Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Jumaat, 7 September 2007

026 - SUNNAH DALAM BERHARI RAYA (Part 1)

SUNNAH DALAM BERHARI RAYA

ARTIKEL INI ADALAH DIADAPTASI/KOMBINASI DARIPADA DUA ARTIKEL ASAL YANG DITULIS OLEH:

DEFINISI

Hari Raya, Hari Perayaan, Hari Lebaran, Hari Kebesaran atau Hari Ulang Tahun, disebut dalam bahasa Arab sebagai ‘Id (عيد). ‘Id (عيد) bererti: “Mana-mana hari yang di dalamnya manusia berkumpul”.

‘Id dari kata dasar يعود- عاد: “Kembali atau berulang” kerana manusia sentiasa kembali mengulang-ulangi hari tersebut”. (Lihat: Ahkamul Idaini fis-Sunnah al-Mutahharah. Ali Hasan bin Ali Abdul)

Disebut ‘Id kerana hari tersebut sentiasa diulang setiap tahun. ‘Id juga dari kata al-‘adah (العادة) “Adat atau Kebiasaan” Jamaknya a’yad .(اعياد) (عيد المسلمون) bermaksud: Orang-orang Islam yang merayakan Hari Raya mereka. (Lihat: Ahkamul Idaini fis-Sunnah al-Mutahharah. Ali Hasan bin Ali Abdul)

Menurut Ibnu Abidin rahimahullah pula: “Dinamakan (عيد) id kerana segala macam kebaikan para hamba yang dilakukan setiap hari yang hanya milik Allah kembali kepadaNya. Antara kebaikan untuk para hamba ialah dibolehkan berbuka setelah sebelumnya dilarang makan dan minum, zakat fitrah (yang kebaikan pahalanya untuk hamba). (Adapun kebaikan ‘Idil Adha) dengan menyempurnakan ibadah haji, tawaf, nikmat daging korban dan sebagainya. Lazimnya pada hari tersebut (Id - عيد) dipenuhi dengan kebahagian, kegembiraan, kesenangan dan nikmat”. (Lihat: Hasyiyah Ibnu Abidin 2/165)

Ibnul Arabi rahimahullah berkata: “Dinamakan (عيد) kerana setiap tahun terus kembali dan berulang dengan kegembiraan yang baru”. (Lihat: Lisanul Arab 3/319)

Fithri atau fitrah pula bermaksud sediakala atau sifat asal. Justeru itu Hari Raya `Ied al-Fithri adalah salah satu dari hari kebesaran umat Islam yang disambut pada tanggal 1 Syawal setiap tahun bagi menyambut kejayaan umat Islam setelah berjaya menyempurnakan ibadah sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak dan kembali kepada fitrah iaitu sifat asal manusia yang dibenarkan makan dan minum sepanjang hari. Menurut al-`Allamah Ibnu `Abidin rahimahullah:

Disebut `Ied, kerana pada hari itu Allah Ta'ala memiliki berbagai macam kebaikan yang akan kembali kepada hamba-hambaNya setiap hari, yang di antaranya (tidak berpuasa) setelah adanya larangan makan dan minum (pada bulan Ramadan), zakat fitrah, … Dan kerana kebiasaan yang berlaku pada hari tersebut adalah kegembiraan, kebahagiaan, keceriaan dan hubur (kenikmatan). - Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 11.

Dalil disyari'atkan `Ied al-Fithri sebagai hari kebesaran bagi umat Islam adalah sebagaimana dikhabarkan oleh Anas bin Malik radhiallahu 'anh, dia berkata: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua Hari Raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyyah, maka baginda bersabda: "Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya `Ied al-Adha dan `Ied al-Fithri." - Hadis riwayat Imam al-Nasa'i, di dalam Sunan al-Nasa'i, Kitab al-Sholah, hadis no: 959

Hari Raya Puasa Dan Haaji

Semua jenis Hari Raya telah ditetapkan oleh Allah Azza wa-Jalla. Maka tiada sesiapa yang diizinkan menambah atau merubahnya. Ia disambut setelah melaksanakan rukun Islam seperti selepas puasa Ramadan atau setelah selesai ibadah haji. Di Hari Raya kaum muslimin diperintah agar turun ke musalla untuk solat Hari Raya dan membesarkan syi’ar Islam secara berjamaah, iaitu bersolat dan mendengar khutbah. Anas radiallahu ‘anhu berkata:

“Setelah Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam hijrah ke Madinah, penduduk Madinah mempunyai dua Hari Raya, kemudian Nabi menggantikan dengan dua Hari Raya untuk dirayakannya.

Baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

قَدِمْتُ عَلَيْكُمْ وَلَكُمْ يَوْمَانِ تَلْعَبُوْنَ فِيْهِمَا فِى الْجَاهِلِيَّةِ ، وَقَدْ اَبْدَلَكُمُ اللهُ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا ، يَوْمَ النَّحْرِ وَيَوْمَ الْفِطْرِ

“Aku datang pada kamu sedangkan kamu memiliki dua hari yang kamu bersenang-senang dihari tersebut. Allah telah menggantikan untuk kamu yang lebih dari dua hari itu, iaitu Hari Raya korban dan Hari Raya Puasa (Idul Fitri)”. (H/R Ahmad 3/103,178 dan 235. Abu Daud 1134. Nasaii 3/179 dan Bagawi 1098) Antara tujuan Hari Raya ialah untuk berehat dari keletihan ibadah, membesarkan syi’ar, bergembira, bersuka ria dan berhibur dengan tidak melanggar batas-batas syara.

Tiada ulasan: