Imam asy-Syafi'i rahimahullah (Wafat: 204H) menegaskan, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Khamis, 28 Ogos 2008

121 - Sunnah-Sunnah Di Dalam Berbuka Puasa

Sunnah-Sunnah Di Dalam Berbuka Puasa

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

1. Bilakah Waktunya Berbuka Puasa?

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Kemudian sempurnakanlah puasa sehingga malam.” (al-Baqarah, 2: 187)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Sallam menafsirkan dengan datangnya malam dan perginya siang serta sembunyinya bundaran matahari. Kami telah pun membawakan (penjelasan ini pada pembahasan yang telah lalu) agar menjadi tenang hati seorang muslim yang mengikuti sunnatul huda.

Kita sebagai hamba Allah yang beristiqomah dalam menuruti as-Sunnah, maka inilah perkataan-perkataan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Sallam ada bersama-sama dengan kita agar dapat mambacanya, memahaminya, menurutinya, telah jelas keadaannya yang dan telah turut kita ketahui akan perbuatan para sahabatnya adhiyallahu’anhum, yang mana mereka telah mendahui kita dalam mengikuti apa yang di bawa oleh Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam.

Diriwayatkan daripada ‘Abdur-Razzaq di dalam kitab al-Mushannaf-nya (7591) dengan sanad yang disahihkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar di dalam kitab Fathul Bari (4/199) dan oleh al-Haitsami di dalam Majma’ az-Zawaid (3/154) dari Amr bin Maimun al-Audi, dia menyatakan:

“Para sahabat Muhammad Shallallahu’alaihi wa Sallam adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling akhir (lewat) di dalam bersahur.”

2. Menyegerakan Berbuka

Selaku seorang yang beriman, adalah wajib ke atas kita untuk berbuka ketika matahari telah terbenam, janganlah dihiraukan oleh rona merah yang masih terlihat (tersisa) di ufuk. Maka, dengan inilah bererti telah mengikuti salah satu sunnah Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam dan menyelisihi Yahudi dan Nashrani di dalam berbuka puasa, kerana mereka mengakhirkan (melewatkan/melambatkan) berbuka.

Perbuatn mereka dalam melambatkan berbuka itu adalah sehingga ketikanya waktu tertentu, yakni hingga terbitnya bintang. Maka dengan mengikuti jalan dan manhaj Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam bererti kita semua telah menampakkan syiar-syiar agama, memperkukuhkan petunjuk yang kita jalani, yang kita harapkan supaya semua dari kalangan kita berkumpul di atasnya. Hal-hal tersebut iaitu sunnah-sunnah di ketika berbuka dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam sebagaimana yang berikut ini,

a. Menyegerakan berbuka

Dari Sahl bin Sa’ad Radhiyallahu’anhu, Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam bersabda:

“Sentiasa manusia di dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/173) dan Muslim (1093))

b. Menyegerakan berbuka merupakan sunnah Rasul Shallallahu ‘alaihi wa Sallam

Jika umat Islam menyegerakan berbuka bererti mereka tetap di atas sunnah Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam dan manhaj Salafus Soleh, dengan izin Allah mereka tidak akan tersesat selama ‘berpegang dengan sunnah Rasul mereka dan menolak semua bentuk perkara yang menyelisihi sunnah’.

Dari Sahl bin Sa’ad radhiyallahu’anhu, Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam bersabda:

“Umatku akan sentiasa dalam sunnahku selama mana mereka tidak menunda-nunda di dalam berbuka puasa sehingga munculnya bintang.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban (891) dengan sanad yang sahih)

c. Menyegerakan berbuka bererti menyelisihi Yahudi dan Nashrani

Ketika manusia sentiasa berada di atas kebaikan disebabkan mengikuti manhaj Rasul mereka, serta memelihara sunnahnya, niscaya Islam (sentiasa) akan tetap bergemerlapan syiar-syiarnya serta tetap menang. Tidak akan terasa kesusahan di saat ada kelompok yang menyelisihinya. Ketika itu umat Islam akan menjadi singa pemberani di lautan kegelapan, tauladan yang baik untuk diikuti, kerana mereka tidak mejadi pak turut kepada orang di Timur dan Barat, dan condong bersama angin ke mana saja angin itu bertiup. Tetapi orang selain merekalah yang akan mengikuti mereka disebabkan Islam dipegang oleh mereka bersama sunnah yang agung.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Agama ini akan sentiasa menang selama manusia menyegerakan berbuka puasa kerana orang-orang Yahudi dan Nashrani suka melewatkannya (dalam berbuka).” (Hadis Riwayat Abu Dawud (2/305), Ibnu Hibban (223). Sanadnya hasan)

Dapat kita fahami bahawa hadis-hadis di atas memiliki banyak faedah, manfaat, dan beberapa perkara yang penting, sebagaimana berikut:

1) Kemenangan agama ini dan berkibarnya panji-panjinya akan terus berlaku selagi mana kita sentiasa bertindak menyelisihi orang-orang sebelum kita dari kalangan Ahlul Kitab (Yahudi dan Nashara). Ini adalah sebagai penjelasan bagi umat Islam, bahawa mereka akan mendapatkan kebaikan yang banyak, jika masih tahu untuk membezakan diri dan tidak terikut-ikut terhadap pemikiran kelompok manusia sama ada yag di Barat ataupun yang di Timur. Kita perlulah bersikap tegas untuk menolak pemikiran-pemikiran asing (yang jauh dari Islam) atau mengikuti telunjuk barat yang diasaskan berdaarkan pemikiran yang menyimpang. Sekiranya umat ini berbuat demikian, maka mereka akan menjadi perhiasan di antara umat manusia, jadi pusat perhatian, serta menjadi tarikan kepada kebanyakan manusia lainnya. Dan perlu kita fahami bahawa perkara ini tidak akan terwujud melainkan dengan kembalinya kita kepada Islam yang sahih, berpegang dengan al-Qur-an dan as-Sunnah di dalam setiap permasalahan aqidah mahupun manhaj.

2) Berpegang dengan Islam sama ada secara global mahupun terperinci, berdasarkan firman Allah:

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara Kaffah (menyeluruh).” (al-Baqarah, 2: 208)

Atas dasar inilah, maka ada yang membahagi-bahagiakan Islam menjadi isi dan kulit sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian ahli bid’ah jahiliyah moden yang bertujuan mengotori fikrah (pemikiran) kaum muslimin dan memasukkan mereka ke dalam lingkaran keraguan yang tidak bertunjangkan dasar Islam yang haq. Perkara ini tidak ada asal dan dasarnya daripada agama Allah, bahkan akhirnya akan mengheret mereka kepada perbuatan orang-orang yang dimurkai Allah, (iaitu) mereka yang mengimani sebahagian kitab dan mendustakan sebahagian lainnya. Dan kita diperintahkan untuk menyelisihi mereka secara global mahupun terperinci, dan sungguh kita mengetahui bahawa hasil dari menyelisihi Yahudi dan Nashrani adalah menjadikan tetap (tegak)nya agama ini dengan haq.

3) Dakwah ke jalan Allah dan memberi peringatan kepada orang-orang yang beriman tidak akan terputus, perkara-perkaran baru yang menimpa umat Islam tidak menyebabkan kita membeza-bezakan syiar-syiar Allah, janganlah sehingga nanti kita mengatakan seperti perkataan kebanyakan dari mereka (ahli bid’ah) seperti contohnya (dengan berkata), “Ini semua perkara kecil, furu’, khilafiyah dan hawasyiyah, kita wajib meninggalkannya, kita tumpukan dahulu usaha-usaha kita untuk perkara-perkara yang lebih besar iaitu menyatukan umat Islam dengan membina sebuah negara.”

Sewajarnya kita menyedari, bahawa landasan dakwah ke jalan Allah haruslah di atas bashirah (petunjuk) dan bukannya mengikut nafsu. Kita juga telah mengerti berdasarkan hadis-hadis yang mulia bahawa tertegaknya agama ini adalah bergantung kepada disegerakannya berbuka puasa yang dilakukan ketika mana lingkaran matahari telah terbenam. Maka bersegeralah kita bertaqwa kepada Allah dan menjauhi sikap sebahagian manusia yang menyangka bahawa waktu berbuka puasa itu ketika terbenamnya matahari. Dan jauhilah kelompok-kelompok yang gemar menyatakan bahawa “Seruan untuk menghidupkan sunnah ini adalah dakwah yang sesat dan bodoh, menjauhkan umat Islam ini dari agamanya atau menyangka (hal tersebut) sebagai dakwah yang tidak ada nilainya, yang tidak mungkin seluruh muslimin berdiri di atasnya, kerana perkara tersebut adalah perkara furu’, khilafiyah, atau masalah kulit”. walaahaula walaaquwwata illa billah (Tiada daya dan upaya melainkan dari Allah).

d. Mendahulukan berbuka sebelum melaksanakan Solat Maghrib

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbuka puasa sebelum melaksanakan solat Maghrib. (Hadis Riwayat Ahmad (3/164), Abu Dawud (2356) dari Anas dengan sanad hasan) Ini adalah kerana perbuatan menyegerakan berbuka puasa adalah termasuk akhlaknya para nabi.

Dari Abu Darda’ radhiyallahu’anhu:

“Tiga perkara yang merupakan akhlaq kenabian adalah: 1 - Menyegerakan berbuka, 2 – Mengakhirkan (melewatkan) sahur dan 3 - Meletakkan tangan di atas tangan kiri ketika dalam solat (ketika qiyam).” (Hadis Riwayat ath-Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir sebagaimana dalam al-Majma’ (2/105). Dia berkata... marfu’ dan mauquf)

3. Berbuka Dengan Apa?

Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam telah meemrintah untuk berbuka dengan kurma, jika tidak ada kurma, maka dengan air. Ini adalah termasuk di dalam kesempurnaan kasih sayang dan betapa perihatinnya beliau kepada umatnya dan dalam menasihati mereka.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaamu sekalian, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang yang beriman.” (at-Taubah, 9: 128)

Ini adalah kerana memberikan sesuatu yang manis kepada tubuh yang kosong berupaya untuk membangkitkan selera, tenaga, dan sangat bermanfaat bagi badan, terutama badan yang sihat. Tubuh badan akan menjadi segar dengannya (kurma). Adapun air, kerana badan ketika berpuasa menjadi kering, maka jika dibekalkan dengan air ia akan membantu menyegarkan badan serta membantu penghadaman makanan.

Sebenarnya kurma mengandungi berkah dan keistimewaan (begitu juga air) dalam pengaruhnya terhadap hati dan mensucikannya, tidak ada yang mengetahui kecuali orang yang beritiba’ (mengikuti sunnah).

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, (ia berkata):

“Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbuka dengan beberapa kurma segar (ruthtab), jika tidak ada ruthtab maka beliau berbuka dengan beberapa kurma kering (tamar), jika tidak ada tamar maka beliau minum dengan meminum air.” (Hadis Riwayat Ahmad (3/163), Abu Dawud (2/306), Ibnu Khuzaimah (3/277, 278), at-Tirmidzi (3/70) melalui dua jalan dari Anas radhiyallahu ‘anhu. Sanad hadis ini sahih)

4. Yang Diucapkan Ketika Berbuka

Semoga Allah sentiasa memberikan kepada kita taufiq dan hidayahnya untuk mengikuti sunnah Nabi-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ini adalah kerana sesungguhnya bagi orang yang berbuka itu dia mempunyai do’a yang dikabulkan. Maka manfaatkanlah, berdo’alah kepada Allah dengan keadaan yang benar-benar yakin akan dikabulkan. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah tidak mengabulkan do’a dari hati yang lalai. Berdo’alah kepada-Nya dengan apa yang kita kehendaki dari do’a yang baik-baik, mudah-mudahan kita mampu memperolehi kebaikan di dunia dan akhirat.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, terdapat sebuah hadis/riwayat bermaksud,

“Terdapat tiga do’a yang dikabulkan, 1 - Do’anya orang yang berpuasa, 2 - Do’anya orang yang dizalimi dan 3 - do’anya mereka yang bermusafir.” (Hadis Riwayat al-‘Uqaili di dalam adh-Dhu’afa (1/72). Abu Muslim al-Kajji di dalam kitab Juz’u-nya. Yang di antara jalurnya adalah Ibnu Masi di dalam kitab Juz’ul Anshari. Sanadnya sahih sekiranya tiada ‘an’anah Yahya bin Abi Katsir. Hadis ini memiliki satu penguat sebagaimana dijelaskan di dalam hadis berikutnya)

Do’a yang tidak tertolak ini dipanjatkan ketika kita sedang berbuka. Ini adalah berdasarkan hadis dari Abu Hurairah radhiyallahuanhu bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Tiga orang yang tidak akan ditolak do’anya, 1 - orang yang berpuasa ketika dia berbuka, 2 - Imam yang adil dan 3 - Do’anya orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (2528), Ibnu Majah (1752), Ibnu Hibban (2407). Di dalamnya ada Abu Mudillah yang majhul (tidak dikenali))

Dari Abdullah bin Amr bin al-‘Ash, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya orang yang puasa ketika berbuka memiliki do’a yang tidak akan ditolak.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah (1/557), al-Hakim (1/422), Ibnu Sunni (128), ath-Thayalisi (299) melalui dua jalur darinya. Al-Bushairi (2/81) menyatakan bahawa “Sanad hadis ini sahih dan rijalnya pun tsiqah”)

Do’a/zikir yang paling afdhal adalah do’a yang ma’tsur dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawa beliau jika berbuka mengucapkan,


ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوْقُ وَثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ

(yang ertinya): “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat, dan telah ditetapkan pahala, Insya Allah.” (Hadis Riwayat Abu Dawud (2/306), al-Baihaqi (4/239), al-Hakim (1/422), Ibnu Sunni (128) an-Nasa’i di dalam kitab ‘Amalul Yaum wal Lailah (269) ad-Daruquthni (2/185) dan dia berkata: “Sanadnya hasan”)

5. Memberi Makan Orang Yang Puasa

Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang puasa untuk berbuka, maka baginya pahala sebagaimana pahalanya orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.” (Hadis Riwayat Ahmad (4/144, 115, 116, 5/192), at-Tirmidzi (804), Ibnu Majah (1746), Ibnu Hibban (895). Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Bagi orang yang diundang untuk makan berbuka puasa maka dia wajib menghadirinya. Dan dia disunnahkan agar mendo’akan orang yang mengundangnya sebaik selesai makan dengan do’a-do’a sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

(ertinya): “Telah makan makanan kalian orang-orang yang baik, dan para malaikat berselawat (mendo’kan kebaikan) atas kalian, orang-orang yang berpuasa telah berbuka di sisi kalian.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah (3/100), Ahmad (3/118), an-Nasa’i dalam ‘Amalul Yaum (268), Ibnu Sunni (129), Abdur Razaq (4/311) dari pelbagai jalan darinya. Sanadnya sahih. Peringatan: Apa yang ditambahkan oleh sebahagian orang berkenaan hadis ini, iaitu “Allah menyebutkan di majlis-Nya” adalah tidak ada asalnya)

(ertinya): “Ya Allah, berilah makan orang yang memberiku makan, berilah minum orang yang memberiku minum.” (Hadis Riwayat Muslim (2055) dari Miqdad radhiyallahu ‘anhu)

(ertinya): “Ya Allah, ampunilah mereka dan rahmatilah, berilah keberkahan pada seluruh rezeki yang Engkau berikan.” (Hadis Riwayat Muslim (2042) dari Abdullah bin Busr)

Tiada ulasan: