyatakan:

فَذَهَبَ الْأَئِمَّةُ الْأَرْبَعَةُ أَنَّ آلَاتِ اللَّهْوِ كُلَّهَا حَرَامٌ فَقَدْ ثَبَتَ فِي صَحِيحِ الْبُخَارِيِّ وَغَيْرِهِ

“Berdasarkan Imam keempat-empat mazhab, bahawasanya keseluruhan alat muzik adalah haram sebagaimana telah ditetapkan dalam Shahih al-Bukhari dan selainnya.” (Majmu’ al-Fatawa, 11/576)

Manakala dari sebahagian pengkaji kontemporari, ada di antara mereka yang membolehkan nyanyian bermuzik dengan syarat-syarat tertentu seperti tidak keterlaluan dan dengan lirik-lirik yang baik. Walau bagaimanapun, syarat-syarat kelompok yang cuba mengharuskan ini bersifat agak subjektif dan menimbulkan lebih banyak perbahasan (kerana bersifat agak toleran dengan keadaan).

Apapun, apabila melihat pendapat dari kedua-dua kelompok ini secara umum, jelas bahawa nyanyian poco-poco bertentangan dengan syarat-syarat tersebut.

Jika kita perhatikan baik-baik, pasti akan kita fahami liriknya penuh dengan pujian terhadap bentuk dan lenggok tubuh wanita yang berbaur syahwat berahi. Muziknya pula mengarahkan kepada irama dan joget yang mengkhayalkan.

Pergaulan bebas (Ikhtilath)

Dalam praktik tarian poco-poco yang diketahui umum di Malaysia hari ini, ia telah mula dimainkan secara terbuka sama ada oleh lelaki mahupun wanita, sama ada secara bersama atau berasingan.

Dari sudut syara’, percampuran lelaki dan perempuan seperti itu telah masuk ke dalam bentuk pergaulan bebas yang dilarang keras oleh Islam.

Semenjak anak-anak berusia seawal 10 tahun, Islam telah menyeru ibu bapa supaya mengasingkan tempat-tempat tidur mereka. Dilarang pula tidur berkongsi selimut.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مُرُوا أَبْنَاءَكُمْ بِالصَّلَاةِ لِسَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا لِعَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

“Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka”. (Hadis Riwayat Ahmad, 11/369, no. 6756. Dinilai hasan oleh an-Nawawi, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

“Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki lain dan tidak boleh seorang wanita memandang aurat wanita yang lain, dan tidak boleh seorang lelaki bersama dengan lelaki lain dalam satu kain (selimut) dan tidak boleh seorang perempuan bersama dengan wanita lain dalam satu kain (selimut).” (Hadis Riwayat Muslim, 2/238, no. 512)

Dalam solat, Islam mengasingkan saf wanita di belakang dan lelaki di hadapan. Hendak masuk masjid pun Rasulullah telah mengasingkan pintu-pintu masuknya untuk lelaki atau perempuan sahaja.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

“Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis Riwayat Muslim, 2/435, no. 664)

Selain itu, Islam juga memerintahkan supaya menundukkan pandangan terhadap wanita melainkan dengan sebab-sebab tertentu yang diperlukan. Ini menunjukkan bahawa Islam sangat menjaga batas pergaulan di antara lelaki dengan wanita. Di antara hikmah peraturan ini adalah bagi mendidik hati dan mengelakkan nafsu syahwat menguasai diri.

Jika batas-batas ini diabaikan, bukanlah suatu yang menghairankan bila pelbagai gejala sosial dan amalan negatif berlaku di depan mata kita hari ini. Sehingga ada anak-anak seawal usia 10 tahun pun sudah pandai bercumbuan, merogol, dan berzina.

Kesimpulan

Tanpa ciri-ciri di atas tadi, tidaklah ia dinamakan sebagai tarian poco-poco. Apatah lagi tarian, muzik, nyanyian, dan praktik tepuk-tangan itu sendiri antara perbuatan yang dibenci Islam. Demikianlah ia, tanpa ciri-ciri disebutkan, bukanlah namanya tarian poco-poco. Dalam masa yang sama, banyak lagi bentuk hiburan di luar sana yang lebih selamat lagi bermanfaat. Jadi, kenapa perlu terus berpoco-poco?.

Wallahu a’lam...