Takbir Hari Raya adalah merupakan perintah Allah s.w.t.. Allah Azza wa-Jalla berfirman:
وَلِتُكَمِّلُوْا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوْا اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْنَ
كَانَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ فَيُكَبِّرُ حَتَّى يَاْتِيَ الْمُصَلَّى ، وَحَتَّى يَقْضِيَ الصَّلاَةَ ، فَاِذَا قَضَى الصَّلاَةَ قَطَعَ التَّكْبِيْرَ
Disyariatkan bertakbir dengan jahar (mengeluarkan suara) ketika pergi ke musalla, melaungkan sendiri-sendiri bukan berjamaah dan bukan dipimpin oleh seseorang. Dimulakan sejak terbit fajar di hari Arafah. Berakhir di hari Tasyriq setelah solat Asar. Cara ini disepakati oleh Malik, Abu Hanifah, Syafie, Ahmad dan Ibnu Taimiyah. ((1). Lihat: Majmu Fatawa 24/220 Ibnu Taimiyah. (2). Subulus Salam 2/71-72)
“Ibnu Umar bertakbir dengan menyaringkan (menguatkan) suaranya. Pada Hari Idul Fitri dan Hari Korban setelah solat Subuh sehingga duduk di musalla. Beliau terus bertakbir sehinggalah Imam sampai (untuk solat)”. (H/R Ibnu Abi Syaibah dan Daruqutni dengan sanad yang sahih)
Tentang jangka masa untuk bertakbir Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah berkata: Takbir pada hari `Ied al-Fithri dimulai ketika terlihatnya hilal (anak bulan), dan berakhir dengan selesainya `Ied iaitu ketika imam selesai dari khutbah, (demikian) menurut pandangan yang benar. (Majmu' Fatawa, jilid 24 ms. 220 dan 221. Dinukil daripada artikel bertajuk Bimbingan Berhari Raya Idul Fithri yang disusun oleh Abu Sulaiman Aris yang diterbitkan oleh Majalah As-Sunnah Edisi 07/VIII/1425H/2004M, ms. 39)
Perihal lafaz takbir raya maka terdapat beberapa riwayat dari para sahabat radhiallahu 'anhum yang di antaranya adalah:
Daripada Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anh, beliau mengucapkan:
أَللهُ أَكْبَر ، اَللهُ أَكْبَر ، لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ ، واَللهُ أكْبَر ، اَللهُ أَكْبَر ولِلهِ الْحَمْدُ
Daripada Ibnu `Abbas radhiallahu 'anh, beliau pernah mengucapkan:
اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ, اللهُ أَكْبَرُ وَ أَخَلُّ, اللهُ أَكْبَرُ عَلَى مَا هَدَانَا.
Salman al-Farisi radhiallahu 'anh pula berkata:
كَبَرُوْ اللهَ: اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا
Ketika dalam perjalan ke tempat solat `Ied, disunnahkan juga untuk kita bertakbir sehinggalah apabila solat akan didirikan. Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani rahimahullah: … disyari'atkan apa yang dikerjakan oleh kaum Muslimin berupa takbir dengan suara lantang selama di dalam perjalanan menuju tempat perlaksanaan solat (musholla), meskipun banyak dari mereka mulai meremehkan sunnah ini. (Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32)
Bertakbir sejak mula keluar dari rumah adalah untuk menyerlahkan syi'ar Islam di seluruh perjalanan yang ditempuhi untuk menuju ke tempat solat. Syaikh Wahid Abdussalam Bali telah berkata:
…setiap muslim bertakbir sejak keluar dari rumahnya sehingga sampai ke tempat solat, dengan mengeraskan suaranya, sebagai memaklumkan syi'ar Islam yang agung ini.
Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. (al-Hajj (22): 32)
Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dengan sanad sahih dari al-Zuhri rahimahullah: Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada Hari Raya al-Fithri dengan bertakbir hingga sampai di tempat solat. (Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya (edisi terjemahan oleh Ahmad Syaikhu, Darul Haq, Jakarta 2005), ms. 415-416)
Tentang tatacara takbir yakni dengan suara yang kuat, maka ianya tidak berbeza antara `Ied al-Fithri atau `Ied al-Adha (Hari Raya Haji). Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah: Sa'id bin Manshur meriwayatkan dengan sanad yang maushul (sanadnya bersambung sampai kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam), dari Ubaid bin Umair, dia berkata: "Bahawa `Umar ketika sedang berada di dalam khemahnya di Mina selalu mengumandangkan takbir, begitu pula dengan orang-orang yang berada di dalam masjid dan orang-orang yang berada di pasar, hingga kota Mina bergemuruh dengan suara takbir." (Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Tahqiq Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, (Edisi terjemahan oleh Amiruddin, Pustaka Azzam, Jakarta 2004) Jilid 5, ms. 315)
Ada pun cara bertakbir, maka ia adalah umum sebagaimana keumuman dalil yang menganjurkannya. Oleh itu bertakbir boleh secara bersendirian atau berkumpulan, sama ada secara serentak atau dipimpin oleh seseorang. Semuanya bergantung kepada suasana ketika sedang bertakbir. Yang dilarang adalah menetap atau mengkhususkan cara bertakbir kepada satu cara sahaja sehingga orang ramai menganggap ia adalah satu-satunya cara untuk bertakbir.
Ada pun lafaz takbir yang pelbagai pada masa kini, yang lebih utama adalah lafaz takbir yang diriwayatkan daripada para sahabat sebagaimana yang dikemukakan di atas. Sekali pun dalam riwayat-riwayat tersebut tidak dinyatakan bahawa ia berasal daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dalam kaedah usul fiqh sedia diterangkan bahawa perbuatan sahabat dalam ibadah memiliki nilai marfu' (bersambung kepada Rasulullah s.a.w.), iaitu berasal daripada Rasulullah, sekali pun mereka tidak menyandarkan secara jelas kepada baginda.
1 ulasan:
3x اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَ اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْراً، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْراً، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً،
لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الْدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ،
لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزاَبَ وَحْدَهُ.
لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَ اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.
Asmlkm ustaz. Mohon pencerahan. lafaz takbir begini beasal dari mana ? Saya dapati ada perbezaan dengan takbir raya di Masjidil Haram/Nabawi.
Catat Ulasan